Sunday, August 4, 2013

Megan Fox Hamil Anak Kedua

Mega Fox yang Ayu
PELAKON Megan Fox telah mengumumkan dia dan suaminya, Austin Green bakal menimang cahaya mata kedua selepas sembilan bulan anak pertama mereka iaitu Noah lahir.
Menurut Daily Mail, khabar gembira itu didedahkan sendiri oleh jurucakap pasangan itu kepada media baru-baru ini.
"Saya mengesahkan bahawa Megan dan Austin sedang menanti kelahiran anak kedua mereka dan ia adalah berita gembira buat keluarga itu," kata jurucakap tersebut.
Megan sebelum ini pernah memberitahu mahukan bilangan anak yang ramai dan pengalaman menjadi seorang ibu disifatkan sebagai luar biasa.

Saturday, July 20, 2013

Abby Abadi Temui Jodoh, Kenal Pemuda Di Pasar Raya

Farhan(24) Dan Abby Abadi (36)
PETALING JAYA: Setelah lima tahun menjanda, bekas anggota kumpulan Elite iaitu Abby Abadi akhirnya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang 12 tahun lebih muda daripadanya.
Mereka bernikah pada 9 Julai lalu iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 36, berkata, dia menyifatkan perkahwinannya dengan Farhan, 24, yang menjalankan perniagaan sendiri, adalah jodoh yang tidak disangka selepas hanya dua minggu berkenalan.
"Pertemuan bermula di sebuah pasar raya di mana kami tiba-tiba sahaja bertentang mata.
"Selepas dua minggu berkenalan, dia melamar saya dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
"Apa yang kami lakukan semua ini adalah kerana Allah. Saya tak tahu nak kata apa kerana ini adalah jodoh daripada-Nya. Saya berharap agar semua pihak mendoakan kebahagiaan kami sehingga akhir hayat," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat di sini.
Abby bagaimanapun enggan mendedahkan di manakah mereka diijabkabulkan sehinggalah beberapa perkara selesai.
Tambah Abby, dia tahu ada yang akan memberi respons positif dan negatif mengenai perkahwinannya itu, namun dia percaya apa yang dilakukan mereka adalah perkara yang baik dan ia adalah jodoh.
Dalam pada itu, beritahu Abby lagi, Farhan merupakan anak kelahiran Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan dan dia bakal berjumpa dengan keluarga suaminya itu selepas berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Besut, Terengganu.
"Alhamdulillah, kedua-dua keluarga kami merestui perkahwinan ini walaupun mereka terkejut pada mulanya. Ini pun saya baharu nak berkenalan dengan keluarga suami di Kelantan selepas PRK nanti.
"Saya dapat rasakan perkahwinan ini juga adalah sesuatu yang menenangkan lebih-lebih lagi melihat wajah suami yang sentiasa tenang dalam apa-apa jua situasi," ujarnya.
Pasangan tersebut bercadang akan mengadakan resepsi perkahwinan mereka pada 31 Ogos depan dan majlis di pihak lelaki pula akan diadakan seminggu selepas itu.
Bagaimanapun, lokasi masih belum ditetapkan lagi.
Abby sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,10, Marissa Dania Hakim,8, dan Maria Danisha Hakim, 5.

Wednesday, July 17, 2013

Paris Hilton Nafi Kekasih Cemburu

Paris Hilton
SOSIALIT dan model Paris Hilton nafi kekasihnya, River Viiperi cemburu dan tergugat dengan kejayaannya dalam karier peragaan dan perniagaan.
Menurut laporan portal femalefirst.co.uk, sebaliknya River yang juga merupakan seorang model sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan wanita itu yang kini cukup sukses dengan jenama minyak wangi dan beg tangan serta memiliki sebuah kelab malam sendiri
"River selalu kata yang dia cukup bangga dengan kejayaan yang saya miliki dan kenyataannya cukup menggembirakan hati saya.
"Dia juga sentiasa menemani saya berjalan hampir ke seluruh dunia bersama. Saya suka apabila ada orang yang sentiasa berada di sisi ke mana-mana sahaja saya pergi.
"Malah dia seorang yang cukup memahami dan sering memberikan kata-kata semangat buat saya. Malah dia bukan lelaki yang cemburu buta dan tak pernah asa tergugat dengan kejayaan yang dimiliki," katanya.

Ashraf Muslim Mengaku Nikah Kali Kedua Di Thailand

Ashraf Muslim
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu diberitahu pelakon dan pengamal perubatan Islam, Mohd. Ashraf Muslim, 32, sudah bernikah kali kedua dengan wanita yang digosipkan dengannya iaitu Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, di Thailand pada Ahad lalu.
Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab membenarkan Ashraf menarik balik permohonannya untuk berpoligami yang difailkan pada pagi Rabu selepas dia mengaku telah bernikah dengan wanita tersebut.
Pengesahan itu membuktikan khabar angin mengenai hubungan Ashraf dengan individu tersebut adalah benar walaupun pelakon itu pernah menafikan hubungan mereka sebelum ini.
Ashraf turut memiliki isteri pertama iaitu Noor Dayana Lokman, 26, yang juga anak kepada pengasas Pusat Perubatan Islam Al Hidayah di Setiawangsa di sini.
Mereka bernikah di Mekah pada 30 Ogos 2011 dan tidak memiliki zuriat.
Berikutan pengakuan Ashraf itu, mahkamah memerintahkannya membayar kos mahkamah sebanyak RM8,000 kepada Noor Dayana.

