Saturday, July 23, 2011

Tang Wei kini lebih matang


PADA mulanya aktres Tang Wei, 32, menyimpan keinginan menjadi seorang ahli arkeologi atau peguam, tetapi selepas terlibat dengan dengan peragaan sekitar tahun 1997, bintang kelahiran China ini membuat keputusan menceburi bidang lakonan.

Tuah Tang Wei, selepas tamat kursus lakonan di Pusat Akademi Drama pada tahun 2002, bintang berzodiak Virgo itu telah dipilih daripada lebih 10,000 aktres untuk membintangi watak heroin di dalam filem arahan pemenang Oscar, Ang Lee iaitu Lust, Caution pada tahun 2006.

Filem hebat itu turut dibintangi pelakon terkenal Tony Leung Chiu-Wai, Joan Chen dan Lee Hom Wang. Menerusi filem itu Tang memegang peranan sebagai Wong Chia Chi yang memerlukannya belajar dialek Shanghai dan Suzhou. Kesan lakonannya sebagai Wong Chia Chi mengangkat nama Tang sebagai Pendatang Baharu Terbaik di Anugerah Golden Horse di Hong Kong.

Sekelip mata, Tang diulit kemasyhuran selepas memegang peranan di dalam filem pertamanya itu. Tang turut dianugerahkan Trofi Chopard di Festival Filem Cannes, New Weekly Cutting Edge Awards List, Aktres terbaik Anugerah Filem China, Aktres Terbaik Anugerah Majalah Los Angeles, Aktres Terbaik Filem Asia Pasifik dan TV Ekspo, Aktres Terbaik Anugerah Hollywood dan Aktres Baru Terbaik Festival Filem Venice. Dirinya juga disunting sebagai duta bagi produk penjagaan kulit jenama Pond.

Namun, baharu sahaja mengecapi tuah dan kemasyhuran, diri Tang dicalit kontroversi maha hebat. Tang dilaporkan telah menerima 'hukuman' daripada kerajaan China berikutan pembabitannya dalam satu babak ranjang menerusi filem Lust, Caution.

Menerusi babak kontroversi selama tujuh minit di dalam filem pertama Tang itu, dia dikatakan beraksi tanpa seurat benang bersama aktor terkenal Hong Kong, Tony Leung. Menurut laporan Hollywood Reporter cawangan Hong Kong, aktres jelita itu diharamkan daripada muncul dalam sebarang media di China.

Perbadanan kerajaan China yang menaungi media, Pentadbiran Filem Radio dan Televisyen, China (SARFT) juga dilaporkan telah menghantar memo kepada kesemua stesen televisyen dan media cetak di negara itu.

Pada bulan Mac 2008, SARFT turut mengarahkan kesemua stesen televisyen dan media cetak di negara itu untuk mengharamkan pengiklanan produk Pond yang menampilkan Tang sebagai jurucakap dan penghias produk tersebut. Menerusi kontrak dengan Pond, Tang meraih bayaran sebanyak 6 juta

Pengumuman mengenai penarikan semula iklan Pond yang membabitkan Tang menerusi semua media China itu dikatakan berbangkit hasil mesyuarat badan perundangan tertinggi China, National People's Congress, di Beijing baru-baru ini.

Mesyuarat tahunan itu menjadi pemangkin kepada sebarang pengenalan atau pembaharuan regulasi-regulasi dan polisi-polisi kerajaan China.

Lust, Caution meraih kutipan mencecah HK$48.8 juta (RM24 juta) sepanjang tayangannya di Hong Kong menjadikannya sebagai filem berbahasa China yang meraih kutipan tertinggi di Hong Kong sepanjang 2007.

Menyesal

Selepas episod hitam menerjah hidupnya, Tang percaya tahun 2010 dan 2011 membuatkan dirinya lebih kuat dan matang sebagai pelakon. Dia juga tidak mahu lagi membincangkan mengenai kontroversi yang melanda dirinya.

"Saya merasakan diri lebih kuat dan matang selepas menghadapi kontroversi yang mengaitkan diri saya.

"Saya percaya setiap hari saya membesar sebagai seseorang dan sebagai seorang pelakon yang baik," kata Tang dalam satu sidang media yang memperkenalkan peranan baharunya di dalam filem Korea arahan Kim Tae-Yong's, Late Autumn. Filem itu turut menggandingkan Tang di samping aktor popular Korea, Hyun Bin.

Kata Tang lagi: "Terdapat banyak perhatian, tetapi saya fikir saya bertuah kerana menjadi seorang pelakon yang dapat memainkan kehidupan ramai orang yang berbeza. Menjadi heroin dalam filem Korea pula, bagi saya merupakan sesuatu yang membuat hati saya sangat teruja".

Pengarah filem Late Autumn, Kim juga percaya kontroversi telah meninggalkan kesan ke atas Tang tetapi dia gembira hasil daripada lakonan Tang di dalam filem itu.

