Friday, March 29, 2013

Siti Nurhaliza Bertudung 2013


Sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza sudah acap kali dikritik ramai terhadap penampilan bertudungnya yang kelihatan belum sempurna memandangkan tidak menutup keseluruhan mahkota berharga miliknya itu.
Namun begitu, penyanyi yang dilahirkan di Temerloh, Pahang itu telah membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk bertudung penuh pada tahun ini.
Ternyata transformasi yang dilakukan oleh Siti itu disambut positif oleh para peminat, cuma terdapat segelintir pihak yang seolah-olah cuba mempertikaikan keputusan yang dibuatnya itu.
Antaranya, dia dikatakan mahu bertudung penuh setelah tragedi yang menimpa suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu.
Berkesempatan menemui Siti semasa sesi percutian bersama pengguna SimplySiti ke sebuah taman tema di Johor kelmarin, penyanyi itu menegaskan keputusan yang dibuatnya itu adalah atas kerelaan sendiri.
"Memang ada yang beranggapan bahawa keputusan saya ini berpunca daripada tragedi yang melanda suami, tetapi saya ingin nyatakan bahawa ia langsung tidak berkaitan.
"Hasrat bertudung memang sudah lama saya pendam sejak mengerjakan ibadah haji pada tahun 2008. Cuma saya lakukan secara berperingkat-peringkat dan akhirnya keputusan bertudung penuh dibuat ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 11 Januari lalu," jelasnya.
Menurut Siti, dengan penampilan baharunya itu dia merasakan ia bukanlah satu masalah yang besar untuk beraksi di pentas dan turut gembira kerana peminat telah memberikan sokongan yang pada terhadap dirinya.
"Apabila semakin menginjak usia, saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat perubahan ini. Selain itu, saya anggap semua yang berlaku ini merupakan doa daripada para peminat yang sentiasa menyokong saya," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai ikon wanita bertudung yang menjadi pilihan dirinya, Siti menyatakan, dia cukup minat dan tertarik dengan gaya muslimah yang ditampilkan oleh Hana Tajima.
Menurut Siti, dia menjadikan Hana sebagai salah satu contoh untuk imej bertudungnya sekarang ini memandangkan gadis itu dilihat pandai berfesyen, meskipun memakai tudung.
"Setiap wanita yang bertudung tidak semestinya sukar untuk bergaya dan itu yang ditonjolkan oleh Hana Tajima. Saya akui telah menjadikan dia sebagai panduan terutamanya mencari idea tentang cara pemakaian tudung," ujarnya.
Berkenaan dengan penerimaan Datuk K terhadap perubahan penampilan yang dilakukannya itu, Siti menyatakan suaminya merupakan individu yang paling gembira.
"Suami saya begitu memahami kemahuan saya dan dia yang banyak memberikan sokongan kepada saya. Apa yang menariknya, sesekali dia juga pernah memberikan idea kepada saya untuk memilih tudung yang sesuai," jelasnya.

Adibah Noor tak cukup tidur Sejak Jadi DJ Radio

Adibah Noor dan Halim Othman

PETALING JAYA: Penyanyi Adibah Noor mengakui masa tidurnya terlalu pendek sehingga ada kalanya hanya sempat tidur selama satu jam sejak menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Suria FM.
Adibah, 42, yang bergandingan dengan Halim Othman menerusi Slot Ceria Pagi @ Suria berkata, kekurangan waktu tidurnya itu disebabkan oleh kesibukan kerja-kerja lain seperti menyanyi dan mengacara namun bersyukur, perkara itu bukanlah satu bebanan untuknya mengendalikan konti radio berkenaan.
"Sudah dua bulan saya menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Suria FM dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun mempunyai tugasan lain di luar.
"Dan kerana itu saya akan memastikan semua kerja-kerja luar diselesaikan sebelum pukul 12 tengah malam agar mendapat rehat secukupnya sebelum ke udara pada pukul 5 pagi.
"Pernah beberapa kali juga, kerana kepenatan saya hanya tidur sejam dan ada masa juga tak tidur langsung, takut terlajak pula," selorohnya.
Adibah ditemui di Menara Star bersama-sama dengan Halim Othman dan Linda Onn yang hadir melawat wartawan-wartawan hiburan akhbar The Star dan mStar Online bersempena dengan penjenamaan semula logo Suria FM.
Tambah Adibah, walaupun kurang tidur, dia mengamalkan minum kopi dan pengambilan vitamin C agar kelihatan segar dan sentiasa cergas.
"Selain itu susunan jadual juga memainkan peranan yang sangat penting agar mempunyai ruang masa membuat persiapan memilih topik-topik bersesuaian buat para pendengar sebelum keudara," katanya.
Penjenamaan semula logo Suria FM dibuat menunjukkan kematangan stesen itu sekaligus mengembangkan lagi golongan pendengar 'urban' yang berusia 25 hingga 39 tahun.
"Suria FM sudah pun berusia enam tahun dan kami ingin mengembangkan pendengar kami dimana fokusnya lebih ke arah golongan urban dan korporat. Sebab itu jika melihat logo baru kami, ia nampak matang.
"Bagaimanapun, putaran lagu lama dan baru masih lagi dimainkan seperti biasa,"tuturnya


