Saturday, April 28, 2012
Fasha & Jejai Selamat Bergelar Suami Isteri
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa kandung Fasha iaitu Hassan Umbichi Moideen kira-kira pada pukul 9.45 malam bersaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Sahirman Ahmad.
Rizal Ashram melafazkan nikah sebanyak dua kali.
Majlis itu dihadiri kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada bapa Jejai iaitu bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, ibu kandung Fasha Hatijah Tehman dan bapa tirinya, Mohd Faisal, kaum keluarga, teman-teman rapat, rakan artis dan wakil media.
Fasha menerima mas kahwin sebanyak RM8888.88 tetapi enggan mendedahkan jumlah wang hantaran kepada umum.
Mengulas mengenai pemilihan jumlah tersebut sebagai mas kahwin, Fasha berkata angka lapan adalah kegemaran suaminya.
"Lapan adalah nombor kegemaran Jejai," katanya.
Diusik mengenai jumlah tersebut sehingga memaksa Jejai melakukan akad nikah sebanyak dua kali, lelaki itu mengakui kesukaran menyebut angka berkenaan.
"Saya juga terfikir akan kesukaran untuk menyebut angka itu selepas kami menetapkan jumlah mas kahwin.
"Namun ketika praktis nikah, saya boleh sebut angka itu dengan lancar," katanya.
Fasha menerima tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang berupa beg tangan berjenama Louis Vuitton, senaskhah Al-Quran dan sejadah, sebentuk cincin, coklat, Samsung Galaxy Note, mas kahwin dan tepak sireh.
Sebagai balasan, Jejai pula menerima sembilan dulang hantaran iaitu sejadah, tepak sireh, sepasang kasut Salvatore Ferragamo, tali leher dan tali pinggang Louis Vuitton, sebuah buku motivasi, set penjagaan lelaki Dolce & Gabbana, coklat dan sebentuk cincin daripada pengantin perempuan.
Pada majlis berkenaan, Fasha tampil anggun mengenakan busana berona putih ungu rekaan Riezman Ruzaini dan dirias juru solek terkenal Saidatul Nisa.
Beberapa rakan artis turut menyerikan majlis seperti Maria Farida, Tomok, Didie Alias, Faradhiya, Nor Aliah Lee, Rebecca Nur Al Islam dan Nadia Mustafar.
Ning Baizura Dibenarkan Timang Anak Selepas Dua Tahun
Ning berkata, sejak dua tahun lalu dia tidak boleh memiliki anak kerana terdapat ketumbuhan pada rahimnya, namun bersyukur kerana impian untuk bergelar seorang ibu sudah tiba.
"Alhamdulillah, sudah sampai masanya untuk saya dan suami, (Omar Sharif Christopher Layton Dalton) memiliki anak sendiri walaupun kami sudah ada dua orang anak tiri.
"Apa yang terjadi sebelum ini benar-benar menakutkan saya kerana risau jika impian untuk memiliki anak akan punah. Sebab itu saya betul-betul mengikut nasihat doktor agar tidak ada lagi kejadian-kejadian yang tidak diingini.
"Bayangkan saya pernah dimasukkan ke wad kerana mengalami pendarahan yang teruk," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media “Ratu Hatiku Mother's day High-Tea exclusive With Ning Baizura And Band” di Hotel Royale Bintang Damansara, di sini, Jumaat.
Tambah Ning, demi mendapatkan cahaya mata sendiri, dia sanggup untuk mengurangkan aktiviti seninya bermula bulan Julai ini manakala Omar pula tidak akan menguruskan syarikat miliknya, HappeNings kerana akan bekerja di sebuah syarikat petroleum.
Bagaimanapun, peletakan jawatan Omar dalam syarikat Ning itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan khabar angin yang kononnya mereka sedang melalui pergolakan rumah tangga.
"Saya nafikan sekeras-kerasnya tentang gosip tersebut. Kami masih lagi suami isteri dan biasalah kalau ada pergaduhan kecil, tetapi tidaklah sampai ke tahap mahu bercerai.
"Kadang-kala saya berasa pelik entah daripada mana sumber itu didapati," ujarnya.
Mengenai majlis Hari Ibu itu, ia akan diadakan pada 20 Mei ini di Royale Bintang pukul 3 hingga 7 petang.
Majlis yang dianjurkan oleh Xerographix Studio itu akan menyediakan sebanyak 50 buah meja di mana para ibu dapat menikmati hidangan istimewa di samping mengabadikan detik indah bersama Ning.
"Rasa seronok pula dapat menjayakan majlis ini kerana inilah pertama kali saya membuat persembahan bersempena dengan Hari Ibu.
"Diharap saya dapat berkongsi rahsia dan ilmu daripada ibu-ibu yang akan hadir nanti. Mungkin juga saya akan meminta ibu saya berduet dengan saya," katanya.
Penyanyi Maulana dan Azrul (Raja Lawak) akan membuat penampilan istimewa pada majlis itu dan para penonton akan berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti iPad2, percutian tiga hari dua malam di tasik Kenyir Resort Taman Negara serta pelbagai cabutan bertuah.
Tiket berharga RM180, RM280, RM500 dan VIP Platinum boleh didapati menerusi laman web www.tickethotline.com.my.
Monday, April 23, 2012
Selena Gomes Malu Bercumbuan Dengan Justin Bieber
Menurut laporan Aceshowbiz, penyanyi berusia 19 tahun itu sebenarnya kurang gemar menunjukkan kemesraannya dengan Justin dan tidak sangka ada sahaja jurufoto yang merakamkan gambar kemesraan mereka itu.
"Ia merupakan momen yang paling memalukan yang pernah terjadi pada saya.
"Kadang-kala saya berasa lucu dengan hal tersebut, ia kelihatan seperti pasangan muda yang hangat bercinta," katanya yang ditemubual dalam rancangan On Air With Ryan Seacrest pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Selena berkata dia sebenarnya tidak keberatan untuk menayangkan aksinya bercumbu dengan Justin kerana ia sebagai tanda dia menyayangi Justin
"Jika Justin selesa dengan keadaan itu (bercumbuan di khalayak ramai), saya pun tidak akan ada masalah, saya menyokongnya dengan apa sahaja hal sekalipun," tuturnya.
Fouziah Ghous Nafi Bakal Bertunang
Fouziah dalam laporan akhbar Kosmo pada Isnin berkata, dia tidak pernah merancang untuk bertunang seperti yang didakwa dalam masa terdekat ini.
"Saya sendiri tidak tahu bila akan bertunang. Orang yang beri kenyataan itu cukup hebat kerana lebih tahu tentang perkara yang saya sendiri belum tahu," katanya.
Pelakon itu berkata, dia terkilan apabila sebuah ruangan gosip mendakwa dia bakal bertunang tanpa menyiasat dahulu kebenaran mengenai perkara itu.
Ujar Fouziah, dia masih belum terfikir untuk berkahwin atau bertunang buat masa ini namun jika perkara itu terjadi dia sendiri akan hebahkan kepada media.
