Saturday, March 31, 2012

Dakota Fanning Anggap Sebagai Twitter Musuh


JIKA selebriti lain menganggap Twitter adalah media yang efektif untuk mendekatkan diri dengan pada peminat, lain pula pemikiran aktres Dakota Fanning mengenai laman sosial tersebut.

Dakota yang berusia 18 tahun itu menganggap Twitter adalah musuh termasuklah laman sosial yang lain kerana ia boleh mengganggu ruang privasinya.

"Saya rasa, tak perlulah orang luar nak tahu di mana atau apa yang saya lakukan walaupun ramai yang ingin tahu tentang pergerakan saya.

"Itu bukan cara saya. Saya tak ada Facebook dan Twitter dan tak akan ada. Jadi, jika wujudnya Dakota Fanning di Twitter, ia adalah palsu," katanya kepada Contactmusic.

Sementara itu, pelakon yang meraih populariti pada usia yang muda berkata dia tidak pernah merasakan bahawa dirinya seorang bintang, apatah lagi dipanggil selebriti muda.

Madonna Jual Rumah Berharga RM842 Juta


ADA khabar baru buat penyanyi kesayangan ramai, Madonna. Pelantun lagu “Frozen” ini telah memutuskan untuk menjual kediaman mewahnya di Beverly Hills, Amerika Syarikat yang bernilai USD275 juta (RM842 juta).

Kediaman mewah berkonsepkan gaya Perancis yang mempunyai tiga bilik tidur dan lima bilik air itu telah dibeli pada tahun 2003.

"Ada kemungkinan, dia telah mengubah semula dekorasinya pada ketika ini. Tetapi yang pasti, rumah itu akan dijual.

"Rumah itu penuh dengan memori kerana ia dibeli ketika dia berkahwin dengan aktor Guy Ritchie lagi. Ketika itu harganya cuma USD110 juta (RM337 juta)," kata sumber.

Selain mempunyai ruang yang luas, kediaman tersebut mempunyai sebuah gelanggang tenis dan kolam renang mewah.

Selepas berpisah dengan Guy dan kemudiannya berkahwin dan putus dengan Simon Cowell, Madonna meninggalkan rumah tersebut dan menetap di New York di Townhouse East Side pada tahun 2009.

Tisha diberi tempoh 48 jam


PROGRAM realiti Mentor 6 yang memulakan saingan pada Ahad lalu menyaksikan tiga protege Kumpulan A iaitu Ana Syuhada Noor Asram (protege Ramlah Ram), Anas Ridzuan (protege Faizal Tahir) dan Shanorbiah Shamsir Alam (protege Ferhad) tampil membuat persembahan.

Bagaimanapun, salah seorang peserta yang menjadi tumpuan ramai pastinya Shanorbiah atau lebih dikenali sebagai Tisha yang merupakan peserta bidan terjun apabila menggantikan protege asas Ferhad iaitu Salwani Sawi atau Wanie yang terpaksa menarik diri pada saat akhir.

Mempersembahkan dua buah lagu iaitu Kaulah Segalanya dan Rindu Bayangan, Tisha mengakui ia merupakan satu cabaran yang besar kerana mempunyai masa yang cukup singkat untuk membuat persiapan.

“Pada hari Khamis iaitu tiga hari sebelum konsert mingguan Mentor 6) berlangsung, saya telah mendapat panggilan daripada pihak TV3 meminta saya menggantikan Wanie yang menarik diri. Kemudian pada keesokan harinya, saya terus bertolak dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.

“Apabila turun sahaja dari kapal terbang, saya terus dibawa ke Sri Pentas TV3 di Petaling Jaya dan bertemu dengan Ferhad. Selepas itu kami terus berlatih dan saya hanya mempunyai masa 48 jam untuk menghafal lirik lagu dan menentukan bentuk persembahan,” ujarnya.

Menurut Tisha, biarpun berasa sedikit tekanan kerana masa yang dimiliki cukup terhad untuk membuat persiapan berbanding dua orang lagi protege kumpulan A, namun dia tetap gembira kerana masih mampu membuat persembahan yang baik.

Ujarnya, walaupun pernah menyertai program realiti TV anjuran ntv7, Audition sebelum ini, namun peluang menyertai Mentor 6 akan dijadikan platform buat dirinya untuk bergelar sebagai penyanyi.

“Sudah tentu peluang kedua yang diberikan ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya. Mendapat bimbingan daripada penyanyi hebat seperti Ferhad, saya yakin banyak ilmu dan pengalaman yang boleh saya pelajari,” tuturnya.

Mengulas mengenai pemilihan Tisha sebagai pengganti Wanie, Ferhad memberitahu, Tisha sememangnya sudah berada dalam senarai pendek pilihannya.

Ujar Ferhad, sebelum ini dia memilih Wanie sebagai protege kerana keunikan vokalnya, manakala protege baharunya itu pula dilihat memiliki pakej lengkap untuk bergelar sebagai seorang penyanyi.

“Pada mulanya saya agak gementar dan faham dengan tekanan yang terpaksa dilalui oleh Tisha. Bagaimanapun, dengan persembahan yang ditampilkan, saya yakin dia mampu untuk pergi lebih jauh dalam program ini,” kata Ferhad.

Konsert Mentor 6 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada minggu lalu menyaksikan Anas berjaya mengatasi Ana Syuhada dan Tisha dengan peratusan undian tertinggi untuk minggu pertama.

Anas yang mempersembahkan lagu Kau Di Hatiku mendapat undian sebanyak 79 peratus, manakala Tisha berada di tempat kedua dengan 55 peratus dan Ana Syuhada sekadar memperoleh 51 peratus.

Tahap keyakinan

Sementara itu, salah seorang juri tetap iaitu Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah berkata, dia sangat berpuas hati dengan persembahan Anas, Tisha dan Ana Syuhada dilihat tidak terlalu terikut-ikut dengan gaya mentor masing-masing.

Jelasnya, memandangkan saingan baru sahaja bermula masih ada lagi beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki dan beliau yakin persembahan ketiga-tiga protege akan menjadi lebih bagus pada saingan yang seterusnya.

“Saya tidak nafikan mereka telah membuat persembahan yang cukup menghiburkan, cuma tahap keyakinan diri mereka masih lagi belum memuaskan. Namun, saya percaya masalah sebegini boleh diatasi dengan bantuan mentor mereka.

“Mengenai persembahan pula, saya dapati tiada protege yang menyanyi sumbang atau lupa lirik. Saya harap ia dapat terus dikekalkan pada persembahan yang akan datang,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Kak Pah turut memuji Tisha yang mampu menghadapi segala tekanan dengan persembahan yang menarik, meskipun menjadi peserta bidan terjun dan hanya mempunyai masa yang terhad untuk membuat persiapan.