Ayu Raudhah Dapat Anak Lelaki


PETALING JAYA: Pelakon Ayu Raudhah, 28, selamat melahirkan seorang bayi lelaki kira-kira pukul 2.17 petang Jumaat di Hospital Columbia, Johor Bahru (JB).
Suaminya yang merupakan pemain bola sepak kebangsaan dan Johor, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 25, berkata, anak sulungnya itu dilahirkan seberat 2.79 kilogram (kg) dan kedua-dua isteri dan anak berada dalam keadaan sihat.
"Alhamdulillah, saya teruja dan pada masa sama rasa macam tak percaya pula bahawa kini saya seorang ayah.
"Sekarang ini tanggungjawab saya lebih berat lagi dan Insya-Allah saya dapat mendidiknya sebagai seorang anak yang baik," katanya
Bagaimanapun, tambah Zaquan, dia dan isterinya masih lagi belum memikirkan nama yang sesuai buat anak sulung mereka itu.
"Kami tak beri nama lagi. Biarlah Ayu berehat dahulu dan baru kami bincangkan nama yang sesuai.
"Selepas keluar wad nanti, Ayu akan berpantang di rumah kami di JB," ujarnya
Ayu dan Zaquan telah mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 di Alor Setar, Kedah.
Sementara itu, pelakon Irma Hasmie juga mendapat anak lelaki seberat 3.93 kilogram pada pagi Jumaat di sebuah hospital Swasta di Kuala Lumpur.
Suami Irma, Redza Shah Azmeer memaklumkan khabar gembira itu menerusi laman Twitter miliknya dan memberitahu bahawa isterinya berada dalam keadaan stabil selepas proses kelahiran.


Sunday, March 24, 2013

Giliran Ayu, Shila Dan Nurul Berhijrah

Gambar Shila Amzah bertudung yang tersebar luas kini menjadi topik perbincangan di internet. Shila yang bermata bulat kelihatan cantik mengenakan tudung. Manis, pasti abang Sharnaaz makin sayang.

Latest! Gambar Terbaru Siti Nordiana Bertudung

Siti Nordiana Bertudung
Bertambah comel dan anggun memakai tudung. Jadi lepas ni, Siti Nordiana pasti menjadi model hijjab peniaga-peniaga tudung di luar sana. Apa yang pasti rezeki mesti lagi murah. Kepada selebriti di luar sana, terutamanya yang sudah berusia semuga kesedaran sempat singgah di hati anda.

Tuesday, March 12, 2013

Elfira Loy Gugup Punca Buat Silap Sebagai Pengacara

Elfira Loy 

PETALING JAYA: Aktres remaja Elfira Loy mengakui gugup dan gemuruh ketika pertama kali diberi tanggungjawab sebagai pengacara siaran secara langsung acara Karpet Merah di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) minggu lalu.
Pelakon berusia 19 tahun ini berkata, kurang pengalaman dalam bidang pengacaraan menjadikan dia mudah tersasul dan gagal mengawal sesuatu situasi.
"Saya tersilap menyebut nama Normah Damanhuri bukan kerana saya tidak tahu nama dia tetapi saya tersasul mungkin kerana terlalu gementar dan saya pula bercakap laju.
"Sementara tentang Izzue Islam pula mungkin kerana soalan yang saya ajukan kepadanya mengelirukan sehingga dia dan penonton menganggap saya tidak buat ulang kaji sebelum bertanya," katanya kepada mStar Online, di sini, Isnin.
Pelakon telefilem Mimpi Sampai Ke Bintang ini dikatakan tidak membuat ulang kaji terlebih dahulu sebelum mengacarakan acara besar seperti itu.
Dalam insiden tersebut, Elfira tersilap menyebut nama pelakon veteran Normah Damanhuri selain dikatakan tidak tahu tentang perkembangan pelakon Ezzue Islam yang juga merupakan seorang penyanyi kumpulan Forteen..
Elfira mengacarakan sesi Karpet Merah FFM25 bersama Hefny Sahad.
Jelas Elfira, dia mengakui pengalaman pertama dalam bidang pengacaraan itu memberi pelajaran berharga buatnya.
"Ini pengalaman pertama saya buat secara langsung dan tanpa skrip. Saya tidak tahu format siaran langsung, bila saya perlu berhenti untuk iklan dan sambung semula bercakap.
"Itu semua buat saya rasa gementar dan hilang kata-kata. Saya pula seorang saya cakap laju dan bila disuruh berhenti saya susah nak bercakap semula," ujarnya.
Bagaimanapun, dia menerima semua kritikan dan menganggap ia sebagai cabaran untuk masa akan datang.
"Saya sedar banyak yang perlu diperbaiki lagi, tapi bukan bermakna saya tidak boleh buat bidang pengacaraan ini.
"Saya tidak akan putus asa dan mengalah dengan kritikan orang," katanya yang bakal mengacarakan program remaja Projek Gila bersama pelakon Siti Saleha di TV9, yang bakal bersiaran bermula 1 April ini.

