Wednesday, December 26, 2012

Siti Nurhaliza Jadi Pengacara 'Game Show' Pula

Datuk Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan program bual bicara berjudul Siti, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza mengembangkan bakatnya dalam mengacara program berbentuk permainan (gameshow) pula iaitu Siti Ooo...Som.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Taruddin, 32, berkata, percubaan kali kedua sebagai pengacara tetap memberikan cabaran yang tersendiri namun masih lagi terkawal memandangkan konsepnya lebih santai, berbeza dengan Siti, dimana ia sebuah program yang serius.
"Dah lama sebenarnya saya ingin mengacara program gameshow seperti ini kerana saya sukakan aktiviti riadah.
"Alhamdulillah, satu lagi impian saya mengendalikan program berbentuk gameshow berjaya dilaksanakan," katanya.
Tambah Siti, menarik lagi tentang Siti Ooo...Som, dia tidak perlu membuat persembahan dalam program tersebut, dan lebih memberikan fokus mengacara bersama dengan dua selebriti hebat, Nabil Ahmad dan Sharifah Shahira (Shira).
"Alhamdulillah, Nabil dan Shira banyak membantu saya menjadi lebih santai dalam program ini.
"Lebih seronok lagi, apabila melihat gelagat para artis serta peserta-peserta lain dikenakan dengan permainan yang setengahnya dicipta sendiri oleh saya.
"Bagaimanapunm, permainannya tidaklah terlalu berat kerana ia lebih kepada konsep keseronokan bekerjasama dalam sebuah kumpulan," ujarnya.
Siti Ooo...Som yang diterbitkan sebanyak 13 episod oleh Global Station Sdn Bhd ini melibatkan seramai enam orang dibahagikan kepada dua buah kumpulan.
Para peserta perlu melalui cabaran permainan yang dibahagikan kepada enam segmen iaitu Sepantas Kilat, Riuh Rendah, Siapa Hebat, Kebaboom, Siti Cabar dan Huru Hara.
Program ini bakal ditayangkan pada Januari tahu depan.

Rihanna Labur RM4.2 Juta Beli Peralatan Hospital


PENYANYI Rihanna telah menyumbangkan tiga jenis peralatan perubatan yang bernilai USD1.74 juta (RM4.2 juta) kepada tempat kelahirannya di Hospital Queen Elizabeth, Barbados.
Sumbangan itu dibuat menerusi Yayasan Clara Lionel, bersempena dengan memori terhadap nenek penyanyi itu, Dolly yang meninggal dunia pada Jun lalu akibat penyakit kanser.
"Ini adalah cara saya membalas jasa penduduk Barbados yang banyak menyokong saya dengan menderma sesuatu yang boleh memanfaatkan kepada semua.
"Saya percaya ia (sumbangan) dapat memberikan impak yang luar biasa kepada masyarakat Barbados. Ia dapat membantu menyelamatkan nyawa mereka," katanya kepada laman portal Newkerala.
Ketika nenek penyanyi berusia 24 tahun itu sakit tenat, dia sering memuat turun foto-fotonya di hospital berkenaan.

Mila Kunis & Tom Daley Selebriti Paling Seksi 2012



AKTRES Mila Kunis dan perenang Tom Daley meraih gelaran selebriti paling seksi 2012 oleh laman portal Digital Spy.
Kedua-dua mereka mendapat undian tertinggi daripada lebih kurang 25 ribu pengunjung laman web tersebut.
Atlit daripada negara England itu berjaya mendapat undian sebanyak 12.8 peratus (%) sekaligus mengalahkan aktor Channing Tatum yang begitu menghampirinya dengan undian 12%.
Mila pula meraih 18% undian sebagai wanita terseksi dan saingan terdekatnya pula ialah personaliti TV, Holly Willoughby yang mendapat tempat kedua iaitu 14.2%.
Pada tahun ini, nama kekasih kepada Ashton Kutcher itu sememangnya meletup dengan pelbagai cerita-cerita panas disamping lakonannya yang seksi menerusi filem Ted.
Berikut adalah senarai selebriti paling seksi untuk tahun ini.
Lelaki Paling Seksi
1. Tom Daley - 12.8%
2. Channing Tatum - 12%
3. Ryan Gosling - 11.2%
4. Daniel Craig - 11.2%
5. Johnny Depp - 10.5%
Wanita Paling Seksi
1. Mila Kunis - 18.4%
2. Holly Willoughby - 14.2%
3. Nicole Scherzinger - 13.5%
4. Cheryl Cole - 13.4%
5. Scarlett Johansson - 11.1%

