Showing posts with label Kris Dayanti. Show all posts
Showing posts with label Kris Dayanti. Show all posts

Saturday, May 7, 2011

Hamil luar nikah


SEBAIK mengaku hamil empat bulan walaupun hanya baru bernikah kurang dua bulan, Krisdayanti atau KD menjadi topik paling hangat di Indonesia.

Setiap hari, media tidak pernah mahu mengalah mengorek cerita tentangnya bersama suami, Raul Lemos. Malah KD yang kerap berulang-alik ke Jakarta dari Timor Leste kerana mahu menziarah anaknya, Aurel, tidak pula menyembunyikan diri daripada media.

Seperti mana dia berani mengaku tentang kehamilan luar nikahnya, begitu juga dia berani bertanggungjawab terhadap persepsi dan respons yang diterima.

Menerima pelbagai respons negatif terhadap kehamilan luar nikahnya, KD bagaimanapun masih bertahan dengan perbuatannya yang dianggap sebagai satu tanggungjawab daripada orang dewasa seperti dirinya dan Raul.

"Kami bertanggungjawab dengan keterlanjuran yang dilakukan. Ini adalah komitmen kami bersama. Saya tidak akan membuang anak seperti yang didakwa kerana ini adalah rezeki saya," katanya kepada media Indonesia.

Dia malah melihat isu kehamilan luar nikah itu punya pro dan kontra tersendiri.

"Pro dan kontra pasti ada, tapi banyak yang (pro). Biarkan ia menjadi proses yang mengalir dengan baik," katanya lagi yang sempat memaklumkan dia menebak mungkin akan menimang cahaya mata lelaki.

Bagaimanapun, akui penyanyi itu, dia kasihan dengan Raul kerana suaminya itu harus menerima banyak publisiti negatif yang tidak pernah diterimanya sebelum ini. Sedangkan dirinya sendiri, kata KD, dia sudah terbiasa dengan aksi dikerumuni media sejak sekian lama.

Terdahulu, sebelum berkahwin dengan usahawan tersebut, KD telah menerima kecaman hebat apabila Raul mencium bibirnya dalam satu sidang media sewaktu mereka belum sah bergelar suami-isteri.

Monday, May 2, 2011

Hamil 4 Bulan, KD Penat Buat Persembahan


BIARPUN sedang hamil empat bulan, penyanyi Krisdayanti (KD) tetap aktif mempromosikan single terbaru bersama Yuni Shara dan Iis Dahlis berjudul Nurlela.

Bagaimanapun, artis tersebut meminta agar jadual persembahannya dikurangkan daripada biasa.

"Dia meminta persembahannya jangan lebih dua kali sehari kerana beberapa hari lalu dia terpaksa membuat persembahan di tiga tempat dalam sehari.

"Dia akui sangat penat untuk membuat persembahan terlalu banyak dalam sehari akibat kehamilan itu," ujar Yuni seperti dipetik Kompas.com.

Menurut Yuni, dia faham keadaan KD yang kini sedang membawa kandungan tersebut membuatkannya lemah dan kekurangan tenaga.

Tambahnya, dia sempat menemani KD menikmati makanan kegemarannya iaitu Mi Ayam di Pasar Tebet, Jakarta Selatan, minggu lalu.

"Minggu lalu, saya sempat menemaninya mencari makanan kegemaranya, malah bukan sahaja mee, bakso juga habis dimakannya," kata Yuni sambil ketawa.

Tuesday, April 19, 2011

Rakan Baik Tidak Tahu KD Mengandung


JAKARTA: Diva pop Indonesia, Krisdayanti (KD) mengharapkan seorang anak daripada hasil perkahwinan terbarunya bersama Raul Lamos.

KD yang mempunyai dua cahaya mata iaitu Aurelle dan Azril ini dikhabarkan sedang hamil empat bulan.

Rakan terdekat penyanyi tersebut, Dahlia, memberitahu bahawa KD pernah memberitahu untuk memiliki seorang sahaja cahaya mata hasil perkahwinan tersebut.

