Showing posts with label Neelofa Noor. Show all posts
Showing posts with label Neelofa Noor. Show all posts

Thursday, September 27, 2012

Tuduhan Bercuti Bersama Hans Isaac Mahu Sabotaj Neelofa


PETALING JAYA: Pelakon Neelofa menganggap dakwaan kononnya dia pergi bercuti bersama aktor dan penerbit Hans Isaac secara rahsia di Koh Samui, Thailand pada hujung minggu lalu sebagai tindakan sabotaj yang bertujuan memburukkan reputasinya.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, tuduhan berdasarkan maklumat tidak benar yang diperoleh itu adalah tidak wajar dipercayai kerana mereka bercuti secara berasingan.
“Ini (dakwaan) sebagai tindakan sabotaj pihak tertentu untuk memburukkan reputasi saya. Hakikatnya, saya dan Hans bercuti secara berasingan di dua lokasi berbeza.
“Saya pergi ke Phuket, Thailand bersama rakan-rakan pada Ahad dan Isnin, manakala Hans ke Koh Samui bersama kenalan permainan golfnya. Walhal Nazim (Othman) yang turut berada di Phuket pada minggu lalu tidak pula dikaitkan dengan saya?
“Saya percaya kontroversi ini timbul kerana secara kebetulan saya dan Hans berada di lokasi percutian yang berhampiran sahaja,” katanya ketika ditemui pada malam gala filemHantu Kapcai di sini, malam Selasa.
Neelofa berkata, dia berasa terkilan dengan perkara itu kerana niatnya untuk berehat daripada tekanan kerja pada hujung minggu lalu, sebaliknya menimbulkan kontroversi pada mata umum.
“Penyebaran gambar dan maklumat di blog-blog dan Internet adalah perbuatan khianat yang tidak adil untuk diri saya. Saya terima kontroversi ini dengan tenang dan matang.
“Bagi saya, ia adalah resam dalam dunia hiburan namun timbul juga perasaan terkilan kerana hasrat untuk berehat daripada tekanan kerja mengundang isu pula,” jelasnya yang percaya Hans tidak mengambil pusing mengenai kontroversi remeh itu.
Neelofa berkata, dia juga berasa kesal dengan tindakannya mengemas kini mesej di akaun Twitter pada tengah hari Ahad lalu mengenai percutiannya yang menimbulkan salah faham dan isu.
“Timbul juga kekesalan kerana niat saya mengemas kini mesej pada akaun Twitter pada Ahad lalu adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan peminat mengenai percutian singkat itu.
“Saya tidak sangka mesej itu menimbulkan salah faham dan spekulasi yang akhirnya memaksa saya membuat penjelasan umum,” luahnya.
Mengenai kerjaya, juara pertandingan Dewi Remaja 2010 ini bakal muncul dengan filem terbaru Hantu Kapcai arahan Ghaz Abu Bakar di samping Zizan Razak, Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Hairul Azreen.
“Dalam filem itu, saya menggalas watak gadis kampung yang bertudung bernama Khadijah. Ia bukanlah watak yang sukar untuk dibawakan tetapi pengalaman berlakon dalam filem ini menarik.
“Insya-Allah, selepas ini saya akan sibuk dengan komitmen rakaman program Nona, aktiviti bersama Tune Records di Singapura dan pada pertengahan Oktober saya mungkin akan memulakan penggambaran filem Pilot Cafe,” kongsinya.

