Tuesday, August 30, 2011

Redup lebaran Siti


SEPARUH fasa Ramadan yang dilalui Datuk Siti Nurhaliza tahun ini telah diselaputi mendung yang tidak diduga hadir. Dalam kelam gemawan tersebut, Siti bagaimanapun dapat keluar bernafas menjelang dua minggu Ramadan terakhir. Semuanya berkat doa orang yang teraniaya sepertinya.

Seperti bagai ada batu besar yang menghempas kepala, terkejut bukan kepalang penyanyi kesayangan ramai ini apabila produk sulung miliknya yang begitu laris di pasaran, SimplySiti didakwa mengandungi unsur tidak halal iaitu berus yang digunakan didakwa diperbuat daripada bulu babi selain ia dikatakan tidak mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Segera dia bertindak. Selain memikirkan soal bisnes yang terjejas dengan hebahan palsu tersebut, dia amat mementingkan isu haram yang memang menjadi perhatian utama buatnya sebelum produk tersebut dilahirkan. Kata Siti juga, dia tidak membuat bisnes untuk menipu, apatah lagi menganiaya pembeli terutama umat Islam hanya untuk mengaut keuntungan.

Mujur tindak balas segera yang dilakukan membuahkan hasil apabila produk tersebut segera disahkan halal. Lega dengan keputusan yang memihak kepadanya, Siti mengaku, ia adalah dugaan dan kemenangan terbesar buatnya sepanjang Ramadan lalu.

“Saya mengaku, sebaik berita tersebut disebarkan, ia memberi impak terhadap penjualan SimpySiti. Ia jatuh mendadak. Namun Alhamdulillah, berkat Ramadan, isu tersebut segera dimatikan. Pihak kami dan pihak Jakim kesal dengan apa yang berlaku namun ini adalah dugaan dan cabaran yang harus saya tempuhi sebagai orang berniaga.

“Alhamdulillah, ia juga memberi hikmah kepada kami kerana selepas kejadian tersebut, kami dan pihak yang terbabit menjadi lebih akrab dan lebih berhati-hati dalam banyak hal agar perkara yang sama tidak berulang lagi,” katanya yang turut memberitahu sedih saat mendengar ada pengguna yang membuang produk miliknya sedangkan realitinya SimplySiti adalah halal.

Meninggalkan dugaan tersebut, Siti seperti meraikan kemenangannya dengan menunaikan umrah pada 19 Ogos lalu dan pulang pada 28 Ogos untuk meraikan Syawal di tanah air.

Walau begitu sibuk sepanjang Ramadan yang lalu, namun, kata Siti, dia tidak dapat menahan perasaan untuk kembali ke tanah suci Mekah seperti tahun sebelumnya.

Bagi Siti, kekerapannya kembali menjadi tetamu Allah setiap kali Ramadan adalah bukti kerinduannya terhadap tanah suci itu. Katanya, Ramadan dirasa kurang lengkap jika dia terlepas peluang berpuasa dan beribadat di Mekah.

Memberitahu pertama kali menunaikan umrah pada tahun 1997 dia melalui dugaan yang agak mencabar, namun kini kembali ke Mekah umpama satu rutin wajib.

“Setiap kali Ramadan, saya memang akan pergi menunaikan umrah dan berpuasa di sana. Selain rindu akan suasanannya, saya juga mengejar pahala yang berlipat kali ganda dengan mengerjakan umrah pada bulan Ramadan,” katanya yang pergi menunaikan umrah bersama suaminya.

Bercakap mengenai sambutan lebaran, bukan sesuatu yang asing bagi Siti pulang ke kampung suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa di Kedah. Sejak berkahwin lebih lima tahun lalu, pulang ke Kedah adalah rutin wajib buatnya. Sebaik menikahi ahli perniagaan tersebut, Siti sedar bahawa dia telah memiliki dua keluarga besar yang harus diberi perhatian sama rata.

Jika sebelum berkahwin setiap tahun dia akan pulang ke kampungnya di Kuala Lipis, Pahang, selepas berkahwin, rutin itu bertukar. Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia melupai ibu dan keluarga serta sanak saudara yang berada di Kuala Lipis. Paling penting, sejak pemergian bapanya, Allahyarham Taruddin Ismail dua tahun lalu, dia tidak pernah terlepas menziarah kubur lelaki kesayangannya itu.

Ujarnya: “Walaupun saya pulang ke Kedah tahun ini, saya masih menjalankan tanggungjawab buat ibu dan keluarga dengan membuat persediaan dan kelengkapan raya buat mereka. Adat orang yang sudah berumah tangga, saya juga kini mempunyai sebuah keluarga besar selepas berkahwin dan mempunyai dua keluarga untuk diraikan.

“Saya akan pulang ke Lipis mungkin pada hari raya ketiga selepas meraikan Aidilfitri di Kedah,” katanya.

Justeru, pada Aidilfitri pertama dan kedua ini, Siti menyambut lebaran di kampung suaminya dan paling penting, dia dan suami dapat meraikan tetamu dengan mengadakan kenduri di masjib milik mereka, Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir, Sungai Petani, Kedah.

Kenduri tersebut diadakan bermula pukul 3 hingga 6 petang semalam kerana menurut Siti: “Saya mahu orang ramai dapat hadir ke kenduri ini, sebab itu saya buat ia pada sebelah petang kerana jika saya lakukan pada sebelah pagi sejurus solat, mungkin ramai yang mahu pulang ke rumah untuk beraya dengan keluarga terlebih dahulu.”

Sebaik meraikan lebaran, penyanyi yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelima perkahwinan pada 21 Ogos lalu itu akan kembali sibuk. Dia berasa seperti baru bernikah semalam dengan belahan jiwanya itu walhal sudah lima tahun melayari pahit manis bersama sambil berdoa agar mampu hidup rukun dan kekal bersama suaminya.

“Segala cabaran yang bakal mendatang kelak harus kami lalui dengan sabar dan penuh keimanan. Saya berdoa agar rumah tangga saya aman,” katanya.

Ramai taja perkahwinanFaezah Elai


LEBARAN pelakon Faezah Elai, 29, tahun ini tidak begitu terasa memandangkan dia bakal melangsungkan akad nikah pada 9 September ini di kediaman keluarganya di Pulau Pinang.

Bukan raya lagi menjadi keutamaan pemilik nama sebenar Noor Faezah Md. Elai itu sebaliknya persiapan perkahwinannya harus dititikberatkan menjelang tarikh resepsi pada 3 Disember ini.

“Sekarang ini memang sudah sibuk sangat sampai tak sempat rasa raya. Nasib baik saya sudah mula bercuti pada 25 Ogos sampai 14 September ini untuk bantu menyiapkan persiapan perkahwinan,” katanya ketika ditemui selepas menjayakan pertunjukan fesyen raya di Pusat Beli-Belah Great Eastern, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menjelang 9 September ini, pada sebelah pagi heroin drama popular Asmara itu akan melakukan majlis khatam Quran manakala selepas solat Jumaat dia akan diakad nikah bersama pengarah drama, Heykal Hanafiah.

Selepas sahaja majlis pernikahan, anak sulung daripada tiga beradik itu akan terbang ke London untuk menjalani penggambaran filem Tanda Putra Negara arahan Datuk Paduka Suhaimi Baba.

“Memang saya sibuk sangat sebelum mahupun selepas akad nikah nanti. Sebelum akad nikah saya sibuk dengan pengambaran slot Samarinda, Jiwa dan Lara, dan selepas akad nikah pula saya akan menjalani pengambaran filem Tanda Putra Negara di London. Dalam filem itu saya memegang peranan sebagai Allahyarham isteri Allahyarham Tun Abdul Razak,” katanya mengenai rezekinya yang hadir mencurah-curah ketika ini.

Kahwin di pantai

Tuah badan Faezah apabila majlis perkahwinannya pada 3 Disember itu turut ditaja beberapa pihak. Untuk pelamin dan dekorasi resepsi di sebelah keluarga Faezah di dewan Sungai Ara nanti ia akan ditaja oleh Butik Puteri di Pulau Pinang manakala baju Faezah untuk kedua-dua resepsi pula akan ditaja oleh pereka terkenal, Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini.

“Nasib baik segala persiapan perkahwinan dibantu keluarga. Saya juga bersyukur kerana ramai yang mahu taja perkahwinan saya termasuk Butik Puteri, Hatta Dolmat dan juga Rizman Ruzaini. Sehingga kini persiapan perkahwinan saya sudah hampir selesai,” katanya yang berharap segala spekulasi buruk mengenai dirinya dan bakal suami akan berhenti selepas mereka berkahwin.

Sebelum ini, Faezah pernah dikaitkan menjadi punca kepada keretakan rumah tangga Heykal, namun pelakon berasal dari Gelugor, Pulau Pinang itu menafikannya.

Faezah turut mengaku mengenali Heykal semasa sama-sama terlibat dalam drama Asmara. Malah, mereka mula serius selepas lelaki itu bercerai.

Dijolok soalan kenapa dia membuat pilihan duda sebagai suaminya, kata Faezah, semuanya disebabkan jodoh yang sudah tertulis.

“Sudah tertulis bahawa jodoh saya dengan dia. Walaupun baru kenal tetapi saya rasa begitu serasi bersamanya. Saya tidak menunggu lama untuk terima lamaran daripadanya,” ujarnya yang menerima kunjungan merisik daripada keluarga Heykal pada bulan April lalu.

Menyentuh mengenai resepsinya yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Disember ini, impiannya untuk mengadakan majlis resepsi ala pantai terlaksana apabila keluarga di sebelah Heykal sanggup melakukannya.

“Memang pada awalnya saya mahu buat ‘beach wedding’ di pihak saya tetapi kalau buat resepsi dekat pantai cuma 200 lebih sahaja jemputan yang boleh hadir. Sedangkan saya mahu jemput bukan sahaja keluarga tetapi juga rakan media dan peminat untuk hadir di majlis itu nanti.

“Disebabkan itu, resepsi pantai akan diadakan di sebelah pihak Heykal manakala saya pula akan mengadakan majlis resepsi di dewan,” katanya yang akan menjemput lebih 2,000 orang tetamu.

Bunga api

Tidak lengkap ceritera Faezah jika tidak ditanya mengenai sambutan rayanya pada tahun ini. Mengakui cukup gemarkan hidangan nasi tomato dan lauk ayam masak merah daripada maknya, lebaran juga tidak lengkap kalau dia tidak menjamah lemang dan ketupat yang berintikan kacang.

Faezah juga beraya ke rumah bakal suaminya pada hari raya kedua di Kulim, Kedah.

Berkongsi mengenai memori rayanya, kata Faezah, setiap kali raya dia akan bermain bunga api. Faezah turut mengaku masih suka bermain bunga api sehingga kini.

“Memang seronok sangat kalau masa raya dapat main bunga api. Sehingga berlaku satu insiden bunga api pada saya. Masa sekolah rendah dulu, seronok sangat main bunga api sampai tak sedar baju raya berlubang kena bunga api. Sampai sudah saya tak beritahu mak takut kena marah,” ceritanya.

Faezah turut memberitahu, dia tidak dapat mengadakan rumah terbuka pada tahun ini kerana begitu sibuk menguruskan persiapan kahwinnya.