Thursday, December 20, 2012

Keluarga Kesal Pelakon Fazurina Kahwin Lari

Siti Fazurina agak seksi

PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri Trilogi Cinta, Siti Fazurina dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Haikal, 30-an tanpa pengetahuan keluarganya.
Sumber terdekat keluarganya mendedahkan, Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir, 30, pernikahan tersebut berlangsung di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada kira-kira pukul 3.30 petang Khamis berwalikan bapa saudaranya.
"Fazurina langsung tidak memaklumkan mengenai perkahwinan tersebut kepada keluarganya malah telah menghilangkan diri selama sebulan tanpa khabar berita.
"Kami sangat terkejut dan kecewa dengan tindakannya yang membelakangkan keluarga terutama ibunya," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, pihak keluarga perempuan ada menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu yang menjadi saksi pernikahan bagi memaklumkan majlis berkenaan.
Malah dalam SMS tersebut, individu itu meminta supaya ibu Fazurina bersabar dan reda dengan perkahwinan yang dilakukan secara sembunyi tanpa pengetahuan keluarga itu.
"Jika benar mereka ingin berkahwin mengapa tidak berjumpa dengan ibunya untuk meminta restu.
"Ibunya sangat kecewa dengan tindakan Fazurina bernikah tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.
"Malah pihak kami tidak mengenali dan berjumpa keluarga pihak lelaki," ujarnya.
Sementara itu, usaha mStar Online untuk menghubungi Fazurina bagi mendapatkan penjelasan gagal kerana dia mungkin masih mahu merahsiakan majlis itu.

Acong (Sweet Child) Nikah Peminat Selepas 14 Tahun Terpisah


PETALING JAYA: Isteri kepada Acong (Sweet Child) iaitu Marya Zuraida tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan penyanyi dan pelakon itu apabila mereka selamat diijabkabulkan pada Sabtu lalu selepas hampir 14 tahun terpisah.
Marya atau nama sebenarnya Siti Zuraida Zahari, 31, berkata, dia yang mengenali Acong kira-kira 14 tahun lalu ketika penyanyi itu terlibat dalam sesi promosi album kumpulan Sweet Child di Kuantan, Pahang kembali rapat menerusi laman sosial Facebook pada 2010.
Marya berkata, pintu hatinya terbuka untuk berumah tangga semula selepas lima tahun bergelar ibu tunggal kerana dia terpikat dengan sikap Acong yang kuat bekerja dan menerima anak perempuannya Qistina Yasmin yang berusia enam tahun.
“Kami kenal ketika saya berusia 17 tahun pada 1998 di Kuantan, Pahang. Pada waktu itu, saya dan rakan-rakan membantu Acong dan kumpulan Sweet Child menjual album ketika mereka mengadakan promosi di sana.
“Bagaimanapun, kami hanya kawan biasa ketika itu dan tidak lagi berjumpa. Kami bertemu semula pada dua tahun lalu menerusi Facebook.
“Pada peringkat awal perkenalan kami, saya tidak terfikir ia akan jadi serius sehinggalah Acong meluahkan hasrat untuk memperisterikan saya pada Disember tahun lalu,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Isnin.
Pasangan itu diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan pada Sabtu lalu, kira-kira pukul 11 pagi di Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah dengan sekali lafaz.
Acong menghantar tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan sementara mas kahwin pula sebanyak RM2,000.
Bagaimanapun, kedua-dua mempelai enggan mendedahkan jumlah wang hantaran.
Majlis pernikahan di kampung halaman Marya yang juga seorang pelakon tambahan dan krew produksi itu mendapat tajaan Azie De’ Touch dan dihadiri lebih 400 tetamu.
Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manan, 39, pula berkata, hatinya terbuka untuk berumah tangga selepas 10 tahun menduda selepas melihat ramai kenalan rapatnya memiliki keluarga sendiri.
Ujarnya, selepas mengenali hati budi Marya kira-kira dua tahun lalu, dia mengambil keputusan tersebut kerana keserasian dan sikap memahami di antara satu sama lain.
“Saya ambil keputusan untuk berkahwin kerana keinginan untuk berumah tangga semakin memuncak apabila melihat rakan-rakan saya sedang bahagia dengan anak-anak dan keluarga mereka sedangkan saya masih hidup seorang selepas 10 tahun menduda.
“Sejak mengenali Marya, saya berasa selesa dengannya kerana kami berkongsi banyak persamaan dan dia memahami serta menyokong kerjaya saya,” katanya yang teruja kerana mendapat ‘anak ekspres’ daripada perkahwinan itu.
Pasangan ini bakal mengadakan majlis resepsi kedua di sebelah pihak lelaki pada 24 Disember ini di Pusat Komuniti Bukit Damansara dekat sini.
Majlis resepsi ketiga bagi meraikan rakan-rakan industri dan media akan diadakan pada 3 Januari 2013 di Shah Alam.
Mereka dijangka terbang berbulan madu ke Beijing, China pada 1 hingga 6 Februari 2013.
* Foto-foto dalam artikel ini adalah ihsan Kamarul Bahrin Ismail.