Ayu & Radhi (OAG) Rancang Kahwin Tahun Depan

Radhi OAG dan Ayu
KUALA LUMPUR: Kekasih kepada penyanyi Radhi (OAG) iaitu Nur Shahira Ayu Zahiri mengesahkan bakal menamatkan zaman solo dengan pemuda itu pada tahun hadapan.
Nur Shahira Ayu atau lebih mesra disapa Ayu, 19, berkata, keputusan tersebut dibuat kerana merasakan hubungan cinta yang mereka semai sejak empat tahun lalu sudah masuk pada fasa yang matang.
“Insya-Allah, saya dan Radhi sudah merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan. Doa-doakanlah agar hajat kami yang baik ini menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran TV9 di Kuala Lumpur Golf & Country Club di sini, pada Selasa.
Ayu berkata, keluarga kedua-dua pihak sudah mengenali antara satu sama lain dan tidak membantah keputusan itu.
Malah ujar Ayu, dia juga berasa bertuah kerana Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 36, sudah berjaya meninggalkan tabiat buruknya yang pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Jelasnya, walaupun bukan mudah berkawan dengan individu seperti Radhi tetapi dia bersyukur kerana Tuhan memberi kekuatan untuk menempuh cabaran berkasih dengan insan yang terlibat dengan dadah.
“Banyak pengorbanan saya berikan semasa berkawan dengan Radhi dan Alhamdulillah, berkat semangat yang saya berikan termasuklah dorongan daripada keluarga, dia boleh meninggalkan tabiat buruknya. Malah dia juga tidak lagi merokok,” ujar Ayu.
Jelas gadis cantik manis itu, dia juga tidak malu apabila dihina kerana mencintai bekas penagih dadah kerana cintanya kepada duda tersebut disemai dengan penuh rasa kasih dan sayang.
Mengimbas semula detik pertemuannya Ayu berkata, mereka bertemu ketika Radhi membuat persembahan di pusat beli belah The Curve, Damansara dekat sini ketika dia berusia 15 tahun.
Selepas pertemuan itu mereka menjadi akrab sehinggalah kedua-duanya memutuskan untuk menjadi pasangan kekasih.
Ayu yang merupakan seorang model sambilan berkata, disebabkan berniat untuk mendirikan rumah tangga dengan Radhi, dia telah membuat keputusan menukar imej dengan memakai tudung sejak bulan Disember tahun lalu.
“Alhamdulillah... sedikit demi sedikit saya berubah ke arah yang lebih baik,” katanya.
Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif, 35, pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia lapan tahun.

Pertunangan Fouziah Gous Buat Iqram Dinzly Terkilan


PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly mengakui terkejut apabila mendapat tahu teman karibnya iaitu Fouziah Gous bertunang kerana tidak pernah mengetahui aktres itu sebenarnya mempunyai kekasih hati.
Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 32, berkata, dia lebih terkilan apabila berita pertunangan itu diketahui menerusi laporan media selain hanya dimaklumkan kira-kira dua minggu sebelum majlis berlangsung.
"Saya ralat melihat cara dia (Fouziah) seperti tergesa-gesa untuk bertunang. Benda-benda penting macam ini dia tidak beritahu pun lebih awal kepada saya.
"Orang tahu macam mana keakraban perhubungan kami, tetapi saya hanya diberitahu dua minggu sebelum majlis. Itu pun saya dapat tahu lebih awal selepas membaca laporan di majalah.
"Sebenarnya saya tidak mahu komen panjang tentang hal ini kerana apa yang dah berlaku terlalu merumitkan. Jadi lebih baik saya berdiam," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Fouziah atau nama sebenarnya Nor Fouziah Mohd Gous, 30, mengikat tali pertunangan dengan Md Zhafran Md Yusof, 30, dalam satu majlis yang diadakan di Restoran Asmara Penchala, dekat sini pada 1 Jun lalu.
Tambah Iqram, sejak pertunangan itu, dia dan Fouziah tidak lagi berhubung.
Bagaimanapun Iqram berharap, kenyataannya itu tidak memberi persepsi negatif kononnya dia tidak gembira dengan pertunangan aktres itu.
"Saya tengok, majlis pertunangan mereka sangat meriah. Jadi saya harap perhubungan suami-isteri yang bakal disatukan nanti juga akan meriah dan kekal sehingga akhir hayat.
"Apa yang telah berlaku ini juga membuatkan saya berasa syukur, Alhamdulillah," ujarnya.
Dalam pada itu, Iqram turut menafikan dakwaan yang kononnya dia makan hati dengan pertunangan Fouziah sehingga membuatkan berat badannya turun mendadak.
"Rasa nak tergelak pun ada apabila orang cakap begitu. Mana ada, berat saya susut sebab terlalu sibuk bekerja.
"Pada Februari lalu, selama dua bulan saya menjalani penggambaran drama berjudul Kes 253 di Singapura. Mungkin kerana itu juga membuatkan berat saya turun," tuturnya.

