Wednesday, May 30, 2012
Pengikut Twitter Jaclyn Victor Meningkat 10,000 Dalam Masa Dua Hari
Jaclyn berkata, dia tidak menyangka kemunculannya sebagai juri dalam program Indonesian Idol di Jakarta pada minggu lalu itu telah memberikan kesan kepada kerjayanya di negara tersebut.
"Sebagaimana yang kita tahu bukan mudah menembusi pasaran di Indonesia dan peningkatan jumlah pengikut Twitter yang kebanyakannya daripada rakyat negara itu adalah satu petanda baik untuk saya.
"Bagaimanapun itu tidak bererti saya boleh mendabik dada kerana tidak pernah ada jalan mudah untuk kita berjaya di luar sekiranya tidak disertakan dengan usaha," ujarnya.
Jaclyn ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran album runut bunyi filem 29 Februari di sini pada Rabu.
Tambah Jaclyn, sebelum berangkat ke Jakarta pada 23 Mei lalu, pengikut di Twitter miliknya adalah sebanyak 76, 567 dan selepas pulang ke tanah air pada 27 Mei lalu ia meningkat kepada 86,567.
Sementara itu menurut Jaclyn, selain Indonesian Idol dia juga turut diundang menjadi tetamu dalam program Love, Life & Music - Ahmad Dhani yang turut mempunyai peminat tersendiri.
"Kemunculan dalam program-program popular itu telah banyak membantu memperkenalkan nama saya sekali gus mendapat pengikut baru.
"Pelbagai pengalaman juga dapat saya kutip sepanjang berada di Jakarta dan nyata bukan mudah untuk mencipta nama di kalangan peminat muzik negara itu," ujarnya. Dalam pada itu Jaclyn memberitahu dia teruja dengan single terbarunya berjudul Jagalah Diri ciptaan Edry Abdul Halim yang turut dijadikan sebagai lagu tema filem 29 Februari lakonan Remy Ishak.
Walaupun pada mulanya sukar untuk merakamkan lagu tersebut namun dia berbangga dengan hasil karya itu dan berharap ia akan diterima oleh peminat.
"Sukar merakamkan lagu itu kerana jiwa saya seperti tidak sampai untuk mendalami lirik dan melodinya namun selepas menonton babak Remy menyanyikan lagu itu, saya sebak dan berjaya mendapatkan 'mood' seperti dikehendaki oleh Edry," ujarnya.
Saturday, November 27, 2010
Jaclyn Tak Harap Pergi Jauh Dalam Bidang Lakonan

PETALING JAYA: Penyanyi Jaclyn Victor menyatakan perasaan kurang yakin terhadap bidang lakonan yang diceburinya kini akan pergi lebih jauh.
Jelas Jac, ramai pelakon baru yang lebih layak dan mampu untuk memegang pelbagai watak berbanding dirinya yang hanya boleh mampu memegang watak gadis India.
“Wajah saya hanya sesuai sebagai watak gadis India, jadi saya rasa peluang untuk pergi lebih jauh agak kurang.
“Tak kan pula ada pengarah yang akan membuat satu watak India untuk saya di setiap filem, lain lah jika wajah saya ada kacukan mukin lebih mudah untuk setiap watak,” katanya yang baru keluar dengan filem arahan Afdlin Sauhki berjudul Appalam.
Bagaimanapun, menurut Jac, lakonan merupakan cabang baru bagi dirinya. Biarpun tidak mengharapkan akan pergi lebih jauh, namun dia tetap mencuba untuk memberikan yang terbaik.
“Masih banyak yang perlu saya pelajari dalam bidang ini. Saya berterima kasih kerana diberi peluang untuk berlakon.
“Jika diberi pilihan saya lebih berminat untuk berlakon teater kerana ia benar-benar memberi kepuasan.
“Bagaimanapun sebagai anak seni saya hanya mencuba pelbagai bidang, tapi fokus utama masih lagi dalam bidang nyanyian,” ujarnya yang bakal keluar dengan album terbaru berjudul Tiga Suara.
Kata, Jac dia kini masih menunggu album gabungan tiga suara iaitu bersama Ning Baizura dan Shila OIAM.
Album yang memuatkan sembilan buah lagu baru itu akan menampilkan kolaborasi suara ketiga-tiga artis tersebut.
“Album tersebut sudah siap dan akan dilancarkan tidak lama lagi. Album kali ini lebih istimewa kerana kali pertama gabungan suara artis dimuatkan dalam sebuah album,” ujarnya.