Botoks Bukan Amalan Datuk Shake Untuk Awet Muda

Datuk Shake

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk Shake berkata disiplin yang tinggi dan penjagaan pemakanan seimbang merupakan rahsia penampilan awet mudanya selama ini.
Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh, 62, berkata, sejak dulu lagi dia mengamalkan kedua-dua aspek itu dan tidak percaya terhadap suntikan botoks atau pembedahan plastik.
"Kalau orang lain nak buat biarlah itu hak mereka tetapi saya tidak percaya kepada botoks atau pembedahan plastik (untuk kekal muda).
"Dari dulu, saya tekankan disiplin kepada senaman dan pemakanan. Biasanya selepas solat Subuh saya akan bersenam dan kawal makanan yang saya ambil.
"Alhamdulillah, saya masih kuat dan berstamina pada usia begini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album bahasa Malaysia terbaharunya Chameleon di Hard Rock Cafe di sini, petang Khamis.
Mengenai kemunculan semula di persada muzik tanah air, penyanyi yang mencipta nama di Perancis itu berkata, 2013 adalah waktu terbaik untuk meraikan peminat yang merinduinya.
"Sudah banyak permintaan di kalangan peminat di sini yang mahu saya kembali. Kemunculan album Chameleon adalah untuk mereka.
"Selain album ini, saya bercadang untuk adakan konsert jelajah di seluruh negara pada tahun hadapan jika ada penajaan. Saya mahu adakan konsert terbuka untuk rakyat," jelasnya.
Ditanya mengenai keberaniannya mengetengahkan konsep elektro dan “urban” dalam album itu, Shake berkata, ia perlu dilakukan bagi menawarkan elemen segar dalam muziknya.
"Kalau di luar ramai sahaja penyanyi lama seperti Rolling Stones dan Stevie Wonder berani menghasilkan muzik kontemporari, mengapa tidak saya mencuba?
"Muzik tiada sempadan usia. Kalau budak-budak (penyanyi baru) tak nak buat, biar saya buat mana tahu mereka akan ikut nanti," kongsi datuk kepada lima cucu ini.
Album yang memuatkan 12 lagu antaranya Material, Berpusing, Kembalilah, Topeng, Mengapa dan Oh Kasihku itu kini dipasarkan secara digital menerusi www.dreammusic.com.my.

Shah Iskandar suka Rozita Che Wan


Sejak bergelar artis, pelakon cantik Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, 38, sudah acap kali dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa orang lelaki, kebanyakannya yang lebih muda berbanding usianya.
Terkini, dia dikatakan sedang menjalin hubungan mesra dengan seorang pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz.
Menariknya, gara-gara gosip tersebut, timbul pula cerita yang mengatakan timbul perselisihan faham antara Iskandar dengan pelakon Zain Saidin, 28, yang sebelum ini merupakan antara individu yang rapat dengan Che Ta sehingga mereka sering digosip mempunyai hubungan istimewa.
Namun begitu, Shah, 29, yang ditemui pada acara Viewing Party perlawanan Piala Suzuki AFF 2012 antara Malaysia dan Thailand anjuran TV3 yang diadakan di Rasta, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini, mempunyai jawapan tersendiri tentang gosip tersebut.
Sementelah, dia mengakui pernah mempunyai hubungan dengan wanita yang lebih berusia berbanding dengan dirinya.
Kosmo!: Bagaimanakah boleh timbul cerita yang mengatakan Shah bercinta dengan Che Ta?
SHAH ISKANDAR: Cerita sebegini boleh timbul kerana kami sering berlakon di bawah produksi yang sama iaitu Zeel Production. Sehingga kini kami sudah berlakon tiga kali berturut-turut bersama iaitu menerusi drama Kiah SpyAnak Ikan dan Kiah Ke Jepun.
Jadi, benarkah dakwaan yang mengatakan kamu berdua bercinta?
Sudah tentu ia tidak benar kerana hubungan rapat kami hanya di lokasi penggambaran.
Saya rasa cerita ini timbul apabila ada pihak yang salah anggap terhadap kemesraan kami, tetapi pada hakikatnya hubungan kami tidak lebih daripada sekadar rakan sesama pelakon.
Lagipun buat masa sekarang saya belum terfikir lagi untuk bercinta dengan sesiapa kerana mahu memberikan tumpuan terhadap karier terlebih dulu.
Bagaimanakah pula hubungan Shah dengan Zain Saidin?
Setakat ini hubungan saya dan Zain juga tiada masalah dan kami tidak pernah berselisih faham apabila cerita ini timbul. Kami menganggap ia tidak lebih daripada sekadar gosip.
Adakah Che Ta memiliki kriteria yang menjadi idaman Shah?
Secara jujurnya saya akui Che Ta memang ada memiliki ciri-ciri tersebut, antaranya dia merupakan seorang wanita yang sangat periang, terutamanya apabila dia bercakap dalam loghat Kedah sehingga membuatkan saya terhibur semasa berada di lokasi.
Pada masa yang sama, saya juga melihat dia seorang wanita yang sangat tenang. Sebagai contohnya, apabila gosip mengenai dirinya mempunyai hubungan dengan seseorang, saya lihat dia tenang berhadapan dengan situasi tersebut dan tidak cepat melatah.
Apabila berbincang tentang gosip yang melanda kami berdua, dia sekadar ketawa dan enggan melayan cerita tersebut.
Adakah Shah mengelak untuk menjalinkan hubungan cinta atau bertemu jodoh dengan wanita yang lebih berusia?
Apabila bercakap tentang cinta dan jodoh, saya tidak kisah sama ada pasangan saya itu lebih muda atau berusia daripada saya.
Sebelum ini saya pernah bercinta dengan wanita yang lebih berusia semasa di Singapura dahulu.
Paling penting, dalam sesebuah perhubungan itu perlu ada persefahaman antara satu sama lain dan soal umur sepatutnya tidak perlu timbul.

