Friday, March 29, 2013
Ayu Raudhah Dapat Anak Lelaki
Monday, May 2, 2011
Petua Moden & Tradisional Ayu Raudhah

LEBIH empat bulan bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, pelakon Ayu Raudhah masih menantikan kehadiran cahaya mata.
Setakat ini, Ayu belum menunjukkan tanda-tanda kehamilan. Biarpun begitu, pasangan itu berserah kepada rezeki Tuhan dan menerima bila-bila masa sahaja untuk dikurniakan anak.
Sesibuk mana dengan rumah tangga yang baru dibina itu, ia tidak menjadi halangan untuk wanita ini meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan. Namun, Ayu perlu lebih selektif memilih watak yang sesuai.
Selepas berkahwin, wajah Ayu jarang dilihat muncul di media cetak mahupun elektronik. Jika ada yang perasan, telefilem terbaru lakonan Ayu berjudul Pabila Syaitan Berbisik baru disiarkan di TV1 pada 22 April lalu.
Ayu yang selama ini cukup dikenali dengan watak gadis lemah-lembut dalam lakonannya bertukar kepada sisi jahat apabila membawa watak gadis kampung yang lupa daratan dan sanggup menghancurkan rumah tangga orang lain demi mengejar kemewahan hidup.
Bagi mengubat rindu peminat Ayu, OopStarz! minggu ini mahu berkongsi tentang rahsia kejelitaannya.
Dalam menjaga penampilan, dia paling gemar menyerlahkan kecantikan mata. Boleh dikatakan Ayu memiliki mata yang mampu menjadi aset berharga pada dirinya dan mudah mencairkan hati sesiapa sahaja yang memandang.
“Saya suka memakai maskara untuk melentikkan bulu mata. Jika memakai maskara, saya tidak perlu menggunakan bulu mata palsu. “Jadi, saya jarang membeli bulu mata palsu. Kalau membeli pun, saya memilih yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.
“Biasanya saya akan membeli maskara dengan jumlah yang banyak. Maskara yang paling saya suka adalah jenis Maybelline Volume Express Mascara Curved Brush,” ujar pelakon drama popular Nur Kasih dan Manjalara ini.
Pada hari tidak bekerja, Ayu jarang mengenakan mekap tebal tetapi wajahnya tetap tidak dapat lari dari menggunakan maskara.
“Boleh dikatakan setiap hari saya perlu bersolek tetapi apabila berada di rumah, saya jarang memakai mekap. Jika keluar tanpa urusan kerja, saya tidak banyak memakai mekap dan yang penting mesti meletak maskara pada mata,” ujarnya lagi.
Sapu ais pada muka Seperti wanita lain, Ayu tidak putus menjalani rutin kecantikan seperti biasa iaitu mencuci muka, menggunakan penyegar dan pelembap muka.
“Saya perlu membersihkan dan menjaga muka dengan kerap kerana sentiasa menggunakan mekap setiap hari terutama sewaktu menjalani penggambaran.
“Saya tidak banyak mengamalkan petua tradisional. Antara petua yang diamalkan setiap kali sebelum tidur, saya akan menyapu ais pada muka untuk merawat kulit bermasalah.
“Alhamdulillah, nasib baik kulit saya tidak mudah ditumbuhi jerawat walaupun kadangkala rasa stres,” katanya.
Selain itu, dia juga menerima rawatan kulit muka di pusat kecantikan AsterSpring selama setahun di samping mendapat bekalan percuma produk penjagaan kulit Dermalogica dan kosmetik Averine.
Ayu terpilih antara artis yang mengikuti pakej rawatan muka dan badan ‘Beautiful Bride’ oleh AsterSpring pada November tahun lalu. Selain Ayu, pelakon Raja Farah juga menerima rawatan yang sama.
Guna daun bunga raya
Daripada penjagaan muka, topik perbualan beralih kepada penjagaan rambut yang dianggap sebagai mahkota berharga kepada setiap wanita. Agak menarik juga apabila Ayu menggunakan daun bunga raya untuk melembutkan rambut.
“Ambil 10 helai daun bunga raya dan tumbuk sehingga halus. Kemudian, sapukan pada rambut hingga ke akarnya. Balutkan rambut dengan “shower cap” selama 30 minit. “Akhir sekali, cuci dengan air bersih. Amalkan dua kali seminggu. Insya-Allah rambut menjadi lebih lembut dan bersinar,” ujarnya.
Menyentuh tentang pemakanan, Ayu kurang mengambil nasi dan sangat mengawal makan. Disebabkan berat badannya mudah naik jika tidak dijaga, Ayu perlu mengambil jumlah makanan pada kadar sedikit.
“Selain mengawal pemakanan, saya turut mengamalkan minuman kesihatan iaitu sirap Shaklee,” katanya.
Untuk mengekalkan bentuk badan menarik, Ayu turut melakukan senaman bangkit tubi sebanyak 50 kali sebelum tidur.
Saturday, April 23, 2011
Ayu belum hamil

