Saturday, November 24, 2012

Emma Maembong Mahu Teruskan Legasi Bapa

Emma Maembong

PETALING JAYA: Pelakon Emma Maembong berhasrat untuk meneruskan lagesi bapanya iaitu seorang pelukis terkenal negara, Ismail Maembong dan terlibat secara serius dalam bidang itu.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 20, berkata, sebelum bergelar artis dia banyak menghabiskan masa dengan melukis dan menggemari lukisan jenis animasi dan potrait.
"Sejak berusia 12 tahun lagi saya sudah didedahkan dengan dunia lukisan oleh ayah dan beliau adalah sumber inspirasi saya dalam bidang tersebut.
"Sebelum ini kami sering menghabiskan masa bersama dengan melukis sehingga pukul tiga atau empat pagi dan beliau banyak memberikan inspirasi kepada saya sebagai seorang pelukis," ujarnya kepada mStar Online.
Kelibat Emma boleh disaksikan menerusi drama bersiri Cinta Itu Milikku terbitan Orangetree Production yang sedang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3.
Selain Emma, drama bersiri 24 episod itu turut menampilkan Fazreen Rafi, Ana Dahlia, Ery Putra, Mustapha Kamal, Karl Shafek, Sherry Merlis dan Liza Abdullah.
Dalam pada itu, Emma berkata, dia tidak pernah berasa malu untuk mengakui dirinya 'anak ayah' kerana sangat rapat dan manja dengan bapanya itu.
Emma memberitahu hubungan mereka rapat selepas ibu bapa mereka bercerai ketika usianya masih kecil dan dia tinggal bersama bapanya itu.
"Ayah seorang yang sangat tegas namun jarang sekali dia memarahi saya dan adik-beradik lain kalau ada kesilapan kami lakukan. Dia sentiasa menggunakan nasihat untuk menyedarkan kami.
"Hubungan kami sangat rapat kerana saya tinggal bersamanya sejak kecil selepas ibu bapa bercerai dan banyak perkara tentang kehidupan saya belajar daripadanya terutama seni lukisan," ujarnya kepada mStar Online.
Cerita Emma lagi, sejak kecil dia tidak boleh berpisah dengan ayahnya itu dan akan mengikut ke mana sahaja beliau pergi.
"Kerana restu daripada ayah saya menjejakkan kaki sebagai pelakon dan doa beliau membuatkan saya sentiasa tabah dalam mengharungi pelbagai cabaran dalam dunia hiburan ini walaupun masih baru," katanya.

Irma Hasmie Hasrat Kembali Berlakon Selepas Bersalin


PETALING JAYA: Pelakon Irma Hasmie berhasrat untuk kembali berlakon selepas melahirkan anak pertama bersama suami Reza Syah Azmeer Mohd Redzuan pada Mac tahun hadapan.
Irma, 30, berkata, buat masa ini dia mahu berehat daripada bidang itu kerana tidak yakin mampu memberikan persembahan terbaik dengan keadaannya yang sedang berbadan dua.
"Sekarang ni nak bercakap pun termengah-mengah apatah lagi nak berlakon. Jadi saya berehat sebentar daripada dunia lakonan dan Insya Allah akan kembali selepas bersalin nanti," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Irma, dia hanya akan menerima watak yang sesuai dengan penampilan dan statusnya sebagai isteri orang.
"Suami pun tidak menghalang dan jika ada rezeki untuk berlakon dengan watak yang sesuai apa salahnya," jelasnya.
Dalam pada itu, Irma memberitahu kandungannya yang sudah memasuki usia lima bulan tidak mempunyai sebarang masalah dan memberitahu dia berkemungkinan bakal menimang cahaya mata lelaki.