Tim Hwang belajar bahasa Melayu

Tim Hwang

JIKA disebut Tim Hwang pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan orangnya. Namun, buat mereka yang menonton drama Korea seperti Secret Garden49 DaysQueen of Reversal dan A Thousand Kisses pasti mereka cukup kenal dengan suara Tim yang menyanyikan lagu runut bunyi kesemua drama tersebut.
Figura yang lebih mesra disapa sebagai Tim ini sememangnya cukup terkenal dengan irama balada sehingga dia diberi jolokan Prince of Ballad di Korea Selatan lantaran gemersik vokalnya yang memukau.
Kosmo! yang berkesempatan bertemu dengan jejaka kelahiran Philadelphia, Amerika Syarikat itu pada sidang akhbar sempena siri jelajah Asia pertamanya, Into Asia Comes Tim's World, di Kuala Lumpur baru-baru ini cukup terpukau dengan kemesraan serta gaya santainya.
Memudahkan lagi komunikasi, tidak seperti penyanyi Korea yang lain, Tim atau nama sebenarnya Hwang Young-min cukup fasih berbahasa Inggeris.
Cukup gembira kerana menerima sambutan hangat daripada peminatnya di Malaysia, ujar Tim, ia bukan kunjungan pertamanya kerana sebelum ini Tim pernah bercuti di sini.
Menyambung bicara mengenai kerjayanya, terang Tim yang berusia 31 tahun, sebelum ini dia tidak pernah membayangkan kerjaya sebagai penyanyi kerana cita-citanya sebelum ini adalah untuk menjadi ahli farmasi sebelum ditawarkan menjadi penyanyi ketika usianya 20 tahun.
"Cita-cita saya waktu itu untuk menjadi ahli farmasi dan tawaran menjadi penyanyi tiba kebetulan pada saat saya baru hendak memulakan pelajaran di kolej.
"Hanya sempat tinggal di kolej selama sehari, saya terus membuatkan keputusan untuk terbang ke Korea Selatan," ujarnya.
Sudah memiliki lima buah album sepanjang penglibatannya dalam bidang nyanyian, ujar Tim, pernah tercetus di hatinya untuk menolak tawaran nyanyian yang diberikan gara-gara kurang keyakinan diri.
"Saya sememangnya seorang yang takut akan perubahan. Apabila terpaksa tinggalkan keluarga, cita-cita dan tinggal seorang diri di Korea membuatkan saya tertanya-tanya betul atau tidak tindakan yang saya ambil.
"Jika jalan yang saya pilih ini salah bagaimana harus saya menghadapinya? Nasib baik, saya dikelilingi oleh pihak pengurusan yang amat menyokong dan keluarga saya juga tidak membantah. Jadi, saya teruskan dan akhirnya hari ini saya berada di Malaysia," luahnya.
Walaupun mempunyai vokal yang bagus namun, cabaran utama yang dihadapi oleh Tim ketika itu sebenarnya adalah untuk menguasai bahasa Korea dengan lancar sebelum melancarkan album sulungnya yang berjudul First Tim pada tahun 2003.
"Masalah terbesar saya sudah tentu bahasa. Saya lahir dan dibesarkan di Amerika Syarikat, jadi saya tidak tahu langsung untuk berkomunikasi dalam bahasa Korea.
"Saya mengambil masa selama dua tahun hanya untuk belajar bahasa Korea dan menyiapkan diri sebelum keluar dengan album.

