Showing posts with label Siti Nurhaliza. Show all posts
Showing posts with label Siti Nurhaliza. Show all posts

Thursday, July 4, 2013

Siti berminat taja kanak-kanak Palestin

Siti Nurhaliza
BIARPUN jadual hariannya cukup padat dengan aktiviti seni, ia langsung tidak menghalang penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk melakukan kerja-kerja amal.
Baru-baru ini penyanyi berkenaan telah menjayakan acara minum petang Rebuild Gaza For a Nation Feat Datuk Siti Nurhaliza & Rabbani anjuran Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) dan Rabbani Production Sdn. Bhd. yang berlangsung di Hotel De Palma, Ampang, Selangor.
Antara matlamat utama penganjuran acara tersebut adalah bagi mengumpul dana untuk membangunkan semula Gaza di Palestin serta daerah yang musnah teruk angkara serangan Zionis Israel.
Siti yang ditemui selepas berakhirnya acara menyatakan, sebagai seorang umat Islam dia perlu bersikap lebih prihatin terhadap nasib saudara seagama di Palestin yang teruk ditindas.
“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, saya mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin dan mengikut jejak langkah beberapa artis lain seperti Heliza Helmi dan Afdlin Shauki.
“Kalau diizinkan oleh Allah dan suami, saya berharap dapat pergi ke sana, terutamanya ke Masjid Al-Aqsa dan Gaza. Saya sentiasa berdoa agar impian ini terlaksana,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia mempunyai rancangan untuk mengambil anak angkat atau menaja kanak-kanak Palestin, Siti memberitahu dia pernah berbincang mengenai perkara itu dengan pihak Mapim.
“Andai ditakdirkan saya menerima seorang kanak-kanak dari Palestin, sudah tentu saya gembira dan akan menjaga sebaik-baiknya. Cuma pihak Mapim menjelaskan agak sukar untuk membawa kanak-kanak Palestin keluar dari tanah air mereka.
“Saya diberitahu bahawa lebih baik mereka terus tinggal di negara asal. Namun begitu, untuk menaja pula rasanya tiada masalah. Saya memang berminat dengan langkah sebegini sebagai satu sumbangan kecil saya,” jelasnya.
Menurut Siti, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan suaminya di samping mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Mapim tentang langkah seterusnya.
Siti belum dikurniakan anak sejak berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada tahun 2006.
Imej baik
Atas dasar keprihatinan yang ditunjukkan terhadap nasib umat Islam Palestin, Siti menerima kejutan apabila menerima Anugerah Kemanusiaan Mapim.
Menurut Siti, dia agak terkejut dengan anugerah itu, namun bersyukur. Dia berharap anugerah itu mampu memberi dorongan kepada dirinya dan rakan-rakan artis lain supaya prihatin terhadap nasib umat Islam yang lain.
“Kalau dilihat sumbangan saya ini agak kecil berbanding dengan beberapa ahli Mapim yang telah memberanikan diri pergi ke Palestin dan memberikan bantuan yang diperlukan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Siti layak menerima anugerah berkenaan kerana dia mempunyai imej yang baik sebagai seorang artis serta bersikap kepada umat Islam Palestin.
“Sewaktu pihak Mapim mahu mengundang Siti untuk menjayakan acara minum petang ini sebagai salah satu aktiviti mengutip dana bagi membantu rakyat Palestin, dia terus menerimanya.
“Selain itu, kami banyak berkongsi mengenai keadaan terkini yang berlaku di Palestin. Akhirnya, ahli jawatankuasa Mapim mengambil keputusan untuk memberikan anugerah ini kepada Siti,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Siti mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Oda Di Bumi Anbia, Ketika Cinta dan Kepadamu Kekasih, manakala Rabbani mendendangkan lagu-lagu seperti Intifada, Teman Sejati serta Mawar Berdarah yang merupakan lagu baharu mereka.
Lebih menarik lagi, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan meluangkan masa hadir pada acara tersebut. Pada masa yang masa berlangsung majlis pelancaran buku The Tunnel Girl tulisan Mohammad Qayyum Badaruddin dan Nur Sakinah Hanani Mohd. Azmi.

