Showing posts with label Ning Baizura. Show all posts
Showing posts with label Ning Baizura. Show all posts

Saturday, December 3, 2011

‘Beribu Sesalan’ Versi Ning Baizura Tidak Canggung!


KUALA LUMPUR: Biarpun menyanyikan lagu Beribu Sesalan secara bersendirian tanpa Jaclyn Victor dan Shila Amzah, penyanyi Ning Baizura tetap membawakan lagu tersebut dengan memukau dan mantap di Konsert Ning @ KL Live, di Life Centre, Jalan Sultan Ismail, di sini, Jumaat.

Menggunakan bantuan teknologi skrin putih yang menayangkan video rakaman Ning menyanyikan lagu itu, paduan suara antara video dan nyanyian Ning di atas pentas itu secara selang-seli tidak kedengaran canggung.

Secara keseluruhannya, pengalaman Ning selama 18 tahun dalam industri seni tempatan banyak membantu penyanyi ini menggilap bakatnya yang terkenal dengan suara soprano itu.

Selain itu, Ning menyanyikan lebih daripada 20 buah lagu popularnya secara medley seperti Curiga, Dugaanku, Pasti, Penjara Kasih, Kau Dan Aku, Alangkah, Kata Hati, Asmara, Percaya, You And I, Selagi Ada Cinta, Bersama Berdua, Ke Sayup Bintang, Wishing All The Star, Mama Papa dan Awan Yang Terpilu dengan iringan muzik live band yang diketuai oleh Alvin Santiago.

Dengan memilih konsep bunga, Ning turut mengundang penyanyi Russell Curtis dan Altimet untuk berduet dengannya menerusi lagu Antara Kita (Russell) dan Mama Papa (rap oleh Altimet).

Friday, June 24, 2011

Suami Berhenti Kerja Untuk Bantu Ning

KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi popular, Ning Baizura iaitu Omar Sharif Christopher Layton Dalton bertekad berhenti kerja bagi membantu melancarkan perjalanan kerjaya isteri tercinta.

Kata Ning, suaminya yang bekerja sebagai pengurus di bahagian pemasaran sebuah syarikat minyak dan galian itu kini menumpukan perhatian kepada strategi pemasaran album terbarunya berjudul Dewa dan konsert yang bakal diadakan Disember depan.

“Album Dewa baru sahaja berada di pasaran, saya bersyukur kerana suami saya mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama membantu mempromosikan album ini.

“Skop kerja dia masih sama seperti dahulu iaitu bahagian pemasaran cuma produk sahaja yang berbeza, jadi bagi saya dia lebih pakar untuk berbincang dan menyusun strategi pemasaran,” ujarnya.

Selain itu, Ning yang bakal mengadakan sebuah konsert pada 2 dan 3 Disember depan di KL Live Center kini sedang sibuk mencari penaja.

“Saya dan suami kini sibuk mencari penaja untuk konsert tersebut, seperti biasa masalah utama artis Malaysia bila nak buat konsert ialah tiada penaja.

“Buat masa sekarang Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Bank Simpanan Nasional merupakan penaja utama, namun kami masih lagi mencari penaja yang sudi menaja konsert tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ning berkata album yang memuatkan lapan buah lagu itu juga merupakan buah tangan terbarunya setelah hampir lapan tahun menyepi.

“Peminat saya sudah lama menunggu album baru, kali terakhir ialah pada tahun 2004 menerusi album Pertemuan.

“Setiap lagu dalam album ini juga mempunyai makna tersendiri yang menceritakan tentang kisah hidup saya sepanjang menjadi anak seni,” katanya.

Tambah Ning, pemilihan tajuk album menggunakan nama Dewa adalah memberi makna sebagai cahaya baru dalam kerjaya nyanyiannya.

“Dewa bermaksud cahaya dalam bahasa Sanskrit iaitu cahaya baru bagi saya dalam perjalanan kerjaya.

“Dari segi genre lagu dan vokal yang baru dalam setiap lagu dalam album ini adalah mengikut perkembangan muzik masa kini,” katanya yang menerbitkan sendiri album tersebut.

