Showing posts with label Sara Ali. Show all posts
Showing posts with label Sara Ali. Show all posts

Monday, May 30, 2011

Sara Ali Laris Sebelum Popular


BELUM sampai pun setahun pelakon bernama Sara Ali ini bertapak di pentas lakonan tanah air.

Jika dicanangkan namanya, masih ramai lagi yang belum menyedari kehadiran gadis berusia 21 tahun ini.

Ironinya, tanpa nama yang kukuh atau limpahan publisiti yang meluas, peluang dan tawaran yang diperoleh sebagai muka baru sepertinya cukup mengagumkan.

Apa tidaknya, dalam diam-diam Sara ligat memenuhi pelbagai tawaran lakonan yang silih-berganti.

Mungkin sudah rezeki dan tuah aktres bertubuh kecil ini, bakat yang dipertaruhkannya bukannya calang-calang hebatnya.

Setakat hari ini, dia sudah berpeluang menggalas watak utama dan pembantu dalam enam buah filem.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti bagaimana para penerbit dan pengarah filem berani untuk mencuba kebolehan saya.

“Ia bermula apabila ada wakil daripada pihak produksi Primeworks menyunting saya menerusi laman Facebook untuk filem-filem terbaru mereka pada tahun lepas,” katanya.

erbaru, bagi yang sudah menonton filem Nur Kasih The Movie (NKTM), pasti dapat melihat kelibat Sara yang menggalas watak remaja bermasalah bernama Juriah.

“Walhal, semua tawaran filem tersebut saya peroleh sebelum dua filem lakonan saya iaitu Penunggu Istana (ditayangkan 21 April lalu) dan NKTM ditayangkan kepada umum,” kata gadis yang meminjam nama datuknya, Ali sebagai nama komersialnya. Nama sebenarnya ialah Sara Hairi.

Bercerita tentang pengalamannya dihujani pelbagai tawaran sebelum dikenali ramai, anak sulung daripada dua beradik ini menganggap ia satu peluang yang amat bermakna sebagai pelakon baru sepertinya.

“Mungkin berkat dedikasi, komitmen dan kebolehan serba sedikit itu meninggalkan buah mulut yang positif di kalangan penggiat dan krew filem.

“Daripada situlah, saya menerima satu persatu tawaran baru. Sebagai orang baru, segala peluang dan kepercayaan ini amat saya hargai,” terangnya.

Sara mengakui langkah pertamanya untuk terjun ke bidang ini tidak selancar jangkaan.

Pada awalnya, keputusan gadis berkelulusan ijazah jurusan seni bina ini untuk bergelar anak wayang diragui oleh keluarganya sendiri.

“Laluan saya untuk memulakan kerjaya ini tidak mendapat sokongan keluarga pada mulanya. Bukan mereka tidak merestui tetapi mereka bimbang saya berubah.

“Hari ini, keluarga semakin merestui dan terbuka dengan kesungguhan saya. Apa-apa pun, saya perlu bijak mengagihkan masa antara keluarga dan kerjaya,” tuturnya.

Tuesday, March 15, 2011

Sara Ali, pelakon gerila



BARU-BARU ini Kosmo! diundang mengikuti penggambaran filem terbaru pengarah Ahmad Idham berjudul Jangan Pandang-Pandang di Tasik Kenyir, Terengganu.

BARU-BARU ini Kosmo! diundang mengikuti penggambaran filem terbaru pengarah Ahmad Idham berjudul Jangan Pandang-Pandang di Tasik Kenyir, Terengganu.

Di kesempatan itu, selain merakamkan perjalanan penggambaran produksi Excellent Pictures yang masuk hari ke-18 itu, Kosmo! sempat juga merakamkan wajah mulus pelakon baru Sara Ali, yang bakal menjadi ratu filem sepanjang tahun ini.

Sepanjang kerjayanya sebagai pelakon bermula Mac tahun lalu sehingga hari ini, Sara telah berlakon sebanyak enam buah filem iaitu Sesuatu Yang Tertinggal, Klip 3GP, Penunggu Istana, Nur Kasih The Movie, Songlap dan terbaru Jangan Pandang-Pandang.

Apa istimewanya Sara sehingga dia berjaya menawan hati ramai pengarah dan penerbit filem tempatan? Dia bukanlah orang yang bercita-cita besar dalam bidang seni, kerana dia terjebak dalam dunia lakonan disebabkan tuah di laman sosial Facebook.

