Showing posts with label Tasha Shila. Show all posts
Showing posts with label Tasha Shila. Show all posts

Saturday, September 1, 2012

Tasha Shilla Tidak Malu Jual Biskut Raya


PETALING JAYA: Penglibatan aktres Tasha Shilla (Tasha) dalam perniagaan penjualan biskut sempena Hari Raya yang diberi nama Gemilang Tasha Shilla Cookies pada bulan Ramadan ini tidak menjejaskan nilai eksklusifnya sebagai selebriti popular.
Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 25, berkata, pada hakikatnya dia juga merupakan manusia biasa yang perlu melalui kehidupan seperti individu lain dan tidak salah baginya untuk berniaga.
“Tiada apa yang perlu saya segan atau malu hanya kerana menjual biskut raya. Saya juga sama seperti orang lain, cuma lebih dikenali kerana kerjaya sebagai seorang pelakon.
“Tidak timbul soal hilang nilai eksklusif sebagai artis apabila saya berniaga di depan khalayak umum. Apa yang penting, saya perlu pandai bawa diri dan jaga penampilan ketika berniaga,” katanya ketika ditemui mStar Online di Bazar Terbaik Raya TV3 di perkarangan Sri Pentas, petang Khamis.
Nama bisnes yang diilhamkan Tasha itu diambil bersempena drama bersiri Gemilang yang mempopularkan dirinya pada tahun lalu.
Perniagaan itu mula beroperasi sejak minggu kedua Ramadan di Bazar Ramadan Kampung Baru, dekat sini.
Pelakon yang baru muncul dalam telefilem Ombak Rania (Astro Ria) ini berkata, minat yang mendalam terhadap perniagaan menjadi motivasi untuk dia mencuba pengalaman menjual biskut raya buat julung kalinya.
“Keluarga saya memang menjalankan perniagaan makanan. Malah, pada bulan Ramadan yang lepas-lepas, kami berniaga mi rebus dan laksa tetapi pada kali ini kami mencuba biskut raya.
“Alhamdulillah, setakat ini sudah 400 balang pelbagai jenis biskut berjaya dijual. Saya cuma buat tiga jenis saja iaitu “Almond Chocolate”, Suji Badam dan “Chocolate Chip”, manakala selebihnya dihasilkan ibu dan makcik,” katanya.
Menurut Tasha, perniagaan itu bukan sahaja dapat menjana pendapatan tambahan malah mendekatkan lagi dirinya dengan para peminat.
“Saya anggap pengalaman berniaga ini sebagai peluang terbaik untuk mendapatkan rezeki yang berkat dan menyeronokkan.
“Dengan aktiviti ini saya juga dapat mendekati peminat yang berkunjung ke gerai untuk membeli biskut yang dijual,” katanya yang bakal bercuti selama seminggu pada Hari Raya nanti.

Tuesday, April 10, 2012

Tasha Shila Lebih Selektif Memilih Watak Selepas Menang ABPBH


GENTING HIGHLANDS: Pelakon Tasha Shila akan lebih selektif dalam pemilihan watak selepas ini kerana tidak mahu para peminat dan penonton berasa bosan dengan kemunculannya di televisyen.

Tasha berkata, dia mengambil keputusan itu kerana tidak mahu dilabel sebagai artis “stereotype” kerana sering tampil dengan watak yang sama.

"Ini bukan soal demand tetapi ingin mengelak orang berasa bosan sebab asyik bawa watak yang sama sahaja setiap masa. Tambahan pula, tahun ini saya memang berazam untuk mempelbagaikan lagi kebolehan berlakon supaya kehadiran saya dapat memberi kesan kepada penonton," ujarnya kepada mStar Online.

Tasha ditemui selepas berlangsungnya Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) di sini pada malam Ahad.

Pelakon itu memenangi kategori Pelakon Wanita Baru Popular pada majlis tersebut.

Tambah Tasha, dia juga akan lebih memilih projek filem yang diterimanya kerana sebelum ini tiga filem lakonannya tidak memberikan impak kepada penonton.

"Ada beberapa tawaran filem pada tahun ini tetapi saya perlu lebih berhati-hati memilih kerana mahu watak itu memberikan impak kepada penonton dan bukan hanya diingati sebagai pelakon yang sering bawa watak 'gedik'," katanya.

Bagaimanapun, Tasha berkata, keputusannya itu tidak ada kena mengena dengan kemenangannya pada ABPBH 2011 sebaliknya merasakan perkara itu perlu dilakukan untuk memastikan kerjaya lakonannya stabil.

"Saya masih orang yang sama sebelum memenangi anugerah ini dan rasanya tiada sebab untuk berubah selepas memenangi anugerah ini.

"Kemenangan di ABPBH 2011 adalah sebagai satu tanggungjawab kepada saya untuk lebih serius terhadap apa yang saya lakukan dan yakin peminat sentiasa bersama saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Tasha berkata, dia memasang angan-angan untuk melebarkan kerjaya seninya ke luar negara sebagai pelakon dan berharap cita-citanya itu akan tercapai suatu hari nanti.

Tasha berkata, dia perlu bekerja keras untuk merealisasikan impiannya itu kerana menyedari ia bukan satu perkara mudah.

"Semenjak bergelar pelakon telah banyak perkara yang saya lalui sama ada baik atau pun buruk demi mengejar sebuah kejayaan. Namun saya tidak pernah berputus asa.

"Atas dorongan itu juga saya yakin dapat mengejar impian saya dengan berkat doa keluarga, peminat dan usaha," katanya.

Sementara itu, Tasha memberitahu dia bakal muncul dengan beberapa buah drama dan telefilem seperti Landasan Cinta, Takdir Yang Terindah dan Friday I'm in Love.