Showing posts with label Ella. Show all posts
Showing posts with label Ella. Show all posts

Saturday, August 4, 2012

Ella selepas bergelar isteri tetap manja dan ceria

DIA kelihatan tidak berubah sama seperti zaman bujang, biarpun dirinya kini sudah bergelar isteri orang. Sikapnya masih ceria dan manja seperti kebiasaan.
Sudah biasa hidup membujang, Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin,46, sebenarnya beberapa hari lagi bakal genap sebulan menjadi isteri kepada juruterbang, Anuar Husaini Ghazali,31. Mereka berkahwin pada 7 Julai lepas.
Sehubungan itu, sudah pasti ramai yang ingin mengetahui apakah perasaan Ella ketika ini. Ikuti temu bual Kosmo! bersama insan yang bergelar Ratu Rock Negara ini.
Kosmo!: Apa perasaan Ella selepas bergelar isteri sekarang ini?
ELLA: Saya cuba untuk belajar lagi dan sesuaikan diri saya sebagai seorang isteri. Saya memang dalam proses belajar. Memang kita akan rasa kita mempunyai kehidupan yang berbeza ketika solo dan setelah berumah tangga.
Bagaimana perjalanan proses tersebut, adakah ia menyukarkan atau Ella teruja untuk menempuh semua itu?
Dia membawa kita kepada perkara positif yang mana ia memang bagus, Alhamdulillah. Seperti apabila kita keluar rumah perlu minta kebenaran, itu merupakan perkara yang harus. Banyak juga yang perlahan-lahan saya melakukannya dan biasakan diri.
Ella kelihatan tetap Ella yang manja dan ceria. Jadi, adakah suami menerima seadanya sikap Ella yang sebegitu?
Saya juga tidak pasti namun dia kata dia sayang kepada saya. Dia tiada melarang saya untuk berubah atau minta itu dan ini. Mungkin apabila dia nampak kelemahan Ella, dia akan tegur secara perlahan-lahan. Tapi, setakat ini, katanya dia suka.
Apa perkara yang kekok untuk anda lakukan selepas berkahwin?
Saya tidak boleh untuk fikir bagi mengisi perut sendiri kerana kini sudah berdua. Dua itulah kita hendak jadikan satu. Tapi yang bagusnya, dia tidak paksa dan dia lebih semangat untuk perkara yang menggembirakan saya.
Bagaimana penerimaan pihak lelaki terhadap Ella semasa sesi suai kenal?
Alhamdulillah, sangat baik. Kedua-dua belah keluarga juga memberi respons yang baik.
Perasaan Ella menyambut Ramadan tahun ini?
Sudah tentu gembira kerana pada Ramadan kali ini Ella dapat mengerjakan solat tarawih bersama suami.
Bagaimana persiapan raya Ella dan suami?
Ringkas sahaja kerana kami berdua kerja. Ella pun tidak ambil cuti lama, mungkin dalam sehari atau dua. Kami hanya akan ke rumah saudara-mara yang terdekat dan mula kerja semula. Kami belum putuskan mahu pulang ke rumah siapa dahulu. Kelak kami akan duduk berbincang untuk menentukan perkara itu.

Saturday, July 7, 2012

Ella Sah Bergelar Isteri Kepada Azhar

KLANG: Ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 46, sah bergelar isteri kepada juruterbang syarikat Firefly, Azhar Ghazali, 30-an dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan mereka diadakan di rumah keluarga Ella di Teluk Gadung, Klang di sini kira-kira pukul 10.30 malam Sabtu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Jurunikah Masjid Nurul Iman, Klang, Baharuddin Abu Bakar berwalikan abang sulung pengantin perempuan, Mohd Noor Izam Aminudin.

Ella dan Azhar sebelum itu telah ditunangkan sebelum majlis akad nikah bermula.

Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga pengantin kedua-dua belah pihak dan wakil media.

Pengantin perempuan menerima RM50,300 sebagai mas kahwin berserta tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang.

Ella dan Azhar kelihatan sedondon dengan persalinan berwarna krim rekaan Saiful Baharim.
Manakala majlis resepsi mereka akan diadakan pada 1 Disember depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ella dan Azhar berkenalan sejak sembilan tahun lalu dan hubungan itu menjadi serius sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Monday, April 2, 2012

Mentor 6: Caroline Tidak Tumpang Aura Ella


SHAH ALAM: Ratu rock negara, Ella menegaskan kemenangan protegenya Caroline pada konsert pertama kumpulan B dalam program Mentor musim keenam bukan dipengaruhi oleh aura dan pesonanya.

Ella berkata auranya sebagai bintang rock negara tidak mencukupi jika Caroline sendiri gagal mempamerkan mutu persembahan yang baik.

"Aura saya sahaja tidak cukup jika Caroline tidak buat persembahan yang baik. Ia memerlukan keseimbangan daripada kami untuk disukai oleh juri dan penonton.

"Apa pun, dia telah memukau saya dalam persembahannya. Saya gembira kerana dia berpotensi besar dan versatil," katanya ketika ditemui mStar Online, di sini, malam Ahad.

