Friday, June 24, 2011

Pengalaman Jadi Ibu Ubah Hidup Nikki


KUALA LUMPUR: Penyanyi Nikki Palikat, 25, (Nikki) mengakui pengalaman bergelar ibu sejak tujuh bulan lalu telah banyak mengubah perspektif hidupnya.

Kata bekas peserta program realiti Malaysian Idol musim pertama ini, selepas melahirkan anak lelaki hasil perkahwinannya dengan komposer Audi Mok iaitu Liam Mok pada 27 Oktober tahun lalu, dia lebih senang untuk menyepikan diri seketika demi memberi tumpuan kepada anak sulungnya itu.

"Saya memang tidak aktif selepas melahirkan Liam pada Oktober lalu. Hampir tujuh bulan juga saya menolak banyak tawaran nyanyian kerana ingin menumpukan perhatian kepada Liam.

"Bukannya apa, selain memberikannya susu badan, saya juga tidak percaya pada orang lain untuk menjaga Liam. Kini Liam sudah tujuh bulan dan mula berdiri, barulah saya berani untuk aktif menyanyi semula," katanya.

Tambahnya, pengalaman menjadi ibu juga telah mengajarnya untuk berkompromi terhadap banyak perkara termasuklah soal masa dan kesabaran dalam menguruskan anak.

"Kalau dulu saya akan bangun tidur pada pukul 10 atau 11 pagi tetapi sejak ada Liam saya perlu bangun seawal 7 pagi kerana dikejutkan oleh tangisannya yang mahukan susu.

"Kebanyakan masa saya juga perlu diluangkan untuk Liam berbanding untuk diri sendiri, di mana sekarang saya tidak boleh lagi berdandan depan cermin lama-lama macam dulu.

"Banyak perkara yang perlu saya kompromi tetapi saya gembira dan bahagia dengan kelahiran Liam yang secara tidak langsung lebih mendisiplinkan saya," katanya yang menyusukan anaknya untuk menurunkan berat badan.

Suami Berhenti Kerja Untuk Bantu Ning

KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi popular, Ning Baizura iaitu Omar Sharif Christopher Layton Dalton bertekad berhenti kerja bagi membantu melancarkan perjalanan kerjaya isteri tercinta.

Kata Ning, suaminya yang bekerja sebagai pengurus di bahagian pemasaran sebuah syarikat minyak dan galian itu kini menumpukan perhatian kepada strategi pemasaran album terbarunya berjudul Dewa dan konsert yang bakal diadakan Disember depan.

“Album Dewa baru sahaja berada di pasaran, saya bersyukur kerana suami saya mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama membantu mempromosikan album ini.

“Skop kerja dia masih sama seperti dahulu iaitu bahagian pemasaran cuma produk sahaja yang berbeza, jadi bagi saya dia lebih pakar untuk berbincang dan menyusun strategi pemasaran,” ujarnya.

Selain itu, Ning yang bakal mengadakan sebuah konsert pada 2 dan 3 Disember depan di KL Live Center kini sedang sibuk mencari penaja.

“Saya dan suami kini sibuk mencari penaja untuk konsert tersebut, seperti biasa masalah utama artis Malaysia bila nak buat konsert ialah tiada penaja.

“Buat masa sekarang Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Bank Simpanan Nasional merupakan penaja utama, namun kami masih lagi mencari penaja yang sudi menaja konsert tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ning berkata album yang memuatkan lapan buah lagu itu juga merupakan buah tangan terbarunya setelah hampir lapan tahun menyepi.

“Peminat saya sudah lama menunggu album baru, kali terakhir ialah pada tahun 2004 menerusi album Pertemuan.

“Setiap lagu dalam album ini juga mempunyai makna tersendiri yang menceritakan tentang kisah hidup saya sepanjang menjadi anak seni,” katanya.

Tambah Ning, pemilihan tajuk album menggunakan nama Dewa adalah memberi makna sebagai cahaya baru dalam kerjaya nyanyiannya.

“Dewa bermaksud cahaya dalam bahasa Sanskrit iaitu cahaya baru bagi saya dalam perjalanan kerjaya.

“Dari segi genre lagu dan vokal yang baru dalam setiap lagu dalam album ini adalah mengikut perkembangan muzik masa kini,” katanya yang menerbitkan sendiri album tersebut.

'Sri Mersing 2' Dipentaskan Di Johor Julai Depan


KUALA LUMPUR: Teater adaptasi filem Sri Mersing yang pernah dipentaskan di Istana Budaya tahun lalu akan dipentaskan buat kali kedua di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru selama tiga hari bermula 15 Julai depan.

Penerbit, Megat Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Keno berkata, teater karya Allahyarham Salleh Ghani itu dipentaskan di Johor kerana menghargai sejarah Sri Mersing yang berasal dari negeri tersebut.

"Kita memilih Johor Bahru kerana Sri Mersing merupakan sebuah tempat yang terletak di negeri Johor manakala kebanyakan tenaga produksi asal filem ini berasal dari negeri tersebut.

"Dengan membawa teater ini ke sana, masyarakat Johor berpeluang untuk menontonnya dalam bentuk teater dan tidak perlu ke Istana Budaya," katanya pada sidang media Teater Sri Mersing 2, di sini, Khamis.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah barisan artis yang menjayakan teter tersebut seperti Zul Huzaimy, Elly Mazlein, Fazurina, Leez Rosli dan A.Galak.

Jelas Keno, selepas kejayaan pementasan Sri Mersing lalu, pihak Esplanade, Singapura dan Brunei telah menawarkan untuk membawa teater berkenaan ke negara itu namun terdapat halangan dari segi bajet yang diberikan.

"Kita tiada masalah untuk terima pelawaan bagi mementaskan teater tersebut di negara jiran tetapi masalah dari segi bajet yang mereka tawarkan tidak berpatutan," katanya.

Dalam pada itu, kata Keno, pemilihan barisan pelakon pula adalah terdiri daripada individu yang sama pada pementasan lalu tetapi hanya watak Damak yang dipegang oleh Adi Putra diganti dengan pelakon Zul Huzaimy.

Siapa juara Maharaja Lawak


SIAPA yang bakal bergelar juara sulung Maharaja Lawak dan membawa pulang hadiah wang tunai RM300,000? Persoalan itu akan terjawab malam ini apabila semua empat finalis melakukan persembahan terakhir di Stadium Malawati, Shah Alam.

Berdasarkan undian yang diterima pada semua 11 minggu terdahulu, kumpulan Jozan yang dibarisi Johan dan Zizan dijangka memiliki kelebihan untuk bergelar juara.

Jozan sering menerima undian tertinggi termasuklah pada pusingan separuh akhir di Stadium Tertutup Bandaraya Johor Bahru minggu lepas. Finalis Raja Lawak musim pertama itu menerima 61 markah menandingi empat lagi pesaingnya iaitu Sepah (56), Nabil (55), Jambu (49) dan R2 (35).

Begitupun, kehebatan Sepah yang begitu konsisten dalam setiap persembahan juga tidak boleh diperkecilkan. Gandingan Mamat, Shuib dan Jep dilihat begitu mantap sehingga sering dilabel sebagai ‘Bujang Lapok Moden’ oleh juri tetap, Saiful Apek.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Johor lalu, Sepah menerima tepukan paling gemuruh terutama pada persembahan kedua dengan dibantu artis jemputan, Yasin Senario.

Namun bagi juara Raja Lawak musim ketiga itu, persembahan terbaik yang diberikan bukan untuk diiktiraf sebaliknya sebagai tanda penghargaan untuk semua peminat.

“Setiap minggu kami akan cuba untuk memberikan yang terbaik tetapi kami tidak pernah fikir untuk sampai ke peringkat akhir.

“Kami rasa bertanggungjawab untuk memberikan yang terbaik sebagai tanda penghargaan untuk semua peminat yang tidak putus-putus menyokong kami semalam ini,” kata Shuib.

Sementara itu, seorang lagi finalis, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil turut mempunyai peluang untuk bergelar juara.

Satu-satunya peserta solo yang beraksi pada peringkat akhir, Nabil masih mampu untuk memberikan persembahan menarik sama seperti peserta berkumpulan lain.

Pada peringkat separuh akhir, Nabil menerima komen positif daripada juri tetap, Ahmad Idham yang menganggap ia sebagai persembahan terbaik Nabil sepanjang 11 minggu penyiaran Maharaja Lawak.

Finalis terakhir, Jambu pula bagai diberi peluang kedua selepas diumumkan tersingkir bersama-sama R2 pada peringkat separuh akhir lalu.

Pihak juri akhirnya memutuskan untuk menggunakan imuniti terhadap gandingan Yus dan Taukeh bagi membolehkan mereka beraksi pada peringkat akhir.

Menurut Ahmad Idham, mereka memilih Jambu berdasarkan persembahan mereka sebelum pusingan separuh akhir yang dianggap hebat sehingga pernah menduduki tangga teratas.

“Tambahan pula, secara peribadi saya tidak gemar jika hanya ada tiga peserta sahaja yang bertanding pada pusingan akhir.

“Saingan akan jadi kurang kompetitif dan peserta akan lebih santai kerana mereka akan tetap menerima hadiah meskipun berada di tempat terakhir.

“Namun jika ada empat finalis, sudah pasti mereka akan melakukan persembahan yang lebih menarik untuk menjadi juara atau sekurang-kurangnya merebut tiga kedudukan terbaik,” katanya.