Sunday, August 19, 2012

Neelofa mohon maaf


KONTROVERSI cinta tiga segi, kekasih baharu dan cinta lokasi, tak puas hati dengan kemenangan artis lain serta pergaduhan sesama artis sehingga melantik peguam, itu semua episod kisah panas yang mendidihkan nama Noor Neelofa Mohd. Nor.
Terbaru, si cantik molek yang sedang menghangatkan slot Akasia, Kau Yang Terindah di TV3 kini terpalit pula dengan teguran 'jangan lupa diri' oleh Datuk Yusof Haslam.
"Sebenarnya sejak lebih tiga bulan kebelakangan ini, terlalu banyak cabaran yang perlu saya hadapi. Macam-macam cerita yang tak kena, satu persatu ia datang dan orang nampak saya ini tidak habis-habis mencipta kontroversi.
"Semua itu buat saya terfikir, kenapa Tuhan tak berhenti beri ujian kepada saya, mesti ada sebab dan hikmah. Saya ambil semua itu sebagai satu amaran daripada Tuhan supaya menjadi lebih matang dan sedar di mana saya berpijak. Semua itu buat saya muhasabah diri, mungkin selama ini saya ada buat salah," kedengaran sedikit sayu suara pengacara Nona itu dari hujung corong telefon.
Tambah Neelofa: "Kalau betul Datuk sakit hati dan marah dengan ketidakhadiran saya untuk sesi pratonton filem S.A.M yang diadakan pada awal Ramadan lalu, tentu saya sudah tidak senang duduk. Saya kenal rapat dengan keluarga Datuk yang saya bahasakan uncle. Saya memang tak tahu langsung dengan pratonton itu sebab sedang berada di Mekah untuk penggambaran drama Kau Yang Terindah. Mungkin berlaku salah faham. Mungkin pihak Skop Production menghubungi saya di nombor telefon lama, sedangkan telefon berkenaan ada di tangan pengurus saya, Amir Syafiq."
Setahun kebelakangan ini juga kata Neelofa, terlalu banyak yang dipelajarinya. Detik menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah untuk umrah dan penggambaran bersama kru Erma Fatima baru-baru ini meninggalkan suatu impak yang berbekas di hati.
"Pandangan saya tentang kehidupan mungkin sudah sedikit berbeza. Haluan hidup sudah boleh dilihat dari banyak sudut. Saya toleh semula apa yang berlaku antara saya dan Anzalna. Rasa tak ada gunanya saya terus menyimpan dendam, dunia ini kecil dan esok lusa kami mungkin akan bertembung juga," katanya beralih ke topik yang beremosi.
Mengambil iktibar dan berkat sempena hari yang mulia, dengan rendah hati Neelofa membingkiskan salam kemaafan buat semua. Secara terbuka dia juga memohon maaf kepada mana-mana pihak dan individu yang terkait sama dalam konflik membabitkan dirinya.
"Saya mahu ambil peluang 1 Syawal ini untuk mohon maaf kepada semua pihak terutama orang dalam industri seni yang pernah terlibat dengan konflik yang melanda saya. Saya doakan kebahagiaan dan keberkatan untuk semua," ujarnya yang beraya di Pasir Mas, Kelantan bersama keluarga.
Sejurus habis penggambaran Kau Yang Terindah yang dijadualkan selesai pada 5 September nanti, heroin Azura 2011 itu sudahpun bersetuju untuk terlibat dengan sebuah lagi filem, Pilot Cafe terbitan Tarantella Pictures menjelang Oktober ini. Sepanjang September ini, duta tilam King Koil itu akan terlibat dengan kempen jalan raya bersama Petronas.

Tuesday, August 14, 2012

Tidak Kecil Hati, Neelofa Terima Teguran Yusof Haslam

Neelofa Noor

PETALING JAYA: Pelakon Neelofa menganggap teguran penerbit filem Datuk Yusof Haslam terhadapnya seperti yang disiarkan sebuah akhbar pada Ahad lalu bukanlah satu isu besar sebaliknya ia adalah nasihat daripada bapa kepada seorang anak.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata dia tidak berkecil hati dengan teguran yang diterima daripada orang yang berpengalaman seperti Yusof, lebih-lebih lagi hubungan mereka akrab seperti sebuah keluarga.
"Ramai yang tidak tahu bahawa keluarga saya dan uncle (panggilan buat Yusof) saling kenal mengenali dan kami mempunyai hubungan yang agak rapat.
"Selama ini pun saya banyak minta tunjuk ajar daripadanya dan apa saja teguran atau nasihat yang diberi, saya terima kerana dah anggap beliau macam bapa sendiri. Sebab itu saya selesa memanggilnya uncle.
"Rasanya, berita tentang teguran uncle yang dikeluarkan Ahad lalu sengaja diperbesarkan oleh pihak ketiga," katanya yang dihubungi mStar online di sini, Isnin.
Ahad lalu, sebuah akhbar menerusi ruangan pojok melaporkan teguran Yusof terhadap sikap Neelofa yang dikatakan enggan memberi kerjasama mempromosikan filem Saya Amat Mencintaimu (S.A.M) terbitan Skop Production selain tidak hadir ke pelancaran filem itu.
Dalam artikel tersebut, Neelofa turut dikatakan tidak mengendahkan tawaran watak utama dalam sebuah filem baru terbitan produksi tersebut.
Dalam pada itu, tambah Neelofa, ketiadaannya ketika majlis pelancaran filem S.A.M pada 16 Julai lalu itu bukan sengaja dibuat-buat sebaliknya ketika itu dia berada di tanah suci Mekah menjalani penggambaran drama Kau Yang Terindah.
Sementara itu, Yusof yang dihubungi mStar Online pada Isnin berkata, dia tiada niat mahu memburukkan pelakon itu yang sudah pun dianggap seperti anak sendiri.
Sebaliknya kenyataan tersebut dibuat ketika beliau “berborak kosong” dengan wartawan akhbar berkenaan.
"Sebenarnya ia sekadar perbualan biasa antara saya dengan wartawan dan saya tak mahu perkara seperti itu diperbesarkan.
"Mengenai teguran tersebut, ia juga bukan niat saya untuk menjatuhkan atau memalukan Neelofa. Saya lihat dia mempunyai potensi besar untuk bergelar bintang. Apabila dilihat ada beberapa perkara yang tidak kena, saya tegurlah.
"Diharap, teguran itu diterima dengan positif. Sebagai orang muda, bukan sahaja Neelofa, sebaliknya semua artis perlu bersikap positif untuk menerima teguran dengan hati terbuka jika hendak berjaya,” katanya.

Wednesday, October 26, 2011

Neelofa Berdebar Tunggu Tayangan 4 Filem


KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Noor Neelofa Mohd Noor, 22,mengakui berdebar menanti kemunculan empat buah filem lakonannya yang dijangkan ditayangkan tahun depan.