"Jika tidak pasti, sahkan dengan saya dahulu dan bukannya buat andaian bukan-bukan sebegini dan seterusnya mengelirukan semua pihak," katanya
Nicky terkejut dicium Madonna
Nicky, 29, mengakui dia agak terkejut apabila dicium oleh bintang tersohor berusia 53 tahun itu.
"Saya tidak merancang untuk bercium dengan Madonna pada persembahan itu," ujarnya ketika muncul dalam program bual bicara The Graham Norton Show baru-baru ini.
"Saya sungguh terkejut apabila Madonna tiba-tiba mencium saya sedangkan saya tidak menciumnya semula. Saya tidak menjangka itu akan berlaku dan saya sungguh terperanjat seperti juga semua penonton yang menyaksikan persembahan tersebut," ungkapnya.
Tambah Nicky: "Saya menggeletar dan terdetik dalam hati, 'Adakah ini (dicium Madonna) benar-benar berlaku, kenapa dia buat begini?' Ia sesuatu yang pelik dan bibir Madonna sangat lembut."
Sebar mesej positif merempit
Kata Intan, pada mulanya dia tidak menyangka akan mampu menunggang motosikal sehinggalah dia membintangi filem Adnan Sempit bersama aktor Shaheizy Sam pada tahun 2010.
“Saya seorang yang penakut terutama menaiki motosikal, tapi apabila sudah selalu buat aksi itu dalam filem Adnan Sempit I dan II rasa takut itu semakin hilang.
“Memang pada mulanya dengar saja perkataan rempit saya beranggapan segalanya negatif. Semakin hari perspektif itu semakin terhakis daripada diri saya,” singkap Intan yang melakonkan watak Nadia dalam filem Adnan Sempit I dan II.
Tambahnya, merempit bukan berkisar tentang perkara negatif semata-mata, sebaliknya dalam yang sama isu itu harus dipandang serius dan positif.
“Dengar saja perkataan rempit pasti ramai yang akan berfikir tentang perkara negatif seperti bohsia atau lumba haram. Tapi sedarlah bahawa merempit bukan memberikan makna sedemikian.
“Jenayah dan merempit merupakan dua perbuatan dan maksud berbeza. Merempit tidak semestinya merompak atau meragut tapi perompak atau peragut barangkali melakukan perbuatan merempit untuk memudahkan kerja mereka,” katanya yang menyeru agar perbuatan merempit tidak disalah tafsir oleh segelintir masyarakat.
Ikon
Isu yang sensitif untuk dibicarakan, namun Intan yang dimaklumkan akan turut serta mendaftarkan keahlian di bawah pertubuhan Rempit United atau Pertubuhan Rempit Bersatu, mempunyai misi untuk diselesaikan.
Rempit United yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri merupakan salah satu langkah kerajaan untuk mendapatkan sokongan organisasi luar dalam usaha membantu remaja bermasalah dan mengintegrasikan ke dalam masyarakat.
Bukan setakat ikon atau figura yang menjadi model untuk dicontohi oleh masyarakat, ujar Intan dia bakal menyampaikan mesej-mesej positif berkenaan isu itu.
“Insya-Allah kami akan mengadakan siri jelajah untuk memberikan motivasi kepada orang ramai berhubung gejala merempit yang dianggap berbahaya dan membahayakan orang ramai.
“Sekali gus membuka mata masyarakat apa itu sebenarnya merempit, kerana bagi saya terma merempit itu tidak bermaksud negatif tapi tindakan jenayah yang disertakan dengan merempit sebenarnya punca isu ini dipandang serong,” jelas Intan.
Menjadi seorang ikon bukan tugas mudah bagi pelakon itu. Tambah Intan mesej positif yang perlu disampaikan perlu bersifat mendidik bukan menghukum.
“Adalah menjadi kewajipan saya sebagai ikon untuk membantu masyarakat, terutama tentang stigma isu rempit.
“Pasti ada isu-isu tertentu yang akan saya bangkitkan untuk menyedarkan semua bahawa merempit bukan seperti stereotaip yang dibina masyarakat selama ini,” tegasnya.
Kahwin
Soalan lapuk untuk ditebak kepada pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamad Yahaya yang usianya tahun ini menginjak angka 30.
Dia sudah lali dengan soalan ‘bila akan kahwin?’ dan jawapannya tetap sama; “Masih dalam perancangan, Insya-Allah tahun depan.”
Soalan klise yang sudah dianggap tidak perlu ditanyakan lagi kerana baginya andai sudah ada jodoh pasti akan sampai ke jinjang pelamin.
Tertanya-tanya adakah hubungan pasangan secocok Intan Ladyana dan Kamal Adli ini semakin retak memandangkan mereka sudah semakin jarang kelihatan bersama dan kisah cinta mereka juga tidak panas dibicarakan, Intan hanya tersenyum.
Kata pelakon filem Bini-Biniku Gangster itu, hubungan mereka masih berjalan lancar.
“Kami sibuk dengan kerja dan kalau ada masa kami akan berjumpa. Alhamdulillah kami masih kekal bersama sehingga sekarang,” bicara Intan yang kini sedang dalam proses penggambaran filem Pada Suatu Cinta Dahulu arahan Hashim Rejab.
Wanita Seksi Peluk Ikhwan (Hot FM) Hanya Peminat
Ikhwan berkata, foto yang menunjukkan wanita itu memeluk erat dirinya dirakamkan di sebuah kelab malam di Johor Bahru yang dikunjunginya bersama rakan-rakannya baru-baru ini.
"Wanita itu tiada kaitan langsung dengan saya, dia hanya pengunjung biasa yang mahu bergambar dengan saya, mungkin juga dia seorang peminat.
"Bagi saya tidak manis jika permintaannya untuk bergambar ditolak. Malah, saya tidak memeluknya, sebaliknya wanita itu yang memeluk saya ketika bergambar," katanya yang dihubungi mStar Online, disini, Ahad.
Tambah Ikhwan, hal itu tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana ia bukanlah perlakuan tidak senonoh.
Pada minggu lalu, sekeping foto yang menunjukkan Ikhwan dipeluk seorang wanita seksi terah tersebar di internet sehinggakan ia memberi pelbagai reaksi negatif di kalangan peminat-peminatnya.
Dalam pada itu, Ikhwan turut memberi amaran kepada penyebar foto berkenaan supaya tidak membuat spekulasi tidak benar terhadap foto itu.
"Saya terkilan apabila ada beberapa pihak terutamanya golongan penulis blog cuba melebih-lebihkan isu ini kononnya ingin menunjukkan saya seorang yang begitu sosial.
"Memang benar saya pergi ke kelab tetapi saya tahu menjaga kelakuan diri," tegasnya.
Ikhwan yang juga pengacara rancangan Galaksi di TV9 juga berkata isu tersebut merupakan kontroversi pertama yang pernah berlaku kepadanya sepanjang bergelar selebriti selama enam tahun.
"Terkejut saya apabila isu ini timbul. Mujurlah ia tidak menjejaskan sedikit pun kerjaya saya," katanya.
