Tuesday, December 20, 2011

Ain Tidak Serik Dikecam Kerana Gambar Seksi



PETALING JAYA: Gara-gara penyebaran gambar seksinya, pelakon baru, Nurul Ain Nordin (Ain) akui ada pihak yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong dirinya di laman sosial Facebook.

Biarpun gambar tersebut memberikan kesan kepada Ain, namun dia menerima respons yang menunjukkan ada juga peminatnya yang akan menonton filem yang dikaitkan dengan kontroversi itu yang berjudul Satu Malam Kubur Berasap.

“Semuanya bergantung kepada penonton kerana ada yang ingin menonton filem itu disebabkan ceritanya dan bukan kerana gambar seksi itu semata-mata.

“Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, gambar itu hanya diambil dan disunting untuk dimuatkan pada poster bagi mempromosikan filem tersebut.

"Tetapi ada pihak yang menyalahgunakan gambar itu dengan menyebarkan gambar asal,” katanya yang pernah muncul dalam filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie.

Bagaimanapun, Ain tidak menyalahkan pihak produksi apabila gambar tersebut tersebar.

“Saya tiada masalah dengan pihak produksi dan tidak menuduh mana-mana pihak,” katanya yang pertama kali memegang watak utama melalui filem ini.

Biarpun dikecam, Ain tidak serik untuk tampil dengan imej seksi jika diminta dalam filem atau drama yang ditawarkan kelak.

“Saya akan melihat kepada tawaran dan sejauh mana saya diminta berpenampilan seksi. Jika saya rasa boleh lakukan, saya akan terima. Bagaimanapun, saya tetap akan menjaga sensitiviti masyarakat agar perkara yang sama tidak berulang lagi.

“Saya perlu belajar daripada kesilapan. Tetapi pada saya seksi itu subjektif,” ujarnya.

Ain melakonkan watak seorang wanita bernama Siti yang telah meninggal dunia setelah menjadi mangsa rogol. Roh Siti mula mengganggu ketenteraman penduduk di Kampung Angan Tak Sudah bagi menuntut bela di atas kematiannya.

Suatu Malam Kubur Berasap, turut membariskan lima alumni Raja Lawak iaitu Angah, Along, Azrul, Wira dan Faiz, pelakon Zach Diamond, Ruminah Sidek, Zami Ismail dan Accapan.

Filem arahan Ernie Chen ini akan ditayangkan di pawagam mulai 22 Disember ini di seluruh pawagam di negara ini.

Friday, December 16, 2011

Faktor Usia Jadi Penyebab Shahora Tidak Memilih


KUALA LUMPUR: Dramatis popular, Sharifah Shahora Syed Akil, 36, menjelaskan tidak lagi memilih watak yang ditawarkan kepadanya kerana menyedari faktor usia yang kian meningkat.

Shahora berkata, dia kurang memikirkan mengenai soal watak kerana pada usia sedemikian dia lebih memikirkan keselesaan apabila berlakon dalam sesebuah produksi.

"Saya bukan lagi seorang pelakon berusia 20 tahun yang boleh “demand” watak dan tawaran. Macam sekarang saya banyak menerima watak menjadi ibu, saya tetap terima kerana itu adalah rezeki saya.

"Paling penting saya selesa bekerja dengan seseorang pengarah drama atau filem itu," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Shahora memberitahu dia kini selesa bekerja di bawah arahan pengarah drama dan filem terkenal, Michael Ang yang dianggap sebagai rakan baiknya.

Shahora yang pernah membintangi lebih 200 buah drama sejak 1996 berkata, Michael bukan sahaja seorang pengarah tetapi sahabat yang murah hati dalam membantu pelakon sepertinya mendapatkan sesuatu peranan.

"Sekarang saya banyak berlakon di bawah arahan Michael walaupun hanya satu babak saya akan lakukan kerana dia adalah sahabat saya," ujarnya.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Shahora memberitahu dia kini sedang sibuk menguruskan perniagaan pakaian dalam wanita dan pakaian lelaki yang diusahakan bersama suaminya, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Ia bertempat di tingkat bawah Axis Atrium, Ampang.