Monday, August 29, 2011

Salma Belanja RM10,000 Untuk Kegunaan Hari Raya


SHAH ALAM: Juara Mentor 5, Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21, menghabiskan sebanyak RM10,000 untuk kegunaan sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Kata Salma, wang tersebut diambil sedikit daripada hasil kemenangannya dalam Mentor 5 yang berjumlah RM100,000 untuk majlis kesyukuran dan rumah terbuka yang akan diadakan pada Hari Raya ketujuh di kampungnya, di Tawau, Sabah.

"Alhamdulillah, sejak diangkat menjadi juara Mentor 5, sekelip mata kehidupan saya sekeluarga berubah dan ada kalanya, terasa bagaikan mimpi pula.

"Sebab itulah saya ingin membuat majlis makan-makan secara kecil-kecilan khas buat keluarga dan peminat-peminat sebagai tanda bersyukur ke atas rezeki pemberian Tuhan.

"Kali ini juga saya berpeluang untuk berbelanja buat keluarga di kampung dan anak saya, Putri Nurul Huda (empat tahun). Memang rasa seronok sangat bila dapat berkongsi rezeki dengan orang yang disayangi," katanya.

Bagaimanapun tambah Salma, dia agak ralat apabila tidak dapat bersama keluarga pada awal sambutan Aidilfitri kerana mempunyai komitmen menghadiri pelbagai undangan persembahan.

"Bagi saya inilah pengorbanan sebagai seorang anak seni, tambah pula bagi orang baru seperti saya yang perlu bekerja keras untuk mengukuhkan karier.

"Apa-apa pun, saya bersyukur kerana keluarga faham dengan situasi saya ini. mana tahu, pada tahun depan, saya dapat bersama dengan mereka pada awal raya tahun depan," ujarnya.

Salma bakal muncul menerusi program Mentor Raya 2011 yang akan disiarkan pada 11 September nanti, pukul 9 malam, menerusi saluran TV3.

Oren, Hijau Tema Pakaian Hari Raya Erra Fazira


PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira menetapkan warna hijau dan oren sebagai warna tema untuk baju rayanya, anak dan suami pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Selain itu kata Erra, paling teruja apabila pakaian Hari Raya untuk anaknya, Engku Aleesya yang kini bersusia tiga tahun ialah baju kebaya.

“Saya membeli baju kebaya dan baju kurung yang comel untuk Aleesya. Kami sekeluarga memilih tema warna hijau dan oren untuk baju raya tahun ini,” kata Erra kepada mStar Online.

Tahun ini merupakan tahun ketiga bagi Erra dan Emran menyambut Syawal selepas tiga tahun bergelar suami isteri.

Kata Erra, pada tahun ini mereka beraya di rumah keluarga Emran di Kuala Terengganu dan selepas itu mereka akan ke Pulau Pinang/

“Pada tahun lalu kami beraya di Kuala Lumpur dan pada tahun ini giliran kami pulang ke Kuala Terengganu. Apabila menyambut Hari Raya bersama-sama keluarga sendiri, kenangan itu berbeza berbanding menyambutnya dengan ibu bapa dan adik-beradik lain,” kata Erra.

Gema Syawal Sheila Majid


RATU jazz negara, Datuk Sheila Majid, 46, masih cantik dalam usianya itu malah aura yang tersimpan dalam figura genit itu sungguh mempesonakan.

Hingga ke hari ini, namanya masih tersemat utuh dalam kalbu peminatnya yang menggemari stail, muzik dan identiti yang dibawanya sejak album sulung Dimensi Baru pada tahun 1985 lagi.

Kesempatan yang diberikan untuk Kosmo! berbicara dengan penyanyi kesayangan ramai itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membicarakan kemeriahan sambutan lebarannya selain ceritera terkini empunya nama Shaheila Abdul Majid atau serasi dengan panggilan Sheila Majid.

Bagi isteri kepada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hasridz Murshim Hashim Abdullah atau mesra disapa Acis itu, sepanjang hidupnya sambutan raya hanya berkisar di bandar raya Kuala Lumpur.

“Orang banyak tak tahu Kuala Lumpur memang kampung saya dan Acis, sejak lahir saya beraya di sini,” katanya.

Tambahnya, raya di kampung orang tidak sama dan semeriah menyambutnya di ibu kota Kuala Lumpur.

“KL (Kuala Lumpur) memang kampung saya, apa yang penting hari raya memberi peluang untuk berkumpul dan berjumpa sesama sanak saudara tak kisah di mana-mana sekali pun,” katanya yang menyelami makna sebenar hari raya dalam erti kata lebih jelas.

Ujar pelantun lagu Ku Mohon itu lagi, bulan Syawal juga peluang untuk mengeratkan hubungan dan tali persaudaraan sesama anggota keluarga.

“Kalau pagi raya, biasanya selepas pulang daripada sembahyang sunat Aidilfitri kami akan menyambutnya dengan ibu saya (Datuk Paduka Saadiah Adam, 86) dan ke rumah ibu mentua di Damansara.

“Kemudian, lebih kurang pukul 11 pagi kami akan pulang semula ke rumah dan menantikan keluarga tujuh adik-beradik saya yang lain datang ke rumah,” cerita figura yang masih tinggal bersama ibunya hingga kini.

Memilih rendang ayam ibunya sebagai juadah paling istimewa tatkala menyambut hari kemenangan umat Islam itu, Sheila turut berkongsi nikmat perayaan berkembar Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 pada tahun ini.

“Oleh kerana Syawal menjelang pada masa yang sama kita menyambut Hari Kemerdekaan negara, saya bersyukur dengan kedua-dua sambutan hari kemenangan ini yang disambut serentak dalam keadaan negara kita masih aman damai dan dilimpahi nikmat Yang Maha Esa,” ucapnya.

Menjelang sambutan Aidilfitri, ujar ibu kepada empat cahaya mata itu, segala persiapan dibereskan sejak minggu pertama berpuasa.

“Tahun ini warna tema keluarga saya ialah merah jambu, kalau baju raya saya akan dahulukan anak-anak dan rasanya tahun ini cukup sekadar sepasang baju raya pada hari raya pertama untuk saya,” cerita ibu kepada Wan Nur Khaleda, 20, Megat Abdul Majid, 17, Khadeja Zaireen, 7 dan Khalefa Laila, 4.

Album raya, konsert

Menjelang fasa terakhir bulan penuh barakah, Sheila juga tampil dengan album raya berjudul Memori Aidilfitri yang memuatkan sembilan buah lagu.

“Kebanyakan lagu yang terkandung dalam album raya itu digubah semula daripada lagu-lagu nostalgia Aidilfitri untuk mendekatkannya dengan jiwa generasi muda sekarang,” tuturnya.

Ini termasuk dua lagu raya nyanyian ratu jazz tanah air itu iaitu Hari Mulia dan Tiba Hari Mulia yang diberi nafas baru termasuk beberapa lagu hari raya yang dinyanyikan semula seperti Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Elina), Selamat Hari Raya dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini).

Selain itu, sebuah single terbaharu, Tiada Lagi turut terkandung dalam album itu yang sudah pun menemui pendengar di corong-corong radio pada minggu terakhir Ramadan.

Dalam pada itu, penyanyi jelita itu juga terlibat dalam persiapan untuk konsertnya di Sabah dan Perth, Australia menjelang akhir tahun ini.

Tiada konsert terbuka buat masa sekarang memandangkan tahun lalu Sheila terlalu sibuk dengan sambutan ulang tahun ke-25 tahun karier seninya, justeru yang ada hanya persembahan korporat.

“Pada hujung bulan September saya akan mengadakan konsert di Sutera Harbour, Sabah berkonsepkan teater dan persembahan korporat untuk Malaysian Chinese Chambers of Commerce dan kemudian di Ellington, Perth pada bulan Oktober pula,” jelasnya yang masih menjadi duta Institut Jantung Negara dan Prudential selain menjadi jurucakap produk Diamond Water Filter.

Perasaan Merdeka Raya Fasha, Safiq, Alyah


TIGA personaliti berbeza, Fasha Sandha, Safiq Rahim dan Alyah bergabung menjadi satu. Ada getar cemas yang tidak dapat dibendung ketua pasukan bola sepak Harimau Malaya, Safiq Rahim pada awal sesi fotografi yang menggandingkan dia bersama Fasha dan Alyah.

Mulanya, Safiq tidak dapat melihat relevan gandingan mereka, namun selepas diberitahu kolaborasi ini kerana mereka bertiga sukses dalam lapangan masing-masing, sementelah pasukan bola sepak negara sedang semarak dan menjadi kebanggaan Malaysia, maka Kosmo! mahu berkongsi ceritera Aidilfitri dan Merdeka tanpa sulaman gosip, dia segera bersetuju.

Bagi Fasha dan Alyah pula, memang sudah menjadi tugasan mereka sebagai selebriti berkongsi cerita tentang sambutan berganda itu.

Safiq cuti dua hari

JIKA boleh diberi perumpamaan, kesibukan Safiq mengalahkan menteri! Namun itu adalah pengorbanan yang harus dibuat apabila dia berikrar untuk memikul tanggungjawab mengharumkan nama negara melalui kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional Malaysia.

Menurut anak sulung daripada dua beradik ini, walau tidak mempunyai perlawanan, dia dan anggota pasukan yang lain tetap wajib melakukan rutin latihan pada setiap hari, termasuk pada bulan Ramadan.

"Cuti raya juga hanya dua hari iaitu hari ini dan esok. Kemudian, jadual harian saya menjadi seperti biasa dan seminggu selepas raya, saya sudah mempunyai perlawanan besar iaitu Asia Cup," katanya yang sudah menjadi pemain negara sejak berusia 14 tahun.

Wajib memiliki dua pasang baju Melayu setiap kali Syawal hadir, si penggemar lemang, ketupat, nasi impit dan rendang ini saat ditanya tentang definisi raya memberi satu penjelasan tanpa huraian yang panjang. Aidilfitri bermakna hari kemenangan. Katanya, menang daripada semua segi.

Ketika ditanya tentang ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 yang jatuh seiring Aidilfitri, dia memberitahu: “Nikmat sebenar merdeka sebenarnya lebih dirasai oleh generasi yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara dulu.

"Kita, sebagai generasi baru harus menyambung legasi ini dengan aspirasi yang tinggi terhadap apa yang kita peroleh pada hari ini."

Malah dia sebagai anak muda yang baru menginjak usia 24 tahun menzahirkan patriotisme dengan bertarung bersungguh-sungguh di padang bola. Katanya, dia tidak bertarung untuk diri sendiri, tapi untuk sekurang-kurangnya membuat nama negara harum, biarpun dalam pertarungan adakalanya mereka tewas tetapi itu bukti cinta dia terhadap bumi bernama Malaysia.

Fasha rasa bebas

KEMERIAHAN lebaran turut dinanti-nantikan oleh aktres jelita Fasha Sandha. Setiap tahun destinasi wajib Fasha apabila tibanya lebaran ialah kampung sebelah ibunya di Perlis. Berkumpul bersama keluarga besarnya merupakan agenda paling utama memandangkan jadual kerjanya yang sibuk.