Thursday, July 4, 2013

Siti berminat taja kanak-kanak Palestin

Siti Nurhaliza
BIARPUN jadual hariannya cukup padat dengan aktiviti seni, ia langsung tidak menghalang penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk melakukan kerja-kerja amal.
Baru-baru ini penyanyi berkenaan telah menjayakan acara minum petang Rebuild Gaza For a Nation Feat Datuk Siti Nurhaliza & Rabbani anjuran Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) dan Rabbani Production Sdn. Bhd. yang berlangsung di Hotel De Palma, Ampang, Selangor.
Antara matlamat utama penganjuran acara tersebut adalah bagi mengumpul dana untuk membangunkan semula Gaza di Palestin serta daerah yang musnah teruk angkara serangan Zionis Israel.
Siti yang ditemui selepas berakhirnya acara menyatakan, sebagai seorang umat Islam dia perlu bersikap lebih prihatin terhadap nasib saudara seagama di Palestin yang teruk ditindas.
“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, saya mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin dan mengikut jejak langkah beberapa artis lain seperti Heliza Helmi dan Afdlin Shauki.
“Kalau diizinkan oleh Allah dan suami, saya berharap dapat pergi ke sana, terutamanya ke Masjid Al-Aqsa dan Gaza. Saya sentiasa berdoa agar impian ini terlaksana,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia mempunyai rancangan untuk mengambil anak angkat atau menaja kanak-kanak Palestin, Siti memberitahu dia pernah berbincang mengenai perkara itu dengan pihak Mapim.
“Andai ditakdirkan saya menerima seorang kanak-kanak dari Palestin, sudah tentu saya gembira dan akan menjaga sebaik-baiknya. Cuma pihak Mapim menjelaskan agak sukar untuk membawa kanak-kanak Palestin keluar dari tanah air mereka.
“Saya diberitahu bahawa lebih baik mereka terus tinggal di negara asal. Namun begitu, untuk menaja pula rasanya tiada masalah. Saya memang berminat dengan langkah sebegini sebagai satu sumbangan kecil saya,” jelasnya.
Menurut Siti, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan suaminya di samping mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Mapim tentang langkah seterusnya.
Siti belum dikurniakan anak sejak berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada tahun 2006.
Imej baik
Atas dasar keprihatinan yang ditunjukkan terhadap nasib umat Islam Palestin, Siti menerima kejutan apabila menerima Anugerah Kemanusiaan Mapim.
Menurut Siti, dia agak terkejut dengan anugerah itu, namun bersyukur. Dia berharap anugerah itu mampu memberi dorongan kepada dirinya dan rakan-rakan artis lain supaya prihatin terhadap nasib umat Islam yang lain.
“Kalau dilihat sumbangan saya ini agak kecil berbanding dengan beberapa ahli Mapim yang telah memberanikan diri pergi ke Palestin dan memberikan bantuan yang diperlukan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Siti layak menerima anugerah berkenaan kerana dia mempunyai imej yang baik sebagai seorang artis serta bersikap kepada umat Islam Palestin.
“Sewaktu pihak Mapim mahu mengundang Siti untuk menjayakan acara minum petang ini sebagai salah satu aktiviti mengutip dana bagi membantu rakyat Palestin, dia terus menerimanya.
“Selain itu, kami banyak berkongsi mengenai keadaan terkini yang berlaku di Palestin. Akhirnya, ahli jawatankuasa Mapim mengambil keputusan untuk memberikan anugerah ini kepada Siti,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Siti mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Oda Di Bumi Anbia, Ketika Cinta dan Kepadamu Kekasih, manakala Rabbani mendendangkan lagu-lagu seperti Intifada, Teman Sejati serta Mawar Berdarah yang merupakan lagu baharu mereka.
Lebih menarik lagi, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan meluangkan masa hadir pada acara tersebut. Pada masa yang masa berlangsung majlis pelancaran buku The Tunnel Girl tulisan Mohammad Qayyum Badaruddin dan Nur Sakinah Hanani Mohd. Azmi.

Kristen Stewart Cari Ketenangan Di Paris

Kristen Stewart

SAAT
 Robert Pattinson dilihat keluar dengan seorang wanita yang tidak dikenali di Los Feliz, California, Amerika Syarikat, pada masa sama bekas kekasih aktor itu, Kristen Stewart pula membawa diri ke Paris, Perancis.
Ternyata pasangan yang diminati ramai itu sah berpisah selepas beberapa bulan gosip menyatakan tentang perpisahan mereka.
"Dia patah hati apabila hubungannya dengan Robert tidak seperti yang diharapkan. Sementara Kristen masih berharap untuk kembali kepada Robert, lelaki itu sudah keluar dengan wanita lain," kata sumber kepada portal E!Online.
Difahamkan wanita yang bersama dengan Robert adalah Riley Keough, namun ia masih belum dipastikan lagi kebenarannya.
Sejak peristiwa kecurangan Kristen dengan seorang pengarah, Rupert Sanders, hubungannya dengan Robert tidak lagi kelihatan mesra seperti dahulu. Pasangan itu kerap bergaduh dan kini mereka memilih untuk berpisah buat seketika.

Amir Jahari Bakal Kahwin Wanita 6 Tahun Lebih Tua

Amir Jahari
PETALING JAYA: Penyanyi Amir Jahari telah memutuskan untuk menamatkan zaman bujangnya selepas memilih bulan Oktober depan untuk berumah tangga dengan wanita yang enam tahun tua daripadanya.
Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari, 21, berkata, dia telah mengikat tali pertunangan dengan wanita yang mahu dikenali sebagai Cik Amni, 27, pada Januari lalu dan kini sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami walaupun usianya masih lagi muda.
"Sebenarnya kami sudah lima tahun bercinta dan mungkin sudah sampai masanya untuk mendirikan rumah tangga.
"Walaupun usia saya muda, tetapi saya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami selain berasa cukup matang untuk menempuh ke fasa baru ini," katanya kepadamStar Online.
Tambah Amir, dia yakin statusnya sebagai suami orang juga tidak akan mengganggu karier nyanyiannya malah akan lebih bersemangat untuk bekerja apabila mempunyai bakal isteri yang sentiasa memberi dorongan.
Sementara itu, beritahu Amir, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran dramaOhsem Music Group (OMG) yang diterbitkan sempena bulan Ramadan. Ia merupakan kali pertama dia menyertai bidang lakonan.
"Saya melakonkan watak sebagai konduktor bas yang mempunyai sebuah kumpulan muzik.
"Seronok juga berlakon. Walaupun saya tidak mahu menyertai bidang ini, tetapi kerana ia merupakan drama muzikal, saya menerimanya. Apatah lagi teman-teman artis seperti Black dan Anas Redzuan turut membintangi OMG," ujarnya.
OMG mengisahkan tentang empat anak muda, Teng (vokalis), Bo (gitaris) Kem (bes) dan Bai (dram) yang berbakat dalam muzik di Kampung London. Kumpulan itu dinamakan OMG.
Drama tersebut akan disiarkan bermula 13 Julai ini, setiap Sabtu (pukul 9 malam), di TV3.
Dalam perkembangan lain, Amir kini sedang mempromosikan lagu terbarunya berjudulGelisah.
Selain itu, Amir juga sedang mencuba nasib menyertai salah sebuah syarikat rakaman di London, United Kingdom memandangkan muzik yang dibawakan Amir menjadi kegemaran masyarakat di negara itu.

