Showing posts with label Memey Suhaiza. Show all posts
Showing posts with label Memey Suhaiza. Show all posts

Saturday, January 12, 2013

Memey Tercuit Dengan Gelagat Norman Menjelang Kelahiran Anak

Memey dijangka melahirkan anak pada 20 Feb 2013

KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza mengakui tercuit hati dengan gelagat dan debaran yang dialami suaminya aktor Norman Hakim menjelang kelahiran bayi sulung mereka dijangka pada 20 Februari depan.
Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 27, berkata, sikap kalut Norman yang terlalu gelisah mengenai persiapan kelahiran anak lelaki mereka itu melebihi kebimbangannya sendiri yang pertama kali bakal bersalin.
“Saya okey sahaja. Tidak terfikir atau bayangkan apa-apa pun tapi abang (Norman) yang nampak lebih bimbang.
“Mungkin kerana pengalamannya bergelar bapa sebanyak tiga kali sebelum ini membuatkan dia bimbang untuk sambut kelahiran anak kami nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Ditanya mengenai persiapan terakhir menjelang kelahiran itu, Memey berkata, segala persiapan pakaian dan pemilihan beberapa nama sudah disenarai pendekkan.
“Kami sudah ada dua atau tiga nama pilihan cuma belum putuskan yang mana satu sahaja.
“Abang juga sudah selidik banyak info di Internet dan buku-buku mengenai kelahiran anak kami,” katanya.
Dalam pada itu, Norman berkata, perasaan panik menjelang kelahiran itu adalah perkara lazim yang dihadapinya sejak anak pertama lagi.
“Dari anak pertama lagi saya memang berdebar dan panik. Saya rasa pengalaman menyambut kelahiran anak-anak yang membuatkan saya begitu.
“Sebab itu saya berasa tidak tenang dan takut untuk menunggu kelahiran Memey nanti kerana saya perlu bersedia,” katanya yang merancang untuk menjemput keluarga Memey menemani aktres itu pada hujung Januari ini.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Norman dan Abby Abadi dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4.
Pasangan itu bercerai pada 18 Disember 2008.

Friday, August 5, 2011

Tajaan RM12 juta dan rumah tangga Norman, Memey


SAYA mengucapkan tahniah kepada pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza kerana dua perkara. Pertama, apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Jumaat lalu membebaskan dan melepaskan mereka atas tuduhan berkhalwat yang terjadi tiga tahun lalu.

Perkara kedua apabila mereka akhirnya membuat pengakuan rasmi akan bernikah pada 24 September depan.

Majlis resepsi akan diadakan secara gilang-gemilang mengalahkan perkahwinan diraja pada 28 September di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur. Kedua-duanya mendapat tajaan RM12 juta daripada syarikat barangan kemas dan juga butik pakaian pengantin.

Wow... jumlah yang cukup banyak untuk selebriti seperti Norman dan Memey. Perkahwinan pertama Norman dengan Abby Abadi tidak cecah pun jumlah itu.

Saya gembira dengan sebuah perkahwinan. Ia satu petanda akan kesetiaan ikatan cinta yang diakhiri dengan ijab kabul.

Norman melalui detik-detik yang cukup hebat dalam kehidupan rumah tangganya. Perkahwinannya dengan Abby dicemari apabila mereka menyembunyikan majlis pernikahan yang diadakan di Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur secara sorok-sorok.

Selepas itu, rumah tangga mereka hancur berkecai kononnya Memey dikatakan menjadi penyebab.

Memey pun sama. Pada mulanya kata Memey, Norman hanyalah seperti abang angkat. Akhirnya mereka ditangkap atas tuduhan khalwat dan seterusnya menjadi pasangan kekasih sebelum mengumumkan untuk bernikah.

Sebenarnya menjadi seorang bernama Norman Hakim dan Memey bukannya senang. Mereka melalui banyak cabaran dalam hidup sebelum disatukan di alam rumah tangga.

Dan cabaran terbaru pula apabila mereka menerima tajaan bernilai RM12 juta untuk perkahwinan mereka. Saya sedikit pun tidak kisah dengan tajaan itu. Kalau dah ada orang nak taja, buat apa hendak ditolak. Paling tidak, bolehlah juga jimat duit.

Tapi cabaran yang paling hebat bagi seseorang yang menerima tajaan untuk majlis bahagia mereka ialah bagaimana hendak mempertahankan rumah tangga. Itu perkara penting.