“Memang setiap tahun bila raya, kampung di Perlis menjadi lokasi utama dan wajib kami sekeluarga. Seronok sangat beraya di sana kerana selain nenek, saudara-mara yang jarang jumpa akan turut berkumpul,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu,

Fasha, 27, yang menggemari kuih batang buruk, nasi tomato dan laksa Pulau Pinang pada hari lebaran memberitahu, tahun ini dia mula bercuti dua hari sebelum raya dan membantu membuat persiapan lebaran bersama keluarga.

“Biasanya ibu nak mak cik-mak cik yang masak, saya tolong potong-potong dan tolong makan-makan (ketawa). Tahun ini sama seperti tahun sebelum ini, saya dan keluarga menyambut lebaran secara sederhana. Saya pun hanya ada sepasang baju raya yang ditempah,” ujarnya.

Bagamanapun, disebabkan tuntutan kerja, pada hari raya ketiga, Fasha sudah berada di Kuala Lumpur untuk menyambung penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Cinta Elysa, lakonannya di samping aktor Johan Ariff As'ari yang popular menerusi drama Juvana.

“Saya tidak sempat untuk bercuti panjang kerana kerja, selalunya kami sekeluarga akan pergi bercuti sekali. Tetapi penggambaran harus berjalan mengikut jadual kerana drama ini akan bertemu penonton pada pertengahan September nanti,” tuturnya yang turut berlakon dalam drama raya berjudul Kupetik Dosa.

Bercakap mengenai rumah terbuka, kata Fasha, rumah keluarganya di Perlis sentiasa terbuka untuk semua orang pada hari raya pertama dan sekembalinya ke Kuala Lumpur, dia merancang untuk mengadakan rumah terbuka di salon miliknya, Chinta Hair Salon.

“Saya memang merancang nak buat rumah terbuka di salon cuma tarikhnya belum dapat dipastikan. Tujuan saya buat rumah terbuka adalah untuk meraikan pelanggan salon saya dan juga peminat yang tidak henti memberikan sokongan kepada saya,” katanya yang mempunyai impian untuk menambah cawangan salon miliknya itu.

Tambah Fasha, lebaran kali ini sungguh unik kerana disambut bersama Hari Kemerdekaan negara yang ke-54. Sebagai anak Malaysia, dia sungguh bangga dan bertuah dapat tinggal di negara yang aman dan harmoni.

“Kemerdekaan membawa pengertian yang cukup besar bagi saya kerana ada negara yang tidak menggalakkan rakyatnya berkarya dalam bidang seni terutamanya wanita. Jadi saya bersyukur sangat kerana Malaysia sebuah negara yang aman dan stabil.

“Saya bebas berjalan dan pergi ke mana sahaja saya suka tanpa sebarang sekatan dan bantahan. Saya juga kibarkan Jalur Gemilang di salon saya supaya pelanggan yang datang dapat merasai debaran merdeka itu," katanya yang kerap menyambut kemerderkaan negara di set penggambaran bersama kru produksi.

Saturday, August 27, 2011

Mimie Haris Beraya Dengan Kereta Baru


KUALA LUMPUR: Penyanyi Mimie Haris atau nama sebenarnya Norshamimi Ahmad Haris berkata sambutan Hari Raya pada tahun ini menjanjikan kelainan buatnya secara peribadi apabila dapat memandu pulang ke kampung halaman di Alor Setar, Kedah dengan kereta baru.

Istimewanya, penyanyi lagu Jatuh Cinta Lagi ini memberitahu, kereta Proton Saga FL yang dimilikinya sejak hampir tiga bulan lalu itu dibeli hasil titik peluhnya menerusi nyanyian dan pengacaraan dalam tempoh setahun.

"Saya sangat bersyukur walaupun nama tidak sepopular mana tapi tawaran kerja tidak pernah putus. Pendapatan yang saya peroleh daripada bidang pengacaraan program In Trend (RTM) dan pertunjukan pentas membolehkan saya memiliki kereta sendiri.

"Sebab itu, saya rasa sambutan Hari Raya kali ini lebih menarik kerana dapat memandu pulang ke Kedah dengan kereta baru," katanya.

Tambah Mimie, pendapatan yang konsisten sejak setahun lalu juga telah merealisasikan impiannya untuk membelikan pakaian dan keperluan Aidilfitri untuk kedua ibu bapanya.

"Syukur sangat, rezeki pada tahun ini semakin murah. Jadi dapatlah saya membelikan pakaian dan keperluan Hari Raya untuk ibu bapa.

"Walaupun saya masih seorang pelajar tetapi dapat juga saya berkongsi rezeki dengan keluarga," katanya.

Berkongsi tentang perkembangan semasa, Mimie berkata, walaupun dia teruja dengan kedatangan Lebaran ini tetapi dia masih perlu beringat dan mengawal pemakanannya.

Ini kerana, sebaik saja cuti Raya berakhir, pelajar Diploma Seni Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini bakal menduduki peperiksaan akhir bagi kursus vokal yang memerlukan persediaan rapi pada aspek suara.

"Walaupun saya gembira dengan Hari Raya kali ini tetapi masih perlu berpada-pada juga. Sebaik saja cuti Hari Raya tamat, kuliah akan bersambung di mana saya akan menduduki peperiksaan akhir bagi kursus vokal.

"Sepanjang cuti ini saya tidak boleh ambil makanan berminyak atau minuman berais secara keterlaluan serta mengawal pemakanan agar tidak memudaratkan suara dan kesihatan.

"Maklumlah, apabila tiba musim Hari Raya, kita seronok untuk menjamah pelbagai makanan sehingga terlupa ia mungkin memudaratkan kesihatan di kemudian hari," katanya yang menggemari hidangan laksa Kedah, ayam masak merah dan lemang.

Friday, August 26, 2011

Hati Rossa sudah dimiliki


GUSAR hati kecil Rossa kala menerima kiriman laporan berita mengenai gosip terbaharu mengenai dirinya yang disiarkan dalam sebuah akhbar tabloid di Malaysia hujung minggu lalu.

Dia amat bersedih dengan laporan yang disifatkannya sangat tidak berasas kerana dakwaan yang dilemparkan benar-benar menjejaskan reputasi dan imejnya yang selama ini sangat dipelihara.

Kepada Kosmo!, Rossa meluahkan rasa terkilan pada gosip yang mengaitkan dirinya dalam kehidupan seorang lelaki bergelar VIP yang sudah berkeluarga.

“Kenapa wartawan itu tergamak menulis berita yang tidak berasas itu mengenai saya?” soalnya kepada penulis dalam satu pertemuan di kediaman baharunya di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Ternyata, dia sangat bingung ketika menerima kiriman laporan berita itu yang disampaikan oleh teman karibnya di Kuala Lumpur.

“Apakah mereka mencemburui kerjaya saya di sana?” soalnya lagi dalam nada yang amat hiba meminta pengertian penulis.

Lebih menyedihkan Rossa ialah, dia bimbang gosip tidak benar itu akan menjejaskan nama baiknya di Malaysia yang sudah seperti rumah keduanya.

“Saya takut reputasi saya terjejas. Saya juga bimbang nanti isteri-isteri orang ternama (VIP) di Malaysia takut untuk mengundang saya lagi mengadakan persembahan di sana,” luah Rossa lagi.

Kata Rossa, bukan dia tidak boleh menerima hakikat bahawa kehidupan peribadinya sering diintai oleh masyarakat dan media.

Bahkan, tegasnya lagi, bukan sehari dua dia menjadi artis. Sudah lebih sedekad dan dia sedia maklum itulah harga yang harus dibayar apabila dia memilih untuk menjadi orang ternama dan sering dipuja peminat.

Namun, gosip kali ini yang disiarkan di media Malaysia bagaikan satu tamparan buatnya kerana dia tidak pernah menyangka rakan-rakan media di negara jiran yang sudah dianggap sebagai sebahagian daripada keluarganya tergamak menulis perkara yang tidak benar.

“Saya tidak marah kalau wartawan mahu menulis gosip mengenai saya. Tetapi, biarlah gosip itu berasas dan ada faktanya, bukan menulis perkara yang tidak benar,” kata Rossa menyambung perbualan.

Dari kaca matanya, penulis dapat menelah bahawa ada sebab untuk Rossa sangat bimbang dan resah dengan tulisan mengenai ‘skandalnya dengan suami orang’.

Ia kerana, wanita yang berstatus ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, Rizky Langit Ramadhan ini sedang menganyam buih-buih cinta dengan seseorang.

Sepanjang berbual dengannya, Rossa penulis perhatikan ralit membalas kiriman mesej di telefon bimbit Blackberrynya. Setiap kali menerima kiriman mesej BBM itu, wajahnya ceria dan senyuman yang diukirnya pula sangat manis.

“Apa kamu sedang bahagia dengan teman lelaki kamu?” soal penulis kepadanya.

Dia hanya tersenyum. Mahu mengelak sudah tidak mampu lagi kerana mengenali wanita ini, dia sangat sukar untuk bercakap bohong apa lagi kepada rakan-rakan wartawan dari Malaysia yang sangat disenanginya.

“Saya sangat bahagia. Saya juga sangat senang kerana saya mempunyai seseorang dalam hidup yang sentiasa memberikan kebahagiaan pada saya. Kerana itu, saya risau apabila berita yang tidak benar dilaporkan di media. Saya memohon ruang untuk mengisi hari-hari bahagia dengan orang yang sedang saya dampingi,” ujar Rossa lagi.

Enggan berkongsi panjang lebar mengenai kekasih baharunya, memadai kata Rossa, dia mengesahkan sangat menyenangi pria yang sedang bertakhta di hatinya ketika ini.

Justeru, pada masa ini Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani yang kini berusia 33 tahun mahu memberikan perhatian terhadap kehidupannya yang sangat menyenangkannya.

Selain fokus pada kerjaya seni, Rossa juga mahu memastikan masa depan anaknya, Rizky yang berusia lima tahun terjamin dengan membekalkan anak tunggalnya hasil daripada perkongsian dengan bekas suami, Yoyo (pemain drum kumpulan Padi) pendidikan yang berkualiti.

“Apa yang Allah berikan kepada saya amat saya syukuri. Tidak pernah terhenti doa saya kepada Allah kerana Dia amat mengasihi saya,” ujar Rossa yang sering mengingatkan dirinya agar sentiasa berkongsi rezeki dan nikmat yang Allah berikan dengan orang-orang di sekeliling terutama ahli keluarganya.

Sementara itu, berkongsi kisah Aidilfitrinya, Rossa yang sudah pulang ke kampungnya di Sumedang memberitahu dia telah mengambil cuti selama seminggu untuk meraikan hari bahagia itu bersama keluarga tercinta.

Ujarnya sedar tak sedar sudah setahun dia tidak balik ke kampung halamannya.

“Kali terakhir saya pulang ke Sumedang lebaran tahun lalu. Ya ampun, saya rasa bersalah pada keluarga saya,” katanya yang mahu menghabiskan masa kualiti idengan keluarganya.

Eksklusif di kediaman baharu Rossa

Kehadiran penulis di kediaman baharu Rossa di Pejaten, Jakarta baru-baru ini diterima Rossa dengan tangan terbuka. Kediaman dua tingkat yang menerima sentuhan hiasan dalaman berkonsepkan moden kontemporari itu sangat tenang dan mendamaikan.