Friday, June 21, 2013

Shahrizal Jaszle & Tunang Mahu Kahwin, Tunggu Marah Keluarga Reda

RAWANG: Ketika kecoh isu keluarga Redzwani Puteri, 25, iaitu tunang kepada pelakon Shahrizal Jaszle, 25, memutuskan pertunangan, pasangan tersebut tetap merancang untuk mendirikan rumah tangga.
Shahrizal berkata, pertunangan yang diputuskan itu hanyalah keputusan keluarga dan ia bukan atas kehendaknya dan Puteri.
"Yang bercintanya adalah kami, Keputusan memutuskan pertunangan itu datangnya daripada pihak keluarga dan bukannya daripada kami.
"Apa yang saya dan Puteri hanya mampu buat adalah reda sahaja dan berdoa agar perhubungan kami dan keluarga kembali pulih," katanya.
Shahrizal ditemui ketika menjalani penggambaran drama Iman Nabila arahan Shuhaimi Lua yang diadakan di Templer Park, di sini petang Jumaat.
Kisah pasangan tersebut menjadi kontroversi apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis lalu mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat anaknya pada November depan.
Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian.
Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.
Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan khalwat merela bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa.
Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.
Berikut ini temu bual mStar Online dengan Shahrizal dan Redzwani Puteri yang diadakan secara berasingan untuk menjelaskan sendiri kemelut hubungan mereka serta isu putus tunang yang semakin menjadi kontroversi.
‘KAMI MASIH BERJUMPA’ – SHAHRIZAL JASZLE
Masih lagi berjumpa dengan Puteri sejak putus tunang?
Kami masih lagi berjumpa untuk menyelesaikan masalah kami. Dan memang keluarga telah memutuskan pertunangan ini tetapi kami masih lagi menjalani rutin biasa (berhubung).
Sebelum ini cinta kalian mendapat restu keluarga daripada kedua-dua belah pihak tetapi ia sudah bertukar menjadi cinta terhalang. Kamu rasa?
Bagi saya, yang bercinta adalah kami. Memanglah apabila dah jadi macam ini (isu kes khalwat), saya tak boleh nak buat apa-apa. Kami reda sahaja.
Pernah berjumpa dengan keluarga Puteri memujuk mereka supaya anda diterima?
Sudah. Tapi saya tak boleh nak paksa orang untuk mempercayai saya. Biarlah saya memberi fokus kepada perbicaraan kes khalwat yang akan berlangsung pada 12 November ini. Kemudian barulah kita lihat apa yang akan terjadi.
Difahamkan kalian mahu berkahwin pada tahun depan, lebih awal daripada yang dirancang (2015). Apabila berlaku pula dugaan sebegini, kecewa tak?
Memang kami rancang mahu kahwin lebih awal, tetapi kerana perkara seperti ini saya reda dan anggap ia adalah dugaan buat kami. Apa-apa pun saya mahu tunggu kes khalwat selesai.
Apa yang kamu harapkan dalam perhubungan ini?
Saya pun tak tahu nak cakap macam mana? Cuma saya mahu perhubungan kami akan jadi lebih baik.
Shahrizal... anda sayangkan Puteri?
Mestilah sayang. Saya cintakan dia sepenuh hati saya. Tetapi tak boleh nak buat apa-apa apabila keluarga yang memutuskan pertunangan ini. Saya dan Puteri tidak terima dengan keputusan itu. Yang bercintanya adalah kami.
Mungkin mereka (keluarga Puteri) memutuskan pertunangan kalian kerana emosi? Yelah, sebagai ibu-bapa, mereka pasti mahukan yang terbaik buat anak-anak.
Entahlah. Mungkin mereka tak percayakan saya.
Khamis lalu, kalian ada berbalas mesej di Twitter. Adakah mesej tersebut sengaja dibuat kerana mahu menunjukkan yang kalian masih lagi berbaik?
Tak juga. Kami berbalas mesej Twitter secara spontan sahaja. Macam sebelum ini juga.
Kata-kata akhir daripada kamu?
Saya harap tiada lagi mana-mana pihak selain keluarga masuk campur urusan kami. Berhentilah mengganggu perhubungan kami.
SAYA TERPAKSA IKUT KEHENDAK IBU - REDZWANI PUTERI
Redzwani Puteri yang dihubungi menerusi WhatsApp pula berkata, dia mengakui ibunya telah membuat keputusan untuk memulangkan semula cincin pertunangannya kepada keluarga Shahrizal.
Walaupun bukan dengan kerelaan hatinya, sebagai anak, dia terpaksa akur permintaan ibu yang mahu memutuskan pertunangan tersebut.
"Saya dan Shahrizal memang tiada masalah. Tetapi sebagai anak saya perlu menghormati keputusan kedua-dua ibu bapa saya. Kerana untuk meneruskan perhubungan ini, restu itu sangat penting," ujarnya.
Komen Putri berhubung dengan isu kalian sudah putus tunang?
Memang ikatan pertunangan kami dah putus tetapi atas kehendak keluarga dan bukan kerelaan kami. Saya dan Shah (Shahrizal) tidak ada masalah. Kami masih baik.
Jika dahulu cinta kamu dan Shahrizal direstui, tetapi ia sudah berubah. Adakah ini dikira cinta terhalang?
Susah nak cakap. Hati dan perasaan susah untuk dikawal. Tetapi saya perlu hormat keluarga saya. Jadi sekarang ini saya mampu berserah saja.
Selepas keluarga memutuskan ikatan pertunangan, masih lagi berjumpa dengan Shahrizal?
Ya, masih. kami berjumpa untuk menyelesaikan isu ini.
Sayangkan Shahrizal lagi?
Ya. Saya tak mahu tipu tentang hal itu. Bukan senang untuk tiba-tiba berhentikan perasaan cinta itu. Lebih-lebih lagi kami sebelum ini adalah kawan baik dan kemudian bertukar menjadi cinta. Ia bukan satu benda yang mudah untuk dilupakan. Tetapi pada masa sama saya perlu menghormati keluarga.
Sedih apabila hal ini berlaku?
Siapa yang tak sedih? Alhamdulillah saya boleh kawal perasaan apabila berdepan dengan orang. Cuma apabila ada yang bertanyakan tentang perhubungan kami, perasaan sebak itu akan timbul.
Jadi apa perancangan Puteri selepas ini?
Buat masa ini keadaan masih lagi tegang. Apa yang saya boleh buat cuma berdoa sahaja. Saya percaya, jika kami ada jodoh takkan ke mana.
Risau perhubungan kalian tak menjadi?
Saya serahkan kepada takdir.
Adakah dugaan ini menguatkan lagi cinta kalian?
Ia membuatkan kami berdua lebih memahami diri masing-masing dan menguatkan lagi diri kami.
Kata-kata akhir daripada Puteri?
Saya hanya mampu berdoa yang terbaik. Bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada semua pihak media yang tidak dapat berhubung dengan saya untuk mendapatkan kenyataan. Masa itu saya belum bersedia lagi. Tetapi saya sedar satu hari nanti saya tetap akan berdepan dengan semua.

