Wednesday, October 31, 2012

Peminat Sazzy Falak Bertambah Kerana Perniagaan 'Online'


PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Sazzy Falak tidak menyangka masih mempunyai kelompok peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan hanya golongan “urban” atau penduduk bandar sahaja seperti yang dianggap sesetengah pihak.
Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 31, berkata, walaupun kurang muncul di televisyen, dia beranggapan penambahan peminatnya mungkin berpunca daripada perniagaan fesyen secara dalam talian (online) iaitu Street Fashion by Sazzy Falak (SFbySF) yang dikendalikan
"Syukur Alhamdulillah, walaupun jarang mengambil tawaran berlakon atau mengacara di televisyen, tetapi orang masih lagi kenal saya.
"Mungkin juga kerana perniagaan SFbySF yang dijalankan, ia sedikit sebanyak membantu mengekalkan nama saya menjadi sebutan ramai," katanya.
Sazzy ditemui pada majlis pelancaran program televisyen OMG di Restoran The Bee, Publika, dekat sini, Selasa.
Tambah pelakon filem Tolong! Awek Aku Pontianak ini, dia sebenarnya rindu untuk beraksi menerusi lakonan drama, tetapi jangka masa penggambaran yang agak lama menyukarkannya menerima tawaran yang diberi.
"Sebenarnya saya sering mengacara untuk pelbagai majlis korporat serta perkahwinan dan biasanya khidmat saya sudah ditempah seawal satu bulan.
"Dan apabila ada beberapa produksi yang menawarkan saya berlakon dengan tempoh masa yang lama, saya terpaksa tolak,” tuturnya.
Sementara itu, Sazzy bakal muncul di saluran DIVA Universal menerusi program OMG yang dikendalikannya bersama Razif Hashim.
Beritahu Sazzy, program bual bicara itu merupakan sebuah rancangan terbitan tempatan yang pertama disiarkan di saluran antarabangsa tersebut.
"Saya begitu teruja apabila dapat mengendalikan sebuah program yang akan ditayangkan di saluran antarabangsa.
"Tambah pula, teman saya sendiri, Razif mengacara bersama dan ia membuatkan kami serasi mengendalikan program tersebut," ujarnya.
Program itu mengupas topik terkini melibatkan kerja, keluarga, persahabatan dan perhubungan dengan memperkenalkan tiga segmen utama iaitu 'OMG Celebrity', 'OMG Miss Chilled' dan 'Oh My Gaji'.
Artis-artis jemputan seperti Lisa Surihani, Jaclyn Victor, Mizz Nina, Hannah Tan dan Deborah Henry turut mewarnai program tersebut.
OMG yang bersiaran sebanyak 13 episod itu akan bersiaran bermula 5 November ini, setiap Isnin, pukul 7.30 malam di saluran berkenaan.

Scha Amalkan Tip Untuk Segera Bergelar Ibu

KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al-Yahya tidak sabar untuk bergelar ibu dengan mengamalkan beberapa tip agar zuriat untuk kebahagiaan rumah tangganya bersama Awal Ashaari.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, berkata, meskipun menganggap rezeki itu hanya ditentukan Tuhan, namun dia turut memainkan peranan berusaha ke arah itu kerana tidak mahu menunggu lama untuk bergelar ibu.
"Terus terang cakap, saya memang teringin untuk mendapatkan zuriat. Siapa yang tak nak bukan?
"Sebagai seorang yang pentingkan penjagaan kesihatan, saya ada membuat beberapa ujian saringan dan menjaga pemakanan yang betul serta mengamalkan tip-tip yang disarankan doktor walaupun tidak membuat sebarang perancangan untuk dapatkan anak.
"Apa-apa pun saya serahkan semua itu kepada Tuhan dan sekiranya tiada rezeki, sekurang-kurangnya saya berusaha," katanya.
Tambah Scha, melihat usianya yang semakin meningkat, dia juga tidak akan melengah-lengahkan masa untuk bergelar ibu, namun tidak terlalu memaksa diri untuk mengelak daripada tertekan.
"Doktor sudah pesan, berada dalam keadaan tertekan menyukarkan kita untuk hamil. Selain itu saya turut bersenam agar diri sentiasa cergas," ujarnya.
Sementara itu, Scha kini menjadi duta kepada produk minyak wangi Avon termasuklah haruman yang terbaru iaitu City Rush.
Kata pelakon filem Awan Dania The Movie ini, dia telah mengambil alih tugas pelakon Fazura yang juga menjadi jurucakap minyak wangi Avon sebelum ini sejak menandatangani kontrak pada April tahun lalu.
"Selepas menandatangani kontrak, saya telah ke Filipina pada tahun lalu untuk melakukan sesi penggambaran foto kesemua produk minyak wangi Avon termasuklah City Rush.
"Menarik tentang City Rush, ia dicipta untuk wanita yang bekerjanya dan mempunyai personaliti yang yakin pada diri sendiri.
"Ia juga merupakan salah satu haruman Avon yang saya gemari selain Herve Leger dan Far Away," ujarnya
Minyak wangi City Rush yang berharga RM99 boleh didapati di mana-mana butik kecantikan Avon seluruh negara.