Kata Rossa, kediaman itu baru saja didudukinya (sebulan sebelum Ramadan).

“Kamu (penulis) wartawan pertama yang saya undang untuk rakamkan foto saya di rumah baharu ini,” katanya menyambut salam terima kasih penulis sebaik memasuki rumah beliau itu.

Semua mengenai hiasan dalam kediaman itu dilakukan sendiri oleh Rossa mengikut citarasanya sendiri. Daripada pemilihan perabot sehinggalah warna cat, lampu dan sebagainya dilakukan Rossa dengan berpandukan buku-buku hiasan dalaman.

Cinta Rossa pada hiasan dalam sangat tinggi kerana itu dia mengambil masa yang agak lama untuk menetap di rumah itu kerana mahu memastikan susun atur rumah baharunya itu menyenangkan matanya dan mendamaikan jiwanya.

Kepada anda yang mungkin tidak tahu, Rossa sebenarnya merupakan seorang artis yang amat gemar membeli aset khususnya rumah kerana dia menyedari kediaman merupakan aset yang amat bernilai dan merupakan pelaburan yang sangat bijaksana.

Daripada apa yang penulis dimaklumkan, penyanyi ini sudah memiliki beberapa unit apartmen yang dibelinya khusus untuk disewakan. Itu belum termasuk sebuah lot banglo eksklusif dan mewah khusus untuk pelancong yang inginkan menenangkan fikiran di sana.

Semua yang dilakukan Rossa merupakan bekalan beliau pada masa depan seandainya dia memilih untuk bersara apabila sampai masanya kelak.

Shila Hamzah Menangis Kerana Sharnaaz Ahmad


PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah mengakui sangat meminati lakonan Sharnaaz Ahmad dan meminta pelakon tersebut berganding dengannya dalam klip video Patah Seribu.

Jelas Shila, dia dan keluarganya memintai lakonan Sharnaaz terutamanya ketika menonton drama Ungunya Cinta yang sedang ditayangkan di TV3.

"Ketika pengarah bertanyakan tentang pelakon lelaki untuk klip video ini, saya terus terfikir Sharnaaz sebab saya minat dengan lakonannya dan pernah menangis melihat dia berlakon dalam Ungunya Cinta.

"Keluarga saya turut meminati Sharnaaz kerana menonton lakonannya dan dia juga bersetuju untuk berlakon bersama dalam video klip ini," katanya.

Dalam pada itu, Shila mengakui gementar untuk berlakon kerana ini merupakan kali pertama dia beraksi di hadapan kemera.

"Saya tidak pernah berlakon sebelum ini sudah tentu ada rasa gementar terutamanya untuk membawa sesebuah karakter biarpun hanya 10 adegan saja," tuturnya.

Video klip yang dijangka akan dikeluarkan bulan depan ini mengisahkan tentang percintaan dua darjat yang tidak kesampaian.

Thursday, August 25, 2011

Bahagia berganda Marion Counter


KOLAM hati wanita cantik yang duduk di hadapan saya dalam pertemuan kami di unit emper Hotel Hilton Kuala Lumpur yang serba mewah itu sedang digenangi bahagia yang melimpah ruah. Petah bicara yang bersulam dengan senyum semanis madunya tidak dapat menyembunyikan getar teruja yang tersimpul kemas di dalam jiwa.

Marion Rose Counter Abdullah kini sedang meniti titian menjadi seorang wanita yang lengkap, secara harafiah. Dia kini sedang hamil anak sulung yang bercambah benih usianya lima bulan.

Bahagia Marion memang tidak dapat ditahan-tahan. Baginya yang mengetahui dia hamil sekitar Mac lalu, berita tersebut adalah sebuah rahmat terbesar buatnya dan suami.

Ini kerana akui wanita berketurunan Cina yang kini fasih berbahasa Melayu, sejak bernikah pada bulan Disember tahun lalu, baik dia mahupun suaminya, Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasaruddin atau mesra dipanggil Nasa memang sudah bersedia untuk menimang cahaya mata.

Tiada istilah fasa bulan madu untuk mereka kerana cinta selama lima tahun yang dipupuk bersama sudah menjadi kembara asmara buat mereka berdua. Kini, dalam fasa berumah tangga, mereka tidak mahu menunggu lama untuk membesarkan empayar Nasa-Marion, sementelah usia juga bukan semakin muda.

Memberitahu dia mengalami alahan yang teruk pada fasa pertama kehamilan, ia tidak langsung membunuh keterujaannya hamil buat kali pertama. Walau mengaku pada awal kehamilan dia sedikit terganggu kerana langsung tidak boleh menyentuh makanan atau minuman, namun dia mahu melalui kembara sembilan bulan hamil dengan penuh aprisiasi.

“Saya membuat empat kali ujian kehamilan untuk memastikan saya tidak silap. Waktu itu saya di Singapura, baru selesai rutin mengacara di E! News Asia,” ujarnya bersulam ketawa.

Sebaik yakin dirinya hamil, dia segera menelefon suami untuk berkongsi cerita gembira tersebut dan ia hanya disambut Nasa dengan nada biasa kerana mahu menyembunyikan kegembiraan itu daripada saudara yang ada bersamanya ketika itu.

“Tapi sebaik Nasa bersendirian, dia telefon saya semula dan kami meraikannya dengan cara kami. Ini kerana kami memang sudah bersedia untuk menjadi ibu dan bapa,” katanya yang sudah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk menjadi seorang ibu kelak.

Tambah Marion, sejujurnya, dia dan Nasa memilih untuk merahsiakan kehamilannya daripada pengetahuan ramai. Pada pemikiran mereka, kehamilannya adalah hal yang sangat peribadi, justeru mereka mahu ia menjadi satu rahsia buat mereka sahaja.

Namun akhirnya ia tidak dapat disembunyikan dan kata Marion: “Memang pada awal kami mahu ia menjadi rahsia. Tapi sebagai selebriti saya tidak boleh berbohong tentang kehamilan ini. Lagi pula ia adalah berita gembira dan saya sangat berterima kasih kepada semua yang mendoakan kehamilan saya.”

Belum membuat sebarang persiapan atau memilih nama untuk anaknya, kata Marion, apa yang penting buat masa ini adalah dia menjaga kandungan dan kesihatan dengan baik agar kelak mampu melahirkan dan memperoleh seorang cahaya mata yang sempurna.

Lebih membahagiakan, sepanjang hamil, suaminya yang memang kerap bekerja ke luar negara sudah mula mengurangkan aktiviti tersebut dan memberi fokus terhadap dirinya. Itu, kata Marion adalah hal yang paling membahagiakan dirinya kerana mengaku sebagai wanita hamil, dia turut mengalami simptom emosi yang kadangkala tidak stabil dan memerlukan lebih perhatian daripada suaminya.

Memberitahu dia kini cukup berselera makan terutama masakan lokal, Marion yang ditanya tentang pemikiran segelintir wanita yang tidak mahu mempunyai anak kerana bimbang bentuk badan yang cantik bertukar rupa melahirkan persepsinya dengan cukup matang.

Katanya yang mahu bersalin secara normal kerana ingin merasai nikmat melahirkan anak: “Bayi adalah hal yang paling penting berbanding tubuh badan. Ini rezeki Allah dan saya tidak pernah berfikir untuk tidak mahu mempunyai anak kerana terlalu sayangkan tubuh badan. Bagi saya, jika kita disiplin, kita akan boleh mendapat tubuh badan yang asal, tetapi anak, ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Jadi saya memilih anak berbanding tubuh badan.

Malah dia yakin dia mampu menurunkan berat badan kepada asal selepas bersalin dengan bantuan ibu dan ibu mertuanya.

“Mak mertua saya seorang yang mementingkan adat resam tradisional, tetapi apabila tiba soal penjagaan selepas bersalin, dia agak moden dan tidak mempunyai pantang dalam pemakanan. Saya juga boleh aktif seperti biasa dan perlu disiplin.

“Mak saya juga seorang yang moden, namun dia ada satu kunci penjagaan selepas bersalin iaitu menyarankan saya agar memakan banyak ginseng dan melakukan urut tradisional,” katanya yang cukup bahagia kerana diberi perhatian khusus bukan sahaja daripada suami, seluruh orang di sekelilingnya.

Bahagia

Diajak bercerita tentang kehidupannya selepas berumah tangga, Marion menterjemahkan ia sebagai cukup bahagia. “Pada awal perkahwinan memang sedikit kekok kerana dulu sudah terbiasa seorang diri, namun kini berdua. Namun semakin hari, ia menjadi menarik kerana banyak hal dapat dikongsi bersama.”

Tambah anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi, yang menambah keterujaannya hidup bersama Nasa adalah suaminya itu menerima dia seadanya. Bersama suami tercinta juga, dia belajar mendalami keindahan Islam yang baru menjadi agamanya kurang setahun lalu.

“Paling teruja, tahun ini juga merupakan tahun pertama saya meraikan hari kemenangan, Aidilfitri sebagai saudara baru. Perasaan itu sukar digambarkan, dan paling saya nantikan adalah ritual berkumpul dengan seluruh keluarga pada pagi hari raya.

“Bagaimanapun untuk tahun ini, mungkin adik-beradik suami saya ramai yang tidak ada pada hari raya pertama kerana beraya di rumah mertua masing-masing.

“Namun pada hari raya kedua nanti, kami semua akan pulang ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk menziarah kubur arwah bapa mertua saya dan bertemu saudara-mara di sana,” katanya yang sedang memikirkan untuk bercuti ke sebuah destinasi bersama suaminya memandangkan dia akan bercuti raya selama seminggu.

Marc Anthony Jadi Punca Masalah Rumah Tangga Will Smith?


WALAUPUN sudah menafikan khabar tentang penceraian mereka, pasangan selebriti Will Smith dan Jada Pinkett pula dikatakan sedang berhadapan dengan masalah kerana orang ketiga.

Lelaki yang dikaitkan sebagai orang ketiga ialah Marc Anthony yang pernah bergandingan dengan Jada dalam filem Hawthrone sebagai pasangan suami isteri.

Sumber daripada pihak Jada bagaimanapun memberitahu khabar angin tersebut tidak benar sama sekali.

"Semua khabar angim tentang Marc Anthony dan Jada tak benar. Mengenai khabar penceraian Will dan Jada pula biar mereka yang beri kenyataan," katanya seperti dipetik daripada dailymail.co.uk.

Sementara itu, Marc yang mengetahui perkara ini turut menyangkal khabar angin tersebut.

"Kami mengatakan bahawa ini tidak benar," ujar jurucakap Marc Anthony.

Bkay Nair Mengaku Tertarik Dengan Lelaki Melayu


PETALING JAYA: Pelakon Bkay Nair mengaku tertarik dengan lelaki berbangsa Melayu untuk dijadikan teman istimewanya.

Tambah Bkay, dia tidak menolak jika bertemu jodoh dengan lelaki Melayu jika itu yang ditakdirkan Tuhan.

"Sejak zaman persekolahan lagi kekasih saya lelaki Melayu. Bagi saya kebanyakan lelaki Melayu lebih mengambil berat dan romantik berbanding bangsa lain.

"Bukan kekasih sahaja, malah kawan-kawan saya sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah semuanya Melayu," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pelakon-pelakon filem Scandal, di sini, Rabu.