Juara Maharaja Lawak akan ditentukan melalui 50 peratus markah yang diberikan oleh juri dan 50 peratus lagi menerusi undian penonton.

Hunny pikat Anuar Zain


EMPAT tahun bukan satu jangka masa yang pendek lebih-lebih lagi kesanggupan untuk menunggu seseorang dalam tempoh waktu yang sebegitu panjang. Kalau bercinta sudah bertemu jodoh dan beranak-pinak. Namun, bagi penyampai radio Fly FM, Hunny Madu, 27, dia tidak kisah menunggu selama empat tahun asalkan orang yang ditunggu itu merupakan penyanyi hebat Anuar Zain.

Memang agak gila kedengaran ayat ini dituturkan daripada mulut seksi penyampai radio itu, tetapi Hunny mempunyai alasan tersendiri mengapa dia bertindak sebegitu sementelah ramai yang mengetahui statusnya kini sudah berkahwin.

Pemilik nama penuh Hani Farhana Mohd. Hatim itu sebenarnya mempunyai sebab kenapa dia menginginkan Anuar. Hunny sudah lama membuat rencana untuk berduet dengan penyanyi kesayangannya itu.

Buktinya, wanita berzodiak Aries itu juga telah menciptakan lagu khas untuk adik kepada penyanyi Ziana Zain itu.

“Sejak kecil lagi saya memang sukakan Anuar. Cara dia menyampaikan lagu. Cara dia melontarkan perkataan demi perkataan sangat mengasyikkan.

“Jadi, saya hasilkan lagu Kisah Kita untuk dia dan berharap untuk berkolaborasi bersamanya. Jika Anuar tidak terima, saya tidak akan keluarkan lagu ini dan tidak akan beri pada sesiapapun,” tuturnya ketika ditemui selepas majlis sidang media memperkenalkan album pertamanya Pulau Janji di Kuala Lumpur Performance Arts Centre (KL Pac), Kuala Lumpur.

Namun, ramai yang beranggapan penantiannya hanya akan membuahkan hasil yang sia-sia. Ibarat seperti menunggu buah yang tidak akan jatuh. Sebabnya, Anuar memang sangat cerewet dalam memilih lagu. Penyanyi bersuara lantang itu juga dikatakan sangat mementingkan kesempurnaan lagu yang akan dinyanyikannya.

Disebabkan itu, proses membabitkan pemilihan lagu untuk album Anuar sahaja memakan masa sehingga lima tahun!.

“Saya sanggup menunggu dia (Anuar Zain). Empat tahun lalu, saya ada berjumpa dia dan beritahu, ‘abang, Hunny ada tulis lagu untuk abang’. Empat tahun berlalu, lagu itu kemudiannya saya rakam dan saya bertemu Anuar sekali lagi dan beritahu mengenai lagu itu.

“Anuar suruh saya e-mel lagu tersebut dan akhirnya penantian saya selama empat tahun terjawab. Anuar menyatakan persetujuannya menyanyikan lagu itu dalam album saya,” katanya yang turut mengakui lagu Kisah Kita mengambil masa selama tujuh bulan untuk dirakamkan.

Mencipta populariti menerusi radio Hitz FM, Xfresh dan kini Fly FM, Hunny percaya dan akan membuktikan kebolehannya dalam menghasilkan lagu dan juga menyanyi.

Pelakon dan juga pengacara itu juga menolak pemilihan Anuar dikatakan semata-mata untuk menumpang populariti figura tersohor itu.

“Kalau orang merasakan saya mahu menumpang populariti Anuar, mereka silap. Sudah lama saya ingin menyanyi bersama Anuar.

“Jika saya sekadar mahu menumpang populariti, bukan Anuar Zain sahaja yang boleh saya dapatkan, malah ramai lagi artis lain. Namun, saya tetap memilih Anuar Zain kerana dia sememangnya orang yang saya mahu dan teringin untuk bergandingan,” katanya dengan yakin.

Optimis

Tidak hanya memfokuskan satu genre lagu sahaja di dalam albumnya, Hunny memberitahu, dia tidak mahu terikat dengan satu-satu genre sahaja.

Katanya, dia takut mahu melabel dirinya sebagai penyanyi bergenre apa. Hunny juga mengaku tidak puas mencuba satu-satu genre sahaja.

“Saya tidak tahu melabelkan diri penyanyi genre apa. Saya nyanyi semua jenis lagu. Jadi, saya tidak mahu terikat pada satu genre sahaja.

“Sebagai penyampai radio, Hunny juga dengar pelbagai jenis lagu, jadi keinginan Hunny juga kepada lagu-lagu yang berbeza,” katanya yang mendapat inspirasi menghasilkan lagu melalui lagu-lagu yang didengar.

Kendengaran lagunya bakal menjadi sasaran pendengar urban, ditebak soalan itu kepada Hunny, dia memberitahu, tidak menghasilkan lagu untuk sasaran tertentu sahaja.

Harapannya agar semua sasaran pendengar menyukai buah tangan pertamanya itu.

Adat setelah berkahwin pasti ramai menunggu dan tertanya-tanya bila ingin menimang cahaya mata. Sudah mendirikan rumah tangga dengan pasangannya Azhar Abdul Khalid, 35, pada bulan April tahun lalu, Hunny juga tidak terlepas daripada pertanyaan tersebut.

“InsyaAllah tahun depan saya mengandung. Buat masa ini saya begitu sibuk dengan promosi album dan juga kerjaya sebagai penyampai radio,” katanya yang juga tidak menolak jika ditakdirkan mengandung pada tahun ini.

Ditanyakan mengenai bidang pengacaraan dan juga lakonan, kata Hunny, bidang pengacara ibarat kerjaya hariannya manakala bidang lakonan hanya sekadar mencuba.

“Cukuplah sekadar lakonan saya di dalam drama 5 Jingga. Fokus saya sekarang adalah nyanyian dan penyampai radio,” katanya yang juga tidak menolak jika ditawarkan berlakon asal bersesuaian dengan watak dan menarik minatnya.

Rutin jadualnya kini bukan sekadar di konti radio Fly FM dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari tetapi juga menyanyi dan mengacara. Melihat kekangan masa yang dihadapi Hunny tidak timbulkah amarah sang suami?

Kata Hunny, dia bersyukur kerana mendapat sokongan kuat daripada keluarga dan suaminya.

“Suami menyokong minat saya dalam industri muzik ini sebelum kahwin lagi, jadi tiada sebarang halangan daripada mana-mana keluarga,” tuturnya.

Monday, June 20, 2011

Kilafairy seksi giler




Kila Fairy merupakan artis super duper hot yang makin dikenali ramai remaja lepasan SPM. Muahaha! Dia merupakan anak kepada Rohana Jalil.

Kalau ditanya siapa artis baru yang sedang hot masa kini, pasti nama Kilafairy antara yang tersenarai. Walaupun belum banyak kejayaan yang diraihnya, namun nama pelakon itu semakin diberi perhatian oleh peminat.

Pernah tempias gosip pasal bibir seksinya apabila dikatakan melakukan rawatan kecantikan, namun ia lenyap begitu sahaja apabila lakonannya semakin terserlah. Dia juga tidak mudah melatah dengan gosip tersebut.

Hari ini cerita itu sudah senyap. Tapi Kila masih hot apabila menjadi buruan ramai lelaki yang cuba mendekatinya. Maklumlah pucuk muda itu memiliki susuk tubuh yang dikategori sebagai seksi walaupun dia berpakaiaan menutup keseluruhan badan.

Wan Sharmila Fobia Kahwin Semula


KUALA LUMPUR: Kegagalan perkahwinan yang dilalui oleh pelakon Wan Sharmila Wan Muhammad, 30, telah memberi kesan yang mendalam apabila dia berasa fobia untuk berkahwin semula.

Menurut Wan Sharmila, penceraiannya dengan bekas suami, Fazli Bahrom pada 23 Oktober 2009 meninggalkan kenangan pahit dan hal tersebut membuatkan dia lebih selesa hidup solo selain mempunyai jadual yang padat.

"Diakui saya sedikit fobia dan belum berani untuk mendirikan rumah tangga buat masa sekarang kerana kegagalan rumah tangga yang dibina sebelum ini memberi keraguan untuk saya berkahwin buat kali kedua.

"Sampaikan apabila melihat rakan-rakan yang baru hendak berkahwin membuatkan saya pula yang rasa takut dengan perkahwinan mereka itu," katanya.

Tambah Wan Sharmila, memegang status janda tidaklah berat untuk ditanggung seperti yang diperkatakan ramai kerana sehingga hari ini dia tidak pernah merasakan dirinya pernah berkahwin dan pernah bercerai.

Bagaimanapun, dia tidak menolak untuk berkahwin semula jika satu hari nanti dia dijodohkan dengan seorang lelaki yang sesuai dengannya.

"Walaupun mempunyai perasaan fobia, sebagai seorang perempuan sudah semestinya saya mahu memiliki seorang suami yang boleh membimbing saya dan pada masa sama saya juga teringin untuk memiliki zuriat.

"Cuma sekarang ini saya belum mempunyai teman lelaki walaupun ada yang cuba datang untuk mendekati saya. Sekarang ini, karier adalah fokus utama," ujarnya yang membintangi drama “Si Jundai” yang disiarkan pada Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang, menerusi slot Legenda, TV3.

Ketika ditanya adakah pelakon itu akan kembali bersama bekas suaminya, pelakon wanita itu memberitahu lebih selesa jika hubungan mereka sekadar berkawan sahaja.

