Saturday, January 19, 2013

Rita tetap saman suami


RITA RUDAINI sudah lali biarpun setiap kali muncul di hadapan media, pasti gelora rumah tangganya menjadi bahan bicara. Ibu anak dua itu juga langsung tidak terjejas emosinya saat bercerita tentang drama terbaharu lakonannya, Sehangat Asmara bersama Adi Putra. Dia yang masih dibelenggu isu perebutan hak jagaan anak bersama suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak.
"November lalu saya sudah berjaya membatalkan perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil (suami). Sekarang ini, saya ada satu lagi saman ke atas Aidil berkenaan bayaran nafkah bulanan diri saya dan anak-anak.
"Tapi, lepas dia gagal dengan tuntutan kembali taat di Petaling Jaya, Aidil ada failkan semula kes baharu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban. Kali ini dia kemukakan permohonan cerai dan penjagaan anak.
"Bagi saya, fail sahajalah kes itu seluruh negara sekali pun, saya akan ikut rentak dia dan pertahankan hak saya. Sebagai ibu, saya akan pertahankan anak-anak saya dan sebagai isteri saya akan pertahankan hak saya. Sebelum ini dia tarik balik permohonan cerai, sekarang dia ingin bercerai pula. Kalau mahu bercerai, saya akan persoalkan apa salah saya. Saya berani sebab saya tahu bahawa saya tidak buat salah," tegas Rita tanpa banyak emosi yang tumpah usai sidang drama Cinta Terhalang di Publika, Mont Kiara, Selalu.
Rita memfailkan tuntutan nafkah daripada Aidil pada 8 November lalu dan kes itu akan disebut semula pada 23 Januari ini (Rabu).
Pada November lalu juga, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan perintah kembali taat yang difailkan oleh Aidil Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Krisis rumah tangga Rita dengan pemain bola sepak kebangsaan itu bermula apabila lelaki berusia 26 tahun itu bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara, Kuala Lumpur ketika aktres itu pulang ke kampung halamannya di Arau, Perlis bersama anak-anak.
Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki sehingga menyebabkan perkahwinan tersebut timbul pelbagai masalah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang putera iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.
Berbalik kepada statusnya kini yang secara rasminya masih bergelar isteri kepada Aidil, Rita tidak pernah menghukum semua lelaki sebagai sama.
"Bukan semua lelaki tidak baik. Pasti ada di luar sana yang bertanggungjawab dan menyayangi isteri masing-masing sepenuh hati. Jika pada masa akan datang ditakdirkan bertemu lelaki lain, orang itu mesti lebih menyayangi anak-anak berbanding diri saya," katanya sambil menyuarakan rasa kagum terhadap karakter Zainal Arief (Adi Putra) menerusi drama Sehangat Asmara yang akan memulakan siaran di saluran Mustika HD bermula esok.
"Walaupun mendapat tentangan keluarga, Zainal sangat cintakan isterinya Kamelia. Dia sanggup tunggu sehingga lapan tahun untuk memenangi semula hati Kamelia. Saya juga mahukan lelaki seperti Zainal Arief," katanya.
Menjadi Kamelia Najwa, Rita melakonkan watak wanita yang berdepan krisis rumah tangga dan berlawan kes perebutan anak dengan suaminya, Zainal. Seolah-olah melakonkan realiti sendiri di kaca televisyen, Rita diasak tentang keterbukaannya itu.
"Saya wanita dan ibu yang mengalami situasi yang dialami Kamelia, sudah tentu ia memudahkan saya untuk menghayati karakter. Bagaimanapun, saya mulanya sedikit kekok dengan Adi. Saya risau takut-takut dilabel gatal pula bila pegang-pegang Adi, manalah tahu," katanya ketawa tanpa menafikan kaitan karakter Kamelia dengan dirinya.
Tambah Rita: "Dalam drama itu, kami cuma bahagia masa bercinta sahaja, masuk episod kahwin, saya terus kena menangis di lokasi."
Dalam perkembangan terbaharu, Rita kini kembali berkongsi lokasi dengan pelakon Lisdawati setelah mereka bergaduh di satu lokasi penggambaran, tujuh tahun lalu. Timbul sedikit isu, apabila Rita dibidas oleh Fauzi Nawawi (suami Lisdawati) sebagai bersifat tidak matang kerana membuat permintaan agar lelaki itu tidak berada di lokasi jika ada penggambaran membabitkan Rita. Dalam drama Kerana Sarah itu, Rita melakonkan watak heroin manakala Lisdawati watak pembantu.
"Pernah ada satu babak, saya dan Lisda kena berlaga bahu. Kami tetap buat sebab Lisda dan saya sudah tiada apa-apa masalah. Masing-masing buat hal sendiri di lokasi. Tentang Fauzi, saya memang tak mahu dia ada di lokasi ketika saya ada," tutup Rita enggan membuka kisah lama.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2ITiggFo2 
Hakcipta terpelihara 