Sementara itu, Ikhwan sedang berjinak-jinak menceburi bidang muzik dengan mencul menggunakan nama Nawhkhi.
Menurutnya yang menggemari muzik hip hop itu, dia akan muncul dengan sebuah single lagu baru berduet dengan penyanyi berkumpulan Singapura, Dinda menerusi lagu Sudah-Sudah.
"Saya merupakan seorang penggemar muzik dan sekarang ini saya akan mula menjinakkan diri dalam penghasilan lagu untuk diri saya dan penyanyi-penyanyi lain yang ingin menggunakan khidmat saya," tuturnya.
Shafie Apdal Nafi Beri RM1.5 Juta Kepada Zahida Rafik
Malah menurut Shafie, laporan polis yang dibuat oleh Noor Azman Azemi mengaitkan beliau sebagai orang yang bertanggungjawab melantiknya sebagai pemandu peribadi Zahida sejak 2009 adalah tidak benar.
"Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan di dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman Azemi yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik.
"Dengan ini, saya ingin menyatakan bahawa semua yang tertera di dalam laporan polis berkenaan adalah tidak benar sama sekali," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Isnin.
Selain itu Shafie yang juga Naib Presiden Umno turut menyifatkan penyebaran laporan polis berkenaan oleh pihak-pihak tertentu sebagai tindakan berniat jahat.
"Kenyataan-kenyataan iringan oleh individu yang menyebarluaskan salinan laporan polis berkenaan adalah berniat jahat dan berunsurpolitik semata-mata," katanya.
Tambah Shafie, beliau sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya berhubung isu berkenaan.
"Saya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang terus-terusan memfitnah saya dan mengaitkan saya dengan perkara ini," katanya.
Laporan polis itu sebelum ini didedahkan oleh Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin kepada pihak media di Parlimen.
Berdasarkan laporan polis bertarikh 13 Mac tahun ini, Noor Azman mendakwa Zahida telah menerima wang sebanyak RM58,000 pada Oktobertahun lalu, RM112,000 pada November, RM330,000 pada bulan Disember dan RM510,000 pada Januari tahun ini.
Zahida bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung isu berkenaan.
Tuesday, April 10, 2012
Adney kekasih Saleha
JIKA sesetengah artis wanita popular mengambil langkah berdiam diri atau mengelak apabila disoal mengenai kekasih, tetapi tidak bagi pelakon wanita yang popular menerusi watak Nora Elena, Siti Saleha, 22.
Adik kepada penyanyi Sam (Bunkface) itu mengakui dia kini sedang intim dengan seseorang. Jejaka tersebut juga dikenali ramai. Dia yang dimaksudkan ialah penjaga gol negeri Sabah bernama Syed Adney Syed Hussein yang juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.
Saleha turut memberitahu Adney merupakan bekas kekasihnya sebelum ini dan hubungan mereka putus di tengah jalan kerana salah faham. Masih sayang antara satu sama lain, hubungan mereka kembali bertaut dan kini sedang menuju ke arah satu hubungan yang lebih serius dan matang.
Ikuti perbualan Kosmo! bersama pelakon itu mengenai kekasih hatinya ketika ditemui di set penggambaran filem KL Zombie yang berlangsung di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Kosmo!: Boleh berkongsi dengan kami tentang kekasih anda? Khabarnya ada gosip yang mendakwa anda bercinta dengan penjaga gol Kelantan?
SALEHA: Dia seorang penjaga gol Sabah. Kenapa pula penjaga gol Kelantan yang disebut. Dia juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.
Sejak bila kalian bercinta sedangkan sebelum ini anda menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka Inggeris bernama Robin Coenraad berikutan beberapa kali anda berdua muncul bersama dalam beberapa acara hiburan sebelum ini?
Oh itu dulu. Saya dengan dia sudah lama putus. Putus dengan dia sebab dia tak faham kerjaya saya sebagai artis. Misalnya, kalau tengok saya berlakon dengan artis lelaki dia akan cemburu.
Sudah berapa lama anda dan juga penjaga gol Sabah iaitu Syed Adney bercinta?
Sudah dua tahun dan dia merupakan bekas kekasih saya tetapi tak perlulah saya terangkan lebih lanjut.
Anda begitu terbuka bila bercerita tentang kekasih. Tidak takut pada pandangan peminat dan masyarakat?
Apa salahnya bercerita tentang kekasih, tetapi biar ada hadnya. Saya juga tahu had untuk saya bercerita tentang kekasih.
Apakah yang membukakan hati anda untuk menerima Syed Adney semula sedangkan anda berdua pernah berpisah sebelum ini?
Saya dan keluarga dia baik terutama sekali dengan kakak dia, Sharifah Sofea. Saya selalu datang ke rumah mereka jika ada majlis. Ibu dia juga saya sudah anggap seperti ibu saya sendiri. Bila terserempak dengan dia, perasaan sayang antara satu sama lain masih ada. Disebabkan itu, kami bersama semula. Walaupun jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk tetapi dia sangat memahami.
Hubungan anda berdua semakin serius. Sudah ada sebarang perancangan di masa hadapan?
Buat masa ini kami belum fikir lagi tentang masa depan. Umur saya juga masih muda baharu 22 tahun.
Menyentuh mengenai filem KL Zombie, boleh anda cerita mengenai watak anda dan gandingan anda bersama pelawak terkenal Zizan?
Dalam filem arahan M.J Woo ini, saya memegang watak Nora, seorang gadis yang menceburi perniagaan Skim Jualan Langsung (MLM). Satu peristiwa telah berlaku hingga menyebabkan dia terheret sama dalam serangan zombie di ibu kota Kuala Lumpur. Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Zizan Raja Lawak. Sebelum ini kami pernah berlakon bersama dalam Cintaku 120 KM/J.
Begitu sibuk dengan kerjaya lakonan bagaimana pula perancangan anda untuk menyambung pelajaran?
Buat masa ini saya terpaksa menangguhkan pelajaran seketika. InsyaAllah tahun depan saya akan sambung pengajian di United Kingdom. Mungkin dalam bidang perniagaan.
Tidak sayang untuk meninggalkan dunia lakonan seketika dan juga kekasih hati apabila mengambil keputusan menyambung pengajian tahun depan?
Itu adalah pengorbanan yang perlu saya lalui. Saya dan dia memang jarang berjumpa. Kami hanya berhubung melalui Skype dan pelbagai teknologi komunikasi lain. Saya juga tiada masalah kalau tidak berjumpa dengannya. Asalkan masing-masing tahu menjaga hubungan.
Tasha Shila Lebih Selektif Memilih Watak Selepas Menang ABPBH
GENTING HIGHLANDS: Pelakon Tasha Shila akan lebih selektif dalam pemilihan watak selepas ini kerana tidak mahu para peminat dan penonton berasa bosan dengan kemunculannya di televisyen.
Tasha berkata, dia mengambil keputusan itu kerana tidak mahu dilabel sebagai artis “stereotype” kerana sering tampil dengan watak yang sama.
