Showing posts with label Tiz Zaqyah. Show all posts
Showing posts with label Tiz Zaqyah. Show all posts

Saturday, July 7, 2012

Remy, Tiz sakit kepala

PERCINTAAN Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sudah lama berada di mata peminat, namun sudah beberapa kali hubungan pasangan pelakon itu didakwa retak menanti belah. Sejak mereka secara terbuka mengakui sedang menjalin cinta, semakin banyak khabar angin tentang konflik yang mereka alami.
Selesai dengan sandiwara kurang diberi perhatian seperti mana yang diharapkan ketika di tahan di wad hospital gara-gara masalah kesihatan baru-baru ini, hubungan Remy dan Tiz kembali memanas. Sebuah akhbar mingguan bukan Kumpulan Utusan melaporkan bahawa hubungan mereka berdua seolah-olah di ambang kemusnahan.
Sikap panas baran Remy sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap kekasih lamanya dahulu seperti kembali berulang apabila dia didakwa menampar muka Tiz. Tidak habis dengan dakwaan sebagai kaki pukul, pelakon filem Aku, Kau & Dia itu juga dikatakan pernah beberapa kali didakwa menghempas telefon bimbit milik kekasihnya.
Sehari kemudian, Remy menafikan tuduhan berkenaan sebaik ditemui semasa tayangan eksklusif filem terbaharunya, 29 Februari, Isnin lalu.
"Sebelum sempat baca gosip berkenaan, Tiz yang menghubungi saya bercerita tentang apa yang tertulis. Mulanya saya malas hendak melayan. Sudah letih dengan satu persatu dakwaan seolah-olah tidak senang dengan kebahagiaan dan situasi hubungan kami berdua," ujarnya yang dihubungi semula Sensasi Bintang, Jumaat lalu untuk penjelasan lanjut.
Tanpa perlu menyembunyikan keadaan, ketika itu Remy mengakui dia sedang membawa Tiz keluar untuk membeli beberapa barangan.
SENSASI BINTANG: Apa reaksi anda terhadap tuduhan panas baran, belasah dan hempas telefon Tiz ?
REMY ISHAK: Kalau ikutkan hati saya, saya memang malas nak layan cerita mengarut. Saya sudah malas hendak melenting atau melatah. Lagipun sebelum ini, ramai yang nasihatkan saya supaya jangan buat serangan balas secara melulu. Secara peribadi, saya sudah boleh terima apa itu gosip, tapi bagaimana dengan keluarga, peminat dan pihak luar seperti pihak korporat yang ada kerjasama dengan saya. Bila saya fikir ia melibatkan maruah dan imej saya, rasanya perkara itu perlukan penjelasan dan saya harap penjelasan saya kepada wartawan hari ini akan membersihkan keadaan. Kalau sampai pukul dan hempas telefon, kenapa sampai hari ini kami masih boleh keluar bersama.
Reaksi Tiz pula bagaimana?
Dia mahu saya beri penjelasan dan agar spekulasi itu tidak terus diperkatakan. Dia tuan punya badan yang didakwa disakiti, saya nampak dia sedikit melenting dengan cerita yang dikeluarkan.
Anda tak rasa mahu mencari siapa pembawa fitnah itu?
Kalau dilayan sangat, benda-benda begitu boleh buat saya dan Tiz sakit kepala. Banyak lagi masalah hidup, jadual, promosi dan kerja lain yang perlu saya lakukan. Harap dengan penjelasan ini, peminat boleh terima dan faham situasi kami. Saya anggap itu semua cabaran untuk saya jadi lebih kuat. Dalam proses untuk fasa karier dan hidup yang seterusnya, memang tak semua orang suka dan gembira tengok pencapaian kita, mungkin ada yang suka tengok kami jatuh.
Di sebalik cerita panas, sokongan peminat terhadap anda tidak membantu kejayaan jualan sesebuah filem seperti Jiwa Taiko dan Aku, Kau & Dia, mengapa ini terjadi?
Perkara itu antara perkata yang jadi topik perbincangan kami dalam industri. Secara peribadi, saya tidak nampak aura seseorang pelakon itu satu-satunya tarikan peminat untuk tengok filem di pawagam, cerita filem itu sendiri harus kuat dan beri impak. Sekarang, susah untuk orang filem buat jangkaan filem bagaimana dan pelakon mana yang penonton mahu lihat di pawagam.
Maknanya, sehebat mana seseorang pelakon, itu bukan jaminan peminat mahu lihat mereka di panggung?
Saya setuju. Kadang-kadang ia seperti bermusim.
Bagaimana pula dengan 29 Februari yang akan ditayangkan 30 Ogos depan, adakah anda yakin ia sebuah filem lakonan anda yang wajib ditonton?
Dari segi karakter, cerita dan penceritaan, saya yakin 29 Februari menjanjikan kelainan. Watak Budi itu sendiri sangat unik. Ia satu watak yang tak mungkin saya peroleh lagi atau pernah saya lakonkan dalam mana-mana filem. Untuk penonton yang selalu mengharapkan sesuatu daripada sebuah filem Melayu, saya rasa 29 Februari harus ditonton.