Ujarnya, kedai yang diberi nama Fiedra Shahora Shop dan Red Guogi Mens Wear itu diusahakan selepas cubaan menjual “padding” secara kecil-kecilan mendapat sambutan hangat di kalangan pelanggan dan rakan-rakan artis.

"Saya bermula daripada menjual “padding” untuk wanita dan apabila ia mendapat sambutan menggalakkan saya terfikir untuk memperluaskan perniagaan saya dengan menjual pakaian dalam wanita yang jarang dilakukan oleh orang lain.

"Selepas berbincang dengan suami, kami mulakan dua perniagaan sekali gus yang diusahakan bersama-sama," ujarnya.

Pun begitu katanya, dia masih sibuk menjalani penggambaran drama dan memberitahu baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama “Palesit” arahan Michael Ang.

"Saya cuba mengimbangkan antara perniagaan dan lakonan dan Alhamdulillahlah ia berjalan dengan baik," ujarnya.

Zul Ariffin Akui Masih Sayangkan Abby Abadi


KUALA LUMPUR: Pelakon Zulkifli Ariffin, 25, mengakui masih sayangkan bekas kekasihnya, pelakon Abby Abadi walaupun tidak lagi mempunyai sebarang hubungan cinta.

Zul berkata, adalah tidak mungkin dia dapat melupakan hubungannya bersama Abby yang telah berlangsung selama tiga tahun begitu sahaja dan masih menghormatinya sebagai seorang kawan.

"Hubungan saya dengan Abby masih baik dan ada kalanya kami bertanya khabar melalui panggilan telefon atau pun berbalas SMS. Sudah tentu perasaan sayang kepadanya masih ada kerana percintaan kami bukan berlangsung selama tiga hari tetapi tiga tahun lamanya.

"Sudah tentu ia masih berbekas di hati saya," ujarnya kepada media ketika ditemui pada majlis sidang media filem Penanggal di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, ditanya adakah dia akan kembali menjalinkan hubungan cinta dengan bekas penyanyi kumpulan Elite itu, Zul menjawab ringkas. “mungkin...!

Zul juga mendedahkan dia masih mengambil tahu mengenai perkembangan diri Abby dan tiga anaknya menerusi laman Facebook milik bekas kekasihnya itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai punca keretakan hubungan mereka, Zul enggan mengulas lanjut dan menyifatkan ia adalah perkara bersifat peribadi untuk dikongsi kepada umum.

"Saya tidak pernah menyesal mengenali Abby malah dia adalah antara insan yang paling baik pernah saya temui selain daripada keluarga saya.

"Cuma saya sesalkan mengenai kesalahan dan kesilapan yang pernah berlaku sepanjang kami bersama," ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan terbaru mengenai dirinya, Zul berkata dia bersyukur dapat berlakon di dalam filem Penanggal arahan sulung pelakon berbakat Elly Suriati.

Ujarnya, peluang berlakon di bawah arahan pelakon berkaliber itu adalah peluang keemasan buatnya untuk membuktikan diri sebagai seorang pelakon yang baik.

"Elly Suriati sangat berbakat dan begitu profesional ketika berada di lokasi penggambaran dan sentiasa memastikan apa yang dilakukan adalah terbaik.

"Walaupun ada mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang garang tetapi bagi saya jika kita sebagai pelakon mempersiapkan diri sebelum ke lokasi tiada sebarang alasan untuk dimarahi.

"Jika ada pun itu sudah tentu untuk kebaikan bersama bagi menjayakan filem berkenaan," ujarnya.

Zul berkata, cabaran berlakon dalam filem yang turut menggandingkannya bersama Azri Iskandar dan Fasha Sandha itu adalah dia perlu bercakap dalam dua bahasa iaitu bahasa Arab dan Bahasa Malaysia.

Bagaimanapun katanya, atas bimbingan pengarah yang mengadakan kelas bahasa dan persediaan berlakon telah memberikannya semangat dan keyakinan diri untuk melakukannya.