"Ini bukan soal demand tetapi ingin mengelak orang berasa bosan sebab asyik bawa watak yang sama sahaja setiap masa. Tambahan pula, tahun ini saya memang berazam untuk mempelbagaikan lagi kebolehan berlakon supaya kehadiran saya dapat memberi kesan kepada penonton," ujarnya kepada mStar Online.
Tasha ditemui selepas berlangsungnya Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) di sini pada malam Ahad.
Pelakon itu memenangi kategori Pelakon Wanita Baru Popular pada majlis tersebut.
Tambah Tasha, dia juga akan lebih memilih projek filem yang diterimanya kerana sebelum ini tiga filem lakonannya tidak memberikan impak kepada penonton.
"Ada beberapa tawaran filem pada tahun ini tetapi saya perlu lebih berhati-hati memilih kerana mahu watak itu memberikan impak kepada penonton dan bukan hanya diingati sebagai pelakon yang sering bawa watak 'gedik'," katanya.
Bagaimanapun, Tasha berkata, keputusannya itu tidak ada kena mengena dengan kemenangannya pada ABPBH 2011 sebaliknya merasakan perkara itu perlu dilakukan untuk memastikan kerjaya lakonannya stabil.
"Saya masih orang yang sama sebelum memenangi anugerah ini dan rasanya tiada sebab untuk berubah selepas memenangi anugerah ini.
"Kemenangan di ABPBH 2011 adalah sebagai satu tanggungjawab kepada saya untuk lebih serius terhadap apa yang saya lakukan dan yakin peminat sentiasa bersama saya," ujarnya.
Dalam pada itu, Tasha berkata, dia memasang angan-angan untuk melebarkan kerjaya seninya ke luar negara sebagai pelakon dan berharap cita-citanya itu akan tercapai suatu hari nanti.
Tasha berkata, dia perlu bekerja keras untuk merealisasikan impiannya itu kerana menyedari ia bukan satu perkara mudah.
"Semenjak bergelar pelakon telah banyak perkara yang saya lalui sama ada baik atau pun buruk demi mengejar sebuah kejayaan. Namun saya tidak pernah berputus asa.
"Atas dorongan itu juga saya yakin dapat mengejar impian saya dengan berkat doa keluarga, peminat dan usaha," katanya.
Sementara itu, Tasha memberitahu dia bakal muncul dengan beberapa buah drama dan telefilem seperti Landasan Cinta, Takdir Yang Terindah dan Friday I'm in Love.
Anne Hathaway Tampil Rambut Pendek
SEBELUM ini, pelakon Anne Hathaway mengakui telah mengikuti diet ketat apabila hanya mengambil sebanyak 500 kalori sehari demi menjayakan sebuah filem lakonannya.
Kini, pelakon filem Les Miserables itu turut mengorbankan rambut panjangnya dan tampil dengan imej berambut pendek.
Namun tidak dapat dipastikan adakah Anne memotong rambut kerana peranan baru dalam filem atau memang ingin tampil dengan imej baru.
Dailymail melaporkan, kelibat Anne, 29, dengan imej baru itu dilihat selepas meninggalkan sebuah kelab malam pada Ahad lalu sehingga ada yang tidak perasan kehadirannya.
Anne ketika itu bersama tunangnya, Adam Shulman dan beberapa teman lain kelihatan tidak selesa apabila pengunjung asyik memerhatikan dirinya.
Rasa kekok itu telah membuatkan pelakon itu menyembunyikan rambutnya di sebalik jaket yang dikenakan.
Thursday, April 5, 2012
Diana Danielle ligat di pentas nyanyian
Artis kacukan Melayu-Inggeris Diana Danielle sememangnya dikenali sebagai pelakon, namun Diana juga sempat bergelar seorang penyanyi apabila dia muncul dengan lagu single berjudul Tak Pernah Ada.
Selain itu, kekasih kepada aktor Farid Kamil ini juga pernah berkolaborasi bersama Mawi menerusi lagu Penyembuh Rindu dan lagu Radio duet bersama Imran Ajmain serta pelawak terkenal, Nabil.
Disebabkan bakat yang ada pada Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 20, dia menjadi pilihan pihak penganjur, Dirich Vision Sdn. Bhd. untuk menjayakan persembahan sempena Festival Pengantin Malaysia ke-11 yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 April ini di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Selain Diana, festival yang bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam itu turut mengundang penyanyi lain seperti Alif Satar, Ila Damia dan Altimet. Diana dan Alif dijangka menghiburkan bakal pengantin pada hari Sabtu iaitu 7 April, pada pukul 2 petang.
Penyanyi rap Altimet dan Ila Damia pula akan berkongsi pentas menghiburkan ribuan pengunjung pada keesokannya (Ahad), pada pukul 3 petang.
Diana berkata, inilah kali pertama dia menerima undangan Festival Pengantin Malaysia dengan kunjungan lebih 15,000 orang pengunjung setiap kali diadakan sekitar Lembah Klang.
“Mungkin saya lebih dikenali sebagai pelakon, tetapi saya juga meminati bidang nyanyian. Saya sudah memiliki dua lagu single, Penyembuh Rindu dan Radio. Menerusi dua lagu berkenaan, saya kerap menerima undangan pentas nyanyian.
“Saya juga pernah diundang sebagai artis pembuka tirai konsert peniup saksofon antarabangsa, Kenny G, tahun lalu. Alhamdulillah, rezeki nyanyian semakin terbuka luas,” ujarnya.
Diana mengakui cukup terharu apabila diundang sebagai salah seorang penyanyi pada Festival Pengantin Malaysia. Undangan itu sebagai bukti bakat nyanyian diakui oleh pihak penganjur.
“Saya terharu diundang ke festival pengantin. Bagi saya, festival pengantin ini memudahkan bakal pengantin membuat pilihan dalam merancang majlis bersejarah mereka.
“Festival khas untuk mempelai itu juga akan menampilkan pakar dalam bidang perkahwinan bersatu di bawah bumbung yang sama untuk menyediakan perkhidmatan kepada bakal pengantin, sekali gus memudahkan mereka untuk merancang persediaan majlis yang bakal berlangsung secara gemilang kelak.
“Apa yang menarik, mereka boleh mendapat tawaran harga yang istimewa sepanjang festival pengantin ini berlangsung, yang tidak boleh dinikmati pada hari-hari biasa. Ini adalah peluang keemasan untuk mereka merancang perkahwinan mereka serta boleh berjimat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Dirich Vision Sdn Bhd, Nor Sharlina Abdul Rashid, berkata Festival Pengantin Malaysia, salah satu platform untuk usahawan yang terbabit dalam industri perkahwinan untuk menyertainya.
Dalam festival berkenaan, pihak penganjur menyediakan ruang pameran yang lengkap bagi pengusaha mempamerkan hasil reka cipta secara terus kepada bakal pengantin.
“Antara perkhidmatan disediakan ialah andaman pengantin, perancang perkahwinan, fotografi dan videografi, kad kahwin, cenderamata, perhiasan, aksesori, dewan majlis perkahwinan, ejen perancang industri perkahwinan, pusat penjagaan kecantikan dan perkhidmatan katering.