Tambah Dewi Remaja 2011 ini, biarpun sudah membuktikan bakat lakonan dalam beberapa buah drama tempatan, namun dia masih risau terhadap reaksi penonton terhadap kemunculannya di layar perak.

"Thaun ini merupakan tahun pertama sebagai artis, memang ramai yang mengenali saya melalui drama yang sudah keluar atau melalui berita-berita tentang saya.

"Sebab itu juga perasaan agak teruja dan gementar untuk menerima maklum balas penonton untuk filem-filem lakonan saya yang ditayangkan tahun depan," katanya ketika ditemui di majlis Malam Seribu Bintang Karyawan, di sini, Rabu lalu.

Neelofa memeggang watak utama dalam empat buah filem iaitu Azura 2011, Rentaz, Lemak Kampung Santan dan Saya Amat Mencintaimu (SAM).

Bercerita tentang filem terbarunya, Lemak Kampung Santan, dia berkata terpaksa mewarnakan rambutnya kepada warna hitam bagi menyesuaikan dengan watak sebagai wanita kampung.

"Saya jarang mewarnakan rambut kepada hitam pekat seperti ini kerana rasa seperti tidak sesuai dengan kulit tapi demi menghidupkan watak gadis kampung seperti dalam filem tersebut.

"Penggambaran filem Lemak Kampung Santan mula pada 15 Oktober lalu dan dijangkan berakhir pada 1 November ini, sepanjang penggambaran itu saya perlu kekalkan warna rambut ini," katanya.

Jelas Neelofa biarpun terpaksa berkorban namun dia berpuas hati dengan layanan yang diterima sepanjang berada di lokasi penggambaran filem tersebut.

"Semua pelkaon dan krew produksi melayan saya dengan baik, malah pelakon-pelakon lamaseperti Hans Isaac bayak membantu saya dari segi lakonan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang dua orang pengawal peribadi yang bertanggungjawab menjaganya, Neelofa enggan mengulas lanjut perkara itu.

"Dua orang pengawal itu ditugaskan oleh keluarga saya untuk memastikan agar saya berada dalam keadaan selamat," katanya.

Saturday, August 13, 2011

Kontroversi Tak Ganggu Kerjaya Neelofa


KUALA LUMPUR: Walaupun sering diapit dengan kontroversi, pelakon jelita Neelofa, bersyukur kerana dia masih lagi diterima dalam industri lakonan tempatan.

Menurut bekas juara Dewi Remaja 2011 itu, pada mulanya, dia risau apabila sering dikaitkan kontroversi yang negatif kerana ia mampu menjejaskan kariernya.

"Saya menyertai bidang hiburan tempatan kerana satu tujuan iaitu mahu mengukuhkan nama menerusi prestasi lakonan dan pengacaraan. Namun, ia tidak semudah yang disangkakan.

"Alhamdulillah, walaupun nama saya dikenali kerana kontroversi, tawaran lakonan juga tidak putus-putus," katanya.

Tambah pelakon filem SAM (Saya Amat Mencintaimu) itu, dia tahu, sebagai seorang selebriti yang dikenali umum, dia tidak boleh elak daripada sebarang gosip yang menimpanya.

"Saya percaya, kita tidak boleh elak kontroversi dan menjadi seorang selebriti bukannya mudah.

"Apa-apapun, selain kontroversi, saya juga mahu orang ramai melihat hasil kerja yang saya usahakan," ujarnya.

Selain itu, Neelofa turut menerima tawaran sebagai pengacara majlis dan juga kini dia sedang mengendalikan program hiburan terbitan KRU TV, Paparazzi bersama dua hos lain iaitu Aina Suzaily Zailanny dan Sharifah Sakinah.

"Saya juga sedang berjinak dalam bidang pengacaraan dan Paparazzi merupakan pengacaraan program pertama saya.

"Lagipun, matlamat saya ke bidang hiburan sebenarnya untuk menjadi seorang pengacara dan harap, bakat saya dapat dikembangkan dalam selain lakonan," tuturnya.

Paparazzi merupakan sebuah prgram hiburan yang menyampaikan berita-berita panas mengenai selebriti Malaysia dan Indonesia. Program tersebut disiarkan menerusi laman web www.tonton.com.my dan akan bersiaran di sebuah televisyen tidak lama lagi.

Saturday, August 6, 2011

Kontradiksi cantik & bakat Neelofa


BARANGKALI gerimis sedang cemburu menatap perbualan bahasa tubuh yang terzahir daripada pertembungan si lelaki berkarakter, Khir Rahman bersama si jelita yang sedang menggelegak sensasinya, Noor Neelofa Mohd. Noor ini. Sebelum ini, mereka tidak pernah dipertemukan dalam sebarang sesi fotografi atau naskhah seni, apatah lagi bersapa dan beraksi mesra.

Tanpa semua itu, mereka tetap larut dalam dalam cuaca tengah hari yang mendung baru-baru ini. Sesekali gerimis menitis, romantik yang tidak diundang tiba-tiba menjelma dan lokasi fotografi yang kebetulan pula dilakukan di sekitar Lebuh Raya Hubungan Timur Barat, Khamis lalu seperti mengizinkan kehadiran mereka.