Serap jiwa Marilyn Monroe


KETIKA artikel ini ditulis, Katharine Hope McPhee sedang berada di Burkina Faso, Afrika untuk menghulurkan sumbangan kepada sebuah sekolah di situ melalui persatuan kebajikan yang ditubuhkannya, McPhee Outreach.

Dalam pada itu, menerusi laman sosial Twitter miliknya itu pada awal minggu ini, Katharine, 28, memaklumkan bahawa produksi televisyen lakonannya, Smash sudah hampir tamat penggambarannya.

Ungkapnya dalam Twitter tersebut: "Selamat malam semua, sudah hampir pukul 5.30 pagi. Tinggal baki enam hari lagi untuk menyudahkan penggambaran Smash musim pertama."

Wataknya dalam drama muzikal itu adalah sebagai Karen Cartwright iaitu seorang wanita yang bercita-cita tinggi dan bekerja keras untuk mencapai sukses dalam dunia pementasan teater pastinya mencetuskan pesona baharu buat bekas peserta program realiti American Idol itu.

Mana tidaknya menerusi Smash, Katharine turut mengadaptasi perwatakan bintang legenda Hollywood, mendiang Marilyn Monroe dalam konsep dan jalan cerita yang lebih terkini dan segar menerusi naskhah terbitan produser tersohor Steven Spielberg!

Saya dan Megan (Hilty) akan menjadi rakan karib pada waktu-waktu tertentu tapi akhirnya berkelahi jua," cerita Katharine mengenai gandingannya dalam Smash, Megan Hilty yang melakonkan karakter Ivy Lynn.

Celah Megan itu sewaktu sesi temu bual bersama media antarabangsa baru-baru ini: "Itulah yang saya suka! Kami menikmati momen menarik sepanjang pembikinan muzikal ini."

Smash memaparkan kisah perjalanan dan usaha gigih penghasilan sebuah muzikal Broadway. Ia bermula apabila sepasukan penulis lirik lagu mahu menghasilkan sebuah pementasan muzikal berpandukan kehidupan Marilyn Monroe.

Pasti ada sesuatu yang menarik untuk Katharine sementelah Smash merupakan lakonan pertamanya untuk sebuah naskhah Broadway.

"Sebuah pengembaraan yang sangat jauh sebelum saya menyertai American Idol sehingga berada di kedudukan saya sekarang.

"Penat lelah yang saya alami selepas tamat rancangan realiti nyanyian itu membantu saya membentuk sebuah acuan karakter yang saya realisasikan sekarang ini.

"Saya akui memang saya tidak pernah ada pengalaman berlakon dalam sebarang pementasan Broadway melainkan pernah ke sekolah teater suatu ketika dulu. Smash nyata menghidupkan kembali impian saya untuk berlakon di Broadway suatu masa dulu," ujar naib juara American Idol musim kelima itu.

Steven Spielberg

Perjalanan yang seakan-akan mirip kisah realiti dirinya sewaktu menyertai American Idol pada tahun 2006 dibentuk menerusi karakter lakonannya dalam Smash.

Katharine tidak membantah andai platform itu menonjolkan namanya untuk diteropong para pengarah Hollywood. Ini kerana sebelum menyertai American Idol 5, dia pernah menceburi dunia lakonan.

Buktinya pada 2005, dia pernah membintangi sebuah siri terbitan MTV berjudul, You Are Here. Malangnya, siri tersebut tidak pernah ditayangkan.

"Walaupun saya tidak bergelar juara American Idol tapi saya masih dibayangi sebagai seorang selebriti yang muncul daripada program itu.

"Bagi sesetengah orang, ia kelihatan seperti sebuah roket yang menjadi pemacu terbaik untuk sampai ke bulan.

"Perjalanan saya sebenarnya lebih menarik, saya menyelusuri bukit bukau, lembah dan lurah. Segala kekecewaan dan pergorbanan yang saya lalui dalam percubaan saya untuk menjadi seorang pelakon (sebelum menyertai American Idol 5) telah menyediakan (kekuatan) saya untuk masa sekarang," getusnya.

Bekerjasama dengan nama besar industri perfileman Hollywood, Steven Spielberg sudah tentu pengalaman paling menarik buat Katharine.

Bukan calang-calang individu mampu memenuhi kehendak Spielberg untuk dipilih berlakon dalam naskhah terbitannya.

Bak kata Katharine, pertemuannya dengan Spielberg sewaktu sesi uji bakat Smash adalah antara detik terindah dirinya sepanjang bergelar seorang pelakon.

"Saya sangat teruja dan tidak henti-henti bercakap sewaktu pertemuan sulung dengannya (Spielberg). Dia sangat menarik orangnya dan ketika itu dia hanya mendengar setiap yang saya ucapkan.

"Salah satu sebab dia menerima saya mungkin kerana dia melihat watak Karen Cartwright dalam diri saya. Bagi saya, pertemuan dengannya adalah momen terindah dalam karier saya," ceritanya yang sebelum ini pernah membintangi filem The House of Bunny pada tahun 2008 dan Shark Night 3D(2010).

Simbol seks

Sukar barangkali untuk seorang aktres yang dilahirkan selepas zaman kegemilangan Marilyn Monroe untuk menyerap jiwa Broadway wanita berambut perang itu.

Hal ini diakui sendiri oleh Katharine yang terpaksa mendalami perihal kehidupan Marilyn Monroe dan menonton lebih banyak naskhah lakonan pelakon popular era 50-an itu.

"Saya membesar dengan tanggapan bahawa ia sesuatu yang biasa apabila ramai yang memuja wanita berambut perang seperti Marilyn Monroe, jadi saya langsung tidak ambil pusing tentang siapa itu Marilyn Monroe.

"Sehinggalah saya terbaca sebuah biografi Arthur Miller sewaktu di kolej. Ia menceritakan tentang huru-hara dalam perkahwinannya bersama Marilyn dan mengenai filem yang ditulis olehnya untuk Marilyn, The Misfits.

"Oleh itu, saya sangat tertarik lantas menontonnya, serta-merta saya jatuh cinta dengannya," tuturnya membuka cerita.

Saya tidak pernah sekali pun menonton filem lakonan Marilyn sewaktu zaman kanak-kanaknya, kerana bagi Katharine dia bukan membesar dengan wanita yang sering dijadikan simbol seks itu.

"Saya tidak pernah menonton filem Marilyn sewaktu zaman kanak-kanak melainkan filem-filem seperti The Sound of Music dan Singin' in the Rain.

"Ibu dan bapa saya membesar bersamanya (Marilyn) dan kini sudah tiba giliran saya untuk mula menonton filem-filem lakonannya lebih kerap dan membaca kisah-kisahnya," tegasnya.