Saturday, March 5, 2011

Ning tolak Dreamgirls


“SAYA terpaksa lupakan Dreamgirls. Bukan saja-saja tetapi segalanya demi konsert saya sendiri,” kata Ning Baizura tanpa dapat melindungi rasa terkilannya.

Namun ada apa Dreamgirls dengan Ning? Ning sebenarnya telah ditawarkan untuk terlibat dalam pementasan musim kedua yang cukup popular itu. Dia sepatutnya membawa watak Deena Jones.

Namun, kali ini Ning harus memilih hal yang paling atas dalam kerjayanya. Justeru, dia memilih untuk memberi fokus terhadap bidang nyanyian. Sementelah dia telah merancang sebuah konsert untuk peminat setianya.

“Tahun ini jadual kerja saya sudah penuh. Selepas album terbaru saya dilancarkan sekitar bulan ini, saya akan terbabit dengan persembahan di seluruh negara. Jadi, sukar untuk saya mencari masa bagi pementasan itu,” ujar Ning yang bakal muncul dengan album berjudul Dewa itu.

Walau bagaimanapun, untuk mengubat hati peminatnya yang hampa, penyanyi bersuara soprano ini akan beraksi di pentas Istana Budaya (IB) kerana terlibat dengan penganjuran Festival Muzik Kuala Lumpur 2011 pada Julai nanti.

Sempena festival itu, Ning akan mengadakan konsert solonya, Ning Live In Concert selama dua malam berturut-turut iaitu pada 1 dan 2 Julai.

“Untuk konsert di IB, saya dan pihak produksi telah mula berbincang tentang konsep yang ingin dipersembahkan. Saya menggambarkan, konsert itu bakal mencerminkan semua genre muzik yang ada dalam diri saya,”katanya yang telah menyenaraikan lebih 30 buah lagu untuk dipersembahkan namun belum muktamad.

Sementara itu mengulas mengenai album 3 Suara yang menggabungkan dirinya dengan Jaclyn Victor dan Shila Amzah, Ning menafikan mereka bertiga bersaing sesama sendiri.

“Kami tidak sesekali bersaing sesama sendiri untuk membuktikan siapa yang lebih baik, sebaliknya kami saling berkerjasama agar keharmonian dan keserasian dalam setiap lagu tercipta,” tutur spontan Ning.

Tutur Ning lagi, album istimewa 3 Suara tersebut telah berada di pasaran pada 6 Januari lalu. Antara lagu yang kerap dimainkan di corong radio ialah Di Mana Di Mana dan Beribu Sesalan.

Mengulas tentang penglibatannya dalam projek julung-julung kalinya itu, ketiga-tiga mereka menjelaskan berasa cukup bangga kerana terpilih untuk menjayakan album yang diterbitkan oleh Kelvin Chin dan Aylwin Santiago itu.

“Saya rasa kombinasi tiga suara ini amat menarik kerana masing-masing mempunyai suara yang berbeza. Masing-masing ada kekuatan sendiri.

“Saya punya suara soprano, Shila mempunyai suara yang merdu, manakala Jac punya suara yang lantang. Perbezaan inilah yang menjadikan album ini unik dan lain daripada yang lain,” ulas Ning.

Bagi Jac, mereka tidak menghadapi sebarang masalah kerana diberi kebebasan untuk menyanyi mengikut keselesaan sendiri.

Cuma cerita Jac, hanya timbul sedikit masalah ketika merakamkan lagu-lagu tersebut kerana masing-masing mempunyai komitmen lain.

“Walaupun Shila paling junior tapi saya dan Ning tidak pernah memandang rendah terhadap keupayaannya. Apa yang pasti, biarpun usianya muda tapi pengalaman yang dia (Shila) ada, tidak dapat dipertikaikan,” ujar Jac.

Shila pula memberitahu, ramai yang ‘cemburu’ dengannya kerana terpilih sebagai sebahagian daripada album 3 Suara ini.

“Bekerja dengan Ning dan Jac memang sesuatu yang mengagumkan. Saya percaya, album ini akan menarik lebih banyak peminat,” katanya.