"Tafsiran saya ialah dia sudah menjadi dewasa dan matang disebabkan oleh pengalaman filem Lust, Caution.

"Saya sudah menonton lakonan Tang dalam filem itu dan menganggap watak yang dilakonkannya sangat hebat. Pada mulanya memang saya anggap dia sukar untuk berlakon dalam filem arahan saya tetapi kontroversi itu sudah tiga tahun berlalu dan dia sudah benar-benar berubah," kata Kim yang menyebelahi Tang.

Filem Late Autumn telah mencipta fenomena hebat di Korea Selatan. Menyatukan Tang bersama idola Korea Selatan, Hyun Bin, ia mengisahkan tentang dua warga asing yang bertemu secara kebetulan di bandar Seattle, Amerika Syarikat dan jatuh cinta.

Skandal

Walaupun Tang cuba menepis, dia sekali lagi dicalit kontroversi. Kali ini, Tang didakwa menjalin hubungan cinta secara senyap dengan pasangannya di dalam filem Late Autumn, Hyun Bin.

Tahun lepas, media China melaporkan Tang menjadi sebab hubungan cinta Hyun Bin di samping aktres popular Song Hye-gyo putus.

Setelah lama mengunci mulut, pada bulan Julai lalu, Tang akhirnya menjawab mengenai hubungannya bersama dengan aktor Korea itu.

"Hyun Bin merupakan lelaki yang sangat menarik tetapi gosip skandal tersebut adalah tidak benar," katanya.

Hubungan Hyun Bin dan Song Hye-gyo dikatakan retak berpunca daripada Hyun Bin yang sertai Angkatan Tentera Marin Amerika untuk latihan ketenteraan mandatori.

Walaupun dicalit satu demi satu kontroversi, bintang sensasi itu berterusan menjadi buruan penerbit.

Terkini, peminat-peminat Tang bakal menonton hasil lakonan terbaharunya menerusi filem hebat, Wu Xia. Filem aksi itu turut mengandingkan Tang bersama dua aktor popular Hong Kong iaitu Donnie Yen dan Takeshi Kaneshiro.

Wu Xia mengisahkan mengenai pakar seni bela diri yang berdosa, Donnie Yen yang ingin memulakan hidup baharu bersama isterinya, Tang Wei selepas melakukan banyak kejahatan. Namun begitu, kehidupannya tidak tenang apabila dia menjadi buruan seorang detektif, Takeshi Kaneshiro dan juga ketua jahatnya, Jimmy Wang Yu.

Incubus Dedah Rahsia Bertahan 20 Tahun


KUALA LUMPUR: Kumpulan Incubus berkata antara faktor yang menyebabkan mereka terus bertahan selama 20 tahun disebabkan perjuangan muzik mereka tanpa terikat dengan senario muzik perdana.

"Mungkin antara faktor yang membuatkan kami terus bertahan adalah kerana penawaran muzik yang diberikan kepada peminat.

"Selama 20 tahun dalam bidang ini, kami tidak pernah terikat atau terperangkap dalam arus perdana yang serba mencabar dan glamor ini.

"Sebaliknya, Incubus berjuang di atas trek sendiri dan di luar lingkungan muzik perdana yang penuh cabaran itu," kata pemain gitarnya, Mike Einziger yang ditemui pada sesi temu ramah di Hotel Doubletree by Hilton, di sini, Jumaat.

Tambahnya, mereka cukup bertuah kerana terus bertahan dan mampu berkarya sehingga ke hari ini walaupun berada dalam arus muzik yang berbeza dan penuh mencabar.

"Kalau diperhatikan, senario muzik semasa telah berubah dengan drastik dan berbeza sejak lima tahun lalu.

"Pengaruh kemajuan teknologi dan selera muzik telah banyak mengubah landskap muzik.

"Sepanjang 20 tahun berada di dalam industri muzik, kami telah melihat banyak kumpulan dan artis yang popular pada lima atau 10 tahun lalu kini telah tiada lagi," katanya.

Menjelang konsert Incubus Live in Kuala Lumpur 2011 di Stadium Negara pada malam Sabtu, Incubus mengakui tidak sabar untuk menampilkan persembahan sebaik mungkin untuk peminat di sini.

"Kami tahu para peminat sudah tidak sabar untuk melihat aksi kami selepas beberapa tahun menyepi.

"Kami berjanji untuk mempersembahkan sebuah konsert yang hebat dan sebaik mungkin pada malam esok (malam ini)," kata pemain “turntable”, Chris Kilmore.

Kunjungan kali ketiga mereka ke sini adalah bersempena dengan kemunculan album studio ketujuh iaitu If Not Now, When?

Album yang memuatkan 11 trek itu berada di pasaran sejak 12 Julai lalu.