Ujarnya lagi, dia diberikan peranan menyanyikan lagu Happy Birthday, Mr. President sewaktu sesi uji bakat pertama untuk Smash dan dia menganggap kepercayaan itu sebagai permulaan buat dirinya mengembangkan karier seninya itu dengan lebih pesat.

"Saya rasa agak selesa menyanyikannya kerana lagu itu memiliki vibrato pantas dan sangat menguji pernafasan.

"Apabila saya mula berlakon dalam Smash, saya meletakkan sebanyak mungkin tekanan untuk menjadi seperti Marilyn.

"Namun, sudah tentu saya tidak mampu menjadi Marilyn sepenuhnya. Memperoleh sedikit auranya merupakan item yang paling saya inginkan," akuinya.

Olla nekad buang tatu


AKTRES seksi Olla Ramlan nekad untuk membuang kesemua tatu yang terdapat pada seluruh tubuhnya. Dia mengukir semua tatu berkenaan sewaktu menjadi isteri kepada Alex Tian.

Menurut Olla, keputusan yang dibuat untuk membuang kesemua 23 buah tatu yang terdapat pada tubuhnya itu setelah melakukan perbincangan dengan bakal suaminya iaitu Muhammad Aufar Hutapea.

"Saya tahu kesakitan yang bakal dirasai apabila menjalani proses untuk menghilangkan tatu dengan menggunakan laser. Namun, saya tetap dengan keputusan untuk membuang semua tatu itu dan berharap semuanya berjalan dengan lancar," ujarnya.

Ketika ditemui wartawan sewaktu berlangsungnya acara Panasonic Gobel Award di Djakarta Theater, Jakarta pada Selasa lalu, Olla memberitahu, proses membuang tatu berkenaan terpaksa mengambil masa selama dua bulan.

Sementara itu, Aufar yang turut berada di samping Olla pada majlis tersebut menyatakan dia tidak pernah bercadang untuk mengukir tatu nama Olla pada tubuhya.

Saturday, March 24, 2012

Keteguhan Almy Nadia


AGAK lama menyepikan diri, barangkali merajuk atau sengaja lolos daripada publisiti, Almy Nadia bagaimanapun diam-diam berisi. Memang dia kelihatan sedikit berisi namun status masih tidak berubah. Dramatis berusia 26 tahun itu masih Almy Nadia yang dikenali beberapa tahun lalu, masih solo dan setia dengan kekasihnya, Fizz Fairuz.

Sudah lima tahun cinta mereka terjalin, terhambat pula dengan pelbagai kontroversi, namun Almy tidak jemu atau melatah saat kisah itu juga yang disuakan ke mukanya.

“Setakat ini, saya belum lagi jemu dengan gosip yang sering menimpa diri kerana gosip ialah sebahagian daripada kerjaya artis.

“Sebelum datang bertemu pihak media, awal-awal lagi saya sudah persiapkan mental. Kalau tidak kuat, saya pun tidak tahu apa yang akan terjadi,” Almy berterus terang saat diusik tentang percintaannya yang sering ditimpa badai, paling hebat sekitar tahun lepas.

Kata pelakon filem Dunia Baru The Movie itu, hubungannya dengan Fizz masih utuh.

“Saya juga tidak perlu mengalah akibat cerita yang tidak berasas. Lagipun susah untuk kami memuaskan hati semua orang. Paling penting, saya, Fizz serta keluarga tahu apa yang berlaku. Biarlah orang buat spekulasi, bila sampai masanya tentu kami akan beritahu perkara sebenar. Sampai sekarang saya dan Fizz tiada masalah,” tegasnya yang sudah tiga tahun mengenal nikmat bergelar ibu kepada seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisya.

Tambah Almy: “Setahun jarang bertemu media, saya sibuk menguruskan anak angkat yang kini dijaga oleh ibu di Pulau Pinang. Saya sudah mula sayangkannya dan dialah pemberi semangat dalam hidup ini. Sekarang saya masih dalam proses mendaftarkannya sebagai anak angkat di Jabatan Pendaftaran Negara.”

Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, Almy bakal muncul dalam drama Cinta Buat Emelda yang akan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 mulai 26 Mac ini setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.

Drama 24 episod itu mengisahkan pengorbanan Emelda dalam membesarkan anak luar nikah, Dania, seorang diri. Tujuh tahun kemudian, Emelda bertemu kembali dengan bekas kekasihnya, Aril Fatah lakonan Fizo Omar. Mereka berkahwin tanpa Aril mengetahui bahawa Dania itu merupakan anak kandungnya sendiri.

Irma Hasmie Nikah Anak Datuk 1 Julai Ini


SUNGAI BULOH: Pelakon Irma Hasmie bakal melangsungkan pernikahannya dengan seorang anak Datuk, Reza Syah Azmeer Datuk Mohd Redzuan, 31, pada 1 Julai ini di Keramat Hall, Kuala Lumpur.

Tarikh tersebut telah diputuskan selepas dipersetujui dalam majlis pertunangan yang berlangsung di rumah Irma di Desa Coafiled, Sungai Buloh, pada petang Sabtu.

Irma berkata, dia dan Reza yang merupakan seorang ahli perniagaan itu bertemu di kota Mekah ketika menunaikan umrah buat kali ketiga pada Februari lalu dan dirisik oleh pihak keluarga lelaki pada 12 Mac.

"Syukur Alhamdulillah saya menganggap jodoh saya dan Reza adalah satu anugerah Allah S.W.T. Tak sangka pula umrah saya yang ketiga ini menemukan saya dengan Reza yang turut menunaikan umrah bersama keluarganya pada masa itu.

"Perkenalan kami amat singkat tetapi saya cukup senang bersama dengannya. Lebih menguatkan perhubungan kami ialah apabila kami direstui kedua-dua belah pihak keluarga. Moga jodoh ini berpanjangan sehingga akhir hayat," katanya.

Pada majlis yang serba ringkas itu, bekas kekasih pelawak Nabil (Raja Lawak) mengenakan busana rona biru cair rekaan Hatta Dolmat.

Pelakon itu telah menerima sebentuk cincin berlian yang disarungkan oleh ibu Reza, Azizah Osman, serta tujuh buah dulang hantaran daripada pihak lelaki yang beruba set mandian, sepersalian pakaian, sejadah, manisan kurma, kek dan buah-buahan.

Manakala pihak perempuan pula membalas sebanyak sembilan dulang iaitu sireh junjung, buku-buku ilmiah, pencukur, sejadah, kek, manisan, sepersalinan pakaian dan set mandian.

Dalam pada itu, majlis pertunangan itu turut dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak, teman rapat dan beberapa rakan artis.