Kereta Mewah Fasha Dicuri Depan Salun


KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Fasha Sandha, 27, mengesahkan kereta mewah miliknya hilang dipercayai dicuri.

Kejadian itu dikatakan berlaku di tempat letak kereta berdekatan salun miliknya di Wangsa Walk, di sini, Jumaat.

"Saya akui kereta milik saya hilang dan satu laporan polis telah pun dibuat.

"Saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengenai perkara itu," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media filem Penanggal di sini, Jumaat.

Ditanya dengan lebih lanjut mengenai kehilangan kereta itu, Fasha enggan memberi sebarang ulasan sebaliknya mengelak untuk menjawab soalan wartawan.

“Hanya seringkas itu sahaja saya boleh cerita,” katanya.

Difahamkan kereta mewah yang hilang itu merupakan hadiah daripada seseorang buatnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Fasha menjelaskan dia menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan apabila gambarnya memakai busana pengantin tersebar di laman blog yang turut dikaitkan kononnya dia ingin berumah tangga.

"Insya-Allah jika sampai jodoh saya akan berkahwin dan apabila sudah bersedia saya akan maklumkan kepada semua. Saya tidak mahu bercakap mengenainya terlalu awal," katanya.

Pelakon sinetron termahal


USIA pelakon Nikita Willy ketika ini baru sahaja menjangkau 17 tahun, tetapi kehidupannya sebagai seorang gadis remaja boleh dikatakan agak berbeza dengan rakan-rakan seusianya yang lain.

Jika kehidupan gadis-gadis yang sebaya dengannya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik, ternyata pelakon berkenaan lebih banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran. Bagaimanapun, pengorbanan tersebut tidak sia-sia apabila kini Nikita sering menjadi rebutan penerbit. Sehingga kini, dia sudah membintangi lebih daripada 20 buah sinetron.

Malah, ada sinetron lakonannya yang turut disiarkan di kaca televisyen di Malaysia seperti Safa Dan Marwah dan Putri Yang Ditukar turut diminati oleh penonton di negara ini. Selain dikenali sebagai seorang pelakon yang cukup popular di negaranya, Nikita juga dikatakan sebagai artis sinetron yang menerima bayaran termahal sehingga mengalahkan pelakon yang lebih senior seperti Luna Maya.

Mengulas mengenai perkara tersebut, pelakon yang dilahirkan pada 29 Jun 1994 itu menganggap ia satu pencapaian yang tertinggi buat dirinya sepanjang bergelar pelakon selama sembilan tahun.

“Sudah tentu saya melihat ia sebagai satu pengorbanan yang cukup berbaloi. Lagipun saya sudah berkecimpung dalam bidang lakonan sejak usia lapan tahun dan bidang ini sudah menjadi sebahagian dalam diri saya. Namun, segala pencapaian yang diperoleh itu langsung tidak pernah membuat saya menjadi leka. Kalau saya mahu terus maju sudah tentu saya perlu terus fokus berusaha dengan lebih keras lagi,” ujarnyaketika ditemu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Nikita, biarpun dirinya dikenali sebagai pelakon remaja yang popular di negaranya ketika ini, dia turut gembira apabila melihat lebih ramai gadis seusianya yang muncul sebagai pelakon.

Jelasnya, dia tidak merasakan kehadiran pelakon-pelakon baharu sebagai pesaing yang mampu membuatkan namanya semakin tenggelam. Sebaliknya, dia menganggap mereka adalah seperti sebuah keluarga.

“Sebenarnya saya lebih senang melihatlebih ramai pelakon baharu yang muncul sekarang. Sekurang-kurangnya ia menunjukkan dunia sinetron semakin berkembang dan akan memeriahkan lagi industri hiburan di Indonesia,” ujarnya.

Kini selain bergelar seorang pelakon, anak kepada pasangan Henry Willy dan Yora Febrine itu melangkah setapak lagi apabila mula berjinak-jinak pula dengan bidang nyanyian.