Wednesday, November 14, 2012

Gosip cemarkan maruah saya - Mamat


BEKAS anggota kumpulan lawak, Sepah ini nampaknya tidak habis-habis dengan kontroversi yang melanda dirinya. Mamat atau nama sebenarnya, Mohd. Noor Murad, 27, pada mulanya dikatakan penyebab perpecahan Sepah walaupun ketika itu populariti kumpulan itu sedang memuncak.
Ketika enak dibuai mimpi sepanjang bercinta dengan pelakon bertudung, Fida Ibrahim pula, hubungan mereka tiba-tiba putus di tengah jalan setelah Mamat didakwa telah memuat naik gambar bekas teman wanitanya itu ke dalam laman sosial yang menampakkan rambutnya.
Bengang dengan perbuatan itu, Fida memutuskan hubungan mereka, walaupun telah memaafkan perbuatan Mamat.
Tidak berhenti di situ sahaja, Mamat terus dihujani dengan kontroversi apabila memuat turun gambar pelakon dan juga Presiden Seniman, Zed Zaidi kemalangan yang dikatakan sedang nazak, sedangkan sebenarnya gambar itu hanyalah babak lakonan Zed dalam sebuah drama.
Terbaharu, portal dan blog hiburan tempatan telah mengaitkan nama Mamat dengan kontroversi yang mendakwa dia telah mencemarkan satu majlis kenduri perkahwinan dengan mencalitkan kek pada muka pengantin lelaki.
Selain itu, Mamat turut dikaitkan dengan isu dirinya yang nyaris dibelasah di sebuah pusat membeli-belah apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi sportbike miliknya di kawasan orang berniaga di Johor Bahru (JB), Johor.
Kosmo! menghubungi Mamat untuk mendapatkan kepastian mengenai gosip terbaharunya itu.
Kosmo!: Bolehkah Mamat ceritakan mengenai gosip terbaharu yang melanda diri anda? Adakah ia benar-benar berlaku?
MAMAT: Saya tidak faham macam mana boleh timbul isu mengenai kenduri kahwin itu sedangkan, ia telah setahun berlaku. Majlis itu membabitkan kaum keluarga saya. Kami memang keluarga ‘gila-gila’, benda itu (mencalit kek) tidak menjadi isu pun dan tiada sesiapa yang marah pun.
Bagaimanakah dengan isu nyaris dipukul di Johor Bahru pula?
Demi Allah saya tidak pernah buat perkara itu. Gosip saya naik motosikal Sportbike (di kawasan perniagaan di Johor Bahru) dan ada orang nak pukul memang tidak berlaku. Ia memang mencemarkan maruah saya.
Adakah benar anda memiliki motosikal sportbike seperti yang didakwa?
Memang saya ada sportbike. Satu-satunya pelawak dari Johor Bahru yang ada motosikal itu hanya saya tetapi perkara (gosip) itu tidak pernah berlaku. Kalau saya balik Johor Bahru, saya selalu lepak di Singapura atau tinggal di rumah sahaja.
Anda rasa kenapakah gosip itu boleh timbul?
Saya rasa ada orang yang dengki. Susah saya hendak tutup mulut orang. Saya juga tidak faham kenapa tidak habis-habis orang dengki dengan saya.
Disebabkan banyak kontroversi yang melanda, adakah ia menjejaskan karier anda terutama dari segi tawaran berlakon?
Saya mengaku ia mengganggu periuk nasi saya. Ia memang ketara sangat tetapi nak buat macam mana kalau itu bukan rezeki saya, nasib baik filem Sepah The Movie akan ditayangkan tidak lama lagi.
Jadi, apakah yang anda lakukan sekarang untuk tampung perbelanjaan?
Saya ada bisnes kecil-kecilan di Johor Bahru untuk mengekalkan periuk nasi saya. Ini bermakna saya tiada langsung, ada juga tawaran lakonan dan majlis di Singapura.
Apakah tindakan anda sekarang untuk membersihkan nama?
Saya ingin membina kerjaya saya balik selepas banyak isu yang tercalit. Saya akan berusaha lebih keras selepas ini bagi memastikan kerjaya saya lebih menonjol berbanding kontroversi.

Nafi Foto Bersama Wanita Kekasihnya, Remy Ishak Masih Solo


PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak menjelaskan dia masih lagi solo walaupun tersebar gambar dia dengan mana-mana wanita.
Remy, 30, berkata, sebuah foto yang menyaksikan seorang wanita bergambar dengannya secara rapat mungkin peminat fanatiknya dan ia bukanlah isu yang harus dikontroversikan.
"Saya harap, tidak ada pihak yang akan menimbulkan spekulasi menerusi sekeping gambar biasa.
"Wanita itu mungkin peminat atau rakan saya dan dia bukanlah kekasih sekiranya ada yang mengandaikannya begitu, kerana saya masih lagi solo," tegasnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Pelakon itu diminta mengulas sekeping gambarnya yang dikirim menerusi e-mel kepadamStar Online bersama seorang wanita yang tidak diketahui identitinya.
Remy yang sedang menjalani penggambaran drama Cinta Jangan Pergi di Port Dickson, Negeri Sembilan memberitahu, dia akan lebih berjaga-jaga dalam menceritakan hal-hal berkaitan peribadi pada masa akan datang.
Selain itu, tambah Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, selepas hubungan cinta antaranya dengan aktres Tiz Zaqyah putus, dia lebih memberikan fokus terhadap kerjaya lakonan yang diceburinya itu.
"Sekarang ini memang saya tidak mahu bercerita mengenai hal peribadi dan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan.
"Ini kerana walaupun kita memberikan penjelasan yang jujur, terdapat pelbagai persepsi yang akan timbul daripada ungkapan yang dikatakan itu," katanya.
Sementara itu, bersempena dengan sambutan Maal Hijrah yang disambut pada Khamis, Remy berharap agar dapat menghayati pengajaran di sebalik erti sebenar sambutan itu dan menjadikan ia sebagai titik permulaan untuk meningkatkan diri kepada satu tahap yang lebih baik.
"Seperti yang semua faham, 1 Muharam bukan sekadar penghijrahan Nabi Muhammad namun ia lebih melambangkan simbolik pengorbanan yang ditempuh Rasulullah ketika menyebarkan agama Islam.
"Dan untuk saya pula, hijrah adalah langkah baru ke arah yang lebih bagus dalam kehidupan ini dan saya berdoa agar dapat menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya selain dimurahkan rezeki dalam karier yang diceburi, Insya-Allah," tuturnya.