“Selain itu, penganjuran festival ini dapat dijadikan platform untuk usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan mereka, yang mana pengusaha butik perkahwinan dapat memberikan khidmat nasihat di gerai pameran masing-masing, sekali gus menambah bilangan pelanggan.
Bagi keterangan lanjut, mereka yang berminat boleh layari laman sosial Facebook Festival Pengantin Malaysia.
Rihanna Tidak Menyesal Berbaik Dengan Chris Brown
PENYANYI terkenal, Rihanna tidak peduli dengan tanggapan negatif daripada pelbagai pihak mengenai keputusannya untuk berbaik-baik dengan bekas kekasihnya iaitu Chris Brown.
Rihanna yang terkenal dengan lagu Umbrella ini memberitahu dia tidak pernah menyesal berbaik kembali dengan Chris walaupun lelaki itu pernah membelasahnya dua tahun lalu.
"Masyarakat boleh kata apa sahaja mengenai keputusan itu kerana ia bukan masalah saya," ujarnya kepada majalah Fashion.
Sebelum ini para peminat penyanyi itu berang dengan tindakannya menjalinkan hubungan semula dengan Chris dan meminta Rihanna untuk tidak mendekati lelaki itu.
Bagaimanapun dengan perkembangan terbaru ini, nampaknya impian peminatnya tidak akan tercapai.
"Saya masih akan menjadi orang yang sama seperti sebelum ini dan tiada apa berubah," ujarnya.
Chris menjadi sasaran peminat Rihanna apabila telah menggasari kekasihnya itu dalam satu insiden pada malam sebelum Anugerah Grammy pada tahun 2009.
Ingin melupakan kejadian itu, Rihanna memberitahu dia menganggap kejadian itu sebagai satu pelajaran buatnya.
Siti tidak curigai Datuk K
BUKAN kali pertama, namun sudah dua kali gosip ini bertiup kencang. Gosip yang mengaitkan suami kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K dengan aktres jelita, Rozita Che Wan.
Gosip yang mendakwa Datuk K menjalin hubungan sulit bersama Rozita kembali bersemarak setelah beberapa lama sunyi kerana tidak ada bukti kukuh.
Namun pada 17 Mac lalu, muncul gosip dalam blog-blog hiburan mendakwa anak bongsu Rozita iaitu Aniq Ezra Azuar Effendy,14, lari dari rumah sebelum ditemui beberapa jam kemudian di rumah rakannya di Subang Jaya tidak jauh dari rumah.
Insiden itu pada mulanya dikatakan ekoran Rozita sudah berkahwin dengan seorang Datuk. Spekulasi timbul kembali mendakwa Datuk yang dimaksudkan itu ialah Datuk K!
Isu itu selesai kerana semasa memberi keterangan kepada pihak polis, Aniq Ezra dikatakan mengakui lari kerana merajuk dan berkecil hati dengan sikap Rozita yang dilihat terlalu melebih-lebihkan abangnya iaitu Ammar Effendi, 15.
Biarpun begitu, apa yang jelas sekali lagi Rozita dan Datuk K dikaitkan, biarpun tiada bukti kukuh menunjukkan yang gosip yang disebarkan beberapa blog hiburan tersebut benar.
Pada masa yang sama ketika diminta mengulas gosip terbaharunya itu, Rozita menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut dan berhasrat untuk menyaman pihak yang mengaibkan dirinya itu.
Namun apa pula yang bermain di benak perasaan Siti selaku isteri kepada Datuk K?
Kosmo! sempat meminta penjelasan dan menyelami perasaan Siti sendiri setelah dilanda gosip yang sama sebanyak dua kali.
Peluang menemu bual figura jelita ini terbuka sewaktu dia hadir dalam sidang akhbar di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada Isnin lalu sempena pengumuman majlis Hari Ibu Bersama Datuk Siti Nurhaliza 2012.
Kosmo!: Apa komen Siti apabila gosip Datuk K dan Rozita heboh diperkata sekali lagi. Kali ini lagi teruk kerana mereka didakwa telah berkahwin.
Siti: Kalau boleh Siti tidak mahu komen kerana jika ditulis, lagi orang akan bercakap. Siti pernah memberitahu rakan-rakan wartawan, Siti malas nak komen kerana akan besar lagi isu ini. Cuma Siti mahu cakap di sini, apa-apa pun fikir dulu sebelum kita buat gosip seperti ini.
Siti sudah tiada reaksi yang mahu diberikan. Siti pun langsung tidak bertanyakan tentang hal itu kepada suami kerana Siti tahu memang tiada apa-apa pun yang betul tentang cerita itu. Jadi tiada langsung sepatah perkataan menyebut tentang ini kerana kita tahu kenyataannya bagaimana. Siti tiada perasaan marah sedikit pun terhadap Rozita. Ini kerana bagi Siti cerita ini memang tidak betul dan sengaja diada-adakan.
Apa perasaan Siti ketika ini?
Biarlah mereka (penyebar gosip menerusi blog di Internet). Sekarang Siti seperti tiada perasaan terhadap perkara ini. Geram memanglah geram tetapi jika kita selalu layan orang begini, memang kita juga yang sakit hati dan pening kepala. Jika orang yang betul-betul tidak kuat dan terbawa-bawa emosi, mungkin mereka akan lakukan sebegitu. Namun bagi Siti, tiada apa pun. Siti percaya kepada suami.
Tapi Siti ada tak pergi berjumpa dengan Rozita atau sebaliknya?
Tidak sama sekali dan tiada sebab untuk kami berbuat begitu. (ketawa)
Adakah ia mengganggu hubungan Siti bersama Rozita sendiri?
Andai Siti dan Rozita bersua pada majlis Anugerah Bintang Popular (yang bakal berlangsung pada Ahad ini), kami akan bertegur sapa seperti biasa. Tiada sebab untuk Siti mahu memusuhi Rozita atau mengelak daripada berhadapan dengan dia. Tiada sebab langsung. Ini kerana Siti tahu memang ini semua (hubungan sulit Datuk K-Rozita) tidak berlaku.
Rozita ingin ambil langkah untuk saman individu tersebut, justeru adakah Siti juga akan mengambil tindakan yang sama?
Ada juga saya dan suami terfikir. Jika betul kami jumpa individu tersebut, memang akan kami lakukan. Namun orang yang di alam maya (penulis gosip blog) ini agak sukar untuk dicari siapakah sebenarnya mereka. Siti rasa kesabaran Siti dan suami hanya Allah sahaja yang tahu. Suami pun kecewa dan mengalami tekanan kerana rakan-rakannya sering bertanya tentang hal ini. Ia sehingga membuatkan fikiran dia benar-benar terganggu. Siti kenal suami Siti, insya-Allah dan rasanya tiada langsung perkara sebegini berlaku, apa lagi untuk mencurigai suami Siti.