Sunday, May 15, 2011

Emosi Remy, Tiz semakin bergelojak


MASIH ada kepanasan yang meruap-ruap terhadapnya. Kepada jiwa-jiwa yang terluka oleh sikapnya, menyebut namanya sahaja seperti menyimbah cuka ke hirisan luka.

Ya, virus kebencian itu bercambah dan bugarnya cepat menjalar. Dalam permintaan nakal dan kolot, barangkali sudah tiba masanya, pemain watak Adam dalam siri dan filem Nur Kasih itu bersiram mandian air bunga.

Biar bersih kelibatnya daripada bayangan hitam yang meruntuhkan pandangan. Itulah Remy Ishak, sang aktor yang baru-baru ini membikin panas pada pandangan segelintir teman media.

Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah dan kalau tiada sebab musababnya, masakan seseorang itu bertindak di luar kawalan.

Pegang pepatah itu, sebagai orang yang di luar situasi, tidak semua perkara mampu dijustifikasi. Jalan tengahnya, baiklah persengketaan itu ditolak ke tepi sebelum onar semakin bernanah.

Cuma, sayang sekali situasi tepat berselindung di balik 'cinta' karakter itu tidak dimanipulasikan oleh pemeran, baik Tiz mahupun Remy. Mungkin, mereka terasa canggung lantaran ada bunga-bunga hati yang mahu dibaja tanpa perlu ada limpahan angin luar yang boleh menebar cerita.

Bagaimanapun, elok dilupakan seketika 'tragedi' di luar kisah Nur Kasih itu, kerana kini nama mereka masih likat dalam ingatan peminat sebagai Adam dan Nur Amina yang membawa 'cinta paling suci' abad ini.

Kalaulah diberi pilihan, lelaki persis Adam dan wanita seperti Nur Amina juga menjadi keinginan Tiz dan Remy. Sebenarnya, sengaja persoalan itu diusik, sementelah aktor dan aktres ini dilihat sebagai merpati dua sejoli.

"Siapa yang tidak mahu, sudah tentu saya juga mahukan wanita seperti Nur Amina," ujar Remy bersambung ketawa.

Kata Tiz pula: "Wow! Kalaulah wujud 'Adam' seperti Adam dalam Nur Kasih itu kan? Pernah jugalah saya berharap sebegitu."

Kembali terheret emosi Adam dan Nur Amina yang bakal disaksikan di layar perak pada Khamis ini, Remy dan Tiz ditakluk debar dan rindu yang sama.

Jika sebelum ini mereka berharapkan siri menjadi filem namun selepas Nur Kasih the Movie (NKTM), tidak akan ada lagi Nur Kasih selepas ini.