Amanda Tak Kisah Tak Popular Seperti Haliza Misbun


PETALING JAYA: Pelakon Amanda Misbun, 23 mengakui dia tidak dapat menandingi kehebatan bakat lakonan kakaknya iaitu Haliza Misbun dan tidak kisah jika kurang popular seperti pelakon Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami itu.

Amanda berkata, dia bersyukur kerana memiliki seorang kakak yang berbakat dan pada masa sama dapat mengajar selok belok dunia lakonan daripadanya.

"Jujur saya katakan, sikit pun saya tak kisah tidak meraih populariti seperti kakak dan saya lebih sukakan begitu.

"Ini kerana saya dapat mengembangkan bakat lakonan saya sebaik mungkin sehinggalah masyarakat luar menyedari kehadiran saya dalam sesebuah lakonan itu

"Dan apabila orang mula menyedari kewujudan saya dalam industri seni ini, maka kerja keras yang dilakukan itu berhasil. Alhamdulillah, segala hasil kerja saya kini mula menjadi perhatian dan ini semua berkat doa dan dorongan yang diberi oleh kakak," katanya.

Tambah Amanda, selama empat tahun bergelar pelakon, segala aturan perjalanan kariernya banyak dibantu oleh Haliza yang dianggap sebagai mentornya sendiri.

Dalam pada itu, pelakon drama Apa Celop itu juga bersyukur keranapublisiti yang tidak diberikan secara meluas membuatkan dia bebas daripada kontroversi.

"Alhamdullah, saya dieknali kerana lakonan dan bukannya kontroversi. Justeru itu saya mahu asah lagi bakat yang ada untuk ketengahkan di bidang lakonan yang saya sayangi ini," ujarnya.

Sementara itu, Amanda yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 3 Mac lalu berkata, dia lebih gemar mengambil tawaran berlakon drama supaya jangka masa penggambaran yang lama itu dapat dimanfaatkan dengan mengasah dan mempelajari lakonan dengan orang yang berada di sekelilingnya.

Mahu cantik, January Jones Makan Plasenta Sendiri


SEPERTI yang sedia maklum, di Hollywood, selebriti-selebriti di sana sanggup melakukan apa sahaja demi kecantikan wajah.

Begitu juga dengan aktres January Jones, dia mengakui bahawa antara tips bagi mengekalkan kecantikan wajah adalah dengan memakan plasenta dari rahimnya.

Menurut laporan Bang Showbiz, Januari mula mengamalkan plasenta sejak melahirkan bayinya, Xander pada September tahun lalu dan bintang filem Mad Men ini percaya dengan memakan organ tersebut, dirinya akan lebih sihat.

"Saya mempunyai semangat yang tinggi apabila berbicara tentang hal-hal kesihatan dan akan memastikan pengambilan makanan kesihatan seperti, vitamin, teh serta plasenta yang telah dikapsulkan wajib dimakan.

"Memang bunyi plasenta agak menggelikan tetapi ia telahpun dikering dan dijadikan kepada bentuk vitamin," katanya.

Tambah January cara pemakanan plasenta tersebut dianggap mistik seperti ingin melakukan sesuatu ritual, tetapi dia menegaskan hal itu tiada kaitan langsung, sebaliknya menyarankan kepada ibu-ibu di luar sana untuk menjadikan plasenta sendiri sebagai makanan tambahan.

Friday, March 23, 2012

Rihanna Jadi Pereka Fesyen Pula


MENJADI satu trend agaknya, penyanyi Rihanna kini mengikut jejak langkah bebrapa selebriti wanita lain dengan menjinakkan diri dalam bidang fesyen pula.

Penyanyi berusia 24 tahun itu berkata memandangkan penampilannya sering menjadi perhatian dan diperkatakan, selain peminat-peminatnya mengikut gaya fesyennya, dia nekad untuk muncul dengan sebuah jenama rangkaian fesyennya sendiri.

"Saya akan menubuhkan sebuah rangkaian fesyen sendiri dan ingin menjadi seorang pereka fesyen yang dikagumi.

"Dalam pada itu, saya mahu orang percaya dan yakin dengan hasil kerja rekaan yang saya lakukan sebelum mereka membelinya," kata penyanyi kelahiran Barbados itu.

Menurut laporan laman Digital Spy, pelantun lagu Umbrella itu kini bekerjasama dengan jenama Armani dengan mereka khas aksesori.

Tampil Langsing, Kehamilan Beyonce Dipertikaikan Lagi


MENJADI satu perkara yang normal bagi seseorang wanita tidak mendapat tubuh badan yang langsing dalam jangka masa dua bulan selepas proses melahirkan anak.

Namun, hal itu tidak pun berlaku kepada penyanyi Beyonce Knowles yang baru saja melahirkan anak perempuan, Blue Ivy Carter, pada 7 Januari lalu.

Ia terbukti apabila dia muncul pada sebuah majlis amal pada Selasa lalu. Dia kelihatan sempurna dengan tubuh badan yang langsing, mengenakan gaun pendek busana jenama Victoria Beckham.

Ketika itu, tubuh badan Beyonce sedikit pun tidak menampakkan perubahan seperti ibu-ibu yang baru lepas bersalin.

Khabar angin mengenai penyanyi seksi itu memalsukan kehamilannya mula bertiup kencang apabila membuat kemunculan di America's NBC News Today baru-baru ini.

Perut Beyonce dikatakan bergerak seperti mempunyai bantal tambahan semasa duduk di sofa untuk diwawancara.

Terdapat juga dakwaan bahawa penyanyi bersuara emas itu melakukan taktik tersebut bagi menyerlahkan perutnya ketika muncul di khalayak.

Penampilan Beyonce yang cukup sempurna pada majlis amal itu dengan mengenakan pelbagai aksesori bersama kasut tumit tingginya menguatkan lagi dakwaan bahawa kehamilannya sebelum ini berkemungkinan besar adalah palsu.

Yusry Terkejut Lisa Tidak Cerewet Semasa Berbulan Madu



PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani mendedahkan suaminya, Yusry Abdul Halim agak terkejut dengan sikapnya yang tidak cerewet semasa mereka berbulan madu di Eropah selama dua minggu baru-baru ini.

Lisa berkata, pada peringkat awal Yusry mungkin beranggapan dia mahukan layanan mewah semasa berkunjung ke sana tetapi sebaliknya perkara itu tidak berlaku.

"Yusry sebenarnya adalah seorang yang ringkas dan tidak cerewet dalam banyak perkara dan dia pula terkejut apabila saya mempunyai sikap sama apabila saya tidak kisah tinggal di hotel biasa semasa di Eropah.

"Kunjungan ke sana bukan untuk tinggal di hotel mewah sebaliknya menerokai negara orang dan merapatkan hubungan kami suami isteri," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.


