Showing posts with label Erra Fazira. Show all posts
Showing posts with label Erra Fazira. Show all posts

Monday, August 29, 2011

Oren, Hijau Tema Pakaian Hari Raya Erra Fazira


PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira menetapkan warna hijau dan oren sebagai warna tema untuk baju rayanya, anak dan suami pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Selain itu kata Erra, paling teruja apabila pakaian Hari Raya untuk anaknya, Engku Aleesya yang kini bersusia tiga tahun ialah baju kebaya.

“Saya membeli baju kebaya dan baju kurung yang comel untuk Aleesya. Kami sekeluarga memilih tema warna hijau dan oren untuk baju raya tahun ini,” kata Erra kepada mStar Online.

Tahun ini merupakan tahun ketiga bagi Erra dan Emran menyambut Syawal selepas tiga tahun bergelar suami isteri.

Kata Erra, pada tahun ini mereka beraya di rumah keluarga Emran di Kuala Terengganu dan selepas itu mereka akan ke Pulau Pinang/

“Pada tahun lalu kami beraya di Kuala Lumpur dan pada tahun ini giliran kami pulang ke Kuala Terengganu. Apabila menyambut Hari Raya bersama-sama keluarga sendiri, kenangan itu berbeza berbanding menyambutnya dengan ibu bapa dan adik-beradik lain,” kata Erra.

Tuesday, June 7, 2011

Erra Selektif bukan eksklusif


HUJUNG minggu lalu nama Erra Fazira dan protegenya, Salma hangat di dalam ruangan gosip semua akhbar mingguan. Kemenangan mereka meraih wang tunai RM100, 000 serta gelaran juara musim kelima program realiti Mentor 5 dipertikaikan.

Walaupun ramai yang mengakui kehebatan vokal Salma, namun ibu tunggal beranak satu itu dikatakan sengaja dimasukkan semula untuk bersaing ke final selepas terkeluar seminggu sebelum final.

Lantas apabila dia diangkat sebagai juara, banyak pihak mendakwa ia merupakan politik terbesar pihak produksi program itu yang sengaja memberi kemenangan kepada Erra dan Salma.

Turut menjadi buah mulut, kehadiran Ziana Zain selaku juri biar dilihat relevan kerana Ziana merupakan juara Mentor musim lalu, turut dipertikai kerana keakrabannya dengan Erra.

Bertanya tentang sensasi yang dibangkitkan itu kepada Erra, nyata 'orang lama' seni itu cukup tenang menjawab. Tidak cepat melatah, Erra mempunyai hujah sendiri untuk mempertahankan pemilihan dia dan Salma sebagai juara program tersebut.

"Adat dalam pertandingan pasti ada yang suka dan tidak suka. Bagi yang tidak suka mereka akan cuba mereka cerita dan mempertikaikan kemenangan Salma. Bagi saya, Salma telah membuktikan persembahannya bagus dan dia menang dengan bermaruah.

"Kalau dia nyanyi tidak bagus pada malam akhir itu saya akui kemenangannya boleh dipertikai. Tetapi, Salma sudah memberi sehabis baik. Memang di akhir-akhir pertandingan undian Salma jatuh. Daripada situ Salma bangkit melakukan yang sebaiknya untuk konsert akhir Mentor 5," katanya ketika dihubungi Kosmo! bagi mengulas isu kemenangan Salma yang dikatakan telah dirancang.

Ramai juga yang mempertikaikan Salma diserap masuk ke konsert akhir Mentor dan menganggapnya salah satu strategi pihak Mentor untuk menjadikannya juara sedangkan undiannya di paras terendah berbanding peserta-peserta lain.

Bagi Erra, tiada istilah rancang atau susunan strategi. Perkara yang sama berlaku untuk konsert-konsert Mentor sebelum ini.

"Sememangnya jadi trend persembahan realiti apabila peserta terkeluar diserap masuk semula. Ia bukan sahaja berlaku kepada mentor tetapi juga rancangan realiti lain seperti Akademi Fantasia (AF). Contoh yang berlaku kepada Shahir. Dia terkeluar dan dimasukkan semula. Malah, rezeki berpihak kepadanya apabila dia muncul sebagai juara AF," katanya.