Menurutnya, percubaannya untuk menjadi penyanyi bermula sejak setahun yang lalu apabila dicadangkan oleh seorang pengarah sinetron dan kini dia sudah menghasilkan empat buah single seperti Kutetap Menanti, Lebih Dari Itu, Tafakur dan Pantas Untukku.

“Rasanya tidak salah kalau saya mahu mencuba sesuatu bidang yang baharu. Biarpun saya sudah mula menyanyi, tetapi lakonan masih lagi menjadi keutamaan dan ketika ini saya masih lagi dalam proses pembelajaran untuk menjadi seorang penyanyi.

“Kalau ada masa terluang saya akan turut menghadiri kelas vokal bagi memantapkan lagi cara nyanyian saya. Buat masa ini, saya lebih sesuai untuk membawakan lagu yang berentak balada,” jelasnya.

Ujarnya lagi, sehingga kini dia masih lagi belum mempunyai sebarang album dan lebih banyak menghasilkan single. Mengikut perancangan, album sulungnya masih lagi dalam proses dan dijangka akan menemui peminat pada awal tahun hadapan.

Putus cinta

Seperti kebanyakan pelakon-pelakon lain, Nikita juga tidak terlepas daripada dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan beberapa orang jejaka yang turut menjadi tumpuan peminatnya.

Malah, dia dikatakan telah menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang pelakon iaitu Bara Tampubolon sehingga gambarnya bersama jejaka tersebut ketika menghadiri sebuah parti tersebar di Internet.

Ditanya tentang status dirinya ketika ini, pelakon berkenaan tidak mahu mengulas lebih panjang dan menyatakan dirinya kini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana lelaki.

“Saya mengaku yang sebelum ini Bara dan saya adalah merupakan pasangan kekasih dan kami bercinta selama lapan bulan. Namun, hubungan kami sudah pun berakhir kira-kira dua minggu yang lalu. Sejujurnya saya tidak mahu komen kerana agak sedih dengan perpisahan ini. Cuma apa yang boleh saya katakan antara punca utama kami tidak lagi bersama kerana tiada lagi persefahaman dan perbezaan agama,” jelas anak sulung dari dua orang beradik itu.

Namun begitu, Nikita turut menolak dakwaan yang mengatakan hubungannya dengan Bara putus disebabkan dia menjalinkan hubungan cinta dengan pemain bola sepak terkenal Indonesia iaitu Diego Michiels.

Tegasnya, dia langsung tidak mengenali pemain bola sepak tersebut yang beraksi semasa Sukan SEA yang lalu, walaupun gambar mereka berdua dikatakan telah tersebar di internet.

“Mustahil untuk saya dan Diego bercinta kerana kami berdua langsung tidak saling mengenali. Tentang gambar yang tersebar itu, ada peminat yang meminta untuk kami bergambar berdua ketika bertemu secara kebetulan di sebuah tempat dan saya tidak sangka ia akan beredar di Internet,” ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon itu turut mengakui sangat meminati sukan bola sepak dan turut menjadi salah seorang penyokong yang hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan dalam menentukan pingat emas Sukan SEA yang membabitkan perlawanan antara Indonesia menentang Malaysia.

Jadi doktor

Walaupun Nikita menjadikan lakonan sebagai bidang kerjaya utama dan namanya memuncak ketika masih lagi bersekolah, tetapi dia masih lagi mampu meneruskan persekolahannya seperti biasa.

Ujarnya, kesibukan sebagai seorang pelakon tidak boleh dijadikan alasan untuk dia melupakan pelajaran. Dia hanya akan menjalani penggambaran selepas tamat sesi persekolahan dan pada hujung minggu.

“Pelajaran masih lagi tetap menjadi keutamaan dan tidak sukar untuk saya membahagikan masa antara berlakon dan belajar. Saya beruntung kerana ibu sendiri yang bertanggungjawab untuk menguruskan diri saya termasuk jadual lakonan.

