Showing posts with label Linda Onn. Show all posts
Showing posts with label Linda Onn. Show all posts

Wednesday, February 13, 2013

Saya masih solo - Linda Onn


SELEPAS dikaitkan dengan pelakon kacak, Fahrin Ahmad, Linda Onn atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 36, mengakui masih lagi single dan mencari-mencari calon yang sesuai untuk dijadikan suami.
Linda yang ditemui ketika majlis kolaborasi resipi baharu restoran miliknya, My Mom’s Chicken Rice bersama Datuk Fazley Yaakob menerusi hidangan nasi ayam salai lemak cili padi, di Ampang, Selangor baru-baru ini, pada awalnya cuba ‘melarikan diri’ daripada menjawab pertanyaan mengenai bakal pasangan hidupnya.
Bagaimanapun, selepas diasak pertanyaan mengenai perkara itu daripada pihak media, Linda akhirnya akur dan berdepan dengan soalan lazim mengenai perancangan menamatkan zaman bujangnya.
Ikuti temu bual Kosmo! dengan penyampai radio Suria FM itu mengenai soal hati dan perasaannya.
Setelah sekian lama tidak bercakap mengenai soal hati, adakah kini hati Linda sudah terisi atau masih kosong?
Hati ini masih lagi milik keluarga. Saya masih lagi solo dan tidak pernah berhenti berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan seseorang yang istimewa.
Adakah Linda sendiri yang terlalu memilih?
Semua orang inginkan yang terbaik untuk dirinya, apatah lagi pasangan hidup. Namun, itu semua ketentuan Illahi. Saya hanya berusaha, Tuhan yang menentukan.
Bagaimanakah pula dengan desas-desus mengatakan Linda akan berkahwin dalam masa terdekat ini?
Itu semua tidak benar, tetapi biarkan mereka terus bercakap bahawa saya akan berkahwin, ungkapan itu satu doa. Moga-moga dengan doa mereka itu saya akan bertemu dengan jodoh saya tidak lama lagi. Amin.
Beralih kepada kolaborasi menu masakan Datuk Fazley dengan restoran Linda sendiri, adakah Linda selesa bekerjasama dengan Datuk Fazley?
Ya, saya sangat selesa dengan Fazley. Kami pernah digandingkan bersama-sama menerusi filem Gila Bola, jadi keserasian itu telah lama terbentuk.
Apakah ciri-ciri jejaka idaman Linda adakah seperti Datuk Fazley?
Saya tidak nafikan ciri-ciri lelaki idaman saya ada pada Fazley. Tetapi saya dan Fazley hanya kawan dan dia pun sudah berumah tangga. Jika lapan tahun lepas, Fazley mengurat saya, tentu saya menerimanya. Tetapi itulah, Fazley lambat sangat! (ketawa).
Berbalik kepada kolaborasi ini, bagaimanakah boleh tercetusnya idea kolaborasi ini?
Saya dan Fazley sebenarnya telah diundang untuk menjadi juri dalam program realiti Mimpi ke Bintang di TV2. Dari situlah, kami bertukar-tukar pendapat dan idea.
Kebetulan saya ada bercerita mengenai restoran saya dan dia pula berkongsi menu baharu dalam buku resipinya yang boleh menjadi produk terbaharu restoran saya untuk tahun 2013 ini.
Jadi, saya cadangkan kolaborasi ini di samping restoran saya mempunyai hidangan baharu, Fazley juga mendapat kebaikan pada dirinya yang ingin berkongsi rasa sebenar menu nasi ayam salai lemak cili padi kepada orang ramai.

Tuesday, August 7, 2012

Ada Orang Dengki Tuduh Linda Onn, Kudsia Berbalah


KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM Linda Onn menyifatkan penyertaan Kudsia Kahar ke stesen radio tersebut sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penyiaran kumpulan media The Star sebagai bukti mereka tidak pernah berbalah seperti yang pernah diperkatakan beberapa pihak sebelum ini.
Linda atau nama sebenarnya Rozlinda Onn, 35, berkata, khabar angin itu mungkin timbul daripada individu yang tidak berpuas hati atau mempunyai sifat dengki melihat keakraban mereka.
"Jika masih ada lagi peminat menganggap saya dan Kudsia pernah bermasam muka, itu semua salah faham.
"Malah, ketika zaman saya di radio Era FM dulu, Kudsia adalah antara orang kuat yang membantu menaikkan nama saya dalam industri hiburan ini.
"Dan saya keluar daripada rangkaian Astro Radio (yang dulunya dipanggil Airtime Management & Programming ) juga bukan kerana berbalah dengannya. Entahlah, mungkin ada yang dengki dan cuba melaga-lagakan kami," katanya.
Sebelum ini, ada khabar angin mengatakan Linda dan Kudsia pernah berbalah sehinggalah menyebabkan Linda ditukarkan ke Sinar FM pada tahun 2009 selepas 11 tahun menjadi deejay di Era FM.
Beberapa bulan kemudian, Linda memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan rangkaian stesen radio itu dan menyertai Suria FM.
Sementara itu, beritahu Linda, kehadiran Kudsia ke stesen radio tersebut yang berkuat kuasa pada 16 Julai lalu membuatkan dia teruja untuk bekerjasama semula bagi menaikkan jenama suria FM bersama rakan-rakan lain.
"Saya harap penyertaan Kudsia ini dapat memberi semangat kepada kami untuk mengukuhkan nama Suria FM seperti yang pernah kami sama-sama lakukan ketika berada di Era FM dahulu.
"Apa-apa pun, diharap tiada lagi yang busuk hati ingin melagakan saya dengan Kudsia atau dengan mana-mana orang sekalipun, " tuturnya.
Penyertaan Kudsia dalam kumpulan media The Star adalah untuk memperkukuhkan empat stesen radio melibatkan Suria FM, Capital FM, Red FM serta satu saluran berbahasa Mandarin iaitu 988.
Selain itu bekas Ketua Bahagian Program, Lite FM yang juga dari Astro iaitu Adiwati Zainuddin turut menyertai Suria FM menjawat jawatan yang sama.

