Showing posts with label Liyana Jasmay. Show all posts
Showing posts with label Liyana Jasmay. Show all posts

Thursday, March 22, 2012

Liyana Jasmay Kahwin pada Januari 2013


SETELAH sekian lama dikaitkan dengan kisah-kisah cinta sesama artis, pelakon genit Liyana Jasmay, 24, buat pertama kalinya membuat kenyataan akhbar mendedahkan tentang tarikh pertunangan dengan kekasih hatinya yang juga seorang ahli perniagaan bernama Fathuddin Mazlan, 28.

Sebelum ini, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Castello itu pernah digosip mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi Aizat Amdan.

Kemudian, dia dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof setelah sama-sama membintangi filem Khurafat pada tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua kisah tersebut berlalu begitu sahaja, sehinggalah pelakon yang ditemui semalam, pada majlis pelancaran drama berjudul 3 Janji di Sri Pentas TV3, Bandar Utama Petaling Jaya itu mengesahkan sendiri mengenai tarikh pertunangan dirinya.

"Pada 28 Mac ini satu majlis pertunangan akan diadakan di rumah saya dalam satu majlis yang agak ringkas. Sebenarnya, saya merancang untuk membuat majlis berkenaan di hotel supaya tidak menyusahkan ahli keluarga yang lain.

"Namun, perancangan tersebut tidak dipersetujui ayah saya dan dia meminta agar majlis pertunangan diadakan di rumah sahaja. Setakat ini segala persiapan berjalan lancar kerana saya turut dibantu oleh dua orang kakak saya," ujarnya.

Ditanya tentang detik perkenalan dengan kekasih hatinya itu, Liyana memberitahu jejaka yang telah menambat hatinya itu merupakan jirannya sendiri dan mereka berkenalan sewaktu bertemu dalam sebuah majlis.

Menurutnya, mereka berdua berkawan dan bercinta dalam tempoh yang cukup singkat iaitu kira-kira dua bulan sahaja dan pada bulan Januari lalu Fathuddin telah melamarnya untuk menjadi isteri.

"Apabila dia meluahkan hasrat untuk mengambil saya sebagai isteri, saya telah memintanya untuk pergi berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa saya. Tidak lama selepas itu dia telah membawa keluarganya berjumpa dengan keluarga saya dan hubungan kami menjadi semakin rapat.

"Walaupun ramai yang tertanya-tanya dengan keputusan yang saya buat ini, tetapi berdasarkan kepada pengalaman lalu saya rasa tidak perlu bercinta lama-lama. Kalau mahu menjalinkan hubungan serius, lebih baik terus masuk meminang sahaja supaya ikatan perhubungan itu lebih kukuh," ujarnya.

Mengenai keistimewaan yang dimiliki Fathuddin sehingga dia terbuka hati menerima lamaran jejaka tersebut, Liyana menyifatkan bakal tunangnya itu sebagai seorang lelaki yang kelakar, periang dan baik hati.

"Sejujurnya saya agak kurang menggemari lelaki yang mempunyai penampilan terlalu segak, tetapi itulah salah satu ciri yang dimiliki dirinya. Ternyata apa yang saya tidak gemar, akhirnya itulah yang akan menjadi milik saya.

"Sebenarnya ibu ada memberi nasihat supaya saya perlu terlebih dahulu mengenali hati budinya.

"Namun, apabila melihatkan usahanya yang begitu bersungguh-sungguh mengambil hati kedua-dua ibu bapa saya, secara tidak langsung ia turut menambat hati saya untuk menerima lamarannya," ujarnya.

Mengenai tarikh perkahwinan yang bakal dilangsungkan pula, Liyana memberitahu dia merancang untuk berkahwin pada bulan Januari 2013 iaitu sebaik sahaja dia pulang dari New York, Amerika Syarikat.

"Kalau tiada sebarang halangan dan segala-galanya berjalan lancar, saya akan berangkat ke New York pada bulan Jun atau Julai ini untuk menjalani kursus jangka pendek di sebuah akademi filem di sana.

"Namun, saya mengambil keputusan untuk bertunang dengan segera bukanlah disebabkan saya akan pergi ke luar negara.

"Semasa menerima lamaran saya ada memberitahu bakal tunang tentang pemergian saya itu dan dia turut memberikan sokongan kerana faham dengan cita-cita saya dalam bidang seni," tuturnya.

New York Film Academy

Bercerita lebih lanjut tentang pemergiannya ke New York, Liyana menjelaskan dia sememangnya sudah lama merancang untuk menambahkan ilmu dalam bidang lakonan dengan menjalani kursus di luar negara.

Ujar Liyana, pada mulanya dia bercadang untuk pergi ke Australia sahaja, tetapi telah mengubah fikiran untuk menjalani kursus di New York Film Academy (NYFA) setelah dicadangkan oleh beberapa orang rakannya.

"Apabila saya memberitahu ayah tentang hasrat tersebut, ternyata dia kurang bersetuju kerana terlalu jauh. Bagaimanapun, akhirnya ayah telah bersetuju dan saya akan turut ditemani ibu sepanjang berada di sana.

