Showing posts with label Rita Rudaini. Show all posts
Showing posts with label Rita Rudaini. Show all posts

Saturday, January 19, 2013

Rita tetap saman suami


RITA RUDAINI sudah lali biarpun setiap kali muncul di hadapan media, pasti gelora rumah tangganya menjadi bahan bicara. Ibu anak dua itu juga langsung tidak terjejas emosinya saat bercerita tentang drama terbaharu lakonannya, Sehangat Asmara bersama Adi Putra. Dia yang masih dibelenggu isu perebutan hak jagaan anak bersama suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak.
"November lalu saya sudah berjaya membatalkan perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil (suami). Sekarang ini, saya ada satu lagi saman ke atas Aidil berkenaan bayaran nafkah bulanan diri saya dan anak-anak.
"Tapi, lepas dia gagal dengan tuntutan kembali taat di Petaling Jaya, Aidil ada failkan semula kes baharu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban. Kali ini dia kemukakan permohonan cerai dan penjagaan anak.
"Bagi saya, fail sahajalah kes itu seluruh negara sekali pun, saya akan ikut rentak dia dan pertahankan hak saya. Sebagai ibu, saya akan pertahankan anak-anak saya dan sebagai isteri saya akan pertahankan hak saya. Sebelum ini dia tarik balik permohonan cerai, sekarang dia ingin bercerai pula. Kalau mahu bercerai, saya akan persoalkan apa salah saya. Saya berani sebab saya tahu bahawa saya tidak buat salah," tegas Rita tanpa banyak emosi yang tumpah usai sidang drama Cinta Terhalang di Publika, Mont Kiara, Selalu.
Rita memfailkan tuntutan nafkah daripada Aidil pada 8 November lalu dan kes itu akan disebut semula pada 23 Januari ini (Rabu).
Pada November lalu juga, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan perintah kembali taat yang difailkan oleh Aidil Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Krisis rumah tangga Rita dengan pemain bola sepak kebangsaan itu bermula apabila lelaki berusia 26 tahun itu bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara, Kuala Lumpur ketika aktres itu pulang ke kampung halamannya di Arau, Perlis bersama anak-anak.
Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki sehingga menyebabkan perkahwinan tersebut timbul pelbagai masalah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang putera iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.
Berbalik kepada statusnya kini yang secara rasminya masih bergelar isteri kepada Aidil, Rita tidak pernah menghukum semua lelaki sebagai sama.
"Bukan semua lelaki tidak baik. Pasti ada di luar sana yang bertanggungjawab dan menyayangi isteri masing-masing sepenuh hati. Jika pada masa akan datang ditakdirkan bertemu lelaki lain, orang itu mesti lebih menyayangi anak-anak berbanding diri saya," katanya sambil menyuarakan rasa kagum terhadap karakter Zainal Arief (Adi Putra) menerusi drama Sehangat Asmara yang akan memulakan siaran di saluran Mustika HD bermula esok.
"Walaupun mendapat tentangan keluarga, Zainal sangat cintakan isterinya Kamelia. Dia sanggup tunggu sehingga lapan tahun untuk memenangi semula hati Kamelia. Saya juga mahukan lelaki seperti Zainal Arief," katanya.
Menjadi Kamelia Najwa, Rita melakonkan watak wanita yang berdepan krisis rumah tangga dan berlawan kes perebutan anak dengan suaminya, Zainal. Seolah-olah melakonkan realiti sendiri di kaca televisyen, Rita diasak tentang keterbukaannya itu.
"Saya wanita dan ibu yang mengalami situasi yang dialami Kamelia, sudah tentu ia memudahkan saya untuk menghayati karakter. Bagaimanapun, saya mulanya sedikit kekok dengan Adi. Saya risau takut-takut dilabel gatal pula bila pegang-pegang Adi, manalah tahu," katanya ketawa tanpa menafikan kaitan karakter Kamelia dengan dirinya.
Tambah Rita: "Dalam drama itu, kami cuma bahagia masa bercinta sahaja, masuk episod kahwin, saya terus kena menangis di lokasi."
Dalam perkembangan terbaharu, Rita kini kembali berkongsi lokasi dengan pelakon Lisdawati setelah mereka bergaduh di satu lokasi penggambaran, tujuh tahun lalu. Timbul sedikit isu, apabila Rita dibidas oleh Fauzi Nawawi (suami Lisdawati) sebagai bersifat tidak matang kerana membuat permintaan agar lelaki itu tidak berada di lokasi jika ada penggambaran membabitkan Rita. Dalam drama Kerana Sarah itu, Rita melakonkan watak heroin manakala Lisdawati watak pembantu.
"Pernah ada satu babak, saya dan Lisda kena berlaga bahu. Kami tetap buat sebab Lisda dan saya sudah tiada apa-apa masalah. Masing-masing buat hal sendiri di lokasi. Tentang Fauzi, saya memang tak mahu dia ada di lokasi ketika saya ada," tutup Rita enggan membuka kisah lama.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2ITiggFo2 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, January 16, 2013