Lisa dan Yusry berangkat ke Eropah pada awal Mac selepas selesai majlis resepsi perkahwinan mereka pada 26 Februari dan kembali ke Malaysia pada 17 Mac lalu.

Dalam pada itu, ditanya apakah perkara yang dia belajar mengenai diri suaminya sepanjang berbulan madu, Lisa memberitahu dia menerima Yusry seadanya.

Bagaimanapun, Lisa berkata, sikap tanggungjawab adalah kualiti yang paling menambat hatinya mengenai Yusry sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menerima lelaki itu sebagai suaminya.

"Dia masih Yusry yang saya kenal sebelum kahwin dan sehingga kini dia adalah orang sama yang saya cintai. Rasanya, suami yang lebih banyak belajar mengenai diri saya sepanjang percutian itu," ujarnya.

Sementara itu, bercerita mengenai pengalaman bercuti di luar negara, Lisa berkata percutiannya bersama suami tercinta cukup istimewa.

Walaupun Yusry pernah ke negara itu sebelum ini, mereka mengambil keputusan untuk melawat ke tempat-tempat yang tidak pernah dilawati agar aktiviti berbulan madu itu menjadi lebih bermakna.

"Percutian itu amat menyeronokkan kerana ia telah dirancang dengan baik sebelum kami berangkat," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai aktiviti tersebut, Lisa berkata, mereka mengambil keputusan memandu sendiri kereta yang disewa untuk menjelajah ke Eropah.

Destinasi pertama mereka adalah ke Switzerland dan kemudiannya bergerak ke Perancis dan Itali sambil singgah pelbagai tempat menarik.

"Semua tempat yang dilawati adalah sangat istimewa dan mempunyai memori tersendiri tetapi kunjungan ke Mont Blonc di pergunungan Alps yang terletak di antara negara Perancis dan Itali antara pengalaman menarik.

"Yusry juga sempat ke Bolognia di Itali untuk melawat muzium kereta mewah Lamborghini selain ke Rome dan beberapa lokasi lain," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Lisa berkata, dia akan kembali ke set penggambaran filem “Tingkat Empat” arahan Jason Chong terbitan KRU Studios dan suaminya akan mula sibuk dengan pasca produksi filem “Vingkingdom”.

Yuna Kecewa Dituduh Campuri Kerjaya Qi Razali


KUALA LUMPUR: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna mengakui terluka apabila dituduh menjadi penyebab penyingkiran Qi Razali daripada program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) terbitan TV3.

Yuna berkata, dakwaan dia mencampuri urusan tugas Qi adalah tidak benar sama sekali kerana pengunduran kekasihnya itu adalah atas kehendak sendiri.

"Qi sebenarnya mengambil keputusan untuk menarik diri kerana ingin memberikan tumpuan kepada bidang lakonan dan bukannya disingkirkan kerana mempunyai masalah disiplin. Itu tidak benar.

"Saya pula tidak ada kena mengena apabila ada pihak mendakwa saya menjadi punca dia menyebabkan penyingkirannya itu," ujarnya kepada mStar Online.

Yuna ditemui ketika menghadiri pelancaran Youtube Malaysia di sini pada Khamis.

Tambah Yuna, tuduhan itu tidak berasas kerana dia jarang berada di Malaysia dan sekiranya kembali ke tanah air, mereka juga sukar untuk berjumpa kerana Qi sibuk dengan penggambaran.

"Saya tiba di Malaysia minggu lalu tetapi hanya dua tiga hari lalu baru dapat bertemu dengannya kerana dia begitu sibuk. Tetapi saya memahami kerana masing-masing pun sibuk dengan pelbagai agenda.

"Bagaimanapun kami sempat berbual mengenai perkara ini dan Qi ada memberitahu saya dia rasa sedih apabila ada pihak menuduhnya sebegitu dan melibatkan saya," ujarnya.

mStar Online sebelum ini melaporkan Qi kononnya disingkirkan menjadi pengacara JJCM kerana menghadapi masalah disiplin apabila terlalu kerap bertemu dengan Yuna sehingga mengabaikan tugasnya.

Serangan Jantung Dan Dadah Punca Kematian Whitney Houston


PUNCA sebenar kematian diva terkenal, Whitney Houston telah diketahui apabila ujian toksilogi mendapati Whitney sebelum kematiannya telah mengambil dadah jenis marijuana, Xanax, ubat penenang otot (Flexeril) dan ubat alergik (Benadryl).

Whitney, 48, yang ditemui mati lemas di dalam tab mandi di hotel penginapannya di Los Angeles bulan lalu di dapati mempunyai dadah dalam sistem badannya.

Perkara berkenaan terkandung dalam laporan bedah siasat yang diumumkan oleh pakar forensik yang diketuai oleh koroner, Craig Harvey.

Menurut Craig, akibat pengambilan pelbagai jenis dadah dan ubat-ubatan penenang, Whitney dilaporkan telah mengalami serangan jantung sebelum tersemban ke dalam tab mandi tersebut.

“Penggunaan ubat berkenaan menyebabkan Houston mengalami serangan jantung,” katanya.

Pendedahan itu menamatkan spekulasi mengenai punca sebenar kematian penyanyi tersebut pada 11 Februari lepas, iaitu pada malam menjelang anugerah Grammy Awards.

Bagaimanapun jumlah kandungan dadah dalam badannya itu tidak didedahkan sebaliknya laporan penuh autopsi akan dikeluarkan dalam masa dua minggu.

Keluarga dan rakan-rakan penyanyi yang popular dengan lagu I Will Always Love You itu sebelum ini tidak percaya dadah sebagai punca utama kematiannya malah mereka tidak yakin Whitney mengambil dadah.

Mendiang telah dikebumikan di tanah perkuburan New Jersey, bersebelahan dengan kubur bapanya pada satu majlis pengkebumian yang turut dihadiri oleh keluarga, rakan dan selebriti termasuk Oprah Winfrey, Tyler Perry, Alicia Keys, Mariah Carey, Mary J. Blige, Jennifer Hudson dan Roberta Flack.

Sebelum menemui ajal, Houston cuba kembali semula ke pentas hiburan malah dia sempat menyiapkan lakonannya dalam filem Sparkle yang mana dia turut menyanyikan lagu His Eye is on the Sparrow. - TMZ

Girls’ Generation di KLCC


KUMPULAN terkenal Korea Selatan, Girls’ Generation bakal membuat kemunculan sulung mereka di Malaysia untuk konsert Twin Towers@Live 2012 di Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur pada malam ini. Kumpulan yang dianggotai sembilan gadis jelita itu mula popular menerusi single berjudul Gee pada tahun 2009 dan dikenali juga dengan Soshi atau SNSD dalam kalangan peminat setia.