"Filem NKTM adalah penamat kepada siri drama. Di hujung siri, Adam menjadi lelaki yang semakin matang dalam segala segi. Tapi pada masa yang sama, masih ada sikap memberontak dalam dirinya. Itulah Adam. Bagi saya, Mira (penulis skrip) mahu bercerita tentang karma dan membesarkan tentang ketentuan Ilahi.

"Secara peribadi, semasa kembali ke lokasi Nur Kasih dulu, kami semua sangat seronok sebab dapat kembali dalam sebuah keluarga yang sama," cerita Remy menyimpan debar terhadap respons khalayak.

Masih bersuamikan lelaki yang sama, berumah dan beribukan ibu mertua yang sama, begitu juga dengan prinsip yang sama, Nur Amina versi filem kembali menghidupkan impak yang dicipta Tiz pada awal kemunculannya.

"Saya anggap impak Nur Amina itu satu pencapaian. Cuma saya agak takut untuk membawa watak Nur Amina di layar lebar. Peminat mahukan kesinambungan, itu yang kami semua kena fokus. Saya takut dengan jangkaan penonton, takut impaknya tidak seperti versi drama," katanya berhati-hati.

Tidak terlebih dan tidak juga terkurang, Tiz mahu berkongsi perkembangan karakter Nur Amina dengan pembaca.

"Ombak hidup Nur Amina semakin besar. Dalam drama, dia seorang yang reda, tapi dalam filem, dia menjadi lebih tegas mempertahankan miliknya, keluarga dan suaminya," ujar Tiz, menyimpan memori lokasi NKTM sebagai kenangan terbaik yang pernah berlaku sepanjang bergelar pelakon.

Sunday, February 6, 2011

Zizan, Tiz tidak kisah jadi sasaran kontroversi


ZIZAN Raja Lawak di sisi Tiz Zaqyah! Apa relevannya, tanya teman mengenai gandingan mereka buat julung kali untuk muka depan B*POP ? Adakah Zizan pula menjadi arjuna yang bertakhta di hati Tiz saat ini? Apakah masing-masing sedang mengisi kekosongan hati?Jawapannya, selain dicalonkan sebagai finalis dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, mereka juga sinonim dengan cerita sensasi terutama membabitkan soal peribadi. Kononnya, masing-masing menjalinkan dengan si polan itu dan ini.
Zizan, 26, pernah bercinta dengan pelakon, Leez Rosli, namun hubungan itu tidak kesampaian. Ia kemudian diikuti beberapa siri gosip yang mengaitkan pemenang tempat kedua program realiti Raja Lawak musim pertama itu dengan Fida (Pantene), Diana Amir dan terbaru pula dikaitkan dengan pelakon baru, Juliana Evans.

Tiz, 23, pula panas dengan kontroversi yang mengaitkannya dengan beberapa orang lelaki terkenal seperti Fizz Fairuz, Rizal Ashram Ramli (Jejai), Remy Ishak dan anak seorang wakil rakyat dikenali dengan nama Aizat. Hingga kini gosip yang dilalui Tiz dan Zizan masih berbekas.

Secara kebetulan juga, Tiz bakal ke lokasi penggambaran filem Cinta Kura-Kura terbitan KRU Studios sekitar bulan ini. Zizan juga difahamkan masih dalam peringkat awal untuk memberi maklum balas membintangi filem arahan Nizam Zakaria itu dengan menyumbangkan suaranya saja bagi karakter Kura-Kura.

Kata Tiz yang kini menyerlah menerusi lakonannya dalam drama Gemilang arahan Kabir Bhatia di TV3, kontroversi akan terus datang tanpa diundang. Kontroversi katanya, diibaratkan seperti cili potong atau sambal belacan yang menjadi kemestian sesetengah orang apabila menjamah nasi bersalam ulam-ulaman.
“Saya hanya mampu mengikut aturan perjalanan hidup ini selepas memilih untuk bergelar pelakon sejak 2006. Orang kata gosip dan kontroversi itu asam garam dunia hiburan. Memang benar, kita tidak mampu mengelaknya lagi dan hanya mampu menerimanya dengan tangan dan hati terbuka.