Chef Riz Akui Rumah Tangganya Sedang Bergolak


PETALING JAYA: Chef selebriti, Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengakui perkahwinannya dengan aktres jelita, Ana Dahlia yang belum mencapai usia setahun kini sedang bergolak.
Chef Riz dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo! pada Rabu bagaimanapun enggan mengulas tentang dakwaan kononnya mereka berdua telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini.
"Biasalah dalam perkahwinan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Memang kami ada perselisihan faham dan saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami.
"Saya sayangkan dia (Ana) dan saya harap jodoh kami panjang. Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu, tunggu sahajalah perkembangannya," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.
Menurut Chef Riz, beliau sebaik-baiknya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai kisah rumah tangga mereka kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.
Sebelum ini rumah tangga mereka dikatakan bergolak apabila Ana dikatakan telah berbaik dengan bekas teman lelakinya pada pertengahan Oktober lalu.
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh Ana yang menganggap ia sebagai kontroversi yang tidak dapat dielakkan dalam dunia hiburan.
Chef Riz, bernikah dengan Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, pada 11 Disember 2011.
Sebelum berkahwin dengan Chef Riz, Ana merupakan seorang janda.

Tuesday, October 30, 2012

Amber Chia Selebriti Istimewa Perkahwinan Chong Wei


PETALING JAYA: Peragawati terkenal, Amber Chia merupakan satu-satunya selebriti yang akan di undang ke majlis perkahwinan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei pada 10 November depan.
“Amber adalah satu-satunya rakan selebriti yang saya kenali. Jadi, saya mengundang dia secara peribadi ke majlis perkahwinan nanti,” kata Lee seperti dipetik portal Red Carpetketika sesi fotografi pra-perkahwinannya di Pulau Pinang.
Amber bakal menyerikan majlis itu di samping teman-teman rapat Lee termasuklah pemain badminton Indonesia, Taufik Hidayat.
Bagaimanapun, jaguh badminton nombor satu dunia, Lin Dan tidak dapat turut serta kerana terbabit dalam sebuah kejohanan pada tarikh tersebut.
“Dia (Lin Dan) memberitahu saya dia tidak dapat menghadirinya,” kata Lee.
Difahamkan, bakal pengantin itu masih belum memutuskan senarai akhir tetamu VVIP, tetapi dia sudah menjemput Yang di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Lee dan bakal isterinya, Wong Mew Choo bakal meraikan hari bahagia mereka dalam sebuah majlis resepsi tertutup di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 10 dan 11 November depan.
Mereka akan disatukan dalam satu upacara pada 9 November dalam sebuah jamuan teh untuk ibu bapa dan keluarga terdekat.
“Kami masih berbincang mengenai tarikh sesuai untuk mendaftarkan perkahwinan ini. Pada waktu ini, kami terlalu sibuk. Terlalu banyak perkara perlu dilakukan sebelum majlis itu,” katanya.
Namun, jelas Lee, pada majlis itu nanti pihaknya tidak mengundang pihak media.
“Saya mahu keluarga, rakan-rakan dan tetamu bergembira pada majlis kami tanpa kehadiran pihak media.
“Saya berharap semua pihak faham bahawa saya dan Mew Choo mahu diberi ruang privasi,” katanya.
Lee turut berkata, dia sedang berbincang dengan stesen penyiar Astro berhubung hak penyiaran majlis resepsi itu dengan kadar harga yang enggan didedahkan.
“Ya, saya menjual hak penyiaran majlis resepsi saya kepada mereka (Astro). Kami sedang berbincang mengenai perkara itu dalam masa beberapa hari ini,” katanya.

