Showing posts with label Sheila Majid. Show all posts
Showing posts with label Sheila Majid. Show all posts

Thursday, April 5, 2012

Pengakuan terbuka Sheila Majid


RATU Jazz negara, Datuk Sheila Majid, 47, membuat pendedahan secara terbuka bahawa kebanyakan lagu yang dicipta pada zaman ini tidak melekat di jiwanya dan mudah dilupakan kerana melodinya kedengaran serupa dengan lagu-lagu yang lain.

Disebabkan itu dia mengakui perlu bersikap cerewet memilih lagu biarpun perlu mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan lagu baharu. Sikap cerewet Sheila itu juga menjadi bukti mengapa dia masih bertahan dalam industri muzik sehingga kini.

“Jika saya bawa kereta dari rumah ke destinasi sambil dengar radio, tak ada satu lagu pun yang boleh diingat. ‘It’s all can easily forgettable’. Bukan nak kata saya sudah tua tetapi lagu-lagu sekarang kebanyakannya tidak ada jiwa. Ia lebih kepada tempo semata-mata. Kenapa lagu-lagu dulu masih diterima sehingga kini sebab ia ada jiwa dan mampu memberi impak kepada pendengar sekali gus menyebabkan penyanyi itu bertahan sehingga kini.

“Sejak dua tahun lalu saya masih tercari-cari dan menunggu untuk dapatkan lagu yang benar-benar kuat dari segi melodi dan juga lirik tetapi tiada,” ujarnya jujur selepas sidang akhbar sempena minggu setiausaha, A Day with Living Legend - Sheila Majid di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur.

Akuinya, dia banyak menerima lagu daripada pelbagai komposer tetapi sukar untuk membuat pilihan kerana lagu yang diterima tidak begitu kena dengan jiwanya.

“Saya memang selektif dalam pemilihan lagu sejak dari dulu lagi. Ada yang lirik okey tapi tak kena dengan melodi. Kedua-dua perlu seimbang. Kalau boleh saya mahu lagu yang boleh menarik jiwa pendengar,” jelasnya.

Yuna dan Najwa

Namun begitu, walaupun Sheila menyelar generasi masa kini dunia muzik tempatan, namun dia penuh berkeyakinan terhadap dua penggiat muzik muda, Najwa Mahiaddin dan Yuna.

Berkongsi cerita, Sheila mengakui pernah meminta lagu daripada dua komposer muda iaitu Najwa Mahiaddin dan Yuna kerana tertarik dengan kebolehan mereka menulis dan mencipta lagu dengan baik.

“Yuna dan Najwa terkejut apabila saya minta mereka buat lagu untuk saya. Mereka ingat saya bergurau. Hakikatnya mereka benar-benar berbakat dan sebab itulah saya ingin bekerjasama dengan mereka,” ungkapnya.

Ujar Sheila, seseorang penyanyi itu juga tidak semestinya menerima bulat-bulat lagu yang diberikan oleh komposer, sebaliknya perlu dengar dan buat perubahan agar lagu tersebut menjadi lebih menarik.

Sheila juga menyelar penyanyi-penyanyi sekarang yang kebanyakannya lebih banyak menjerit daripada menyanyi.

“Cara nyanyian juga penting. Ia patut sedap didengar. Penyanyi sekarang bukan menyanyi tetapi menjerit-jerit,” katanya yang bakal muncul dengan album terbaharunya tidak lama lagi.

Menurut Sheila lagi, terdapat sebuah lagu Indonesia yang akan diberikan nafas baharu turut dimuatkan dalam albumnya nanti. Sheila juga akan muncul dengan single terbaharunya sebelum kemunculan album penuh.

Lagu rezeki

Ditebak soalan adakah dia bosan menyanyikan lagu yang sama berulang kali seperti Sinaran atau Ku Mohon pada setiap persembahannya, akui Sheila dia memang bosan.

Hakikatnya dia sedar lagu tersebut merupakan lagu ’rezekinya’ kerana ia menjadi pilihan pendengar peminat-peminatnya sehingga kini.

“Memang saya akui bosan menyanyikan lagu yang sama seperti Sinaran setiap kali persembahan tetapi terpaksa berbuat demikian demi peminat. Sinaran adalah lagu ‘rezeki’. Saya tidak boleh kata tidak untuk menyanyikannya. Jika saya tak nyanyikan lagu tersebut peminat akan marah,” akuinya.

Bercerita tentang konsert Legendary Concert 2012 yang akan berlangsung pada bulan Mei dan Jun ini, ungkap Sheila, dia sangat teruja untuk beraksi bersama tiga penyanyi hebat iaitu Amy Search, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin.

