Showing posts with label Salma Mentor5. Show all posts
Showing posts with label Salma Mentor5. Show all posts

Monday, August 29, 2011

Salma Belanja RM10,000 Untuk Kegunaan Hari Raya


SHAH ALAM: Juara Mentor 5, Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21, menghabiskan sebanyak RM10,000 untuk kegunaan sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Kata Salma, wang tersebut diambil sedikit daripada hasil kemenangannya dalam Mentor 5 yang berjumlah RM100,000 untuk majlis kesyukuran dan rumah terbuka yang akan diadakan pada Hari Raya ketujuh di kampungnya, di Tawau, Sabah.

"Alhamdulillah, sejak diangkat menjadi juara Mentor 5, sekelip mata kehidupan saya sekeluarga berubah dan ada kalanya, terasa bagaikan mimpi pula.

"Sebab itulah saya ingin membuat majlis makan-makan secara kecil-kecilan khas buat keluarga dan peminat-peminat sebagai tanda bersyukur ke atas rezeki pemberian Tuhan.

"Kali ini juga saya berpeluang untuk berbelanja buat keluarga di kampung dan anak saya, Putri Nurul Huda (empat tahun). Memang rasa seronok sangat bila dapat berkongsi rezeki dengan orang yang disayangi," katanya.

Bagaimanapun tambah Salma, dia agak ralat apabila tidak dapat bersama keluarga pada awal sambutan Aidilfitri kerana mempunyai komitmen menghadiri pelbagai undangan persembahan.

"Bagi saya inilah pengorbanan sebagai seorang anak seni, tambah pula bagi orang baru seperti saya yang perlu bekerja keras untuk mengukuhkan karier.

"Apa-apa pun, saya bersyukur kerana keluarga faham dengan situasi saya ini. mana tahu, pada tahun depan, saya dapat bersama dengan mereka pada awal raya tahun depan," ujarnya.

Salma bakal muncul menerusi program Mentor Raya 2011 yang akan disiarkan pada 11 September nanti, pukul 9 malam, menerusi saluran TV3.

Thursday, August 11, 2011

Salma (Mentor) Urus Kerjaya Sendiri


SHAH ALAM: Walaupun muncul juara dalam program realiti Mentor musim kelima, Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21 mengakui dia lebih selesa mengatur langkah karier nyanyiannya sendiri tanpa pengurusan mana-mana syarikat rakaman.

Menurut Salma, selepas program tersebut tamat, dia tidak tahu ke mana arah tuju perjalanan seninya, namun dengan bantuan mentornya, Erra Fazira, Salma dapat melangkah secara perlahan-lahan dalam membina karier muziknya.

"Syukur mentor saya iaitu Kak Erra (Erra Fazira) banyak membimbing saya mengenai selok belok industri muzik tempatan.

"Saya tahu, bergelar juara bukanlah satu jaminan besar untuk kita berada di bawah sesebuah syarikat rakaman. Seperti biasa, saya akan berfikiran positif dan menganggap belum sampai masanya lagi untuk saya berada di bawah mana-mana syarikat rakaman lagi," katanya.

Tambah Salma, dia tidak kisah untuk menguruskan kariernya sendiri walaupun sehingga kini, hanya menerima sebanyak lima undangan persembahan (yang berskala besar).

"Memang bergelar penyanyi bukannya mudah tetapi saya seronok melalui perjalanan ini. Ia sebuah pengalaman yang baru. Walaupun persembahan pentas tidak banyak untuk saya tetapi sedikit sebanyak saya dapat mengubah sedikit cara kehidupan lama.

"Kiranya saya patut bersyukur kerana jika dahulu saya pernah menerima bayaran sebanyak RM50 untuk satu persembahan tetapi kini saya terima lebih daripada itu.

"Menguruskan kerjaya sendiri juga bukanlah satu penyeksaan, cuma saya perlu bekerja keras sedikit untuk mendapatkan undangan persembahan pentas," ujarnya.

Sementara itu, Salma berkata, dia juga terpaksa berkorban untuk berjauhan dengan anak perempuannya, Putri Nurul Huda, 4, demi mengukuhkan kerjaya nyanyiannya.

"Buat masa ini, anak saya dijaga oleh ibu di kampung, Tawau, Sabah. Memang saya rindu sangat kepadanya. Tapi, apakan daya, saya perlu bekerja keras untuk masa depan dia," tuturnya.

