Showing posts with label International Artist. Show all posts
Showing posts with label International Artist. Show all posts

Sunday, August 4, 2013

Megan Fox Hamil Anak Kedua

Mega Fox yang Ayu
PELAKON Megan Fox telah mengumumkan dia dan suaminya, Austin Green bakal menimang cahaya mata kedua selepas sembilan bulan anak pertama mereka iaitu Noah lahir.
Menurut Daily Mail, khabar gembira itu didedahkan sendiri oleh jurucakap pasangan itu kepada media baru-baru ini.
"Saya mengesahkan bahawa Megan dan Austin sedang menanti kelahiran anak kedua mereka dan ia adalah berita gembira buat keluarga itu," kata jurucakap tersebut.
Megan sebelum ini pernah memberitahu mahukan bilangan anak yang ramai dan pengalaman menjadi seorang ibu disifatkan sebagai luar biasa.

Wednesday, July 17, 2013

Paris Hilton Nafi Kekasih Cemburu

Paris Hilton
SOSIALIT dan model Paris Hilton nafi kekasihnya, River Viiperi cemburu dan tergugat dengan kejayaannya dalam karier peragaan dan perniagaan.
Menurut laporan portal femalefirst.co.uk, sebaliknya River yang juga merupakan seorang model sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan wanita itu yang kini cukup sukses dengan jenama minyak wangi dan beg tangan serta memiliki sebuah kelab malam sendiri
"River selalu kata yang dia cukup bangga dengan kejayaan yang saya miliki dan kenyataannya cukup menggembirakan hati saya.
"Dia juga sentiasa menemani saya berjalan hampir ke seluruh dunia bersama. Saya suka apabila ada orang yang sentiasa berada di sisi ke mana-mana sahaja saya pergi.
"Malah dia seorang yang cukup memahami dan sering memberikan kata-kata semangat buat saya. Malah dia bukan lelaki yang cemburu buta dan tak pernah asa tergugat dengan kejayaan yang dimiliki," katanya.

Friday, June 21, 2013

Lady Gaga Larang Cher Lancar Lagu Duet Mereka

Lady Gaga dengan fesyen peliknya
ARTIS berimej pelik iaitu Lady Gaga melarang penyanyi Cher melancarkan lagu duet terbaharu mereka walaupun ia telah lama dirakam.
Contactmusic.com melaporkan Cher tidak pasti punca sebenar Gaga berbuat demikian tetapi ia mungkin kerana penyanyi itu tidak menyukai hasil terakhir lagu tersebut.
Gaga menyumbangkan lagu berjudul The Greatest Thing yang ditulisnya kepada Cher, 67, untuk album terbaharunya yang dijangka berada di pasaran awal tahun hadapan.
Cher turut mengakui kecewa dengan tindakan Gaga itu kerana ia adalah sebuah lagu yang baik dan yakin dapat diterima peminat mereka.

Saturday, January 19, 2013

Katie Holmes Dapatkan Bantuan Jurulatih Untuk Bercinta

Katie Holmes

AKTRES Katie Holmes dilaporkan mengupah seorang jurulatih bagi membimbingnya dalam aspek perhubungan.
Holmes yang memfailkan perceraian dengan aktor Tom Cruise pada Julai tahun lalu dikatakan sudah bersedia untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan mencari pengganti.
Justeru itu, ibu kepada Suri, 6, ini mengambil keputusan mendapatkan bantuan profesional bagi meningkatkan semula keyakinan diri terhadap lelaki.
Seorang sumber berkata, Katie membuat keputusan untuk kembali menjalin hubungan selepas menyambut ulang tahun kelahirannya pada hujung Disember lalu.
Katanya, pada kali ini aktres berusia 35 tahun itu mengambil pendekatan berbeza dalam soal perhubungan.
“Dia (Katie) menghadiri sesi dengan jurulatih secara individu dan menerusi telefon. Dia belajar mengenai teknik mendekati orang baharu termasuklah tip menjalinkan hubungan dan memperolehi semula keyakinan diri.
“Katie kini semakin yakin untuk bercinta semula dan mengambil langkah seterusnya bagi mencari pasangan dengan bantuan terapi itu,” kata sumber berkenaan.
Tambah sumber itu kepada majalah Grazia, Holmes mahu melakukan sesuatu mengenai hubungannya memandangkan 2013 baharu sahaja bermula.
“Memang sukar untuk bertemu dengan orang baharu di New York, terutamanya apabila anda adalah ibu tunggal. Kita faham jika dia berasa sunyi.
“Rakan-rakan pernah mencadangkan beberapa pertemuan antara Katie dengan lelaki lain tetapi dia tidak berminat.
“Jadi, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan profesional bagi menyuntik semula keyakinan dirinya,” katanya.

