Showing posts with label Fransisca Peter. Show all posts
Showing posts with label Fransisca Peter. Show all posts

Monday, February 14, 2011

Kejutan Francissca Peter

HEBAT dan menghiburkan. Itulah perkataan yang dapat diluahkan tatkala berpeluang menonton preview konsert sulung penyanyi Francissca Peter yang berlangsung sehari sebelum konsert sebenar berlangsung selama dua hari iaitu pada 5 dan 6 Februari lalu di Istana Budaya.

Menyanyikan 34 buah lagu secara keseluruhannya, Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter berjaya membuktikan Francissca atau Fran masih mempunyai suara emas meskipun usianya semakin bertambah.

Tidak memerlukan sebarang elemen tambahan, hanya dengan Fran seorang diri di atas pentas dan diiringi okestra kendalian Ramli M.S ia cukup menghiburkan semua penonton yang hadir.

Bagaimanapun, Fran membuat kejutan apabila mengumumkan perpisahannya dengan suami pada tahun 2009 sebelum menyanyikan lagu Aku Kehilanganmu.

Ketika sesi sidang media berlangsung sejurus selepas konsert berakhir, Fran menjelaskan pengakuan mengenai status dirinya dibuat pada konsert tersebut kerana ia dihadiri ramai pihak media dan dia tidak mempunyai sebarang agenda ketika pengumuman itu dibuat.

“Pengumuman ini dibuat bukan bermakna saya sudah ada pengganti, jika ada dia pasti sudah datang menemani saya hari ini. Saya bersikap adil, supaya semua pihak media yang hadir dapat cerita yang sama.

“Sekarang zaman moden, saya yakin semua orang boleh terimanya dengan baik, saya sendiri tidak sedih dengan apa yang berlaku kerana perpisahan itu satu takdir. Saya masih menjalani kehidupan dengan baik, buktinya hari ini saya disokong oleh peminat-peminat yang hadir ke konsert saya,” ucapnya.

Lupakan kisah peribadinya kerana vokal Fran malam itu wajar dipuji, menurut komposer yang sering bergandingan dengannya, Manan Ngah yang turut membuat persembahan menerusi lagu Kerana Terpaksa dengan petikan gitar. Manan mengakui vokal Fran tetap yang terbaik.

“Selepas 24 tahun, inilah kali pertama saya berkongsi satu pentas bersama Fran. Memang sudah terlalu lama, tetapi untuk persembahan hari ini tiada sebarang kesalahan daripada segi vokal, semuanya mengikut nada suara ketika dia merakamkan album,” ujar Manan yang banyak mencipta lagu untuk Fran.

Walaupun terdapat beberapa masalah teknikal, namun sebagai penghibur profesional Fran bijak mengawal keadaan. Tiada langsung keresahan di wajahnya, sebaliknya hanya senyuman yang terukir dibibir.

Tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya, Fran meluahkan dia berasa terlalu gembira apabila melihat peminat dan pihak media memberi penghormatan kepadanya dengan berdiri sambil bertepuk tangan di akhir persembahan sehingga membuatnya menitiskan air mata.

“Saya berjanji tidak mahu menangis tetapi hari ini saya menangis kerana terlalu gembira dan terharu dengan sokongan yang diberi. Sebagai seorang penghibur saya tidak meminta perkara lain selain melihat peminat puas dengan persembahan yang diberikan.

“Konsert sulung ini merupakan konsert idaman saya sepanjang bergelar penyanyi, apabila ia berjaya dilakukan dan mendapat sambutan, ia membuatkan saya terlalu gembira,” tuturnya dalam senyuman.

Roy dari Australia

Dalam konsert berdurasi dua jam itu, penonton juga dikejutkan dengan kehadiran pasangan duet Fran iaitu Royston Sta Maria atau Roy, 59, yang diterbangkan khas dari Australia.

Kehadiran mereka berdua di atas pentas dengan tiga buah lagu iaitu Tak Kenal Maka Tak Cinta, Siapa Dia Sebelum Daku dan Bersama Pertemuan Ini dirasakan terlalu singkat kerana kebanyakan peminat mahu melihat lebih banyak lagu duet mereka didendangkan memandangkan mereka pernah bekerjasama dalam dua buah album duet sebelum ini.

“Saya rasa cukuplah dengan hanya tiga buah lagu kerana hari ini adalah konsert khas Francissca Peter bukannya konsert dia bersama saya. Apapun, memang saya rasa cukup seronok kerana dalam usia sebegini, saya masih diminati,” kata Roy yang masih fasih berbahasa Melayu.

Roy yang tidak pernah berkahwin dan kini merupakan rakyat Australia menetap di Perth, Australia, menegaskan dia tidak menyangka Fran akan mengundangnya dalam sebuah konsert besar seperti itu.

“Nama Fran sekarang besar, sedangkan saya pula hanyalah orang biasa. Terima kasih kepada Fran kerana mengundang saya dan terima kasih kepada peminat yang masih mengingati saya,” luahnya.

Mencungkil cerita mengapa Roy berhijrah ke Australia sedangkan dia mempunyai kerjaya yang baik di Malaysia, kata Roy, dia hanya mempunyai satu sebab untuk berhijrah iaitu keluarga.

Ketika zaman kegemilangannya bersama Fran pada tahun 80-an, semua ahli keluarganya telah berhijrah ke Australia menyebabkan dia sering terasa sunyi.

“Saya menetap di Malaysia lebih 30 tahun, tetapi saya sunyi tanpa ahli keluarga membuatkan saya ambil keputusan untuk berhijrah ke sana. Walaupun menjadi warga Australia, Malaysia tetap di hati kerana saya akan pulang setiap dua tahun sekali dan tidak sesekali lupa untuk bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya yang kini masih aktif sebagai pemuzik.