Monday, May 30, 2011

Salma, Juara Mentor 5 Raih 3.25 juta Undian SMS Penonton



SHAH ALAM: Juara Mentor musim kelima, Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis, 21, berjaya meraih 3.25 juta undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton sebelum program itu melabuhkan tirainya di Stadium Malawati, di sini, Ahad.

Perkara tersebut disahkan oleh penerbit Mentor 5, Muhamad Suffian Isa di mana undian tersebut telah berjaya melonjak markah Salma iaitu 85 peratus jauh meninggalkan dua peserta lain yang turut bertanding iaitu Iqa dan Shiha.

Shiha mendapat tempat kedua dengan markah 63 peratus manakala Iqa menduduki tempat ketiga (56 peratus).

“Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada semua peminat yang mengundi saya.

“Apa yang membangkitkan semangat saya untuk berjaya adalah teguran daripada Kak Erra dengan melakukan latihan bersungguh-sungguh setelah melihat prestasi saya agak teruk pada peringkat separuh akhir,” kata Salma dalam satu sidang media.


Selepas memenangi program yang turut disiarkan secara langsung di TV3 itu, secara automatik Salma akan bergelar artis di bawah stesen televisyen itu sebelum bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.

“Saya akan meneruskan minat dalam bidang nyanyian dan teringin untuk memiliki album sendiri. Dengan wang tunai yang saya dapat ini, mungkin saya akan merealisasikan impian saya.

“Saya juga merancang untuk membawa keluarga makan angin,” ujarnya lagi yang turut mengaku statusnya sebagai janda beranak satu.

Salma pernah berkahwin pada usia 17 tahun dan bercerai setahun selepas itu. Hasil perkahwinannya, dia dikurniakan seorang anak perempuan bernama Puteri Nurul Huda berusia lebih tiga tahun.

Dengan kemenangan itu, Salma berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000, sebuah trofi dan sebuah kereta Chevrolet Cruze manakala mentornya, penyanyi dan pelakon Erra Fazira turut memenangi hadiah wang tunai RM100,000.

ementara Shiha membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan Vespa LX150 serta mentornya, penyanyi Datuk Sharifah Aini membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah yang sama.

Tempat ketiga, Iqa dan mentornya, komposer dan penyanyi Edry Abdul Halim juga membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang.

Format pemarkahan merangkumi 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus melalui juri awam.

Juri profesional merupakan pemuzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Ziana Zain.

Turut diumumkan adalah pemenang peserta ujibakat iaitu Nursyila Mohd Khir yang menyanyikan lagu Oh Dimana dan menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Friday, April 15, 2011

Salma kekalkan rentak kemenangan


PERSAINGAN untuk kumpulan B rancangan program realiti televisyen Mentor musim kelima untuk minggu kedua semakin rancak apabila protege Erra Fazira iaitu Salma meneruskan rentak kemenangan.

Dalam persembahan yang diadakan di Dewan Auditorium MBSA baru-baru ini menyaksikan Salma mengatasi cabaran dua orang lagi peserta iaitu Iqa dan Aiman yang masing-masing merupakan protege kepada Edry dan Rahim Maarof.

Menerusi markah yang diperolehi menerusi juri awam, juri profesional serta melalui undian SMS, Salma mendapat 77 peratus, diikuti Iqa dengan 56 peratus dan Aiman sekadar berpuas hati dengan meraih undian sebanyak 43 peratus sahaja.

Pada malam tersebut, Salma telah membuat satu persembahan yang cukup mantap dan bertenaga menerusi dua buah lagu iaitu Bukan Milikmu Lagi serta Rama-Rama yang dinyanyikan secara duet bersama Ratnah iaitu protege Afdlin Shauki dari Kumpulan A.

Malah persembahan peserta yang berasal dari Tawau, Sabah itu turut mendapat pujian dua orang juri iaitu Datuk Ramli MS dan Mas Idayu. Menariknya, dia turut mendapat markah penuh sebanyak 20 peratus daripada juri awam.

Dalam komen yang diberikan, Ramli MS menyifatkan Salma sebagai seorang peserta yang sememangnya sudah boleh menyanyi, manakala Mas Idayu pula menganggapnya peserta yang cukup hebat.

Seorang lagi peserta iaitu Iqa yang turut memberi saingan sengit kepada Salma turut tidak ketinggalan membuat persembahan yang memukau menerusi sebuah medley lagu berjudul Sejati dan Bujang Senang.

Ternyata percubaan Iqa yang membawa elemen rock untuk persembahan minggu kedua dilihat agak berjaya apabila turut mendapat pujian kedua-dua orang juri dan mentornya iaitu Edry.