Bagaimanapun dia mengaku tidak mengetahui berita mengatakan KD kini hamil empat bulan.

“Saya tidak tahu kerana kami tidak pernah berbincang tentang perkara tersebut Cuma KD ada beritahu yang dia inginkan seorang anak,” katanya.

Ketika ditemubual oleh sebuah akhbar Nova, KD mengaku bahawa dirinya sudah hamil empat bulan dan kini sedang gembira tentang berita kehamilan tersebut.

Sunday, March 27, 2011

Pelamin kedua Pasha, Kris


PASHA dan Kris Dayanti merupakan dua nama besar dalam perjalanan karier masing-masing sebagai anak seni. Kedua-duanya pernah melalui masa sukar dalam berumahtangga. Lebih sukar lagi apabila perjalanan peribadi itu menjadi tontonan umum.

Ia ditambah pula dengan pelbagai tohmahan serta gosip sehingga dunia luar seperti lebih mengenali mereka berbanding empunya diri. Kini mereka menempuh bahtera kedua.

Kris Dayanti (KD) selamat bergelar isteri Raul Lemos, pada 20 Mac lalu manakala Pasha bersanding bersama Adelia hari ini.

Menempuh bahtera baru untuk sebuah pelayaran segar, Pasha dan Kris seakan bakal melenyapkan kata-kata yang pernah dituding ke arah mereka.

Perkahwinan serta pelaminan kedua datang dengan harapan yang lebih besar. Selamat buat kedua-duanya.

Kris-Raul mahu satu zuriat

"Puji dan syukur, Alhamdulillah. Tidak lepas berpelukan dengan suami. Bahagia kerana semua beban terlepas dan melangkah kehadapan dengan suami tercinta," itu mesej yang disampaikan oleh Kris Dayanti sehari selepas dia sah menjadi Kris Lemos. Kebahagiaan terpancar penuh dalam susun kata-katanya.

Tampak gementar pada hari pernikahan yang dilangsungkan Sabtu lalu di Masjid Sahid Nurul Iman, Jakarta, wajahnya berbunga segar selepas segalanya selesai.

"Kesabaran akhirnya berbuah manis," ucap Kris Dayanti.

Sebuah kesabaran yang dikumpulkan dalam tempoh dia dicerca dan dilebel sebagai pemusnah rumah tangga Raul dan bekas isterinya, Atha.

Lumrahnya, asam di darat ikan di laut, dalam kuali bertemu juga. Dengan hanya sekali lafaz, Raul sah memperisterikan Kris Dayanti yang bakal mengikutnya ke Dili dan membiasakan diri dengan angin dan budaya Timor Leste.

Bermukimlah Kris dan suami di sebuah banglo indah yang dihadiahkan Raul buatnya di tepi pantai Dili dan di situlah dia mempersiapkan diri. Membiasakan status isteri usahawan terkenal di Dili.

Sebagai ayah, Trenggono merelakan pemergian Kris Dayanti ke Dili.

"Lega, sebagai orang tua kita masih bisa menyaksikan pernikahan anaknya. Ini adalah kebanggaan," ucap Trenggono usai ijab kabul anaknya di Hotel Grand Sahid Jaya.

Pesan ayah, agar suami isteri ini selalu rukun berumahtangga hingga ke anak cucu.

Tuesday, March 22, 2011

KD, Raul mohon restu kekal


ENAKNYA menjadi orang yang sabar adalah ia akan berakhir dengan sebuah kemanisan. Bukan sedikit halangan, cercaan, cacian serta pandangan skeptikal yang terpaksa ditempuh oleh Kris Dayanti sepanjang dia menjanda sejak 2009.

Waktu terbongkar kisah dia sudah bercerai dengan suami yang telah hidup bersamanya selama lebih 15 tahun, Anang Hermansyah, angin liar yang ikut bertebaran pada waktu itu adalah penyanyi yang senang disapa KD ini curang dengan lelaki lain.