Selain Roy dan Manan Ngah, dalam konsert yang dianjurkan oleh Eye Design itu Fran turut berduet dengan penyanyi muda, Imran Ajmain dengan lagu Kehebatan Cinta dan Mirror Mirror On The Wall. Antara lagu lain yang didendangkan oleh Fran adalah Aku Hanya Pendatang, Sekadar Dipinggiran, Kau Lilin Cintaku, Dia, Masih Belum Tamat, Ooo La La Tropika, Diriku Terbelenggu, Si Kunang-kunang, Mawar Terpinggir, Ku Ke Udara Lagi dan sebuah lagu baru ciptaan bersama Imran Ajmain, Tiada Gementar Lagi.

Saturday, February 5, 2011

Air Mata Fran di Istana Budaya


KUALA LUMPUR: Linangan air mata kegembiraan mengiringi persembahan penutup penyanyi veteran Francissca Peter (Fran) pada sesi pratonton Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter di Istana Budaya, di sini, malam Jumaat.

Menurut Fran yang ditemui pada sidang media selepas itu, kepuasannya beraksi di hadapan penonton yang setia memberikan sokongan telah menyentuh perasaannya sehingga gagal mengawal air mata.

Biarpun persembahan penyanyi lagu Sekadar Di Pinggiran itu dicemari beberapa kesilapan teknikal sepanjang konsert berlangsung, Fran tetap beraksi dengan mutu vokal yang hebat dan menghiburkan.

"Walaupun berlaku beberapa kesilapan teknikal sepanjang konsert ini, tepukan dan sokongan berterusan daripada penonton begitu menyentuh emosi saya.

"Peluang yang diberikan oleh Istana Budaya kepada saya sebagai artis bukan Melayu pertama yang beraksi di sini memberikan kepuasan yang luar biasa," katanya.

Dalam konsert yang berlangsung lebih dua jam itu, Fran menyampaikan 33 buah lagu sebagai simbolik kepada 33 tahun penglibatannya dalam bidang nyanyian.

Antara lagu-lagu yang didendangkan termasuklah Kerna Terpaksa, Ku Ke Udara Lagi, Aku Hanya Pendatang, Kau Lilin Cintaku dan banyak lagi.

Tidak hanya tampil berseorangan, penyanyi yang kini berstatus janda itu turut beradu vokal dengan rakan duetnya di era 80an iaitu Royston Sta Maria (Roy) menerusi Bersama Pertemuan Ini, Tak Kenal Maka Tak Cinta dan Siapa Dia Sebelum Aku.

Selain Roy, Fran turut mengundang penyanyi/komposer Imran Ajmain untuk lagu Kehebatan Cinta dan Mirror Mirror On the Wall.

Persembahan Fran diiringi oleh 33 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Datuk Haji Ramli MS.

Konsert istimewa itu dipentaskan untuk dua malam sahaja iaitu pada 5 dan 6 Februari ini bermula 8.45 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Pada konsert tersebut juga, Eye Design selaku penganjur akan menjual kompilasi kesemua album Fran dalam bentuk 'box set' pada harga istimewa.

Friday, November 26, 2010

Konsert Francissca Peter Sempena 33 Tahun

PETALING JAYA: Selepas sekian lama menanti, penyanyi tersohor Francissca Peter akan muncul dengan konsert besar-besarannya pada awal Februari 2011.

Konsert sempena usia 33 tahun Francissca atau nama sebenarnya Luciana Francissca Peter itu dijadualkan akan berlangsung selama tiga hari.

“Konsert pada hari pertama akan diadakan secara tertutup untuk rakan media sahaja manakala dua malam lagi terbuka untuk para peminat saya,” kata Francissca ketika ditemui di rakaman Revolusi Anugerah Juara Lagu (AJL) 25 di Sri Pentas, di sini, Khamis.

Menurut juara sulung AJL ini, konsert tersebut dianjurkan oleh peminatnya dan perancangan telah dilakukan sejak tiga tahun lalu melalui pengurusnya, Bibiana Peter.

Namun peminat yang tidak mahu dikenali itu telah mengesahkan untuk menganjurkan konsert tersebut beberapa minggu lalu.

“Saya berharap ramai peminat yang akan datang dalam konsert selama tiga jam itu yang diadakan secara besar-besaran.

“Sebelum ini saya selalu membuat persembahan di samping artis lain tetapi kali ini hanya saya seorang. Saya berasa sangat teruja yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata,” ujarnya.

Tambahnya: “Saya telah membuat persediaan selama dua bulan selain berlatih melalui persembahan korporat yang dilakukan.

“Saya akan menyanyikan lagu-lagu popular saya sebanyak yang mungkin dengan susunan lagu yang baru dan segar.

“Tetapi apabila saya mengumumkan tentang konsert ini, ramai peminat memberikan senarai lagu untuk dinyanyikan seperti Sekadar Di Pinggiran, Kau Lilin Cinta Ku, Pasti Kembali, Kerna Terpaksa dan Aku Kehilanganmu.”

Bagaimanapun dia enggan menceritakan lebih lanjut tentang konsert tersebut sehingga sebuah sidang media akan dilakukan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, dia menerbit dan menggubah lagu untuk beberapa penyanyi.

Francissca juga adalah Duta untuk Organasasi Kebajikan Antarabangsa World Vision di Malaysia (International Aid Organisation World Vision) selama 5 tahun

Dia membuat kolaborasi dengan menyanyikan lagu tema untuk organisasi itu.