Mereka kini popular dengan single berjudul The Boys. Menariknya, Girls’ Generation juga bakal berkongsi pentas dengan penyanyi popular, Nicole Scherzinger yang juga bekas anggota kumpulan Pussycat Dolls.

Konsert tersebut diadakan sempena dengan perlumbaan Formula Satu (F1) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad ini. Kemunculan Girls’ Generation dan Scherzinger menggantikan penyanyi Kylie Minogue yang sepatutnya membuat persembahan pada konsert yang dinamakan sebagai Konsert F1 Rock, tetapi ia terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Sebelum ini, Nicole Scherzinger pernah membuat persembahan sebanyak dua kali di Malaysia ketika masih menganggotai kumpulan Pussycat Dolls. Setelah Pussycat Dolls berpecah pada tahun 2010, Scherzinger masih meneruskan kariernya dan ini kali pertama dia muncul membuat persembahan secara solo di Malaysia,” ujar Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir, pengerusi Jojo Events Sdn. Bhd., syarikat yang menguruskan kemunculan artis untuk persembahan pada konsert tersebut.

Artis-artis lain yang turut terbabit dalam konsert selama dua hari itu termasuklah Orianthi, Kelis, Rehsmonu, James Baum dan Faizal Tahir.

Thursday, March 22, 2012

Liyana Jasmay Kahwin pada Januari 2013


SETELAH sekian lama dikaitkan dengan kisah-kisah cinta sesama artis, pelakon genit Liyana Jasmay, 24, buat pertama kalinya membuat kenyataan akhbar mendedahkan tentang tarikh pertunangan dengan kekasih hatinya yang juga seorang ahli perniagaan bernama Fathuddin Mazlan, 28.

Sebelum ini, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Castello itu pernah digosip mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi Aizat Amdan.

Kemudian, dia dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof setelah sama-sama membintangi filem Khurafat pada tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua kisah tersebut berlalu begitu sahaja, sehinggalah pelakon yang ditemui semalam, pada majlis pelancaran drama berjudul 3 Janji di Sri Pentas TV3, Bandar Utama Petaling Jaya itu mengesahkan sendiri mengenai tarikh pertunangan dirinya.

"Pada 28 Mac ini satu majlis pertunangan akan diadakan di rumah saya dalam satu majlis yang agak ringkas. Sebenarnya, saya merancang untuk membuat majlis berkenaan di hotel supaya tidak menyusahkan ahli keluarga yang lain.

"Namun, perancangan tersebut tidak dipersetujui ayah saya dan dia meminta agar majlis pertunangan diadakan di rumah sahaja. Setakat ini segala persiapan berjalan lancar kerana saya turut dibantu oleh dua orang kakak saya," ujarnya.

Ditanya tentang detik perkenalan dengan kekasih hatinya itu, Liyana memberitahu jejaka yang telah menambat hatinya itu merupakan jirannya sendiri dan mereka berkenalan sewaktu bertemu dalam sebuah majlis.

Menurutnya, mereka berdua berkawan dan bercinta dalam tempoh yang cukup singkat iaitu kira-kira dua bulan sahaja dan pada bulan Januari lalu Fathuddin telah melamarnya untuk menjadi isteri.

"Apabila dia meluahkan hasrat untuk mengambil saya sebagai isteri, saya telah memintanya untuk pergi berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa saya. Tidak lama selepas itu dia telah membawa keluarganya berjumpa dengan keluarga saya dan hubungan kami menjadi semakin rapat.

"Walaupun ramai yang tertanya-tanya dengan keputusan yang saya buat ini, tetapi berdasarkan kepada pengalaman lalu saya rasa tidak perlu bercinta lama-lama. Kalau mahu menjalinkan hubungan serius, lebih baik terus masuk meminang sahaja supaya ikatan perhubungan itu lebih kukuh," ujarnya.

Mengenai keistimewaan yang dimiliki Fathuddin sehingga dia terbuka hati menerima lamaran jejaka tersebut, Liyana menyifatkan bakal tunangnya itu sebagai seorang lelaki yang kelakar, periang dan baik hati.

"Sejujurnya saya agak kurang menggemari lelaki yang mempunyai penampilan terlalu segak, tetapi itulah salah satu ciri yang dimiliki dirinya. Ternyata apa yang saya tidak gemar, akhirnya itulah yang akan menjadi milik saya.

"Sebenarnya ibu ada memberi nasihat supaya saya perlu terlebih dahulu mengenali hati budinya.

"Namun, apabila melihatkan usahanya yang begitu bersungguh-sungguh mengambil hati kedua-dua ibu bapa saya, secara tidak langsung ia turut menambat hati saya untuk menerima lamarannya," ujarnya.

Mengenai tarikh perkahwinan yang bakal dilangsungkan pula, Liyana memberitahu dia merancang untuk berkahwin pada bulan Januari 2013 iaitu sebaik sahaja dia pulang dari New York, Amerika Syarikat.

"Kalau tiada sebarang halangan dan segala-galanya berjalan lancar, saya akan berangkat ke New York pada bulan Jun atau Julai ini untuk menjalani kursus jangka pendek di sebuah akademi filem di sana.

"Namun, saya mengambil keputusan untuk bertunang dengan segera bukanlah disebabkan saya akan pergi ke luar negara.

"Semasa menerima lamaran saya ada memberitahu bakal tunang tentang pemergian saya itu dan dia turut memberikan sokongan kerana faham dengan cita-cita saya dalam bidang seni," tuturnya.

New York Film Academy

Bercerita lebih lanjut tentang pemergiannya ke New York, Liyana menjelaskan dia sememangnya sudah lama merancang untuk menambahkan ilmu dalam bidang lakonan dengan menjalani kursus di luar negara.

Ujar Liyana, pada mulanya dia bercadang untuk pergi ke Australia sahaja, tetapi telah mengubah fikiran untuk menjalani kursus di New York Film Academy (NYFA) setelah dicadangkan oleh beberapa orang rakannya.

"Apabila saya memberitahu ayah tentang hasrat tersebut, ternyata dia kurang bersetuju kerana terlalu jauh. Bagaimanapun, akhirnya ayah telah bersetuju dan saya akan turut ditemani ibu sepanjang berada di sana.

"Apa yang membuatkan saya tertarik untuk menjalani kursus di NYFA adalah kerana ia merupakan sebuah akademi yang sangat terkenal memandangkan ramai pengarah hebat yang telah memberi ceramah dengan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka di situ, selain kemudahan yang disediakan NYFA juga sangat lengkap dan canggih," ujarnya.

