Sunday, June 5, 2011

Ketawa senjata Rossa


WANITA cantik ini suka ketawa. Bicaranya bersulam getar tawa dan membuatkan khalayak terasa dekat dengan dirinya. Kadangkala sebelum mula bicara, Rossa akan mendahuluinya dengan tawa.

Belum habis ayat percakapan, dia menutup mulut dengan jemarinya dan langsung tertawa. Dia selesa dalam bab itu.

“Kalau sedih biarlah saya seorang sahaja. Saya tidak suka mempamerkan kesedihan kepada umum.

“Saya lebih senang dilihat gembira,” jujurnya langsung ketawa. Rossa berkata, individu berhoroskop Libra sepertinya mungkin sentiasa riang.

Tawa Rossa itu bakal kembali lagi ke Malaysia, Jun ini. Malah, Malaysia bukan negara asing bagi penyanyi itu. Kerapkali Rossa menjadikan Malaysia tempat persinggahannya.

PENGGEMAR MELLY DAN ANTO HOED

Apabila melihat perjalanan kerjaya seorang Rossa, jelas nama Melly Goeslow dan Anto Hoed tidak pernah lekang daripada penyanyi ini. Dalam setiap album dan lagu Rossa pasti ada sentuhan pasangan suami isteri tersebut.

“Saya membesar dengan nyanyian dan karya mereka. Terus mereka menjadi sahabat baik saya. Saya sangat menggemari lagu-lagu tulisan Melly.

“Anto Hoed pula adalah penyusun muzik pilihan saya,” ujar Rossa yang suka mevariasikan lagu-lagu dalam albumnya.

PUSAT KARAOKE

Selain sibuk merangka fesyen dengan jenamanya sendiri, Rossa terlebih dahulu muncul dengan pusat karaoke yang dikenali Diva Family Karaoke. Pusat karaoke itu dibuka di Jakarta Pusat, Indonesia.

“Itu merupakan cawangan pertama saya. Dalam beberapa bulan lagi, saya akan membukanya di tempat lain pula. Sasaran saya ialah untuk membuka 15 cawangan Diva termasuk di Bandung, Bogor, Palembang, Manado dan mungkin Papua,” jelasya.

Rossa memilih tema ungu untuk menghiasi pusat karaokenya atas dasar warna tersebut digemari kedua-dua jantina lelaki dan wanita.

“Ada 40 buah bilik di Diva Family Karaoke. Kualiti peralatannya juga bagus. Siapa yang menyanyi di sana, suara mereka akan lebih sedap didengar,” ujarnya mempromosikan bisnes barunya yang memiliki tagline, ‘Mahu merasa menjadi diva? Nyanyilah di Diva Karaoke’.

KONSEP FILEM

Ujar wanita anggun berusia 33 tahun ini, dia gemarkan filem Nottting Hill lakonan Julia Roberts dan Hugh Grant. Filem itu turut menjadi inspirasi buat dirinya.

“Lagu-lagu runut bunyi filem tersebut sangat bagus dan saya amat menyukainya. Ia juga menjadi rujukan saya semasa menghasilkan album hit saya,” terang Rossa.

Selepas menonton filem tersebut, Rossa terinspirasi untuk menghasilkan fesyen jenama miliknya yang diberi nama Just A Girl.

“Saya obses dengan baju dan kasut serta gemar bergaya. Saya mahu menghasilkan jenama pada harga yang sangat berpatutan.

“Saya beruntung kerana mempunyai seorang sahabat lulusan universiti di Indonesia, kami sama-sama memberi idea untuk jenama saya itu,” ujar Rossa yang belum menentukan tarikh yang sesuai untuk melancarkan jenama pakaiannya itu.

CEREWET BAB LIRIK

Ketika ditanya tentang kecerewetan dirinya, Rossa mengaku dia menjadi selektif apabila masuk hal lirik. Ternyata dia mahu memberikan mesej menerusi lagu-lagu yang dinyanyikannya.

“Kalau masuk hal lirik, saya tahu apa yang disukai oleh para peminat Rossa. Saya mahu menyampaikan sesuatu yang mudah dicerna dan diterima pendengar.

“Saya gemar menyanyikan lirik yang terjadi kepada masyarakat. Apabila mereka mendengar, seperti terkena dengan kehidupan mereka.

“Boleh dikatakan saya menebak cita rasa pendengar,” ujar Rossa.