“Ada yang kata gosip dan kontroversi itu mempopularkan diri artis. Ia terpulang. Tapi saya tidak memilih untuk popular cara begitu. Baik atau buruk, natijahnya diri sendiri saja yang tahu. Kadang-kadang tertekan juga kenapa dalam sesetengah gosip hanya satu pihak saja bersuara dan pihak yang lagi satu berdiam saja,” katanya yang cukup diingati dengan watak Nur Amina di dalam drama Nur Kasih yang disiarkan di TV3 pada 2009.

Kata Tiz, dia tidak sesekali akan berputus asa atau lemah semangat dengan setiap ‘pertuduhan’ atau ‘hukuman’ yang dijatuhkan kepadanya tanpa usul periksa. Sambil berseloroh, Tiz mendendangkan bait lirik lagu Beautiful nyanyian Christina Aguilera berbunyi ‘Yes, words can't bring you (Tiz) down’.

“Saya tidak akan sesekali meninggalkan dunia seni ini hanya kerana gosip dan kontroversi yang dihadapi. Tidak semestinya apabila memegang status single, saya akan terus-terusan dikaitkan sewenang-wenangnya dengan lelaki itu dan ini. Dengan Remy pun seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, dia memang antara teman akrab yang saya selesa bersama. Kami banyak berkongsi banyak benda. Ada masa kami selalu melepak dengan teman masing-masing. Ia satu persahabatan yang sihat,” kata yang akan melaram rekaan Alia Bustaman untuk malam kemuncak ABPBH 2010 3 April nanti.

Malas jawab soalan remeh

Ditanya mengenai sikapnya yang dikatakan sering menjawab soalan dengan sikap main-main kepada sesetengah pihak media, Tiz melihat perkara itu bukan isu yang perlu diperbesarkan.

“Kalau isu diajukan itu tidak betul dan tidak sahih kebenarannya, mengapa perlu saya menjawabnya dengan serius. Kalau serius, saya akan menjawabnya dengan penuh diplomasi. Cuma saya jadi malas nak menjawab soalan yang sama berulang kali. Ia sekali gus akan memanjangkan isu diperkatakan,” katanya yang bakal muncul dengan filem sulung Nur Kasih dijangka 19 Mei ini.

Mengenai Zizan, Tiz berkata, dia sangat meminati lawak dan idea spontan jejaka itu saat berlakon dan mengacara. Katanya lagi, Zizan mempunyai bakat yang cukup semula jadi.

“Tengok sajalah bagaimana perjalanan fotografi ini berlangsung. Dia (Zizan) memang kuat menyakat. Saya pula jenis yang senang gelak apabila ada orang buat lawak. Saya pernah berlakon telefilem Suzana bergenrekan komedi dengan Along Raja Lawak dan disiarkan di TV3 sebelum ini,” katanya.

Mengenai pencalonannya tahun ini dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular yang dimenangi tahun lalu, Tiz tidak berharap apa-apa. Tahun lalu pun, kata Tiz, dia tidak meletakkan sebarang harapan, namun tuah menyebelahi dirinya untuk mencatat kejayaan di ABPBH 2009.

Sedia terima artis sebagai jodoh

Sementara itu, Zizan menegaskan bahawa dirinya masih single. Ungkapnya lagi, gosip kebelakangan ini membabitkan dirinya boleh disifatkan liar. Namun menyedari dirinya sebagai figura awam, jejaka kelahiran Dungun, Terengganu ini tidak sesekali melatah dengan apa yang melatari kanvas seninya.

“Saya sedar kalau selalu kisah sebegini, masyarakat akan jadi jelak. Tapi sebagai manusia biasa sekali pun, soal hati ini sering menjadi topik persoalan hidup kita. Ada yang kita harapkan berakhir dengan baik tetapi ia terjadi sebaliknya.