Nabila Huda Tak Percaya Bomoh


KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda menganggap seseorang yang mempercayai bomoh adalah satu perbuatan yang karut.

Nabila berkata, kepercayaan segelintir masyarakat yang menganggap bomoh mampu mengetahui perkara yang berlaku di alam ghaib dan meramalkan sesuatu perkara adalah perkara yang pelik.

"Saya tetap tidak mempercayai bomoh walaupun ada beberapa rakan saya mendakwa terkena 'buatan orang' tetapi saya tetap menganggap ia satu kepercayaan yang karut dan saya tidak mempercayainya. Saya juga enggan mengambil tahu tentang kemahiran seseorang bomoh," katanya.

Tambah Nabila, walaupun begitu anak kepada Amy Search ini masih lagi mempercayai perkara-perkara berkaitan makhluk halus.

"Dalam Islam sudah tertulis bahawa wujudnya makhluk halus dan saya mempercayainya.

"Tetapi saya tidak mahu memikirkan perkara tersebut kerana ia boleh membuatkan saya berimaginasi benda-benda yang menakutkan" ujarnya.

Walaupun tidak mempercayai khidmat bomoh, hal itu tidak menjejaskan untuk Nabila menghayati watak sebagai seorang pelajar kolej yang mempunyai ilmu dukun menerusi drama baru, “Si Jundai”, terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Kata Nabila, dalam drama tersebut dia melakonkan watak sebagai Desi, yang mempunyai jiwa hasad dengki dan dendam yang tebal dan cuba menggunakan ilmu bomoh yang diwarisi daripada keluarganya menghancurkan hidup adiknya sendiri.

"Watak Desi yang memiliki ilmu mengubati pesakit sememangnya mencabar buat saya yang tidak mempercayai perkara tahyul itu.

"Bagaimanapun, saya berjaya melakukannya dan ia merupakan sebuah watak yang sukar untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi saya perlu menghafal beberapa mantera yang bunyinya kedengaran sedikit pelik," selorohnya.

Drama yang bakal disiarkan pada Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang, menerusi slot Legenda itu turut dibarisi pelakon Azam Pitt, Wan Sharmila, Faralyna dan Tasha Shilla.

Chistina Aguilera Kritik Polis Tahan Tanpa Sebab


PENYANYI Christina Aguilera menganggap penahanannya pada Mac lalu adalah kerana dirinya seorang selebriti terkenal.

Dia bersama kekasihnya Matius Rutler yang ditahan oleh pihak polis kerana memandu dalam keadaan berbahaya di Hollywood Barat.

Penyanyi itu ditahan kerana cuba berbohong dan kemudian dibebaskan tanpa sebarang tuduhan. Sementara kekasihnya Rutler ditahan atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Seperti dipetik dari femalefirst, Chiristina memberitahu bahawa penahanan itu seharusnya tidak terjadi.

"Ini seharusnya tidak terjadi, mereka menahan saya kerana saya adalah seorang selebriti. Mereka tahu sejarah saya dan sengaja ingin menahan saya.

"Saya tidak memandu, saya tidak melakukan sebarang kesalahan tapi mereka menahan dan memenjarakan saya tanpa sebab," ujarnya.

Dayang Nurfaizah


TIADA apa yang kurang mengenai wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini. Wajahnya elok, tubuhnya molek dan suaranya gemeresik. Namun akui Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 30, dia belum pernah merasai gelora asmara daripada lelaki.

Acap kali dirinya ditebak sedang dilamun cinta ketika mendendangkan lagu-lagu cinta miliknya dengan begitu asyik. Namun, acap kali jua wanita berzodiak Cancer ini menafikan dirinya sedang dilamun cinta.

Saat itu, bermulalah tanggapan negatif buat Dayang. Dia dilempar dengan tuduhan miliki perasaan pada kaum sejenis. Bila tuduhan ini menerjah ke telinganya, Dayang tidak melenting tetapi segera menafikannya.

"Tidak bermakna saya tidak pernah bercinta saya tidak sukakan lelaki. Itu semua tidak benar. Saya teringin untuk bercinta namun saatnya belum tiba," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album baharunya, Sayang & Cahaya, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Jujurnya, Dayang memberitahu, dia tidak tahu menzahirkan perasaan cinta buat lelaki biarpun meminati lelaki tersebut. Dia juga tidak dapat membaca hati lelaki yang meminatinya.

Malah, waktu senggangnya juga hanya dimanfaatkan bersama keluarga dan dirinya juga tidak mempunyai sebarang telefon peribadi.

Sebab itu, katanya, mengapa sehingga kini dia belum pernah bercinta.

"Saya mengaku seumur hidup tidak pernah bercinta. Malah, tidak tahu bagaimana rasanya ketika bercinta. Masa sekolah dahulu, pernah juga menerima surat cinta tetapi saya segera membuangnya kerana takut.

"Jauh di sudut hati, saya juga cemburu melihat teman-teman yang sudah berteman dan berkeluarga. Apatah lagi selepas pengurus yang sudah bersama saya hampir sedekad, Shaliza Kader Sultan berhijrah ke Amerika Syarikat mengikut suami awal tahun ini. Namun, saya percaya jodoh saya ada dan akan tiba nanti," katanya.

Pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu juga dikatakan terlampau memilih lelaki sehingga membuatkan dirinya masih tidak mempunyai teman.

"Saya kena memilih kerana ia menentukan masa depan saya. Tetapi, saya bukanlah jenis yang terlalu memilih. Semua orang inginkan yang terbaik dalam hidup," katanya jujur.

Malah akuinya, dia tidak mahu menulis lirik lagu sendiri kerana tidak mempunyai inspirasi terutamanya lagu berkaitan dengan cinta.

Bagaimanapun, Dayang ada berbincang dengan komposer dan beritahu apa yang dimahukan di dalam sesebuah lagu.

"Selalunya saya akan berjumpa sendiri dengan komposer dan beritahu apa yang saya mahu dalam sesebuah lagu itu.

"Kalau boleh saya mahu lirik yang mudah difahami kerana mudah untuk saya menghayatinya terutamanya jika lagu-lagu cinta," katanya.

Dayang yang menganggap kerjayanya adalah segalanya menyuarakan hasrat untuk mengadakan konsert secara besar-besaran.

Dia juga memberitahu, akan mula lebih serius memikirkan teman lelaki setelah konsertnya berjaya direalisasikan.

"Saya mengimpikan sebuah konsert solo mega. Selepas itu, saya akan serius memikirkan soal jodoh pula," katanya.

Album RM100,000 Dayang


DI KALA penyanyi lain hanya berani mengeluarkan single terbaharu disebabkan pasaran yang tidak mengizinkan, Dayang sebaliknya tampil bersama album Sayang & Cahaya buat para peminatnya.

Album yang memperuntukkan kos persendirian berjumlah RM100,000 itu dilihat sebagai tindakan berani Dayang di saat trend muat turun lagu di laman sesawang menjadi pilihan rakyat di Malaysia berbanding daripada membeli sebuah album.

Apa pun, Dayang yakin dengan berbekalkan Sayang & Cahaya yang mengandungi sebanyak 12 buah lagu, ia akan diterima peminatnya dan mampu memberi inspirasi kepada semua.

"Dayang harap peminat-peminat dapat menerima album ini dengan hati yang terbuka. Selama empat tahun tidak menghasilkan album, saya tampilkan album Sayang & Cahaya yang lebih matang dan sempurna.

"Selama setahun menyiapkan album ini, saya juga belajar pelbagai proses menulis dan menghasilkan lagu. Saya juga banyak mengikut kata hati untuk menghasilkan album kelapan milik saya ini," katanya.

Ditanya kenapa sering memilih perkataan sayang untuk judul albumnya, Dayang memberitahu, sayang itu melambangkan rasa kasih sayangnya kepada peminat yang sentiasa menyokong kariernya selama ini.

Bercerita tentang album tersebut, kata Dayang kesemuanya berkisarkan tentang lagu-lagu cinta yang mempunyai nilai positif.

Antara lagu dimuatkan adalah Sayang ciptaan Omar K lirik oleh Nuur Iman, Rahsia Cinta hasil nukilan Zain Almohdzar dan Nuur Iman, Sabarlah (Syed Zain Almohdzar/Omar K), Kau Bintang Ku (My Sunshine) (Stella Reid/Zuriani Zonneveld/Nuur Iman) dan lagu popular Freedom, Mulanya Di Sini yang diberi nafas baharu.

Sementara itu, album yang sudah berada di pasaran sejak sebulan lalu ini turut menampilkan beberapa komposer terkenal seperti Yasin, Afdlin Shauki, Omar K dan Audi Mok manakala dua lagu berjudul Sayang dan Perlukan Cinta menampilkan dua penyanyi Indonesia iaitu Marcell dan Tompi sebagai pasangan duetnya.

Tiada lagi Pak Uda


SAMBUTAN Hari Bapa tahun ini pastinya tidak bermakna buat ahli keluarga pelakon komedi terkenal, Zami Ismail, 67, apabila lelaki kesayangan mereka itu pergi meninggalkan mereka akibat serangan jantung semalam.

Sememangnya umum mengetahui tahap kesihatan figura yang yang cukup sinonim dengan gelaran Pak Uda itu agak menurun sejak akhir-akhir ini, namun pemergiannya itu merupakan satu kejutan dan kehilangan besar buat industri hiburan tempatan.

Menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang mula bersiaran sejak 27 tahun yang lalu, arwah cukup berjaya menghidupkan karakter Pak Uda.

Malah diakui, nama Zami lebih sebati dengan panggilan Pak Uda gara-gara sitkom tersebut.

Anak kelahiran Tapah Road, Perak itu memulakan kariernya sebagai seorang pelakon teater kira-kira 49 tahun yang lalu bersama Badan Budaya Ipoh.

Pada tahun 1973 menerusi teater Pertemuan Dua Roh yang diarah dan ditulis sendiri olehnya, arwah telah diangkat sebagai Pelakon Teater Terbaik.

Namun, nama arwah hanya mula popular setelah menjadi salah satu tunjang utama Pi Mai Pi Mai Tang Tu arahan Othman Hafsham pada tahun 1984.

Biarpun sudah berlakon puluhan drama serta filem sepanjang kerjayanya itu, namun Zami masih lagi menjadi antara pelakon veteran yang terus bertahan dan diminati sehingga sekarang.

Menurut salah seorang anaknya, Ahmad Yamashita, 38, ketika ditemui berkata, beberapa minggu sebelum meninggal dunia, arwah ayahnya itu sedang menjalani penggambaran drama di Pekan Hulu Langat, Selangor.

Saturday, June 18, 2011

Maia Estianty Kenalkan Kekasih Kepada Anak


AKARTA: Bekas Isteri Ahmad Dhani, Maia Estianty sudah memperkenalkan lelaki baru dalam hidupnya iaitu Matteo Guerinoni kepada tiga cahaya matanya iaitu Al, El dan Dul.

Maia dikhabarkan mempunyai hubungan rapat dengan usahawan yang juga pelumba motor berkuasa besar itu dan sering kelihatan bersama.

Jelas seorang teman baiknya, Umi Nung, Maia sudah memperkenalkan Metto kepada ketiga anak-anaknya itu.

"Semua orang yang rapat dengan Maia biasanya akan dikenalkan dengan anak-anaknya termasuklah Metto," tuturnya.

Bagaimanapun, Umi memberitahu hubungan rapat antara Maia dan Metto hanyalah sekadar rakan perniagaan sahaja.

"Maia dan Metto hanya teman bisnes sahaja. Metto seorang yang sangat komited dengan perniagaannya. Dia ada rangkaian kedai makanan.

"Dia berasal dari Itali. Jadi Maia ingin menimba ilmu perniagaan tersebut dan menjadi rakan kongsinya,

"Jika mereka mempunyai hubungan istimewa sudah tentu saya tahu, kerana Maia bukan jenis yang berahsia," katanya.

Chistina Aguilera Kritik Polis Tahan Tanpa Sebab


PENYANYI Christina Aguilera menganggap penahanannya pada Mac lalu adalah kerana dirinya seorang selebriti terkenal.

Dia bersama kekasihnya Matius Rutler yang ditahan oleh pihak polis kerana memandu dalam keadaan berbahaya di Hollywood Barat.

Penyanyi itu ditahan kerana cuba berbohong dan kemudian dibebaskan tanpa sebarang tuduhan. Sementara kekasihnya Rutler ditahan atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Seperti dipetik dari femalefirst, Chiristina memberitahu bahawa penahanan itu seharusnya tidak terjadi.

"Ini seharusnya tidak terjadi, mereka menahan saya kerana saya adalah seorang selebriti. Mereka tahu sejarah saya dan sengaja ingin menahan saya.

"Saya tidak memandu, saya tidak melakukan sebarang kesalahan tapi mereka menahan dan memenjarakan saya tanpa sebab," ujarnya.

Nana Ke Hot FM Bukan Kerana Kecil Hati


PETALING JAYA: Bekas penyampai radio XFM, Nana Mahazan (gambar), 28, menolak khabar angin bahawa dia mempunyai masalah dengan rangkaian radio Airtime Management & Programming (AMP) itu sehingga menerima tawaran menyertai stesen radio Hot FM.

Malah kata Nana, dia menerima tawaran yang diberikan oleh stesen radio tersebut kerana merasakan ia sesuai pada situasinya sekarang.

"Saya berhenti bukan kerana saya mempunyai masalah atau berkecil hati dengan mereka tapi memang sudah tiba masanya untuk berhenti dan memberi perhatian kepada keluarga.

"Kalau saya mempunyai masalah dengan XFM seperti mana yang diperkatakan, sudah lama rasanya saya berbuat demikian. Sebenarnya ini bukan kali pertama Hot FM tawarkan saya menyertai mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Tambah Nana, keputusan untuk menyertai Hot FM dalam jangka masa terdekat ini dibuat selepas berbincang bersama suaminya, Mohd Raqeem Brian Abdullah.

"Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja secara sepenuh masa tetapi saya tidak kata saya terus berhenti kerja dan mahu adi suri rumah.

"Saya masih mengambil kerja separuh masa. Saya juga bertanggungjawab untuk bantu suami dan menguruskan perbelanjaan keluarga kami. Jadi tawaran tersebut datang memang tepat pada masanya," katanya yang bakal memulakan tugas di Hot FM pada setiap hujung minggu bermula 25 Jun ini.

Dalam pada itu, dia tidak menolak jika suatu hari nanti bakal menjadi deejay sepenuh masa di stesen radio tersebut.

"Buat masa ini saya sendiri yang memilih untuk buat semua kerja-kerja secara freelance, sehingga saya rasa anak saya, Athea sudah besar dan faham.

"Namun begitu saya tidak menolak jika suatu hari nanti mungkin akan bekerja secara sepenuh masa di Hot FM. Tapi bukan dalam waktu terdekat ini," katanya yang sedang sibuk menguruskan perniagaan pakaian secara dalam talian yang diusahakan bersama penyampai Farah Fauzana.

Askar Wataniah : Siti Nurhaliza Tidak Kisah Berjemur Panas


PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak kisah berjemur di tengah panas dan menjalani aktiviti lasak selepas dia bersetuju menyertai Rejimen Askar Wataniah.

Dia akan memastikan dirinya sentiasa bersedia sewaktu menyertai latihan ketenteraan itu. Siti terpaksa menyelesaikan tempoh latihan selama 39 jam seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan.

“Saya akan memakai krim pelindung cahaya matahari untuk menghalang kulit menjadi terlalu gelap. Bagaimanapun, saya rasa sudah adat warna kulit akan berubah gelap apabila selalu berjemur panas,” ujarnya.

Selain Siti, rakan selebriti lain yang turut serta dalam pasukan itu ialah pelakon Intan Ladyana, Shaheizy Sam, Mohd Noor Bong, pengacara Nurul Hidayah Zahid Hamidi, penerbit filem David Teo, penyanyi Aizat dan Ana Raffali

Menyentuh tentang karier seni, Siti masih akan aktif melibatkan diri dengan aktiviti yang diatur. Dia baru selesai merakamkan program Hari Raya Idola Kecil untuk TV9.

“Album lagu Inggeris saya akan berada di pasaran mulai Julai ini,” katanya lagi.

Sebanyak 10 buah lagu yang dijangka dimuatkan dalam album yang menggunakan khidmat komposer dari Australia iaitu Brian Bruno dan Cristian Alexander tersebut.

Sementara itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, individu yang menyertai pasukan tersebut perlu menjalani latihan asas selama 39 jam dalam masa setahun mengikut kelapangan masing-masing sebelum mendapat pentauliahan.

Malah setiap pelatih turut diberi pilihan untuk latihan sehingga 240 jam seperti yang dilakukan oleh pasukan lain.

“Askar Wataniah terbuka kepada sesiapa sahaja dan saya percaya bahawa diri setiap orang mempunyai hasrat terpendam. Misalnya saya telah lama bercita-cita untuk menjadi anggota polis.

“Sejak di bangku sekolah lagi, saya memang berminat dengan pasukan beruniform. Walaupun usia sudah mencecah lebih 30 tahun ini, minat saya masih tidak luntur. Saya juga ingin menggalakkan kawan-kawan lain yang berminat menyertai pasukan ini kerana setelah mendengar taklimat, latihan yang diberikan tidak seteruk seperti askar tetap,” katanya.

Seksi, sensasi Miley Cyrus terkini


SELEPAS menghilangkan diri tanpa berita terbaharunya di laman sosial Twitter sejak bulan lepas, Miley Cyrus kini kembali aktif.

Menulis di Twitter miliknya pada 11 Jun lepas, kata Miley: “Sekadar tidak mahu kalian (peminat) semua fikir aku sudah melupakan kalian.

“Aku pulang ke rumah untuk beberapa minggu sebelum kembali sibuk dengan konsert jelajah, jadi aku tak Tweet dengan kerap. Aku sedang menikmati privasi diri sebanyak mungkin. Aku sayang kalian semua.”

Sebelum ini, kali terakhir Miley ‘muncul’ di Twitter rasminya adalah pada 29 Mei lepas iaitu selepas berakhirnya siri konsert jelajahnya The Gypsy Heart Tour di Amerika Latin.

Tweet Miley itu berbunyi: “Sangat seronok kembali ke konsert jelajah. Manila dan Australia, kini aku datang!”

Laporan E!News menyebut Miley terbang dari Los Angeles ke Manila, Filipina pada Selasa lepas untuk mengadakan konsertnya yang telah berlangsung di situ, semalam.

Dari situ, dia dijadualkan terbang ke Australia untuk memulakan siri konsert jelajahnya di pulau terbesar di dunia itu bermula di Brisbane Selasa ini.