Lisdawati & Rita Rudaini Berdamai Selepas 7 Tahun Jadi Musuh



KUALA LUMPUR: Permusuhan di antara pelakon Lisdawati dan Rita Rudaini hampir 7 tahun kembali jernih apabila kedua-dua wanita itu bersetuju untuk berdamai selepas ditawarkan berlakon dalam drama bersiri Kerana Sarah.
Lisdawati berkata, bersempena dengan tahun baru 2013 ini, dia berazam untuk tidak bermusuhan dengan sesiapa sahaja termasuklah Rita dan mahu bekerjasama dalam drama berkenaan yang masih lagi dalam penggambaran.
"Tahun 2013 ini, saya berazam untuk melalui suasana harmoni dan sekiranya terdapat persengketaan dengan sesiapa sekalipun, orang kata, buang yang keruh, ambil yang jernih.
"Begitu juga dengan dia (Rita), apa yang berlaku itu biarlah berlalu dan saya hormat dia sebagai pelakon yang lebih 'senior' daripada saya. Diharap, tiada sesiapa yang akan mengungkit perkara lama itu," katanya kepada mStar Online.
Pada tahun 2006, Rita dan Lisdawati dikatakan bermasam muka selepas berlakunya insiden tampar menampar dan tarik rambut ketika kedua-duanya melakonkan adegan terakhir drama Kau Yang Ku Sayang di kolam renang sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang.
Aksi tersebut berubah menjadi sebuah pergaduhan besar sehingga melibatkan kes polis apabila Lisdawati mendakwa Rita sengaja mencederakannya.
Sementara itu, Rita pula berkata, perkara tersebut sudah lama selesai dan tiada apa-apa isu yang perlu timbul antaranya dengan isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu.
"Saya tidak mempunyai masalah dengan dia (Lisdawati). Perhubungan kami lebih pada profesional dalam bidang kerja kami.
"Kami bertegur sapa, tetapi tak banyak berbual pun di lokasi. Cuma dengan apa yang telah berlaku, saya mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati.
"Dalam masa yang sama saya tidak mahu Fauzi ada dalam apa juga penggambaran yang saya lakukan atas sebab yang tidak dapat saya kongsi kepada umum," ujarnya.

Tuesday, August 7, 2012

Hakim Tegur Aidil Zafuan Tidak Pentingkan Rumah Tangga

Rita Rudaini

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini mempersoalkan sikap pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Aidil Zafuan Abdul Radzak yang sentiasa gagal menghadirkan diri ke mahkamah bagi sebutan kes permohonan plaintif berhubung tuntutan nusyuz (perintah kembali taat) terhadap isterinya pelakon Rita Rudaini.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, Aidil tidak sepatutnya terlalu mementingkan bola sepak dan memintanya membuat pertimbangan tentang perkara yang lebih penting dalam hidupnya iaitu rumah tangga dan anak-anak.
"Tidak berdosa kalau tak main bola sepak tetapi soal yang dibincangkan dalam mahkamah ini adalah berkaitan dengan hidup dan mati.
"Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat seperti mainan. Plaintif (Aidil) perlu buat pengorbanan dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kes ini," katanya.
Sebelum itu, peguam plaintif iaitu Noor Hazlina Che Hasan memberitahu mahkamah anak guamnya tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah atas alasan sedang menjalani latihan bola sepak di Austria selama dua minggu.
Noor Hazlina secara lisan memaklumkan kepada makhamah Aidil telah berlepas ke negara tersebut pada 4 Ogos lalu dan hanya akan kembali ke tanah air sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.
Dalam pada itu, peguam defendan (Rita) iaitu Datuk Mohd Zaidi Md. Zain memohon kepada mahkamah supaya pihak plaintif mengemukakan surat bertulis sekiranya gagal untuk hadir ke mahkamah pada masa hadapan dan bukannya dibuat secara lisan.
Mohd Zaidi juga memberitahu mahkamah pihaknya dan peguam plaintif ada berbincang secara tidak formal mengenai cadangan Wan Mahyuddin supaya pasangan itu menyelesaikan masalah mereka secara baik.
Bagaimanapun kata Mohd Zaidi perbincangan itu tidak dihadiri pasangan itu.
"Perbincangan hanya dibuat secara lisan dan tidak formal melibatkan peguam masing-masing tanpa kehadiran anak guam kami," ujarnya.
Noor Hazlina pula memberitahu mahkamah, dia ada berbincang dengan Aidil namun tiada sebarang keputusan formal dibuat.
"Pihak kami akan mengemukakan jawapan secara bertulis kepada mahkamah sekiranya terdapat sebarang keputusan dan pihak kami perlu menunggu plaintif pulang dari luar negara terlebih dahulu," ujarnya.
Sementara itu, peguam plaintif telah menfailkan affidavit jawapan terhadap bantahan awal yang dikemukan oleh pihak defendan berhubung tuntuntan kembali taat yang dibuat oleh Aidil dan diserahkan kepada peguam defendan.
Mahkamah mengarahkan jawapan itu dibalas oleh pihak defendan untuk dikemukakan pada sebutan kes akan datang.
Kes disambung pada 3 Oktober depan.