Sejak ditubuhkan pada 1991, kumpulan yang dianggotai oleh Brandon Boyd (vokal), Mike Einziger (gitar), Jose Pasillas (dram), Ben Kenney (bass) dan Chris Kilmore (turntable/keyboard) itu sudah menjual lebih 13 juta unit album di seluruh dunia.

Berasal dari Calabasas, California, Amerika Syarikat, Incubus mula memberikan impak selepas kemunculan lagu-lagu seperti Pardon Me, Stellar dan Drive yang dipetik dari album ketiga, Make Yourself.

Album keempat mereka iaitu Morning View (2001) menampilkan lagu-lagu hit seperti Wish You Were Here, Nice to Know You dan Warning.

Album studio kelima A Crow Left of the Murder yang dipasarkan pada 2004 menampilkan lagu hit Megalomaniac.

Album studio keenam iaitu Light Grenades muncul di tangga pertama dalam carta Billboard 200 walaupun penjualan yang sedikit menurun.

Sepanjang berehat selama dua tahun bermula 2009, kumpulan ini sempat tampil dengan album kompilasi Monuments and Melodies yang memuatkan lagu-lagu popular mereka.

Layari www.enjoyincubus.com untuk maklumat lanjut tentang aktiviti terbaru Incubus.

Incubus Live in Kuala Lumpur 2011 dianjurkan oleh Pineapple Concerts dengan kerjasama Tune Talk Mobile Prepaid.

Aznil Nawawi Perlu Jaga Stamina Sepanjang Ramadan


KUALA LUMPUR Pengacara Aznil Nawawi mengakui aktivitinya sepanjang bulan Ramadan terlalu sibuk kerana dia perlu menjalanui latihan teater The Secret Life of Nora (TSLN).

Jelas Aznil, dia akan memulakan latihan stamina bagi memastikan mampu memberi saingan kepada pelakon luar negara yang diimport bagi menjayakan teater tersebut.

“Sepanjang bulan Ramadan nanti saya sudah mulakan latihan terutamanya dari segi menjaga stamina.

“Kalau ketika konsert Horey-Horey saya terpaksa melakukan senaman dengan berlari, jaga pemakanan dan jaga tidur, inikan pula teater yang dipentaskan selama seminggu.

“Lagi pula saya tidak mahu kalah dengan pelakon yang diimport itu dan mahu tunjukkan bahawa saya lebih hebat daripada dia,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Merisik Khabar Edisi Ramadhan di sini, Jumaat.

Teater muzikal ini juga bakal menampilkan pengarah dan penulis teater dari England iaitu Steven Dexter sebagai pengarah.

Aznil bakal membawakan watak antagonis bernama Jay dalam teater yang akan dipentaskan pada September depan.

“Ini merupakan teater kedua saya, sebelum ini saya pernah menjayakan teater Ali Baba di Istana Budaya empat tahun lalu.

“Sebelum ini ada juga tawaran berlakon teater seperti teater Gamat dan beberapa lagi tapi terpaksa ditolak kerana masa yang tidak mengizinkan,” tuturnya.

Kata Aznil lagi, dia menerima tawaran daripada Efiniti Vision Sdn Bhd berikutan peluang berlakon di samping produksi dan pelakon-pelakon yang hebat.

“Saya terima tawaran berlakon dalam teater ini kerana ingin merasakan pengalaman yang berbeza.

“Saya tidak pernah belajar tentang teater, jadi saya ambil peluang ini untuk belajar dan bekerja dengan orang-orang yang pakar dalam bidang ini.

“Semasa bengkel pembacaan skrip lalu, saya sudah dapat rasakan kelainannya,” jelas Aznil.

Dalam perkembangan lain, Aznil juga bakal menjalankan program Merisik Khabar Edisi Ramadhan dan menjadi duta kepada barangan kemas Habib Jewel sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Monday, July 18, 2011

Dian Sastrowardoyo Dapat Bayi Lelaki


JAKARTA: Pelakon popular Indonesia, Dian Sastrowardoyo selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 17 Julai lalu pada Ahad lalu pukul 3 petang di Rumah Sakit YPK Menteng, Jakarta Pusat.

Seperti dipetik Inilah.com, pengurus pelakon tersebut, Wisnu telah mengirimkan kenyataan kepada media berkenaan maklumat bayi tersebut.

Bayi lelaki yang diberi nama Shailendra Naryama Sastraguna Sutowo telah dilahirkan dalam keadaan normal dan seberat 8.03 kilogram.

Dalam surat tersebut juga, Dian melahirkan rasa bersyukur dan gembira dengan kehidupannya sekarang.

"Kami sangat bersyukur atas anugerah yang diberikan oleh Allah SWT dan sangat bahagia atas kelahiran putera pertama kami.

"Alhamdulillah selama saya mengandung dan proses bersalin semuanya berjalan dengan lancar," tulisnya.