"Apa yang membuatkan saya tertarik untuk menjalani kursus di NYFA adalah kerana ia merupakan sebuah akademi yang sangat terkenal memandangkan ramai pengarah hebat yang telah memberi ceramah dengan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka di situ, selain kemudahan yang disediakan NYFA juga sangat lengkap dan canggih," ujarnya.

Jelas Liyana lagi, sepanjang menuntut di akademi berkenaan, kursus yang akan dilaluinya nanti lebih kepada latihan praktikal berbanding teori serta menjurus kepada aspek-aspek lakonan dan pengarahan

Tuesday, March 20, 2012

Liyana Jasmay Nikah Selepas Pulang Dari AS


PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan Fathuddin Mazlan,28, yang juga seorang ahli perniagaan pada Januari tahun depan selepas menamatkan kursus jangka pendeknya di New York, Amerika Syarikat (AS).

Liyana, 24, berkata, dia akan berangkat ke negara itu pada Julai depan untuk mengikuti kursus di New York Film Academy dalam bidang pengarahan dan lakonan.

"Daripada awal perkenalan dengan Fathuddin saya telah melahirkan hasrat untuk mengikuti kursus tersebut kepadanya dan dia tidak membantah mengenai perkara itu kerana pemergian saya adalah untuk menimba ilmu.

"Kelas akan tamat pada awal Januari (2013) dan lepas itu akan terus kembali ke Malaysia untuk berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.

Liyana ditemui semasa menghadiri majlis pelancaran drama bersiri 3 Janji di Sri Pentas di sini pada Selasa.

Tambah Liyana, pemergiannya selama enam bulan ke New York turut ditemani oleh ibunya iaitu Habsah Simpon, 53, selepas ayahnya, Jasmay Md Shah, 57 tidak membenarkan dia tinggal bersendirian di AS.

"Pada awalnya saya nak ikuti kursus berkenaan di Australia sahaja kerana lebih dekat tetapi setelah disarankan oleh rakan-rakan pergi ke New York saya bertukar fikiran.

"Tambahan pula peralatan sepanjang proses pembelajaran itu nanti lebih canggih dan boleh digunakan oleh para peserta selain nama-nama besar dalam bidang pengarahan dan lakonan turut dijemput untuk memberikan ceramah kepada kami nanti," katanya.

Liyana memberitahu, dia teruja untuk ke negara itu kerana ingin menimba pengalaman di negara orang dan mempelajari cara mereka menghasilkan filem atau drama supaya dapat diguna pakai apabila kembali ke tanah air.

"Ini semua saya lakukan demi syarikat produksi saya iaitu Mermaids Studios kerana ingin lebih bersungguh-sungguh dalam menghasilkan produk yang baik untuk penonton.

"Malah saya sudah buat beberapa persediaan sebelum berangkat dan Insya-Allah krew produksi saya akan turut ke sana untuk menjalani tiga buah telefilem bagi mendapat senario berbeza di sana," katanya.

Dalam pada itu, Liyana yang bakal bertunang pada 28 Mac ini di rumahnya di Kemensah, Kuala Lumpur memberitahu akan menyelesaikan semua penggambaran yang masih tertangguh selain menyiapkan persiapan perkahwinannya sebelum ke AS.

Ujar Liyana, dia bertuah kerana dua kakaknya iaitu Faradilla Jasmay, 30, dan Adriana Jasmay, 28, yang sudah berkahwin akan membantunya dalam merealisasikan impiannya sebagai raja sehari.

"Sebelum berangkat saya akan selesai mengenai tempahan dewan, katering, baju dan sebagainya. Selebihnya akan diuruskan oleh dua orang kakak saya yang sudah berpengalaman dalam menguruskan kerja kahwin.

"Sejurus lepas balik nanti saya akan terus berkahwin. Bagaimanapun tarikh sebenar masih belum diputuskan,” katanya.

Sementara itu, Liyana berkata, dia mengambil keputusan untuk bertunang bukan kerana akan berangkat ke luar negara tetapi tertarik dengan keikhlasan hati budi bakal tunangnya yang disifatkan sebagai periang dan baik hati.

Tambah Liyana, usaha Fathuddin untuk mengenali kedua ibu bapanya paling menyentuh hati kerana dia begitu rapat dengan mereka.

"Saya sangat rapat dengan kedua ibu bapa saya dan apabila melihat usahanya untuk mengenali mereka sudah cukup menambat hati saya sebagai seorang wanita," ujarnya.

Liyana memberitahu, pengalaman berkawan dengan lelaki sebelum ini telah membuatkan dirinya serik untuk bercinta sebaliknya memilih untuk berbuat demikian dengan ikatan perkahwinan.

"Saya tidak percayakan pada percintaan lagi kerana itu semua palsu. Jika seseorang itu benar-benar ikhlas mencintai saya dia boleh terus masuk meminang dan itu yang telah dilakukan oleh bakal tunang saya," ujarnya.