Ketika ditanya tentang penerimaan keluarga, gadis berketurunan Malailee ini berkata keluarganya sentiasa bersikap terbuka mengenai teman lelaki pilihannya.

"Dalam keluarga saya ramai yang berkahwin campur, malah dua orang pakcik saya sudah memeluk agama Islam. Tapi setakat ini saya tidak pernah pula berbincang tentang isu itu dengan keluarga," katanya.

Selain itu, Bkay turut mengakui sering mendapat tawaran memegang watak wanita berbangsa Melayu dalam beberapa drama tempatan.

"Saya selesa bawa watak wanita Melayu, lagi pun jika di luar orang ramai menyangka saya anak mami dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.

"Saya tidak kisah malah selesa jika mereka beri watak wanita Melayu kerana unsur Melayu banyak dalam diri saya," katanya yang turut menyambut Hari Raya di kampung halamannya di Johor Baru dan Pulau Pinang.

Bercerita tentang filem Scandal, Bkay berkata dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk memegang watak utama, namun berharap melalui filem tersebut mampu menguji kemampuannya sebagai seorang pelakon.

"Sembilan calon di sini masing-masing berharap untuk mendapat watak utama tapi kita berserah dengan keputusan daripada pengarah yang menilai," katanya.

Filem Scandal arahan Din CJ yang mengisahkan tentang kehidupan pramugari akan memulakan penggambaran pada September depan di beberapa buah lokasi seperti Paris, dan Dubai.

Katy Perry Langgar Janji


SEJAK dua tahun lalu, penyanyi Katy Perry telah meninggalkan makanan berdaging bagi mengikut cara pemakanan suaminya, Russel Brand yang merupakan seorang vegetarian.

Bagaimanapun, Katy telah melanggar janjinya apabila dia dilihat sedang menikmati masakan ayam belanda di sebuah restoran.

"Russel telah menjadi seorang vegetarian selama 22 tahun dan ini agak sukar buat Katy yang meminati makanan berdaging. Memang dia cuba untuk berhenti memakan daging demi Russel tetapi ia bukan sesuatu yang mudah untuknya," kata sumber kepada Dailymail.

Bagaimanapun, sehingga kini Russel masih lagi setia bergelar seorang vegetarian, malah pada Jun lalu, Russel diberi gelaran 'Vegetarian Paling Seksi' dari PETA.

"Walaupun saya seorang penagih dadah, saya masih lagi seorang vegetarian yang sejati. Saya mungkin mengambil heroin, tetapi tak pernah lagi saya menyentuh hamburger," kata Russel.

Tuesday, August 16, 2011

Jessica Alba Lahirkan Anak Kedua


LONDON: Aktres Jessica Alba, 30, dilaporkan selamat melahirkan anak keduanya, seorang bayi perempuan pada Sabtu lalu.

Berita yang dilaporkan oleh portal contactmusic.com itu disahkan oleh Alba menerusi kemas kini di akaun Facebooknya.

"Hai semua, saya harap anda semua melalui hujung minggu yang menyeronokkan. Saya dan Cash (suami) sangat teruja untuk mengumumkan berita kelahiran anak kedua kami, bayi perempuan yang bernama Haven Garner Warren.

"Dia dilahirkan pada Sabtu lalu dengan berat 71 paun dan 19 inci panjang. Dia seorang bayi yang sihat dan gembira.

"Kakaknya Honor kelihatan sangat gembira dengan kelahiran itu. Terima kasih atas sokongan semua sepanjang tempoh kehamilan saya," katanya.

Alba dan Cash Warren berkahwin pada 2008 iaitu pada tahun yang sama dia melahirkan anak sulung mereka, Honor Marie Warren.

Yusry Tolak Spekulasi Nikah Lisa Surihani 2012


PETALING JAYA: Penyanyi dan pengarah filem Yusry Abdul Halim menolak dakwaan kononnya akan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Lisa Surihani pada tahun hadapan seperti mana yang dilaporkan dalam sebuah akhbar harian pada Sabtu lalu.

Pihak KRU Studios dalam satu kenyataan kepada mStar Online di sini, Selasa berkata, laporan berita berkenaan adalah tidak benar dan ia mungkin berlaku salah faham.

“Akibat laporan berkenaan, Yusry telah dihujani dengan pelbagai soalan untuk pengesahan berita tersebut khususnya tentang beliau dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dengan Lisa Surihani pada tahun 2012.

“Dengan ini Yusry ingin menjelaskan bahawa beliau tidak pernah memberikan kenyataan sedemikian dan spekulasi itu mungkin terjadi kerana salah faham,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataannya Yusry turut menambah pihaknya masih belum berbincang mengenai isu perkahwinan dan meminta semua pihak agar tidak keliru dengan pendedahan yang dibuat akhbar berkenaan.

Katanya, pada masa akan datang dia akan memaklumkan perkhabaran gembira mengenai hubungannya dengan Lisa Surihani kepada peminat termasuk pihak media untuk mengelak sebarang spekulasi.

Sabtu lalu sebuah akhbar yang memetik kenyataan Yusry dengan melaporkan pengarah filem Karak itu membayangkan akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan selepas gagal dengan perkahwinan pertama bersama aktres Erra Fazira.

Saturday, August 13, 2011

Konsert Penghormatan Michael Jackson Dibarisi Penyanyi Hebat



KONSERT penghormatan kepada mendiang raja pop, Michael Jackson bakal diadakan pada 8 Oktober ini dan seperti biasa, barisan penyanyi hebat akan bekerjasama membuat persembahan pada konsert tersebut.

Sebelum ini penyanyi Craig David menyatakan dia akan menyertai konsert yang diberi nama Michael Forever Tribute Concert. Malah beberapa nama penyanyi besar lain termasuklah Christina Aguilera dan Cee Lo Green.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bleeding Love, Leona Lewis, JLS, Alien Ant Farm turut akan mengisi acara konsert yang diadakan di Millenium Stadium, Cardiff.

Walaupun konsert tersebut tidak akan dihadiri oleh Randy dan kakak Michael, Jermaine Jackson, yang menentang konsert penghormatan itu, hampir seluruh keluarga besar Micheal tetap akan hadir termasuklah ibu mendiang, Katherine Jackson, La Toya Jackson, Marlon, Jackie, dan Tito Jackson.

Kontroversi Tak Ganggu Kerjaya Neelofa


KUALA LUMPUR: Walaupun sering diapit dengan kontroversi, pelakon jelita Neelofa, bersyukur kerana dia masih lagi diterima dalam industri lakonan tempatan.

Menurut bekas juara Dewi Remaja 2011 itu, pada mulanya, dia risau apabila sering dikaitkan kontroversi yang negatif kerana ia mampu menjejaskan kariernya.

"Saya menyertai bidang hiburan tempatan kerana satu tujuan iaitu mahu mengukuhkan nama menerusi prestasi lakonan dan pengacaraan. Namun, ia tidak semudah yang disangkakan.

"Alhamdulillah, walaupun nama saya dikenali kerana kontroversi, tawaran lakonan juga tidak putus-putus," katanya.

Tambah pelakon filem SAM (Saya Amat Mencintaimu) itu, dia tahu, sebagai seorang selebriti yang dikenali umum, dia tidak boleh elak daripada sebarang gosip yang menimpanya.

"Saya percaya, kita tidak boleh elak kontroversi dan menjadi seorang selebriti bukannya mudah.

"Apa-apapun, selain kontroversi, saya juga mahu orang ramai melihat hasil kerja yang saya usahakan," ujarnya.

Selain itu, Neelofa turut menerima tawaran sebagai pengacara majlis dan juga kini dia sedang mengendalikan program hiburan terbitan KRU TV, Paparazzi bersama dua hos lain iaitu Aina Suzaily Zailanny dan Sharifah Sakinah.

"Saya juga sedang berjinak dalam bidang pengacaraan dan Paparazzi merupakan pengacaraan program pertama saya.

"Lagipun, matlamat saya ke bidang hiburan sebenarnya untuk menjadi seorang pengacara dan harap, bakat saya dapat dikembangkan dalam selain lakonan," tuturnya.

Paparazzi merupakan sebuah prgram hiburan yang menyampaikan berita-berita panas mengenai selebriti Malaysia dan Indonesia. Program tersebut disiarkan menerusi laman web www.tonton.com.my dan akan bersiaran di sebuah televisyen tidak lama lagi.

Friday, August 12, 2011

Britney Spears Dilarang Memiliki Telefon Bimbit


LONDON: Penyanyi Britney Spears, 29, telah dilarang daripada memiliki telefon bimbit sendiri untuk mengawal tingkah lakunya.

Larangan tersebut dilihat sebagai salah satu langkah yang diambil oleh individu terdekat dengan penyanyi itu bagi mengelak dia mengulangi kesilapan-kesilapan pelik sebelum ini.

"Orang yang paling rapat dengan Britney sentiasa memerhati gerak-gerinya bagi memastikan dia berada pada trek yang sepatutnya.

"Salah satu pendekatan yang diambil adalah melarangnya daripada memiliki telefon bimbit kerana ia membantu orang lain untuk mengawal dirinya," kata satu sumber seperti dipetik akhbar Sun.

Pada tahun lalu, bekas pengawal peribadinya Fernando Flores, 30, mendakwa penyanyi itu telah mengirimkan beberapa keping gambar bogel yang diambil sendiri menggunakan telefon bimbit.

Spears juga dituduh telah menunjukkan alat sulitnya dan melakukan bayaran pendahuluan yang tidak dikehendaki untuk rumahnya di Los Angeles.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Baby On More Time itu menyangkal semua dakwaan tersebut.

Bintang pop itu berada di bawah perlindungan undang-undang dan kerjayanya kini diuruskan oleh bapanya Jamie susulan kekalutan yang melandanya pada 2008.

Mahkamah Sahkan Joey Bercerai Talak Satu


KAJANG: Ikatan perkahwinan pelakon dan penyanyi, Joey dan isteri, Noraini Mohammad Nasir terlerai pada Khamis, apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan lafaz talak yang dibuat lebih setahun lalu sebagai sah.

Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah pada penghakimannya juga memutuskan bahawa tidak berlaku rujuk antara pasangan tersebut, selepas Joey bersumpah bagi menafikan dakwaan yang dibuat oleh isterinya yang merupakan bekas produser.

Percanggahan yang timbul atas isu rujuk, menyebabkan Abdul Halim memutuskan bahawa Noraini selaku pihak yang mendakwa perlu menawarkan kepada Joey untuk bersumpah dan sekiranya lelaki itu tidak bersedia untuk berbuat demikian, beban untuk bersumpah akan kembali kepada wanita terbabit.

Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud, 37, bagaimanapun mengakui bahawa dia bersedia untuk bersumpah yang dilakukannya pada pukul 12. 10 tengah hari.

"Saya tidak pernah melafazkan rujuk kepada isteri saya pada 8 Jun 2010 atau pada bila-bila masa sekali pun selepas perceraian. Sekiranya saya berdusta dengan sumpah ini, maka laknat Allah akan menimpa ke atas diri saya di dunia dan akhirat," lafaz vokalis kumpulan Exists tersebut.