Menurut sumber E!News, teman lelaki Miley, aktor kelahiran Australia Liam Hemsworth yang mengikuti Miley sepanjang konsert jelajahnya berangsung di Amerika Latin, selain turut pulang bersamanya di Los Angeles, kali ini tidak turut serta bersama Miley ke Manila.

Hemsworth khabarnya ketika ini sedang menjalani penggambaran filem terbaharu lakonannya, The Hunger Games di Carolina Utara, Amerika Syarikat.

Itu secebis kisah terkini figura yang mula mencipta nama menerusi siri TV popular, Hannah Montana itu.

Setidak-tidaknya kesibukan dirinya dengan konsert jelajah dunianya itu merupakan sesuatu yang positif selepas siri kontroversi yang dicetuskan Miley, khususnya berkaitan isu fesyen pakaian seksi yang digayakannya sejak usianya mencecah 18 tahun kini.

Selepas muncul ‘hangat’ dengan berbikini di pantai Brazil baru-baru ini, selain sengaja menonjolkan bra yang dipakainya menerusi foto-foto yang tertera dalam telefon bimbitnya, ‘kenyataan fesyen’ Miley menerusi filem terbaharu lakonannya, So Undercover ternyata tidak turun darjah kehangatan suhunya.

Dijadualkan untuk tayangan di pawagam menjelang Oktober ini, menerusi filem yang turut dilakonkan aktor Jeremy Piven itu, Miley muncul dengan imej yang baharu yang sudah tentu seksi dan hangat - seluar pendek jingga dan bra berwarna merah membaluti bahagian atas tubuhnya!

Sebenarnya, karakter lakonannya dalam filem itu adalah sebagai seorang penyiasat persendirian yang diupah untuk menyamar sebagai seorang pelajar kolej, justeru adakah imejnya yang begitu seksi merupakan sesuatu yang perlu?

Dalam kes Miley, sudah pasti ia suatu keperluan utama. Malah, untuk babak dia berpakaian lengkap dalam filem itu, keseksian Miley tetap terserlah pada tahap hangat dengan menyarungkan skirt mini yang sangat singkat, baju ketat dan sudah tentu kasut tumit tinggi!

Jadi, adakah Miley sengaja mencipta kontroversi dengan memanipulasi industri fesyen bagi memastikan namanya berterusan menjadi judul utama berita, sekaligus melebarkan popularitinya ke tahap maksima?

Miley menafikannya! Malah, dia menyelar dan menganggap spekulasi itu sebagai suatu tanggapan yang salah terhadap dirinya.

“Banyak perkara tentang saya telah direka dan menyebabkan ramai yang fikir saya sengaja mencipta kontroversi untuk menarik perhatian umum terhadap diri ini,” ujarnya pada sidang akhbar di Manila, kelmarin sepertimana yang dilaporkan oleh Mb.com.ph.

Penyanyi yang popular di seluruh dunia antaranya menerusi lagu The Climb dan Party in the USA itu menegaskan, pendiriannya dalam menjalani kehidupan banyak dipengaruhi nasihat yang telah diberikan oleh bapanya, penyanyi country Billy Ray Cyrus.

Ujar Miley: “Bapa pernah berkata, setiap perkara yang dilakukan dalam kehidupan ini, jika ia berpunca daripada perasaan cinta, kejayaan pasti akan berjaya dicapai tidak kira apa jua yang berlaku.”

Undang-undang

Bukan sekadar menafikan dia menyukai publisiti murahan, malah Miley melabelkan gosip dan spekulasi negatif yang melanda selebriti seperti dirinya sebagai ‘bahagian paling teruk dalam industri hiburan’.

Miley juga sempat memberi amaran kepada selebriti lain tentang bahaya media rangkaian sosial seperti Twitter. “Ia bergantung kepada seseorang selebriti untuk menetapkan batasan dan sejauh mana dia mahu masyarakat umum mengetahui tentang kehidupan peribadinya menerusi platform seperti Twitter.”

Tambahnya: “Berhenti mengunakannya (media rangkaian sosial), jika kamu mahukan privasi. Baca berulang kali apa yang ditulis bagi memastikan supaya kamu boleh mempertahankan apa yang telah kamu tulis itu. Apabila tulisan kamu itu dibaca umum, ia sudah tidak boleh ditarik semula.”

Figura yang memiliki ketinggian 1.65 meter (5 kaki 5 inci) itu turut mengingatkan media dan orang ramai bahawa golongan selebriti berhak untuk dihormati apabila berkaitan dengan privasi.

Saturday, June 11, 2011

Selling for RM35 a piece.


BARU lima bulan menerjah ke dunia lakonan selepas menjuarai Dewi Remaja 2010, nama si cantik, Neelofa pantas bertamu di bibir ramai. Ternyata, jalan karier di bidang popular ini tidak membenarkan dirinya merangkak dengan tenang.

Belum sempat lakonannya dipertontonkan, cerita dituduh sebagai perampas kekasih orang menjadi tajuk perbualan. Malah, saat ketika tawaran sedang mencurah dan rutin pemilik nama sebenar Noor Nelofa Mohd. Nor, 22, itu banyak dihabiskan di lokasi penggambaran, muncul pula pelbagai versi cerita. Semua cerita itu tidaklah semanis bibirnya yang mekar menguntum senyum.

Tanpa perlu nama disebut, ramai yang dapat mengagak, bisik-bisik perihal kurang manis yang tersebar di dada media itu semuanya condong ke arah namanya.

Tanpa mahu mengelak, wanita yang manja membahasakan diri sebagai Lofa itu pantas mengiyakan, dia sedar banyak cerita buruk dirinya sedang bertebaran. Mahu tidak mahu, semuanya harus ditelan menjadi makanan.

“Saya anggap semua itu sekadar perkara kecil, sebelum saya, ramai lagi artis lain yang lebih teruk diperkatakan,” katanya tenang sebaik dihubungi Sensasi Bintang.

Sensasi Bintang: Selepas menjuarai Dewi Remaja, permulaan karier anda dikaitkan sebagai punca utama perpisahan Shah Jaszle dan Maria Farida tetapi kini timbul cerita lelaki berdarah kerabat dan seorang lagi lelaki berstatus duda?

NEELOFA: Saya sedar, sayalah yang diperkatakan itu. Saya sendiri terkejut tentang gosip dengan duda kepada pelakon popular itu. Begitu juga dengan kerabat yang dimaksudkan. Bukan saya reka cerita dan saya tahu siapa pembawa cerita-cerita berkenaan. Saya tahu saya berada di pihak yang benar, jadi tolak tepi sahaja dan anggap semua itu sebagai permainan dunia hiburan. Saya maafkan pereka cerita itu.

Anda selesa menjadi tumpuan kerana sensasi dan kontroversi?

Saya masih Neelofa yang dulu, pandangan orang memang berbeza-beza tapi banyak lagi masa dan masih panjang lagi perjalanan saya. Jadi, biarlah, masyarakat akan mengenali saya secara perlahan-lahan. Saya percaya saya tidak buat salah.

Bagaimana dengan aduan berhubung disiplin anda yang tidak memuaskan terutama kerap datang lewat ke lokasi?

Jujurnya, saya memang seorang peka terhadap masa, kalau boleh, biarlah saya yang menunggu orang, bukan orang lain yang menunggu saya. Sepanjang penggambaran filem Azura saya tidak pernah datang lambat. Saya tahu, isu datang lambat itu berlaku ketika penggambaran drama Kitab Cinta. Perkara itu sudahpun dijelaskan. Sebenarnya berlaku salah faham, masalah teknikal berhubung dengan jadual sedangkan kerap kali saya datang awal ke lokasi.

Baru-baru ini, sudah ada yang melabel awak sekadar cantik dan seksi sahaja sedangkan kualiti lakonan tidak seberapa?

Kalau orang kata saya cantik dan seksi, apa boleh saya buat. Tapi saya masih percaya kalau sekadar cantik dan seksi semata-mata, tak mungkin saya sampai ke tahap ini. saya percaya, saya ada bakat cuma masih baru, baru lima bulan. Baru tiga drama bersiri, satu telemovie dan sedang berlakon filem kedua. Selepas lakonan pertama dalam filem Azura, sekarang King Kapcai dengan KRU Studios. Baru-baru ini, selepas telemovie, Jemaah Kolestrol ditayangkan, banyak respons positif yang saya terima. Mungkin sebab, masuk-masuk terus berlakon filem, jadi persepsi orang terhadap saya lain sikit.

Adakah bidang lakonan sekadar batu loncatan untuk anda meraih populariti semata-mata?

Memang saya pernah kata sekarang masanya untuk saya menjenamakan nama Neelofa, tapi maksud saya bukanlah untuk menjadi popular semata-mata. Jadi pelakon pun bukan rancangan asal saya, semuanya berlaku cukup pantas, keluar sahaja daripada Dewi Remaja, saya berdepan perkara ini. Sebenarnya, saya ambil masa juga untuk terima tawaran filem Azura, saya tahu hidup saya akan berubah secara total. Saya cuma fikir, apa salahnya saya ambil peluang jadi pelakon. Saya pun masih muda dan sedang belajar dalam jurusan bisnes, jadi ini semua untuk masa depan saya.

Lima bulan bergelar pelakon, sudah capai apa yang dihajati?