Berita liar itu juga turut diakui mantan suaminya, Anang dan dua orang anak mereka, Titania Aurelie, 13, dan Azriel Akbar, 11. Kononnya KD sudah mempunyai kekasih baru (secara terlarang) dengan seorang usahawan daripada Timor Leste. Lantas, nama Raul Lemos, yang sebelum ini tidak pernah dikenal umum dikaitkan sebagai lelaki baru yang telah membuat cinta KD mekar semula.

Untuk setahun pertama hubungan mereka cuba dicungkil media, KD bertahan untuk tidak membocorkannya begitu sahaja. Rapi ia menyimpan cerita duka dan menelan segala tohmahan dengan senyum tawar yang sentiasa terukir di bibir.

Namun hari demi hari, KD mula membuka cerita cintanya dengan lelaki tersebut, Raul Lemos atau nama sebenarnya, Raul Dos Ries Lemos, itulah lelaki yang telah membuat dia gila bayang dan jatuh cinta untuk kali kedua selepas usia 30 tahun.

Memang ia nampak 'kurang manis' apabila jatuh cinta saat diri sudah terikat dengan pasangan lain. Namun sebagai hal yang bukan tabu, dan kuasa Tuhan, cinta KD dan Raul bukan cinta sembarangan. Cinta mereka, cinta duka yang kini berakhir bahagia.

"Untuk hal yang satu ini (berkahwin), saya tidak memerlukan pandangan orang lain. Apa yang penting, saya gembira dan mudah-mudahan kehidupan kami diberkati," ujar KD sewaktu pertemuan dengan Kosmo! minggu lalu.

Kata-kata itu adalah semangat yang dipupuk KD dengan jitu agar dia tidak kalah dengan peluru-peluru jahat yang tidak merestui hubungannya dengan KD. Malah tepat pukul 9.05 pagi Ahad lalu, semangat cinta KD disimpul dengan ikatan yang sah apabila Raul melafazkan akad memperisterikan dirinya.

Tampak sedikit berdebar sebelum bernikah dalam persalinan kebaya tradisional Indonesia, KD bagaimanapun tidak putus senyuman sebaik sah menjadi isteri Raul dengan hanya sekali lafaz.

Majlis pernikahan mereka berjalan dengan sederhana seperti yang diberitahu Raul sebelum ini. Diadakan di Masjid Sahid Nurul Iman, ia hanya dihadiri oleh lebih 100 tetamu yang terdiri daripada keluar, saudara dan sahabat terdekat mereka.

Keluarga KD diwakili oleh ayahnya, Trenggono yang juga bertanggungjawab telah menikahkannya dan ibunya, Rachma Widadiningsih, kakaknya, Yuni Shara dua anaknya, Titania Aurelie dan Azriel Akbar serta sanak saudara yang lain.

Sementara Raul diwakili oleh abangnya, Leopold Lemos dan ibunya, Esmeralda serta saudara-mara yang diterbangkan daripada Timor Leste.

Raul yang memberi sepersalinan kelengkapan solat sebagai mas kahwin buat isterinya itu melafazkan: "Kepada isteriku tercinta, mas kahwin ini merupakan sepersalinan alat solat. Semoga ia memberi manfaat kelak buatmu."

Ia kemudian dijawab KD dengan lafaz: "Suamiku tercinta Raul Lemos, Alhamdulillah, saya terima mas kahwin ini. Semoga Allah merestui kita."

Lantas sebaik sah menjadi suami isteri KD mengaku biar ini adalah perkahwinan kali kedua baginya, namun ia umpama satu pengalaman baru bagi dirinya. Menurut KD dia kini akan kembali masuk ke dalam fasa lama iaitu rumah tangga, namun semuanya serba baru.

"Saya berasa perkahwinan ini seperti satu pengalaman baru kerana selepas lebih setahun, saya kini akan kembali berperanan sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak kami," katanya.