Thursday, November 11, 2010

Linda Onn Sokong Scha Bersuara


KISAH cinta yang pernah dilalui oleh penyampai baru Suria FM, Linda Onn dikatakan mempunyai persamaan dengan cerita cinta Scha Al-Yahya.

Mereka berdua dikecam dan dipersalahkan oleh masyarakat berikutan punca kegagalan hubungan cinta bersama pelakon kacak, Fahrin Ahmad.

Hubungan antara mereka juga yang pada awalnya dikatakan ‘dingin’, baru-baru ini telah berubah menjadi semakin akrab.

Linda turut mengakui sedang berkawan baik dengan Scha sejak kira-kira dua minggu lalu setelah diperkenalkan oleh pelakon dan pengacara, Awal Ashaari.

Mereka juga turut menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti lasak sukan bermotor ATV bersama-sama pada hujung minggu lalu.

"Saya tidak pernah dingin dengan dia, cuma dulu ketika dia berkawan dengan ‘sipulan’, saya tidak mahu dikaitkan lagi dengan ‘sipulan’ itu. Dan sebab itu juga saya elak bergambar dengan Scha. Sekarang dia dah bebas barulah kami berpeluang berkawan.

"Pada saya Scha seorang yang baik, gila-gila dan seronok diajak berkawan. Tapi orang salah tafsir tentang Scha. Bila kami bercerita tentang cerita lama, rata-rata pengalaman kami sama saja. Kadang-kadang rasa kelakar bila cerita kami seperti bersambung dari babak ke babak seperti drama. Memang sama!," ujarnya.

Dalam pada itu, Linda turut menasihatkan Scha agar bersabar dengan tomahan orang ramai yang tidak tahu tentang perkara sebenar.

"Nasihat saya pada Scha ialah bersabarlah. Dulu orang ramai yang tidak tahu kisah sebenar, menghentam dan kutuk saya. Sekarang Scha pula kena.

"Kisah saya mungkin sudah berlalu, saya berdiam diri kerana saya rasa biar perkara ini berlaku kepada saya sahaja dan cara itu juga telah membuatkan masyarakat menyalahkan saya.

"Saya rasa ini mungkin masanya untuk Scha tidak berdiam diri, bagus kalau Scha bersuara sebab perkara ini sudah menjadi-jadi," ujarnya yang akan ke udara di Suria FM bermula hari ini pada pukul 4 petang hingga 8 malam.

Ketika ditanya, adakah kemungkinan mereka bakal merancang sesuatu untuk membersihkan nama baik mereka berdua, Linda berkata kebenaran akan terbukti dan Allah lebih berkuasa untuk membuktikannya.

"Kepada orang ramai, berhentilah memfitnah selagi belum tahu kebenaran. Kami cuma tidak mahu bersuara kerana menjaga keaiban orang. Kalau kami berdua buka mulut boleh pecah dunia ni, namun bak kata dia (Fahrin) kebenaran akan terbukti, kita tunggu apa yang akan terjadi seterusnya," ujarnya mengakhiri perbualan.

via mstar

Jangan Terus Aibkan Saya - Linda Onn


PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn meminta agar tidak terus diaibkan sehingga menjejaskan imejnya sebagai seorang selebriti dan ahli perniagaan.

Kata Linda, dia kecewa dengan laporan sebuah akhbar mingguan Ahad yang menyiarkan artikel di ruangan gosip yang memberi gambaran jelas terhadap dirinya.

"Sudah sudah mengaibkan saya, kesabaran manusia juga ada batasannya. Dari peristiwa karpet merah di LA (Los Angeles) sehingga kisah percintaan dan pergaduhan dengan Fahrin Ahmad saya berdiam sahaja. Kini timbul pula kisah saya cuba untuk berlagak dengan hobi baru.

"Walaupun ruangan itu tidak mendedahkan siapa penyampai radio yang dimaksudkan, tapi gambaran yang diberikan jelas menunjukkan bahawa saya orang itu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Jelas Linda, perkara itu telah menimbulkan tanggapan negatif peminat dan rakan niaga terhadap dirinya.

"Sebelum saya membaca artikel tersebut ramai yang sudah memberitahu dan menasihatkan saya bersabar setelah membacanya. Ramai yang membacanya jelas mengetahui orang yang dimaksudkan.

"Ia memberi persepsi buruk kepada saya sebagai penyampai radio dan ahli perniagaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Linda juga kecewa kerana kerjasama yang diberikan selama ini dibalas dengan tanggapan buruk oleh beberapa pihak.

"Saya tidak mahu membesarkan perkara ini, saya berharap mereka menghormati saya sebagai artis yang sudah lama dalam industri ini dan selidik dahulu perkara tersebut.

"Saya sudah beri kerjasama sebaik mungkin, dan saya harap mereka juga beri kerjasama kepada saya agar tidak terus menerus memburukkan nama saya," ujarnya kesal.

Terdahulu dalam blog peribadi miliknya, Linda telah menjelaskan bahawa dia tidak menggunakan motor berkuasa besar kepunyaannya itu atas tujuan keselamatan.