Jelas Liyana lagi, sepanjang menuntut di akademi berkenaan, kursus yang akan dilaluinya nanti lebih kepada latihan praktikal berbanding teori serta menjurus kepada aspek-aspek lakonan dan pengarahan

Hanez Suraya Tepis Gosip Bercinta Dengan Syed Ali


PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri 3 Janji, Hanez Suraya menolak dakwaan kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Syed Ali.

Hanez, 27, berkata, dia tidak pernah mengenali pelakon itu secara peribadi mahupun bekerja dengannya dalam sesebuah produksi.

"Saya akui pernah berjumpa dengannya di majlis-majlis hiburan tetapi tidak mengenalinya secara peribadi. Khabar angin itu adalah mengarut sama sekali," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Tambah Hanez Suraya, dia kini masih solo dan tidak terfikir untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki sebaliknya ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonan yang sedang meningkat.

"Rasanya soal cinta biarlah dulu kerana saya sibuk di lokasi penggambaran beberapa buah drama dan ingin memantapkan dahulu karier saya sebagai pelakon," katanya.

Dalam pada itu, Hanez berkata, dia ingin mempelbagaikan wataknya sebagai pelakon dan tidak hanya terikat dengan peranan antagonis dalam sesebuah drama.

Dia juga tidak mahu dikenali dengan sesuatu watak sahaja sebaliknya ingin memvariasikan kebolehannya sebagai pelakon supaya penonton tidak berasa jemu.

"Rasanya dah terlalu banyak watak 'jahat' yang saya terima dan sudah tiba masanya untuk keluar daripada kepompong itu supaya penonton tidak jemu.

"Kalau boleh saya ingin mencuba watak seperti gadis baik, perempuan malang yang boleh memberikan impak kepada penonton," ujarnya.

Hanez yang pernah popular menerusi drama bersiri Bunga April dan Pelangi Kasih bagaimanapun memberitahu dia teringin untuk berlakon filem tidak mahu terburu-buru mengejar semua tawaran yang datang.

"Saya ada terima tawaran tetapi buat masa ini ingin menumpukan kepada telefilem dan drama bersiri kerana takut tidak dapat beri komitmen kepada jadual penggambaran filem. Insya-Allah suatu hari nanti pasti akan dapat juga berlakon dalam filem," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hanez berkata, selain 3 Janji, dia juga bakal muncul dengan telefilem berjudul Bimbo untuk siaran Astro Ria selain Hidayah Cintaku (RTM) dan Suri (TV3).

Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam drama 3 Janji arahan Heykal Hanifah, dia berasa selesa dan menyifatkan pengarah tersebut sebagai seorang yang sangat cool walaupun baru pertama kali berlakon bawah arahannya.

"Bekerja dengan Heykal sangat seronok dan sudah lama saya memang memasang niat untuk bekerja dibawah arahannya dan 3 Janji adalah kerjasama pertama kami.

"Dia juga banyak membantu para pelakon dalam menghidupkan sesuatu watak selain memberikan pelakon kelonggaran dalam menyumbang idea bagi memperbaiki sesuatu babak itu," ujarnya.

Selain Hanez, 3 Janji turut menampilkan pelakon seperti Liyana Jasmay, Shahrizal Jazsle, Ainina Ahmad B, Roy Azman, Shah Iskandar dan Ana Dahlia.

Drama 13 episod itu sudah pun menemui penonton bermula 21 Mac lalu dalam slot Lestary setiap Selasa pukul 9 malam di TV3.

Wednesday, March 21, 2012

Jay-Z Larang Rihanna Temui Anaknya


PASANGAN Beyonce Knowles dan Jay-Z yang baru sahaja mendapat cahaya mata iaitu Ivy Blue Carter mempunyai peraturan khusus untuk penyanyi Rihanna.

Jay-Z dilaporkan berkata dia tidak akan membenarkan penyanyi lagu We Found Love itu menemui anaknya jika dia masih berhubungan dengan bekas kekasihnya, Chris Brown.

Penyanyi rap terkenal itu menegaskan dia tidak menggemari Chris terutama sekali selepas peristiwa Rihanna dibelasah pada tahun 2009.

Pasangan kontroversi itu baru-baru ini kembali menjalinkan hubungan walaupun hanya sekadar kawan dan telah bekerjasama untuk versi remix lagu Rihanna berjudul Birthday Cake.

Dalam pada itu, Beyonce dan Jay-Z yang sangat menentang dengan apa juga hubungan antara mereka berkeras supaya Rihanna tidak kembali kepada Chris.

"Jauhi diri Chris atau dia tidak akan dapat berjumpa dengan anak kami," katanya.

Jay-Z kecewa dengan tindakan Rihanna kerana dia bukan sahaja sebagai mentor kepada penyanyi itu malah telah menganggapnya sebagai adik dan hubungan mereka sangat rapat.

"Saya ingin Blue mempunyai contoh positif di sekelilingnya dan bukan seseorang yang senang memaafkan pihak yang telah mengasarinya," ujarnya.

Penyanyi lagu Empire State of Mind itu turut meminta isterinya menyampaikan pesanan itu kepada Rihanna.

Awal & Scha Umum Majlis Nikah Selasa Depan


PETALING JAYA: Desas desus mengenai tarikh perkahwinan pasangan pelakon Awal Ashaari dan Scha Al Yahya akan terjawab apabila kedua-dua artis tersebut akan membuat pengumuman rasmi mengenai pernikahan mereka pada Selasa depan.

Majlis berkenaan akan diadakan di Ampwalk, Jalan Ampang dekat sini bermula pukul 3 petang yang akan dihadiri oleh kedua-dua pasangan tersebut.

Jemputan mengenai sidang media majlis itu telah dikirimkan kepada pihak media lewat petang Rabu.

Sementara itu pengurus kepada Awal iaitu Azlina Merican yang dihubungi mStar Online di sini memberitahu, pihak media boleh bertanya apa juga soalan kepada kedua-dua pasangan berkenaan berhubung teka-teki mengenai hubungan mereka selama ini.

“Insya-Allah, Awal dan Scha bersedia untuk berkongsi satu berita gembira buat peminat dan juga pihak media,” katanya yang masih mahu berahsia mengenai inti pati majlis itu.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari,31, sebelum ini menjelaskan terpaksa menangguhkan perkahwinannya dengan Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir,29, kerana tempahan dewan yang dikatakan telah penuh.

Bagaimanapun timbul pula desas desus mengatakan mereka akan mengakhiri zaman bujang masing-masing pada pertengahan tahun ini.

Tuesday, March 20, 2012

'Gambar Liar? Aku Tak Kisah' - Mikha Tambayong


KUALA LUMPUR: Gambar aku beraksi liar? Aku tak kisah. Demikianlah reaksi ringkas pelakon dari Indonesia, Mikha Tambayong sebaik sahaja diajukan soalan kononnya aksi tidak senonohnya tersebar di Internet.

