Wednesday, May 30, 2012
Luahan hati Vanidah
Bertemu dengan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 (2008) itu pada majlis pelancaran projek Inspirasi Selebriti bersama Macy di Pusat Beli-Belah Citta, Kosmo! menemubual Vanida yang lebih mesra disapa Vee itu sekali gus mengetahui keluh resah pelakon itu terhadap dunia seni dan juga kegembiraannya menyambung kembali pelajarannya yang sekian lama tergendala.
Boleh kongsi apakah perkembangan Vanidah dalam dunia seni sekarang?
Saya baru sahaja habis penggambaran drama Tanah Kubur terbitan Astro Oasis. Saya menjayakan satu episod untuk drama itu iaitu Susuk. Selain drama, saya juga akan muncul untuk filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki pada September depan.
Sekali lagi anda berlakon di bawah arahan Afdlin. Kenapa Afdlin, tetapi tidak pengarah lain?
Saya selesa dengan arahan Afdlin begitu juga Hans Isaac. Bukan bermaksud saya tidak selesa dengan pengarah lain tetapi Afdlin dan Hans kerap menawarkan saya watak yang mencabar. Afdlin dan Hans bukan sahaja faham dari segi jadual saya tetapi mereka tidak pernah cakap saya sudah tua untuk membawa watak cinta. Filem Untuk Tiga Hari, saya akan berlakon di samping suami, Rashidi dan membawakan watak hero dan heroin yang bercinta.
Seperti kedengarannya anda kecewa dengan pengarah lain?
Pemikiran orang Asia tidak sama seperti di Hollywood yang mana mereka lagi menghargai pelakon yang lebih berumur. Sebagai contoh, Datuk Michelle Yeoh yang membawakan watak heroin dalam filem The Lady. Kenapa dia dipilih? Kerana pengalaman dan kehebatannya dalam lakonan. Kebanyakan pengarah kita pula lebih gemar mengambil muka-muka baharu untuk menjadi hero dan heroin. Tetapi saya kena faham penerbit buat filem untuk duit. Pasaran filem Malaysia juga kecil, tidak seperti di Indonesia.
Sudah berapa lama anda berlakon dan sampai bilakah anda rasa akan meneruskan bidang lakonan ini?
Kebelakangan ini, saya sudah tidak terlalu tumpu kepada bidang lakonan. Apa yang penting sekarang adalah keluarga dan pelajaran saya. Saya terpaksa mengehadkan aktiviti seni kerana ingin memberikan tumpuan lebih kepada pengajian saya di Universiti Terbuka Malaysia.
Kenapa anda mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran?
Saya perlu meningkatkan potensi diri demi masa depan anak-anak. Masa muda dahulu, tidak mahu belajar sekarang baru terhegeh-hegeh hendak sambung belajar. Saya juga mahu anak-anak saya iaitu Mikail Aimran, 8, dan Mariyam Rashika, 7, yang sedang membesar mencontohi dan berbangga dengan pencapaian saya. Malah, suami saya Rashidi juga sudah memiliki segulung Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM).
Wednesday, January 26, 2011
Vanidah Jawab Kritikan Gagal Kendalikan 'Nona'
PETALING JAYA: Pengacara Nona, Vanidah Imran tidak mahu memikirkan pandangan atau kritikan orang ramai yang mempertikaikan kemampuannya dalam mengacarakan rancangan berbentuk majalah tersebut. Jelas Vanidah, dia telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai perantara rancangan diminati ramai itu dengan baik.
“Saya tidak pernah fikir fasal isu ini, saya hanya beri komitmen dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
“Setakat ini, maklum balas yang saya terima dari penonton adalah positif dan tak tahu pula jika ada yang tidak suka tentang cara saya,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.
Bagaimanapun, Vanidah menganggap tindakan memperbandingkan dia dengan pengacara terdahulu iaitu Maya Karin sebagai lumrah dalam sesuatu perkara.
“Diperbandingkan antara pengacara baru dengan yang lama adalah adat dan lumrah. Mungkin saya masih terlalu baru dan ramai yang sudah biasa dengan pengacara sebelum ini.
“Bagi saya masing-masing mempunyai cara tersendiri dan berbeza. Saya faham sukar untuk kita memuaskan hati semua penonton rancangan tersebut,” jelasnya yang kini sedang melakukan rakaman Nona di Ipoh, Perak.
Tambah Vanidah lagi, dia masih lagi dalam proses pembelajaran dan akan memperbaiki lagi mutu penyampaiannya dari semasa ke semasa.
“Setiap episod saya sudah cuba yang terbaik dan buat yang lebih baik lagi untuk episod seterusnya, bagi saya itu adalah satu proses pembelajaran,” katanya yang baru sahaja digemparkan dengan kontroversi tidak benar berhubung penceraian baru-baru ini.
Thursday, November 11, 2010
Vanidah sah hos Nona

MR. SYOK ingin mengucapkan tahniah buat ibu dan isteri jelita, Vanidah Imran. Bukannya apa, Mr. Syok tumpang gembira dengan pencapaian figura yang cukup dikenali dengan nama ringkas Vee ini.
Selain memiliki karier seni yang mantap, rumah tangga yang aman damai dan bahagia bersama suami dan anak-anak, laris pulak tu sebagai pelakon iklan, terbaru Vee sah menjadi hos baru program TV3, Nona menggantikan hos sebelum ini, Maya Karin. Mr. Syok dapat tahu pun apabila membaca ucapan tahniah daripada rakan-rakan Vee di Twitter Vee.
Sudah pasti Vee akan menghadapi cabaran untuk menaikkan rating program itu yang sebelum ini merupakan antara program paling popular di TV3 itu. Tapi Mr. Syok yakin dengan karisma yang ada pada diri Vee, dia akan berjaya.