Selepas Joey melafazkan sumpah itu, Abdul Halim memutuskan bahawa pasangan tersebut sah bercerai dengan talak satu kali pertama dan memerintahkan Noraini, 44, untuk beredah selama tiga kali suci bermula lafaz dibuat, iaitu 4 Jun 2010. Memandangkan Joey pernah mengakui dia mahu berkahwin lain, Abdul Halim berkata secara terus kepadanya: "Sila daftarkan perceraian ini ke pejabat agama untuk membolehkan kamu berkahwin lain seperti yang kamu cakap."

Pada penghakimannya, Abdul Halim turut menyelitkan nasihat agar umat Islam tidak tergesa-gesa melafazkan cerai kepada isteri mereka meskipun telah berasa amat benci dan seharusnya ia dibawa kepada pengetahuan mahkamah.

"Dalam kes ini, plaintif (Noraini) telah melarikan diri (masuk ke dalam rumah) kerana tidak mahu mendengar lafaz cerai itu. Defendan (Joey) telah melafazkan cerai dengan tergesa-gesa hanya kerana minat yang mendalam terhadap seorang wanita lain.

"Sepatutnya ia dimajukan kepada mahkamah, terutamanya atas perasaan belas kepada isteri yang telah berpenat lelah berkorban untuk suami," katanya.

Berdasarkan permohonan yang difailkan pada 15 Oktober 2010, Noraini mendakwa Joey yang pernah menghasilkan album Beradu Suratan itu melafazkan cerai kerana mempunyai hubungan dengan wanita lain bernama Norwati Sadali atau lebih dikenali sebagai Watie (Elite).

Lafaz cerai yang dimulakan dengan bacaan Bismillah itu didakwa Noraini berlaku pada 4 Jun 2010 dan di tempat letak kereta dan hanya didengari oleh seorang rakan bernama 'Acong' yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada dirinya.

Wanita bertubuh ramping itu seterusnya mendakwa, Joey ada kembali semula ke rumah pada 8 Jun 2010 dan melafazkan rujuk sambil tangan kanannya memegang dahi isterinya, manakala tangan kiri memegang Al-Quran dan diikuti dengan hubungan suami isteri.

Bagaimanapun, Joey menafikan semua dakwaan itu dan berkata, dia hanya kembali ke rumah pada hari tersebut untuk mengambil barang dan menjenguk anak angkat mereka, Zidani yang berusia empat tahun. Pasangan itu berkahwin pada 4 Mei 2005.

Sementara itu, Joey yang hadir ke mahkamah dengan seorang rakan apabila ditemui meluahkan rasa syukur kerana permasalahan rumah tangganya telah dapat diselesaikan.

"Cuma saya hendak cakap ia tidak melibatkan orang ketiga," katanya dan apabila ditanya bila mahu melangsungkan perkahwinan, secara berseloroh, Joey menjawab, jika boleh hari ini juga. Perkara itu terpulang kepada jodoh dan juga rezeki," tambahnya. Noraini pula memberitahu, dia menerima keputusan mahkamah dan lega kerana Joey sanggup menerima akibat daripada sumpah itu dan akan meneruskan hidup dengan anak mereka.

"Saya hanya nak pesan kepada artis-artis wanita, jika banyak lagi lelaki lain, jangan ambil suami orang. Tolong cari yang lain, jangan runtuhkan rumah tangga orang lain dan biarkan anak-anak kecil tanpa bapa," katanya.

Kontroversi Punca Jodoh Faezah Elai & Heykal


KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Faezah Elai memberitahu kontroversi yang tercetus di antara dia dan pengarah Heykal Hanafiah telah menimbulkan bibit cinta mereka berdua.

Jelas Faezah, dia dan Heykal mula rapat apabila sering bertemu bagi menyelesaikan masalah yang mengaitkan mereka.

"Saya rapat dengan Heykal selepas kontroversi yang melanda kami, padahal sebelum kontroversi tersebut memang kami tiada sebarang hubungan langsung.

"Pada asalnya kami hanya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut dan akhirnya hubungan itu melahirkan satu perasaan lain," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran filem Tanda Putera, Perbadanan Kemajuan Filem Merdeka (Finas) di sini, Selasa.

Kisah Faezah dan Heykal menjadi panas sebelum ini apabila mereka dikatakan mempunyai hubungan istimewa ketika lelaki tersebut mengarahkan sebuah drama lakonan pelakon wanita itu.

Akibatnya Faezah dituduh menyebabkan keruntuhan rumah tangga Heykal

Bagaimanapun, Faezah menegaskan dia sama sekali tiada kaitan dengan masalah rumah tangga pengarah drama Asmara itu.

"Saya rapat dengan dia selepas dia berpisah dengan isterinya, saya tiada kaitan dengan masalah rumah tangga mereka," tuturnya.

Pasangan yang memilih tarikh 9 September untuk diijabkabulkan menganggap perkenalan dalam waktu singkat itu bukan penghalang untuk menjalani kebahagiaan dalam rumah tangga.

"Biarpun hubungan percintaan kami singkat, namun saya yakin saya mengenali dia. Malah saya juga memahami apa masalah sebenar yang menyebabkan kegagalan rumah tangganya.

"Saya yakin apabila hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak, adalah lebih baik perkahwinan kami dijalankan segera," katanya.

Ketika ditanya tentang tindakannya sebelum ini yang cuba menyembunyikan identiti bakal suami dan tarikh perkahwinannya, Faezah menjelaskan perkara itu dibuat atas permintaan bakal ibu mertuanya.

"Saya tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini apabila ditanya wartawan, tetapi ia adalah permintaan ibu mertua saya yang tidak mahu ia diumumkan sebelum kad undangan siap dicetak.

"Sekarang mungkin masa yang tepat untuk saya mengumumkan majlis tersebut kerana semuanya sedang berjalan dan ibu mertua sudah beri lampu hijau," katanya.

Thursday, August 11, 2011

P.O.P Perjuang Lagu Etnik Sabah


PETALING JAYA: Empat pemuda dari Sabah yang menggelar diri mereka Prince of Pop (P.O.P) yakin lagu-lagu etnik negeri itu berjaya diangkat sebagai karya popular jika penghasilannya dilakukan dengan baik.

P.O.P yang dianggotai oleh Aye, Benn, Aegy dan Vin berkata, dengan mempertaruhkan lagu-lagu etnik negeri itu ia sedikit sebanyak dapat menaikkan identiti mereka sebagai anak jati Sabah.

“Bakat kami mula diterima selepas penyanyi dan komposer Cat Farish menonton video nyanyian kami di laman YouTube pada tahun lalu. Selepas itu dia meminta demo lagu dan kami menghantarnya dalam bahasa Kadazan berjudul “Ada Hivai Dandi Toh” (Jangan Lupa Janji Kita) dan “Nung Noilaan Ku” (Jika Ku Tahu).

“Kami yakin, dengan muzik dan lagu berunsurkan Sabah pasti memberikan kekuatan kepada identiti kami sendiri memandangkan kami semua anak Sabah,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Vin mewakili P.O.P: “Selepas bertemu dengan Abang Cat, dia menggubah lagu pertama kami berjudul Buku Baru manakala lagu kedua digubah oleh kami bersama Abang Cat berjudul Main Jauh Jauh.

“Lagu “Buku Baru” menjuarai carta Borneo Era di Era FM, Kota Kinabalu selama beberapa minggu.

“Selepas ini, kami bercadang untuk menghasilkan lagu “Main Jauh Jauh” dalam bahasa Kadazan pula untuk dikomersialkan di Sabah.”

Kumpulan ini berasal dari kumpulan Triple Prince, gabungan nama dua kumpulan yang menyertai program realiti Gangstarz musim pertama dan ditubuhkan pada tahun 2006.

Bagaimanapun, pada 2007 nama telah ditukarkan ke Da’Prinz setelah gagal kali kedua mencuba program realiti Gangstarz musim kedua.

Sejak daripada itu, mereka sering membuat persembahan dari daerah ke daerah termasuk Sandakan, Beluran , Ranau dan Kundasang.

Pada tahun 2009, mereka mewakili artis Sabah untuk Pesta Gawai Keamatan yang berlangsung di Kuching Sarawak anjuran RTM. Malah lagu mereka turut menjadi juara carta lagu Kadazan di radio RTM Sabah.

Kemudian, pada 2010, mereka bertemu Cat Farish dan dilamar untuk menjadi artis rakaman Cat Presents Production Sdn Bhd dan “single” pertama mereka menjadi runut bunyi untuk drama slot akasia TV3 iaitu “Seribu Kali Cinta” lakonan Kamal Adli, Intan Ladyana, Nurkiriah dan Cat Farish.

Nama mereka ditukar ke P.R.Inc oleh Cat Farish dan terus diolah ke P.O.P

Salma (Mentor) Urus Kerjaya Sendiri


SHAH ALAM: Walaupun muncul juara dalam program realiti Mentor musim kelima, Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21 mengakui dia lebih selesa mengatur langkah karier nyanyiannya sendiri tanpa pengurusan mana-mana syarikat rakaman.

Menurut Salma, selepas program tersebut tamat, dia tidak tahu ke mana arah tuju perjalanan seninya, namun dengan bantuan mentornya, Erra Fazira, Salma dapat melangkah secara perlahan-lahan dalam membina karier muziknya.

"Syukur mentor saya iaitu Kak Erra (Erra Fazira) banyak membimbing saya mengenai selok belok industri muzik tempatan.

"Saya tahu, bergelar juara bukanlah satu jaminan besar untuk kita berada di bawah sesebuah syarikat rakaman. Seperti biasa, saya akan berfikiran positif dan menganggap belum sampai masanya lagi untuk saya berada di bawah mana-mana syarikat rakaman lagi," katanya.

Tambah Salma, dia tidak kisah untuk menguruskan kariernya sendiri walaupun sehingga kini, hanya menerima sebanyak lima undangan persembahan (yang berskala besar).

"Memang bergelar penyanyi bukannya mudah tetapi saya seronok melalui perjalanan ini. Ia sebuah pengalaman yang baru. Walaupun persembahan pentas tidak banyak untuk saya tetapi sedikit sebanyak saya dapat mengubah sedikit cara kehidupan lama.

"Kiranya saya patut bersyukur kerana jika dahulu saya pernah menerima bayaran sebanyak RM50 untuk satu persembahan tetapi kini saya terima lebih daripada itu.

"Menguruskan kerjaya sendiri juga bukanlah satu penyeksaan, cuma saya perlu bekerja keras sedikit untuk mendapatkan undangan persembahan pentas," ujarnya.

Sementara itu, Salma berkata, dia juga terpaksa berkorban untuk berjauhan dengan anak perempuannya, Putri Nurul Huda, 4, demi mengukuhkan kerjaya nyanyiannya.

"Buat masa ini, anak saya dijaga oleh ibu di kampung, Tawau, Sabah. Memang saya rindu sangat kepadanya. Tapi, apakan daya, saya perlu bekerja keras untuk masa depan dia," tuturnya.

Mizz Nina Sudah Pandai Memasak - Noh


KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh gembira dengan kehidupan barunya sebagai suami kepada penyanyi Mizz Nina, lebih-lebih lagi isterinya itu rajin memasak.