Tuesday, October 25, 2011

Liyana Jasmay Selesa Sendiri


KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay, 23, mengakui lebih selesa bersendiri selepas putus cinta dengan bekas kekasihnya, penyanyi, Aizat.

Liyana berkata, dirinya tidak terburu-buru untuk mencari pengganti kerana masih banyak perkara yang menjadi keutamaannya kini.

Ujarnya, walaupun hubungan mereka tidak panjang tetapi dia masih menganggap Aizat sebagai rakan baik dan sentiasa mendoakan kebahagiaannya.

"Bercinta dan putus cinta itu adalah perkara biasa, sama seperti saya dan Aizat. Kami telah mencuba dalam hubungan tersebut dan ia tidak berjaya.

"Walaupun tidak lagi bercinta kami masih berkawan baik," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Skrin baru-baru ini. Dalam pada itu, bercerita mengenai perkembangan terbaru, Liyana berkata dia kini sudah bergelar penerbit dan baru sahaja selesai menerbitkan sebuah telefilem untuk pada 3 Oktober lalu untuk saluran TV9.

Diterbitkan dibawah syarikat produksi miliknya, Mermaid Studios, Liyana memberitahu dalam telefilem bertajuk Tudung Tweet itu dia turut memegang watak sebagai Zubaidah.

"Menariknya mengenai Tudung Tweet ini adalah kerana ia menampilkan 20 pelakon dan kebanyakan daripada mereka adalah bakat baru seperti Izzue Islam, Afiq Muiz dan Mia Nasir," ujarnya.

Optimis dengan cabang terbaru kerjayanya, Liyana berkata, ia adalah sebagai perancangan bagi mengukuhkan kedudukannya dalam dunia hiburan pada masa akan datang.

Saturday, June 11, 2011

Liyana jadi perokok


BERTEMU dengan pelakon kecil molek, Liyana Jasmay, kami dikejutkan dengan pengakuan beraninya menghisap rokok.

Ternyata pelakon berusia 23 tahun itu mempunyai niat untuk merokok tetapi malangnya gagal kerana apabila menghisap rokok dia terbatuk-batuk dan susah untuk bercakap.

“Saya memang cuba untuk menelan asap rokok yang dihisap tetapi gagal. Bila saya hisap sahaja saya akan terbatuk-batuk dan sukar untuk melontarkan dialog,” kata Liyana jujur kepada media.

Pastinya bagi peminat-peminat pelakon utama filem Khurafat itu terkejut dengan pengakuan berani Liyana itu. Namun, Liyana hanya merokok bagi menjayakan wataknya di dalam filem pendek berjudul Cinta Akhir arahan Aron Koh.

Filem berdurasi 10 minit itu turut menampilkan lakonan Pierre Andre dan juga penyanyi One In A Million (OIM), Iz Suliani.

Namun, belum lagi ia ditayangkan untuk tatapan orang ramai, filem pendek itu sudah mendapat kritikan hebat.

Ia dikatakan tidak memberikan kesan langsung kepada perokok-perokok malah jalan ceritanya juga tergantung.

Saat diajukan perkara tersebut kepada pengarahnya, Aron, dia mengaku sengaja membiarkan penamat filem itu tergantung. Dia mahu membuatkan penonton berfikir dan membuat andaian sendiri mengenai kesudahan yang terjadi kepada Lisa lakonan Liyana.

“Sasaran kami menghasilkan filem Cinta Akhir adalah untuk golongan belia. Kempen ini sekadar untuk menyedarkan belia kepada bahayanya rokok bukan bertujuan untuk mendidik,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton di Golden Screen Cinema (GSC), Pusat Beli-Belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

Aron yang juga pernah mengarahkan filem cereka Seed of Darkness dan beberapa klip video termasuk untuk kumpulan Pop Shuvit bertajuk Marabahaya memberitahu, filem pendek yang mendapat sokongan daripada Dana Belia 1Malaysia dan juga Kementerian Belia dan Sukan itu juga dibuat khas sempena Kempen Anti Merokok (ASAP).

Bercerita mengenai Cinta Akhir, ia mengisahkan tentang seorang gadis bernama Lisa yang merupakan seorang penjual rokok di kelab malam. Lisa juga merupakan seorang perokok tegar. Dia bertemu dengan seorang lelaki pelajar yang merendah diri bernama Bob lakonan Pierre Andre.

Sementara itu, bagi Iz pemilihannya berlakon sebagai penyanyi kelab di mana tempat Lisa menjual rokok merupakan peluang buat dirinya melangkah lebih jauh di dalam bidang lakonan.

Iz yang juga merupakan Duta ASAP itu juga turut menyumbangkan lagu Cinta Akhir untuk filem pendek itu.

“Ini merupakan percubaan pertama Iz menceburkan diri dalam bidang lakonan,” katanya yang bakal mengeluarkan album pertamanya awal tahun depan.

Filem pendek yang menelan belanja sehingga RM130 ribu itu boleh dilayari menerusi laman web www.asap.my.