"Selain itu saya juga menghadapi masalah kejutan budaya ketika mula-mula sampai di Korea. Dalam kalangan orang Asia termasuk warga Korea sendiri, pergaulan antara lelaki dan wanita agak terbatas tidak seperti di Barat.
"Saya sering disalah anggap gara-gara saya suka memeluk atau mencium orang lain hanya untuk mengekspresikan penghargaan dan kegembiraan saya. Sekarang saya sudah faham yang saya tidak boleh berbuat demikian sewenang-wenangnya," cerita Tim.
Indonesia
Sebelum hadir memperkenalkan dirinya di Malaysia, Tim sebenarnya sudah sukses membina populariti di Indonesia.
Buktinya, dia telah berjaya mengumpul ramai peminat di negara tersebut selepas muncul dalam drama siri berjudul Saranghae, I Love You di samping aktres popular Revalina S. Temat dan duet bersama penyanyi Astrid menerusi lagu Saranghamnida.
Bercakap mengenai lakonan, kata Tim, dia cukup bertuah apabila digandingkan dengan aktres popular Indonesia tersebut.
Drama itu turut membantu meningkatkan popularitinya di Indonesia sehingga konsert solo pertamanya di sana dihadiri 8,000 penonton.
"Saya bersyukur kerana diterima dengan baik di Indonesia. Saya bukanlah pelakon tetapi tawaran berlakon di samping Revalina itu datang tepat pada waktunya.
"Saya agak tertekan kerana diberikan watak utama tetapi semuanya berjalan dengan baik dan saya mudah memahami skrip kerana Revalina merupakan seorang 'guru' bahasa Inggeris dan penterjemah yang baik untuk saya," ungkapnya.
Selain menyanyi bersama Astrid, Tim juga telah muncul dengan sebuah lagu sepenuhnya dalam bahasa Melayu yang berjudul Pahitnya Asmara.
"Memang saya lebih senang berbahasa Inggeris tetapi saya juga boleh memahami dan bercakap sedikit dalam bahasa Melayu.
"Bagi saya, bahasa Melayu lebih mudah dipelajari berbanding bahasa Mandarin dan Korea kerana sebutannya sama seperti bahasa Inggeris.
"Bagi bahasa Mandarin dan Korea, saya harus menggunakan lidah dalam sebutan dan nada suara yang berbeza akan memberi maksud yang salah," katanya yang hanya mengambil masa selama sehari untuk merakamkan Pahitnya Asmara.
Mengenai kemungkinan untuk bekerjasama dengan penyanyi Malaysia pula, ujar Tim, dia bersedia untuk itu andai diberikan peluang.
"Saya teringin untuk bekerjasama dengan penyanyi dari Malaysia pada masa hadapan. Buat masa ini, belum ada sebarang perancangan ke arah itu memandangkan ini kunjungan pertama untuk bekerja dan bertemu peminat saya," akuinya.
Tidak hanya berlakon di Indonesia, Tim sedang sibuk dengan teater muzikal Legally Blonde sejak 20 November lalu. Dia berlakon di samping Jessica yang merupakan anggota kumpulan Girl's Generation.
"Kalau diberi pilihan antara nyanyian, lakonan dan teater saya pilih teater muzikal kerana saya boleh lakukan semua perkara yang saya minat dalam satu persembahan.
"Dalam teater muzikal saya boleh menyanyi dan dalam masa yang sama berlakon.
"Jessica juga seorang pelakon yang bagus. Sebelum ini saya tidak begitu mengenalinya, tetapi selepas berlakon bersama saya dapati Jessica seorang yang menarik," ujarnya.
Album baharu 2013
Tempoh 10 tahun dalam industri seni bukan satu tempoh yang singkat buat Tim. Pelbagai cabaran pernah dilaluinya. Pernah hilang sebentar dalam industri seni, kata Tim, kini dia bangkit untuk berkongsi muziknya bersama peminat.
"Jika saya hendak bercakap soal cabaran memang terlalu banyak. Saya pernah berada di puncak dan pernah juga hilang daripada industri seni dalam tempoh yang agak lama.
"Sekarang saya lebih fokus dan tahu apa yang saya inginkan dalam kerjaya dan kehidupan. Cita-cita saya yang belum tercapai adalah merakamkan album penuh dalam bahasa Inggeris dan mengadakan konsert di tempat kelahiran saya iaitu di Philadelphia, Amerika Syarikat.
"Mungkin suatu hari nanti saya akan mempromosikan muzik saya di sana, saya hanya perlu bekerja keras untuk laksanakan impian itu," luahnya.
Mulai tahun 2013, kata Tim, aktiviti kerjayanya akan difokuskan di peringkat antarabangsa dan melahirkan album dalam bahasa Inggeris selepas teater Legally Blonde yang akan tamat pementasannya pada Mac tahun hadapan.
"Pada tahun 2013, fokus akan diberikan kepada aktiviti serta peminat di luar negara. Saya juga akan menghasilkan lagu-lagu bahasa Inggeris. Saya sememangnya tidak sabar untuk menghadapi tahun 2013.
"Album baharu itu akan diterbitkan oleh saya sendiri seperti album-album sebelum ini dan dijangka siap pada tahun hadapan," ujarnya.