“Saya sangat teruja untuk buat persembahan dengan mereka. Saya akui banyak belajar dengan Zainal. Ketika itu dia masih dengan Headwind. Dia memang seorang penghibur yang bagus. Dia tak takut untuk bercakap ketika persembahannya.

“Menariknya, setiap apa yang dituturkan dirinya membuatkan penonton suka dan terhibur. Dia sangat berpengalaman. Amy pula, walaupun dia tak bercakap banyak masa persembahan tetapi bila dia buat persembahan, dia boleh jadi raksasa. Jamal pula tak perlu menyanyi pun orang sudah teruja tengok dia,” ungkapnya jujur.

Kongsinya, walaupun masa latihan suntuk kerana ia berlangsung pada hujung bulan ini namun dia tidak tertekan kerana pemuzik-pemuzik konsert tersebut sudah acap kali bersamanya ketika persembahan.

Konsert yang dinantikan untuk tahun ini juga dikatakan memberi keterujaan besar buat peminat empat legenda ini kerana hampir semua tiket VIP sudah habis dijual.

Konsert yang dibawakan oleh Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd. itu telah memilih lima lokasi berbeza iaitu di Stadium Larkin, Johor Bahru (5 Mei), Kota Kinabalu, Sabah (19 Mei), Kuching, Sarawak (26 Mei), Pulau Pinang (23 Jun) dan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Eksklusif Sheila

Dalam perkembangan lain, Sheila cukup teruja untuk mengadakan persembahan sempena sambutan minggu setiausaha di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini.

Bakal mengadakan persembahan selama 45 minit, turut berganding dengannya ialah pelawak dan pelakon Dee.

“Ini adalah kali pertama saya akan menyanyi di Menara Kuala Lumpur dan sudah ada beberapa idea untuk persembahan itu nanti,” kongsinya yang merupakan artis kedua yang mengadakan persembahan untuk Minggu Setiausaha di situ selepas Jamal Abdillah.

Sheila juga optimis biarpun harga tiket yang dikenakan agak tinggi ia mampu menarik bukan sahaja bos dan setiausaha malah peminat-peminatnya sendiri.

Hanya eksklusif menerima satu tawaran sahaja untuk Minggu Setiausaha, Sheila juga memberitahu, akan menyanyikan sebanyak tujuh buah lagu pada hari itu.

Bermula pada pukul 12 tengah hari, tiket untuk menyaksikan A Day with Living Legend - Sheila Majid dijual pada harga bermula RM500 sehingga RM6,500 (berkumpulan).

Monday, August 29, 2011

Gema Syawal Sheila Majid


RATU jazz negara, Datuk Sheila Majid, 46, masih cantik dalam usianya itu malah aura yang tersimpan dalam figura genit itu sungguh mempesonakan.

Hingga ke hari ini, namanya masih tersemat utuh dalam kalbu peminatnya yang menggemari stail, muzik dan identiti yang dibawanya sejak album sulung Dimensi Baru pada tahun 1985 lagi.

Kesempatan yang diberikan untuk Kosmo! berbicara dengan penyanyi kesayangan ramai itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membicarakan kemeriahan sambutan lebarannya selain ceritera terkini empunya nama Shaheila Abdul Majid atau serasi dengan panggilan Sheila Majid.

Bagi isteri kepada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hasridz Murshim Hashim Abdullah atau mesra disapa Acis itu, sepanjang hidupnya sambutan raya hanya berkisar di bandar raya Kuala Lumpur.

“Orang banyak tak tahu Kuala Lumpur memang kampung saya dan Acis, sejak lahir saya beraya di sini,” katanya.

Tambahnya, raya di kampung orang tidak sama dan semeriah menyambutnya di ibu kota Kuala Lumpur.

“KL (Kuala Lumpur) memang kampung saya, apa yang penting hari raya memberi peluang untuk berkumpul dan berjumpa sesama sanak saudara tak kisah di mana-mana sekali pun,” katanya yang menyelami makna sebenar hari raya dalam erti kata lebih jelas.

Ujar pelantun lagu Ku Mohon itu lagi, bulan Syawal juga peluang untuk mengeratkan hubungan dan tali persaudaraan sesama anggota keluarga.

“Kalau pagi raya, biasanya selepas pulang daripada sembahyang sunat Aidilfitri kami akan menyambutnya dengan ibu saya (Datuk Paduka Saadiah Adam, 86) dan ke rumah ibu mentua di Damansara.

“Kemudian, lebih kurang pukul 11 pagi kami akan pulang semula ke rumah dan menantikan keluarga tujuh adik-beradik saya yang lain datang ke rumah,” cerita figura yang masih tinggal bersama ibunya hingga kini.