Friday, March 29, 2013

Siti Nurhaliza Bertudung 2013


Sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza sudah acap kali dikritik ramai terhadap penampilan bertudungnya yang kelihatan belum sempurna memandangkan tidak menutup keseluruhan mahkota berharga miliknya itu.
Namun begitu, penyanyi yang dilahirkan di Temerloh, Pahang itu telah membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk bertudung penuh pada tahun ini.
Ternyata transformasi yang dilakukan oleh Siti itu disambut positif oleh para peminat, cuma terdapat segelintir pihak yang seolah-olah cuba mempertikaikan keputusan yang dibuatnya itu.
Antaranya, dia dikatakan mahu bertudung penuh setelah tragedi yang menimpa suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu.
Berkesempatan menemui Siti semasa sesi percutian bersama pengguna SimplySiti ke sebuah taman tema di Johor kelmarin, penyanyi itu menegaskan keputusan yang dibuatnya itu adalah atas kerelaan sendiri.
"Memang ada yang beranggapan bahawa keputusan saya ini berpunca daripada tragedi yang melanda suami, tetapi saya ingin nyatakan bahawa ia langsung tidak berkaitan.
"Hasrat bertudung memang sudah lama saya pendam sejak mengerjakan ibadah haji pada tahun 2008. Cuma saya lakukan secara berperingkat-peringkat dan akhirnya keputusan bertudung penuh dibuat ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 11 Januari lalu," jelasnya.
Menurut Siti, dengan penampilan baharunya itu dia merasakan ia bukanlah satu masalah yang besar untuk beraksi di pentas dan turut gembira kerana peminat telah memberikan sokongan yang pada terhadap dirinya.
"Apabila semakin menginjak usia, saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat perubahan ini. Selain itu, saya anggap semua yang berlaku ini merupakan doa daripada para peminat yang sentiasa menyokong saya," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai ikon wanita bertudung yang menjadi pilihan dirinya, Siti menyatakan, dia cukup minat dan tertarik dengan gaya muslimah yang ditampilkan oleh Hana Tajima.
Menurut Siti, dia menjadikan Hana sebagai salah satu contoh untuk imej bertudungnya sekarang ini memandangkan gadis itu dilihat pandai berfesyen, meskipun memakai tudung.
"Setiap wanita yang bertudung tidak semestinya sukar untuk bergaya dan itu yang ditonjolkan oleh Hana Tajima. Saya akui telah menjadikan dia sebagai panduan terutamanya mencari idea tentang cara pemakaian tudung," ujarnya.
Berkenaan dengan penerimaan Datuk K terhadap perubahan penampilan yang dilakukannya itu, Siti menyatakan suaminya merupakan individu yang paling gembira.
"Suami saya begitu memahami kemahuan saya dan dia yang banyak memberikan sokongan kepada saya. Apa yang menariknya, sesekali dia juga pernah memberikan idea kepada saya untuk memilih tudung yang sesuai," jelasnya.

Wednesday, December 26, 2012

Siti Nurhaliza Jadi Pengacara 'Game Show' Pula

Datuk Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan program bual bicara berjudul Siti, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza mengembangkan bakatnya dalam mengacara program berbentuk permainan (gameshow) pula iaitu Siti Ooo...Som.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Taruddin, 32, berkata, percubaan kali kedua sebagai pengacara tetap memberikan cabaran yang tersendiri namun masih lagi terkawal memandangkan konsepnya lebih santai, berbeza dengan Siti, dimana ia sebuah program yang serius.
"Dah lama sebenarnya saya ingin mengacara program gameshow seperti ini kerana saya sukakan aktiviti riadah.
"Alhamdulillah, satu lagi impian saya mengendalikan program berbentuk gameshow berjaya dilaksanakan," katanya.
Tambah Siti, menarik lagi tentang Siti Ooo...Som, dia tidak perlu membuat persembahan dalam program tersebut, dan lebih memberikan fokus mengacara bersama dengan dua selebriti hebat, Nabil Ahmad dan Sharifah Shahira (Shira).
"Alhamdulillah, Nabil dan Shira banyak membantu saya menjadi lebih santai dalam program ini.
"Lebih seronok lagi, apabila melihat gelagat para artis serta peserta-peserta lain dikenakan dengan permainan yang setengahnya dicipta sendiri oleh saya.
"Bagaimanapunm, permainannya tidaklah terlalu berat kerana ia lebih kepada konsep keseronokan bekerjasama dalam sebuah kumpulan," ujarnya.
Siti Ooo...Som yang diterbitkan sebanyak 13 episod oleh Global Station Sdn Bhd ini melibatkan seramai enam orang dibahagikan kepada dua buah kumpulan.
Para peserta perlu melalui cabaran permainan yang dibahagikan kepada enam segmen iaitu Sepantas Kilat, Riuh Rendah, Siapa Hebat, Kebaboom, Siti Cabar dan Huru Hara.
Program ini bakal ditayangkan pada Januari tahu depan.

Thursday, April 5, 2012

Siti tidak curigai Datuk K


BUKAN kali pertama, namun sudah dua kali gosip ini bertiup kencang. Gosip yang mengaitkan suami kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K dengan aktres jelita, Rozita Che Wan.

Gosip yang mendakwa Datuk K menjalin hubungan sulit bersama Rozita kembali bersemarak setelah beberapa lama sunyi kerana tidak ada bukti kukuh.

Namun pada 17 Mac lalu, muncul gosip dalam blog-blog hiburan mendakwa anak bongsu Rozita iaitu Aniq Ezra Azuar Effendy,14, lari dari rumah sebelum ditemui beberapa jam kemudian di rumah rakannya di Subang Jaya tidak jauh dari rumah.

Insiden itu pada mulanya dikatakan ekoran Rozita sudah berkahwin dengan seorang Datuk. Spekulasi timbul kembali mendakwa Datuk yang dimaksudkan itu ialah Datuk K!