ALBUM DAN MALAM ROSSA

Pada akhir Mac lalu, penyanyi ini berkunjung ke Kuala Lumpur. Dia mempersembahkan album baru dengan tajuk Jalinan Nada dan Ceria.

Album yang memuatkan 14 buah lagu itu merupakan kompilasi lagu-lagu popularnya dan ada yang dijadikan runut bunyi dalam filem dan drama.

Turut menampilkan tiga halwa telinga baharu iaitu Memeluk Bulan, Jagad Khayalku dan Ku Menunggu, ini merupakan hadiah buat para peminatnya.

Pada bulan ini, Rossa muncul lagi. Kali ini atas urusan amal, Rossa akan hadir pada acara gala makan malam An Evening with Rossa. Ia akan berlangsung pada 9 dan 10 Jun ini.

Malam 9 Jun terbuka buat khalayak manakala 10 Jun merupakan persembahan khusus untuk undangan istimewa daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).

Acara makan malam di Grand Ballroom, Tropicana Golf and Country Resort itu diciptakan dengan tema perpaduan, cinta dan keamanan melalui muzik.

Sudah tentu Rossa akan memperdengarkan lagu hit Ku Menunggu buat khalayak yang bakal dihidangkan dengan lapan jenis makanan istimewa. Buat pecinta Rossa, mereka boleh mengunjungi laman web www.splendid8.com untuk keterangan lanjut.

Yana takut benda laju


NORLIANA SAMSUDIN atau mesra disapa Yana boleh dikatakan insan bertuah. Dia pernah menjadi penyanyi dan tidak pernah kering dengan tawaran berlakon drama atau filem.

Paling diingati, dia melakar nama sebagai pengarah filem wanita termuda di Malaysia menerusi filem komedi romantik Selamat Pagi Cinta.

Bagi pelakon kelahiran Kluang, Johor itu, peluang lakonan yang banyak diterimanya kini akan direbut sebaik mungkin. Dia mahu menimba pengalaman sebelum meneruskan minatnya dalam kerja-kerja di belakang tabir.

“Sekarang fokus saya kepada bidang lakonan. Jika ada ruang nanti, saya akan terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir dan kembali mengarah,” kata graduan Seni Layar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Dalam perkembangan terbaru, Yana baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Adnan Sempit 2, menyiapkan filem Aku Ada Kau Ada dan terlibat dengan penggambaran filem 8 Jam arahan Ahmad Idham.

POLIS WANITA

Saya memang ‘tabik’ kepada polis wanita kerana bukan mudah untuk menjaga keamanan negara. Selalunya pasukan beruniform dikaitkan dengan lelaki, tetapi sebenarnya wanita juga adalah tulang belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Saya melakonkan watak seorang anggota polis dalam filem Kongsi. Ia tidak mudah kerana saya terikat dengan protokol sebagai anggota pasukan keselamatan itu.

PENGARAH

Diberikan peluang untuk menjadi pengarah filem Selamat Pagi Cinta adalah pengalaman paling berharga bagi saya. Ia satu-satunya filem arahan saya setakat ini. Saya ketika itu berumur 23 tahun dan merupakan pengarah wanita termuda di negara ini.

Saya amat mengagumi pengarah Jodie Foster kerana wanita itu sering mengarahkan filem berkaitan kewanitaan. Saya juga mengagumi gaya pengarahan Tim Burton.

KASUT

Saya obses dengan kasut. Saya boleh ketepikan beg tangan mahupun alat mekap semata-mata untuk kasut.

Saya akan membeli sehingga tiga pasang kasut sekali gus jika saya benar-benar sukakan rekaannya, tidak kira sama ada ia berjenama ataupun tidak. Bilangan kasut dalam koleksi saya memang tidak terkira dan masih ada yang belum dipakai lagi.

FOBIA

Saya tidak takutkan ketinggian tetapi saya takut pada kelajuan. Baru-baru ini, saya dipaksa oleh kawan-kawan untuk menaiki roller coaster di Genting Highlands. Kaki saya menggigil dan tidak boleh berjalan selepas turun daripada roller coaster itu.

Saya juga geli dengan ulat gonggok ataupun serangga yang berkaki banyak dan berjalan perlahan. Selain itu, saya juga tidak suka pada binatang yang tidak berbulu seperti cicak dan cacing.