Shila Amzah Lalui Pengalaman Dipinggirkan Kerana Bertudung

PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah mengakui tidak mempunyai ramai kenalan ketika mula-mula menetap di Shanghai, China sehingga menyebabkan dia rasa terpinggir dan hidup sunyi.
Shila, 23, berkata, perkara itu terjadi disebabkan ada di antara mereka yang takut untuk berkawan dengannya kerana penampilannya yang bertudung.
"Masa mula-mula berada di Shanghai memang saya tidak ramai kawan kerana mereka takut untuk mendekati saya yang bertudung sehingga menyebabkan saya rasa terpinggir.
"Oleh sebab itu juga saya terpaksa 'ringan mulut' dengan menegur orang-orang di sana supaya mereka tidak salah faham hanya kerana imej saya bertudung," jelasnya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Jumaat.
Tambah Shila, dia juga banyak menceritakan mengenai agama Islam dan budaya orang Melayu kepada kenalan baharu sehinggalah mereka mula mesra dengannya.
"Alhamdulillah saya sekarang semakin ramai kawan di Shanghai dan jika mempunyai masa terluang kami akan menghabiskan aktiviti bersama-sama di taman tema dan mereka sangat baik dengan saya," katanya.
Pun begitu, Shila mengakui pernah berasa tertekan tinggal bersendirian di negara itu sehingga menyebabkan dia beberapa kali menangis selain bebanan kerja daripada pihak pengurusannya.
Shila bagaimanapun berkata, dia bersyukur apabila mempunyai seorang pembantu peribadi yang menjadi tempat dia meluahkan perasaan setiap kali mempunyai masalah kerja atau rindukan keluarga di Malaysia.
"Beberapa kali saya menangis kerana tekanan kerja yang terlalu kuat daripada pihak pengurusan di sana tetapi apabila mengalirkan air mata saya jadi lega.
"Saya bertuah ada pembantu peribadi yang boleh saya kongsi masalah dan dia sentiasa menjadi pendengar setia," katanya.
Bagaimanapun kata Shila, tekanan itu tidak membuatkan dia berputus asa membina kerjaya di sana sebaliknya pengalaman itu membuatkan dia lebih tabah dalam mengharungi cabaran.
"Kejayaan itu tidak datang dengan mudah dan kita perlu berusaha keras. Saya tidak berputus asa cuma kadang kala berasa tertekan kerana berada jauh daripada keluarga," katanya.
Dalam perkembangan lain pihak pengurusannya telah memberikan Shila beberapa tugasan tertentu untuk dilaksanakan sebelum dia muncul dengan album sulungnya nanti.
Jelas Shila, selain perlu menurunkan berat badan, dia perlu belajar bahasa Mandarin dan lagu baharu untuk mengadakan persembahan yang telah diaturkan.
"Malah saya perlu belajar lagu opera berjudul Time to Say Goodbye untuk persembahan dan ia satu cabaran buat saya kerana tidak pernah cuba menyanyikan lagu genre berkenaan,” katanya yang bakal melancarkan album berbahasa Melayu kelima dalam masa terdekat dan album Mandarin pada bulan Ramadan nanti.

Najwa Latif Terima Biasiswa Dilantik Duta UNITAR

Najwa Latif
PETALING JAYA: Penyanyi lagu Cinta Muka Buku iaitu Najwa Latif menafikan dia menerima sejumlah bayaran daripada Universiti Antarabangsa UNITAR ekoran pelantikannya sebagai duta universiti berkenaan.
Najwa, 18, sebaliknya berkata, pelantikan itu hanya membolehkan dia menerima tajaan biasiswa penuh daripada universiti berkenaan untuknya melanjutkan pengajian peringkat asasi dalam bidang Pengurusan selama setahun.
"Saya tidak menerima sebarang bayaran untuk pelantikan saya sebagai duta UNITAR sebaliknya hanya menerima tajaan biasiswa penuh daripada pihak universiti bagi melanjutkan pelajaran," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Najwa bakal memulakan pengajiannya di universiti berkenaan pada Isnin depan di Bandar Sunway di sini.
Dalam perkembangan sama, Najwa berkata, sebelum dipilih menjadi duta universiti tersebut dia memang ingin melanjutkan pelajaran di UNITAR dan menganggap pelantikannya itu sebagai satu rezeki.
Mengakui bakal menggalas tanggungjawab besar, Najwa bersedia untuk membantu pihak universiti mempromosikan jenama UNITAR di kalangan remaja sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran.
"Alhamdulillah ia adalah rezeki untuk saya dan tanggungjawab ini besar dan saya akan pastikan kepercayaan diberikan itu akan dilaksanakan dengan baik.
"Bagaimanapun buat masa ini masih belum ada apa-apa perancangan daripada pihak universiti dan mungkin ia akan bermula selepas pengajian bermula minggu hadapan," jelasnya.
Dalam pada itu, Najwa berkata, dia memilih bidang Pengurusan pada peringkat asasi kerana tertarik dengan beberapa subjek Bahasa Inggeris yang ditawarkan dalam kursus tersebut.
Jelas Najwa, selepas tamat kursus asasi, dia mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan subjek dalam kursus pengurusan memudahkan dia membuat permohonan itu nanti.
"Walaupun bidang asasi yang saya pilih tiada kena mengena dengan cita-cita asal tetapi tidak mengapa. Selain dapat meluaskan ilmu pengetahuan ia juga memudahkan saya untuk membuat permohonan kursus TESL selepas tamat kursus asasi ini nanti," katanya.
Sementara itu, Najwa berkata, dia teruja untuk memulakan sesi pembelajaran bermula Isnin ini dan berharap semuanya akan berjalan dengan lancar.
Dalam perkembangan lain, Najwa baru sahaja melancarkan single berjudul I Love Youdan sedang sibuk dengan aktiviti promosi lagu berkenaan.
"Alhamdulillah lagu itu telah mendapat tontonan sebanyak 200,000 di laman YouTube sejak dua minggu lalu dan Insya-Allah saya kini sibuk dengan pelbagai aktiviti promosi dan bertemu peminat,"jelasnya.
Tambah Najwa, dia tidak merancang untuk memperlahankan aktiviti seninya selepas memulakan pengajian sebaliknya yakin dapat membahagikan masa dengan baik di antara pelajaran dan nyanyian.
"Paling penting kena bijak menguruskan jadual supaya kerjaya dan pengajian tidak bercanggah dan saya yakin ia tidak akan menjadi masalah," ujarnya.