Memilih rendang ayam ibunya sebagai juadah paling istimewa tatkala menyambut hari kemenangan umat Islam itu, Sheila turut berkongsi nikmat perayaan berkembar Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 pada tahun ini.

“Oleh kerana Syawal menjelang pada masa yang sama kita menyambut Hari Kemerdekaan negara, saya bersyukur dengan kedua-dua sambutan hari kemenangan ini yang disambut serentak dalam keadaan negara kita masih aman damai dan dilimpahi nikmat Yang Maha Esa,” ucapnya.

Menjelang sambutan Aidilfitri, ujar ibu kepada empat cahaya mata itu, segala persiapan dibereskan sejak minggu pertama berpuasa.

“Tahun ini warna tema keluarga saya ialah merah jambu, kalau baju raya saya akan dahulukan anak-anak dan rasanya tahun ini cukup sekadar sepasang baju raya pada hari raya pertama untuk saya,” cerita ibu kepada Wan Nur Khaleda, 20, Megat Abdul Majid, 17, Khadeja Zaireen, 7 dan Khalefa Laila, 4.

Album raya, konsert

Menjelang fasa terakhir bulan penuh barakah, Sheila juga tampil dengan album raya berjudul Memori Aidilfitri yang memuatkan sembilan buah lagu.

“Kebanyakan lagu yang terkandung dalam album raya itu digubah semula daripada lagu-lagu nostalgia Aidilfitri untuk mendekatkannya dengan jiwa generasi muda sekarang,” tuturnya.

Ini termasuk dua lagu raya nyanyian ratu jazz tanah air itu iaitu Hari Mulia dan Tiba Hari Mulia yang diberi nafas baru termasuk beberapa lagu hari raya yang dinyanyikan semula seperti Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Elina), Selamat Hari Raya dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini).

Selain itu, sebuah single terbaharu, Tiada Lagi turut terkandung dalam album itu yang sudah pun menemui pendengar di corong-corong radio pada minggu terakhir Ramadan.

Dalam pada itu, penyanyi jelita itu juga terlibat dalam persiapan untuk konsertnya di Sabah dan Perth, Australia menjelang akhir tahun ini.

Tiada konsert terbuka buat masa sekarang memandangkan tahun lalu Sheila terlalu sibuk dengan sambutan ulang tahun ke-25 tahun karier seninya, justeru yang ada hanya persembahan korporat.

“Pada hujung bulan September saya akan mengadakan konsert di Sutera Harbour, Sabah berkonsepkan teater dan persembahan korporat untuk Malaysian Chinese Chambers of Commerce dan kemudian di Ellington, Perth pada bulan Oktober pula,” jelasnya yang masih menjadi duta Institut Jantung Negara dan Prudential selain menjadi jurucakap produk Diamond Water Filter.

Sunday, May 29, 2011

Sheila Majid Mahu Bawa Jerneh Ke Timur Tengah


SHAH ALAM: Ratu Jazz Negara Datuk Sheila Majid berhasrat membawa produk rangkaian penjagaan kulit berjenama Jerneh by Sheila Majid di pasaran luar negara.

Kata Sheila, itu merupakan salah satu impiannya selepas produk tersebut mendapat tempat kukuh di negara ini terlebih dahulu.

“Sambutan terhadap produk tersebut sejak mula dikeluarkan pada awal 2009 lalu semakin baik.

“Bagi saya biarlah perlahan tapi menunjukkan perningkatan kerana kita sangat mementingkan kualiti.

“Setakat ini sedah tiga negeri yang sudah ada pengedar tetap iaitu Kelantan, Terengganu dan Selangor dan saya memang berharap untuk menembusi pasaran luar negara seperti Timur Tengah,” katanya ketika ditemui di Majlis Memperkenalkan Produk Jerneh By Sheila Majid, di Shah Alam, Sabtu.

Tambah Sheila, tujuan utama produk tersebut dikeluarkan bukanlah mengejar keuntungan sebaliknya sebagai rasa tanggungjawab membantu pengguna Islam mendapatkan produk halal dan selamat.

“Jerneh halal dan selamat digunakan kerana mengunakan bahan-bahan yang kita yakin boleh digunakan untuk bersolat.

“Ramai pengguna yang beli sesuatu produk tanpa membaca bahan-bahan kandungan, kebiasaannya terdapat bahan yang digunakan tidak diyakini halal,” katanya.

Tambahnya, dia juga menolak penggunaan cara mudah untuk kelihatan cantik dengan mengunakan rawatan yang membahayakan untuk masa jangka panjang.

“Sebagai manusia kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang dianugerahkan tuhan kepada rupa paras.

“Kita perlu menjaganya dengan baik dan bukan dengan cara yang mudah untuk nampak cantik tetapi membahayakan diri sendiri,” katanya.