Katie Holmes Dapatkan Bantuan Jurulatih Untuk Bercinta

Katie Holmes

AKTRES Katie Holmes dilaporkan mengupah seorang jurulatih bagi membimbingnya dalam aspek perhubungan.
Holmes yang memfailkan perceraian dengan aktor Tom Cruise pada Julai tahun lalu dikatakan sudah bersedia untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan mencari pengganti.
Justeru itu, ibu kepada Suri, 6, ini mengambil keputusan mendapatkan bantuan profesional bagi meningkatkan semula keyakinan diri terhadap lelaki.
Seorang sumber berkata, Katie membuat keputusan untuk kembali menjalin hubungan selepas menyambut ulang tahun kelahirannya pada hujung Disember lalu.
Katanya, pada kali ini aktres berusia 35 tahun itu mengambil pendekatan berbeza dalam soal perhubungan.
“Dia (Katie) menghadiri sesi dengan jurulatih secara individu dan menerusi telefon. Dia belajar mengenai teknik mendekati orang baharu termasuklah tip menjalinkan hubungan dan memperolehi semula keyakinan diri.
“Katie kini semakin yakin untuk bercinta semula dan mengambil langkah seterusnya bagi mencari pasangan dengan bantuan terapi itu,” kata sumber berkenaan.
Tambah sumber itu kepada majalah Grazia, Holmes mahu melakukan sesuatu mengenai hubungannya memandangkan 2013 baharu sahaja bermula.
“Memang sukar untuk bertemu dengan orang baharu di New York, terutamanya apabila anda adalah ibu tunggal. Kita faham jika dia berasa sunyi.
“Rakan-rakan pernah mencadangkan beberapa pertemuan antara Katie dengan lelaki lain tetapi dia tidak berminat.
“Jadi, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan profesional bagi menyuntik semula keyakinan dirinya,” katanya.

Diana Amir Bimbang Malu Jika Tiada Jodoh Dengan Tunang


KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Amir enggan terlalu mendedahkan mengenai tunangnya kerana bimbang jika mereka tidak ditakdirkan berkahwin kelak.
Pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim, 27, ini berkata, dia dan keluarga akan menanggung malu jika pertunangan dengan Mohd Habib Bullah A. Rahman, 20-an, tidak berakhir ke jinjang pelamin.
"Saya tidak mahu kecoh-kecoh atau terlalu dedahkan mengenai tunang sebab kalau tidak jadi nanti buat malu sahaja.
"Biarlah ia berjalan seperti biasa. Kalau memang ada jodoh, insya-Allah kami akan berkahwin," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Diana dan petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah itu berkenalan menerusi seorang teman kira-kira setahun lalu.
Mereka melangsungkan pertunangan di kediaman aktres itu dekat sini, pada September tahun lalu.
Diana berkata, dia juga berharap majlis pernikahan itu akan berlangsung dengan secepat mungkin jika ada jodoh antara mereka.
"Belum ada tarikh tertentu (pernikahan) tapi lebih awal lebih bagus. Saya hanya mendoakan yang terbaik untuk ikatan kami," katanya.
Mengenai perkembangan semasa, Diana berkata, dia sedang giat menyiapkan buku motivasi dan biografi, selain sibuk dengan komitmen lakonan.
"Saya masih berlakon seperti biasa. Selagi watak yang diberikan tidak memalukan keluarga saya akan terus berlakon.
"Saya juga mahu berkongsi pengalaman hidup dalam buku motivasi dan biografi yang saya tulis sejak empat bulan lalu," katanya yang turut teruja untuk menghasilkan skrip berunsur Islamik kelak.