Wednesday, December 26, 2012

Mila Kunis & Tom Daley Selebriti Paling Seksi 2012



AKTRES Mila Kunis dan perenang Tom Daley meraih gelaran selebriti paling seksi 2012 oleh laman portal Digital Spy.
Kedua-dua mereka mendapat undian tertinggi daripada lebih kurang 25 ribu pengunjung laman web tersebut.
Atlit daripada negara England itu berjaya mendapat undian sebanyak 12.8 peratus (%) sekaligus mengalahkan aktor Channing Tatum yang begitu menghampirinya dengan undian 12%.
Mila pula meraih 18% undian sebagai wanita terseksi dan saingan terdekatnya pula ialah personaliti TV, Holly Willoughby yang mendapat tempat kedua iaitu 14.2%.
Pada tahun ini, nama kekasih kepada Ashton Kutcher itu sememangnya meletup dengan pelbagai cerita-cerita panas disamping lakonannya yang seksi menerusi filem Ted.
Berikut adalah senarai selebriti paling seksi untuk tahun ini.
Lelaki Paling Seksi
1. Tom Daley - 12.8%
2. Channing Tatum - 12%
3. Ryan Gosling - 11.2%
4. Daniel Craig - 11.2%
5. Johnny Depp - 10.5%
Wanita Paling Seksi
1. Mila Kunis - 18.4%
2. Holly Willoughby - 14.2%
3. Nicole Scherzinger - 13.5%
4. Cheryl Cole - 13.4%
5. Scarlett Johansson - 11.1%

Tuesday, October 30, 2012

Mila Kunis Hamil Anak Ashton Kutcher?

Perut yang seakan-akan terbonjol seperti mengandung

BARU beberapa bulan menjalinkan hubungan cinta dengan aktor AShton Kutcher, Mila Kunis muncul di hadapan umum dengan perut yang "membonjol" sehingga menimbulkan spekulasi bahawa dia sedang mengandung.
Daily Mail melaporkan, perut buncit Kunis jelas kelihatan ketika pasangan itu bersiar-siar dan baju belang hitam putih tanpa lengan yang dikenakan oleh pelakon 70's Show itu jelas menampakkan perutnya yang agak besar daripada kebiasaan.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Kunis benar-benar mengandung dan jurucakap pelakon itu enggan mengulas mengenainya.
Sebelum ini, Mila pernah memberitahu kepada media keinginannya mempunyai cahaya mata sendiri dan kelibat Kunis yang seolah-olah tidak kisah untuk menutupi perutnya seperti mengesahkan khabar angin yang tersebar.

Sunday, August 19, 2012

Sunny berehat berlakon lucah

Sunny Leone

AKTRES Bollywood yang merupakan pelakon lucah, Sunny Leone menjelaskan, dia ingin berehat selama setahun daripada berlakon dalam filem porno walaupun ia sudah sebati dengan namanya.
Sunny memberitahu sebuah akhbar utama di India bahawa dia akan menumpukan perhatian terhadap tawaran berlakon filem arus perdana.
"Saya akan semakin sibuk dalam dunia Bollywood untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun. Jadi, dalam tempoh itu saya tidak akan terlibat dalam apa-apa produksi lain.
"Biarlah produksi pornografi itu meneruskan filem-filem mereka, tetapi buat masa ini saya tidak akan terlibat," kata pelakon filem Jism 2 itu.
Dalam pada itu, Sunny semakin menunjukkan minatnya kepada dunia lakonan yang lebih 'bersih' apabila menyatakan kegembiraannya terlibat dalam industri itu.
"Gelaran sebagai pelakon lucah sukar untuk disisihkan daripada diri saya, tetapi ia bukan lagi menjadi sasaran. Apa yang saya mahukan ialah melakukan kerja yang terbaik dan dihargai.
"Saya berlakon di Bollywood kerana ia mempersonakan saya. Oleh itu saya terima sahaja apa-apa tawaran yang diberikan. Saya mahu lakukan apa sahaja yang boleh membuatkan saya berbangga," kata Sunny.

