Showing posts with label Sarimah. Show all posts
Showing posts with label Sarimah. Show all posts

Friday, December 2, 2011

Sarimah Akui Sudah Dua Tahun Intim Dengan Lelaki Perancis


PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim mengakui sedang menjalin hubungan intim dengan lelaki warga Perancis bernama Guillaume sejak dua tahun yang lalu.

Pelakon filem Apokalips itu berkata mereka hanya menjadi rapat sejak lelaki berusia 34 tahun itu menetap di Kuala Lumpur.

“Saya sudah lama kenal dengannya, sejak lapan tahun lalu kerana dia memang menetap di Asia sebelum ini. Bagaimanapun, sebelum ini kami sekadar bertegur sapa begitu saja dan hanya kawan biasa.

“Hubungan kami menjadi semakin rapat kira-kira dua tahun selepas dia (Guillaume) berpindah ke Kuala Lumpur,” katanya kepada mStar Online.

Apabila ditanya adakah lelaki tersebut bakal menjadi calon suaminya selepas dia melalui keruntuhan rumah tangga hampir tiga tahun lalu, Sarimah berkata pada peringkat ini adalah terlalu awal untuknya mengulas lanjut tentang hubungan mereka.

“Saya senang dan selesa berkawan dengannya tapi sejujurnya saya tidak pasti jika dia adalah lelaki paling tepat untuk menjadi calon suami.

“Saya berserah kepada Allah, jika dia adalah calon terbaik saya terima dengan hati yang terbuka.

“Apa pun, hanya masa yang akan menentukan siapa pasangan terbaik yang telah ditakdirkan untuk saya, insyaAllah,” katanya.

Menyentuh perkembangan terkini, Sarimah berkata, dia sedang menghabiskan proses penulisan buku berkaitan kesihatan mental dan dijangka akan menerbitkan buku itu tidak lama lagi.

Selain itu, pelakon yang kini berkecimpung dalam bidang keusahawanan ini juga berkata, syarikat produksinya Sarimah Sdn Bhd akan menerbitkan sebuah dokumentari tentang isu kesihatan mental di Malaysia pada tahun depan.

“Saya juga tidak sabar untuk menantikan kemunculan filem Apokalips arahan Mamat Khalid pada tahun depan.

“Berkemungkinan juga saya akan menyertai stesen radio di bawah AMP sebagai penyampai sepenuh masa bermula tahun baru ini,” katanya lagi.

Friday, May 6, 2011

Astro Tawarkan Sarimah Deejay Radio


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim, 33, sedang mempertimbangkan tawaran untuk bergelar penyampai stesen radio Mix FM atau Sinar FM.

Kata Sarimah, pihak pengurusan dua stesen radio di bawah AMP Radio Network itu sebenarnya sudah lama menawarkan peluang itu kepadanya tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran komitmennya sebagai pengacara untuk program Akademi Fantasia musim kelapan dan The Biggest Loser Asia musim pertama.

"Mereka sudah lama menawarkan peluang untuk menjadi penyampai radio tetapi saya belum memberi kata putus sebab ketika itu sedang sibuk dengan tugas sebagai pengacara.

"Saya anggap sekarang adalah waktu terbaik untuk menerima tawaran ini. Buat masa ini saya sedang menunggu kontrak sebelum membuat keputusan sama ada untuk ke Sinar FM atau Mix FM," katanya dalam satu pertemuan bersama mStar Online, Khamis.

Mengulas lanjut, pelakon yang bakal muncul dengan filem Apokalips pada hujung tahun ini berkata: "Saya tidak memilih apa juga slot siaran dan stesen yang dirasakan wajar, saya akan terima dengan hati terbuka.

"Memandangkan saya lebih aktif pada waktu tengah malam, menarik juga kalau berpeluang untuk ke udara pada waktu itu.

"Walau ke stesen mana sekali pun, saya bersedia untuk berkongsi pengalaman dengan pendengar khasnya wanita dan remaja."

Bercerita tentang tugas sebagai pengacara, Sarimah turut berkongsi keinginan untuk mengacarakan semula musim terbaru program The Biggest Loser Asia.

"Jika diberi peluang, memang saya teringin untuk mengacarakan semula program berkenaan.

"Apa juga kekusutan atau masalah yang timbul ketika saya mengacarakan musim pertama program itu sudah saya lupakan dan maafkan," katanya.

Wednesday, April 27, 2011

Sarimah Ibrahim Pernah Ditipu Cinta Siber


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim mengaku pernah kecewa gara-gara ditipu cinta siber menerusi laman sosial Facebook.

Menurut Sarimah dia tidak sangka dirinya mudah ditipu walaupun tahu tentang risiko meminati lelaki yang dikenali di Internet.

"Memang ramai yang datang dan ingin berkenalan secara lebih mendalam dengan saya. Tetapi mereka semua mahukan Sarimah Ibrahim yang berada di kaca televisyen dan bukannya diri saya sebenar.

"Bagaimanapun saya pernah kecewa gara-gara ditipu cinta siber. Kami berborak menerusi Facebook dan merancang untuk bertemu. Selamatlah saya tidak ke tempat yang dijanjikan untuk berjumpa.