Ditanya apa yang membuat cintanya begitu utuh terhadap dua beranak dua itu, KD menjelaskan dengan penuh puitis: "Semua nilai seorang Raul itu tidak dapat saya jelaskan dengan fizikalnya sahaja, tetapi saya mencintai dia zahir dan batin.

Sementara Raul yang terlihat cukup romantik apabila tidak segan-segan menzahirkan rasa kasihnya dengan mengucup bibir isteri tercinta itu pula memohon semua pihak agar mendoakan keberkatan perkahwinan mereka.

Katanya: "Biarlah kali ini perkahwinan saya dan Kris kekal hingga ke akhir hayat kerana pengalaman kami berdua yang lalu (bercerai) benar-benar menjadi pedoman."

Monday, March 21, 2011

Anak Tak Mahu Krisdayanti Berhenti Menyanyi


JAKARTA: Puteri sulung Krisdayanti (KD), Aurelle turut gembira dengan pernikahan ibunya dengan usahawan Timur Laste, Raul Lamos pada Ahad lalu.

Malah dia turut berharap agar ibunya bakal melahirkan cahaya mata secepat mungkin.

Menurut Aurelle, dia sudah mengenali Raul, malah semakin rapat dengan keempat-empat anak Raul dari perkahwinan terdahulu.

"Saya harap Mimi (KD) bahagia dengan perkahwinan ini sehingga ke akhir usianya.

"Saya juga sudah biasa dengan pakcik Raul dan sudah dua kali bertemu anak-anaknya," ujar Aurelle seperti dipetik detikhot.com.

Dalam pada itu, Aurelle mengaku akan berasa sedih jika ibunya memilih untuk meninggalkan Indonesia dan tinggal bersama Raul di Timor Laste.

"Kalau Mimi ke Dili, Timor Laste sudah tentu saya akan rindu sama dia, saya tidak mahu dia berhenti dari industri ini kerana dia sudah menjadi seorang yang sangat terkenal dan dihormati," ujarnya.

KD dan Raul telah melangsungkan majlis pernikahannya di Masjid Sahid Nurul Iman, Hotel Grand Sahid Jaya, Ahad.

Manakala majlis resepsi akan berlangsung pada 25 Mac ini (Jumaat) di Hotel Mulia, Senayan.

Dalam upacara pernikahan mereka KD menerima sepasang alat solat sebagai mas kahwin. Selepas sah menjadi pasangan suami isteri, Raul mengucup bibir KD sebanyak tiga kali.

KD juga turut menukar namanya sebagaai Kris Lemos gabungan namanya dengan suami.

Sementara itu, dalam majlis pernikahan tersebut, bekas suami Krisdayanti, Anang Hermansyah tidak hadir dengan alasan mempunyai masalah kesihatan.

Perkara tersebut diberitahu oleh Aurelle bahawa bapanya tidak hadir kerana sedang mengalami demam selesema.

Saturday, March 19, 2011

KD kini Kris Lemos

RAUL Dos Reis Lemos. Sukar benar menyebut nama lelaki pilihan jiwa Kris Dayanti (KD) ini. Mungkin sesukar itu juga wanita berusia 36 tahun itu meyakinkan khalayak bahawa lelaki yang berasal dari Dili, Timor Leste itu merupakan insan terbaik sebagai suaminya.

KD kini sah menjadi rusuk kiri lelaki yang terkenal dengan panggilan Raul Lemos dalam satu majlis akad nikah di Masjid Sahid Nurul Iman, hari ini.

"Saya bersedia menjadi isteri buat Raul Lemos di sebalik pandangan skeptikal serta penghinaan yang ditujukan kepada hubungan ini," kata KD sewaktu ditemui selepas majlis khatam al-Quran dan tazkirah perkahwinan yang diadakan di rumahnya.

Tidak mahu ketinggalan berkongsi bahagia yang terpancar di wajah ayunya, KD mempelawa penulis menyaksikan sendiri hari bahagianya itu.