Wednesday, August 15, 2012

Kostum Berbulu Tebal, Pilihan Gaga Pada Musim Panas

Lady Gaga

SELERA berfesyen Lady Gaga memang lain daripada yang lain. Saat cuaca panas, penyanyi berusia 26 tahun ini memilih pemakaian kostum berbulu yang tebal.
Menurut laporan Dailymail, penyanyi lagu Born This Way ini dilihat berjalan keluar dari hotel tempatnya menginap di Bulgaria pada Ahad lalu dengan mengenakan kostum bulu tebal.
Selain itu, pakaian berbulu tersebut dipadankan dengan tas tangan berwarna coklat, dengan gaya memegang seekor anak anjing kepunyaannya. Kasut tumit tinggi dan kaca mata hitam pula sebagai pelengkap gaya.
Tidak lama kemudian, Gaga menulis pada Twitter miliknya mengatakan bahawa kostum tersebut benar-benar daripada bulu binatang.
"Buat media atau sesiapapun yang bertanyakan tentang keaslian kostum saya, jangan lupa untuk berikan penghargaan kepada pereka Hermes. Terima Kasih!," katanya menerusi Twitter miliknya.

Tuesday, August 14, 2012

Jada Pinkett Bengang Status Perkahwinan Dipertikaikan


SEJAK tahun lalu, pasangan selebriti Will Smith dan Jada Pinkett dilaporkan akan berpisah dan isu tersebut masih lagi berlarutan sehingga kini.
Menurut laporan Digital Spy, perkara itu membuatkan Jada semakin bengang dengan isu pergolakan rumah tangganya yang hampir setiap tahun dipertikaikan.
"Setiap tahun saya perlu berdepan dengan kontroversi penceraian. Kami tidak bercerai dan tidak akan bercerai.
"Ke mana saya akan pergi jika saya diceraikan? Will sudah menjadi sebahagian daripada diri saya," tegasnya.
Tambah Jada, walaupun kontroversi merupakan 'makanan' buat semua yang bergelar artis, namun ia tidak bermakna perkahwinannya boleh dipermainkan dengan khabar angin.
Pasangan itu bakal menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-15 pada 31 Disember depan. Hasil hubungan itu, kedua-dua mereka mempunyai dua orang anak iaitu Jaden Smith dan Willow Smith.

Sunday, August 12, 2012

Kareena Kapoor Bersuara Tentang Kahwin

SEBELUM ini berita pernikahan pasangan Saif Ali Khan dan Kareena Kapoor menimbulkan spekulasi apabila kedua-dua mereka enggan mendedahkan butiran mengenai hari bahagia mereka.
Namun kini khabar tersebut disahkan sendiri oleh Kareena dan mendedahkan beberapa butiran mengenai persiapan perkahwinannya.
Portal One India melaporkan, bintang Bollywood itu menegaskan bahawa persediaan majlis tersebut sedang berjalan dan sekaligus menyangkal dakwaan bahawa mereka telah berkahwin tanpa pengetahuan umum.
"Tidak mungkin kalau saya sudah berkahwin orang tidak tahu kerana jika perkara itu berlaku saya akan memberitahu kepada umum," katanya.
Selain itu, Kareena juga memberitahu kesal dengan laporan media yang mensensasikan berita pernikahannya sehingga ia menjadi kecoh.

Tuesday, April 10, 2012

Anne Hathaway Tampil Rambut Pendek


SEBELUM ini, pelakon Anne Hathaway mengakui telah mengikuti diet ketat apabila hanya mengambil sebanyak 500 kalori sehari demi menjayakan sebuah filem lakonannya.