Izreen Azminda Mudah Melenting Gara-Gara Hamil


KUALA LUMPUR: Pelakon Izreen Azminda berasa pelik kerana mempunyai tabiat luar biasa iaitu mudah melenting tanpa sebab pada peringkat awal kehamilannya.
Pemilik nama penuh Izreen Azminda Aznam, 28, ini berkata, bagaimanapun sikap buruk itu berjaya dikawal dan beransur hilang selepas tiga bulan hamil.
“Saya tidak tahu kenapa selalu naik hantu ketika awal kehamilan dulu? Ada sahaja yang tidak kena di mata dan saya cepat marah.
“Mungkin faktor hormon tidak stabil tetapi alhamdulillah sikap buruk itu semakin hilang kerana saya dapat kawal (kemarahan) kebelakangan ini,” katanya kepada mStar Online.
Izreen kini hamil anak pertama hasil perkahwinannya dengan jurukamera Muhd Riza Baharudin, 30, pada 30 Ogos tahun lalu.
Ditanya mengenai pengalaman hamil buat kali pertama, Izreen berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan atau mengidam yang teruk.
“Alhamdulillah saya dan suami sangat gembira dengan kandungan ini. Kini memasuki bulan keempat, saya berasa selesa dan tidak alami alahan atau mengidam yang teruk.
“Saya masih aktif bekerja di dua set penggambaran sekarang iaitu drama Sehangat Asmara dan Tanggang Ayu,” katanya.
Tambah Izreen, dia terpaksa bekerja keras ketika ini selagi terdaya sebelum berehat panjang bermula awal Mac depan.
“Sementara masih larat biar saya kerja untuk kumpul duit. Nanti bermula awal Mac saya akan berehat terus sehingga tarikh bersalin yang dijangka pada Julai depan.
“Namun, saya selalu berhati-hati dan tidak lasak sangat di lokasi. Saya mesti habiskan penggambaran sebelum pukul 12 tengah malam sebab badan mudah letih akhir-akhir ini,” katanya.
Izreen berkata, dia juga terpaksa menolak banyak tawaran lakonan ekoran perubahan ketara pada fizikalnya kerana memiliki kandungan bersaiz besar.
Terbaharu, drama lakonannya Sehangat Asmara akan mula ditayangkan pada 21 Januari ini, setiap Isnin hingga Rabu pukul 10 malam di Astro Mustika HD (saluran 134).

Wednesday, January 16, 2013

'Sehangat Asmara' Bakal Ulangi Fenomena 'Adam & Hawa'

Rita dan Adi agak mesra

KUALA LUMPUR: Penerbit drama adaptasi novel terbaharu Sehangat Asmara iaitu Global Station berharap ia bakal mengulangi fenomena dicetuskan Adam & Hawa.
Penerbit Eksekutifnya, Adila Ramly berkata, pihaknya percaya beberapa persamaan pada kedua-dua drama itu mampu menarik minat penonton yang mengikuti Adam & Hawasebelum ini.
"Kami berharap Sehangat Asmara dapat menyamai atau memberikan lebih impak daripadaAdam & Hawa apabila ditayangkan nanti.
"Beberapa elemen Sehangat Asmara seperti tema percintaan dan barisan pelakon yang mantap mampu menarik perhatian penonton," katanya kepada mStar Online pada majlis pelancaran drama bersiri 33 episod itu di Publika, Solaris Dutamas di sini, petang Selasa.
Diarahkan Mohd Feroz Kader, drama ini membariskan antaranya Rita Rudaini, Adi Putra, Shahrizal Jaszle, Fureena Ezlin, Izreen Azminda, Hafizuddin Fadzil dan Dian P. Ramlee.
Ia bakal ditayangkan bermula 21 Januari ini pada setiap Isnin hingga Rabu, pukul 10 malam di Astro Mustika HD (saluran 134).
Adila berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan drama berkenaan kerana konflik dalam novel nukilan Aisya Sofea itu.
"Saya meminati cerita novel itu. Malah, sejak di bangku sekolah saya sudah membacanya.
"Saya percaya tema hubungan dua darjat, percintaan dan konflik dalam cerita ini dekat dengan penonton," katanya.
Drama ini berkisar mengenai ranjau dalam hubungan dua darjat, Kamilia Najwa lakonan Rita Rudaini dan Zainal Arief (Adi Putra) yang berkahwin tanpa restu keluarga di Sydney, Australia.
Kebahagiaan mereka berakhir apabila Zainal terpaksa pulang ke tanah air dan berjanji untuk kembali semula ke pangkuan isterinya.
Sembilan tahun berlalu namun Zainal tidak pernah pulang sedangkan Kamilia terus menanti dalam sengsara.