Andai kata penyebar gosip itu sekali lagi menghebohkan tentang perkara itu di masa hadapan, adakah Siti akan ambil tindakan?
Biarlah, kita akan berdoa dan berserah kepada Allah supaya orang yang buat fitnah itu akan diampuni dosa oleh Allah dan kembali ke pangkal jalan. Itu Siti rasa jalan terbaik kerana Siti rasa dia pun tahu, fitnah itu lebih keji daripada membunuh.
Pengakuan terbuka Sheila Majid
RATU Jazz negara, Datuk Sheila Majid, 47, membuat pendedahan secara terbuka bahawa kebanyakan lagu yang dicipta pada zaman ini tidak melekat di jiwanya dan mudah dilupakan kerana melodinya kedengaran serupa dengan lagu-lagu yang lain.
Disebabkan itu dia mengakui perlu bersikap cerewet memilih lagu biarpun perlu mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan lagu baharu. Sikap cerewet Sheila itu juga menjadi bukti mengapa dia masih bertahan dalam industri muzik sehingga kini.
“Jika saya bawa kereta dari rumah ke destinasi sambil dengar radio, tak ada satu lagu pun yang boleh diingat. ‘It’s all can easily forgettable’. Bukan nak kata saya sudah tua tetapi lagu-lagu sekarang kebanyakannya tidak ada jiwa. Ia lebih kepada tempo semata-mata. Kenapa lagu-lagu dulu masih diterima sehingga kini sebab ia ada jiwa dan mampu memberi impak kepada pendengar sekali gus menyebabkan penyanyi itu bertahan sehingga kini.
“Sejak dua tahun lalu saya masih tercari-cari dan menunggu untuk dapatkan lagu yang benar-benar kuat dari segi melodi dan juga lirik tetapi tiada,” ujarnya jujur selepas sidang akhbar sempena minggu setiausaha, A Day with Living Legend - Sheila Majid di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur.
Akuinya, dia banyak menerima lagu daripada pelbagai komposer tetapi sukar untuk membuat pilihan kerana lagu yang diterima tidak begitu kena dengan jiwanya.
“Saya memang selektif dalam pemilihan lagu sejak dari dulu lagi. Ada yang lirik okey tapi tak kena dengan melodi. Kedua-dua perlu seimbang. Kalau boleh saya mahu lagu yang boleh menarik jiwa pendengar,” jelasnya.
Yuna dan Najwa
Namun begitu, walaupun Sheila menyelar generasi masa kini dunia muzik tempatan, namun dia penuh berkeyakinan terhadap dua penggiat muzik muda, Najwa Mahiaddin dan Yuna.
Berkongsi cerita, Sheila mengakui pernah meminta lagu daripada dua komposer muda iaitu Najwa Mahiaddin dan Yuna kerana tertarik dengan kebolehan mereka menulis dan mencipta lagu dengan baik.
“Yuna dan Najwa terkejut apabila saya minta mereka buat lagu untuk saya. Mereka ingat saya bergurau. Hakikatnya mereka benar-benar berbakat dan sebab itulah saya ingin bekerjasama dengan mereka,” ungkapnya.
Ujar Sheila, seseorang penyanyi itu juga tidak semestinya menerima bulat-bulat lagu yang diberikan oleh komposer, sebaliknya perlu dengar dan buat perubahan agar lagu tersebut menjadi lebih menarik.
Sheila juga menyelar penyanyi-penyanyi sekarang yang kebanyakannya lebih banyak menjerit daripada menyanyi.
“Cara nyanyian juga penting. Ia patut sedap didengar. Penyanyi sekarang bukan menyanyi tetapi menjerit-jerit,” katanya yang bakal muncul dengan album terbaharunya tidak lama lagi.
Menurut Sheila lagi, terdapat sebuah lagu Indonesia yang akan diberikan nafas baharu turut dimuatkan dalam albumnya nanti. Sheila juga akan muncul dengan single terbaharunya sebelum kemunculan album penuh.
Lagu rezeki
Ditebak soalan adakah dia bosan menyanyikan lagu yang sama berulang kali seperti Sinaran atau Ku Mohon pada setiap persembahannya, akui Sheila dia memang bosan.
Hakikatnya dia sedar lagu tersebut merupakan lagu ’rezekinya’ kerana ia menjadi pilihan pendengar peminat-peminatnya sehingga kini.
“Memang saya akui bosan menyanyikan lagu yang sama seperti Sinaran setiap kali persembahan tetapi terpaksa berbuat demikian demi peminat. Sinaran adalah lagu ‘rezeki’. Saya tidak boleh kata tidak untuk menyanyikannya. Jika saya tak nyanyikan lagu tersebut peminat akan marah,” akuinya.
Bercerita tentang konsert Legendary Concert 2012 yang akan berlangsung pada bulan Mei dan Jun ini, ungkap Sheila, dia sangat teruja untuk beraksi bersama tiga penyanyi hebat iaitu Amy Search, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin.
“Saya sangat teruja untuk buat persembahan dengan mereka. Saya akui banyak belajar dengan Zainal. Ketika itu dia masih dengan Headwind. Dia memang seorang penghibur yang bagus. Dia tak takut untuk bercakap ketika persembahannya.
“Menariknya, setiap apa yang dituturkan dirinya membuatkan penonton suka dan terhibur. Dia sangat berpengalaman. Amy pula, walaupun dia tak bercakap banyak masa persembahan tetapi bila dia buat persembahan, dia boleh jadi raksasa. Jamal pula tak perlu menyanyi pun orang sudah teruja tengok dia,” ungkapnya jujur.
Kongsinya, walaupun masa latihan suntuk kerana ia berlangsung pada hujung bulan ini namun dia tidak tertekan kerana pemuzik-pemuzik konsert tersebut sudah acap kali bersamanya ketika persembahan.
Konsert yang dinantikan untuk tahun ini juga dikatakan memberi keterujaan besar buat peminat empat legenda ini kerana hampir semua tiket VIP sudah habis dijual.
Konsert yang dibawakan oleh Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd. itu telah memilih lima lokasi berbeza iaitu di Stadium Larkin, Johor Bahru (5 Mei), Kota Kinabalu, Sabah (19 Mei), Kuching, Sarawak (26 Mei), Pulau Pinang (23 Jun) dan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.
Eksklusif Sheila
Dalam perkembangan lain, Sheila cukup teruja untuk mengadakan persembahan sempena sambutan minggu setiausaha di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini.
Bakal mengadakan persembahan selama 45 minit, turut berganding dengannya ialah pelawak dan pelakon Dee.
“Ini adalah kali pertama saya akan menyanyi di Menara Kuala Lumpur dan sudah ada beberapa idea untuk persembahan itu nanti,” kongsinya yang merupakan artis kedua yang mengadakan persembahan untuk Minggu Setiausaha di situ selepas Jamal Abdillah.
Sheila juga optimis biarpun harga tiket yang dikenakan agak tinggi ia mampu menarik bukan sahaja bos dan setiausaha malah peminat-peminatnya sendiri.