Sharnaaz Sudah Terima Surat Saman, Yakin Tidak Bersalah


PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad (gambar) telah menerima notis saman daripada penerbit filem Darah Panas iaitu S. Baldev ekoran insiden dia dikatakan meninggalkan lokasi ketika penggambaran filem tersebut baru-baru ini.
Sharnaaz, 27, berkata, dia menerima surat itu pada Isnin lalu yang antara lain melarangnya berhubung dengan semua tenaga produksi filem berkenaan.
"Saya sudah menerima notis saman tersebut dan setakat ini tiada sebarang perkembangan lagi kerana saya ingin berbincang terlebih dahulu dengan pihak peguam yang bakal saya lantik untuk membalas notis tersebut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Dalam satu kejadian Sharnaaz turut didakwa telah menolak dan mencekik leher penolong pengarah filem itu, Mohd Hafiz Mat Ishak kerana dikatakan marah apabila terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pakaian bagi kegunaan penggambaran sehingga proses penggambaran bermula lewat.
Dalam pada itu, Sharnaaz enggan mendedahkan isi kandungan notis tersebut secara menyeluruh namun mengakui akan melakukan sesuatu bagi membersihkan namanya yang sudah tercalar.
Sharnaaz bagaimanapun tidak menafikan ada melakukan kesalahan namun menepis beberapa fitnah yang dilemparkan oleh pihak penerbit termasuk insiden dia menolak dan mencekik leher Mohd Hafiz pada hari kejadian.
"Saya akui ada berselisih faham dengan Hafiz dan saya sudah minta maaf kepadanya 10 minit selepas kejadian dan hubungan kami kembali mesra selepas itu.
"Malah kami sering berhubung dan menghantar mesej SMS (khidmat pesanan ringkas) dan semua bukti itu saya masih simpan. Malangnya dia (Baldev) melarang saya berhubung dengan krew produksinya melalui notis peguam itu," jelasnya.
Tambah Sharnaaz, dia sebolehnya enggan membawa kes itu ke mahkamah dan sanggup untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Namun dia yakin pihak produksi filem itu tidak akan membuat apa-apa untuk membersihkan namanya yang sudah tercalar.
"Saya tiada masalah untuk meminta maaf tetapi apa mereka boleh lakukan untuk membersihkan pula nama saya? Saya tidak mahu melawan tetapi ingin menegakkan kebenaran," jelasnya.
Sharnaaz beri komitmen dalam Rebah Taubat
Sementara itu, pengarah drama Rebah Taubat, Shuhaimi Lua berkata, sepanjang bekerjasama dengan kekasih kepada Shila Amzah itu, Sharnaaz seorang yang berdisiplin dan berjaya mematuhi jadual yang diberikan kepadanya.
Shuhaimi berkata, walaupun pada mulanya dia agak bimbang pelakon itu akan menimbulkan masalah seperti yang digembar-gemburkan namun dakwaan itu ternyata salah selepas dia bekerja sendiri dengan Sharnaaz.
"Sepanjang bekerjasama tidak pula dia menimbulkan sebarang masalah malah sangat mudah dibawa berbincang. Malah saya tidak teragak-agak untuk mengambil dia berlakon lagi selepas ini," jelasnya.
Tambah Shuhami, berdasarkan kepada pengalamannya sebagai seorang pengarah dan pengurus produksi sebelum ini, para artis tidak akan menimbulkan sebarang masalah sekiranya mereka diberikan jadual dan skrip lebih awal
Katanya, penggambaran juga haruslah berjalan dengan tepat agar masalah berkaitan pertembungan jadual kerja pelakon dan krew tidak berlaku.