Kini, pelakon filem Les Miserables itu turut mengorbankan rambut panjangnya dan tampil dengan imej berambut pendek.

Namun tidak dapat dipastikan adakah Anne memotong rambut kerana peranan baru dalam filem atau memang ingin tampil dengan imej baru.

Dailymail melaporkan, kelibat Anne, 29, dengan imej baru itu dilihat selepas meninggalkan sebuah kelab malam pada Ahad lalu sehingga ada yang tidak perasan kehadirannya.

Anne ketika itu bersama tunangnya, Adam Shulman dan beberapa teman lain kelihatan tidak selesa apabila pengunjung asyik memerhatikan dirinya.

Rasa kekok itu telah membuatkan pelakon itu menyembunyikan rambutnya di sebalik jaket yang dikenakan.

Thursday, April 5, 2012

Rihanna Tidak Menyesal Berbaik Dengan Chris Brown


PENYANYI terkenal, Rihanna tidak peduli dengan tanggapan negatif daripada pelbagai pihak mengenai keputusannya untuk berbaik-baik dengan bekas kekasihnya iaitu Chris Brown.

Rihanna yang terkenal dengan lagu Umbrella ini memberitahu dia tidak pernah menyesal berbaik kembali dengan Chris walaupun lelaki itu pernah membelasahnya dua tahun lalu.

"Masyarakat boleh kata apa sahaja mengenai keputusan itu kerana ia bukan masalah saya," ujarnya kepada majalah Fashion.

Sebelum ini para peminat penyanyi itu berang dengan tindakannya menjalinkan hubungan semula dengan Chris dan meminta Rihanna untuk tidak mendekati lelaki itu.

Bagaimanapun dengan perkembangan terbaru ini, nampaknya impian peminatnya tidak akan tercapai.

"Saya masih akan menjadi orang yang sama seperti sebelum ini dan tiada apa berubah," ujarnya.

Chris menjadi sasaran peminat Rihanna apabila telah menggasari kekasihnya itu dalam satu insiden pada malam sebelum Anugerah Grammy pada tahun 2009.

Ingin melupakan kejadian itu, Rihanna memberitahu dia menganggap kejadian itu sebagai satu pelajaran buatnya.

Monday, April 2, 2012

Olivia Newton-John Pukau 3,500 Peminat Di Genting Highlands


PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon veteran Olivia Newton-John berjaya memukau 3,500 peminat dengan imbauan lagu-lagu malar segarnya pada konsert Olivia Newton-John: Live in Concert di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, Khamis lalu.

Konsert tersebut bermula pada pukul 8 malam dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi tempatan, Farhan Azizan (AF4) menerusi lagu Gary Moore Still Got The Blues dan Whitney Houston Greatest Love of All.

Pada konsert itu, Newton-John menyampaikan lagu-lagu popularnya termasuk You’re The One That I Want, Hopelessly Devoted to You, Physical dan I Honestly Love You dengan vokal menawan.

Konsert yang mengimbau kronologi muzik pemenang anugerah Grammy sebanyak empat kali itu bermula daripada lagu-lagu hits genre country sehingga muzik di era kemasyuran filem lakonannya, Grease.

Dia memulakan persembahan dengan lagu Pearls on a Chain yang dipetik daripada album terbaru Grace and Gratitude Renewed dan rangkaian lagu medley daripada filem terbarunya A Few Best Men.

Persembahan Newton-John di Malaysia adalah sebahagian daripada siri jelajah promosi Asia termasuk di Jepun, Thailand, Singapura, Hong Kong, Filipina, Indonesia dan Sri Lanka.

Newton-John memikat peminat di seluruh dunia menerusi bakat, kecantikan dan pembabitannya dalam aktiviti kemanusiaan selama lebih empat dekad.

Dia turut dilantik sebagai Goodwill Ambassador kepada United Nations Environment Programme.

Album pertamanya di Amerika Syarikat Let Me Be There melayakkan dia menembusi carta Top 10 di sana, selain turut dinobatkan Vokalis Harapan Wanita di Academy of Country Music dan Vokalis Country Terbaik di Grammy Award.

