Showing posts with label Caroline Mentor. Show all posts
Showing posts with label Caroline Mentor. Show all posts

Wednesday, August 8, 2012

Caroline Mula Terikut Tabiat Ella


PETALING JAYA: Juara program Mentor musim keenam, Caroline semakin terikut-ikut dengan Ella yang lebih gemar duduk di rumah jika tidak melakukan sebarang aktiviti.
Caroline atau nama sebenarnya Puteri Caroline Mohd Kamel berkata, dia yang kini tinggal bersama mentornya itu turut terpengaruh dengan sikap dan personaliti penyanyi popular tersebut.
"Kak Ella gemar menghabiskan masa di rumah apabila dia tidak mempunyai sebarang aktiviti dan saya mula terbiasa dengan tabiatnya itu.
"Bagaimanapun kami sering melakukan pelbagai aktiviti di rumah bagi mengelakkan daripada kebosanan," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Caroline berkata, walaupun personaliti Ella kelihatan manja tetapi sebenarnya penyanyi lagu Permata Biru itu sangat bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap orang lain.
Ia merupakan sifat tersembunyi ratu rock negara itu yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat dan peminatnya.
"Mungkin apa yang orang nampak mengenai dirinya bukan mewakili siapa dia yang sebenarnya kerana Ella adalah seorang wanita yang sangat sensitif dan sentiasa mengambil berat terhadap orang lain," katanya.
Sementara itu, Caroline sedang menunggu untuk single pertamanya yang berjudulMelawan Arus Cintamu dimainkan di stesen radio tempatan dalam masa terdekat ini.
Dia juga tidak sabar untuk melihat reaksi pendengar terhadap lagu ciptaan komposer terkenal, Ajai itu.

Monday, April 2, 2012

Mentor 6: Caroline Tidak Tumpang Aura Ella


SHAH ALAM: Ratu rock negara, Ella menegaskan kemenangan protegenya Caroline pada konsert pertama kumpulan B dalam program Mentor musim keenam bukan dipengaruhi oleh aura dan pesonanya.

Ella berkata auranya sebagai bintang rock negara tidak mencukupi jika Caroline sendiri gagal mempamerkan mutu persembahan yang baik.

"Aura saya sahaja tidak cukup jika Caroline tidak buat persembahan yang baik. Ia memerlukan keseimbangan daripada kami untuk disukai oleh juri dan penonton.

"Apa pun, dia telah memukau saya dalam persembahannya. Saya gembira kerana dia berpotensi besar dan versatil," katanya ketika ditemui mStar Online, di sini, malam Ahad.

Caroline atau nama sebenarnya Puteri Caroline Mohd Kamel, 20, mengungguli kumpulan itu dengan 71 peratus markah pada persaingan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam Ahad.

Menyusul di belakangnya adalah protege Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) iaitu Zatul sebanyak 54 peratus manakala Adam dan protegenya, KJ mengutip 52 peratus.

Caroline pula berkata dia sudah berusaha menampilkan persembahan terbaik mengikut kemampuannya dan bukan bersandarkan pada pesona mentornya itu bagi meraih perhatian.

"Saya masih belum beri sepenuhnya pada malam ini (Ahad). Masih banyak yang perlu saya keluarkan pada persembahan akan datang tetapi saya seronok," katanya.

Gadis dari Tanah Merah, Kelantan itu menyampaikan lagu Cinta Di Hujung Jalan nyanyian asal Agnes Monica untuk persembahan solo dan tampil berduet bersama Ella dalam lagu Rindu.

Zatul mendendangkan lagu solo Ketulusan Hati (Anuar Zain) dan berduet dengan mentornya Ogy menerusi Wajah Rahsia Hati.

KJ pula menyampaikan lagu solo One In A Million (Neyo) dan duet bersama Adam dalam lagu Breakdown (Kim Hyun Joong).

Kesemua protege mengalunkan rangkaian lagu medley bagi segmen penghargaan kepada komposer Azmeer menerusi lagu Langit Ketujuh, Cinta Adam dan Hawa dan Tiga Malam Tanpa Bintang pada persembahan penutup.

Format pengiraan markah bagi musim ini masih kekal iaitu 50% daripada juri profesional, 30% (SMS) dan 20% (juri awam).

Mentor 6 yang masih diacarakan oleh Ally Iskandar Mohd Mardzi dan Nas Ahmad disiarkan secara langsung pada setiap Ahad, pukul 9 hingga 10.30 malam di TV3.