Caroline atau nama sebenarnya Puteri Caroline Mohd Kamel, 20, mengungguli kumpulan itu dengan 71 peratus markah pada persaingan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam Ahad.

Menyusul di belakangnya adalah protege Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) iaitu Zatul sebanyak 54 peratus manakala Adam dan protegenya, KJ mengutip 52 peratus.

Caroline pula berkata dia sudah berusaha menampilkan persembahan terbaik mengikut kemampuannya dan bukan bersandarkan pada pesona mentornya itu bagi meraih perhatian.

"Saya masih belum beri sepenuhnya pada malam ini (Ahad). Masih banyak yang perlu saya keluarkan pada persembahan akan datang tetapi saya seronok," katanya.

Gadis dari Tanah Merah, Kelantan itu menyampaikan lagu Cinta Di Hujung Jalan nyanyian asal Agnes Monica untuk persembahan solo dan tampil berduet bersama Ella dalam lagu Rindu.

Zatul mendendangkan lagu solo Ketulusan Hati (Anuar Zain) dan berduet dengan mentornya Ogy menerusi Wajah Rahsia Hati.

KJ pula menyampaikan lagu solo One In A Million (Neyo) dan duet bersama Adam dalam lagu Breakdown (Kim Hyun Joong).

Kesemua protege mengalunkan rangkaian lagu medley bagi segmen penghargaan kepada komposer Azmeer menerusi lagu Langit Ketujuh, Cinta Adam dan Hawa dan Tiga Malam Tanpa Bintang pada persembahan penutup.

Format pengiraan markah bagi musim ini masih kekal iaitu 50% daripada juri profesional, 30% (SMS) dan 20% (juri awam).

Mentor 6 yang masih diacarakan oleh Ally Iskandar Mohd Mardzi dan Nas Ahmad disiarkan secara langsung pada setiap Ahad, pukul 9 hingga 10.30 malam di TV3.

Tuesday, March 22, 2011

Konsert Melda bersama idola


ELLA, Hujan, Yuna dan One Nation Emcess! Itu semua adalah ‘habuan’ kepada siri 13 episod yang telah dijayakan oleh gadis kelahiran Kuala Lumpur itu sejak 11 Januari lalu.

Semakin hampir kepada penghujung perjalanan Melda Gadis Semasa Sunsilk, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu sekali lagi disuakan dengan satu peluang untuk melempiaskan bakat nyanyiannya untuk tatapan umum.

Sebagai penutup tirai drama realiti tersebut, sebuah konsert akan diadakan pada 16 April ini. Melda yang terkenal menerusi lagu Putus yang dimuat turun melalui laman YouTube akan berganding dengan idola-idolanya itu dalam konsert tersebut.

Menurut Pengurus Jenama (Sunsilk), Unilever Malaysia Holdings Sdn. Bhd., Emily Chong, penganjuran sebuah konsert merupakan satu bukti bahawa seseorang itu benar-benar merupakan seorang penyanyi.

“Konsert itu adalah sebahagian daripada tanda bahawa Melda merupakan seorang penyanyi. Bagaimanapun, apa yang paling penting ialah tahap keyakinan yang ada dalam dirinya dan persediaan untuk dia membuat persembahan.

“Bagaimanapun, selepas berakhirnya konsert itu dan drama tersebut, ia terpulang kepada Melda untuk meneruskan apa yang telah dikutip selama ini memandangkan kami bukan sebuah syarikat rakaman,” ujar Emily.

Menjawab persoalan itu, Melda tidak segan mengaku dia bercita-cita untuk memiliki sebuah album untuk mencurahkan kreativitinya mencipta lirik dengan bantuan beberapa pakar muzik termasuk Ajai yang telah membimbingnya sepanjang terlibat dalam Gadis Semasa Sunsilk.

Berbicara lanjut mengenai konsert sulungnya yang akan dijalankan secara rakaman di sebuah tanah lapang berhampiran Kelab Orange, Kuala Lumpur, Melda tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila diberi peluang sedemikian.

“Saya tidak sangka akan menerajui konsert sendiri kerana inilah satu-satunya peluang untuk orang ramai mengenali diri saya. Saya akan cuba yang terbaik.

“Tidak dinafikan saya memang gementar, tetapi dengan masa yang ada, saya akan lakukan persiapan dengan sebaik mungkin,” tuturnya yang kini sedang mengikuti pengajian dalam Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Selain lagu Putus yang telah disuntik dengan elemen baru oleh Ajai, Melda akan melantunkan lagu terbarunya berjudul Aku Adalah Aku semasa berlangsungnya konsert itu nanti.

Bagi yang ingin menyaksikan Melda dalam konsert pertamanya itu, mereka boleh mendapatkan tiket di jelajah Gadis Semasa Sunsilk yang akan diadakan di empat lokasi iaitu di Pantai Timur Hype, Kota Bharu, Kelantan (18 dan 19 Mac), Tunas Manja, Kuantan, Pahang (26 dan 27 Mac), Mydin, Kuala Terengganu (1 dan 2 April) dan Giant Batu Caves (2 dan 3 April).

Sebarang maklumat lanjut, boleh layari www.facebook.com/GadisSemasaSunsilk untuk mengikuti perkembangan drama tersebut dan maklumat tiket konsert.