Selain sibuk dengan karier nyanyian dan lakonan, bintang berusia 64 tahun itu juga sedang mempromosikan buku masakan bertajuk LivWise: Easy Recipes For A Healthy, Happy Life.

Dia yang kini bebas daripada kanser payudara turut aktif dalam kempen kesedaran dan penyelidikan berkaitan kanser itu.

Pada Jun depan, Newton-John bakal melancarkan Olivia Newton-John Cancer and Wellness Centre di tempat asalnya Melbourne, Australia.

Konsert tersebut dianjurkan oleh Offshore Entertainment Production Sdn. Bhd.

Saturday, March 31, 2012

Dakota Fanning Anggap Sebagai Twitter Musuh


JIKA selebriti lain menganggap Twitter adalah media yang efektif untuk mendekatkan diri dengan pada peminat, lain pula pemikiran aktres Dakota Fanning mengenai laman sosial tersebut.

Dakota yang berusia 18 tahun itu menganggap Twitter adalah musuh termasuklah laman sosial yang lain kerana ia boleh mengganggu ruang privasinya.

"Saya rasa, tak perlulah orang luar nak tahu di mana atau apa yang saya lakukan walaupun ramai yang ingin tahu tentang pergerakan saya.

"Itu bukan cara saya. Saya tak ada Facebook dan Twitter dan tak akan ada. Jadi, jika wujudnya Dakota Fanning di Twitter, ia adalah palsu," katanya kepada Contactmusic.

Sementara itu, pelakon yang meraih populariti pada usia yang muda berkata dia tidak pernah merasakan bahawa dirinya seorang bintang, apatah lagi dipanggil selebriti muda.

Madonna Jual Rumah Berharga RM842 Juta


ADA khabar baru buat penyanyi kesayangan ramai, Madonna. Pelantun lagu “Frozen” ini telah memutuskan untuk menjual kediaman mewahnya di Beverly Hills, Amerika Syarikat yang bernilai USD275 juta (RM842 juta).

Kediaman mewah berkonsepkan gaya Perancis yang mempunyai tiga bilik tidur dan lima bilik air itu telah dibeli pada tahun 2003.

"Ada kemungkinan, dia telah mengubah semula dekorasinya pada ketika ini. Tetapi yang pasti, rumah itu akan dijual.

"Rumah itu penuh dengan memori kerana ia dibeli ketika dia berkahwin dengan aktor Guy Ritchie lagi. Ketika itu harganya cuma USD110 juta (RM337 juta)," kata sumber.

Selain mempunyai ruang yang luas, kediaman tersebut mempunyai sebuah gelanggang tenis dan kolam renang mewah.

Selepas berpisah dengan Guy dan kemudiannya berkahwin dan putus dengan Simon Cowell, Madonna meninggalkan rumah tersebut dan menetap di New York di Townhouse East Side pada tahun 2009.

Serap jiwa Marilyn Monroe


KETIKA artikel ini ditulis, Katharine Hope McPhee sedang berada di Burkina Faso, Afrika untuk menghulurkan sumbangan kepada sebuah sekolah di situ melalui persatuan kebajikan yang ditubuhkannya, McPhee Outreach.

Dalam pada itu, menerusi laman sosial Twitter miliknya itu pada awal minggu ini, Katharine, 28, memaklumkan bahawa produksi televisyen lakonannya, Smash sudah hampir tamat penggambarannya.

Ungkapnya dalam Twitter tersebut: "Selamat malam semua, sudah hampir pukul 5.30 pagi. Tinggal baki enam hari lagi untuk menyudahkan penggambaran Smash musim pertama."

Wataknya dalam drama muzikal itu adalah sebagai Karen Cartwright iaitu seorang wanita yang bercita-cita tinggi dan bekerja keras untuk mencapai sukses dalam dunia pementasan teater pastinya mencetuskan pesona baharu buat bekas peserta program realiti American Idol itu.

Mana tidaknya menerusi Smash, Katharine turut mengadaptasi perwatakan bintang legenda Hollywood, mendiang Marilyn Monroe dalam konsep dan jalan cerita yang lebih terkini dan segar menerusi naskhah terbitan produser tersohor Steven Spielberg!