Erra kemudian memberitahu, isu Ziana Zain menjadi juri sepatutnya tidak elok ditimbulkan.

Jelasnya: "Saya sendiri tidak tahu salah seorang juri pada malam itu adalah Ziana. Ziana seorang yang cukup profesional. Dia tidak akan memberi undi semata-mata kerana kami berkawan. Lagipun, industri seni ini kecil dan saya berkawan dengan semua orang.

"Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) juga baik dengan salah seorang juri pada malam itu iaitu Datuk Ramli MS. Jadi terpulanglah kepada individu yang mereka cerita itu sendiri.

"Memang pada awalnya saya sudah beritahu Salma, kalah atau menang tidak menjadi persoalan. Paling penting, kita bagi sebaik mungkin. Jika kalah pun, kita menang secara bermaruah."

Selektif bukan eksklusif

Beralih bicara tentang penglibatannya dalam dunia lakonan, Erra, 37, sudah lama tidak muncul di layar perak. Kali terakhir filem lakonannya dapat ditonton adalah menerusi watak pembantu dalam filem Andartu Terlampau - 21 Hari Mencari Suami di bawah produksi Haliza Misbun pada tahun 2010.

Kali terakhir Erra memegang peranan utama pula adalah menerusi filem seram Anak di samping Ida Nerina pada tahun 2008.

Selepas itu, wajah Erra lebih banyak menghiasi kaca TV dan program pengacaraan.

Disebabkan itu ramai yang membuat andaian bahawa dirinya begitu eksklusif.

Ibu jelita kepada Engku Aleesya Engku Emran, 2, itu menjawab mengenai statusnya yang dikatakan begitu eksklusif.

"Saya tidak meletakkan diri eksklusif, cuma kini saya kena lebih selektif melihat tawaran yang datang. Kalau dulu semasa belum berumah tangga dan belum dikurniakan anak saya menerima sahaja apa jua tawaran tetapi kini saya kena bahagikan dua iaitu antara kerjaya dan juga keluarga," katanya ketika ditemui semasa sidang media memperkenalkan pelakon-pelakon teater Badai Semalam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) tahun 2001 dan 2005 itu juga menolak yang dirinya dikatakan sudah kurang menerima tawaran filem disebabkan bakat-bakat baru yang muncul seperti Lisa Surihani dan Fasha Sandha.

Menurutnya, banyak faktor kenapa dirinya sudah lama tidak menghiasi panggung. Kata heroin Sembilu itu, sekarang ini dia cuma memperkecilkan skop kerjayanya. Jika ada tawaran menarik untuk berlakon filem dan tidak bertindih dengan jadual lain baru dia akan menerimanya.

"Saya akan pastikan 50 peratus fokus saya terhadap kerjaya dan 50 peratus lagi terhadap keluarga," katanya yang bakal muncul dengan drama seram komedi terbaru terbitan Astro iaitu Hantu Susu.

Jadi guru

Sudah berada dalam industri hiburan hampir 20 tahun lamanya, Erra diajukan pula soalan tentang kemungkinan dia menjadi guru lakonan mahupun vokal.

"Erra belum terlintas lagi mahu jadi guru. Sekarang ini pun, jadual begitu padat. Tetapi, mungkin satu hari nanti bila sudah kurang berlakon dan merasa diri sudah tidak laku saya akan memikirkannya," katanya sambil melirikkan senyuman yang menawan.

Ulasnya, tanggungjawab untuk mengajar vokal, tarian mahupun lakonan bukan tugas yang mudah. Ia memerlukan komitmen yang tinggi untuk menggilap bakat baru bagi dijadikan bintang.

Beralih pula cerita mengenai si puteri jantung hatinya, Engku Aleesya, Erra memberitahu, genap 30 Mac lalu puterinya sudah berusia dua tahun.

Engku Aleesya yang kini sudah mencapai berat badan 15 kilogram sentiasa diberi perhatian biarpun dirinya sibuk.

"Saya akan pastikan jika ada masa terluang saya akan bawa Aleesya keluar dan peruntukkan masa sepenuhnya bersama dia," kata Erra.