CELOTEH

Kalau bab berceloteh memang saya suka. Saya mudah mesra dan boleh berborak dengan sesiapa sahaja. Saya pernah berborak mesra dengan mak cik tukang sapu walaupun baru pertama kali berjumpa. Dalam kalangan selebriti saya amat meminati Fara Fauzana kerana celotehnya yang bersahaja. Saya sentiasa mendengar dia bercakap tidak henti-henti di radio Hot FM.

Berlakon macam mimpi - Eyaka Farhana


ORANGNYA manis macam madu dan bertubuh genit. Eyka Farhana, begitu dia memberi nama komersial kepada diri sendiri. Sedang nama yang diberi orang tuanya tidak kurang enak didengar, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi.

Baru berusia 16 tahun, Eyka belum popular seperti pelakon remaja sedia ada. Namun, bakat semula jadi yang dimilikinya cukup terserlah terutamanya melalui drama bersiri Juvana yang kini hangat ditayangkan di TV3.

Dalam masa yang sama, dia yang pernah muncul dengan Pontianak Gua Musang juga menyorot banyak mata dan menjadi bualan sewaktu muncul dalam telemovie Sejadah Kaabah bersama Eja kurang sebulan yang lalu.

“Ini sesi fotografi pertama saya,” katanya yang juga terbabit sebagai model iklan komersial seperti iklan Magnolia.

Mula diberi perhatian selepas Juvana menjadi popular sekarang, pemegang watak Nadia dalam drama terbitan Filmscape itu memberitahu, dia teruja kerana diberi kesempatan terbabit dalam drama tersebut.

Sementelah dia dikelilingi pelakon-pelakon hebat seperti Bront Parale, Beto Khusairy dan Zahiril Adzim.

“Mungkin watak saya tidak sebesar pelakon-pelakon lelaki sedia ada. Tetapi dapat memegang watak Nadia dan berlakon dalam sebuah produk yang boleh memberi pengajaran atau moral cerita yang baik sudah memadai buat saya.

“Paling mengujakan apabila saya dapat menimba ilmu daripada pelakon senior, terutamanya Zahiril yang memegang watak Daim dan menjadi teman kepada watak saya iaitu Nadia,” katanya.

Mengajak pelajar Sekolah Perempuan Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur ini berbicara tentang dunia lakonan, Eyka memberitahu dia terjun ke dalam bidang ini kerana minat - satu jawapan yang klise.

Namun, di sebalik jawapan klise tersebut, anak kedua daripada empat beradik ini benar-benar mempunyai iltizam yang tinggi dalam bidang yang dicintainya ini.

“Saya tahu saya masih sangat baru. Malah, saya baru berlakon dalam tiga buah produk. Justeru sasaran saya sekarang adalah untuk terbabit dengan lebih banyak produk kerana saya ingin mengasah bakat saya lagi.

“Kalau boleh saya teringin membawa watak jahat kerana ia memberi cabaran yang berlainan kepada bakat saya.

“Jadi saya harap ada pihak yang perasan dengan bakat saya,” katanya yang mendapat sokongan padu daripada ibunya, Zaidah Ma’anas.

Diasak tentang tidak mudah percaturan dalam bidang seni yang memungkinkan dia melupakan hasrat untuk menjadi pelakon pada masa akan datang berikutan lambakan pelakon baru yang mempunyai pakej tidak kurang hebat, Eyka mengangguk.

Dia kemudian menjawab ringkas. Katanya yang menyifatkan kejayaannya menjadi pelakon sebagai satu mimpi: “Menjadi atau tidak menjadi itu adat. Macam ada kalah dan ada menang, adat.

Lisa Surihani Tidak Sembunyi Kebenaran


BOSAN dan letih adalah deskripsi yang dapat disimpulkan oleh aktres pujaan ramai Lisa Surihani saat bicara kami berlegar dalam lingkungan topik cinta.

Akui pelakon yang mesra disapa Lisa ini, manipulasi dan desakan orang sekeliling terhadap kisah dalam kain artis atau selebriti adakalanya ‘memeningkan’ kepala.

Jika segelintir artis yang lebih selesa menyangkalkan sesuatu dakwaan yang timbul atau melarikan diri, jelitawan ini sebaliknya memilih pendekatan yang bertentangan.

Keterbukaan Lisa dalam berbicara soal hubungannya dengan pengarah filem Yusry Abdul Halim, 37, bukan lagi rahsia.Cuma seperti manusia lain dia juga punya batas kesabaran dalam menghadapi pertanyaan yang silih-berganti tentang cerita yang sama.