Isu itu selesai kerana semasa memberi keterangan kepada pihak polis, Aniq Ezra dikatakan mengakui lari kerana merajuk dan berkecil hati dengan sikap Rozita yang dilihat terlalu melebih-lebihkan abangnya iaitu Ammar Effendi, 15.

Biarpun begitu, apa yang jelas sekali lagi Rozita dan Datuk K dikaitkan, biarpun tiada bukti kukuh menunjukkan yang gosip yang disebarkan beberapa blog hiburan tersebut benar.

Pada masa yang sama ketika diminta mengulas gosip terbaharunya itu, Rozita menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut dan berhasrat untuk menyaman pihak yang mengaibkan dirinya itu.

Namun apa pula yang bermain di benak perasaan Siti selaku isteri kepada Datuk K?

Kosmo! sempat meminta penjelasan dan menyelami perasaan Siti sendiri setelah dilanda gosip yang sama sebanyak dua kali.

Peluang menemu bual figura jelita ini terbuka sewaktu dia hadir dalam sidang akhbar di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada Isnin lalu sempena pengumuman majlis Hari Ibu Bersama Datuk Siti Nurhaliza 2012.

Kosmo!: Apa komen Siti apabila gosip Datuk K dan Rozita heboh diperkata sekali lagi. Kali ini lagi teruk kerana mereka didakwa telah berkahwin.

Siti: Kalau boleh Siti tidak mahu komen kerana jika ditulis, lagi orang akan bercakap. Siti pernah memberitahu rakan-rakan wartawan, Siti malas nak komen kerana akan besar lagi isu ini. Cuma Siti mahu cakap di sini, apa-apa pun fikir dulu sebelum kita buat gosip seperti ini.

Siti sudah tiada reaksi yang mahu diberikan. Siti pun langsung tidak bertanyakan tentang hal itu kepada suami kerana Siti tahu memang tiada apa-apa pun yang betul tentang cerita itu. Jadi tiada langsung sepatah perkataan menyebut tentang ini kerana kita tahu kenyataannya bagaimana. Siti tiada perasaan marah sedikit pun terhadap Rozita. Ini kerana bagi Siti cerita ini memang tidak betul dan sengaja diada-adakan.

Apa perasaan Siti ketika ini?

Biarlah mereka (penyebar gosip menerusi blog di Internet). Sekarang Siti seperti tiada perasaan terhadap perkara ini. Geram memanglah geram tetapi jika kita selalu layan orang begini, memang kita juga yang sakit hati dan pening kepala. Jika orang yang betul-betul tidak kuat dan terbawa-bawa emosi, mungkin mereka akan lakukan sebegitu. Namun bagi Siti, tiada apa pun. Siti percaya kepada suami.

Tapi Siti ada tak pergi berjumpa dengan Rozita atau sebaliknya?

Tidak sama sekali dan tiada sebab untuk kami berbuat begitu. (ketawa)

Adakah ia mengganggu hubungan Siti bersama Rozita sendiri?

Andai Siti dan Rozita bersua pada majlis Anugerah Bintang Popular (yang bakal berlangsung pada Ahad ini), kami akan bertegur sapa seperti biasa. Tiada sebab untuk Siti mahu memusuhi Rozita atau mengelak daripada berhadapan dengan dia. Tiada sebab langsung. Ini kerana Siti tahu memang ini semua (hubungan sulit Datuk K-Rozita) tidak berlaku.

Rozita ingin ambil langkah untuk saman individu tersebut, justeru adakah Siti juga akan mengambil tindakan yang sama?

Ada juga saya dan suami terfikir. Jika betul kami jumpa individu tersebut, memang akan kami lakukan. Namun orang yang di alam maya (penulis gosip blog) ini agak sukar untuk dicari siapakah sebenarnya mereka. Siti rasa kesabaran Siti dan suami hanya Allah sahaja yang tahu. Suami pun kecewa dan mengalami tekanan kerana rakan-rakannya sering bertanya tentang hal ini. Ia sehingga membuatkan fikiran dia benar-benar terganggu. Siti kenal suami Siti, insya-Allah dan rasanya tiada langsung perkara sebegini berlaku, apa lagi untuk mencurigai suami Siti.

Andai kata penyebar gosip itu sekali lagi menghebohkan tentang perkara itu di masa hadapan, adakah Siti akan ambil tindakan?

Biarlah, kita akan berdoa dan berserah kepada Allah supaya orang yang buat fitnah itu akan diampuni dosa oleh Allah dan kembali ke pangkal jalan. Itu Siti rasa jalan terbaik kerana Siti rasa dia pun tahu, fitnah itu lebih keji daripada membunuh.

Monday, April 2, 2012

Datuk K Tertekan Tuduhan Kahwin Rozita Che Wan


SUBANG JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mendedahkan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K agak tertekan selepas timbul gosip kononnya suami beliau itu telah menjalinkan hubungan sulit dengan pelakon popular, Rozita Che Wan.

Siti berkata, disebabkan suaminya seorang ahli korporat, beliau sering berjumpa dengan klien dan mereka kerap bertanyakan desas-desus berkenaan sehingga membuatkan fikiran Datuk K benar-benar terganggu.