Berbual dengan Sara Ali, gadis berusia 21 tahun yang berbadan kecil molek dan bermata galak itu nyata seorang yang agak menarik. Sekali pandang, karakternya tidak ubah seperti aktres terkenal Sharifah Amani, namun dia ada keistimewaannya yang tersendiri.

Katanya, dia merupakan seorang pelakon gerila kerana terjun dalam bidang lakonan secara tiba-tiba dan melakukan pekerjaan itu tanpa henti sejak ditawarkan menjadi pelakon di Facebook.

“Saya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku dalam hidup saya hari ini. Dulu saya seorang penonton filem, sekarang saya pula yang ada dalam filem.

“Kemunculan saya secara tiba-tiba tanpa dirancang, saya sendiri tidak sangka akan jadi pelakon dan tidak pernah berhasrat untuk berlakon. Tetapi bila sudah berlakon, perasaan seronok itu mula hadir dan menyebabkan saya mula berlakon tanpa henti,” jawabnya.

Walaupun telah bergelar selebriti dan profilnya lebih hebat daripada pelakon yang lebih senior, akui Sara dia belum dapat menikmati sepenuhnya status barunya itu.

Ini kerana, belum ada satu pun filemnya ditayangkan di pawagam. Paling hampir, filem Penunggu Istana yang akan ditayangkan pada April dan Nur Kasih The Movie pada Mei depan.

“Tiada perubahan drastik yang berlaku dalam hidup saya kerana filem lakonan saya masih belum ditayangkan. Jadi, saya masih menjalani kehidupan Sara Ali yang dulu cuma masa saya semakin tersekat dek kepadatan jadual penggambaran.

“Kiranya saya masih menjalani kehidupan yang normal, masih melepak dengan kawan-kawan kalau ada masa. Cuma, mungkin ada orang yang kenal saya menerusi tulisan di akhbar, mereka akan pandang saya semacam tetapi tidak ramai begitu,” katanya.

Balas pelajar jurusan Seni Bina dari Universiti Lim Kok Wing itu lagi, mahu tidak mahu, dia harus sesuaikan diri dengan status selebriti yang dipikulnya.

“Saya akui yang saya gugup dan kekok untuk berdepan dengan peminat dan rutin selebriti yang lain seperti menghadiri majlis hiburan serta sesi fotografi kerana itu semua masih baru buat saya.

“Memang saya rasa pelik kerana tidak tahu macam mana nak berkawan dengan artis pada mulanya sebab saya menganggap diri saya bukan artis. Tetapi selepas menjalani beberapa penggambaran filem, saya lebih mudah mesra dengan artis lain dan menjadikan mereka rakan saya.

“Kelebihan pengalaman yang mereka ada akan saya cungkil untuk dijadikan panduan buat saya pada masa depan selain mendapat nasihat daripada pelakon-pelakon senior,” ucapnya.

Debaran Sara

Jika dilihat profilnya, dia antara pelapis ratu filem Malaysia yang sedang meningkat naik. Malahan, tawaran berlakon filem juga diterimanya tanpa henti.

Selepas filem Jangan Pandang-Pandang, Sara akan memberi fokus kepada sebuah filem epik yang masih dirahsiakan judulnya.

“Sekarang kami dalam proses latihan dan bacaan skrip. Apa filemnya dan dengan siapa saya berlakon, masih belum boleh diberitahu. Apa yang boleh saya beritahu kemungkinan besar filem itu akan menjalani penggambaran sekitar bulan Jun atau Julai nanti,” katanya.

Sungguhpun jadual harian padat dengan penggambaran, hatinya tidak tenang kerana bimbang dengan reaksi yang bakal diterimanya selepas filem pertamanya Penunggu Istana akan ditayangkan pada 21 April.

“Memang saya berlakon banyak filem tetapi saya sangat risau dengan reaksi orang yang akan menonton filem pertama saya.

“Filem itu juga akan menentukan kredibiliti saya sebagai pelakon. Sebelum ini, pengarah dan penerbit mengambil saya berlakon menerusi uji bakat dan kepercayaan mereka terhadap saya.

“Jika penonton merasakan lakonan saya di dalam filem Penunggu Istana bagus, maka masa depan saya dalam dunia lakonan agak cerah, jika tidak saya harus lebih berusaha untuk memberi yang terbaik,” luahnya lagi.