Saturday, December 3, 2011

Rita Rudaini Dalam "Jangan Bunuh Matahariku"


KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Rita Rudaini bakal membintangi drama bersiri berjudul Jangan Bunuh Matahariku bermula pada 7 Disember, pukul 9 malam di TV2.

Drama 13 episod musim kedua ini mengekalkan barisan pelakon yang sama iaitu Rita Rudaini (Suri), Aqasha (Rahas), Azlee Khairi (Urwah), Geofrey Williams (Owen) dan Siti Fazurina yang menghidupkan watak-watak penting dalam drama kekeluargaan tersebut.

Ia mengisahkan kehidupan Suri yang sentiasa dalam kemurungan selepas kekasihnya Rahas meninggalkan Cameron Highlands. Saban hari dia hanya menantikan kepulangan kekasihnya itu.

Pada masa sama suasana di Cameron Highlands juga berubah. Ramai pekerja Tuan Micheal telah meninggalkan ladang itu dan Pak Darip, ayah Suri adalah di antara orang yang risau dengan keadaan kampung mereka.

Rahas sebenarnya melarikan diri ke kawasan pekan dan berkenalan dengan Ajak dan Urwah. Rahas kemudiannya menumpang tinggal bersama Ajak dan isterinya.

Rahas begitu mempercayai Urwah hingga sanggup menceritakan segala-galanya termasuklah tentang cintanya pada Suri.

Urwah pula mula menyiasat tentang Suri dan dalam diam, Urwah menyimpan rasa cinta kepada Suri. Laila, tunang Urwah cemburu terhadap Urwah kerana selalu memerhatikan Suri.

Urwah mencerobohi bilik Rahas lalu menemui beg yang mengandungi diari Rahas. Dia rupanya memiliki niat jahat untuk mendapatkan Suri dengan cara mudah.

Melalui diari itu, Urwah belajar jadi seperti Rahas. Suri terpedaya apabila Urwah mengaku dirinya adalah Rahas kerana Suri yang dulunya buta tidak pernah melihat wajah Rahas.

Lalu berjayakah Urwah mahu mengahwini Suri? Bagaimana pula situasi Suri apabila mengetahui penyamaran Urwah?

Saturday, February 5, 2011

Rita Rudaini akhirnya cium tangan mertua


PERASAAN marah terpadam juga. Itulah yang boleh Niezam katakan mengenai hubungan Rita Rudaini Mokhtar dengan ibu dan bapa mertuanya, Abdul Radzak Salleh dan Azizah Arshad yang tegang sejak hampir tiga tahun lalu gara-gara perkahwinan yang tidak mendapat restu.

Syukurlah selepas tiga tahun, kekeruhan ini dapat dijernihkan semula.

Drama yang penuh syahdu dan air mata itu berlaku pada malam Khamis lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.Niezam tumpang terharu dan bersyukur kerana usaha untuk melihat keluarga itu aman bahagia terlaksana juga.

Detik itu berlaku ketika anak Rita, Airit Rayyan Rizqin yang berusia dua tahun dimasukkan ke pusat perubatan tersebut kerana demam panas.

Suami Rita yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan bertindak membawa ibu dan bapanya untuk menziarahi Rayyan.