Thursday, April 21, 2011

Semangat bola Erra, Awal


MENJADI pengacara bersama Erra Fazira tidak memberikan masalah besar kepada Awal Ashaari meskipun ia merupakan kolaborasi pertama mereka berdua dalam sebuah rancangan televisyen.

Digandingkan bersama dalam musim kedua rancangan realiti televisyen pencarian bakat-bakat baharu dalam arena bola sepak, Tiger Futbol Starz, Awal dan Erra tidak kekok berkolaborasi.

Mengakui mereka tidak mencari keserasian, sebaliknya atas dasar hormat menghormati antara satu sama lain, keserasian tersebut terbit secara semula jadi.

Bagi Awal, sikap profesional yang ditunjukkan antara dia dan Erra lebih memudahkan lagi kerja mereka apatah lagi masing-masing mempunyai sifat merendah diri dan saling melengkapi.

“Tidak sukar bekerja bersama Erra walaupun ia merupakan kali pertama kami mengacara bersama. Ia tidak sukar kerana kami saling menghormati dan atas perbincangan bersama, semua perkara dapat diselesaikan dalam masa singkat,” kata Awal.

Walaupun dilihat mempunyai kelebihan berbanding Awal kerana pernah mengacarakan rancangan tersebut pada musim pertama, Erra dengan rendah diri menyatakan bahawa mereka mempunyai kelebihan masing-masing.

“Bagi saya, Awal lagi bagus kerana dia mempunyai pengalaman mengacara yang lebih berbanding saya walaupun saya mengacarakan sendiri pada musim pertama dahulu.

“Walaupun ia kolaborasi pertama kami, ia tidak memberikan apa-apa masalah, bahkan lebih serasi kerana kami sentiasa berbincang bersama. Oleh kerana semua pesertanya lelaki, mereka lebih selesa untuk berkongsi rahsia dengan Awal,” kata Erra yang ditemui sejurus sidang akhbar Tiger Futbol Starz baru-baru ini.

Mempunyai tugasan yang berbeza, Erra yang diberi gelaran sebagai Soccer Mama menjalankan tugas serius termasuk memberikan tugasan kepada peserta dan mengumumkan penyingkiran berbanding Awal yang akan berdampingan bersama peserta.

Mengakui bahawa dia tidak pandai bermain bola sepak sebelum ini, Awal kini sudah tahu menendang bola setelah menjadi pengacara rancangan yang akan bersiaran sebanyak 13 episod itu.

Menurut Awal, dia bukan sahaja dapat menimba ilmu dalam bola sepak bahkan menjadi abang kepada 21 orang peserta Tiger Futbol Starz yang dapat berkongsi kisah suka duka.

“Untuk berkongsi perasaan mereka lebih selesa bersama saya berbanding Erra kerana malu untuk bercerita dengan perempuan.

“Itu untuk memberikan kata-kata semangat dan nasihat sahaja. Kalau dalam aspek teknikal pastinya saya tidak dapat membantu kerana saya memang tidak tahu bermain bola,” ujar Awal sambil ketawa.

Tiger Futbol Starz pada tahun ini menampilkan peserta yang lebih matang iaitu berusia antara 10 hingga 15 tahun bersiaran pada pukul 6 petang, setiap hari Ahad bermula 17 April lalu menerusi saluran Astro Ria.

Thursday, March 31, 2011

Berduet Dengan Sohaimi : Erra Fazira Tunggu Kata Putus SRC


PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira, 37, sedang menunggu 'lampu hijau' dari syarikat rakamannya, Suria Records (SRC) untuk berduet dengan penyanyi Sohaimi Mior Hassan menerusi lagu Dalam Berumah Tangga.

Beberapa akhbar sebelum ini melaporkan tentang hasrat Sohaimi untuk melakukan kolaborasi dengan penyanyi jelita itu setelah kejayaannya berduet dengan Ana Raffali dan Altimet menerusi lagu Kalau Berpacaran.

“Memang saya telah ditawarkan berduet dengan Abang Sohaimi dan saya berkenan dengan lagu tersebut kerana irama yang catchy.

