Showing posts with label Misha Omar. Show all posts
Showing posts with label Misha Omar. Show all posts

Sunday, May 27, 2012

Shisheido Ubah Misha Lebih Cantik dan Sihat


Tahniah diucapkan kepada Misha Omar di atas perlantikkannya sebagai jurucakap produk kecantikan Shideido bermula Mac lalu. Maklumlah, bukan mudah mendapatkan perhatian jenama antarabangsa ini kalau profil tidak membanggakan. Perlantikkan ini membuktikan Misha punya aura tersendiri dan diyakini personalitinya.
Mengulas tentang perlantikannya itu, Misha yang ditemui di sesi temubual istimewa bersama Shiseido baru-baru ini memberitahu yang dia sebenarnya masih sukar mempercayai perlantikkan itu.
“Saya macam tidak percaya perkara ini benar-benar berlaku. Maklumlah ini jenama antarabangsa jadi saya fikir bukan mudah untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka. Namun, saya bersyukur kerana Shiseido percaya dengan saya dan akan cuba jalankan tanggungjawab ini dengan baik. Peluang keemasan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya,” ulas Misha teruja.
Dalam masa yang sama, wanita berusia 30 tahun ini mengakui Shiseido telah mengubah perspektifnya dalam penjagaan kecantikan dan kesihatan.
“Selepas bersama Shiseido, saya mula mula mengambil berat dalam penjagaan kecantikan dan juga kesihatan. Kalau dulu saya lakukan tiga langkah penjagaan asas kulit sahaja iaitu membersih, melembap dan menyegarkan, tetapi kini saya mula sedar penggunaan serum juga penting. Terutama apabila seseorang itu sudah berumur 30 tahun ke atas.
Selain itu, saya juga sedar untuk memiliki kulit yang cantik kita juga harus menggunakan produk rawatan wajah yang sesuai, minum banyak air dan lakukan senaman secara rutin. Setelah beberapa bulan menggunakan produk rawatan wajah Shiseido, saya dapati kulit wajah saya semakin cerah dan berseri. Tidak ada lagi masalah warna kulit tidak sekata atau kulit kusam.
Saya paling suka dengan produk Shiseido White Lucent. Serum ini menjadikan kulit lebih berseri dan halus sehingga tidak memerlukan pemakaian bedak asas sebelum bersolek. Selain itu, saya juga suka dengan harumannya yang menenangkan fikiran. Satu lagi produk yang menjadi kesukaan saya ialah Shiseido Global Suncare Perfect UV Protector yang berfungsi  melindungi kulit daripada sinaran sinaran UV yang boleh membuatkan kulit kusam. Saya dapati produk ini cukup efektif. Bahkan, boleh digunakan sebagai alas mekap,” ujar Misha lagi.
Sempena perlantikannya itu, Shiseido bakal melancarkan Set Pilihan Misha pada Julai hadapan. Set yang juga merupakan set promosi Hari Raya itu mengandungi enam produk serta satu cakera padat istimewa yang memuatkan single terbaru  Misha berjudul ‘Angin Syurga’, satu lagu raya – ‘Aidilfitri’ dan tidak ketinggalan lagu ‘berhantu’ ‘Bunga-Bunga Cinta’. Set ini berharga RM300 (Semenanjung Malaysia) dan RM310 (Sabah & Sarawak).