"Gosip itu secara dasarnya telah memfitnah beliau dan sudah tentu menjejaskan emosinya kerana beliau telah dipandang serong oleh segelintir kenalan," ujarnya kepada mStar Online selepas ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Datuk Siti Nurhaliza - Istimewa Hari Ibu di sini pada Isnin.

Siti diminta mengulas mengenai dakwaan terbaru yang disebarkan oleh beberapa blog hiburan kononnya Datuk K bakal berkahwin dengan Rozita Che Wan.

Rozita dalam masa sama turut menepis fitnah tersebut dan menganggap ia bertujuan untuk mengaibkan dirinya.

Dalam pada itu, Siti berkata, dia mempercayai keikhlasan Datuk K dan tidak pernah mempunyai perasaan curiga kerana mereka sering bersama.

"Saya kenal siapa Datuk K kerana dan sepanjang perkahwinan kami belum pernah ada perasaan sangsi di antara satu sama lain. Tambahan pula, kami sering bersama," ujar Siti.

Jelas Siti, ketika gosip tersebut tersebar dia tidak pernah bertanyakan perkara itu kepada suaminya kerana menganggap ia sebagai satu fitnah semata-mata.

Malah beliau percaya jika perkara itu dibangkitkan, ia akan merosakkan rumah tangga mereka.

Sementara itu, ditanya adakah beliau ada berbincang dengan Rozita mengenai tuduhan itu, Siti memberitahu dia tidak perlu berbuat demikian.

“Rozita juga adalah mangsa dan hubungan kami tidak mempunyai sebarang masalah. Rozita sendiri sudah menafikan perkara itu dan tidak perlu rasanya untuk saya berjumpa dan meminta penjelasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti bakal mengadakan sambutan istimewa bersempena sambutan Hari Ibu pada 13 Mei depan di Hotel Grand Dorsett di sini.

Siti berkata, beliau teruja untuk mengadakan persembahan berkenaan selepas kali terakhir menghiburkan para ibu pada tahun 2007.

"Kebetulan pada tarikh itu saya tidak ada sebarang aktiviti dan jemputan daripada pihak penganjur benar-benar menarik minat saya untuk menghiburkan para ibu pada hari istimewa itu nanti," ujarnya.

Tambah Siti, dia akan membuat persembahan selama 45 minit dengan pelbagai seleksi lagu lama dan baru sesuai dengan tema pada majlis berkenaan.

Tiket bagi mengikuti majlis berkenaan dijual dengan harga RM1,000, RM500, RM400, RM300 dan RM250 seorang. Tempahan juga boleh dibuat dengan menghubungi Hotel Grand Dorsett di talian 03-5031-6060 atau 019-690 3767 (Anis), 019-3838 115 (Ros) atau pun boleh melayari Facebook 'Hari Ibu Bersama Datuk Siti Nurhaliza 2012’ untuk maklumat lanjut.

Monday, October 17, 2011

Siti Nurhaliza Tidak Ambil Mudah


KETIKA membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam dunia seni suara bermula pada tahun 1995 penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, (gambar) tidak pernah membayangkan dirinya akan meniti populariti sebagaimana yang dikecapnya hari ini.

Tapi hakikatnya Siti berjaya membuktikan anak gadis kampung seperti beliau boleh menjadi bintang yang amat berharga sekiranya bakat yang dianugerahkan itu digunakan pada jalan yang betul.

Kesungguhan itu dapat dilihat bagaimana sukarnya Siti tatkala mula melangkah ke dunia seni dengan melalui pelbagai ranjau dan duri ketika namanya terukir indah sewaktu usianya masih muda.

Ujar Siti, peristiwa lalu sebenarnya menjadi kekuatan dalam dirinya. Dan dia amat bersyukur kerana ketika bergelar “Siti Nurhaliza” pada ketika ini, dia sudah melalui pelbagai pahit dan maung terlebih dahulu.

Tanpa susah payah itu, tentu sekali Siti akan menjadi wanita yang lemah, tiada ketabahan dan hilang kekuatan.

“Dek kerana susah payah Siti selama ini dengan melalui macam-macam ujian hidup, syukurlah Siti boleh menjadi seorang yang kuat. Siti bersyukur dengan pengalaman-pengalaman itu,” katanya.

Sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh wanita ini terhadap kemuncak kejayaannya apabila beliau mampu menghasilkan produk kecantikannya sendiri iaitu SimpySiti dan sebuah album Inggeris, All Your Love.

Ujar Siti, album yang memuatkan 10 buah lagu ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam dirinya bagi merealisasikan impian selama ini untuk memiliki sebuah album Inggeris.

Beliau juga memahami, penghasilan album itu juga bukanlah mudah kerana pasti ada yang akan memberi pelbagai penilaian dan tafsiran terutama sekali terhadap kemampuannya berbahasa Inggeris.

Tanpa mahu berselindung, kata Siti dia mengaku menerima pelbagai kritikan dan pujian tetapi semua perkara itu dipertimbangkannya secara serius.