Lady Gaga Larang Cher Lancar Lagu Duet Mereka

Lady Gaga dengan fesyen peliknya
ARTIS berimej pelik iaitu Lady Gaga melarang penyanyi Cher melancarkan lagu duet terbaharu mereka walaupun ia telah lama dirakam.
Contactmusic.com melaporkan Cher tidak pasti punca sebenar Gaga berbuat demikian tetapi ia mungkin kerana penyanyi itu tidak menyukai hasil terakhir lagu tersebut.
Gaga menyumbangkan lagu berjudul The Greatest Thing yang ditulisnya kepada Cher, 67, untuk album terbaharunya yang dijangka berada di pasaran awal tahun hadapan.
Cher turut mengakui kecewa dengan tindakan Gaga itu kerana ia adalah sebuah lagu yang baik dan yakin dapat diterima peminat mereka.

Tuesday, June 11, 2013

Scha Al Yahya Latih Diri Agar Lebih Disiplin

Scha
KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al Yahya menyifatkan individu yang mempunyai disiplin kerja yang baik mampu memberikan kejayaan tidak kiralah apa sahaja bidang yang diceburi.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia turut melatih dirinya agar sentiasa berdisiplin dalam setiap kerja yang dilakukan agar prestasi seninya sentiasa berada dalam keadaan baik.
"Dari dahulu lagi saya pastikan saya menjadi seorang yang berdisiplin dengan setiap kerja yang diberi.
"Menjadi lumrah ada kalanya kita terlewat datang ke set penggambaran. Tetapi ada caranya untuk kita ambil hati pengarah semula, iaitu pastikan skrip semua dah hafal dan kita berikan kerjasama yang terbaik dalam lakonan," katanya.
Tambah Scha yang juga mula berjinak-jinak sebagai pengacara, sikap itu juga pada masa sama dapat menyenangkan pihak lain dalam melunaskan kerja masing-masing.
Sementara itu, pengacara program hiburan Muzik-Muzik (TV3) itu berkata, dia mula berasa seronok mengacarakan program tersebut walaupun masih lagi merasakan belum cukup ilmu di bidang tersebut.
"Bidang pengacaraan masih lagi baru buat saya tetapi saya sukakannya kerana ia disifatkan lebih santai dan otak perlu sentiasa ligat berfikir apa yang perlu diperkatakan terutamanya bagi program berbentuk siaran langsung.
"Seperti di Muzik-Muzik, saya bersyukur mempunyai gandingan yang hebat iaitu AG. Dia banyak mengajar saya teknik-teknik pernafasan serta bahasa-bahasa yang sesuai untuk digunakan ketika mengacara.
"Apa-apa pun banyak lagi benda yang perlu saya pelajari. setakat mengacara beberapa buah program, itu belum cukup untuk saya asah bakat di bidang ini," tuturnya.
Sebelum ini Scha pernah mengacara program Sehati Berdansa (Astro Ria) dan terbaharu, isteri kepada pelakon Awal Ashaari ini akan digandingkan bersama Datuk AC Mizal mengendalikan acara Anugerah Blokbuster yang akan disiarkan secara langsung pada Sabtu ini.
Acara itu akan diadakan di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru), Johor pukul 9.00 malam.
Penonton juga dapat menyaksikannya menerusi saluran Astro Ria.

Ahmad Idham Tegur Pawagam Tayang Filem Waktu Maghrib

Ahmad Idham
PETALING JAYA: Penerbit filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri kecewa dengan sikap pemilik pawagam di negara ini yang tidak sensitif apabila menayangkan filem-filem tempatan pada waktu Maghrib.
Ahmad Idham berkata, keadaan itu turut berlaku terhadap filem terbitannya iaitu Lari di mana terdapat beberapa pawagam menayangkan filem itu pada pukul 7 malam sehingga menimbulkan kemarahan segelintir pihak.
"Isu ini sebenarnya sudah lama berlaku dan saya mahu bercakap tentang perkara ini apabila sudah tidak tahan disindir dan ada kalanya dimaki oleh peminat-peminat seolah-olah saya tidak menghormati waktu Maghrib.
"Sedangkan penetapan waktu tayangan bukan ditetapkan oleh saya, tetapi oleh pihak pawagam itu sendiri.
"Bukan filem saya sahaja yang menjadi mangsa keadaan, sebaliknya juga filem-filem tempatan lain,” katanya.
Terdahulu Ahmad Idham pada Isnin telah meluahkan rasa tidak puas hatinya menerusi laman sosial Twitter dengan mengatakan dia tidak faham kenapakah pihak pawagam meletakkan masa tayangan filem-filem Tempatan pada pukul 7 petang, waktu di mana umat Islam menunaikan solat Maghrib.
Tambah penerbit syarikat produksi Excellent Pictures itu lagi keadaan berkenaan membuatkan seolah-olah pihak pawagam seperti tidak menghormati umat Islam.
"Saya rasa bukankah lebih elok kalau tayangan filem Melayu diakhiri pada pukul 6 petang dan kemudian disambung semula pada pukul 8 atau 8.30 malam memandangkan tempoh masa solat Maghrib begitu singkat,” katanya.
Dalam pada itu Ahmad Idham turut menegur Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kerana tidak mengambil berat hal berkenaan selain meminta pihak berkenaan agar mengkaji semula isu masa tayangan filem-filem tempatan di bawah Syarat Wajib Tayang.
Katanya, jika langkah itu tidak diambil, ia akan menjejaskan kutipan filem-filem tempatan kerana waktu tayangan itu benar-benar tidak bersesuaian.
"Ia sedikit sebanyak menjejaskan industri filem tempatan tanpa sedar memandangkan penonton Melayu tidak akan menyaksikan filem pada waktu tersebut. Banyak lagi filem-filem lain yang boleh ditayangkan pada masa itu," tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Finas, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengkaji semula hal tersebut.
"Saya pun tidak pasti tentang perkara itu. Lagipun benda ini bukannya baru. Saya kena kaji dahulu dan kemudian mengumpulkan pihak-pihak yang berkaitan untuk berbincang.
"Nak cakap panjang pun susah kerana perkara ini perlu diteliti dahulu," ujarnya ringkas.