Hendak dijadikan pemula rentak, asalnya judul Rentaz, filem terbaharu sutradara prolifik Mamat Khalid dijadikan akar penyatuan cerita. Kebetulan pula, nama Neelofa, 22, dipetik sebagai heroin filem berkenaan, manakala Khir, 38, ditugaskan menangani watak syaitan dalam judul yang sama.

Rasionalnya ada di situ, sang lelaki cukup senior dan lain corak makanan seninya manakala si gadis pula, tiba-tiba sahaja menjadi artis setelah muncul sebagai pemenang tempat pertama Dewi Remaja 2010.

Keyakinan Khir Rahman

"Memanglah, jika diukur dari segi rupa paras, saya memang jauh untuk digandingkan dengan Lofa (Neelofa) tapi jika saya fikir dengan ilmu serta pengalaman yang telah saya lalui, tiada apa yang harus saya gentarkan," usul Khir telus dan acap kali memuji keindahan ciptaan Tuhan bernama Neelofa.

Tidak tertumpu soal Rentaz yang dijadualkan penggambaran pertengahan bulan nanti, soal haluan dan draf pencapaian ketika ini menjadi topik utama. Jujurnya, sekali lagi Khir akur bahawa rupa paras boleh menentukan takdir seseorang aktres atau aktor untuk menempa nama dalam bidang seni. Itu bukan sesuatu yang tabu.

"Individu yang memiliki paras rupa menawan secara automatik mudah mendapat tempat, tapi itu bukan salah individu berkenaan manakala yang tidak berapa menawan harus melalui usaha keras, ikut saluran akademik, masuk teater dan sebagainya. Bagi saya, apabila sampai ke satu tahap, artis yang tidak berapa menawan tadi lebih layak untuk berasa bangga terhadap pencapaian yang diraihnya," kata Khir.

Diminta pandangannya, pengarah filem Dalam Botol itu mula berhipotesis.

"Lumrahnya sesiapapun gemarkan sesuatu yang cantik, bunga dan serta pemandangan yang cantik. Masuk ke bab pelakon wanita cantik, biasanya penerbit atau pengarah akan cenderung memilih pelakon berdasarkan kecantikan. Tapi, bukan hanya untuk mempergunakan kecantikan itu semata-mata, sebaliknya harus bertanggungjawab mendidik dan menggilap bakat yang ada pada artis berkenaan.

"Jangan salahkan dia (pelakon cantik) kalau lakonannya tidak menjadi. Dia dipilih dan ditawarkan peluang untuk mengubah kehidupannya. Kerja seorang pengarah yang baik adalah untuk menyembunyikan kelemahan pelakonnya," katanya tidak cenderung menyebut nama Neelofa.

Neelofa hingusan

Kepada Neelofa sendiri, melihat kepada namanya, ada sahaja cerita sensasi yang sudah melekat. Dari situ sahaja dia bukanlah regu yang sesuai untuk diajak lawan berhujah tentang seni dengan Khir. Namun, sebagai pendatang baru, dia memiliki alasan kenapa bidang yang bukan menjadi cita-citanya kini menjadi dunianya.

"Saya baru tujuh bulan masuk dalam bidang lakonan, semuanya bermula dengan kosong, segala-galanya saya pelajari daripada set penggambaran selebihnya daripada tunjuk ajar pengarah dan pelakon senior.

"Sekarang saya dapat rasakan bahawa lakonan perlukan pengalaman dan bukan sesuatu yang bersandarkan bakat semula jadi semata-mata," katanya.

Mengambil peluang depan mata, ujar Lofa,dia teringin melontarkan soalan-soalan buat yang sudah mencipta nama dan pengalaman di bidang yang sama. Ujarnya juga, dia memang gemar sesi bertanya dan mencari ilmu di sebalik kemusykilan yang dilontarkannya itu.

"Saya mahu bertanya kepada orang-orang berpengalaman seperti Khir, tentang pengalaman hidup dan lakonan mereka. Bagaimana skil menyampaikan dialog. Perkara-perkara seperti ini," ujarnya yang tampak masih naif dan patuh.

Perlu jadi gila

Khir tersenyum, menepuk bahu Lofa perlahan. Seperti berlakon tetapi tidak dalam karakter, babak ini berada di luar ruang kamera.

"Besarkan skala lakonan. Perlu jadi gila. Jadi gila-gila dan bermain-main dengan karakter. Kalau tidak, akan duduk di tempat yang sama tanpa perubahan. Kena ada jiwa 'simplicity', ada juga jiwa seni," ujar Khir ringkas tapi penuh gaya.

Masih menunggu beberapa filem yang belum ditayangkan termasuklah Ponti vs Omi, Papadom 2 dan Rock 2, pesan Khir lagi mudah bunyinya, tetapi ada jarum yang boleh mengena golongan yang berstatus pelakon.

"Berlakon bukannya senang. Pura-pura berlakon sebaliknya lebih mudah," bicara Khir berfalsafah.