“Saya atau Yusry tidak pernah menyembunyikan atau menafikan hubungan kami tetapi apabila ada pihak mendakwa kami tidak mengaku pada awalnya dan kini mula mengiakan selepas cerita ini tersebar luas, itu adalah satu dakwaan yang menyakitkan.

“Sejak dua bulan lalu apabila kami semakin rapat, saya tidak pernah bermain tarik tali dalam hal ini. Cuma yang saya harapkan tidak perlulah bertanya tentang perkara yang masih jauh daripada jangkauan seperti bila hendak kahwin dan perancangan hubungan pada masa depan?

“Kami baru saja berkawan dan memerlukan ruang untuk lebih mengenali serta membina keserasian,” jelasnya.

Menyentak emosi

Tambahnya, apa yang lebih menyentak emosi adalah keterbukaannya itu di manipulasi oleh kenyataan yang kononnya mereka sengaja mengelirukan orang ramai akan kesahihan hubungan tersebut.

“Yang membuatkan saya tidak faham apabila ada yang mendakwa kami sengaja berdolak-dalik dan mengaburi orang ramai tentang kesahihan hubungan ini.

“Bukankah setiap kali ditanya tentang perkara itu, saya atau Yusry tidak pernah menafikan tetapi biarlah pertanyaan itu berasas,” katanya.

Tegas Lisa berulang-kali, biarlah orang hendak kata atau fikir apa pun kerana dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kehidupannya termasuklah soal peribadi.

“Saya faham dan hormati apabila orang ingin mengetahui perkembangan hubungan kami tetapi kami baru berkawan apatah lagi untuk memikirkan soal bertunang atau berkahwin.

“Saya amat hargai andai diberikan ruang untuk kami jalaninya secara semula jadi dan bersahaja. Kalau tertulis ada jodoh kami, ia tidak akan ke mana,” terangnya.

Interaksi di Facebook dan TwitterSatu industri memperakui impak kemunculan aktres ini sejak menapak ke pentas lakonan empat tahun yang lalu.

Nama dan populariti bukan calang-calang kerana dia digilai kerana keayuan dan penampilannya yang sopan dan sederhana. Lihat saja pada angka pengikutnya di dua laman media sosial popular iaitu Facebook dan Twitter.

Angka pengikut di Facebook yang mencecah 1,523,099 orang dan Twitter (138,286 orang) membuktikan keutuhan Lisa sebagai antara bintang muda yang paling popular.

Bersembang tentang senario itu, anak perempuan tunggal dalam keluarga ini berkata, dia akan berinteraksi dan berkongsi perkembangannya sekerap yang mungkin untuk peminat.

Namun, kesibukan kerja ada kalanya menjadi penghalang untuk si manis ini aktif berinteraksi sekerap yang mungkin.

“Lazimnya, laman Facebook adalah medium untuk saya berkongsi perkembangan kerjaya manakala Twitter pula lebih bersifat peribadi untuk berkongsi pandangan dan kehidupan.

“Saya pun tidak sangka akan diikuti dengan jumlah peminat seramai itu. Apa pun, saya bersyukur kerana ramai yang ingin mengikuti perkembangan kerjaya saya.

“Kesibukan dengan tugasan ada kalanya menghalang saya untuk sentiasa berinteraksi namun saya tetap akan cuba mengemas kini perkembangan sekerap yang mungkin,” ceritanya.

Bagaimanapun, perkembangan berleluasa media sosial ini juga tidak terkecuali daripada anasir-anasir negatif.Risiko menjadi orang popular, Lisa tidak lepas daripada menjadi mangsa pemalsuan identiti di medium itu.

Menyamar

Kongsinya, antara kes terbaru yang dihadapinya apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai dirinya dan meminta derma daripada para peminat.

Mujur, pemalsuan itu dapat ditangani di mana Lisa memberikan amaran kepada pihak terbabit agar menutup akaun tersebut supaya tidak terus memperdayakan masyarakat dengan cara yang salah.

“Jujurnya, saya tidak pernah bising atau melenting. Saya faham mungkin kerana minat pada seseorang artis, orang sanggup buat apa saja termasuklah melakukan pemalsuan identiti.

“Namun, susah hendak cakap kerana kita tiada kawalan sepenuhnya tentang profil dan akuan itu sendiri kerana ini adalah dunia Internet.

“Apa yang diharapkan agar peminat tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan. Ingin saya tekankan bahawa saya hanya ada akaun Facebook dan Twitter saja atas nama Lisa Surihani dan bukan pada media sosial yang lain,” katanya.