Razali Hussain Sahkan Nikah Guru

Razali dan Nik Nor Azlina
PETALING JAYA: Pelakon Razali Hussain mengesahkan dia selamat bernikah dengan seorang wanita bernama Nik Nor Azlina, 29, pada Jumaat lalu di Masjid Az-Zubair Ibnu Awwam, Cheras dekat sini.
Razali, 37, berkata, dengan sekali lafaz, dia sah bergelar suami kepada seorang guru dengan mas kahwin berjumlah RM120 manakala wang hantaran pula sebanyak RM13,000.
"Benar saya sudah bernikah dengan seorang wanita yang sudah saya kenali tiga tahun lalu.
"Majlis resepsi pula telah berlangsung pada Sabtu lalu di Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa.
Tambah Razali, majlis persandingan pihak lelaki pula akan diadakan di Pulau Pinang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Dalam pada itu, Razali berharap agar mana-mana pihak yang tidak dijemput ke majlis pernikahan itu agar tidak berkecil hati memandangkan keluarga kedua-dua belah pihak inginkan sebuah majlis yang sederhana dengan kehadiran saudara-mara sahaja.
"Bukan saya mahu rahsiakan perkara baik ini. Cuma tidak mahu heboh-hebohkan. Tetapi kalau orang tanya, saya akan mengaku yang saya sudah berkahwin.
"Tambah pula majlis ini berlangsung di sebelah pihak perempuan. Yang hadir pada hari itu pun hanya teman-teman rapat yang menyertai program Audition dahulu dan penyanyi Farhan. Itu sahaja," jelasnya.
Ditanya apakah perasaannya selepas bergelar suami, Razali berkata, dia bersyukur kerana akhirnya menemui jodoh pada usia yang agak lewat, namun dia gembira dipertemukan dengan seorang isteri yang cukup memahami.
"Saya harap dengan usia kematangan ini saya dapat memikul tanggungjawab sebagai suami, Insya-Allah," tuturnya.

Ku Hariz Takut Gagal Sebagai Pelakon

Ku Hariz
PELAKON baru, Ku Hariz yang juga bekas peserta program Pilih Kasih musim kedua berharap sebagai orang baru dia berharap pihak industri memberikan ruang kepadanya membuktikan bakat dan kemampuan di sebalik kekurangan pakej fizikal yang dimiliki.
“Sebelum ini, saya pernah dapat satu tawaran filem tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir kerana saiz fizikal.
“Beberapa pelakon bertubuh kecil dan rendah seperti Zahiril Adzim dan Rusdi Ramli atau di luar negara Tom Cruise boleh berjaya dan diterima.
“Maka, tidak mustahil saya juga boleh berjaya cuma saya memerlukan peluang daripada industri,” luahnya.
Mengakui faktor fizikal yang rendah, kecil dan berwajah ‘jambu’ memaksa dia membela misai agar kelihatan lebih dewasa seiring usianya yang mencecah 27 tahun.
Ku Hariz atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli berkata, dia terpaksa mengambil inisiatif itu bagi meyakinkan para penerbit dan pengarah yang sering menawarkan watak remaja kepadanya sejak bergelar pelakon kira-kira dua tahun lalu.
Mari kita ikuti kisah menarik pelakon yang sedang menyulam cinta dengan Jihan (Raja Lawak) ini.
APAKAH YANG ADA DALAM BENAK FIKIRAN ANDA SEKARANG?
Macam mana hendak beraksi untuk sesi fotografi supaya nampak lebih baik.
SIAPA MANUSIA YANG PALING ANDA KAGUMI?
Kumpulan KRU.
APAKAH YANG PALING ANDA TAKUTI?
Gagal dalam bidang seni.
APAKAH SIFAT-SIFAT YANG PALING MENONJOL DALAM DIRI ANDA?
Tidak pasti tetapi saya suka bersaing.
APAKAH SIFAT-SIFAT YANG ANDA TIDAK SUKAI PADA ORANG LAIN?
Terlalu mudah menilai orang lain.
PERKARA PALING HEBAT YANG PERNAH ANDA LAKUKAN?
Hilang berat badan sebanyak 18 kilogram.
PERNAHKAH ANDA MEMBENCI SESIAPA?
Tidak.
PERNAHKAH ANDA DIBENCI? OLEH SIAPA?
Tidak.
BAKAT APAKAH YANG PALING ANDA INGINI?
Berjaya memberi impak dalam bidang seni.
JIKA ANDA DAPAT MENUKAR SATU PERKARA TENTANG DIRI ANDA, APAKAH YANG AKAN ANDA TUKAR?
Terlibat dalam bidang lakonan lebih awal.
APAKAH PENCAPAIAN ANDA YANG PALING BESAR?
Tercalon dalam Anugerah Skrin 2012.
PADA SITUASI BAGAIMANAKAH ANDA MENGANGGAP DIRI ANDA GAGAL?
Kerja yang saya lakukan tidak dihargai.
KERJA YANG PALING HEBAT YANG PERNAH ANDA LAKUKAN?
Berlakon.
PERKARA YANG PALING ANDA HARGAI DARIPADA SEORANG KAWAN?
Kejujuran dan orang yang berpandangan jauh.
SIAPAKAH PENULIS KEGEMARAN ANDA?
Guru saya.
SIAPAKAH HERO FIKSYEN ANDA?
Heith Ledger.
BAGAIMANAKAH ANDA MAHU DIINGATI/ DIKENANG?
Diingati tentang kerjaya saya.
MOTTO KEHIDUPAN ANDA?
Make Believe!