Saya dan Megan (Hilty) akan menjadi rakan karib pada waktu-waktu tertentu tapi akhirnya berkelahi jua," cerita Katharine mengenai gandingannya dalam Smash, Megan Hilty yang melakonkan karakter Ivy Lynn.

Celah Megan itu sewaktu sesi temu bual bersama media antarabangsa baru-baru ini: "Itulah yang saya suka! Kami menikmati momen menarik sepanjang pembikinan muzikal ini."

Smash memaparkan kisah perjalanan dan usaha gigih penghasilan sebuah muzikal Broadway. Ia bermula apabila sepasukan penulis lirik lagu mahu menghasilkan sebuah pementasan muzikal berpandukan kehidupan Marilyn Monroe.

Pasti ada sesuatu yang menarik untuk Katharine sementelah Smash merupakan lakonan pertamanya untuk sebuah naskhah Broadway.

"Sebuah pengembaraan yang sangat jauh sebelum saya menyertai American Idol sehingga berada di kedudukan saya sekarang.

"Penat lelah yang saya alami selepas tamat rancangan realiti nyanyian itu membantu saya membentuk sebuah acuan karakter yang saya realisasikan sekarang ini.

"Saya akui memang saya tidak pernah ada pengalaman berlakon dalam sebarang pementasan Broadway melainkan pernah ke sekolah teater suatu ketika dulu. Smash nyata menghidupkan kembali impian saya untuk berlakon di Broadway suatu masa dulu," ujar naib juara American Idol musim kelima itu.

Steven Spielberg

Perjalanan yang seakan-akan mirip kisah realiti dirinya sewaktu menyertai American Idol pada tahun 2006 dibentuk menerusi karakter lakonannya dalam Smash.

Katharine tidak membantah andai platform itu menonjolkan namanya untuk diteropong para pengarah Hollywood. Ini kerana sebelum menyertai American Idol 5, dia pernah menceburi dunia lakonan.

Buktinya pada 2005, dia pernah membintangi sebuah siri terbitan MTV berjudul, You Are Here. Malangnya, siri tersebut tidak pernah ditayangkan.

"Walaupun saya tidak bergelar juara American Idol tapi saya masih dibayangi sebagai seorang selebriti yang muncul daripada program itu.

"Bagi sesetengah orang, ia kelihatan seperti sebuah roket yang menjadi pemacu terbaik untuk sampai ke bulan.

"Perjalanan saya sebenarnya lebih menarik, saya menyelusuri bukit bukau, lembah dan lurah. Segala kekecewaan dan pergorbanan yang saya lalui dalam percubaan saya untuk menjadi seorang pelakon (sebelum menyertai American Idol 5) telah menyediakan (kekuatan) saya untuk masa sekarang," getusnya.

Bekerjasama dengan nama besar industri perfileman Hollywood, Steven Spielberg sudah tentu pengalaman paling menarik buat Katharine.

Bukan calang-calang individu mampu memenuhi kehendak Spielberg untuk dipilih berlakon dalam naskhah terbitannya.

Bak kata Katharine, pertemuannya dengan Spielberg sewaktu sesi uji bakat Smash adalah antara detik terindah dirinya sepanjang bergelar seorang pelakon.

"Saya sangat teruja dan tidak henti-henti bercakap sewaktu pertemuan sulung dengannya (Spielberg). Dia sangat menarik orangnya dan ketika itu dia hanya mendengar setiap yang saya ucapkan.

"Salah satu sebab dia menerima saya mungkin kerana dia melihat watak Karen Cartwright dalam diri saya. Bagi saya, pertemuan dengannya adalah momen terindah dalam karier saya," ceritanya yang sebelum ini pernah membintangi filem The House of Bunny pada tahun 2008 dan Shark Night 3D(2010).

Simbol seks

Sukar barangkali untuk seorang aktres yang dilahirkan selepas zaman kegemilangan Marilyn Monroe untuk menyerap jiwa Broadway wanita berambut perang itu.

Hal ini diakui sendiri oleh Katharine yang terpaksa mendalami perihal kehidupan Marilyn Monroe dan menonton lebih banyak naskhah lakonan pelakon popular era 50-an itu.