Malah kalau diberi RM1 bilion pun, ia tetap juga tidak bermakna jika sesebuah perkahwinan gagal untuk dipertahankan.

Nilai sebuah kebahagiaan bukan boleh diukur dengan wang ringgit tetapi bagaimana pasangan suami isteri itu mampu menjadi contoh yang baik untuk anak cucu, cicit mereka.

Perkahwinan Norman dan Memey akan bernilai lebih daripada RM12 juta jika mereka dapat mengharungi ujian dalam rumah tangga dengan baik sehingga ke akhir hayat. Itulah yang perlu Norman dan Memey buktikan dan bukannya tenggelam dengan kehebatan dek tajaan bernilai RM12 juta.

Saya mendoakan agar Norman dan Memey bahagia buat selama-lamanya. Saya mahu lihat mereka menjadi suami isteri contoh selepas melalui macam-macam pahit maung kerana pengalaman yang sudah mereka tempuhi itu.

Norman-Memey Bebas Tuduhan Khalwat


PASANGAN pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza yang akan melangsung perkahwinan pada 24 September ini dibebaskan daripada tuduhan khalwat, yang dihadapi sejak tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Salehan Yatim membuat keputusan itu pada Jumaat lalu, tanpa mendengar pembelaan mereka, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan prima facie terhadap pertuduhan.

Hasnah Haron Meninggal Dunia

Penyanyi veteran, Hasnah Haron, 64, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Baru pada pukul 8 pagi Isnin lalu akibat penyakit kanser pangkal rahim.

Menurut anak sulungnya, Haslinda Mohd Eunos, 39, Allahyarham menghidap kanser tersebut sejak dua tahun lalu sehingga merebak ke paru-paru.

Thursday, March 24, 2011

Norman, Memey enggan tertekan


TIDAK mahu lagi menoleh ke belakang mengenangkan ribut kontroversi yang pernah menggoncang kehidupan mereka, pasangan ini sebaliknya mengakui sedang bahagia dalam meniti episod cinta dengan tenang.

Selepas menamatkan spekulasi dengan mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu, Norman Hakim, 34, dan Suhaiza Suhaimi, 22 atau Memey sudah pasti sedang giat merancang untuk hari bahagia mereka berdua.

“Persediaan betul-betul belum lagi, tetapi (sedang) menuju ke arah itu adalah sikit-sikit. Buat masa ini, kami masih belum tetapkan masa dan tarikh yang sesuai untuk melangsungkan perkahwinan.

“Bila sudah betul-betul bersedia dan semua persiapan sudah lengkap, kami akan beritahu tarikh tersebut,” ujarnya sambil melemparkan senyuman.

Meneruskan bicara, Memey meluahkan ada sebab kenapa dia dan Norman enggan meletakkan sebarang tarikh atau tempoh masa untuk melangsungkan perkahwinan mereka.

“Bila sudah letak tarikh atau tempoh masa untuk ke arah itu (berkahwin) dan akhirnya ia tidak berlaku, orang pasti akan bertanya. Jadi, lebih baik kami tidak berbuat demikian.

“Saya tidak mahu nanti ia akan jadi isu dan buah mulut orang. Kami akan memberi pengesahan tarikh selepas semuanya sudah betul-betul pasti,” ujar pelakon kelahiran Johor itu.

Bukan tidak mahu hari bahagia itu menjelma dengan kadar segera, tetapi Memey mahu membuat persiapan yang kemas dan rapi untuk dirinya sendiri sebelum bergelar isteri.

Tambahnya, dia perlu mempersiapkan diri 100 peratus sebelum bergelar raja sehari.

“Banyak persediaan yang perlu dilakukan. Bukan hanya luaran, tetapi dalaman diri saya untuk bergelar isteri juga perlu diambil kira. Selepas semuanya okey, barulah akan ke tahap itu (berkahwin).

“Secara jujurnya, saya juga belum lagi memikirkan konsep serta tema perkahwinan secara terperinci. Saya tidak mengharapkan perkahwinan kami akan menjadi Wedding of the Year.

“Biarlah ia meriah dan sederhana kerana apa yang paling penting ialah ikatan yang sah itu sendiri,” katanya yang mengenakan busana rekaan Hazwani Osman pada malam gala Rafflesia dan Mandalay di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apabila diajukan soalan mengenai kontroversi lampau, Memey yang pada mulanya hanya tersenyum dan diam seketika ibarat sedang mengumpul semangat untuk memulakan bicara.