Kata Noh, selepas pulang daripada berbulan madu di beberapa negara Eropah pada awal bulan ini, Nina mula mempelajari pelbagai jenis masakan.

"Setakat ini, Nina dah mula memasak makanan kegemaran saya iaitu ayam masak kicap dan sambal tumis.

"Biasalah mula-mula masak, ada kurang sana sini dan masin sikit. Setakat ini, dia mengambil 'jalan selamat' dalam menu masakannya. Apa-apa pun, saya suka!" selorohnya.

Selain itu, bercerita mengenai pertama kali berpuasa bersama Nina, kata Noh dia berasa seronok berbanding ketika pada zaman bujangnya yang kerap bersahur dan berbuka puasa di studio sahaja.

"Biasalah, masa zaman bujang dulu, makan minum kita tak jaga sangat. Memandangkan saya sentiasa tak tidur malam, waktu malam selalunya sudah jadi seperti waktu sahur.

"Bila dah beristeri, barulah saya rasa pengalaman yang lain dan sentiasa pulang ke rumah secepat mungkin untuk makan bersama," ujarnya.

Sementara itu, Noh memberitahu, selepas pulang daripada berbulan madu, dia dan Nina terpaksa mengemas rumah apabila melihat baju-baju perkahwinan mereka merata-rata.

"Selepas melihat baju-baju kahwin yang merata itu, barulah kami sedar, banyak juga baju yang digunakan sepanjang majlis pernikahan dan resepsi diadakan bulan lepas.

"Sampaikan kami terfikir, mungkin kena jual beberapa daripadanya kot," seloroh Noh lagi.

Tuesday, August 9, 2011

Rihanna Berhabis RM69 Ribu Seminggu Untuk Rambut


LONDON: Penyanyi lagu Umbrella, Rihanna dilaporkan sanggup berhabis sehingga $14 ribu pound (RM69 ribu) seminggu bagi melakukan dandanan rambut di salah sebuah salun rambut terkemuka di Hollywood.

Penyanyi berusia 23 tahun itu dikatakan telah membayar seorang penata rias selebriti yang popular iaitu Ursula Stephen sebanyak $2 ribu pound sehari (RM9,915) semata-mata untuk tampil menawan.

"Rihanna gemar untuk menjadi pemangkin kepada imej dan gaya tetapi ia melibatkan kos yang tinggi.

"Dia perlu muncul di beberapa majlis dalam masa seminggu dan kos tersebut (penataan gaya) dijangka akan terus meningkat," kata salah seorang staf penyanyi itu yang dipetik akhbar Daily Mail.

Tambah sumber itu: "Anda pasti berasa pelik mengapa dia sanggup membelanjakan kos yang tinggi untuk tujuan itu. Bagaimanapun, sebahagian besar daripada kos berkenaan dibiayai oleh pihak pengurusannya."

Rihanna telah menukar gaya rambutnya sebanyak 13 kali sejak dia mula mewarnakan rambutnya dengan warna merah terang pada November lalu.

Kecewa Dengan Erama Record, Mila Tarik Penjualan Album


AMPANG: Penyanyi Mila Jirin merancang untuk menarik balik album keduanya yang kini telah berada di pasaran daripada Erama Record Sdn Bhd kerana kecewa dengan edaran syarikat itu.

Tambah Mila, album yang baru dilancarkan pada Februari tahun lalu itu dikatakan tidak mendapat sambutan kerana promosi yang kurang dilakukan oleh syarikat tersebut.

"Saya sedang merancang untuk menarik balik album kedua saya yang kini berada di pasaran dari syarikat Erama Record Sdn Bhd dan membuat edaran semula.

"Kemungkinan album tersebut akan diuruskan oleh syarikat saya MJ Panacea Records Sdn Bhd sepenuhnya dan merangka semula promosi album tersebut," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Album “Siapa Peduli”, di sini, Sabtu lalu. Katanya, dia sanggup membelanjakan sedikit wang bagi menjalankan proses tersebut dari awal.

"Saya tidak kisah keluarkan sedikit duit daripada membiarkan sahaja album tersebut di pasaran tanpa sebarang promosi,

"Ya sudah tentu banyak perkara yang akan dibuat semula terutamanya pembungkusan semula album tersebut dan edar semula ke pasaran," jelasnya.

Tambah Mila, dia akan membincangkan perkara tersebut dengan pihak Erama Record dalam masa terdekat bagi menyelesaikan peralihan itu secepat mungkin.

"Saya tiada masalah untuk ambil semula album berkenaan kerana saya belum menandatangani apa-apa kontrak dengan pihak Erama.

"Saya akan duduk semeja dan membincangkan perkara ini secara baik," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mila yang baru sahaja pulang dari Farrington, United Kingdom telah menghabiskan rakaman 10 buah lagu berbahasa Inggeris untuk album terbarunya.

"Saya baru sahaja pulang ke Malaysia selepas merakamkan album Inggeris dengan sebuah syarikat rakaman BGM Music,

"Single pertama berjudul “Breakdown” akan keluar selepas raya dan album tersebut juga akan dijual melalui I-Tunes di pasaran Eropah," jelasnya.

Nasha Aziz teruja jadi ibu


TIDAK dapat membayangkan bagaimana agaknya apabila aktres dan model jelita Nasha Aziz menjadi seorang ibu.

Namun, itulah kelebihan menjadi seorang pelakon seperti Nasha kerana dia boleh menjadi sesiapa sahaja di layar lakonan.

Menerusi siri televisyen yang kini sedang hangat ditayangkan di TV3, Supermak, Nasha berpeluang melakonkan karakter ibu kepada dua orang anak.

Namun, dia bukan sembarangan ibu tetapi ibu yang mempunyai kuasa luar biasa, malah dia boleh dikatakan seorang adiwira.

Naskhah terbitan Filmscape Sdn. Bhd. yang masih menjalani penggambaran pada bulan Ramadan ini mengisahkan tentang seorang ibu dan suri rumah sepenuh masa lakonan Nasha Aziz yang mempunyai kekuatan dan kelajuan seorang adiwira. Keistimemewaan kuasanya diwarisi daripada keturunannya iaitu daripada sebelah nenek moyang Nasha yang berasal dari Kepulauan Riau.

Tampak sopan dan lemah lembut di rumah menjaga kebajikan suami dan dua orang anaknya, tetapi apabila berada di luar rumah Nasha merupakan adiwira yang menghapuskan penjahat.

Bercerita tentang wataknya, Nasha mengakui dia cukup teruja. Malah, Nasha juga dikatakan sanggup menjalani uji bakat kerana menganggap drama tersebut luar biasa.

“Saya sanggup pergi uji bakat untuk drama Supermak. Memang pendirian saya akan terima tawaran drama yang boleh membuatkan saya jatuh cinta dengan jalan cerita dan wataknya.

“Sebelum ini banyak tawaran telefilem dan drama bersiri saya tolak sebab tidak berkenan dengan jalan cerita dan juga watak,” katanya menjawab mengenai dirinya yang kurang muncul di dalam drama mahupun telefilem sejak kebelakangan ini.

Tidak gentar melakukan apa jua babak aksi yang dikehendaki pengarah, Nasha bagaimanapun mengakui berdepan dengan cabaran lain semasa penggambaran Supermak.

Satu-satunya pengalaman yang tidak pernah dirasai olehnya iaitu menjadi ibu kepada dua orang anak.

“Saya tidak menghadapi masalah untuk menjayakan babak aksi atau romantis. Yang tidak biasa adalah untuk menjaga anak yang kecil. Jaga baby sangat mencabar,”-katanya.

Tambah Nasha lagi: “Sebabnya kena ikut mood dia. Kita tidak tahu bila dia bersedia, menangis dan mahu ketawa, jadi kami buat macam-macam untuk hasilkan yang terbaik.

Namun, Nasha mengakui menghadapi kesukaran apabila berlakon dengan kanak-kanak, apatah lagi bayi yang baru berumur setahun.

“Namun saya akui juga kesukaran itu adalah disebabkan saya sendiri tiada pengalaman menjaga baby. Pernah terjadi babak bersama adik ini terpaksa ditangguhkan dua hari kerana mood dia yang tidak berapa baik pada hari itu,” jelasnya lagi mengenai adik Haider Harris, satu tahun, yang berlakon sebagai anak keduanya dalam Supermak.

Keterujaan Nasha untuk berlakon dalam drama itu juga membuatkan pendiriannya berubah.

“Terus terang, selepas lima tahun tidak ambil job pada bulan puasa, ini kali pertama saya berlakon dalam bulan Ramadan,” katanya.

Melihat pada jalan cerita Supermak ia sememangnya berbeza dengan cerita-cerita adiwira yang ada sebelum ini.

Ia ditekankan oleh pengarah Supermak, Prem Anand Pallai yang penuh berkeyakinan drama tersebut mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menarik penonton.

“Drama ini mempunyai kekuatannya sendiri. Supermak bukan sahaja drama aksi tetapi juga drama komedi dan kekeluargaan. Di samping aksi seorang ibu yang cekap menguruskan hal rumah tangga dan masalah jenayah. Saya yakin drama ini akan mempunyai pengikut terutamanya seisi keluarga,” tegasnya.

Selain Nasha, drama bersiri 13 episod yang ditayangkan menerusi slot Aksi pada setiap hari Isnin pukul 9 malam itu turut dibintangi oleh Azhan Rani, Zul Yahya, Zara Zya, Amirul Hadi, Rosli Sako, Syawal AF, Henzy Andalas dan Melly Amalin.

Saturday, August 6, 2011

Cinta Laura Selesa Berlakon Guna Bahasa Inggeris


JAKARTA: Pelakon Indonesia, Cinta Laura yakin dapat memainkan wataknya dengan baik dalam filem Hollywood The Phillosopher biarpun terpaksa bertutur mengunakan bahasa Inggeris.

Dia yang terpilih untuk membintangi filem Hollywood itu berasa teruja apabila ditawarkan berlakon bersama beberapa pelakon Hollywood.

"Filem ini merupakan filem pertama yang saya benar-benar yakin kerana menggunakan bahasa Inggeris, jadi saya tidak perlu fikir untuk bercakap dalam bahasa Indonesia.

"Ia akan jadi seperti semulajadi dan saya sangat suka. Saya juga tidak berasa gementar untuk berlakon dengan artis-artis luar karena mereka semua baik-baik belaka," katanya seperti dipetik Kompas.com.

Dia juga memberitahu sepanjang penggambaran filem tersebut, dia berasa selesa disamping pelakon-pelakon luar negara tersebut.

SimplySiti Tiada DNA Babi


PETALING JAYA: Produk kosmetik SimplySiti menafikan penggunaan berus bulu babi dalam produknya sebagaimana yang didakwa dalam sebuah laman blog baru-baru ini.

Presiden produk tersebut Datuk Siti Nurhaliza Taruddin berkata kesemua produk keluaran syarikat tersebut telah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sebelum dipasarkan kepada umum.

"Apa yang berlaku di dalam konteks seperti yang tertera di di dalam blog tersebut adalah tidak benar. Bulu yang dilaporkan di dalam lampiran tersebut bukanlah bulu berus yang terdapat di dalam produk SimplySiti.