Friday, March 8, 2013

Nadiya Nisaa Tidak Tenggelamkan Lakonan Tiz Zaqyah

Pelakon Nadiya Nisaa
Tizz Zaqyah

KUALA LUMPUR: Pelakon Nadiya Nisaa, 27, menganggap lakonannya sebagai Elina tidak menenggelamkan watak utama Lea Soraya yang dipegang oleh Tizz Zaqyah dalam dramaCinta Jangan Pergi arahan Kabir Bhatia.
Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2011 ini berkata, watak Elina berperanan menghidupkan suasana ceria dan menyokong watak utama dalam drama tersebut.
"Saya diberi karakter sebagai teman baik kepada Lea Soraya dan seorang yang gila-gila. Tidak timbul soal “overshadow” kerana masing-masing ada karakter tersendiri.
"Sebelum memulakan penggambaran pengarah telah menjelaskan gambaran apa yang perlu saya lakukan untuk watak itu," katanya.
Nadiya yang ditemui selepas pratonton drama Cinta Jangan Pergi yang bakal ditayangkan di TV9 pada 6 April.
Lakonannya kelihatan lebih menonjol berbanding pemegang watak utama.
Dia digandingkan sebagai pasangan kekasih dengan pelakon baru iaitu Bil Azali yang dilihat banyak menghidupkan suasana.
Drama 26 episod ini yang turut menampilkan gandingan pasangan popular Remy Ishak dan Tiz Zaqyah ini akan disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, pukul 8.30 malam.
Sementara itu, Tizz Zaqyah menganggap cabaran utama dalam drama ini adalah mengikis watak Nur Amina dalam drama Nur Kasih agar tidak dibandingkan dengan wataknya dalam drama ini.
"Saya akui memang ada yang akan membandingkan watak saya dengan drama Nur Kasih. Namun dalam drama ini, dari segi karakter saja sudah berbeza. Drama Nur Kasihberkonsepkan agama manakala drama ini berkonsepkan percintaan remaja di kolej," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar TV3 & TV9, Sharina Nordin berkata drama ini adalah ganjaran istimewa untuk penonton setia TV9 atas sokongan mereka selama ini.
"Cinta Jangan Pergi berlatar belakangkan tempat-tempat menarik sekitar Eropah dan Malaysia menjanjikan kelainan hasil gandingan pengarah Kabir Bhatiar dan isterinya, Amirah Mustaffa selaku penulis skrip.

Suki Mohon Waran Tangkap Terhadap Bekas Syarikat Pengurusan

Suki Low

PETALING JAYA: Penyanyi Suki Low melalui peguamnya memohon perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas syarikat pengurusannya Galaxy Music Sdn. Bhd pada Jumaat.
Infi8 Dreams Sdn Bhd dalam kenyataan medianya kepada mStar Online pada Jumaat berkata, Suki bertindak sedemikian apabila pihak syarikat berkenaan tidak menghadirkan diri ke mahkamah sebanyak dua kali bagi menyelesaikan wang tuntutan yang diperolehnya.
"Memandangkan wang tuntutan masih belum dibayar, Suki terpaksa memohon daripada pihak mahkamah untuk memanggil pengarah Galaxy iaitu Chan Tak Wai dan Wong Yoke May untuk menjelaskan kegagalan atau keengganan mereka membayar wang berjumlah RM417,575.17.
"Namun, Chan dan Wong gagal menghadirkan diri ke mahkamah pada 6 Februari lalu dengan alasan terpaksa menghadiri sebuah mesyuarat di Singapura," kata kenyataan itu.
Kegagalan pihak Galaxy menghadirkan diri ke mahkamah membuatkan sebutan kes berkenaan terpaksa ditunda pada Jumaat (semalam) dan buat kali kedua itu, Chan dan Wong masih lagi berdegil tidak hadir ke mahkamah.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap kedua-dua individu terbabit.
Menurut fakta kes, Galaxy telah membuat penyataan salah bahawa ia mampu menerbitkan, memasarkan serta mengedar album antarabangsa Cina penyanyi itu untuk pasaran Taiwan, China dan Hong Kong.
Suki juga mendakwa telah membayar RM367,575,17 iaitu sejumlah wang tunai selepas memenangi One In A Million kepada Galaxy sebagai balasan terhadap melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Selain itu Suki mendakwa Galaxy hanya menghasilkan album tempatan yang tidak pernah diedarkan pada peringkat antarabangsa sehingga mendorong Suki menandatangani perjanjian pengurusan artis yang mengandungi terma-terma yang berat sebelah dan tidak saksama kepadanya.
Sehubungan itu mahkamah memutuskan Suki layak menerima wang ganti rugi sebanyak RM417,575.17 selepas syarikat tersebut didapati tidak mengikuti perjanjian dalam mempromosikan album tempatan yang diterbitkan.
Kes akan disebut semula pada 15 Mac 2013.