"Saya membesar dengan tanggapan bahawa ia sesuatu yang biasa apabila ramai yang memuja wanita berambut perang seperti Marilyn Monroe, jadi saya langsung tidak ambil pusing tentang siapa itu Marilyn Monroe.

"Sehinggalah saya terbaca sebuah biografi Arthur Miller sewaktu di kolej. Ia menceritakan tentang huru-hara dalam perkahwinannya bersama Marilyn dan mengenai filem yang ditulis olehnya untuk Marilyn, The Misfits.

"Oleh itu, saya sangat tertarik lantas menontonnya, serta-merta saya jatuh cinta dengannya," tuturnya membuka cerita.

Saya tidak pernah sekali pun menonton filem lakonan Marilyn sewaktu zaman kanak-kanaknya, kerana bagi Katharine dia bukan membesar dengan wanita yang sering dijadikan simbol seks itu.

"Saya tidak pernah menonton filem Marilyn sewaktu zaman kanak-kanak melainkan filem-filem seperti The Sound of Music dan Singin' in the Rain.

"Ibu dan bapa saya membesar bersamanya (Marilyn) dan kini sudah tiba giliran saya untuk mula menonton filem-filem lakonannya lebih kerap dan membaca kisah-kisahnya," tegasnya.

Ujarnya lagi, dia diberikan peranan menyanyikan lagu Happy Birthday, Mr. President sewaktu sesi uji bakat pertama untuk Smash dan dia menganggap kepercayaan itu sebagai permulaan buat dirinya mengembangkan karier seninya itu dengan lebih pesat.

"Saya rasa agak selesa menyanyikannya kerana lagu itu memiliki vibrato pantas dan sangat menguji pernafasan.

"Apabila saya mula berlakon dalam Smash, saya meletakkan sebanyak mungkin tekanan untuk menjadi seperti Marilyn.

"Namun, sudah tentu saya tidak mampu menjadi Marilyn sepenuhnya. Memperoleh sedikit auranya merupakan item yang paling saya inginkan," akuinya.

Saturday, March 24, 2012

Mahu cantik, January Jones Makan Plasenta Sendiri


SEPERTI yang sedia maklum, di Hollywood, selebriti-selebriti di sana sanggup melakukan apa sahaja demi kecantikan wajah.

Begitu juga dengan aktres January Jones, dia mengakui bahawa antara tips bagi mengekalkan kecantikan wajah adalah dengan memakan plasenta dari rahimnya.

Menurut laporan Bang Showbiz, Januari mula mengamalkan plasenta sejak melahirkan bayinya, Xander pada September tahun lalu dan bintang filem Mad Men ini percaya dengan memakan organ tersebut, dirinya akan lebih sihat.

"Saya mempunyai semangat yang tinggi apabila berbicara tentang hal-hal kesihatan dan akan memastikan pengambilan makanan kesihatan seperti, vitamin, teh serta plasenta yang telah dikapsulkan wajib dimakan.

"Memang bunyi plasenta agak menggelikan tetapi ia telahpun dikering dan dijadikan kepada bentuk vitamin," katanya.

Tambah January cara pemakanan plasenta tersebut dianggap mistik seperti ingin melakukan sesuatu ritual, tetapi dia menegaskan hal itu tiada kaitan langsung, sebaliknya menyarankan kepada ibu-ibu di luar sana untuk menjadikan plasenta sendiri sebagai makanan tambahan.

Friday, March 23, 2012

Rihanna Jadi Pereka Fesyen Pula


MENJADI satu trend agaknya, penyanyi Rihanna kini mengikut jejak langkah bebrapa selebriti wanita lain dengan menjinakkan diri dalam bidang fesyen pula.

Penyanyi berusia 24 tahun itu berkata memandangkan penampilannya sering menjadi perhatian dan diperkatakan, selain peminat-peminatnya mengikut gaya fesyennya, dia nekad untuk muncul dengan sebuah jenama rangkaian fesyennya sendiri.

"Saya akan menubuhkan sebuah rangkaian fesyen sendiri dan ingin menjadi seorang pereka fesyen yang dikagumi.