Tertib mendengar hujah sang pengarah yang masih menunggu waktu untuk filem keduanya Dengar masuk ke lokasi, Lofa akur dia sangat mentah dan hijau dalam dunia 'permainan' Khir. Ujar Lofa, dia mahu memasuki kursus lakonan jangka pendek. Itu bukti dia sedang serius dan bukan hanya layak mengulit gosip ke sana ke mari.

Bersahut soalan, tanya Khir, dia teringin mengetahui, apa pendirian Lofa berada dalam lapangan ini. Bergelar pelakon kerana mahu jadi aktres yang bagus atau meraih populariti atau berada di lapisan hobi.

"Saya ambil masa untuk menerima filem Azura 2011. Saya tahu itu titik yang bakal merubah dan tidak ada patah balik. Saya perlu menjadi seorang aktres yang bagus. Belajar lagi untuk jadi bagus," ujar Lofa yang sekali pandang ada iras-iras lenggok percakapan dan intonasi persis Que Haidar.

Sebelum bertemu noktah, bisik Khir, bakat dan kebijaksanaan adalah dua soal yang berbeza dan kedua-duanya penting, bijak tanpa bakat tak ke mana, begitulah sebaliknya, Lofa harus kenal itu.

Sayangnya, Lofa tidak akan berpeluang masuk ke dunia yang cuba Khir jelaskan. Sehari sebelum artikel ini diterbitkan, dia memaklumkan bahawa tawaran Rentaz tidak mampu diteruskan kerana ada komitmen lain yang lebih penting.

Thursday, August 4, 2011

Neelofa, Sakinah hos Paparazzi


MUNGKIN ramai lagi yang tidak ketahui kewujudan program Paparazzi di bawah penerbitan KRU TV yang mana program tersebut menyampaikan berita hiburan panas dan pantas serta informasi menarik terkini tentang artis-artis Malaysia dan Indonesia.

Buat masa ini, Paparazzi hanya bersiaran secara ekslusif menerusi tonton.com.my secara online.

Walaupun telah lama bersiaran di tonton.com.my, namun Paparazzi baru sahaja menggunakan konsep baharu dengan mewujudkan hos sebagai pengantara berita-berita panas yang mana sebelum ini berita tersebut hanya dipaparkan melalui visual yang telah dicari oleh wartawan di bawah KRU TV.

Neelofa, Aina Suzaily Zailanny dan adik kepada pelakon Sharifah Shahira dan Sharifah Haslinda iaitu Sharifah Sakinah bersilih ganti bergandingan bersama menjadi hos program itu. Bagaimanapun pada sidang akhbar tempoh hari, Aina tidak dapat hadir.

Menyentuh tentang karier sebagai hos, menurut Neelofa, ia sememangnya merupakan minatnya sebelum bergelar seorang artis lagi.

Katanya, bidang lakonan yang diceburinya adalah dengan matlamat supaya ia boleh dijadikan batu loncatan buat dirinya untuk peluang menjadi hos.

"Saya mendapat kontrak menjadi hos Paparazzi selama setahun. Saya gembira dapat menjadi hos dan harap dapat meluaskan lagi bakat di dalam bidang ini. Setakat ini, program ini hanya ditayangkan di tonton.com.my dan selepas ini insya-Allah akan bersiaran di kaca televisyen pula," bicaranya lagi.

Sementara bagi Sharifah Sakinah pula, yang lebih mesra disapa Sakinah, menghafal skrip merupakan cabaran baginya memandangkan ia pertama kali pengalaman dirinya terjun ke dalam bidang pengacaraan.

"Saya memang minat bidang pengacaraan dan lakonan dan ini merupakan kali pertama saya ke bidang pengacaraan. Saya rasa gembira kerana hos bersama saya iaitu Neelofa dan Aina menyokong dan juga banyak membantu saya.

"Kalau boleh saya mahu menerima tawaran pengacaraan dengan lebih banyak lagi untuk menimba pengalaman begitu juga dengan bidang lakonan. Cabaran bagi saya adalah untuk menghafal skrip, namun nasib juga kerana ini program rakaman. Jadi, pilihan syot boleh dibuat untuk memberikan yang terbaik bagi program ini," ujarnya.

Takdir Neelofa


BELUM pun cukup setahun perjalanan karier seninya, gadis genit ini telah dikaitkan menjadi punca perpisahan antara dua pelakon jelita Maria Farida dan Nur Fazura bersama pasangan masing-masing.

Mengungkap kisah yang dikaitkan dengannya, awal penglibatan dalam industri lakonan menerusi filem Azura bersama Shahz Jazle, Neelofa atau nama yang diberi Noor Neelofa Mohd. Noor telah dikatakan menjadi penyebab punca perpisahan aktor muda itu bersama kekasihnya yang juga merupakan seorang pelakon senior, Maria Farida.

Belum sempat cerita panas tersebut selesai, baru-baru ini muncul pula cerita mengenai perselisihan faham antara Neelofa bersama pelakon wanita yang sama-sama terlibat dalam drama lakonannya, Tahajjud Cinta iaitu Fazura yang mana ia juga dikaitkan dengan kisah percintaan.