"Sebaliknya saya hanya menunggu dia menelefon saya. Malang sekali, saya tidak dihubungi pun seperti yang disangka. Memang saya sedikit terkilan dengan lelaki itu," katanya.

Tambah Sarimah, kini dia sedang mengenali seseorang tetapi enggan bercerita lanjut mengenainya.

Sebaliknya, dia menyatakan hasrat untuk menjadi seorang ibu seperti rakan-rakannya yang lain.

"Sekarang ini naluri saya begitu teringin untuk menjadi seorang ibu, entahlah kenapa?

"Justeru, saya perlu mencari seorang teman hidup yang mempunyai impian yang sama seperti saya iaitu mahu menjadi seorang bapa. Dan ya, kini saya sedang mengenali seseorang," ujar Sarimah yang bakal muncul dalam pementasan teater Mak Dara Nyonya yang bakal berlangsung pada 6 hingga 12 Julai 2011.

Sementara itu, Sarimah juga sedang membuat perancangan untuk menerbitkan dua buah buku mengenai cara-cara menjadi seorang artis dan juga berkaitan dengan masalah-masalah wanita berdasarkan pengalaman yang dilaluinya.

Saturday, December 11, 2010

Sarimah Terpengaruh Fesyen Jepun




Muncul comel dan bertenaga, Sarimah berpenampilan baru menerusi rancangan kelolaannya 1.2..3... tukar! Jauh berbeza dengan imejnya sebelum ini, Sarimah mengakui terpaksa menjelajah ke Jepun, Hong Kong dan Thailand demi memenuhi tuntutan fesyen yang terbit dalam dirinya.

Menolak imej seksi sesuai dengan peningkatan usia, bagi Sarimah fesyen dan budaya selalunya berkiblatkan Barat.

"Saya menukar gaya rambut dan fesyen untuk program terbaru Astro berjudul 1.2..3... tukar!. Program ini berkisarkan impian dan saya bertanggungjawab mengubah penampilan peserta dan menunaikan harapan mereka. Saya akan muncul bersama Fitri yang ditugaskan sebagai perunding imej dan kami mempunyai van sendiri.

"Imej ini diinspirasikan daripada pengalaman saya di Jepun. Banyak budaya menarik dan pelik di sana yang kebanyakannya mengenai kegembiraan. Jika kita lihat program mereka, semuanya ceria dan penuh bertenaga dan itu yang cuba saya bawa dalam program terbaru ini.

"Saya try mix and match fesyen Jepun yang sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia. Selalunya kita lebih melihat fesyen di barat yang kebanyakannya seksi. Apa salahnya jika kita alihkan pandangan dengan melihat fesyen masyarakat Asia yang dekat dengan budaya kita," ujarnya yang menggemari fesyen

Sarimah Ibrahim Mengaku Tidak Boleh Menyanyi Lagu Sendiri

PETALING JAYA: Pengacara dan penyanyi Sarimah Ibrahim mengakui tidak boleh menyanyikan semula lagu-lagu dari album pertamanya berjudul Kini Kau Tiada.

Menurut Sarimah, setelah 10 tahun meninggalkan bidang nyanyian suaranya kini sudah berubah menjadi lebih matang.

“Saya tidak boleh membawa lagu-lagu lama kerana suara saya kini sudah berubah menjadi lebih besar. Lagu-lagu lama memerlukan saya menjerit dan bernada tinggi

“Mungkin dengan peningkatan umur menyebabkan suara saya turut berubah. Jika ada permintaan menyanyi saya lebih selesa membawakan lagu-lagu nyanyian penyanyi lain,” ujarnya.

Jelas Sarimah, dia juga sedang mengikuti kelas vokal daripada Siti Hajar bagi mendapatkan teknik nyanyian yang betul.

“Saya juga ada mendapat undangan nyanyian dari situ saya rasa perlu menghadiri kelas vokal. Justeru saya mengikuti kelas vokal dari cikgu Siti Hajar.

“Dari situ juga saya mengetahui teknik nyanyian yang betul dengan suara kini,” katanya yang sedang dalam perancangan untuk kembali menyanyi.

Bagaimanapun, Sarimah memberitahu ramai peminatnya yang mahu dia kembali semula ke bidang nyanyian. Malah dia sendiri sedang dalam perancangan ke arah itu.

“Walaupun sudah 10 tahun berlalu, masih ada yang meminta saya menyanyikan lagu-lagu seperti Kini Kau Tiada dan Damai.

“Peminat juga sering bertanyakan tentang lagu baru saya, tapi sejak 10 tahun lalu saya rasakan terlalu banyak penyanyi baru yang muncul dan rezeki saya bukan di bidang tersebut.

“Namun Insya-Allah saya akan keluar dengan lagu baru bagi mengubati peminat dan secara tidak langsung saya juga boleh menyanyikan lagu sendiri apabila menerima undangan nyanyian,” katanya.

Diusik dengan pertanyaan mengenai jodoh, Sarimah memberitahu dia kini lebih selesa bersendiri.

“Saya rasa saya bukan seorang yang bertuah dalam sebuah hubungan percintaan. Bukan saya tidak mahu tetapi ada sahaja dugaannya.

“Buat masa ini biarlah saya bercinta dengan diri sendiri dan kerjaya sahaja,” jelasnya.