“Buat masa ini alhamdulilah. Semua berjalan dengan baik. Saya tidak mahu lagi memandang ke belakang. Saya juga akui karier saya bertambah baik.

“Perjalanan hidup semakin tenang dan apabila sudah termeterai ikatan, saya harap semuanya akan bertambah baik dan sempurna,” luahnya yang akan meletakkan karier di tangga kedua kerana mahu fokus kepada keluarga.

Selepas agak lama berdiam diri dan hanya tersenyum mendengar bicara si jantung hatinya itu, Norman akhirnya bersuara menjelaskan situasi tentang isu persandingan mereka.

“Sebelum-sebelum ini menjelang pertemuan dengan media, daripada 10 soalan, satu soalan akan menjurus kepada benda yang sama (berkahwin) terutama selepas kami telah selamat bertunang.

“Kami pun faham dan reda, malah sudah tetapkan minda kami bahawa soalan sedemikian akan kerap ditanya. Kami tidak mahu terlalu tertekan dengan sentimen bila akan berkahwin.

“Jujurnya kami seperti orang lain juga mahukan privasi, tetapi pada masa yang sama, saya tahu ia sudah menjadi rencah artis. Perkara sudah termaktub dan bila sampai jodoh, kahwinlah kami,” jelasnya tanpa berselindung.

Mengenai karier Memey selepas bergelar isteri, Norman mengakui dia seorang yang fleksibel dan tidak akan menyekat kehendak bakal isterinya itu.

“Dia sudah besar panjang. Semuanya bergantung kepada kesesuaian dan keserasian. Bila sampai masa nanti, dia sendiri boleh fikir dan perkara itu akan lahir secara sendiri,” luahnya yang kelihatan segak mengenakan persalinan rekaan butik terkenal, Lord’s Tailor.

Saturday, January 29, 2011

Memey Sahkan Nikah Norman Hujung Tahun Ini


KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza dan pasangannya Norman Hakim mengesahkan untuk bernikah hujung tahun ini.

Menurut Memey, dia dan Norman mula membuat persiapan perkahwinan termasuklah membeli barangan untuk majlis itu di Bandung, Indonesia, beberapa hari lalu.

"Setakat ini persiapan perkahwinan kami baru saja 40 peratus siap.

"Kami juga telah ke Bandung bersama beberapa ahli keluarga untuk mencari kain, kad perkahwinan serta barangan perkahwinan lain.

"Sebenarnya persiapan itu dibuat sedikit demi sedikit agar tidak kelam kabut nanti, memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon.

"Alhamdulillah, saya gembira kerana selepas pelbagai dugaan berlaku, akhirnya saya akan bergelar isteri kepada Norman," kata Memey yang ditemui ketika penggambaran drama Bola Cinta di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, Jumaat.

Tambah Memey, dia berharap agar segala perancangan yang dibuat mereka berjalan lancar.

Malah Memey mengimpikan perkahwinannya nanti berkonsepkan ala taman.

"Kalau boleh saya nak majlis kami meriah, tetapi kami belum tetapkan tema warna yang sesuai. Syukur alhamdulillah, kami juga ditawar oleh beberapa penaja untuk menguruskan perkahwinan kami.

"Apa-apa pun, saya harap, selepas kami berkahwin, tiada lagi kontroversi atau timbul masalah lain," katanya yang sudah pun menjalani kursus perkahwinan.

Mereka bertunang pada 13 September 2010 .

Memey turut membintangi drama Bola Cinta bersama pelakon Ryzal Jaafar, Ainul Aishah dan Aidil Aziz dibawah terbitan Nafalia Corporation.

Drama yang telah pun memasuki musim kedua itu akan ditayangkan pada hujung bulan Mac di saluran TV2.

Saturday, July 25, 2009

Biodata & Gambar Memey Suhaiza



NAMA SEBENAR: Suhaiza Suhaimi
TARIKH LAHIR: 25 Mac 1988
TEMPAT LAHIR: Hospital Kota Tinggi, Johor
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PROFESION: Model, pengacara, pelakon
STATUS: Bujang
DRAMA TV: Antaranya – Rahsia Sebuah Pengorbanan, Kalau Kasih Masih Ada, Jaringan, Karipap Istimewa, Pontianak Air Jernih.
PENGACARAAN: Diari Anak Seni Musim 4 & 5