Hanya eksklusif menerima satu tawaran sahaja untuk Minggu Setiausaha, Sheila juga memberitahu, akan menyanyikan sebanyak tujuh buah lagu pada hari itu.
Bermula pada pukul 12 tengah hari, tiket untuk menyaksikan A Day with Living Legend - Sheila Majid dijual pada harga bermula RM500 sehingga RM6,500 (berkumpulan).
Monday, April 2, 2012
Olivia Newton-John Pukau 3,500 Peminat Di Genting Highlands
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon veteran Olivia Newton-John berjaya memukau 3,500 peminat dengan imbauan lagu-lagu malar segarnya pada konsert Olivia Newton-John: Live in Concert di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, Khamis lalu.
Konsert tersebut bermula pada pukul 8 malam dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi tempatan, Farhan Azizan (AF4) menerusi lagu Gary Moore Still Got The Blues dan Whitney Houston Greatest Love of All.
Pada konsert itu, Newton-John menyampaikan lagu-lagu popularnya termasuk You’re The One That I Want, Hopelessly Devoted to You, Physical dan I Honestly Love You dengan vokal menawan.
Konsert yang mengimbau kronologi muzik pemenang anugerah Grammy sebanyak empat kali itu bermula daripada lagu-lagu hits genre country sehingga muzik di era kemasyuran filem lakonannya, Grease.
Dia memulakan persembahan dengan lagu Pearls on a Chain yang dipetik daripada album terbaru Grace and Gratitude Renewed dan rangkaian lagu medley daripada filem terbarunya A Few Best Men.
Persembahan Newton-John di Malaysia adalah sebahagian daripada siri jelajah promosi Asia termasuk di Jepun, Thailand, Singapura, Hong Kong, Filipina, Indonesia dan Sri Lanka.
Newton-John memikat peminat di seluruh dunia menerusi bakat, kecantikan dan pembabitannya dalam aktiviti kemanusiaan selama lebih empat dekad.
Dia turut dilantik sebagai Goodwill Ambassador kepada United Nations Environment Programme.
Album pertamanya di Amerika Syarikat Let Me Be There melayakkan dia menembusi carta Top 10 di sana, selain turut dinobatkan Vokalis Harapan Wanita di Academy of Country Music dan Vokalis Country Terbaik di Grammy Award.
Selain sibuk dengan karier nyanyian dan lakonan, bintang berusia 64 tahun itu juga sedang mempromosikan buku masakan bertajuk LivWise: Easy Recipes For A Healthy, Happy Life.
Dia yang kini bebas daripada kanser payudara turut aktif dalam kempen kesedaran dan penyelidikan berkaitan kanser itu.
Pada Jun depan, Newton-John bakal melancarkan Olivia Newton-John Cancer and Wellness Centre di tempat asalnya Melbourne, Australia.
Konsert tersebut dianjurkan oleh Offshore Entertainment Production Sdn. Bhd.
Sembilan Tahun Beza Umur Tidak Halang Azza (Elite) & Azlan Bina Rumah Tangga
AMPANG: Suami kepada Azza (Elite) iaitu Azlan Zulaily tidak menganggap perbezaan umur sembilan tahun antara mereka sebagai halangan untuk membina rumah tangga.
Azlan,25, berkata, dia sendiri tidak pernah mengira usia isterinya itu sebaliknya menerima wanita berkenaan kerana sifatnya.
"Azza seorang yang suka berterus terang. Yang penting dia seorang yang kelakar. Itu yang menyebabkan saya menyukai dia," katanya kepada mStar Online selepas diijabkabulkan sebagai suami isteri di Masjid Bukit Antarabangsa di sini, Ahad.
Pada majlis itu pihak lelaki memberikan sembilan dulang hantaran berbalas sebelas oleh pihak perempuan.
Wang hantaran sebanyak RM10 ribu.
Azlan yang merupakan pramugara AirAsia menambah selepas diijabkabulkan perasaan berdebarnya hilang dan mula berfikir untuk menjadi suami yang sempurna terhadap Azza.
Sementara itu Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari,34, berkata masih belum memikirkan lokasi berbulan madu.
Mengenai soal anak, kedua-dua mereka menyerahkan kepada Allah dan tidak berhasrat untuk merancang.
Antara artis yang hadir pada majlis nikah mereka seperti Rozita Che Wan, Roslan Shah serta anggota Elite iaitu Abby Abadi, Watie dan Sasha.
Majlis resepsi kedua-dua pasangan itu mendapat tajaan pasaraya Mydin dan akan diadakan di Ipoh pada tarikh yang belum ditetapkan lagi.
Azza sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 14 Februari 2001 di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan berpisah pada tahun 2005.
Hasil perkahwinan itu mereka tidak mendapat cahayamata sebaliknya Azza memilih untuk memelihara seorang anak angkat iaitu Marissa Janna yang kini berusia tujuh tahun.
Mentor 6: Caroline Tidak Tumpang Aura Ella
SHAH ALAM: Ratu rock negara, Ella menegaskan kemenangan protegenya Caroline pada konsert pertama kumpulan B dalam program Mentor musim keenam bukan dipengaruhi oleh aura dan pesonanya.
Ella berkata auranya sebagai bintang rock negara tidak mencukupi jika Caroline sendiri gagal mempamerkan mutu persembahan yang baik.
"Aura saya sahaja tidak cukup jika Caroline tidak buat persembahan yang baik. Ia memerlukan keseimbangan daripada kami untuk disukai oleh juri dan penonton.
"Apa pun, dia telah memukau saya dalam persembahannya. Saya gembira kerana dia berpotensi besar dan versatil," katanya ketika ditemui mStar Online, di sini, malam Ahad.
Caroline atau nama sebenarnya Puteri Caroline Mohd Kamel, 20, mengungguli kumpulan itu dengan 71 peratus markah pada persaingan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam Ahad.
Menyusul di belakangnya adalah protege Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) iaitu Zatul sebanyak 54 peratus manakala Adam dan protegenya, KJ mengutip 52 peratus.
Caroline pula berkata dia sudah berusaha menampilkan persembahan terbaik mengikut kemampuannya dan bukan bersandarkan pada pesona mentornya itu bagi meraih perhatian.
"Saya masih belum beri sepenuhnya pada malam ini (Ahad). Masih banyak yang perlu saya keluarkan pada persembahan akan datang tetapi saya seronok," katanya.
Gadis dari Tanah Merah, Kelantan itu menyampaikan lagu Cinta Di Hujung Jalan nyanyian asal Agnes Monica untuk persembahan solo dan tampil berduet bersama Ella dalam lagu Rindu.
Zatul mendendangkan lagu solo Ketulusan Hati (Anuar Zain) dan berduet dengan mentornya Ogy menerusi Wajah Rahsia Hati.
KJ pula menyampaikan lagu solo One In A Million (Neyo) dan duet bersama Adam dalam lagu Breakdown (Kim Hyun Joong).
Kesemua protege mengalunkan rangkaian lagu medley bagi segmen penghargaan kepada komposer Azmeer menerusi lagu Langit Ketujuh, Cinta Adam dan Hawa dan Tiga Malam Tanpa Bintang pada persembahan penutup.