Lisdawati & Rita Rudaini Berdamai Selepas 7 Tahun Jadi Musuh



KUALA LUMPUR: Permusuhan di antara pelakon Lisdawati dan Rita Rudaini hampir 7 tahun kembali jernih apabila kedua-dua wanita itu bersetuju untuk berdamai selepas ditawarkan berlakon dalam drama bersiri Kerana Sarah.
Lisdawati berkata, bersempena dengan tahun baru 2013 ini, dia berazam untuk tidak bermusuhan dengan sesiapa sahaja termasuklah Rita dan mahu bekerjasama dalam drama berkenaan yang masih lagi dalam penggambaran.
"Tahun 2013 ini, saya berazam untuk melalui suasana harmoni dan sekiranya terdapat persengketaan dengan sesiapa sekalipun, orang kata, buang yang keruh, ambil yang jernih.
"Begitu juga dengan dia (Rita), apa yang berlaku itu biarlah berlalu dan saya hormat dia sebagai pelakon yang lebih 'senior' daripada saya. Diharap, tiada sesiapa yang akan mengungkit perkara lama itu," katanya kepada mStar Online.
Pada tahun 2006, Rita dan Lisdawati dikatakan bermasam muka selepas berlakunya insiden tampar menampar dan tarik rambut ketika kedua-duanya melakonkan adegan terakhir drama Kau Yang Ku Sayang di kolam renang sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang.
Aksi tersebut berubah menjadi sebuah pergaduhan besar sehingga melibatkan kes polis apabila Lisdawati mendakwa Rita sengaja mencederakannya.
Sementara itu, Rita pula berkata, perkara tersebut sudah lama selesai dan tiada apa-apa isu yang perlu timbul antaranya dengan isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu.
"Saya tidak mempunyai masalah dengan dia (Lisdawati). Perhubungan kami lebih pada profesional dalam bidang kerja kami.
"Kami bertegur sapa, tetapi tak banyak berbual pun di lokasi. Cuma dengan apa yang telah berlaku, saya mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati.
"Dalam masa yang sama saya tidak mahu Fauzi ada dalam apa juga penggambaran yang saya lakukan atas sebab yang tidak dapat saya kongsi kepada umum," ujarnya.

Saturday, January 12, 2013

Lisa Surihani Buat Repot Polis Berhubung Kes Tipu

Lisa Surihani

ETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani membuat laporan di Balai Polis Bangi dekat sini pada Jumaat selepas menyedari ditipu berhubung kait dengan wang.
Lisa, 27, berkata, dia membuat laporan itu dengan ditemani suami Yusry Abdul Halim dan ibunya Amira Ahmad, kira-kira pukul 2 petang Jumaat.
“Saya mengaku telah membuat laporan polis berhubung kes penipuan tetapi saya tidak dapat untuk menjelaskan kes itu secara terperinci.
“Bukan saya tidak mahu bekerjasama tetapi buat masa ini ia masih dalam siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi mStar Online lewat petang Jumaat ketika berada di Ipoh, Perak kerana menjadi juri pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012.
Lisa berkata, sekiranya pihak polis selesai membuat siasatan, barulah dia bersedia untuk berkongsi kisah itu agar peristiwa berkenaan menjadi pengajaran kepada orang ramai.
“Saya tidak boleh mengulas panjang kerana ia masih dalam siasatan polis,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain Lisa juga sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiriMaskara arahan Nizam Zakaria di samping Nasha Aziz dan Anzalna Nasir.