“Siti tahu ramai yang memberi macam-macam pendapat terhadap penghasilan album ini tetapi Siti menerimanya dengan baik. Apa yang penting ia dapat memenuhi impian Siti untuk memiliki album berbahasa Inggeris. Yang lebih mustahak lagi Siti dapat memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris Siti,” ujarnya.

Tegas dengan anak tiri

All Your Love dihasilkan di bawah syarikat What’s Up Entertainment iaitu syarikat milik anak tirinya iaitu Adib Khalid.

Ditanya apakah perbezaannya sebagai seorang ibu apabila bekerja dengan syarikat ahli keluarga sendiri yang mana individu itu adalah bos, Siti menjelaskan beliau tidak menghadapi masalah mengenainya.

Tetapi walaupun Adib pemilik syarikat berkenaan, ia tidak bermakna Siti tidak boleh bertegas dalam memberikan pandangan dan juga pendapat.

“Terus terang Siti katakan, semasa merakamkan album ini Siti sangat serius. Iya lah... bekerja dengan orang muda-muda, mereka lebih suka relaks tetapi Siti selalu juga tegur supaya tidak membuang masa untuk merakamkan lagu ataupun buat kerja ambil mudah,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Siti, walaupun beliau seorang yang tegas, beliau masih boleh berbincang dengan Adib serta tenaga kerja yang terlibat.

Tuesday, August 30, 2011

Redup lebaran Siti


SEPARUH fasa Ramadan yang dilalui Datuk Siti Nurhaliza tahun ini telah diselaputi mendung yang tidak diduga hadir. Dalam kelam gemawan tersebut, Siti bagaimanapun dapat keluar bernafas menjelang dua minggu Ramadan terakhir. Semuanya berkat doa orang yang teraniaya sepertinya.

Seperti bagai ada batu besar yang menghempas kepala, terkejut bukan kepalang penyanyi kesayangan ramai ini apabila produk sulung miliknya yang begitu laris di pasaran, SimplySiti didakwa mengandungi unsur tidak halal iaitu berus yang digunakan didakwa diperbuat daripada bulu babi selain ia dikatakan tidak mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Segera dia bertindak. Selain memikirkan soal bisnes yang terjejas dengan hebahan palsu tersebut, dia amat mementingkan isu haram yang memang menjadi perhatian utama buatnya sebelum produk tersebut dilahirkan. Kata Siti juga, dia tidak membuat bisnes untuk menipu, apatah lagi menganiaya pembeli terutama umat Islam hanya untuk mengaut keuntungan.

Mujur tindak balas segera yang dilakukan membuahkan hasil apabila produk tersebut segera disahkan halal. Lega dengan keputusan yang memihak kepadanya, Siti mengaku, ia adalah dugaan dan kemenangan terbesar buatnya sepanjang Ramadan lalu.

“Saya mengaku, sebaik berita tersebut disebarkan, ia memberi impak terhadap penjualan SimpySiti. Ia jatuh mendadak. Namun Alhamdulillah, berkat Ramadan, isu tersebut segera dimatikan. Pihak kami dan pihak Jakim kesal dengan apa yang berlaku namun ini adalah dugaan dan cabaran yang harus saya tempuhi sebagai orang berniaga.

“Alhamdulillah, ia juga memberi hikmah kepada kami kerana selepas kejadian tersebut, kami dan pihak yang terbabit menjadi lebih akrab dan lebih berhati-hati dalam banyak hal agar perkara yang sama tidak berulang lagi,” katanya yang turut memberitahu sedih saat mendengar ada pengguna yang membuang produk miliknya sedangkan realitinya SimplySiti adalah halal.

Meninggalkan dugaan tersebut, Siti seperti meraikan kemenangannya dengan menunaikan umrah pada 19 Ogos lalu dan pulang pada 28 Ogos untuk meraikan Syawal di tanah air.

Walau begitu sibuk sepanjang Ramadan yang lalu, namun, kata Siti, dia tidak dapat menahan perasaan untuk kembali ke tanah suci Mekah seperti tahun sebelumnya.

Bagi Siti, kekerapannya kembali menjadi tetamu Allah setiap kali Ramadan adalah bukti kerinduannya terhadap tanah suci itu. Katanya, Ramadan dirasa kurang lengkap jika dia terlepas peluang berpuasa dan beribadat di Mekah.

Memberitahu pertama kali menunaikan umrah pada tahun 1997 dia melalui dugaan yang agak mencabar, namun kini kembali ke Mekah umpama satu rutin wajib.

“Setiap kali Ramadan, saya memang akan pergi menunaikan umrah dan berpuasa di sana. Selain rindu akan suasanannya, saya juga mengejar pahala yang berlipat kali ganda dengan mengerjakan umrah pada bulan Ramadan,” katanya yang pergi menunaikan umrah bersama suaminya.

Bercakap mengenai sambutan lebaran, bukan sesuatu yang asing bagi Siti pulang ke kampung suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa di Kedah. Sejak berkahwin lebih lima tahun lalu, pulang ke Kedah adalah rutin wajib buatnya. Sebaik menikahi ahli perniagaan tersebut, Siti sedar bahawa dia telah memiliki dua keluarga besar yang harus diberi perhatian sama rata.