“Lagipun dalam tempoh seminggu saya cuma hadir ke sekolah selama tiga hari sahaja iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Kini saya baharu sahaja tamat sekolah menengah dan dapat menumpukan sepenuhnya dalam lakonan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, pelakon yang menggondol dua anugerah pada acara Panasonic Gobel Awards 2011 menerusi kategori Aktres Paling Diminati dan Sinetron Pilihan itu tidak pernah melupakan cita-citanya ketika kecil dahulu.

“Sebenarnya sudah lama saya menanam impian untuk menjadi seorang doktor. Malah, saya sudah merancang untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Indonesia dalam bidang kedoktoran tidak lama lagi,” ujarnya.

Saturday, December 3, 2011

‘Beribu Sesalan’ Versi Ning Baizura Tidak Canggung!


KUALA LUMPUR: Biarpun menyanyikan lagu Beribu Sesalan secara bersendirian tanpa Jaclyn Victor dan Shila Amzah, penyanyi Ning Baizura tetap membawakan lagu tersebut dengan memukau dan mantap di Konsert Ning @ KL Live, di Life Centre, Jalan Sultan Ismail, di sini, Jumaat.

Menggunakan bantuan teknologi skrin putih yang menayangkan video rakaman Ning menyanyikan lagu itu, paduan suara antara video dan nyanyian Ning di atas pentas itu secara selang-seli tidak kedengaran canggung.

Secara keseluruhannya, pengalaman Ning selama 18 tahun dalam industri seni tempatan banyak membantu penyanyi ini menggilap bakatnya yang terkenal dengan suara soprano itu.

Selain itu, Ning menyanyikan lebih daripada 20 buah lagu popularnya secara medley seperti Curiga, Dugaanku, Pasti, Penjara Kasih, Kau Dan Aku, Alangkah, Kata Hati, Asmara, Percaya, You And I, Selagi Ada Cinta, Bersama Berdua, Ke Sayup Bintang, Wishing All The Star, Mama Papa dan Awan Yang Terpilu dengan iringan muzik live band yang diketuai oleh Alvin Santiago.

Dengan memilih konsep bunga, Ning turut mengundang penyanyi Russell Curtis dan Altimet untuk berduet dengannya menerusi lagu Antara Kita (Russell) dan Mama Papa (rap oleh Altimet).

Rita Rudaini Dalam "Jangan Bunuh Matahariku"


KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Rita Rudaini bakal membintangi drama bersiri berjudul Jangan Bunuh Matahariku bermula pada 7 Disember, pukul 9 malam di TV2.

Drama 13 episod musim kedua ini mengekalkan barisan pelakon yang sama iaitu Rita Rudaini (Suri), Aqasha (Rahas), Azlee Khairi (Urwah), Geofrey Williams (Owen) dan Siti Fazurina yang menghidupkan watak-watak penting dalam drama kekeluargaan tersebut.

Ia mengisahkan kehidupan Suri yang sentiasa dalam kemurungan selepas kekasihnya Rahas meninggalkan Cameron Highlands. Saban hari dia hanya menantikan kepulangan kekasihnya itu.

Pada masa sama suasana di Cameron Highlands juga berubah. Ramai pekerja Tuan Micheal telah meninggalkan ladang itu dan Pak Darip, ayah Suri adalah di antara orang yang risau dengan keadaan kampung mereka.

Rahas sebenarnya melarikan diri ke kawasan pekan dan berkenalan dengan Ajak dan Urwah. Rahas kemudiannya menumpang tinggal bersama Ajak dan isterinya.

Rahas begitu mempercayai Urwah hingga sanggup menceritakan segala-galanya termasuklah tentang cintanya pada Suri.

Urwah pula mula menyiasat tentang Suri dan dalam diam, Urwah menyimpan rasa cinta kepada Suri. Laila, tunang Urwah cemburu terhadap Urwah kerana selalu memerhatikan Suri.

Urwah mencerobohi bilik Rahas lalu menemui beg yang mengandungi diari Rahas. Dia rupanya memiliki niat jahat untuk mendapatkan Suri dengan cara mudah.