Format pengiraan markah bagi musim ini masih kekal iaitu 50% daripada juri profesional, 30% (SMS) dan 20% (juri awam).
Mentor 6 yang masih diacarakan oleh Ally Iskandar Mohd Mardzi dan Nas Ahmad disiarkan secara langsung pada setiap Ahad, pukul 9 hingga 10.30 malam di TV3.
'Super Spontan' : Daphne Iking Tarik Diri Bukan Kerana Afdlin Shauki
PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Daphne Iking terpaksa menarik diri daripada menyertai program terbaru terbitan Astro Warna iaitu Super Spontan pada saat-saat akhir kerana masalah peribadi.
Daphne atau nama Islamnya, Daphne Dahlia Iking berkata, pada dasarnya dia begitu berat hati untuk meninggalkan program berkenaan sebelum ia bermula tetapi keputusan itu dibuat selepas melakukan perbincangan dengan pihak produksi dan ahli keluarganya.
"Saya bukan sengaja untuk meninggalkan program itu secara tiba-tiba kerana semasa sesi pertemuan lagi pihak produksi telah maklum dengan masalah yang saya dihadapi.
"Keputusan ini cukup berat untuk dilakukan bagaimanapun Alhamdulillahlah semua pihak menyokong saya dan memahami bebanan yang dilalui ketika ini," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Daphne bagaimanapun enggan mendedahkan masalah yang dihadapi sehingga membuatkan dia menarik diri daripada menyertai program itu.
Super Spontan telah pun menemui peminat secara langsung bermula 30 Mac lalu menerusi dua saluran serentak iaitu Astro Warna (132), Ria (104) dan SingTel Mio TV di Singapura setiap hari Jumaat pada pukul 10 malam.
Tempat Daphne juga telah digantikan dengan bekas penyampai radio ERA iaitu Nana Mahzan.
Tambah Daphne, dia pada awalnya enggan menarik diri daripada Super Spontan tetapi bimbang tidak dapat memberikan komitmen kepada jadual program dan pasukan produksi yang akan menimbulkan masalah di kemudian hari.
Daphne berkata, dia juga telah menjalani pelbagai latihan bagi memantapkan persembahannya nanti dan begitu teruja untuk bekerjasama dengan semua pelawak dan pelakon terkenal yang terlibat.
Dalam pada itu, Daphne turut menolak dakwaan penarikan dirinya daripada program terbitan Vision Works milik pelakon dan penerbit, Afdlin Shauki itu adalah disebabkan percanggahan pendapat di antara mereka.
Daphne memberitahu, tidak timbul sebarang konflik di antara mereka dan peserta sebaliknya ia adalah keputusan muktamad daripada dirinya.
"Kami semua bagaikan satu keluarga jadi perkara itu adalah merepek kerana hubungan kami semua sungguh rapat. Malah saya rasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan mereka," katanya.
Daphne turut meluahkan perasaan sedih kerana tidak dapat bersaing dengan seorang lagi peserta wanita dalam program itu iaitu pelakon Yasmin Hani.
Katanya, mereka sering menghabiskan masa dengan membuat pelbagai kajian dengan menonton pelbagai persembahan komedi selain berlatih bersama-sama sebagai persediaan.
"Sedih sangat tak dapat berentap dengan Hani tetapi saya akan terus menyokongnya dalam program itu nanti," ujarnya.
Sebelum ini, Daphne memberitahu, dia tidak berfikir panjang saat dipelawa oleh pihak penerbit kerana sudah lama ingin melakukan sesuatu yang berbeza dalam kerjayanya terutama sekali untuk bergelar pelawak.
Datuk K Tertekan Tuduhan Kahwin Rozita Che Wan
SUBANG JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mendedahkan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K agak tertekan selepas timbul gosip kononnya suami beliau itu telah menjalinkan hubungan sulit dengan pelakon popular, Rozita Che Wan.
Siti berkata, disebabkan suaminya seorang ahli korporat, beliau sering berjumpa dengan klien dan mereka kerap bertanyakan desas-desus berkenaan sehingga membuatkan fikiran Datuk K benar-benar terganggu.
"Gosip itu secara dasarnya telah memfitnah beliau dan sudah tentu menjejaskan emosinya kerana beliau telah dipandang serong oleh segelintir kenalan," ujarnya kepada mStar Online selepas ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Datuk Siti Nurhaliza - Istimewa Hari Ibu di sini pada Isnin.
Siti diminta mengulas mengenai dakwaan terbaru yang disebarkan oleh beberapa blog hiburan kononnya Datuk K bakal berkahwin dengan Rozita Che Wan.
Rozita dalam masa sama turut menepis fitnah tersebut dan menganggap ia bertujuan untuk mengaibkan dirinya.
Dalam pada itu, Siti berkata, dia mempercayai keikhlasan Datuk K dan tidak pernah mempunyai perasaan curiga kerana mereka sering bersama.
"Saya kenal siapa Datuk K kerana dan sepanjang perkahwinan kami belum pernah ada perasaan sangsi di antara satu sama lain. Tambahan pula, kami sering bersama," ujar Siti.
Jelas Siti, ketika gosip tersebut tersebar dia tidak pernah bertanyakan perkara itu kepada suaminya kerana menganggap ia sebagai satu fitnah semata-mata.
Malah beliau percaya jika perkara itu dibangkitkan, ia akan merosakkan rumah tangga mereka.
Sementara itu, ditanya adakah beliau ada berbincang dengan Rozita mengenai tuduhan itu, Siti memberitahu dia tidak perlu berbuat demikian.
“Rozita juga adalah mangsa dan hubungan kami tidak mempunyai sebarang masalah. Rozita sendiri sudah menafikan perkara itu dan tidak perlu rasanya untuk saya berjumpa dan meminta penjelasan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Siti bakal mengadakan sambutan istimewa bersempena sambutan Hari Ibu pada 13 Mei depan di Hotel Grand Dorsett di sini.
Siti berkata, beliau teruja untuk mengadakan persembahan berkenaan selepas kali terakhir menghiburkan para ibu pada tahun 2007.
"Kebetulan pada tarikh itu saya tidak ada sebarang aktiviti dan jemputan daripada pihak penganjur benar-benar menarik minat saya untuk menghiburkan para ibu pada hari istimewa itu nanti," ujarnya.
Tambah Siti, dia akan membuat persembahan selama 45 minit dengan pelbagai seleksi lagu lama dan baru sesuai dengan tema pada majlis berkenaan.
Tiket bagi mengikuti majlis berkenaan dijual dengan harga RM1,000, RM500, RM400, RM300 dan RM250 seorang. Tempahan juga boleh dibuat dengan menghubungi Hotel Grand Dorsett di talian 03-5031-6060 atau 019-690 3767 (Anis), 019-3838 115 (Ros) atau pun boleh melayari Facebook 'Hari Ibu Bersama Datuk Siti Nurhaliza 2012’ untuk maklumat lanjut.