Jika sebelum berkahwin setiap tahun dia akan pulang ke kampungnya di Kuala Lipis, Pahang, selepas berkahwin, rutin itu bertukar. Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia melupai ibu dan keluarga serta sanak saudara yang berada di Kuala Lipis. Paling penting, sejak pemergian bapanya, Allahyarham Taruddin Ismail dua tahun lalu, dia tidak pernah terlepas menziarah kubur lelaki kesayangannya itu.

Ujarnya: “Walaupun saya pulang ke Kedah tahun ini, saya masih menjalankan tanggungjawab buat ibu dan keluarga dengan membuat persediaan dan kelengkapan raya buat mereka. Adat orang yang sudah berumah tangga, saya juga kini mempunyai sebuah keluarga besar selepas berkahwin dan mempunyai dua keluarga untuk diraikan.

“Saya akan pulang ke Lipis mungkin pada hari raya ketiga selepas meraikan Aidilfitri di Kedah,” katanya.

Justeru, pada Aidilfitri pertama dan kedua ini, Siti menyambut lebaran di kampung suaminya dan paling penting, dia dan suami dapat meraikan tetamu dengan mengadakan kenduri di masjib milik mereka, Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir, Sungai Petani, Kedah.

Kenduri tersebut diadakan bermula pukul 3 hingga 6 petang semalam kerana menurut Siti: “Saya mahu orang ramai dapat hadir ke kenduri ini, sebab itu saya buat ia pada sebelah petang kerana jika saya lakukan pada sebelah pagi sejurus solat, mungkin ramai yang mahu pulang ke rumah untuk beraya dengan keluarga terlebih dahulu.”

Sebaik meraikan lebaran, penyanyi yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelima perkahwinan pada 21 Ogos lalu itu akan kembali sibuk. Dia berasa seperti baru bernikah semalam dengan belahan jiwanya itu walhal sudah lima tahun melayari pahit manis bersama sambil berdoa agar mampu hidup rukun dan kekal bersama suaminya.

“Segala cabaran yang bakal mendatang kelak harus kami lalui dengan sabar dan penuh keimanan. Saya berdoa agar rumah tangga saya aman,” katanya.

Saturday, August 6, 2011

SimplySiti Tiada DNA Babi


PETALING JAYA: Produk kosmetik SimplySiti menafikan penggunaan berus bulu babi dalam produknya sebagaimana yang didakwa dalam sebuah laman blog baru-baru ini.

Presiden produk tersebut Datuk Siti Nurhaliza Taruddin berkata kesemua produk keluaran syarikat tersebut telah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sebelum dipasarkan kepada umum.

"Apa yang berlaku di dalam konteks seperti yang tertera di di dalam blog tersebut adalah tidak benar. Bulu yang dilaporkan di dalam lampiran tersebut bukanlah bulu berus yang terdapat di dalam produk SimplySiti.

"Oleh itu, kami dengan ini menjamin bahawa produk-produk SimplySiti yang telahpun mendapat pengesahan Halal JAKIM adalah benar & berus yang terdapat di dalam produk-produk kosmetik yang kini terdapat di pasaran juga adalah mematuhi syarat piawaian Halal daripada JAKIM," ujarnya dalam sebuah kenyataan akhbar yang dikeluarkan, di sini, Sabtu.

Siti menjelaskan tuduhan sebuah laman blog pada 3 Ogos lalu telah mendakwa sampel berus produk SimplySiti telah dikesan mengandungi DNA bulu babi

Bagiamanapun, Siti berkata pihaknya akan mendapatkan kenyataan daripada JAKIM berkenaan status halal ini secepat mungkin agar isu ini tidak terus berpanjangan.

"SimplySiti akan turut mendapatkan kenyataan daripada JAKIM supaya hal ini tidak lagi dipanjangkan sehingga meragukan pengguna SimplySiti.

"Kami harap pihak JAKIM akan dapat menerangkan status halal SimplySiti dalam kenyataan akhbar mereka nanti. Dan memandangkan isu ini timbul secara mengejut dan kebetulan jatuh pada hujung minggu, pihak SimplySiti akan turut berjumpa dengan pihak JAKIM secepat mungkin untuk berbincang tentang hal ini.

"Kami mohon agar orang ramai tidak membuat spekulasi awal kerana kami sangat prihatin dan sentiasa menitikberatkan kualiti dan kesucian di dalam produk kami," ujarnya.

Jelas Siti, pihaknya terpaksa mengeluarkan kenyataan akhbar ini bagi mengelakkan salah faham orang ramai memandangkan terlalu banyak pihak telah menyebarkan spekulasi mengenai hal ini.

Saturday, June 18, 2011

Askar Wataniah : Siti Nurhaliza Tidak Kisah Berjemur Panas


PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak kisah berjemur di tengah panas dan menjalani aktiviti lasak selepas dia bersetuju menyertai Rejimen Askar Wataniah.