Sebelum ini Fazura dikatakan bercinta dengan seorang kerabat diraja sebuah negeri dan tiba-tiba artikel-artikel 'panas' tersebar di Internet mempersoalkan tentang kebenaran gosip Neelofa dan Fazura bergaduh berebut seorang kerabat diraja.

Sebagai seorang pendatang baharu, kontroversi yang melanda diri mungkin sedikit sebanyak mengganggu perjalanan karier yang baru ingin dibina oleh pemenang Dewi Remaja 2010 ini.

Namun, lain pula pendapat Neelofa atau lebih mesra disapa sebagai Lofa yang memandang positif terhadap kontroversi yang hadir ketika kariernya ingin ke puncak.

"Bagi Lofa, dalam industri seni, peribadi dan karier adalah dua perkara berbeza. Bila perjalanan karier diselitkan dengan kontroversi-kontroversi peribadi, perkara itu terpulang kepada Lofa bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Ini kerana selagi kita tahu bagaimana untuk menguruskan urusan peribadi, jadi ia bukan merupakan masalah untuk seseorang artis itu naik. Bagaimana teruk pun kontroversi yang dilanda ke atas seseorang artis itu, jika dia punya bakat yang sangat baik, maka dia akan terus disukai masyarakat," jelas Lofa ketika ditemubual semasa penggambaran program Paparazzi bertempat di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur.

Tambahnya, tiada sebab kenapa dia mahu mewujudkan perkara sebegitu untuk dikenali. Bagi empunya diri yang baru berusia 22 tahun ini, dia tidak kisah jika perlu merangkak setapak demi setapak untuk ke puncak kerana berpendapat itu merupakan jalan yang patut ditempuhinya.

"Kalau sudah suratan takdir, Lofa reda terhadap apa yang diberikan. Mengenai rimas atau tidak, Lofa tidak mampu berkata kerana ia merupakan pendapat masyarakat," tutur Lofa yang juga menegaskan dia akan membuktikan kepada masyarakat dengan bakat yang ada dan mungkin itu akan mengubah persepsi masyarakat dirinya kelak.

Menurut Neelofa lagi, hal-hal yang berkaitan kisah peribadinya hanya untuk pengetahuan dirinya sendiri sahaja.

Katanya, biarlah orang luar ketahui apa yang mereka tahu, namun penjelasan tidak perlu diberikan kepada sesiapa.

Berfikiran positif terhadap apa yang terjadi, Neelofa menyedari setiap artis tidak dapat lari dari kontroversi mahupun cerita negatif. Sebagai seorang insan, dia tahu apa yang dibuatnya dan juga menegaskan jika ada mulut yang ingin berbicara mengenai perihalnya, dia tidak dapat menghalang mulut orang ramai dari bercerita.

Pengalaman pertama

Sempena bulan mulia Ramadan, pelakon dan hos program Paparazzi terbitan KRU TV ini sering pertimbangkan tawaran berlakon yang ingin diterimanya.

Ini kerana, bagi dirinya yang merupakan tahun pertama bergelar seorang artis, dia ingin memanfaatkan Ramadan dengan tidak mahu ponteng puasa dan bersembahyang tarawih pada setiap malam Ramadan.

Ketika ditanya mengenai perasaan setelah bergelar artis, ujar anak ketiga dari sembilan adik-beradik ini berkata, apa yang dirasakan tidak lari daripada sebelumnya.

Namun, apa yang membezakan kini mungkin apabila pulang ke kampung dan ketika di luar, ramai yang datang bertegur sapa walau tidak dikenalinya.

"Perasaan sama sahaja namun perbezaannya ialah mungkin balik kampung apabila beraya kelak, keluarga, sanak saudara, dan jiran mungkin gembira melihat saya memandangkan kini saya telah bergelar seorang artis.

"Tidak dinafikan juga, privasi diri semakin berkurangan selepas bergelar selebriti. Namun, Lofa perlu membiasakan diri dengan keadaan itu kerana ia sesuatu yang lumrah buat artis," jelas pelajar jurusan Perniagaaan yang mengkhusus dalam Perdagangan Antarabangsa dan Pemasaran di Sunway University College, Petaling Jaya Selangor itu.

Jujur mengakui bahawa perkara tersebut memang punyai keburukan, si empunya diri reda dengan apa yang telah dipilihnya dan tekad menetapkan minda perlu meredah lautan tersebut walaupun diri suka atau tidak.

Di sebelah lain pula mengatakan mungkin wujud kebaikan di sebalik kejadian yang berlaku. Sebagai contoh, jika seseorang artis tersebut menjalankan perniagaan apa sekalipun, masyarakat akan tahu mengenainya dan secara tidak langsung, ia merupakan promosi terhadap perniagaan yang dijalankan.

Apa yang menariknya, gadis kelahiran Kelantan ini sudah pun mempunyai perniagaan yang menggunakan nama sendiri bagi jenama produk yang dijualnya.

"Lofa sudah pun memulakan perniagaan ini sejak setahun yang lalu. Kasut-kasut ini bukan direka oleh Lofa tapi Lofa pilihnya daripada sebuah katalog dan sumbernya dari luar negara. Kasut ini dibuat penjenamaan semula dengan menggunakan nama Lofa pada mulanya.