Saturday, May 12, 2012

Amy Search turun Sarawak 2012

Amy Search
SEBUAH konsert percuma yang bakal menampilkan enam artis popular tanah air bakal berlangsung sempena pelancaran akhbar kompak Kosmo! di Kuching, Sarawak pada 13 Mei ini (Ahad).
Konsert yang dikenali sebagai Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! itu bakal berlangsung di The Square Tower, Tebingan Kuching, bermula dari pukul 8 hingga 11 malam itu akan menyaksikan Amy Search, Misha Omar, Nera AF9, Bob AF2, Akim AF7 dan Iwan Dasri muncul mendendangkan antara dua hingga tiga buah lagu-lagu popular masing-masing.
Penyanyi suara gemersik, Misha Omar bakal menyanyikan dua buah lagu popularnya iaitu Bunga-Bunga Cinta dan Pulangkan manakala sebuah lagi lagu yang akan didendangkan Misha merupakan lagu popular penyanyi lain.
“Lagi satu lagu itu saya masih belum buat keputusan untuk nyanyikan lagu siapa. Mungkin lagu tempatan dan mungkin juga lagu luar negara. Kalau nak tahu kenalah hadir untuk saksikan persembahan saya itu nanti,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain teruja bertemu dengan peminatnya di Sarawak, ujar Misha, dia juga gembira kerana akhirnya akhbar Kosmo! dilancarkan di Sarawak.
Misha yang kali terakhir mengadakan persembahan di Sarawak pada 28 April lalu di Pekan Kuala Matu, melahirkan perasaan gembira kerana sekali lagi berpeluang membuat persembahan konsert untuk peminat-peminatnya di sana.
Misha Omar
Bagi penyanyi rock terkenal, Amy Search pula, dia mengakui teruja untuk mengadakan persembahan di Sarawak setelah setahun tidak muncul dalam sebarang konsert di sana.
“Kali terakhir saya mengadakan konsert di Sarawak adalah pada hari sambutan Tahun Baru 2011.
“Saya memang tidak sabar untuk kembali mengadakan konsert di Sarawak dan berjanji untuk memberi yang terbaik buat peminat di sana,” ujarnya.
Tambah Amy, dia akan memilih lagu-lagu yang terbaik untuk dinyanyikan pada konsert itu dan pastinya memberi kepuasan kepada peminat di negeri tersebut.
“Saya mungkin menyanyikan tiga buah lagu tetapi judulnya masih belum ditentukan,” jelasnya lagi.
Sementara itu, menurut bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kedua iaitu Bob pula, dia teruja kerana terpilih sebagai salah seorang artis untuk membuat persembahan sempena perasmian Kosmo! di Sarawak.
“Saya gembira kerana menjadi salah seorang artis yang akan mengadakan persembahan sempena perasmian Kosmo! di negeri kelahiran saya sendiri,” ungkapnya yang bakal menyampaikan sebuah lagu khas buat rakyat Sarawak.
Dalam pada itu Akim menegaskan dia tidak akan mensia-siakan peluang mengadakan persembahan di Sarawak kerana jarang mendapat peluang mengadakan persembahan di sana.

“Sudah tentu saya akan memberi persembahan yang terbaik pada malam konsert itu nanti kerana inilah peluang baik untuk saya mengembangkan bakat di Sarawak,” ujar Akim.
Sementara Nera AF9 akan menyanyikan lagu popularnya iaitu Hatiku Milikmu dan sebuah lagu daripada penyanyi popular Adele.
Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! akan turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa 15 finalis Miss World Harvest Festival 2012, persembahan kumpulan muzik Rainforest iaitu Kaban Ka'au' serta tarian tradisional kaum Iban, Melanau dan Orang Ulu.

Monday, December 27, 2010

Misha Omar Naik Pangkat

KUALA LUMPUR: Penyanyi Misha Omar mengibaratkan tawaran watak Tun Siti Hasmah remaja dalam teater Muzikal Tun Mahathir seperti naik pangkat konstabel kepada Inspektor.

Ini kerana sebelum ini dia hanya melakonkan watak kecil iaitu Datuk Rosnah Majid dalam teater yang sama.

Namun begitu semuanya bagaikan mimpi apabila menerima watak besar daripada watak kecil itu.

Malah jauh dihatinya merasakan belum layak menerima watak itu. Bagaimanapun, setelah memikir panjang, Misha menerima peluang tersebut untuk mendalami ilmu dan menyahut cabaran itu.

“Saya rasa cabaran untuk melakonkan teater ini semakin besar berbanding Muzikal Tun Mahathir musim pertama dahulu. Lagipun sesi latihan sangat singkat.

“Tetapi biasanya bila semua kerja dalam tertekan, hasilnya selalu baik kerana setiap orang dalam kumpulan akan menggali sebaik mungkin,” kata penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta dan Pulangkan ini.

Demi memudahkan Misha menjiwai wataknya, dia berharap agar dapat berjumpa dengan Tun Siti Hasmah sendiri.

Biarpun begitu, dia tidak terlalu menaruh harapan andai kata tidak sempat bertemu mata dengan wanita itu kerana memahami keadaan isteri Tun Mahathir yang mempunyai komitmen tersendiri.

Oleh sebab itu, dia mengaku menjadikan aktres Erra Fazira yang sebelum ini melakonkan watak itu sebagai rujukan.

“Selain bantuan pengarah dan penerbit, saya juga sudah menonton lakonan Erra. Tetapi saya tidak akan meniru bulat-bulat sebaliknya mengeluarkan kreativiti sendiri agar tidak dibayangi dengan lakonan Erra.

“Nanti penonton nampak seperti ulangan sahaja. Setakat ini, saya sudah dapatbayangkan dalam kepala bagaimana watak Tun Siti Hasmah setelah meneliti skrip yang diberikan serta pandangan yang diberikan oleh pengarah tentang wanita itu.

“Selepas ini saya cuma perlu mencari keserasian dengan Ezany yang melakonkanwatak Tun Dr Mahathir remaja kerana dia telah lama meninggalkan bidang teater,” ujarnya lagi.

Muzikal Tun Mahathir akan dipentaskan di Istana Budaya mulai 21 hingga 30Januari 2011.