“Tetapi disebabkan saya masih terikat kontrak dengan SRC sehingga bulan Ogos ini, jadi saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu.

“Sekarang saya masih menunggu kata putus daripada mereka. Jika mereka bersetuju, baru saya boleh teruskan kepada proses seterusnya,” kata Erra kepada mStar Online.

Dalam perkembangan lain, Erra sedang sibuk dengan program Mentor untuk menggilap bakat protegenya bernama Salma.

Dia juga masih aktif termasuklah sebuah telefilem terbaru Sanggul Beracun untuk Astro Citra.

“Saya memegang watak seorang wanita cacat yang akhirnya mendapat kecantikan setelah membunuh 100 orang suami,” ujarnya lagi.

Erra lebih dikenali di layar perak menerusi filem Sembilu, Maria Mariana, Kuliah Cinta, Cinta Kolestrol, Anak dan 21 Hari Mencari Suami.

Sunday, March 27, 2011

Saya tidak pernah menangis - Erra


SEPUTAR daripada 360 darjah sudut hidupnya, Erra Fazira barangkali masih berbaki satu pertiga nafas lelah yang harus ditelan. Banyak yang telah dimuntahkan dan diperdagangkan sebagai publisiti mahupun promosi dan ketika bidang seni sudah satu kesinambungan buatnya, dia masih berdepan getir yang cukup hebat.

Mendapat jolokan primadona filem Melayu, bukan lagi soal kredibiliti kerjanya yang mahu diselongkar sebaliknya, wanita berstatus ibu dan isteri berusia 37 tahun harus gagah mempertahankan taufan sensasi yang bergulung tanpa henti ke pintu mahligainya.

Perkahwinan kedua bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin membenihkan Engku Aleesya. Mahligai mereka tidak henti-henti dibidik kontroversi. Pernah dikhabarkan goyah ekoran orang ketiga, baru-baru ini Erra sekali lagi dicucuk selumbar berbisa berikutan timbul pula khabar angin yang lebih dahsyat. Kali ini bukan 'main-main cinta' lagi tetapi suami yang dinikahi pada Oktober 2007 itu didakwa sudah mengahwini seorang lagi wanita.

Sensasi Bintang: Pernah merasa kecewa gara-gara rumah tangga asyik menjadi bahan sensasi?

ERRA FAZIRA: Saya sedikitpun tidak tergugat kerana saya tahu dakwaan itu tidak berasas. Saya rentan kerana terpaksa menjawab pertanyaan semua dan berdepan ucapan tahniah atas salah interpretasi sebuah artikel mengatakan bahawa saya hamil anak kedua. Mana-mana saya pergi soalan itu yang ditanyakan, masing-masing sibuk mengucapkan tahniah padahal saya tidak hamil. Saya cuma bersedia untuk hamil.

Khabar angin mendakwa Emran sudah bernikah lain tetapi kalau tiada angin bagaimana pokok bergoyang?

Dalam mana-mana rumah tangga pun mesti ada salah faham, itu bukan perkara mustahil dan perkara begitu juga berlaku dalam rumah tangga rakan-rakan artis. Mungkin orang boleh kata, saya mungkin tak tahu sebab suami kahwin sembunyi-sembunyi, tapi saya yang hari-hari tengok muka suami dan hari-hari juga dia pulang ke rumah, bila masa dia kahwin. Mungkinlah dia ada bergaul dengan kakitangan wanita di pejabat dan perkara itu disalah erti oleh mata-mata yang memandang.

Pernah menangis akibat isu yang tak sudah-sudah?

Tak pernah, buat apa nak membazirkan tenaga menangis tentang perkara yang tidak betul. Mungkin saya masih kuat berdepan semua ini dan saya belum merasa kesakitan yang digembar-gemburkan itu.

Perlukah Erra meyakinkan umum tentang kebahagiaan yang sedang dikecapi bersama Emran sekarang?

Rasanya tak perlu tapi respons yang saya terima kata, saya perlu berbuat begitu. Saya tetap percaya bahawa suatu hari nanti kebenaran akan disedari semua.

Apa reaksi Emran apabila didakwa sudah bernikah lain?