Sunday, December 9, 2012

Hidup solo Zee Avi

Zee Avi

JIKA mahu memuji Zee Avi, sehingga lusa pun tidak pernah selesai. Si manis kelahiran Miri, Sarawak bernama Izyan Alirahman itu mula memasuki industri muzik arus perdana melalui laman YouTube pada tahun 2007 namun populariti spontan itu tidak ke mana jika tidak kerana usaha kerasnya. Mungkin nama Kokokaina sedikit berbau Jepun tetapi itulah Zee Avi sebelum dirinya kini.
Anak sulung daripada dua adik-beradik ini mula menghirup udara asing sendiri pada usia 17 tahun apabila melanjutkan pelajaran di London, Britain. Kemudian dia beralih angin ke Amerika Syarikat (AS) untuk mengejar rezeki, menjadi penghibur dan pengkarya.
Itu langkah mula dia belajar hidup sendiri. Menguruskan diri dan kehidupan tanpa ada bimbingan fizikal daripada keluarga.
"Ibu menyokong keputusan saya tetapi dengan batasan. Katanya, jaga diri kerana saya sendiri di tempat orang. Pesan ibu, jangan lupakan rumah dan sentiasa ingat dari mana saya berasal. Keluarga saya berpandangan terbuka, mereka memberi saya kebebasan untuk menggali kehidupan," senyumnya yang mengerti tahap dalam kehidupan kini pada usia 27 tahun.
Semua jaringan hidup dan laluan itu disusun semula dalam nafas pengalaman. Dia pulang ke tanah air bulan lalu, lebih tepat lagi ke Sarawak untuk berkongsi segalanya. Terpilih menjadi jurucakap motivasi atas tugasan duta pelancongan negeri Sarawak, Zee Avi berbahagi rasa dan makna kehidupan kepada remaja di sana.
"Saya mahu menjadi semula jadi dan tidak terlampau memikirkan tentang gemuruh. Saya bercakap pada nada yang sesuai. Bercerita tentang sejarah Sarawak khasnya dan pengalaman saya kepada mereka," katanya saat ditanya soal gemuruh bercakap berbanding menyanyi di hadapan penonton.
Proses kreatif Zee Avi
Tambah Zee Avi, gemuruh itu bagus tetapi dia lebih gemuruh untuk membikin sebuah album dalam bahasa Melayu. Manakan tidak, bahasa Inggeris yang keluar daripada bibirnya memecut laju tetapi dia tetap menyimpan azam untuk menghasilkan album dalam bahasa ibunda. Namun ujar Zee Avi, hasrat ini terpaksa ditahan dulu sehingga selesai album ketiganya kelak.
"Arah tuju album ketiga saya masih belum muktamad. Masih kabur. Semuanya menggoda minda dan saya harus keluarkan," luahnya yang mahu memberi fokus lebih kepada bunyi yang berbeza.
Tambah Zee Avi, penghasilan lagu-lagu album terdahulu dilakukan di atas bot, di tengah laut di Florida. Selama dua minggu dia berada dalam atmosfera itu, menghasilkan lagu dan memancing.
"Saya perlu berada dalam zon sebegitu untuk menghasilkan karya. Saya mahu memberi mesej tentang apa yang saya lalui kepada khalayak. Hidup kita rasa lebih bermakna dan hebat apabila kita tahu ramai insan yang menyokong. Saya menulis tentang patah hati dan kesedihan tetapi di hujungnya saya memberitahu bahawa ia semua akan menjadi okey," senyumnya yang sedang bermesra dengan kehidupan.
Zee Avi yang dikenali dengan irama gitar ukulele itu sudah menghasilkan album Zee Avi (2009) dan Ghostbirds (2011) kini melalui empat fasa untuk sesebuah proses rakaman.
"Saya melalui fasa pengalaman, penulisan, membentuk dan merekod," jelasnya yang mengagumi R. Azmi dan Ahmad Jais.
"Lirik mereka jujur dan santai. Rasanya sangat bagus," tambahnya yang gemarkan lagu Nasib Penyanyi, Serba Salah dan Hitam Manis.
Kepulangannya ke tanah air buat seketika juga membuahkan satu kolaborasi yang cukup segar. Gandingan tiga nama iaitu Aizat dan Zee Avi dengan dibantu Anas Amdan dijangka bakal membuahkan single tidak lama lagi.
Riak wajah Zee Avi cukup ceria sewaktu bercerita tentang Aizat dan abangnya Anas. Jelas Zee Avi bertembung dengan sebuah pertemuan yang istimewa sepertinya hubungan kimia yang mengalir dan menyenangkan.
"Saya mendengar lagu Aizat iaitu Sungai Lui hingga menangis. Lagu itu indah. Untuk seseorang yang mendengar banyak muzik dan dengan kepelbagaian, saya katakan lagu itu cukup semula jadi. Mereka berdua juga baik dan ada magis. Dengan Anas, saya rasa ada keserasian yang baik. Kami selesa bekerjasama," senyumnya yang sudah bertemu buku dan ruas di Kuala Lumpur.
Kegemaran Zee Avi
Ketika ditanya berhubung senarai lagu kegemarannya kini, Zee Avi tersenyum sebelum mempamerkan iPodnya.
"Saya suka Annete Hanshaw. Saya juga meminati lagu-lagu disko seperti Earth, Wind and Fire. Begitu juga Euthiopia, juga Andrew Bird. Aizat Amdan pun saya minat," katanya sambil menekup ketawa.
Masuk ke dalam pengalaman hidup yang sudah terkandung 1001 warna dan tempat, Zee Avi gembira ketika ditanyakan perihal konsert dan hal-hal yang mendewasakannya.
"Saya masih teringat konsert saya di Singapura. Sewaktu lagu Kantoi disampaikan, saya tidak boleh dengar suara saya sendiri kerana penonton turut menyanyi bersama. Saya juga pernah membuat persembahan di Troubadour di mana Elton John dan Bob Dylan pernah beraksi di tempat yang sama.
"Saya juga menjadi pembuka konsert Jack Johnsson. Begitu juga terlibat dengan Liliath Fair 2010 bersama Tegan & Sara, Kelly Clarkson dan Sara Bareilles. Itu semua pengalaman yang sangat berharga," ulasnya namun mengakui tempat terbaik adalah di sisi ibunya.
Membanggakan juga untuk seorang penyanyi dan penulis lagu seperti Zee Avi apabila lagu-lagunya pernah dimasukkan dalam drama bersiri terkenal Private Practice, Parenthood dan Gossip Girl.
Untuk Zee Avi, ini semua berjalan atas restu dan doa keluarganya. Luahannya di hujung temuramah, dia mengaku satu perkara yang mungkin ramai orang tidak tahu tentang dirinya adalah dia merupakan warganegara Malaysia dan anak kelahiran Miri, Sarawak.
"Ada yang bertanyakan adakah saya menyanyikan lagu Siboh Kitak Nangis untuk membuktikan saya orang Sarawak. Aneh kerana tiada apa yang perlu dibuktikan. Saya bangga menjadi orang Malaysia. Pulang ke Kuala Lumpur, laksa sarawak yang pertama saya cari. Saya makan ulam dan minum jamu," senyumnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2EZNQzoQA 
Hakcipta terpelihara 