Melalui diari itu, Urwah belajar jadi seperti Rahas. Suri terpedaya apabila Urwah mengaku dirinya adalah Rahas kerana Suri yang dulunya buta tidak pernah melihat wajah Rahas.

Lalu berjayakah Urwah mahu mengahwini Suri? Bagaimana pula situasi Suri apabila mengetahui penyamaran Urwah?

Friday, December 2, 2011

Adele disaran berhenti merokok


BEKAS perokok tegar, penyanyi veteran Boy George menyarankan supaya penyanyi muda popular masa kini, Adele berhenti merokok. Vokalis kumpulan Culture Club itu berhenti merokok sejak awal tahun ini dan atas dasar keprihatinan terhadap bakat Adele dalam dunia muzik hari ini, Boy George merayu penyanyi lagu hit, Rolling in the Deep itu menghentikan tabiat buruknya itu sebelum terlambat.

Ini kerana Adele baru-baru ini telah mengalami masalah dengan vokalnya akibat daripada ketagihannya terhadap rokok.

Ujar Boy George kepada akhbar Daily Mirror: "Jika anda penyanyi, rokok bukan sesuatu yang baik untuk vokal anda. Saya sudah lama cuba berhenti merokok dan syukur kerana akhirnya kini berjaya menghentikan tabiat buruk itu. Jadi saya ingin berpesan kepada ikon masa kini, Adele yang menghadapi masalah vokal akibat merokok itu, hentikan sahaja tabiat buruk itu sebelum ia terlambat."

Adele sebelum ini terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang masalah kesakitan yang dialaminya pada bahagian tekak yang dikatakan impak daripada tabiat merokok sehingga dia terpaksa membatalkan konsert jelajahnya di Eropah dan Amerika Utara baru-baru ini.

Sarimah Akui Sudah Dua Tahun Intim Dengan Lelaki Perancis


PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim mengakui sedang menjalin hubungan intim dengan lelaki warga Perancis bernama Guillaume sejak dua tahun yang lalu.

Pelakon filem Apokalips itu berkata mereka hanya menjadi rapat sejak lelaki berusia 34 tahun itu menetap di Kuala Lumpur.

“Saya sudah lama kenal dengannya, sejak lapan tahun lalu kerana dia memang menetap di Asia sebelum ini. Bagaimanapun, sebelum ini kami sekadar bertegur sapa begitu saja dan hanya kawan biasa.

“Hubungan kami menjadi semakin rapat kira-kira dua tahun selepas dia (Guillaume) berpindah ke Kuala Lumpur,” katanya kepada mStar Online.

Apabila ditanya adakah lelaki tersebut bakal menjadi calon suaminya selepas dia melalui keruntuhan rumah tangga hampir tiga tahun lalu, Sarimah berkata pada peringkat ini adalah terlalu awal untuknya mengulas lanjut tentang hubungan mereka.

“Saya senang dan selesa berkawan dengannya tapi sejujurnya saya tidak pasti jika dia adalah lelaki paling tepat untuk menjadi calon suami.

“Saya berserah kepada Allah, jika dia adalah calon terbaik saya terima dengan hati yang terbuka.

“Apa pun, hanya masa yang akan menentukan siapa pasangan terbaik yang telah ditakdirkan untuk saya, insyaAllah,” katanya.

Menyentuh perkembangan terkini, Sarimah berkata, dia sedang menghabiskan proses penulisan buku berkaitan kesihatan mental dan dijangka akan menerbitkan buku itu tidak lama lagi.

Selain itu, pelakon yang kini berkecimpung dalam bidang keusahawanan ini juga berkata, syarikat produksinya Sarimah Sdn Bhd akan menerbitkan sebuah dokumentari tentang isu kesihatan mental di Malaysia pada tahun depan.

“Saya juga tidak sabar untuk menantikan kemunculan filem Apokalips arahan Mamat Khalid pada tahun depan.

“Berkemungkinan juga saya akan menyertai stesen radio di bawah AMP sebagai penyampai sepenuh masa bermula tahun baru ini,” katanya lagi.