Ketika mereka tiba, Rita telah meluahkan segala yang terbuku di hati sehinggalah kedua-dua pihak akhirnya mengambil jalan penyelesaian untuk berdamai.

Rita tidak dapat menahan sebak tatkala mencium tangan ibu dan bapa mertua yang pernah dianggap “musuh” dalam dirinya selama ini.

Mereka menangis berpelukan dan tidak mahu memanjangkan lagi kekeruhan yang sekian lama terjadi.

“Mak restu perkahwinan Rita. Mak terima Rita sebagai anak mak,” kata Azizah memeluk Rita di wad kanak-kanak pusat perubatan itu.

Drama air mata berkenaan turut disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

Sebagai menantu, Rita turut menerima ibu dan bapa mertuanya dengan hati terbuka dan berjanji untuk melupakan sengketa lama.

Syukurlah... yang keruh dapat dijernihkan semula. Itulah yang kita harapkan. Mudah-mudahan ia kekal berpanjangan dan keluarga itu hidup aman harmoni sama seperti orang lain.

NIEZAM: Bahagia cukup bahagia.

Artis Malaysia perlu kejar wang

NIEZAM tertarik untuk mengulas tindakan penerbit drama A.Aida yang mahu menyaman pelakon Sheera Iskandar kerana menganggap pelakon drama Halimah Jongang itu kurang ajar.

Dalam satu laporan akhbar, A.Aida kurang senang dengan perbuatan Sheera yang telah memotong rambutnya menjadi pendek menyebabkan A.Aida terpaksa membeli rambut palsu lain agar imej Sheera tidak lari dalam drama Halimah Jongang itu.

“Lari konti” ialah imej dalam sesuatu drama itu berubah kerana kesilapan pelakon mengubah penampilan.

Kejadian itu berlaku apabila Sheera terlibat dalam produksi lain yang memerlukan dia berambut pendek. Dalam masa yang sama dia turut berlakon dengan produksi A.Aida.

Niezam percaya, apa yang berlaku kepada Sheera itu turut terjadi kepada artis-artis lain. Di Malaysia, pelakon kita terpaksa kejar duit.

Kalau ada 10 syarikat produksi yang nak buat drama, pelakon-pelakon kita kalau boleh nak berlakon dalam semua produksi itu.

Niezam pernah berborak dengan pengarah Datuk Yusof Haslam. Kata Yusof, dia pernah mengalami masalah yang sama apabila pelakonnya turut berlakon dengan produksi lain sehingga tempoh penggambaran terpaksa ditunda kerana pelakon datang lambat.

Aidil Zafuan (kanan) bersama ibu dan bapanya, Azizah Arshad dan Abd. Radzak Salleh sewaktu ditemui wartawan di rumah mereka di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Hal ini sememangnya berlaku di Malaysia. Niezam tak salahkan Sheera kerana dia bukan kerja makan gaji macam orang kerajaan. Pada usia muda dan masih laku inilah Sheera terpaksa bekerja kuat untuk mencari duit.

Kalau tidak, dia mungkin tak sempat nak langsaikan bayaran rumah atau bayaran kereta sebelum tiba usia tua.

Masalah mengambil tawaran lain dalam satu-satu masa banyak terjadi sebab bayaran berlakon artis-artis kita “ciput”. Untuk pelakon tambahan yang terpaksa menunggu 12 jam di lokasi hanya dibayar RM50.

Sebab itulah pelakon-pelakon yang tengah laku pada hari ini akan ambil sebanyak mungkin tawaran berlakon yang mereka perlu.Kejayaan seseorang pelakon itu dinilai terhadap beberapa banyak tawaran yang mereka dapat. Oleh sebab itulah kita akan melihat dalam sehari di empat stesen televisyen yang berbeza akan muncul pelakon yang sama. Semuanya kerana mereka terpaksa mengejar duit untuk menampung hidup.

Niezam simpati dengan nasib pelakon-pelakon hari ini yang akhirnya terpaksa disaman ketika mencari rezeki untuk menyara kehidupan mereka.

Mereka seharusnya bijak untuk menguruskan jadual sekiranya terpaksa mengambil banyak peluang dalam sat-satu masa.Niezam juga tidak menyalahkan A.Aida. Sebagai seorang penerbit yang mengeluarkan belanja besar untuk produksinya, tentulah A.Aida mahu hasil yang terbaik.

Produser dan juga pelakon haruslah faham budaya kerja pelakon-pelakon kita. Dengan bayaran yang “ciput”, mereka terpaksa buat kerja berlipat kali ganda untuk menyara hidup.