"Oleh itu, kami dengan ini menjamin bahawa produk-produk SimplySiti yang telahpun mendapat pengesahan Halal JAKIM adalah benar & berus yang terdapat di dalam produk-produk kosmetik yang kini terdapat di pasaran juga adalah mematuhi syarat piawaian Halal daripada JAKIM," ujarnya dalam sebuah kenyataan akhbar yang dikeluarkan, di sini, Sabtu.

Siti menjelaskan tuduhan sebuah laman blog pada 3 Ogos lalu telah mendakwa sampel berus produk SimplySiti telah dikesan mengandungi DNA bulu babi

Bagiamanapun, Siti berkata pihaknya akan mendapatkan kenyataan daripada JAKIM berkenaan status halal ini secepat mungkin agar isu ini tidak terus berpanjangan.

"SimplySiti akan turut mendapatkan kenyataan daripada JAKIM supaya hal ini tidak lagi dipanjangkan sehingga meragukan pengguna SimplySiti.

"Kami harap pihak JAKIM akan dapat menerangkan status halal SimplySiti dalam kenyataan akhbar mereka nanti. Dan memandangkan isu ini timbul secara mengejut dan kebetulan jatuh pada hujung minggu, pihak SimplySiti akan turut berjumpa dengan pihak JAKIM secepat mungkin untuk berbincang tentang hal ini.

"Kami mohon agar orang ramai tidak membuat spekulasi awal kerana kami sangat prihatin dan sentiasa menitikberatkan kualiti dan kesucian di dalam produk kami," ujarnya.

Jelas Siti, pihaknya terpaksa mengeluarkan kenyataan akhbar ini bagi mengelakkan salah faham orang ramai memandangkan terlalu banyak pihak telah menyebarkan spekulasi mengenai hal ini.

Ibadah Mulan Jameela


BUAT penyanyi popular Mulan Jameela, Ramadan merupakan bulan yang mendatangkan keberkatan. Bulan puasa ini membuatkan dirinya fokus kepada ibadat lantaran tidak banyak persembahan yang diterimanya.

"Kalau bukan bulan puasa, saya akan jelajah kota setiap hari, malah berpindah-pindah kota. Pada bulan puasa ini, kebanyakan penganjur tidak membuat persembahan di kafe, kegiatan lebih banyak di televisyen atau radio," ujar Mulan.

Menurut Mulan, sepanjang bulan puasa jadual dan rutin hidupnya berubah. Perkara ini berlaku kerana konsert-konsert dan persembahan di luar daerah tidak diadakan. Hal ini membuatkan Mulan lebih santai di rumah.

"Kafe tempat membuat persembahan ditutup sepanjang bulan puasa. Saya juga tidak menyanyi pada malam Ramadan," ujarnya.

Erni kagumi Alyah


MELAKAR nama sebagai juara termuda pertandingan nyanyian Bintang RTM, Nur Ernie Shahirah Zakri, hanya berusia 17 tahun ketika itu.

Itu kisah dua tahun lalu, kini anak kelahiran Kuala Lumpur itu sudah menjalani kehidupan sebagai seorang penyanyi syarikat rakaman. Sedang mempromosikan album sulungnya, Sinaran yang dilancarkan sejak Jun lalu, Erni, 19, bagaimanapun sedar, karier nyanyian yang dipilihnya belum benar-benar semarak wangiannya.

"Dari segi populariti, saya kurang mendapat publisiti seperti pendatang baru yang lain, mungkin terlalu ramai penyanyi baharu. Ketika itu saya masih belajar dan berdepan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, kemudian perlu menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

"Siapa yang tidak mahu dikenali ramai, tapi setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Saya masih boleh selesa dan fokus kepada pelajaran di samping promosi album serta single kedua saya, Rindu Bukan Teman," katanya yang sedang mengikuti kursus Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Anak saudara kepada penghibur terkenal, Ziana Zain dan Anuar Zain ini juga yakin peluang sentiasa terbuka buatnya.

"Saya kagum dengan Alyah. Kalau hendak diikutkan, dia terpaksa berdepan jalan perit untuk popular. Dia ambil tempoh 10 tahun selepas menang dalam Bintang HMI sebelum benar-benar diterima umum," katanya.

Kontradiksi cantik & bakat Neelofa


BARANGKALI gerimis sedang cemburu menatap perbualan bahasa tubuh yang terzahir daripada pertembungan si lelaki berkarakter, Khir Rahman bersama si jelita yang sedang menggelegak sensasinya, Noor Neelofa Mohd. Noor ini. Sebelum ini, mereka tidak pernah dipertemukan dalam sebarang sesi fotografi atau naskhah seni, apatah lagi bersapa dan beraksi mesra.

Tanpa semua itu, mereka tetap larut dalam dalam cuaca tengah hari yang mendung baru-baru ini. Sesekali gerimis menitis, romantik yang tidak diundang tiba-tiba menjelma dan lokasi fotografi yang kebetulan pula dilakukan di sekitar Lebuh Raya Hubungan Timur Barat, Khamis lalu seperti mengizinkan kehadiran mereka.

Hendak dijadikan pemula rentak, asalnya judul Rentaz, filem terbaharu sutradara prolifik Mamat Khalid dijadikan akar penyatuan cerita. Kebetulan pula, nama Neelofa, 22, dipetik sebagai heroin filem berkenaan, manakala Khir, 38, ditugaskan menangani watak syaitan dalam judul yang sama.

Rasionalnya ada di situ, sang lelaki cukup senior dan lain corak makanan seninya manakala si gadis pula, tiba-tiba sahaja menjadi artis setelah muncul sebagai pemenang tempat pertama Dewi Remaja 2010.

Keyakinan Khir Rahman

"Memanglah, jika diukur dari segi rupa paras, saya memang jauh untuk digandingkan dengan Lofa (Neelofa) tapi jika saya fikir dengan ilmu serta pengalaman yang telah saya lalui, tiada apa yang harus saya gentarkan," usul Khir telus dan acap kali memuji keindahan ciptaan Tuhan bernama Neelofa.

Tidak tertumpu soal Rentaz yang dijadualkan penggambaran pertengahan bulan nanti, soal haluan dan draf pencapaian ketika ini menjadi topik utama. Jujurnya, sekali lagi Khir akur bahawa rupa paras boleh menentukan takdir seseorang aktres atau aktor untuk menempa nama dalam bidang seni. Itu bukan sesuatu yang tabu.

"Individu yang memiliki paras rupa menawan secara automatik mudah mendapat tempat, tapi itu bukan salah individu berkenaan manakala yang tidak berapa menawan harus melalui usaha keras, ikut saluran akademik, masuk teater dan sebagainya. Bagi saya, apabila sampai ke satu tahap, artis yang tidak berapa menawan tadi lebih layak untuk berasa bangga terhadap pencapaian yang diraihnya," kata Khir.

Diminta pandangannya, pengarah filem Dalam Botol itu mula berhipotesis.

"Lumrahnya sesiapapun gemarkan sesuatu yang cantik, bunga dan serta pemandangan yang cantik. Masuk ke bab pelakon wanita cantik, biasanya penerbit atau pengarah akan cenderung memilih pelakon berdasarkan kecantikan. Tapi, bukan hanya untuk mempergunakan kecantikan itu semata-mata, sebaliknya harus bertanggungjawab mendidik dan menggilap bakat yang ada pada artis berkenaan.

"Jangan salahkan dia (pelakon cantik) kalau lakonannya tidak menjadi. Dia dipilih dan ditawarkan peluang untuk mengubah kehidupannya. Kerja seorang pengarah yang baik adalah untuk menyembunyikan kelemahan pelakonnya," katanya tidak cenderung menyebut nama Neelofa.

Neelofa hingusan

Kepada Neelofa sendiri, melihat kepada namanya, ada sahaja cerita sensasi yang sudah melekat. Dari situ sahaja dia bukanlah regu yang sesuai untuk diajak lawan berhujah tentang seni dengan Khir. Namun, sebagai pendatang baru, dia memiliki alasan kenapa bidang yang bukan menjadi cita-citanya kini menjadi dunianya.

"Saya baru tujuh bulan masuk dalam bidang lakonan, semuanya bermula dengan kosong, segala-galanya saya pelajari daripada set penggambaran selebihnya daripada tunjuk ajar pengarah dan pelakon senior.

"Sekarang saya dapat rasakan bahawa lakonan perlukan pengalaman dan bukan sesuatu yang bersandarkan bakat semula jadi semata-mata," katanya.

Mengambil peluang depan mata, ujar Lofa,dia teringin melontarkan soalan-soalan buat yang sudah mencipta nama dan pengalaman di bidang yang sama. Ujarnya juga, dia memang gemar sesi bertanya dan mencari ilmu di sebalik kemusykilan yang dilontarkannya itu.

"Saya mahu bertanya kepada orang-orang berpengalaman seperti Khir, tentang pengalaman hidup dan lakonan mereka. Bagaimana skil menyampaikan dialog. Perkara-perkara seperti ini," ujarnya yang tampak masih naif dan patuh.

Perlu jadi gila

Khir tersenyum, menepuk bahu Lofa perlahan. Seperti berlakon tetapi tidak dalam karakter, babak ini berada di luar ruang kamera.

"Besarkan skala lakonan. Perlu jadi gila. Jadi gila-gila dan bermain-main dengan karakter. Kalau tidak, akan duduk di tempat yang sama tanpa perubahan. Kena ada jiwa 'simplicity', ada juga jiwa seni," ujar Khir ringkas tapi penuh gaya.

Masih menunggu beberapa filem yang belum ditayangkan termasuklah Ponti vs Omi, Papadom 2 dan Rock 2, pesan Khir lagi mudah bunyinya, tetapi ada jarum yang boleh mengena golongan yang berstatus pelakon.

"Berlakon bukannya senang. Pura-pura berlakon sebaliknya lebih mudah," bicara Khir berfalsafah.

Tertib mendengar hujah sang pengarah yang masih menunggu waktu untuk filem keduanya Dengar masuk ke lokasi, Lofa akur dia sangat mentah dan hijau dalam dunia 'permainan' Khir. Ujar Lofa, dia mahu memasuki kursus lakonan jangka pendek. Itu bukti dia sedang serius dan bukan hanya layak mengulit gosip ke sana ke mari.

Bersahut soalan, tanya Khir, dia teringin mengetahui, apa pendirian Lofa berada dalam lapangan ini. Bergelar pelakon kerana mahu jadi aktres yang bagus atau meraih populariti atau berada di lapisan hobi.

"Saya ambil masa untuk menerima filem Azura 2011. Saya tahu itu titik yang bakal merubah dan tidak ada patah balik. Saya perlu menjadi seorang aktres yang bagus. Belajar lagi untuk jadi bagus," ujar Lofa yang sekali pandang ada iras-iras lenggok percakapan dan intonasi persis Que Haidar.

Sebelum bertemu noktah, bisik Khir, bakat dan kebijaksanaan adalah dua soal yang berbeza dan kedua-duanya penting, bijak tanpa bakat tak ke mana, begitulah sebaliknya, Lofa harus kenal itu.

Sayangnya, Lofa tidak akan berpeluang masuk ke dunia yang cuba Khir jelaskan. Sehari sebelum artikel ini diterbitkan, dia memaklumkan bahawa tawaran Rentaz tidak mampu diteruskan kerana ada komitmen lain yang lebih penting.