“Jujur ada juga hati saya kepada seseorang (merujuk kepada wanita yang pernah dikaitkan dengannya) tapi apakan daya ia tidak kesampaian. Kita hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan. Selepas apa yang terjadi, saya lebih suka memilih orang biasa. Tapi kalau datang jodoh dengan artis, saya tak mampu menghalang,” katanya yang pernah memenangi trofi Favourite TV Personality Award di Shout! Awards tahun lalu.

Empat tahun melayari arena seni, Zizan boleh berbangga dengan apa yang dicapainya. Tahun ini namanya disenaraikan lagi untuk kali ketiga dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular bersaing dengan semua bakat yang dilahirkan daripada program Raja Lawak iaitu Nabil, Along, Angah dan Johan.

Malah, lebih membanggakan Zizan turut disenaraikan buat pertama kali dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular. Kebangkitan Zizan turut dikatakan sebagai isyarat mengambil tempat Aznil Nawawi yang selama ini cukup kental dalam kategori terbabit.

Melihat kepada populariti yang diraih hos program Raja Lawak musim kelima itu, ada ramalan yang mula bertebaran mengandaikan posisi Bintang Paling Popular itu bakal menjadi miliknya. Selain itu, nama Lisa Surihani dan Shaheizy Sam turut menjadi sebutan.

Zizan berhenti merokok

“Bagi saya Aznil Nawawi masih seorang pengacara yang hebat. Beliau sangat mantap dalam aspek pertuturan, peribadi dan pesona diri. Saya mengikuti perjalanan seninya. Jika saya menang sekali pun dalam kategori itu, Aznil tetap nombor satu di mata saya.

“Soal menang atau tidak, saya hanya mampu berserah. Bagi saya berada di kelompok top 5 itu sebenarnya sudah menjadi kemenangan besar buat diri ini. ABPBH sendiri menjadi anugerah Malaysia kepada bakat orang Malaysia. Saya sendiri diangkat daripada program yang diundi peminat,” kata Zizan yang sedang menanti tayangan filem Hantu Bonceng, KL Gangster dan Baik Giler.

Gemerlapan yang dilaluinya kini juga bukan alasan untuk terus mendabik dada, malah Zizan sentiasa terbuka untuk sebarang kritikan, komen dan pandangan membina sekali gus untuk mengukuhkan legasi seninya. Zizan juga bersyukur dia tidak naik mendadak.

“Saya tidak ralat lambat naik. Malah saya bersyukur banyak belajar dengan menimba pelbagai pengalaman selama ini. Ada bagusnya saya meniti perjalanan seni dengan bertatih. Kalau saya naik mendadak dan mengejut, barangkali saya akan menerima kejutan budaya. Siapa tahu, saya mungkin lupa diri.

“Saya masuk dunia seni ini pun untuk mencari glamor sementara. Saya mahu bertahan. Kalau ada kelemahan, tegurlah saya dan saya akan perbaiki. Saya hanya mahu membuat peminat senang dan terhibur dengan kerjaya yang saya pilih,” katanya yang aktif berinteraksi dengan peminat menerusi medium Twitter dan Facebook.

Mengakhiri temubual, Zizan turut ditanya mengenai Tiz. Kata Zizan yang sudah setahun lebih berhenti merokok, dia mula meminati wanita putih gebu itu menerusi drama Nur Kasih. Tiz baginya seorang pelakon yang bijak bermain dengan emosi hingga mampu membuat dirinya terpaku di depan TV tanpa mengalih ke saluran lain.

“Oh ya, sebelum terlupa, kalau ada mana-mana pihak ingin mendapatkan kerjasama saya untuk kempen Katakan Tidak Kepada Merokok, saya amat berbesar hati untuk turut serta,” ungkapnya bersemangat.


