Friday, May 6, 2011

Kumpulan F.I.R Dari Taiwan Hadir Sempena Karnival Yuan


PETALING JAYA: Kumpulan popular Taiwan, F.I.R, bakal beraksi di Karnival Yuan ntv7 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kheo Batu Caves, Selangor, Sabtu ini.

Mereka akan berada bermula pukul 4 petang.

Kumpulan tersebut dianggotai oleh Faye Chan (vokalis), Ian Chen (keyboard) dan Real Huang (vokal dan pemain gitar).

Kehadiran mereka pastinya akan menggegarkan Karnival Yuan dengan persembahan yang dijangka hebat.

Sempena karnival tersebut, para peminat berpeluang mendapatkan tiket konsert F.I.R, 'Genesis’ It’s My Live yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 30 Julai depan di kaunter OneFM.

Dalam pada itu, pengunjung Karnival Yuan juga akan dihiburkan oleh selebriti tempatan dan luar negara dengan penampilan khas oleh artis popular Hong Kong, Michael Tse.

Selain itu, pembaca berita ntv7 seperti Tiang Kah Chee dan Tan Ley Teng akan hadir memeriahkan karnival tersebut.

Antara aktiviti-aktiviti menarik yang akan diadakan ialah kempen mesra alam dan kitar semula, konsert dan teater mini, ujian kesihatan, pesta makanan dan buku, serta beberapa pertandingan lain.

Selepas acara di Batu Caves, karnival tersebut bakal diadakan di enam lokasi lain bermula di SJKC Cheng, Melaka (18 dan 19 Jun), Sekolah Tinggi Chung Hwa 1, Kuching (16 dan 17 Julai) dan SJKC Shang Wu, Ayer Hitam (17 dan 18 September).

Turut diadakan di SJKC Yong Peng 1 & 2, Yong Peng (1 dan 2 Oktober), Sekolah Tinggi Hua Lian, Taiping (12 dan 13 November 2011) dan SJKC Serdang 2, Sri Kembangan (3 dan 4 Disember 2011).

Karnival tersebut ditaja oleh Celcom selaku penaja utama, Suruhanjaya Pilihan Raya, (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).

Sementara itu, karnival dianjurkan tersebut sebagai tanda terima kasih buat penonton setia ntv7.

Astro Tawarkan Sarimah Deejay Radio


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim, 33, sedang mempertimbangkan tawaran untuk bergelar penyampai stesen radio Mix FM atau Sinar FM.

Kata Sarimah, pihak pengurusan dua stesen radio di bawah AMP Radio Network itu sebenarnya sudah lama menawarkan peluang itu kepadanya tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran komitmennya sebagai pengacara untuk program Akademi Fantasia musim kelapan dan The Biggest Loser Asia musim pertama.

"Mereka sudah lama menawarkan peluang untuk menjadi penyampai radio tetapi saya belum memberi kata putus sebab ketika itu sedang sibuk dengan tugas sebagai pengacara.

"Saya anggap sekarang adalah waktu terbaik untuk menerima tawaran ini. Buat masa ini saya sedang menunggu kontrak sebelum membuat keputusan sama ada untuk ke Sinar FM atau Mix FM," katanya dalam satu pertemuan bersama mStar Online, Khamis.

Mengulas lanjut, pelakon yang bakal muncul dengan filem Apokalips pada hujung tahun ini berkata: "Saya tidak memilih apa juga slot siaran dan stesen yang dirasakan wajar, saya akan terima dengan hati terbuka.

"Memandangkan saya lebih aktif pada waktu tengah malam, menarik juga kalau berpeluang untuk ke udara pada waktu itu.

"Walau ke stesen mana sekali pun, saya bersedia untuk berkongsi pengalaman dengan pendengar khasnya wanita dan remaja."

Bercerita tentang tugas sebagai pengacara, Sarimah turut berkongsi keinginan untuk mengacarakan semula musim terbaru program The Biggest Loser Asia.

"Jika diberi peluang, memang saya teringin untuk mengacarakan semula program berkenaan.

"Apa juga kekusutan atau masalah yang timbul ketika saya mengacarakan musim pertama program itu sudah saya lupakan dan maafkan," katanya.

Monday, May 2, 2011

Petua Moden & Tradisional Ayu Raudhah


LEBIH empat bulan bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, pelakon Ayu Raudhah masih menantikan kehadiran cahaya mata.

Setakat ini, Ayu belum menunjukkan tanda-tanda kehamilan. Biarpun begitu, pasangan itu berserah kepada rezeki Tuhan dan menerima bila-bila masa sahaja untuk dikurniakan anak.

Sesibuk mana dengan rumah tangga yang baru dibina itu, ia tidak menjadi halangan untuk wanita ini meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan. Namun, Ayu perlu lebih selektif memilih watak yang sesuai.

Selepas berkahwin, wajah Ayu jarang dilihat muncul di media cetak mahupun elektronik. Jika ada yang perasan, telefilem terbaru lakonan Ayu berjudul Pabila Syaitan Berbisik baru disiarkan di TV1 pada 22 April lalu.

Ayu yang selama ini cukup dikenali dengan watak gadis lemah-lembut dalam lakonannya bertukar kepada sisi jahat apabila membawa watak gadis kampung yang lupa daratan dan sanggup menghancurkan rumah tangga orang lain demi mengejar kemewahan hidup.

Bagi mengubat rindu peminat Ayu, OopStarz! minggu ini mahu berkongsi tentang rahsia kejelitaannya.