Memey Tercuit Dengan Gelagat Norman Menjelang Kelahiran Anak

Memey dijangka melahirkan anak pada 20 Feb 2013

KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza mengakui tercuit hati dengan gelagat dan debaran yang dialami suaminya aktor Norman Hakim menjelang kelahiran bayi sulung mereka dijangka pada 20 Februari depan.
Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 27, berkata, sikap kalut Norman yang terlalu gelisah mengenai persiapan kelahiran anak lelaki mereka itu melebihi kebimbangannya sendiri yang pertama kali bakal bersalin.
“Saya okey sahaja. Tidak terfikir atau bayangkan apa-apa pun tapi abang (Norman) yang nampak lebih bimbang.
“Mungkin kerana pengalamannya bergelar bapa sebanyak tiga kali sebelum ini membuatkan dia bimbang untuk sambut kelahiran anak kami nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Ditanya mengenai persiapan terakhir menjelang kelahiran itu, Memey berkata, segala persiapan pakaian dan pemilihan beberapa nama sudah disenarai pendekkan.
“Kami sudah ada dua atau tiga nama pilihan cuma belum putuskan yang mana satu sahaja.
“Abang juga sudah selidik banyak info di Internet dan buku-buku mengenai kelahiran anak kami,” katanya.
Dalam pada itu, Norman berkata, perasaan panik menjelang kelahiran itu adalah perkara lazim yang dihadapinya sejak anak pertama lagi.
“Dari anak pertama lagi saya memang berdebar dan panik. Saya rasa pengalaman menyambut kelahiran anak-anak yang membuatkan saya begitu.
“Sebab itu saya berasa tidak tenang dan takut untuk menunggu kelahiran Memey nanti kerana saya perlu bersedia,” katanya yang merancang untuk menjemput keluarga Memey menemani aktres itu pada hujung Januari ini.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Norman dan Abby Abadi dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4.
Pasangan itu bercerai pada 18 Disember 2008.

Friday, January 11, 2013

DJ Lin Tidak Pernah 'Suntik' Wajah


DJ Lin
SUBANG JAYA: Penyampai radio Suria FM, Deejay Lin menegaskan dia tidak pernah mengambil sebarang suntikan wajah untuk kelihatan cantik seperti yang didakwa segelintir pihak.
Deejay Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid berkata, dia sebenarnya tidak berani mencuba sesuatu yang ekstrem semata-mata untuk kepuasan diri selain alah kepada ubat-ubatan berbentuk steroid serta beberapa jenis ubat kecantikan.
"Mana ada saya suntik wajah, tak mungkinlah. Lagipun saya alah kepada beberapa jenis ubatan.
"Saya tidak mungkin menyuntik wajah semata-mata mahu cantik. Banyak lagi cara lain yang boleh menampakkan kita tampil menarik," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun tambah ibu kepada seorang anak itu, dia mengakui kini lebih berjaga-jaga dalam soal penampilan agar peminat-peminatnya lebih senang dengan perubahan yang dilakukan.
"Hidup ini kena ada perubahan. Begitu juga dengan saya yang ingin berubah dalam hal penjagaan imej demi peminat-peminat," ujarnya.
Sementara itu, pada pengumuman finalis ABPBH2012 pada Rabu, Deejay Lin dicalonkan bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular di mana pencalonan itu merupakan yang pertama sepanjang dia melibatkan diri di bidang radio kira-kira 12 tahun.
"Saya percaya, jika kita jujur dalam kerja dan berusaha, Insya-Allah satu hari nanti kita akan dihargai dalam pelbagai bentuk.
"Selama ini saya sering diiktiraf menerusi anugerah-anugerah yang melibatkan kualiti kerja seseorang selebriti itu.
"Kali ini saya dicalonkan kerana populariti. Dan ini terbukti para peminat menerima kehadiran saya dalam industri seni kita," tuturnya.
Baru-baru ini, Deejay Lin telah diiktiraf sebagai Ikon Wanita Muda 2012 (Kesateria Puteri Penyiaran Radio) yang diterima bersempena Himpunan Wanita Muda Negara 2012 pada November lalu.