"Namun, stok baru kasut-kasut tersebut akan mula menggunakan nama Neelofa dan kasut ini boleh didapati secara online pratempah di www.neelofaheels.blogspot.com," jelasnya sambil memberitahu harga kasut boleh didapati di antara RM120 hingga RM400.

Saturday, June 11, 2011

Selling for RM35 a piece.


BARU lima bulan menerjah ke dunia lakonan selepas menjuarai Dewi Remaja 2010, nama si cantik, Neelofa pantas bertamu di bibir ramai. Ternyata, jalan karier di bidang popular ini tidak membenarkan dirinya merangkak dengan tenang.

Belum sempat lakonannya dipertontonkan, cerita dituduh sebagai perampas kekasih orang menjadi tajuk perbualan. Malah, saat ketika tawaran sedang mencurah dan rutin pemilik nama sebenar Noor Nelofa Mohd. Nor, 22, itu banyak dihabiskan di lokasi penggambaran, muncul pula pelbagai versi cerita. Semua cerita itu tidaklah semanis bibirnya yang mekar menguntum senyum.

Tanpa perlu nama disebut, ramai yang dapat mengagak, bisik-bisik perihal kurang manis yang tersebar di dada media itu semuanya condong ke arah namanya.

Tanpa mahu mengelak, wanita yang manja membahasakan diri sebagai Lofa itu pantas mengiyakan, dia sedar banyak cerita buruk dirinya sedang bertebaran. Mahu tidak mahu, semuanya harus ditelan menjadi makanan.

“Saya anggap semua itu sekadar perkara kecil, sebelum saya, ramai lagi artis lain yang lebih teruk diperkatakan,” katanya tenang sebaik dihubungi Sensasi Bintang.

Sensasi Bintang: Selepas menjuarai Dewi Remaja, permulaan karier anda dikaitkan sebagai punca utama perpisahan Shah Jaszle dan Maria Farida tetapi kini timbul cerita lelaki berdarah kerabat dan seorang lagi lelaki berstatus duda?

NEELOFA: Saya sedar, sayalah yang diperkatakan itu. Saya sendiri terkejut tentang gosip dengan duda kepada pelakon popular itu. Begitu juga dengan kerabat yang dimaksudkan. Bukan saya reka cerita dan saya tahu siapa pembawa cerita-cerita berkenaan. Saya tahu saya berada di pihak yang benar, jadi tolak tepi sahaja dan anggap semua itu sebagai permainan dunia hiburan. Saya maafkan pereka cerita itu.

Anda selesa menjadi tumpuan kerana sensasi dan kontroversi?

Saya masih Neelofa yang dulu, pandangan orang memang berbeza-beza tapi banyak lagi masa dan masih panjang lagi perjalanan saya. Jadi, biarlah, masyarakat akan mengenali saya secara perlahan-lahan. Saya percaya saya tidak buat salah.

Bagaimana dengan aduan berhubung disiplin anda yang tidak memuaskan terutama kerap datang lewat ke lokasi?

Jujurnya, saya memang seorang peka terhadap masa, kalau boleh, biarlah saya yang menunggu orang, bukan orang lain yang menunggu saya. Sepanjang penggambaran filem Azura saya tidak pernah datang lambat. Saya tahu, isu datang lambat itu berlaku ketika penggambaran drama Kitab Cinta. Perkara itu sudahpun dijelaskan. Sebenarnya berlaku salah faham, masalah teknikal berhubung dengan jadual sedangkan kerap kali saya datang awal ke lokasi.

Baru-baru ini, sudah ada yang melabel awak sekadar cantik dan seksi sahaja sedangkan kualiti lakonan tidak seberapa?

Kalau orang kata saya cantik dan seksi, apa boleh saya buat. Tapi saya masih percaya kalau sekadar cantik dan seksi semata-mata, tak mungkin saya sampai ke tahap ini. saya percaya, saya ada bakat cuma masih baru, baru lima bulan. Baru tiga drama bersiri, satu telemovie dan sedang berlakon filem kedua. Selepas lakonan pertama dalam filem Azura, sekarang King Kapcai dengan KRU Studios. Baru-baru ini, selepas telemovie, Jemaah Kolestrol ditayangkan, banyak respons positif yang saya terima. Mungkin sebab, masuk-masuk terus berlakon filem, jadi persepsi orang terhadap saya lain sikit.

Adakah bidang lakonan sekadar batu loncatan untuk anda meraih populariti semata-mata?

Memang saya pernah kata sekarang masanya untuk saya menjenamakan nama Neelofa, tapi maksud saya bukanlah untuk menjadi popular semata-mata. Jadi pelakon pun bukan rancangan asal saya, semuanya berlaku cukup pantas, keluar sahaja daripada Dewi Remaja, saya berdepan perkara ini. Sebenarnya, saya ambil masa juga untuk terima tawaran filem Azura, saya tahu hidup saya akan berubah secara total. Saya cuma fikir, apa salahnya saya ambil peluang jadi pelakon. Saya pun masih muda dan sedang belajar dalam jurusan bisnes, jadi ini semua untuk masa depan saya.