Saya dapat lebih daripada apa yang saya impikan. Saya kenal dan berkerja dengan nama-nama besar, berada pula bawah bumbung KRU. Peribadinya, perkara ini berlaku cukup pantas untuk orang baru seperti saya. Yelah, dengan banyak cerita panas tapi tawaran juga tidak putus-putus. Banyak yang terpaksa ditolak kerana pertindihan jadual, lagipun saya tidak mahu belasah semua benda, kena juga buat pilihan.

Tidak kisah digelar pelapis ratu kontroversi?

Tak kisahlah apa yang orang yang gelarkan saya, saya tak buat apa-apa kesalahan. Lama-lama nanti orang kenal juga siapa saya.

Anang, Ashanty mabuk cinta


ASHANTY SIDDIK kini adalah satu figura hiburan yang cukup hangat di Indonesia. Dia sudah mendiami industri hiburan di republik tersebut sejak tahun 2009 dan mempunyai sebuah album solo berjudul Ashanty.

Namun pada waktu itu, diri wanita berusia 27 tahun ini tidak mendapat liputan meluas seperti hari ini.

Hari ini, berita tentang Ashanty tidak pernah ketinggalan daripada menjadi sorotan media Indonesia. Semuanya gara-gara kisah percintaan dia dengan Anang Hermansyah, 42.

Dia mengaku, jika bukan kerana Anang, dirinya pasti tidak terkenal. “Itu adalah hal yang tidak boleh saya bohongi. Memang saya terkenal kerana Anang,” katanya.

Namun apabila mula menjadi terkenal, anak bongsu dari lima beradik ini sukar untuk beradaptasi dengan suasana baru ini. Paling ditakutinya, kalau dia dijangkiti sindrom perasan superstar. Dan lagi, setiap hari diekori media adalah hal asing baginya.

“Mama paling tidak suka, dia tidak suka gosip. Saya sendiri juga kurang selesa apabila diekori dan saban hari berita tentang saya tersiar.

“Tetapi lama-kelamaan, saya dan mama mula membiasakan diri. Jujurnya, saya okey menjadi perhatian, namun saya tidak mahu dijangkiti sindrom superstar,” luah Ashanty jujur.

Ada sebab mengapa ibunya tidak gemar anak bongsu daripada lima beradik itu menjadi perhatian umum. Ini kerana dia lahir dalam keluarga bijak pandai.

Arwah bapanya, wakil diplomat Indonesia, paling menentang pilihan dia menjadi penyanyi. Adik-beradik yang lain juga menjadi sebahagian pekerja kolar putih, hanya dia seorang sahaja yang memecah tembok itu untuk memenuhi impiannya menjadi penyanyi.

“Famili menentang saya menyanyi. Mereka kata saya harus melakukan pekerjaan yang serius. Namun saya tetap memilih bidang ini.

“Itu pun selepas saya menjadi lulusan dalam Perhubungan Antarabangsa di Universitas Paramadina dan ayah juga sudah terlalu tua sewaktu saya mula menyanyi sebelum setahun kemudian dia meninggal dan tidak sempat melihat kejayaan saya hari ini dalam bidang yang saya pilih,” jelasnya panjang lebar.

Kini bersama Anang yang bukan sahaja rakan duet, malah kekasihnya, Ashanty meraih sukses yang tidak sedikit. Kolaborasi yang baru terjalin sejak Oktober tahun lalu menerusi album yang baru memasuki pasaran pada 14 Mac lalu, Jodohku, begitu mendapat perhatian, setinggi perhatian yang diberi terhadap kisah asmara mereka berdua.




Ditanya tentang cinta yang tersimpul antara mereka berdua, Ashanty memberitahu ia baru berusia dua bulan dan masih terlalu awal untuk memberi persetujuan terhadap lamaran Anang untuk menikahinya.

Mengaku seorang yang begitu realistik dalam bercinta, kata Ashanty dia masih memerlukan waktu, paling lama setahun untuk mengenal baik buruk hubungan mereka.

“Saya pernah berpacaran selama empat tahun sebelum ini dan yakin bahawa kekasih saya itu adalah orang yang akan saya nikahi, tetapi ternyata tidak.

“Jujurnya, untuk percintaan saya dengan Anang, saya sendiri masih belum yakin. Usia percintaan kami baru dua bulan, semuanya masih manis.

“Saya memerlukan masa lagi untuk mengenal perhubungan ini. Sementelah ini adalah hubungan pertama saya dengan lelaki yang jarak usianya 14 tahun. Kemudian, Anang sudah punya dua anak dan saya takut tidak mampu untuk menjadi yang terbaik buat mereka.

“Oleh kerana saya kini adalah seorang pencinta yang realistik berbanding dulu, justeru saat dia melamar untuk menikahi saya, saya tidak boleh terus setuju. Biar perjalanan ini mengalir dulu. Jangan paksa perasaan kita,” kata Ashanty yang memberitahu Anang cukup manja dan seperti anak kecil apabila mereka mula bercinta.

Lasak

Mempunyai sepasang mata bundar, rambut ikal, pinggan bak kerengga dan pendek kata sempurna sebagai seorang wanita lawa, Ashanty memberitahu, penampilan yang dibawanya pada hari ini adalah satu transformasi yang sukar buatnya.

Ini kerana dia pada awalnya adalah seorang wanita yang lasak, tidak suka berhias dan hanya mengenal jeans serta t-shirt.

Namun sebaik menjadi pasangan duet Anang, imej lasaknya harus dikikis. Dia perlu menjadi wanita dengan penampilan serba-serbi rapi dan tampil lebih feminin.

Katanya: “Dulu, saya jenis wanita yang hanya akan memakai jeans dan t-shirt. Saya juga tidak bersolek.

“Tetapi kini, semua berubah. Kata Anang, saya kepunyaan publik. Jadi perlu selalu tampil cantik. Pada awalnya, memang susah transformasi ini, tapi kini saya mula menyukainya.”

Liyana jadi perokok


BERTEMU dengan pelakon kecil molek, Liyana Jasmay, kami dikejutkan dengan pengakuan beraninya menghisap rokok.

Ternyata pelakon berusia 23 tahun itu mempunyai niat untuk merokok tetapi malangnya gagal kerana apabila menghisap rokok dia terbatuk-batuk dan susah untuk bercakap.

“Saya memang cuba untuk menelan asap rokok yang dihisap tetapi gagal. Bila saya hisap sahaja saya akan terbatuk-batuk dan sukar untuk melontarkan dialog,” kata Liyana jujur kepada media.

Pastinya bagi peminat-peminat pelakon utama filem Khurafat itu terkejut dengan pengakuan berani Liyana itu. Namun, Liyana hanya merokok bagi menjayakan wataknya di dalam filem pendek berjudul Cinta Akhir arahan Aron Koh.

Filem berdurasi 10 minit itu turut menampilkan lakonan Pierre Andre dan juga penyanyi One In A Million (OIM), Iz Suliani.

Namun, belum lagi ia ditayangkan untuk tatapan orang ramai, filem pendek itu sudah mendapat kritikan hebat.

Ia dikatakan tidak memberikan kesan langsung kepada perokok-perokok malah jalan ceritanya juga tergantung.

Saat diajukan perkara tersebut kepada pengarahnya, Aron, dia mengaku sengaja membiarkan penamat filem itu tergantung. Dia mahu membuatkan penonton berfikir dan membuat andaian sendiri mengenai kesudahan yang terjadi kepada Lisa lakonan Liyana.

“Sasaran kami menghasilkan filem Cinta Akhir adalah untuk golongan belia. Kempen ini sekadar untuk menyedarkan belia kepada bahayanya rokok bukan bertujuan untuk mendidik,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton di Golden Screen Cinema (GSC), Pusat Beli-Belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

Aron yang juga pernah mengarahkan filem cereka Seed of Darkness dan beberapa klip video termasuk untuk kumpulan Pop Shuvit bertajuk Marabahaya memberitahu, filem pendek yang mendapat sokongan daripada Dana Belia 1Malaysia dan juga Kementerian Belia dan Sukan itu juga dibuat khas sempena Kempen Anti Merokok (ASAP).

Bercerita mengenai Cinta Akhir, ia mengisahkan tentang seorang gadis bernama Lisa yang merupakan seorang penjual rokok di kelab malam. Lisa juga merupakan seorang perokok tegar. Dia bertemu dengan seorang lelaki pelajar yang merendah diri bernama Bob lakonan Pierre Andre.

Sementara itu, bagi Iz pemilihannya berlakon sebagai penyanyi kelab di mana tempat Lisa menjual rokok merupakan peluang buat dirinya melangkah lebih jauh di dalam bidang lakonan.

Iz yang juga merupakan Duta ASAP itu juga turut menyumbangkan lagu Cinta Akhir untuk filem pendek itu.

“Ini merupakan percubaan pertama Iz menceburkan diri dalam bidang lakonan,” katanya yang bakal mengeluarkan album pertamanya awal tahun depan.

Filem pendek yang menelan belanja sehingga RM130 ribu itu boleh dilayari menerusi laman web www.asap.my.

Persembahan Memukau Rossa


PETALING JAYA: Penyanyi dari Indonesia, Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani, 33, berjaya memukau hampir 700 penonton pada konsert mini An Unforgettable Moment With Rossa di Tropicana Golf and Country Resort, di sini, Khamis.

Pada konsert tersebut, Rossa diiringi sekumpulan pemuzik yang dibawakan khas dari Jakarta dan beraksi selama satu jam setengah dengan membawakan sebanyak 20 buah lagu popularnya.