Yatt beri syarat ketat


DALAM sibuk-sibuk buka telinga dengan cerita-cerita panas, Diva sempat ambil tahu pasal semangat artis tempatan yang berjuang dengan cara sendiri bagi membantu untuk meringankan beban penduduk Palestin di Genting Gaza.
Diva tengok Irma Hasmie bukan main bersemangat turun padang walaupun sarat mengandung anak pertama, artis-artis lain tak kurang prihatinnya. Pendek kata artis kita memang prihatin dalam isu kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Dalam sibuk-sibuk para artis meraih derma orang ramai, kelibat Yatt pasti ada di setiap lokasi. Yatt antara selebriti yang lantang bercakap dan beremosi, siap menangis teresak-esak lagi.
Jadi, ada beberapa wartawan menghampiri Yatt untuk mendapatkan ulasannya tentang agenda kutipan amal di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman baru-baru ini. Bila media dipanggil, sudah tentu ada sesi temuramah dengan artis terlibat.
Yatt selalunya menjadi perhatian pada mana-mana acara ketika ini, maklumlah solekannya sahaja boleh buat sesiapa pun tertawan.
Peliknya, Yatt macam nak mengelak pula. Siap bagi masa tertentu pula kalau dirinya mahu diajak berbual. Kalau 5 minit hingga 10 minit itu biasa, tapi Yatt cuma ada kelapangan masa selama 3 minit sahaja. Bayangkan, hanya 180 saat untuk ditemuramah, hebatlah, ibarat nak kena guna 'dialog trengkas' pula.
Kalau benarlah dia sibuk sangat, cakaplah dalam bahasa yang lebih manis, kan Yatt itu wanita yang semakin manis dan menjadi contoh sejak berhijab.
Dengarnya, akibat syarat ketat itu yang diberikan Yatt, ramai wartawan tarik diri.