Gadis berusia 18 tahun ini berkata, dia tidak pernah rasa bersalah dengan penyebaran gambar-gambar itu kerana apa yang dilihat oleh orang ramai bukanlah aksi sebenar dirinya.

Sebaliknya ia adalah gambar teknik pertindihan yang dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memalukan Mikha.

“Itu bukan gambar aku. Ada sesetengah gambar aku memegang puntung rokok tapi jujurnya aku tak sukakan rokok. Ada juga gambar yang menampakkan bentuk badan aku gemuk pada hal aku tidak gemuk. Itu semua gambar orang lain yang dicantumkan pada wajah aku,” katanya selepas majlis doa selamat teater muzikal Gerimis Mengundang di istana Budaya di sini, Selasa.

Dalam teater yang akan dipentaskan dari 27 Mac hingga 8 April depan itu, Mikha turut bergandingan dengan Kamal Adli dan memegang watak Cinta.

Jelas Mikha, sebagai seorang anak tunggal, dia sentiasa mendengar cakap ibunya dan tidak pernah melalukan perkara yang kurang baik termasuklah berkunjung ke kelab malam.

Katanya, jadual penggambarannya di Indonesia terlalu padat dan mustahil untuk dia terlibat dengan aktiviti sosial yang akhirnya boleh menjatuhkan namanya sendiri.

“Aku berlakon untuk drama yang panjangnya sehingga 100 siri. Aku keluar penggambaran pada awal pagi dan pulang ke rumah juga awal pagi. Tidak mungkin Aku boleh terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral. Aku juga selalu ditemani ibu ke mana sahaja,” ujarnya.

Pelakon ini menambah, di Indonesia gambar tidak senonoh artis yang dilakukan dengan teknik komputer sering tersebar dan ia bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan buat mereka.

Katanya peminat akan faham jika melihat dengan teliti gambar-gambar berkenaan dan seterusnya membuat andaian sama ada hendak menerimanya ataupun tidak.

Dia memberitahu sentiasa menjaga diri dan mahu kelakuannya menjadi contoh kepada remaja-remaja di negara berkenaan.

“Orang boleh buat tuduhan macam-macam tetapi aku mahu menjadi contoh kepada golongan remaja,” katanya yang turut ditemani ibunya ke negara ini.

Liyana Jasmay Nikah Selepas Pulang Dari AS


PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan Fathuddin Mazlan,28, yang juga seorang ahli perniagaan pada Januari tahun depan selepas menamatkan kursus jangka pendeknya di New York, Amerika Syarikat (AS).

Liyana, 24, berkata, dia akan berangkat ke negara itu pada Julai depan untuk mengikuti kursus di New York Film Academy dalam bidang pengarahan dan lakonan.

"Daripada awal perkenalan dengan Fathuddin saya telah melahirkan hasrat untuk mengikuti kursus tersebut kepadanya dan dia tidak membantah mengenai perkara itu kerana pemergian saya adalah untuk menimba ilmu.

"Kelas akan tamat pada awal Januari (2013) dan lepas itu akan terus kembali ke Malaysia untuk berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.

Liyana ditemui semasa menghadiri majlis pelancaran drama bersiri 3 Janji di Sri Pentas di sini pada Selasa.

Tambah Liyana, pemergiannya selama enam bulan ke New York turut ditemani oleh ibunya iaitu Habsah Simpon, 53, selepas ayahnya, Jasmay Md Shah, 57 tidak membenarkan dia tinggal bersendirian di AS.

"Pada awalnya saya nak ikuti kursus berkenaan di Australia sahaja kerana lebih dekat tetapi setelah disarankan oleh rakan-rakan pergi ke New York saya bertukar fikiran.

"Tambahan pula peralatan sepanjang proses pembelajaran itu nanti lebih canggih dan boleh digunakan oleh para peserta selain nama-nama besar dalam bidang pengarahan dan lakonan turut dijemput untuk memberikan ceramah kepada kami nanti," katanya.

Liyana memberitahu, dia teruja untuk ke negara itu kerana ingin menimba pengalaman di negara orang dan mempelajari cara mereka menghasilkan filem atau drama supaya dapat diguna pakai apabila kembali ke tanah air.

"Ini semua saya lakukan demi syarikat produksi saya iaitu Mermaids Studios kerana ingin lebih bersungguh-sungguh dalam menghasilkan produk yang baik untuk penonton.

"Malah saya sudah buat beberapa persediaan sebelum berangkat dan Insya-Allah krew produksi saya akan turut ke sana untuk menjalani tiga buah telefilem bagi mendapat senario berbeza di sana," katanya.

Dalam pada itu, Liyana yang bakal bertunang pada 28 Mac ini di rumahnya di Kemensah, Kuala Lumpur memberitahu akan menyelesaikan semua penggambaran yang masih tertangguh selain menyiapkan persiapan perkahwinannya sebelum ke AS.

Ujar Liyana, dia bertuah kerana dua kakaknya iaitu Faradilla Jasmay, 30, dan Adriana Jasmay, 28, yang sudah berkahwin akan membantunya dalam merealisasikan impiannya sebagai raja sehari.

"Sebelum berangkat saya akan selesai mengenai tempahan dewan, katering, baju dan sebagainya. Selebihnya akan diuruskan oleh dua orang kakak saya yang sudah berpengalaman dalam menguruskan kerja kahwin.

"Sejurus lepas balik nanti saya akan terus berkahwin. Bagaimanapun tarikh sebenar masih belum diputuskan,” katanya.

Sementara itu, Liyana berkata, dia mengambil keputusan untuk bertunang bukan kerana akan berangkat ke luar negara tetapi tertarik dengan keikhlasan hati budi bakal tunangnya yang disifatkan sebagai periang dan baik hati.

Tambah Liyana, usaha Fathuddin untuk mengenali kedua ibu bapanya paling menyentuh hati kerana dia begitu rapat dengan mereka.

"Saya sangat rapat dengan kedua ibu bapa saya dan apabila melihat usahanya untuk mengenali mereka sudah cukup menambat hati saya sebagai seorang wanita," ujarnya.

Liyana memberitahu, pengalaman berkawan dengan lelaki sebelum ini telah membuatkan dirinya serik untuk bercinta sebaliknya memilih untuk berbuat demikian dengan ikatan perkahwinan.

"Saya tidak percayakan pada percintaan lagi kerana itu semua palsu. Jika seseorang itu benar-benar ikhlas mencintai saya dia boleh terus masuk meminang dan itu yang telah dilakukan oleh bakal tunang saya," ujarnya.