Diva ini bakal mengikut suaminya jauh ke Timor Leste, membiasakan diri bergelar nona kepada seorang usahawan hebat negara itu.

Lebih romantik, pasangan yang berencana menghabiskan tempoh bulan madu di Lisbone, Portugal ini bakal berkongsi hidup di sebuah banglo di tepi pantai di Dili. Bunyinya indah dan bahagia, mungkin itu yang dicari-cari selebriti kelahiran program realiti Asia Bagus ini.

"Raul itu orangnya jujur. Dia terima saya seadanya sebagai wanita biasa dan bukan seorang figura ramai. Malah lelaki tersebut berlapang dada menerima keluarga saya," ujar Kris berbunga bahasa cinta.

Sebelum ini ramai peminat KD sangsi tehadap Raul. Keretakan rumah tangga Raul dengan bekas isterinya, Atha, membuahkan pelbagai gosip liar dan menjadi cerita hangat di Indonesia.

Senang bercerita, penyanyi lagu Aku Wanita Biasa ini mengaku banyak dididik melalui tunjuk ajar dan pandangan serta teguran oleh lelaki berusia pertengahan 40-an itu. Enaknya emosi dan keghairahan dirinya sebagai anak seni tidak pernah disekat-sekat suaminya.

"Cuma kini saya perlu membiasakan diri menjadi suri buat seorang usahawan yang disegani ramai," bicara ibu kepada Titania Aurelie Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah itu.

Bernikah pada pukul 8 pagi di Masjid Sahid Nurul Iman, Jakarta Selatan, bapa Kris iaitu Trenggono diterbangkan khas dari Bali untuk menjadi wali kepada anak perempuannya. Cinta anaknya ditalikan restu dan pengharapan seorang bapa yang selama ini menjadi pemerhati suka duka yang datang bersilih ganti dalam hidup penyanyi tersebut.

"Saya tidak mahu dia gagal kali kedua. Saya sentiasa mendoakan semoga perkahwinannya kali ini akan dirahmati Allah sehingga ke akhir hayatnya," kata Trenggono yang sudah berpisah dengan ibu Kris, Rochma Widadiningsih.

Ini merupakan pernikahan kedua buat Kris dan Raul. Kedua-dua mereka memiliki dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu.

Perkahwinan pertama Kris dengan komposer dan penyanyi Anang Hermansyah berakhir pada 2009 selepas 13 tahun hidup sebagai suami isteri.

Tutup buku kisah kontroversi pasangan terkenal Kris-Raul, perkahwinan membawa mereka ke dalam dunia baru dan bahtera inilah yang harus mereka lalui atas pilihan yang telah berakar di hati dan bermula di pelamin.

Friday, March 18, 2011

KD Tempah 25 Bilik Hotel Jelang Hari Nikah


JAKARTA: Demi menyenangkan upacara pernikahannya, penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti (KD) (gambar) menempah 25 bilik di Hotel Sahid Jaya untuk menempatkan keluarga kedua bakal pengantin.

"Insya-Allah terdapat 25 bilik yang disediakan untuk keluarga Krisdayanti dan Raul," ujar salah seorang sumber yang dikenali nama H Usman, Jumaat.

Akad nikah KD dan Raul akan dilaksanakan pada 20 Mac inidi Masjid Sahid Nurul Iman, Hotel Sahid, Jakarta.

Menjelang hari pernikahan, KD mengadakan majlis khatam al-Quran di kediamannya di kawasan Radio Dalam, Jakarta Selatan, Jumaat. Majlis tersebut dihadiri teman-teman KD dari kalangan artis termasuk penyanyi dangdut Iis Dahlia.

Monday, March 14, 2011

Kris Dayanti, Raul Beraksi Mesra Di Khalayak


TINGGAL beberapa hari lagi pernikahan diva pop Indonesia, Kris Dayanti dan jutawan Timur Leste, Raul Lemos bakal berlangsung, pasangan tersebut dilihat semakin berani mempamerkan aksi mesra di depan khalayak.