Dalam menjaga penampilan, dia paling gemar menyerlahkan kecantikan mata. Boleh dikatakan Ayu memiliki mata yang mampu menjadi aset berharga pada dirinya dan mudah mencairkan hati sesiapa sahaja yang memandang.

“Saya suka memakai maskara untuk melentikkan bulu mata. Jika memakai maskara, saya tidak perlu menggunakan bulu mata palsu. “Jadi, saya jarang membeli bulu mata palsu. Kalau membeli pun, saya memilih yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.

“Biasanya saya akan membeli maskara dengan jumlah yang banyak. Maskara yang paling saya suka adalah jenis Maybelline Volume Express Mascara Curved Brush,” ujar pelakon drama popular Nur Kasih dan Manjalara ini.

Pada hari tidak bekerja, Ayu jarang mengenakan mekap tebal tetapi wajahnya tetap tidak dapat lari dari menggunakan maskara.

“Boleh dikatakan setiap hari saya perlu bersolek tetapi apabila berada di rumah, saya jarang memakai mekap. Jika keluar tanpa urusan kerja, saya tidak banyak memakai mekap dan yang penting mesti meletak maskara pada mata,” ujarnya lagi.

Sapu ais pada muka Seperti wanita lain, Ayu tidak putus menjalani rutin kecantikan seperti biasa iaitu mencuci muka, menggunakan penyegar dan pelembap muka.

“Saya perlu membersihkan dan menjaga muka dengan kerap kerana sentiasa menggunakan mekap setiap hari terutama sewaktu menjalani penggambaran.

“Saya tidak banyak mengamalkan petua tradisional. Antara petua yang diamalkan setiap kali sebelum tidur, saya akan menyapu ais pada muka untuk merawat kulit bermasalah.

“Alhamdulillah, nasib baik kulit saya tidak mudah ditumbuhi jerawat walaupun kadangkala rasa stres,” katanya.

Selain itu, dia juga menerima rawatan kulit muka di pusat kecantikan AsterSpring selama setahun di samping mendapat bekalan percuma produk penjagaan kulit Dermalogica dan kosmetik Averine.

Ayu terpilih antara artis yang mengikuti pakej rawatan muka dan badan ‘Beautiful Bride’ oleh AsterSpring pada November tahun lalu. Selain Ayu, pelakon Raja Farah juga menerima rawatan yang sama.

Guna daun bunga raya

Daripada penjagaan muka, topik perbualan beralih kepada penjagaan rambut yang dianggap sebagai mahkota berharga kepada setiap wanita. Agak menarik juga apabila Ayu menggunakan daun bunga raya untuk melembutkan rambut.

“Ambil 10 helai daun bunga raya dan tumbuk sehingga halus. Kemudian, sapukan pada rambut hingga ke akarnya. Balutkan rambut dengan “shower cap” selama 30 minit. “Akhir sekali, cuci dengan air bersih. Amalkan dua kali seminggu. Insya-Allah rambut menjadi lebih lembut dan bersinar,” ujarnya.

Menyentuh tentang pemakanan, Ayu kurang mengambil nasi dan sangat mengawal makan. Disebabkan berat badannya mudah naik jika tidak dijaga, Ayu perlu mengambil jumlah makanan pada kadar sedikit.

“Selain mengawal pemakanan, saya turut mengamalkan minuman kesihatan iaitu sirap Shaklee,” katanya.

Untuk mengekalkan bentuk badan menarik, Ayu turut melakukan senaman bangkit tubi sebanyak 50 kali sebelum tidur.

Isma (AF7) Alami Keguguran Anak Keenam


PETALING JAYA: Suami penyanyi Isma AF7 iaitu Zul (2By2) tidak menolak bahawa tekanan dan kesibukan mengendalikan produksi Nusanbakti Corporation Sdn Bhd antara faktor penyebab isterinya mengalami keguguran bayi keenam mereka, Sabtu lalu.

Tambahnya, sejak memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan di syarikat tersebut dan pengarah filem Sofazr The Movie, Isma atau nama sebenar Ismaliza Ismail ini terlalu banyak menghabiskan masa dengan kerjayanya.

"Pada hari Sabtu lalu, ada berlaku pendarahan dan selepas kami buat pemeriksaan, doktor dapati janin yang berusia tiga minggu itu sudah tidak bernyawa lagi.

"Mungkin juga kerana sejak akhir-akhir ini, dia terlalu azktif bergerak sebab ketika dapat tahu dia hamil, dia sedang sibuk mengarah filem Sofazr The Movie," katanya kepada mStar Online.

Tambah Zul, buat masa ini, Isma masih lagi dalam keadaan terkejut dan lemah akibat kejadian tersebut.

"Dia masih terkejut dan sudah tentu sedih. Ini kali pertama dia mengalami keguguran dan kami menganggap ia bukan rezeki kami," ujarnya yang kini mempunyai lima cahaya mata.

Dalam pada itu, ketika ditanya hubungan pasangan tersebut dengan Pengarah Urusan Heliza Helmi Production (HHP), Heliza Helmi yang dikatakan sedang bermasam muka, Zul memberitahu mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyanyi tersebut.

"Saya keluar HHP lebih awal daripada Isma iaitu lebih kurang setahun lalu kerana dapat kerja yang lebih menjamin masa depan. Manakala Isma pula sudah lapan bulan keluar dari syarikat tersebut dan mengambil alih syarikat Nusanbakti.

"Kami keluar dengan rela hati dan bukan kerana sebarang salah faham. Hubungan kami dengan Heliza juga masih baik dan kami masih bertegur sapa," katanya.

Zul turut menganggap mereka tidak mempunyai jodoh yang panjang di syarikat tersebut dan mahu beralih angin di tempat yang baru.