Sebenarnya, saya yang jadi penyampai berita kepadanya apabila ada gosip-gosip yang ditanyakan kepada saya. Kami tidak pernah ambil serius perkara itu, bercakap pun dalam nada berjenaka dan bergelak ketawa sahaja. Saya pernah usik Emran, 'kalau dia dah kahwin, saya akan dapat madu' dan Emran ketawa.

Merujuk kes fotografi sebuah majalah hiburan membabitkan Ziana Zain dan Ning Baizura yang dikecam hebat oleh editor majalah berkenaan. Kalian dilihat sebagai 'diva' yang tidak boleh menerima pendapat orang. Siapa bersalah dan Erra di pihak mana?

Saya yang berada di tempat kejadian dan situasi itu berlaku depan mata saya. Saya tidak boleh kata siapa betul atau siapa salah tapi moralnya, semua orang sama ada artis atau media, masing-masing kena hormat kerja masing-masing. Mustahil kami nak tabur pasir dalam periuk nasi sendiri dan itu bukan pertama kali kami buat fotografi.

Ada sebab kenapa Ziana tinggalkan studio fotografi tempoh hari, kalau dia tidak setuju dengan konsep fotografi itu, awal-awal lagi dia tolak ajakan itu. Saya dan Ning yang habiskan fotografi itu juga kena kutuk sampa tiga muka surat. Artikel itu sangat berat sebelah dan kami tidak dipanggil atau diajak berbincang. Nampak sangat apa yang tertulis adalah permainan emosi penulis berkenaan.

Tapi, sampai sekarang kami tidak tergugat, buat apa nak buat sidang media atau saman-menyaman, industri ini kecil. Perkara itu harus dilihat secara matang.

Penyakit selebriti dikatakan menyerang artis yang berstatus 'diva', komen Erra?

'Diva' ada dua maksud, 'diva' daripada pencapaian yang positif dan 'diva' yang dilihat dari sudut negatif. Ikut pengalaman saya, semakin tinggi pencapaian seseorang artis itu, semakin dia merendah diri dan semakin dia tahu menyayangi pencapaian yang dibina berbelas tahun yang sudah. Ada masanya artis yang baru melonjak naik yang lebih 'diva' perangainya berbanding artis yang sudah sukses. Artis yang terkena 'penyakit selebriti' mungkin ada tapi jangan cepat pukul rata, bagi saya itu justifikasi yang silap. Dan jangan salah guna perkataan 'diva' itu sesuka hati.

Bagaimana dengan kepanasan persaingan dalam Mentor?

Sekarang baru saya tahu, betapa sengitnya persaingan dalaman dalam program itu, ingatkan secara luaran sahaja.

Thursday, March 24, 2011

Erra Fazira Tepis Gosip Suami Kahwin Lain

Add Image

PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira, 37, menganggap gosip terbaru yang mendakwa suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin, 36, bakal berkahwin lain sebagai sesuatu yang lucu dan tidak benar.

Menjawab desas-desus terbaru mengenai Ketua Pegawai Eksekutif saluran berita Bernama TV itu, Erra mengakui terkejut dan baru pertama kali mendengar gosip tersebut.

"Saya sendiri sebagai isterinya pun tidak pernah pula mendengar cerita ini. Sebelum ini sudah banyak cerita tentang rumah tangga kami diperkatakan.

"Saya menerima dakwaan ini sebagai sesuatu yang lucu dan menganggap ia tidak benar sama sekali," katanya yang ditemui selepas terlibat dalam program TV3, Wanita Hari Ini di Sri Pentas, Bandar Utama, Selasa.

Mengulas lanjut mengenai cerita negatif yang melanda rumah tangganya kebelakangan ini, Erra berkata dia percayakan Emran dan sekiranya perkara itu berlaku, tentulah dia orang pertama yang akan mengetahuinya dahulu.

"Sudah banyak kes yang berlaku apabila rumah tangga artis yang aman damai pun didakwa ada masalah. Jadi saya sudah tidak kisah dengan cerita sebegini," katanya.