Profil Tiz Zaqyah

NAMA: Tiz Zaqyah Abdul Razak
PANGGILAN KOMERSIAL: Tiz
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1988
USIA: 23 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak bongsu daripada dua beradik
STATUS: Bujang
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
DRAMA: Gol & Gincu, Impian Illyana, Nur Kasih, Asmaradana, Spa Qistina, Gemilang
TELEFILEM: Bernafas Dalam Lumpur, Puaka Topeng Putih, Keabadian Cinta, 7 Lagu
FILEM: Nur Kasih dan Cinta Kura-Kura
PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 09)


Profil Zizan

NAMA PENUH: Mohd Razizan Abd Razak
TEMPAT LAHIR: Dungun, Terengganu
TARIKH LAHIR:15 April 1984
PENCAPAIAN: Naib Juara Raja Lawak Astro musim pertama, Favourite TV Personality Award di Shout! Awards
FILEM: Hantu Bonceng, KL Gangster dan Baik Giler.

Wednesday, January 26, 2011

Tiz Zaqyah Tekejut Fasha Putus Cinta

PETALING JAYA: Pelakon wanita, Tiz Zaqyah yang pernah dikaitkan dengan kontroversi mempunyai hubungan dengan bekas pasangan kekasih Fasha dan Rizal Ashram Ramli (Jejai) memberitahu terkejut dengan berita tentang perpisahan itu.

Bagaimanapun, dia menganggap perkara tersebut adalah hal peribadi pasangan berkenaan dan tidak mahu dikaitkan lagi dengan kontroversi yang boleh menjejaskan namanya.

“Tipulah kalau saya kata tidak tahu tentang perkara itu sebab ia menjadi perbualan hangat beberapa hari ini. Ketika membacanya saya berasa begitu terkejut.

“Namun itu adalah hal peribadi mereka dan saya tidak mahu ambil tahu tentang perkara itu. Kalau boleh saya tidak mahu dikaitkan lagi dengan mereka,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Drama Gemilang di Pusat Komuniti Bukit Damansara, din sini Rabu.

Sementara itu, Tiz turut menolak desas-desus pertunangannya dengan anak seorang VIP bernama Aizat Fikri dan kontroversi tinggal sebumbung dengan pelakon kacak Remy Ishak.

“Saya hairan bagaimana orang boleh kaitkan saya dengan seorang lelaki bernama Aizat itu sedangkan saya tidak pernah mengenalinya langsung, jika mereka ada bukti sila tunjukkan pada saya.

“Selepas itu gosip beli rumah dengan Remy Ishak dan dakwaan kami tinggal sebumbung ia tidak benar sama sekali. Saya masih duduk dengan keluarga saya dan seperti yang pernah saya beritahu Remy hanya kawan sepertimana kawan-kawan saya yang lain,” ujarnya.

Jelas Tiz, dia menganggap apa juga kontroversi dan fitnah yang berlaku terhadap akan terbukti jika ianya tidak benar.

“Banyak kontroversi yang saya hadapi tapi saya percaya bahawa kebenaran akan terbukti,” katanya yang tidak mahu dikenali sebagai pelakon kontroversi lagi.

Bercerita tentang watak dalam drama Gemilang arahan Khabir Bhatia ini, Tiz menganggap watak seorang guru bernama Asma merupakan sebuah watak yang agak berlainan dari drama yang pernah dilakonkan bi bawah arahan pengarah tersebut.

“Drama ini memerlukan saya menjadi seorang guru yang baik dan mencintai seorang lelaki. Saya suka drama Gemilang ini kerana dapat bekerja bersama pelakon-pelakon yang lebih kurang seusia dengan saya.

“Selain itu ia merupakan projek kelima saya bersama Khabir Bhatia selepas Nur Kasih, Nur Kasih The Movie, Keabadian Cinta, Tujuh Lagu dan Gemilang,” katanya.

Drama berkisarkan nostalgia Malaysia pada lewat tahun 70-an ini disiarkan bermula 24 Januari lalu, setiap Isnin, pukul 9 malam di TV3.

Ia turut membariskan pelakon-pelakon ternama seperti Shahz Jaszle, Kamal Adli, Jalaluddin Hassan, Tasha Shilla dan ramai lagi.