Showing posts with label Intan Ladyana. Show all posts
Showing posts with label Intan Ladyana. Show all posts

Wednesday, March 30, 2011

Intan Ladyana Nafi Bersekedudukan Dengan Kamal Adli


PETALING JAYA: Aktres Intan Ladyana Mohamad Yahaya, 28, menafikan dakwaan tinggal serumah atau bersekedudukan dengan kekasihnya aktor Kamal Adli di sebuah kondominium di Ampang, Selangor.

Kata pelakon yang mesra disapa Intan itu, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana hakikatnya mereka tinggal berasingan.

"Dakwaan yang mengatakan saya tinggal serumah dengan Kamal adalah tidak betul sama sekali. Kamal tinggal bersama keluarganya.

"Memang tidak betul sangatlah kalau ada yang mendakwa kami tinggal bersama macam pasangan suami isteri," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Mengakui Kamal kerap berkunjung ke rumahnya untuk berjumpa atau keluar bersama, Intan bagaimanapun berkata, aktor itu hanya menunggu di bawah dan jarang masuk ke rumah kecuali atas hal-hal tertentu atau kecemasan.

"Saya tidak menafikan Kamal selalu datang tetapi tidaklah sampai masuk ke rumah, apatah lagi untuk tidur bersama pula.

"Kebiasaannya dia akan tunggu di bawah sahaja. Kalau pun keadaan memaksa dia untuk masuk ke rumah, kami tidak akan berdua-duaan. Pasti ada pembantu peribadi saya atau rakan-rakan lain juga," katanya.

Tambah pelakon filem Kembar Siang itu, dakwaan tersebut mungkin timbul kerana jiran-jirannya sering melihat kelibat Kamal berkunjung di kawasan kediamannya.

Tanpa mengetahui cerita yang sebenar, segelintir pihak mudah membuat tanggapan dan andaian masing-masing dengan menyebarkan cerita tersebut.

"Inilah masalahnya apabila orang mudah membuat andaian masing-masing tanpa mengetahui cerita sebenar. Namun, saya tidak kisah sebab perkara itu tidak berlaku," katanya.

Menyentuh perkembangan terbarunya, Intan baru sahaja menyambung kontrak sebagai pengacara untuk musim baru program Chopp!!! yang bersiaran di TV9.

Monday, February 7, 2011

Intan Ladyana Tak Sedia Bawa Kamal Jumpa Keluarga


PETALING JAYA: Pelakon Intan Ladyana mengakui belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga atau mengikat tali pertunangan bersama kekasihnya pelakon Kamal Adli.

Malah menurut Intan, dia belum berkesempatan memperkenalkan kekasihnya itu kepada keluarga biarpun sudah dua tahun bercinta.

“Bukan saya tidak mahu bawa Kamal jumpa dengan keluarga tetapi kami tidak mempunyai masa yang betul-betul sesuai lagi. Kami masing-masing sibuk kerja dan sudah sebulan tidak berjumpa.

“Dalam tempoh setahun ini tiada apa-apa perancangan untuk mengikat hubungan ini ke arah yang lebih serius,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Intan dia tidak menafikan keluarga tahu tentang hubungan mereka.

“Keluarga saya tahu hubungan kami, mereka ada juga bertanya tentang Kamal tetapi mereka tahu saya belum bersedia untuk berkahwin lagi.

“Mereka juga tidak pernah mendesak saya untuk berkahwin atau bertunang pada waktu ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia kini lebih menumpukan sepenuh perhatian kepada lakonannya.

Bercerita tentang perkembangan lakonannya, Intan yang sedang menjalani penggambaran filem Bina-Bini Ku Gengster ini mengakui lebih memilih watak.

“Saya mahu watak yang saya bawa boleh menimbulkan kesan kepada penonton. Kalau boleh juga ia biarlah berbeza.

“Saya tidak mementingkan drama atau filem apa yang akan saya lakonkan tetapi lebih kepada watak yang mereka tawarkan kepada saya,” katanya.

Tambah Intan, dia mahu penonton menilai bakat lakonan melalui karakter yang dibawanya dalam sesebuah cerita.

“Sehingga kini masih ada yang masih marah dengan saya kerana watak jahat dalam Jelatang. Ini bermakna watak jahat tersebut berkesan,” ujarnya yang kini dilantik sebagai duta baru bagi produk kosmetik Shurah.

Thursday, November 11, 2010

"Saya Tidak Diraba" - Intan Ladyana


PETALING JAYA: Pelakon Intan Ladyana menjelaskan dia tidak diraba oleh sesiapa ketika menyertai program Jom Heboh anjuran TV3 di Pulau Pinang minggu lalu seperti yang didakwa dalam sebuah blog hiburan.

Bagaimanapun, dia mengaku ada membawa tabung untuk mengutip derma daripada orang ramai bagi membantu mangsa bencana banjir anjuran stesen televisyen itu

“Saya juga terkejut blog berkenaan mengatakan bahawa saya diraba ketika sedang membawa tabung untuk mengutip derma mangsa banjir di Kedah.

“Jika saya diraba sudah tentu saya dapat rasakan perbuatan itu ataupun pembantu peribadi saya juga melihat perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.

Jelas Intan, perkara tersebut hanya sekadar khabar angin atau gurauan penulis blog berkenaan semata-mata.

“Tiada siapa yang kena raba dalam program itu. Mungkin ada pihak yang nampak saya macam kena raba tapi sebenarnya ia tidak berlaku seperti yang didakwa,”ujarnya yang kini sedang menjalani penggambaran drama di Pulau Aman, Pulau Pinang.

Intan bakal membintangi drama terbaru slot Akasia menggantikan drama Chinta yang akan bermula pada 18 November ini.

Drama tersebut juga membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Kamal Adli, Cat Farish dan Aida Khalida.