"Dalam pada itu, saya mahu orang percaya dan yakin dengan hasil kerja rekaan yang saya lakukan sebelum mereka membelinya," kata penyanyi kelahiran Barbados itu.

Menurut laporan laman Digital Spy, pelantun lagu Umbrella itu kini bekerjasama dengan jenama Armani dengan mereka khas aksesori.

Tampil Langsing, Kehamilan Beyonce Dipertikaikan Lagi


MENJADI satu perkara yang normal bagi seseorang wanita tidak mendapat tubuh badan yang langsing dalam jangka masa dua bulan selepas proses melahirkan anak.

Namun, hal itu tidak pun berlaku kepada penyanyi Beyonce Knowles yang baru saja melahirkan anak perempuan, Blue Ivy Carter, pada 7 Januari lalu.

Ia terbukti apabila dia muncul pada sebuah majlis amal pada Selasa lalu. Dia kelihatan sempurna dengan tubuh badan yang langsing, mengenakan gaun pendek busana jenama Victoria Beckham.

Ketika itu, tubuh badan Beyonce sedikit pun tidak menampakkan perubahan seperti ibu-ibu yang baru lepas bersalin.

Khabar angin mengenai penyanyi seksi itu memalsukan kehamilannya mula bertiup kencang apabila membuat kemunculan di America's NBC News Today baru-baru ini.

Perut Beyonce dikatakan bergerak seperti mempunyai bantal tambahan semasa duduk di sofa untuk diwawancara.

Terdapat juga dakwaan bahawa penyanyi bersuara emas itu melakukan taktik tersebut bagi menyerlahkan perutnya ketika muncul di khalayak.

Penampilan Beyonce yang cukup sempurna pada majlis amal itu dengan mengenakan pelbagai aksesori bersama kasut tumit tingginya menguatkan lagi dakwaan bahawa kehamilannya sebelum ini berkemungkinan besar adalah palsu.

Serangan Jantung Dan Dadah Punca Kematian Whitney Houston


PUNCA sebenar kematian diva terkenal, Whitney Houston telah diketahui apabila ujian toksilogi mendapati Whitney sebelum kematiannya telah mengambil dadah jenis marijuana, Xanax, ubat penenang otot (Flexeril) dan ubat alergik (Benadryl).

Whitney, 48, yang ditemui mati lemas di dalam tab mandi di hotel penginapannya di Los Angeles bulan lalu di dapati mempunyai dadah dalam sistem badannya.

Perkara berkenaan terkandung dalam laporan bedah siasat yang diumumkan oleh pakar forensik yang diketuai oleh koroner, Craig Harvey.

Menurut Craig, akibat pengambilan pelbagai jenis dadah dan ubat-ubatan penenang, Whitney dilaporkan telah mengalami serangan jantung sebelum tersemban ke dalam tab mandi tersebut.

“Penggunaan ubat berkenaan menyebabkan Houston mengalami serangan jantung,” katanya.

Pendedahan itu menamatkan spekulasi mengenai punca sebenar kematian penyanyi tersebut pada 11 Februari lepas, iaitu pada malam menjelang anugerah Grammy Awards.

Bagaimanapun jumlah kandungan dadah dalam badannya itu tidak didedahkan sebaliknya laporan penuh autopsi akan dikeluarkan dalam masa dua minggu.

Keluarga dan rakan-rakan penyanyi yang popular dengan lagu I Will Always Love You itu sebelum ini tidak percaya dadah sebagai punca utama kematiannya malah mereka tidak yakin Whitney mengambil dadah.

Mendiang telah dikebumikan di tanah perkuburan New Jersey, bersebelahan dengan kubur bapanya pada satu majlis pengkebumian yang turut dihadiri oleh keluarga, rakan dan selebriti termasuk Oprah Winfrey, Tyler Perry, Alicia Keys, Mariah Carey, Mary J. Blige, Jennifer Hudson dan Roberta Flack.

Sebelum menemui ajal, Houston cuba kembali semula ke pentas hiburan malah dia sempat menyiapkan lakonannya dalam filem Sparkle yang mana dia turut menyanyikan lagu His Eye is on the Sparrow. - TMZ