Friday, March 29, 2013

Siti Nurhaliza Bertudung 2013


Sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza sudah acap kali dikritik ramai terhadap penampilan bertudungnya yang kelihatan belum sempurna memandangkan tidak menutup keseluruhan mahkota berharga miliknya itu.
Namun begitu, penyanyi yang dilahirkan di Temerloh, Pahang itu telah membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk bertudung penuh pada tahun ini.
Ternyata transformasi yang dilakukan oleh Siti itu disambut positif oleh para peminat, cuma terdapat segelintir pihak yang seolah-olah cuba mempertikaikan keputusan yang dibuatnya itu.
Antaranya, dia dikatakan mahu bertudung penuh setelah tragedi yang menimpa suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu.
Berkesempatan menemui Siti semasa sesi percutian bersama pengguna SimplySiti ke sebuah taman tema di Johor kelmarin, penyanyi itu menegaskan keputusan yang dibuatnya itu adalah atas kerelaan sendiri.
"Memang ada yang beranggapan bahawa keputusan saya ini berpunca daripada tragedi yang melanda suami, tetapi saya ingin nyatakan bahawa ia langsung tidak berkaitan.
"Hasrat bertudung memang sudah lama saya pendam sejak mengerjakan ibadah haji pada tahun 2008. Cuma saya lakukan secara berperingkat-peringkat dan akhirnya keputusan bertudung penuh dibuat ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 11 Januari lalu," jelasnya.
Menurut Siti, dengan penampilan baharunya itu dia merasakan ia bukanlah satu masalah yang besar untuk beraksi di pentas dan turut gembira kerana peminat telah memberikan sokongan yang pada terhadap dirinya.
"Apabila semakin menginjak usia, saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat perubahan ini. Selain itu, saya anggap semua yang berlaku ini merupakan doa daripada para peminat yang sentiasa menyokong saya," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai ikon wanita bertudung yang menjadi pilihan dirinya, Siti menyatakan, dia cukup minat dan tertarik dengan gaya muslimah yang ditampilkan oleh Hana Tajima.
Menurut Siti, dia menjadikan Hana sebagai salah satu contoh untuk imej bertudungnya sekarang ini memandangkan gadis itu dilihat pandai berfesyen, meskipun memakai tudung.
"Setiap wanita yang bertudung tidak semestinya sukar untuk bergaya dan itu yang ditonjolkan oleh Hana Tajima. Saya akui telah menjadikan dia sebagai panduan terutamanya mencari idea tentang cara pemakaian tudung," ujarnya.
Berkenaan dengan penerimaan Datuk K terhadap perubahan penampilan yang dilakukannya itu, Siti menyatakan suaminya merupakan individu yang paling gembira.
"Suami saya begitu memahami kemahuan saya dan dia yang banyak memberikan sokongan kepada saya. Apa yang menariknya, sesekali dia juga pernah memberikan idea kepada saya untuk memilih tudung yang sesuai," jelasnya.

Adibah Noor tak cukup tidur Sejak Jadi DJ Radio

Adibah Noor dan Halim Othman

PETALING JAYA: Penyanyi Adibah Noor mengakui masa tidurnya terlalu pendek sehingga ada kalanya hanya sempat tidur selama satu jam sejak menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Suria FM.
Adibah, 42, yang bergandingan dengan Halim Othman menerusi Slot Ceria Pagi @ Suria berkata, kekurangan waktu tidurnya itu disebabkan oleh kesibukan kerja-kerja lain seperti menyanyi dan mengacara namun bersyukur, perkara itu bukanlah satu bebanan untuknya mengendalikan konti radio berkenaan.
"Sudah dua bulan saya menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Suria FM dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun mempunyai tugasan lain di luar.
"Dan kerana itu saya akan memastikan semua kerja-kerja luar diselesaikan sebelum pukul 12 tengah malam agar mendapat rehat secukupnya sebelum ke udara pada pukul 5 pagi.
"Pernah beberapa kali juga, kerana kepenatan saya hanya tidur sejam dan ada masa juga tak tidur langsung, takut terlajak pula," selorohnya.
Adibah ditemui di Menara Star bersama-sama dengan Halim Othman dan Linda Onn yang hadir melawat wartawan-wartawan hiburan akhbar The Star dan mStar Online bersempena dengan penjenamaan semula logo Suria FM.
Tambah Adibah, walaupun kurang tidur, dia mengamalkan minum kopi dan pengambilan vitamin C agar kelihatan segar dan sentiasa cergas.
"Selain itu susunan jadual juga memainkan peranan yang sangat penting agar mempunyai ruang masa membuat persiapan memilih topik-topik bersesuaian buat para pendengar sebelum keudara," katanya.
Penjenamaan semula logo Suria FM dibuat menunjukkan kematangan stesen itu sekaligus mengembangkan lagi golongan pendengar 'urban' yang berusia 25 hingga 39 tahun.
"Suria FM sudah pun berusia enam tahun dan kami ingin mengembangkan pendengar kami dimana fokusnya lebih ke arah golongan urban dan korporat. Sebab itu jika melihat logo baru kami, ia nampak matang.
"Bagaimanapun, putaran lagu lama dan baru masih lagi dimainkan seperti biasa,"tuturnya