AGAKNYA itulah yang dikatakan rezeki orang berumah tangga. Sebaik habis cuti perkahwinan dua minggu Ayu Raudhah tidak goyang kaki di rumah.
Dalam tempoh hampir tiga bulan selepas menjadi suri pemain bola sepak skuad kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, sudah empat produksi drama Ayu selesaikan. Dua daripada produksi itu daripada naskhah drama bersiri dan dua lagi adalah telemovie.
“Syukur sangat. Saya cuma sempat cuti dua minggu selepas kahwin, setelah itu banyak masa dihabiskan di lokasi,” katanya.
Dalam rasa bercampur bahagia, dia dan Zaquan masing-masing masih bertukar-tukar kediaman, sekejap di rumah lama Ayu di Subang, Selangor dan sekejap di Seremban. Pasangan tersebut berkahwin pada 21 Januari lalu.
“Kadang-kadang rasa macam masih di alam berkasih-kasihan. Saya sibuk dengan jadual penggambaran. Bila ada waktu cuti sehari atau dua hari, kami akan jumpa.
“Kemudian apabila Zaquan ada latihan, pagi-lagi lagi dia akan bergerak balik ke Seremban, saya pula ke lokasi penggambaran.
“Macam baru-baru ini, saya sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Mata Ayer di Perlis, jadi masa bersama sangat terhad,” katanya yang bertukar ke lokasi penggambaran telemovie, Kemilau Di Hati Nadirah di Pulau Pinang pada Isnin lalu.
Mujurlah kata Ayu, sepanjang seminggu berada di Pulau Pinang, Zaquan ikut bercuti memandangkan dia baru menjalani rawatan perubatan akibat kecederaan lutut.
Bertanyakan khabar sama ada sudah ‘berisi’ atau belum, ketawa si pengantin baru yang masih bersisa inai di jari itu semakin manja.
“Belum, kami pun tengah menunggulah. Saya memang berharap untuk cepat-cepat menimang cahaya mata, Zaquan lagilah teruja. Awal-awal lagi kami sudah berbincang pasal anak.
“Masa bulan pertama kahwin, saya sedikit berdebar, ingatkan bila sudah terlewat ‘kitaran,’ maknanya saya dah berisi, tapi rupa-rupanya belum lagi. Belum ada rezeki nampaknya,” tergambar fasa pertama bergelar isteri yang menyeronokkan daripada ungkapan adik jelitawan, Rozita Che Wan itu.
Berbalik kepada Mata Ayer, dalam drama berkisarkan ilmu hitam itu, Ayu membawa watak Melati. Melati sering hadir dalam mimpi Shidah, lakonan Sharifah Shakinah.
“Melati sebenarnya moyang kepada Shidah dan bayangan mimpi dalam tidur Shidah itu sebenarnya merupakan satu petanda. Watak saya kali ini agak misteri,” katanya.
Drama bersiri 20 episod terbitan Zeel Production yang diarahkan oleh Mazri Mustafa dan skrip oleh Mohd. Rohizan Ramli itu mula bersiaran sejak 11 April 2011 pada hari Isnin hingga Khamis
pukul 4 petang di TV3.
Monday, January 10, 2011
Ayu Raudhah Mula Edar Kad Kahwin

PETALING JAYA: Aktres jelita, Ayu Raudhah (gambar) akan mengedarkan kira-kira 300 keping kad jemputan perkahwinannya yang akan berlangsung pada 21 Januari ini di Alor Setar, Kedah.
Ayu, 26, dan pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 24, akan diijabkabulkan di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada tarikh itu pukul 3.30 petang, selepas Solat Jumaat.
Menurut Ayu, seramai 600 hingga 700 orang akan diundang untuk menghadiri majlis resepsi selepas nikah yang akan berlangsung di Taman Mawar, Jalan Tun Abdul Razak, Alor Setar pada pukul 7.30 malam hingga 11 malam, hari yang sama.
“Antara tetamu yang diundang termasuklah beberapa rakan artis tetapi mereka belum membuat pengesahan kerana faktor jarak yang agak jauh dari Kuala Lumpur,” katanya yang sedang menjalani penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki.
Bercerita lanjut tentang persiapan menjelang perkahwinan, Ayu akui fikirannya agak runsing setelah memikirkan ada beberapa perkara yang belum diselesaikan.
Di tambah pula dengan jadual lakonan yang padat, dia terpaksa mencuri masa pada waktu malam untuk mencuba pakaian pengantin.
Katanya lagi, tunangnya, Zaquan juga sibuk dengan sesi latihan bola sepak. Jadi, sebab itu mereka sukar mencari masa luang bersama–sama.
Pelakon drama Nur Kasih dan Manjalara ini akan mengenakan pakaian pengantin rekaan pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Qudyn, Calvin Thoo dan Man Kajang. Selain itu, wajah jelitanya akan diserikan dengan solekan oleh Amy Janz.
Sementara majlis sambut menantu (sebelah lelaki) dijangka berlangsung pada 30 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan.
Pasangan itu secara rasmi bertunang pada 17 Oktober 2010 dalam satu majlis merisik di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya, Selangor.