Tambah isteri kepada Maulana Indraguna Sutowo ini, kehadiran cahaya mata tersebut memberi semangat kepada dia dan suaminya, malah mereka berjanji akan mengutamakan keluarga biarpun sibuk dengan kerjaya masing-masing.

"Kami akan sentiasa menjadikan keluarga sebagai keutamaan biarpun kami sibuk dengan kerjaya kami, kami berjanji untuk menjadi orang tua yang baik untuk anak kami.

"Buat masa ini saya masih berehat dan pemulihan, maka tiada sesi bertemu media," tambahnya.


« Kembali

Arrora Salwa Bukan Seorang Janda


PETALING JAYA: Penyanyi Arrora Salwa menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya pernah berkahwin dan kini berstatus janda.

Dia juga menafikan lagu popularnya yang berjudul Ahmad itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kehidupan masa lalunya.

"Saya tidak pernah berkahwin terutamanya dengan VIP seperti yang khabarkan, saya tidak tahu bagaimana berita itu tersebar.

"Lagu tersebut yang dikatakan mempunyai kena mengena dengan lelaki dalam hidup saya juga sebenarnya hanyalah sekadar nyanyian sahaja," ujarnya.

Arrora menjelaskan dakwaan dan khabar angin mengatakan dirinya merahsiakan status sebagai seorang janda.

Gosip tersebut turut mengatakan bahawa dia pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang VIP ketika bekerja sebagai anggota polis.

Bagaimanapun, jelas wanita yang pernah menjawat jawatan sebagai Lans koperal dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini, dia lebih suka mendiamkan diri dari terus melatah.

"Sebenarnya saya tidak mahu beri sebarang respons tentang gosip itu, biarlah orang mahu cakap apa sahaja sebab saya bukan jenis yang suka melenting dan besarkan cerita," ujarnya.

Ketika ditanya tentang keputusannya meninggalkan kerjaya dalam bidang kepolisan, Arrora berkata dia tekad bagi mencari kepuasan dalam kerjayanya.

"Saya menjadi polis lebih 7 tahun kerana ia adalah permintaan daripada keluarga, manakala saya tidak dapat kepuasan seperti yang saya inginkan.

"Kemudian saya tekad untuk berada dalam bidang ini, bagi saya kita akan dapat apa yang kita mahukan jika kita tahu matlamat sebenar kita berada di sini," ujarnya yang kini sedang berjinak-jinak dalam bidang lakonan televisyen.

Yasmin Hani Sahkan Bakal Kahwin Shahrin (Black Rose)


PETALING JAYA: Pelakon Yasmin Hani, 32, mengakui bakal menamatkan zaman bujangnya pada penghujung Oktober ini dengan bekas pemain dram Black Rose yang juga bekas suami kepada pelakon Ida Nerina iaitu Shahrin Razali.

Jelas Yasmin Hani atau lebih mesra dipanggil Hani, majlis yang akan diadakan di Duchess Place, Jalan Ampang itu akan diadakan secara kecil-kecilan dan untuk ahli keluarga terdekat sahaja.

"Saya akan berkahwin pada penghujung tahun ini iaitu pada bulan Oktober dan majlis tersebut akan diadakan secara kecil kecilan yang akan dihadiri oleh rakan terdekat dan ahli keluarga.

"Segala persiapan perkahwinan, Insya-Allah sudah siap dan hanya tinggal beberapa perkara tentang peraturan perkahwinan yang masih belum selesai,

"Saya hanya ingin melakukan yang wajib sahaja, majlis pernikahan dan perkahwinan akan diadakan pada hari yang sama di Duchess Place, Jalan Ampang," katanya yang ditemui di Majlis Pra-Tonton drama terbaru Astro Prima, di sini, Isnin.

Tambah Hani, dia yakin keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada usia sekarang adalah masa yang paling tepat, malah dia menganggap kehadiran Shahrin bagaikan melengkapi lagi kehidupannya.

"Saya rasa usia sekarang adalah paling tepat kerana masing-masing sudah stabil dari segi ekonomi, sudah mampu untuk berfikir dengan matang dan mempunyai kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain.

"Lagi pula hati saya sudah pun bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan menjalani kehidupan berkeluarga," katanya.

Ditanya tentang kelebihan Shahrin di mata pengacara Beat TV ini, Hani berkata Shahrin seorang lelaki yang penyayang dan kelakar.

"Dia seorang yang susah untuk difahami, kadang-kadang keluarga dia sendiri tidak tahu perangai dia.

"Kami banyak berkongsi minat yang sama seperti muzik dan laut, manakala banyak sifat-sifat kami yang saling melengkapi," katanya.

Sementara itu, bercerita tentang perancangan selepas berkahwin, Hani berkata dia masih terus bekerja seperti biasa dalam industri ini.