Cerita terbaru mengenai rumah tangga pelakon jelita itu kembali diperkatakan baru-baru ini apabila timbul pula kekecohan di kalangan petugas Bernama TV yang mendakwa Engku Emran merancang untuk berkahwin lagi.

Saturday, February 5, 2011

Erra Bimbang Album Baru Kedengaran 'Lapuk'


PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Erra Fazira, 36, yang kali terakhir muncul dengan album penuh pada 2006 mengakui bimbang untuk memasarkan album terbarunya kerana dikhuatiri lagu-lagu yang dirakamkan beberapa tahun lalu itu akan kedengaran 'lapuk' dan tidak seiring dengan trend muzik semasa.

Kata Erra, sejak beberapa tahun lalu, kesibukannya pada bidang lakonan dan rumah tangga menyebabkan perancangan untuk mengeluarkan album baru tertangguh, walaupun lima buah lagu termasuk lagu ciptaan kumpulan Ungu sudah siap dirakamkan.

Justeru itu, Erra berharap agar pihak syarikat rakaman yang dinaunginya iaitu Suria Records (SRC) terbuka untuk perbincangan mengenai susunan muzik dan konsep lagu yang bersesuaian bagi album tersebut.

"Saya berharap pihak SRC dapat berbincang tentang susunan muzik dan konsep lagu dalam album baru saya. Bukannya apa, lima lagu yang sudah siap dirakamkan itu dihasilkan pada beberapa tahun yang lalu.

"Saya bimbang apabila lagu-lagu itu akan kedengaran 'lapuk', ketinggalan zaman dan tidak seiring dengan trend muzik hari ini," katanya yang bakal menjadi mentor untuk program Mentor musim kelima tidak lama lagi.

Sunday, December 12, 2010

Mentor 5: Erra Masih Wajah Ekslusif Astro


KUALA LUMPUR: Pelakon Erra Fazira mengakui masih lagi wajah ekslusif stesen televisyen Astro biarpun dipilih menyertai program realiti Mentor musim ke-5 terbitan TV3.

Jelasnya, peranannya sebagai wajah ekslusif adalah sebagai pelakon sahaja dan tidak melibatkan komitmen lain.

“Wajah Ekslusif ialah sebagai pelakon sahaja, yang mana komitmen saya hanya berlakon di stesen televisyen tersebut.

“Bagaimanapun, sebelum menerima tawaran sebagai mentor ini saya sudah berbincang dengan pihak Astro terlebih dahulu samaada ianya boleh atau tidak,” ujarnya yang ditemui di Majlis Sidang Media Mentor musim ke-5, di sini, Jumaat.

Selain itu, bercerita tentang bidang lakonan filem yang lama ditinggalkannya, Erra memberitahu dia masih menunggu watak yang benar-benar sesuai dengannya sekarang.

“Bukan saya tidak mahu berlakon filem lagi tetapi saya masih menunggu filem yang benar-benar memberi impak kepada penonton.

“Bukan tiada tawaran tetapi saya menolak kerana saya rasakan watak tersebut terlalu biasa dan jika saya tidak berlakon dalam filem tersebut pun tidak mencacatkan filme tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, dia tidak terkilan jika menolak tawaran yang dirasakan tidak sesuai buatnya.

Menyentuh bidang nyanyian, Erra memberitahu dalam perancangan untuk menerbitkan album sendiri pada tahun depan.

“Terlalu banyak kisah tentang album saya yang tidak keluar sampai sekarang, jadi saya ambil keputusan untuk terbitkannya sendiri.

“Sekarang masih lagi merancang dan saya harap tahun depan dapat kumpul metarial dan lagu yang betul-betul sesuai dengan saya,” katanya.

Sementara itu, Erra memberitahu kesanggupan dia menenrima tawaran menyertai Mentor kerana sudah bersedia untuk mencurahkan pengalaman yang dimilikinya kepada seseorang yang layak bergelar bintang.

“Program ini bagus kerana saya dapat berkongsi pengalaman saya kepada seseorang yang saya rasa layak untuk menjadi seorang anak seni.

“Saya juga tidak hanya menekankan aspek vokal semata-mata tetapi mencari seorang penghibur yang serba boleh,” katanya.