Lisa Surihani Punyai Petua Elak Diri Tertekan


PETALING JAYA: Pelakon jelita Lisa Surihani tidak membiarkan dirinya tertekan sepanjang tempoh latihan teater Tribute Tun Dr Siti Hasmah yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 9 hingga 19 November depan.
Lisa, 26, berkata, sebagai orang baru dalam dunia teater dia perlu bijak mengawal tekanan bagi memastikan watak yang dipegangnya dapat ditonjolkan dengan baik semasa pementasan itu nanti.
"Tidak dinafikan watak Tun (Siti Hasmah) semasa muda yang saya pegang bukan mudah untuk dilaksanakan dan ada kalanya ia membuatkan saya tertekan namun sebagai pelakon saya perlu mengawal perasaan itu dan menukarkannya kepada perkara positif.
"Saya sentiasa berpegang kepada prinsip apabila melakukan sesuatu kita mesti menanam rasa gembira dan seronok kerana ia dapat membantu untuk memberikan hasil yang terbaik dalam sesuatu watak diberikan," katanya kepada mStar Online.
Lisa ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk FreshLook di sini pada Isnin.
Selain Lisa, teater arahan Erma Fatima itu turut dibintangi oleh Eja sebagai Tun Dr Siti Hasmah sewaktu dewasa, Esma Daniel (watak Tun Dr Mahathir dewasa) dan Nazim Othman (watak Mahathir ketika muda) bersama kira-kira 25 pelakon lain.
Dalam pada itu, Lisa memberitahu dia dan suaminya, Yusry Abdul Halim sedang giat mengamalkan pemakanan sihat dan memperbanyakkan sayuran, buah-buahan dalam diet pemakanan mereka.
Lisa memberitahu, amalan itu bukan disebabkan teruja untuk mendapatkan figura yang cantik tetapi lebih kepada kesedaran untuk menjaga kesihatan dari peringkat awal.
"Sebelum ini memang Lisa ada peningkatan berat badan yang agak ketara dan memang mengamalkan pemakanan sihat bagi mendapat kembali bentuk asal yang ideal.
"Namun pemilihan makanan yang betul sebenarnya lebih kepada untuk mengamalkan hidup sihat kerana ia memberikan banyak faedah pada masa akan datang," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta FreshLook iaitu kanta lekap berwarna, Lisa berkata, dia bersetuju menjadi duta produk itu kerana telah mencuba sendiri produk berkenaan yang nyata amat selesa digunakan.
Dia yang telah menggunakan kanta lekap sejak berusia sembilan tahun memberitahu, FreshLook sangat mudah digunakan dan yang paling penting ia boleh memberikan perubahan unik dan menyeronokkan dari segi penampilan.
"Lisa memang mengalami masalah rabun jauh dengan kekuatan kanta 650 dan tidak pernah menggunakan kanta lekap berwarna kerana takut ia kelihatan palsu.
"Namun Lisa selesa dengan FreshLook kerana selain datang dengan kanta untuk orang yang rabun tetapi warnanya juga tampak semula jadi.
"Malah Yusry cukup suka jika Lisa mengenakan kanta berwarna biru kerana katanya nampak lebih cantik," jelasnya.

Fida Ibrahim Mengaku Berkawan Rapat Dengan Zalif Sidek


PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) mengakui sedang berkawan rapat dengan pelakon komedi Zalif Sidek selepas hubungannya dengan pelawak Mamat (Sepah) dan seorang usahawan bergelar 'S' menemui kegagalan.
Fida, 26, berkata, dia mulai rapat dengan Zalif atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 27, sejak dua bulan lalu kerana kesungguhan lelaki itu yang mahu mengenalinya dengan lebih dekat.
"Kami baru berkawan rapat dan belum ke tahap bercinta. Rasanya tak salah kalau saya bagi peluang kepada dia (Zalif). Lagi pun, masing-masing masih solo.
"Dia seorang lelaki yang budiman. Saya suka dengan keberanian dan keikhlasannya mahu mengenali saya dengan lebih mendalam," katanya ketika ditemui mStar Online.
Mengenai keintimannya dengan Zalif yang juga seorang pelakon komedi, Fida berkata, dia mudah tertarik dengan lelaki yang gemar berjenaka dan periang.
"Mungkin secara kebetulan sahaja Zalif dan Mamat adalah pelakon komedi. Hakikatnya, saya memang mudah tertarik dengan lelaki yang suka berjenaka dan periang.
"Kalau saya tertekan dengan kerja, Zalif pandai membuat saya ketawa. Dia membuatkan saya berasa selesa apabila kami berjumpa," kongsinya.
Diusik mengenai desas-desus hubungannya dengan seorang VIP sebelum ini, Fida berkata, mereka semakin renggang kerana perbezaan status dan kesibukan kerja masing-masing.
"Susah untuk kami rapat kerana status dan kedudukannya. Apabila gosip-gosip itu timbul sebelum ini, ia menyulitkan keadaan.
"Kalau saya, mungkin tak ada masalah hendak tangani gosip kerana saya bekerja dalam bidang ini tetapi untuk dia, keadaan itu tidak sesuai untuknya," luahnya.
Dalam perkembangan lain, Fida berkata, dia baru sahaja menyiapkan klip video lagu versi baru Apo Kono Eh Jang yang menampilkan Datuk AC Mizal dan Stellar.
"Klip video lagu itu akan dimuat naik di laman YouTube dalam masa terdekat. Saya harap ia akan diterima baik kerana ada beberapa kejutan dalam video itu nanti," tuturnya.

Mila Kunis Hamil Anak Ashton Kutcher?

Perut yang seakan-akan terbonjol seperti mengandung

BARU beberapa bulan menjalinkan hubungan cinta dengan aktor AShton Kutcher, Mila Kunis muncul di hadapan umum dengan perut yang "membonjol" sehingga menimbulkan spekulasi bahawa dia sedang mengandung.
Daily Mail melaporkan, perut buncit Kunis jelas kelihatan ketika pasangan itu bersiar-siar dan baju belang hitam putih tanpa lengan yang dikenakan oleh pelakon 70's Show itu jelas menampakkan perutnya yang agak besar daripada kebiasaan.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Kunis benar-benar mengandung dan jurucakap pelakon itu enggan mengulas mengenainya.
Sebelum ini, Mila pernah memberitahu kepada media keinginannya mempunyai cahaya mata sendiri dan kelibat Kunis yang seolah-olah tidak kisah untuk menutupi perutnya seperti mengesahkan khabar angin yang tersebar.