Bermula pada pukul 9 malam, Rossa memulakan nyanyian persembahannya dengan menyampaikan lagu Seribu Malam diikuti dengan lagu Atas Nama Cinta dan Terlalu Cinta.

Sepanjang nyanyian, hampir kesemua lagu yang dibawakannya adalah daripada album kompilasi baru Harmoni Jalinan Nada dan Cerita.

"Kebanyakan lagu-lagu saya berkisarkan tentang cinta dan saya pasti lagu seperti ini pastinya cepat melekat di hati pendengar muzik.

"Justeru itu, kerana cinta saya pada anda juga, kesemua lagu-lagu yang saya bawakan ini adalah khas buat kalian semua," kata Rossa kepada para penonton pada persembahan tersebut.

Suara Rossa yang gemeresik ketika mendendangkan lagu-lagu cinta tersebut ditambah pula dengan kelincahannya di atas pentas membuatkan sesiapa sahaja pasti terpegun dengan tenaga vokalnya yang mantap.

Ternyata persembahan hebat penyanyi jelita itu mendapat tepukan gemuruh yang tidak henti daripada para penonton.

Pada malam itu, dengan mengenakan sebanyak tiga persalinan, Rossa turut menyampaikan lagu Aku Bukan Untukmu, Hati Yang Kau Sakiti, Terlanjur Cinta, Malam Pertama, Bila Salah, No Body, Pudar, Sakura, hey Ladies, Ayat-Ayat Cinta, dan Tegar.

Kemudian, Rossa turut mendendangkan tiga buah lagu tempatan iaitu Kantoi, Kisah Rumah Tangga dan Engkau Laksana Bulan dengan mengenakan baju kurung moden yang direka khas oleh Amir Luqman.

Kelihatan juga beberapa penonton tidak melepaskan peluang menyanyi dan menari di tempat duduk masing-masing ketika Rossa mendekati mereka.

Konsert mini itu dianjurkan oleh Splendid Entertainment Sdn Bhd.

Cinta Laura Tolak Pembedahan Plastik


BIARPUN pembedahan plastik menjadi trend di kalangan selebriti, namun perkara tersebut ditolak beberapa selebriti seperti pelakon jelita Indonesia, Cinta Laura.

Kata Cinta, dia tidak bersetuju dengan segelintir artis yang sanggup membuat pembedahan plastik untuk menjadikan diri mereka lebih cantik.

"Saya sangat tidak setuju dengan orang yang melakukan pembedahan plastik kerana mahu menjadi lebih cantik," katanya seperti dipetik dari Inilah.com.

Bagaimanapun kata Cinta, dia tidak menolak jika pembedahan plastik dilakukan jika berlaku situasi tertentu seperti kemalangan.

"Jika pembedahan tersebut dibuat akibat berlakunya kemalangan, ia tidak menjadi masalah.

"Tetapi sekiranya sekadar ingin membuat rahang, membesarkan payudara, menjadikan hidung lebih mancung kerana mahu nampak cantik, ia akan mendatangkan kesan sampingan dan amat bahaya,” tuturnya.

Wednesday, June 8, 2011

Iqa (Mentor) Mahu Muzik 'Heavy Metal'


CYBERJAYA: Bekas peserta Mentor musim kelima (Mentor 5), Iqa atau Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor, 25, menyatakan hasratnya untuk meneruskan karier nyanyian dengan membawakan imej muzik pop rock.

Menurut Iqa, sebelum menyertai Mentor 5 lagi, dia sering membawakan muzik genre rock bersama kumpulannya, Bottlecapt, setiap kali mengadakan persembahan pentas.

"Sebenarnya, saya agak kekok membawakan lagu balada ketika berada dalam Mentor 5 kerana muzik saya lebih ke arah rock.

"Selepas berbincang dengan mentor saya, Edry Abdul Halim, saya akan membawakan muzik yang diminati dan tampil bersama gitar bila mengadakan persembahan, seperti yang dilakukan ketika bersama Bottlecapt dahulu," katanya yang kini bernaung di bawah KRU Studios.

Iqa merupakan vokalis dan pemain gitar bass dalam kumpulan Bottlecapt yang ditubuhkan sejak tahun 2004.

Tambah anak kelahiran Ulu Tiram, Johor itu, dia juga sering membuat persembahan muzik heavy metal bersama kumpulannya itu.

Sementara itu, Iqa atau nama panggilan lain, PQot, sedang merancang bersama pihak KRU menghasilkan sebuah album baru sebagai langkah pertamanya bergerak dalam industri muzik tempatan.

"Alhamdulillah, berada sehingga di peringkat akhir Mentor memberi peluang untuk saya mengejar cita-cita sebagai penyanyi profesional.

"Saya harap muzik yang bakal ditonjolkan nanti dapat diterima masyarakat, malah saya juga sudah bersedia untuk melalui segala perit getir sebagai seorang penyanyi," katanya.

Bagaimanapun, kata Iqa, walaupun bergerak sebagai penyanyi solo, dia tidak akan meninggalkan Bottlecapt.

Ashanty Mengaku Tumpang Populariti Anang


KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Indonesia, Ashanty Siddik Hasnoputro, 27, (Ashanty) mengakui kerjasamanya dengan komposer Anang dalam album duet Jodohku berjaya melonjakkan populariti dirinya yang kurang dikenali sebelum ini.

Ashanty berkata, walaupun ada yang melabelnya ingin menumpang populariti bekas suami Krisdayanti itu untuk popular secara mendadak, dia sebaliknya menerima dakwaan tersebut dengan hati terbuka.

"Memang tidak saya nafikan, saya semakin dikenali sejak berduet dengan Anang. Walaupun ada yang anggap saya ingin menumpang nama Anang, saya tidak kisah dan terimanya secara positif.

"Sememangnya, kerjasama ini adalah batu loncatan yang baik buat orang baru seperti saya kerana profil Anang dalam bidang muzik sememangnya diperakui umum," katanya.

Apabila ditanya tentang hubungannya dengan Anang sejak dua bulan lalu, Ashanty berkata, kejujuran yang dimiliki oleh bapa kepada dua anak itu memikat hatinya.

"Pada awalnya, kami hanya berurusan atas dasar profesional. Perasaan sayang pada Anang hadir ketika kami merakamkan lagu Kekuatan Hati untuk album duet tersebut.

"Dia seorang yang tenang dan jujur. Dia berjaya mengubah saya daripada seorang wanita yang bersikap agak kasar dan kelakian sebelum ini kepada seorang yang lebih lemah-lembut dan ayu," katanya yang tidak kisah untuk menerima duda seperti Anang dalam hidup.

Selain album duet itu, wanita berbintang Scorpio ini juga dijangka akan melahirkan tiga buah album lagi di bawah produksi Anang termasuk album runut bunyi untuk muzikal, Penyanyi di samping anak Anang iaitu Aurell.

Ashanty yang mula aktif sejak 2009 pernah menghasilkan album sulung yang berjudul Ashanty pada tahun yang sama.

Perhubungan matang Yusry, Lisa


CINTA antara Yusry KRU dan Lisa Surihani bukan lagi rahsia, malah mereka juga enggan menyembunyikan rasa hati dan bunga cinta yang sedang mekar di hati masing-masing daripada pandangan orang ramai.

Kini, di mana ada Yusry pastinya kelibat Lisa akan kelihatan, sama juga halnya yang berlaku ketika tayangan perdana filem Karak dan juga terbaru sambutan ulang tahun KRU yang ke-19 yang berlangsung di ibu pejabat KRU di Cyberjaya pada Isnin lalu.

Mereka duduk semeja bersama ibu Lisa Surihani dan juga keluarga Yusry yang lain. Sinar mata bahagia yang terpancar menjelaskan mereka dalam lamunan cinta meskipun usia percintaan baru menjangkau angka tiga bulan.

Yusry dan Lisa yang ditemui sejurus majlis tamat tidak langsung melarikan diri, malah turut sudi memenuhi permintaan pihak media untuk bergambar berdua buat pertama kalinya dalam satu sesi fotografi segera.

Bagaimanapun, Yusry enggan hubungannya dengan Lisa dilabelkan sebagai pasangan kekasih kerana menganggap perhubungan mereka perhubungan yang matang. Ia bukan lagi umpama cinta monyet ketika zaman remaja.

"Memang kami berkawan lebih daripada biasa, tetapi saya tidak mahu kami digelar pasangan kekasih kerana perhubungan kami adalah matang. Kalau sebut kekasih, saya rasa seperti cinta monyet atau zaman muda-muda dulu yang pernah saya alami. Lainlah kalau sudah bertunang atau berkahwin.

"Apa yang boleh saya cakapkan, saya serius dengan hubungan ini dan kami bercinta cara orang dewasa, bukan lagi seperti orang yang ingin mencuba nasib dalam perhubungan. Kami memang serius," jawab Yusry.

Lisa pula yang duduk disebelah Yusry yang sebelum ini sering memberi jawapan selamat mengenai hubungannya dengan Yusry turut mengakui, perhubungannya dengan Yusry adalah lebih daripada kawan biasa dan dia senang ketika bersama Yusry.

"Status hubungan itu tidak perlulah nak jelaskan, harap berikan kami ruang sebelum kami boleh berikan jawapan yang konkrit. Sebenarnya bila saya disoal mengenai Yusry sebelum ini, bukan saya tidak mahu menjawab tetapi tidak manis untuk seorang perempuan yang mula bercakap mengenai hubungan, biarlah lelaki yang memulakannya dulu," ujar Lisa.