Untuk persembahan yang kedua pula, Iqa turut tidak mengecewakan para peminatnya apabila sekali lagi tampil dengan persembahan mantap menerusi duetnya bersama protege Noh Hujan iaitu Ayish dengan lagu Sofea Jane yang dipopularkan oleh Black.

Bagaimanapun, nasib dilihat tidak begitu menyebelahi protege Rahim Maarof iaitu Aiman apabila sekali lagi dia mendapat peratusan undian yang terendah untuk minggu kedua.

Biarpun dia dilihat berani membawa medley lagu-lagu rock menerusi empat buah lagu iaitu Ekstravaganza, Larut, Aku Cinta Kerana Kau Cinta dan Holy Diver, tetapi ia masih belum mampu memikat hati juri.

Sementara menerusi persembahan kedua pula, Aiman dilihat masih tidak mampu untuk membuat persembahan yang memberangsangkan, meskipun berduet dengan protege Datuk Sharifah Aini, Shiha.

Menerusi komen yang diberikan oleh Ramli MS, beliau merasakan Aiman tidak mampu untuk membawakan lagu rock dengan baik dan Mas Idayu pula menyatakan duetnya bersama Shiha dilihat agak longgar.

Kurang pengalaman

Ketika ditemui selepas tamat persembahan, Aiman menyatakan antara punca dia masih tidak mampu untuk memberi saingan kepada dua orang peserta lagi adalah disebabkan kurang pengalaman.

Menurutnya, sebelum ini dia langsung tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian dan Mentor adalah merupakan percubaan sulungnya untuk bergelar seorang penyanyi.

“Secara jujurnya, saya memang tidak berpuas hati dengan persembahan malam ini dan ia memberi sememangnya agak memberi tekanan untuk terus memberikan saingan.

“Apapun saya akan berbincang dengan mentor saya untuk perbaiki segala kelemahan yang ada. Walaupun terus berada di tangga terbawah, namun saya yakin peluang saya masih lagi ada,” ujar peserta dari Shah Alam itu.

Sementara bagi Salma yang sudah dua minggu berturut-turut bergelar juara mingguan, dia tidak mahu berasa terlalu selesa memandangkan persaingan masih lagi berlangsung.

Ujarnya, meskipun terus mendapat peratusan undian yang tertinggi untuk minggu kedua, tetapi dia berasa sedikit kecewa apabila ia merosot berbanding minggu sebelumnya.

“Pada minggu pertama saya mendapat undian sebanyak 80 peratus dan minggu ini hanya 77 peratus. Jadi saya tidak boleh terlalu yakin sangat dan akan terus membuat persembahan yang terbaik untuk minggu-minggu seterusnya,” ujarnya.

Monday, April 11, 2011

Salma (Mentor 5) Akan Jelaskan Status Ibu Tunggal


SHAH ALAM: Peserta Mentor musim ke lima yang juga protoge kepada Erra Fazira iaitu Salma,21, terkejut apabila soalan mengenai status perkahwinannya ditanya oleh pihak media sejurus selepas tamat rancangan itu Ahad, lalu.

Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis dikatakan seorang ibu tunggal beranak satu.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung status itu kerana bimbang akan mengganggu konsentrasinya dalam program tersebut.

“Selepas habis Mentor baru saya akan menjelaskan tentang perkara ini. Bagi mereka yang mengetahui tentang status saya, biarkan sahaja.

“Saya takut kenyataan saya nanti akan mengganggu fikiran,” kata wanita berasal dari Tawau, Sabah ini.

Tambahnya: “Saya masih mempunyai keluarga di kampung dan banyak hati yang perlu dijaga.”

Pada konsert kedua kumpulan B itu, Salma menduduki tempat pertama dengan markah keseluruhan sebanyak 157 di mana pada konsert pertama dia mendapat 80 peratus dan konsert kedua 77 peratus.

Malah antara enam peserta yang bertanding dalam program tersebut, Salma turut mendapat markah paling tinggi setakat ini dan dijangka menjuarai Mentor 5 jika dinilai berdasarkan kepada undian yang diterima.

Juara Mentor 5 akan memenangi hadiah wang tunai RM100,000 masing-masing dan sebuah kereta Chevrolet Cruze untuk protégé.

Sementara hadiah untuk naib juara adalah wang tunai RM30,000 untuk mentor dan protégé. Protégé yang memenangi tempat kedua juga akan memenangi sebuah Vespa LX150.

Mentor 5 disiarkan di TV3 pada setiap Ahad, pukul 9 malam.