Carta K-Pop 'M Countdown' Kini Disiarkan di 8TV

Hong Ki

PETALING=JAYA: Sejak fenomena muzik K-Pop kian meluas di Malaysia, saluran 8TV mengambil pendekatan dengan menyiarkan rancangan berbentuk carta muzik iaitu M Countdown.
Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul, berkata, fenomena K-Pop yang melanda dunia sememangnya memberi impak yang besar dalam industri hiburan global dan ia merupakan peluang terbaik penonton untuk menyaksikan bintang-bintang K-Pop kegemaran masing-masing.
“Sebagai sebuah stesen televisyen, kami perlu peka dengan keadaan semasa dan yang paling penting memastikan program yang disiarkan memenuhi selera penonton.
“8TV cukup teruja untuk menyiarkan program carta K-Pop ini dan saya pasti ramai peminat K-Pop di luar sana tidak sabar untuk menonton M Countdown.
"Kami yakin program ini bakal mendapat sambutan hangat dari khalayak khususnya penggemar muzik K-Pop,” katanya.
M Countdown akan disiarkan setiap Jumaat pukul 11.45 malam dengan menampilkan Vokalis FT Island, Lee Hong Ki dipilih sebagai pengacara.
Rancangan tersebut akan membawa penonton mengikuti carta lagu-lagu popular dari Korea dimana pemilihan lagu paling popular ini dibuat berdasarkan beberapa aspek antaranya menerusi penjualan album, muat turun, undian penonton secara global dan undian dari juri professional.
Segmen yang paling dinanti-nantikan semestinya persembahan bertenaga dari artis-artis K-Pop kesayangan anda pada akhir rancangan tersebut,
Antara artis-artis yang turut terlibat dalam rancangan ini termasuklah Big Bang, Super Junior, 2NE1, Girls Generation, FT Island, Sistar dan Kara.
Rancangan-rancangan 8TV boleh ditonton menerusi ‘Catch Up’ di www.tonton.com.my atau layari www.facebook.com/8TVfb , www.twitter.com/8tv , www.youtube.com/8tvaddicts instagram @8tv. 8TV juga boleh ditonton menerusi saluran Astro 708.

Cat Farish Beri Ceramah Motivasi Di Kem Mojat

Cat Farish

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Cat Farish akan memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah menerusi Kem Motivasi Pemantapan Jati diri Cara Rasulullahs.a.w (Kem Mojat).
Cat yang juga merupakan ahli kumpulan The Fabulous Cats itu berkata, dia merupakan duta kepada kem tersebut dan ini sekaligus dapat memberi peluang kepadanya untuk berkongsi pengalaman manis dan pahit hidup kepada peserta.
"Kem Mojat mengajar para peserta cara-cara melakukan aktiviti yang sering dibuat oleh Rasulullah S.A.W dengan penyampaian yang lebih urban.
"Dengan peluang ini, saya ingin berkongsi pengalaman kepada mereka yang menyertai.
"Lagipun ketika di zaman sekolah dahulu, saya tidak mampu untuk sertai kem seperti ini dan peluang ini saya gunakan dengan membawa anak-anak ke Kem Mojat bersama," katanya.
Tambah Cat, lebih menarik lagi, Kem Mojat turut membawa peserta beriadah dengan melakukan aktiviti memanah serta berkuda, di mana ia merupakan antara aktiviti sukan kegemarannya.
Kem Mojat yang bakal diadakan pada 19 hingga 20 Disember 2012 di Kelab Rekreasi dan Berkuda Denai Alam Selangor (DARC), Shah Alam, Selangor ini dianjurkan oleh sebuah syarikat penyedia latihan dan pengurusan majlis berkonsepkan Islamik, Human Capital Development Services (HCDS).
Menurut pengarahnya, Shaharul Ridzuan Shamsuddin, Kem Mojat adalah sebuah program untuk pelajar sekolah sebagai program penutup atau pun persediaan sebelum sesi sekolah yang baru bermula tahun hadapan.
“Program ini akan menjanjikan kelainan daripada program cuti sekolah yang ada kerana ia lebih menumpukan kepada pemerkasaan jati diri dan penambabaikan sahsiah keperibadian seseorang pelajar.
"Aktiviti yang dianjurkan juga akan memfokuskan kepada tiga perkara utama sunnah Rasullah iaitu berkuda, memanah dan berenang selain mendedahkan rahsia, manfaat dan kebaikan aktiviti yang dibuat dalam membentuk keperibadian insan cemerlang," ujarnya.
Kem tersebut akan diketuai oleh seorang penceramah agama bertauliah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Che Nordin Che Ibrahim, yang berpengalaman mengendalikan pelbagai program Islamik untuk pelbagai golongan.
Beliau yang juga graduan Universiti Islam Al Azhar, Mesir dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab ini juga merupakan seorang penceramah motivasi Islamik serta penasihat agama untuk beberapa syarikat swasta.
Melalui program ini, Che Nordin akan mengupas rahsia setiap aktiviti sunnah Rasulullah ini selain peserta berpeluang mencuba sendiri setiap aktiviti tersebut.
Di samping itu, beberapa slot kerohanian juga akan diselitkan agar dapat menjadi pemangkin semangat serta sebagai motivasi untuk setiap peserta.
Dalam pada itu, Kem Mojat juga berhasrat untuk mencari penaja daripada mana-mana individu, jabatan, agensi atau organisasi yang berminat untuk membuat amal jariah untuk peserta dari beberapa rumah anak yatim
Bayaran untuk mengikuti program ini adalah sebanyak RM290 seorang dan pendaftaran awal iaitu sebelum 12 Disember 2012 akan mendapat potongan harga kepada RM260 seorang.
Sementara itu, kepada ibu bapa yang berminat mendaftarkan anak mereka bolehlah menghubungi pihak urusetia program ditalian 010-3240051, 010-3234739, 010-3441011, 019-3475070 atau email ke my.hcds@gmail.com.