Dia akan memastikan dirinya sentiasa bersedia sewaktu menyertai latihan ketenteraan itu. Siti terpaksa menyelesaikan tempoh latihan selama 39 jam seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan.

“Saya akan memakai krim pelindung cahaya matahari untuk menghalang kulit menjadi terlalu gelap. Bagaimanapun, saya rasa sudah adat warna kulit akan berubah gelap apabila selalu berjemur panas,” ujarnya.

Selain Siti, rakan selebriti lain yang turut serta dalam pasukan itu ialah pelakon Intan Ladyana, Shaheizy Sam, Mohd Noor Bong, pengacara Nurul Hidayah Zahid Hamidi, penerbit filem David Teo, penyanyi Aizat dan Ana Raffali

Menyentuh tentang karier seni, Siti masih akan aktif melibatkan diri dengan aktiviti yang diatur. Dia baru selesai merakamkan program Hari Raya Idola Kecil untuk TV9.

“Album lagu Inggeris saya akan berada di pasaran mulai Julai ini,” katanya lagi.

Sebanyak 10 buah lagu yang dijangka dimuatkan dalam album yang menggunakan khidmat komposer dari Australia iaitu Brian Bruno dan Cristian Alexander tersebut.

Sementara itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, individu yang menyertai pasukan tersebut perlu menjalani latihan asas selama 39 jam dalam masa setahun mengikut kelapangan masing-masing sebelum mendapat pentauliahan.

Malah setiap pelatih turut diberi pilihan untuk latihan sehingga 240 jam seperti yang dilakukan oleh pasukan lain.

“Askar Wataniah terbuka kepada sesiapa sahaja dan saya percaya bahawa diri setiap orang mempunyai hasrat terpendam. Misalnya saya telah lama bercita-cita untuk menjadi anggota polis.

“Sejak di bangku sekolah lagi, saya memang berminat dengan pasukan beruniform. Walaupun usia sudah mencecah lebih 30 tahun ini, minat saya masih tidak luntur. Saya juga ingin menggalakkan kawan-kawan lain yang berminat menyertai pasukan ini kerana setelah mendengar taklimat, latihan yang diberikan tidak seteruk seperti askar tetap,” katanya.

Monday, April 11, 2011

Siti ditohmah jadi OprahBARU sahaja selesai musim pertama program bual bicara sendiri yang diberi nama Siti, di Astro Ria sejak ia mula bersiaran pada


BARU sahaja selesai musim pertama program bual bicara sendiri yang diberi nama Siti, di Astro Ria sejak ia mula bersiaran pada 12 Februari lalu, pelbagai reaksi diterima oleh Datuk Siti Nurhaliza. Ada yang suka dan ada juga yang mengkritik.

Ada yang melontarkan tohmahan dengan mengatakan Siti tidak boleh mengacara, bahkan melontarkan kata-kata sinis bahawa penyanyi kesayangan ramai itu mengeluarkan soalan-soalan yang tidak bernas dan berangan mahu menjadi seperti pengacara hebat, Oprah Winfrey.

Sudah begitu ‘masak’ dengan asam garam dunia hiburan dan kata-kata pedas yang dilemparkan kepadanya, Siti saat ditanya tentang perasaannya, memberi jawapan dengan cara yang begitu profesional.

“Siti tidak ikut cara Oprah mengacara. Lagipun, pengacaraan bukan bidang Siti. Mungkin, orang sudah biasa tengok Siti menyanyi, jadi bila orang lihat Siti mengacara, mereka merasa janggal.

“Selepas tengok episod demi episod, sebenarnya program bual bicara Siti lebih kepada konsep serius. Insya-Allah, untuk musim kedua nanti, Siti akan tampil dengan konsep berbeza.

“Namun begitu, perkara ini (untuk musim kedua program Siti) masih dalam perbincangan dengan pihak Astro,” katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha Nostalgia Siti Nurhaliza yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Konvensyen, Matrade, Kuala Lumpur.

Sementara itu, menyaksikan persembahan minggu setiausaha Siti selama dua jam bagaikan terasa seperti beberapa minit. Semuanya gara-gara aksi nakal Siti yang semakin pandai mengusik peminat-peminatnya.

Anggun menyarung busana hitam, Siti bukan sahaja mengusik peminat-peminat yang hadir, tetapi juga buah hati pengarang jantungnya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa.

Menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu sambil menatap wajah Khalid, Siti dengan spontan mengajukan mikrofon ke bibir Khalid untuk menyambung nyanyian tersebut.

Turut menggeletek hati apabila Siti berduet dengan peminat setianya dengan lagu Jerat Percintaan sambil melakukan aksi-aksi romantik.

Selain mengusik para peminatnya, persembahan minggu setiausaha yang merupakan kerjasama kali ketujuh Siti dengan Hotel Quality, Kuala Lumpur itu sarat dengan nostalgia apabila dia bukan sahaja mendendangkan lagu-lagu miliknya, tetapi juga lagu-lagu malar segar penyanyi lain seperti Alleycats.

Sesuai dengan tema nostalgia, Siti tampil dengan lagu-lagu hit beliau termasuk Jerat Percintaan, Biarlah Rahsia, Cinta Luar Biasa, Destinasi Cinta dan Ku Mahu.