Malah Raul juga kini sentiasa menemani Kris di kebanyakan persembahan pentas serta aktiviti seni lain. Terbaru, Raul begitu setia menemani Kris yang menjadi model klip video temannya, Ilis Dahlia, yang berjudul Nurlela.

"Memang mereka tampak begitu bahagia walaupun pelbagai berita negatif tentang Raul dihebohkan baru-baru ini.

"Ternyata mereka tidak mengendahkan gosip-gosip kosong tersebut, malah mereka kelihatan seperti belangkas yang mabuk cinta. Lihatlah, mereka sudah berani menunjukkan aksi-aksi mesra di depan umum," kata sumber kepada laman portal Detikhot.

Pada penggambaran klip video Ilis, Kris tampak jelita dengan gaun berwarna hijau. Kakaknya, Yuni turut menjayakan klip video tersebut yang diadakan di Studio Sparc, Jalan Raya Bogor, Jakarta Timur, Isnin.

Kris dan Raul bakal bernikah pada 30 Mac depan di Masjid Sahid Nurul Iman Jakarta . Majlis resepsi pula akan diadakan pada 25 Mac 2011 di Ballroom Hotel Mulia Senayan.

Thursday, February 24, 2011

Kris Dayanti, Raul Jalani Fotografi Pra Perkahwinan


JAKARTA: Upacara pernikahan yang semakin hampir, penyanyi Kris Dayanti dan kekasihnya Raul Lamos dikhabarkan telah melakukan sesi fotografi pra perkahwinan di kawasan Kota Tua, Jakarta Utara.

Pereka fesyen, Iva Gunawan memberitahu bahawa KD telah memintanya menyiapkan beberapa pakaian untuk digayakan pada hari pernikahannya termasuk untuk sesi fotografi pra perkahwinan tersebut.

"KD telah telah mencuba baju yang diinginkan, malah mereka telah memakai beberapa baju untuk fotografi pra perkahwinan semalam," katanya.

Ivan mengakui mudah untuk berurusan dengan diva popular Indonesia itu dalam merancang busana yang bakal digayakannya pada hari bersejarah itu.

"Untuk fotografi tersebut KD menyuruh saya menyiapkan satu gaun pengantin berwarna putih bertema klasik," katanya.

Friday, November 26, 2010

Kris Dayanti Akui Aurel Lebih Baik Darinya

DIVA Pop Indonesia, Krisdayanti turut gembira dengan kejayaan puterinya Aurel yang kini berduet dengan ayahnya yang juga bekas suami penyanyi tersebut, Anang Hermansyah.

“Sejak umur empat tahun lagi dia sudah baca puisi, dia sudah biasa berada depan khalayak dan mempunyai keyakinan yang sangat tinggi.

“Dia mengenali muzik pada usia yang sangat muda, dia sudah tahu balok dan note muzik dan kedudukan suara yang tepat,” ujarnya ketika ditemui di pelancaran album Aurel berjudul Tanpa Bintang, seperti dipetik KapanLagi.com.

Krisdayanti yakin Aurel mampu bersaing pendatang-pendatang baru, apatah lagi dia didampingi oleh bapanya.

“Insya-Allah saya yakin dia mampu bersaing dengan pendatang baru dalam industri muzik Indonesia. Ayahnya sentiasa berada di sisinya,” katanya.

Katanya, Aurel jauh lebih baik daripada dirinya ketika memulakan langkah ke dunia seni. Dia mempunyai banyak pengalaman dan orang-orang disekeliling yang boleh membantunya.

“Dia bertuah kerana dilahirkan dalam lingkungan anak seni dan tahu apa yang dia mahu. Dia jauh lebih baik dari saya jika dibandingkan ketika mula menceburkan diri dalam dunia seni ini,” katanya.

Dalam pada itu, Krisdayanti mengakui sedih kerana tidak terlibat dalam projek album puteri sulongnya itu.