Lima bulan bergelar pelakon, sudah capai apa yang dihajati?

Saya dapat lebih daripada apa yang saya impikan. Saya kenal dan berkerja dengan nama-nama besar, berada pula bawah bumbung KRU. Peribadinya, perkara ini berlaku cukup pantas untuk orang baru seperti saya. Yelah, dengan banyak cerita panas tapi tawaran juga tidak putus-putus. Banyak yang terpaksa ditolak kerana pertindihan jadual, lagipun saya tidak mahu belasah semua benda, kena juga buat pilihan.

Tidak kisah digelar pelapis ratu kontroversi?

Tak kisahlah apa yang orang yang gelarkan saya, saya tak buat apa-apa kesalahan. Lama-lama nanti orang kenal juga siapa saya.

Monday, May 16, 2011

Neelofa Takut Berlakon Filem Seram


PETALING JAYA: Pelakon Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa), 22, berasa berat hati dan ragu-ragu untuk menerima tawaran pengarah Kabir Bhatia untuk membintangi filem seram terbaru iaitu Azazil kerana mengakui dirinya seorang yang penakut.

Kata Neelofa, sejak kecil lagi dia memang tidak menonton filem seram kerana mudah teringatkan karakter dan rupa hantu dalam filem atau drama sedemikian.

"Bukan bermaksud untuk memilih atau mengada-ada tetapi terus-terang saya tidak boleh tengok filem atau drama seram.

"Sejak kecil lagi saya tidak suka menonton filem sebegitu sebab saya mudah teringatkan karakter tersebut.

"Kalau saya tidak menonton filem seram, bagaimana pula hendak menghayati watak dan cerita begitu?" katanya yang ditemui di Menara Star, baru-baru ini.

Tambah Neelofa, walaupun demikian, dia tidak keberatan untuk terlibat dalam filem atau drama komedi seram yang bersifat humor, santai dan melucukan.

"Lainlah kalau filem komedi seram seperti Hantu Kapcai yang saya terima daripada KRU Studios, di mana filem itu adalah filem hantu yang kelakar.

"Jadi, karakter hantu itu tidak menakutkan, lebih bersifat lucu," kata pengacara program KRU Paparazzi di saluran KRU TV ini.

Dalam pada itu, aktres muda yang didakwa menjadi punca keretakan hubungan aktres Maria Farida dan aktor Shahz Jaszle ini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri arahan Erma Fatima iaitu Kitab Cinta.

Selain itu, Neelofa yang mula mencipta nama selepas membintangi filem Azura 2011 arahan Aziz M. Osman ini dijangka terlibat dalam sebuah lagi tawaran filem terbitan Skop Productions pada Julai depan.

Sunday, January 2, 2011

Neelofa Sedia Tepis Kontroversi

KUALA LUMPUR: Juara pertandingan Dewi Remaja 2010, Noor Neelofa Mohd Noor, 22, yang baru saja dua bulan menyertai indutsri hiburan tempatan sudah bersedia untuk bersaing secara sihat dengan selebriti-selebriti tempatan untuk menjadi seorang pelakon dan pengacara profesional.

Menurut anak kelahiran Kelantan itu, walaupun takut untuk melalui cabaran dan dugaan, lebih-lebih lagi berkaitan gosip, dia cuba 'meredah' diri demi mencapai impiannya bergelar seorang pelakon dan pengacara profesional.

"Walaupun baru tiga bulan saya melangkah masuk ke bidang seni, saya sudah dapat merasai bahang dari segi privasi terumatanya. Habis segala gambar-gambar saya disebarkan di internet.

"Apa-apa pun, itu juga sebagai permulaan untuk saya menerima dimana hal-hal peribadi pasti akan diketahui umum dan saya bersedia semua itu.

"Selain itu, saya juga nampak perbezaan diri sendiri sebelum dan selepas bergelar selebriti keyakinan diri saya lebih tinggi dan cara berinteraksi saya dengan orang juga berbeza. Ia sedikit sebanyak mematangkan saya juga," katanya yang ditemui di parti Media Hiburan di sini, Khamis.

Tambah Neelofa, dia juga gembira kerana sudah memulakan tugas sebagai seorang pelakon dan pengacara dimana dia akan digandingkan bersama Gambit melakonkan watak utama menerusi filem arahan Aziz M Osman yang berjudul Azura.

Dalam pada itu, neelofa juga bersedia untuk menepis segala kontroversi yang bakal diterimanya.

"Insya-Allah, saya akan cuba menjadi yang terbaik buat masyarakat umum agar tidak terjebak dengan kontroversi. Selain itu, azam baru saya untuk tahun ini, saya akan mengurangkan cara pemakaian yang seksi.

"Ini kerana, saya perlu membawa gelaran Dewi kepada umum, dan secara tidak langsungnya, orang akan perhatikan tata tertib kita baik dari segi pertuturan, pemakaian dan personaliti diri," katanya yang turut mengacara bagi program Paparazi dibawah terbitan KRU TV.