Antara lagu lain, Siti turut menyanyikan lagu-lagu Inggeris lama seperti Because Of You, My All, I Will Always Love You dan juga lagu-lagu dari Alleycats seperti Hingga Akhir Nanti dan Seribu Bintang.

Mengulas mengenai persembahannya pada hari itu, kata Siti, lagu-lagunya yang sebelum ini berkonsepkan balada ditukar kepada bosanova. Ia semata-mata untuk disesuaikan dengan tema nostalgia.

Minggu setiausaha tersebut turut dihiburkan dengan keletah Dee yang sememangnya dikenali dengan komedi spontan. Selain itu, Adam AF2 pula telah dipilih sebagai artis pembukaan bagi majlis tersebut.

“Sepatutnya persembahan Siti hanya berlangsung selama 45 minit sahaja, tetapi akhirnya melarat sehingga dua jam.

“Semuanya disebabkan Siti tidak mahu menghampakan peminat yang meminta untuk menyanyikan lagu kegemaran mereka masing-masing,” katanya.

Beralih pula soalan mengenai kenyataan Shaheizy Sam, ‘Jika Siti tidak tarik diri mungkin saya tidak akan menang’, pada majlis Anugerah Bintang Popular (ABP 2010), baru-baru ini, Siti berkata, sebagai seorang pemerhati dan penonton, Sam memang layak memenangi anugerah tersebut.

“Siti gembira dengan adanya wajah baru yang menggondol gelaran anugerah bintang paling popular ABP2010,” katanya yang menyifatkan Sam seorang yang pandai berlakon dan mempunyai sikap yang baik dan merendah diri.

Wednesday, April 6, 2011

Siti Nurhaliza 'Tergeliat Lidah' Nyanyi Slanga


GENTING HIGHLANDS: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza akui tercabar apabila perlu menyanyi dalam slanga Bahasa Inggeris semasa merakam lagu dalam bahasa itu.

Menurut penyanyi yang mesra disapa Siti itu, sebanyak 10 buah lagu untuk album pertama dalam Bahasa Inggeris tersebut telah siap dirakam dan sedang menunggu masa untuk dilancarkan.

Ia dijadual pada pertengahan tahun ini.

“Semua rakaman lagu dilakukan di Malaysia walaupun saya menggunakan khidmat komposer dari Australia iaitu Brian Bruno dan Cristian Alexander.

“Semasa proses rakaman tidaklah terlalu rumit tetapi setiap nyanyian saya perlu ditambah dengan slanga sehingga kadangkala “tergeliat lidah” untuk menyebutnya.

“Tetapi nasib baik saya mempunyai komposer yang banyak membantu,” ujar Siti sewaktu majlis 5Stars Designers meraikan selebriti yang menggayakan pakaian mereka pada Anugerah Bintang Popular 2010, di sini, Ahad lalu.

Pada majlis itu Siti memperagakan pakaian berwarna gabungan hitam dan merah rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini.

Kata Siti dia memang menyasarkan album tersebut untuk dipasarkan ke luar negara.

Selain itu, Siti tidak menolak untuk merakamkan album Inggeris keduanya jika album tersebut mendapat sambutan yang baik daripada peminat.

“Saya sangat berpuas hati selepas berjaya merakamkan album ini, sangat teruja dan bersedia untuk menerima komen daripada pendengar,” katanya lagi.

Album itu bakal diterbitkan oleh syarikat produksi What's Up Entertainment, milik anak tirinya, Adib.

Thursday, November 25, 2010

ABP13: Datuk Siti Nurhaliza Tarik Diri

PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza (gambar) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dalam Anugerah Bintang Popular ke-13 (ABP13)tahun depan.

Menurut Siti, keputusan itu dibuat selepas memenangi anugerah Bintang Paling Popular pada tahun lalu.

Malah Siti ingin menjadi seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menarik diri ketika berada di kemuncak kejayaan.

"Setakat ini saya sudah berjumpa pihak pengurusan ABP untuk menjelaskan tentang penarikan diri ini dan mereka menerimanya dengan baik. Saya juga telah memberitahu peminat-peminat dan mereka menyokong keputusan saya itu.

"Apa yang penting, saya bersyukur kerana sepanjang 12 tahun ABP diadakan mereka (peminat) sentiasa memberi sokongan. Keputusan ini juga tiada kaitan dengan masalah tidak puas hati terhadap pihak pengurusan.

"Cukuplah sampai di sini. Keputusan muktamad ini juga saya inspirasikan daripada Tun Mahathir sendiri dan saya percaya orang akan ingat kita sampai bila-bila," katanya yang ditemui di sidang akhbar Anugerah Bintang Popular, di sini, semalam.

Tambah Siti, adalah menjadi impiannya untuk menjadi penonton ABP, menyokong para penggiat seni lain yang bertanding.

"Saya tahu dan sedar saya tidak akan berada di atas selamanya. Satu hari nanti, ada orang yang akan menggantikan saya," ujarnya.