Celah Yusry, apa sahaja kenyataan yang terluncur daripada mulutnya sebelum ini, semuanya telah dibincang terlebih dahulu bersama Lisa.

"Sebelum saya keluarkan kenyataan, kami berbincang terlebih dahulu dan apa sahaja yang saya katakan sebelum ini hasil perbincangan saya dengannya," kata Yusry.

Apabila disoal sejauh mana hubungan mereka kini, jawab Yusry, mereka berdua telah mengenali keluarga masing-masing, sungguhpun begitu masih terlalu awal untuk menjangkakan pengakhiran pada hubungan mereka.

“Kami berdua umpama hidup di bawah mikroskop, ke mana sahaja kami pergi dan lakukan, akan menjadi bahan perhatian bualan, kami terima kerana itu jalan hidup yang kami pilih. Sebagai manusia saya sendiri tidak tahu sejauh mana, hubungan kami boleh pergi.

“Kami dalam proses mengenal hati budi, tetapi orang sudah bertanya bila nak bertunang dan berkahwin. Mana saya boleh jawab kerana saya sendiri tidak pasti sejauh mana hubungan kami boleh pergi.

“Saya pun tidak mahu bercakap lebih-lebih kerana biasanya tiga bulan pertama dalam hubungan semuanya indah-indah belaka, jika hubungan kami tidak menjadi, yang jadi mangsanya adalah kami berdua. Sebab itu saya perlu berjaga-jaga dengan apa yang saya perkatakan," luah Yusry lagi.

Lisa juga bersetuju dengan pendapat Yusry. Dia juga enggan menghebohkan hubungan mereka kerana sedar mereka baru sahaja dalam peringkat awal hubungan. Malah, jika terlalu banyak cerita cinta mereka disiarkan di media, Lisa bimbang akan wujud persepsi orang ramai kepadanya.

“Saya kalau boleh tidak mahu heboh-heboh, nanti orang cakap apa pula sedangkan kamu baru sahaja berkawan. Tetapi saya hormati pihak media yang bertanya, jadi saya hanya jawab yang termampu. Kami tidak mahu jadi hipokrit,” kata Lisa.

Jika tiada apa-apa yang pasti, masakan Lisa sering berdampingan dengan adik bongsu trio KRU itu ke mana sahaja dia pergi terutamanya di majlis yang melibatkan syarikat KRU.

Tersipu-sipu untuk menjawab, Lisa diselamatkan oleh Yusry yang berkata: “Kehadiran Lisa umpama dia seorang kakitangan MIG yang menyokong kerja saya, seorang kakitangan KRU."

Tarikan Yusry buat Lisa

Mula berkomunikasi menerusi BBM (BlackBerry Messenger) selama setahun sebelum bersua muka kerana satu perjumpaan untuk filem Ular yang turut melibatkan Lisa mendekatkan lagi mereka berdua.

Kata Lisa malu-malu, pada mulanya dia menyangka, Yusry seorang lelaki yang sombong. Bagaimanapun setelah mengenai Yusry dengan lebih dekat ternyata sangkaannya itu meleset sama sekali.

"Dia seorang yang merendah diri dan senang berbincang. Sebab itu usia bukanlah menjadi penghalang buat kami. Kami selesa menjadi diri sendiri ketika bertemu, dia tidak perlu menjadi muda untuk saya, dan saya tidak perlu berlagak seperti wanita yang lebih berusia ketika bersama dia," tutur Lisa yang kini berusia 25 tahun, manakala Yusry berusia 37 tahun.

Yusry juga menyenangi sikap Lisa yang tidak hipokrit dan bijak membawa diri dalam apa jua keadaan sekali pun. Kata Yusry, ketika mula-mula keluar, mereka keluar bertiga iaitu bersama ibu Lisa, tetapi kini mereka sudah selesa untuk keluar berdua sahaja.

"Ya, kami macam pasangan yang lain juga, kami suka menonton wayang dan habiskan waktu yang terluang bersama. Mula-mula dulu, ibu Lisa akan teman dia tetapi sekarang kami sudah mula keluar berdua," jawab Yusry dengan jujur.

Sambung Lisa dan Yusry lagi, buat masa ini biarlah hubungan mereka berjalan seperti pasangan yang lain, tiada sebarang paksaan untuk mempercepatkan segala perancangan.

“Biarlah hubungan kami ini terjadi dan terikat secara semula jadi,” kata Yusry.

Ular

Pasti ada banyak mulut yang mempertikaikan penglibatan Lisa dalam filem terbaru terbitan KRU yang berjudul Ular. Mungkin ada yang berkata kerana hubungan Lisa dan Yusry, dia dipilih untuk terlibat dalam projek terbitan KRU.

Lisa yang turut menyedari situasi itu menjawab, segala perjanjian untuk filem arahan Johan Lucas itu terjadi sebelum timbulnya gosip cinta antara mereka.

“Perjanjian untuk berlakon dalam filem Ular terjadi sebelum kami rapat, jadi tidak ada kena mengena hubungan kami dengan kerja saya. Apabila tiba bab kerja, semuanya profesional.

“Walaupun saya berkawan dengan Yusry, tidak bermakna saya akan diberikan banyak tawaran lakonan daripada KRU. Tawaran lakonan dibuat menerusi pihak KRU dan pihak pengurusan saya iaitu MIG, saya langsung tidak campur tangan," jawab Lisa.

Tuesday, June 7, 2011

Erra Selektif bukan eksklusif


HUJUNG minggu lalu nama Erra Fazira dan protegenya, Salma hangat di dalam ruangan gosip semua akhbar mingguan. Kemenangan mereka meraih wang tunai RM100, 000 serta gelaran juara musim kelima program realiti Mentor 5 dipertikaikan.

Walaupun ramai yang mengakui kehebatan vokal Salma, namun ibu tunggal beranak satu itu dikatakan sengaja dimasukkan semula untuk bersaing ke final selepas terkeluar seminggu sebelum final.

Lantas apabila dia diangkat sebagai juara, banyak pihak mendakwa ia merupakan politik terbesar pihak produksi program itu yang sengaja memberi kemenangan kepada Erra dan Salma.

Turut menjadi buah mulut, kehadiran Ziana Zain selaku juri biar dilihat relevan kerana Ziana merupakan juara Mentor musim lalu, turut dipertikai kerana keakrabannya dengan Erra.

Bertanya tentang sensasi yang dibangkitkan itu kepada Erra, nyata 'orang lama' seni itu cukup tenang menjawab. Tidak cepat melatah, Erra mempunyai hujah sendiri untuk mempertahankan pemilihan dia dan Salma sebagai juara program tersebut.

"Adat dalam pertandingan pasti ada yang suka dan tidak suka. Bagi yang tidak suka mereka akan cuba mereka cerita dan mempertikaikan kemenangan Salma. Bagi saya, Salma telah membuktikan persembahannya bagus dan dia menang dengan bermaruah.

"Kalau dia nyanyi tidak bagus pada malam akhir itu saya akui kemenangannya boleh dipertikai. Tetapi, Salma sudah memberi sehabis baik. Memang di akhir-akhir pertandingan undian Salma jatuh. Daripada situ Salma bangkit melakukan yang sebaiknya untuk konsert akhir Mentor 5," katanya ketika dihubungi Kosmo! bagi mengulas isu kemenangan Salma yang dikatakan telah dirancang.

Ramai juga yang mempertikaikan Salma diserap masuk ke konsert akhir Mentor dan menganggapnya salah satu strategi pihak Mentor untuk menjadikannya juara sedangkan undiannya di paras terendah berbanding peserta-peserta lain.

Bagi Erra, tiada istilah rancang atau susunan strategi. Perkara yang sama berlaku untuk konsert-konsert Mentor sebelum ini.

"Sememangnya jadi trend persembahan realiti apabila peserta terkeluar diserap masuk semula. Ia bukan sahaja berlaku kepada mentor tetapi juga rancangan realiti lain seperti Akademi Fantasia (AF). Contoh yang berlaku kepada Shahir. Dia terkeluar dan dimasukkan semula. Malah, rezeki berpihak kepadanya apabila dia muncul sebagai juara AF," katanya.

Erra kemudian memberitahu, isu Ziana Zain menjadi juri sepatutnya tidak elok ditimbulkan.

Jelasnya: "Saya sendiri tidak tahu salah seorang juri pada malam itu adalah Ziana. Ziana seorang yang cukup profesional. Dia tidak akan memberi undi semata-mata kerana kami berkawan. Lagipun, industri seni ini kecil dan saya berkawan dengan semua orang.

"Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) juga baik dengan salah seorang juri pada malam itu iaitu Datuk Ramli MS. Jadi terpulanglah kepada individu yang mereka cerita itu sendiri.

"Memang pada awalnya saya sudah beritahu Salma, kalah atau menang tidak menjadi persoalan. Paling penting, kita bagi sebaik mungkin. Jika kalah pun, kita menang secara bermaruah."

Selektif bukan eksklusif

Beralih bicara tentang penglibatannya dalam dunia lakonan, Erra, 37, sudah lama tidak muncul di layar perak. Kali terakhir filem lakonannya dapat ditonton adalah menerusi watak pembantu dalam filem Andartu Terlampau - 21 Hari Mencari Suami di bawah produksi Haliza Misbun pada tahun 2010.

Kali terakhir Erra memegang peranan utama pula adalah menerusi filem seram Anak di samping Ida Nerina pada tahun 2008.

Selepas itu, wajah Erra lebih banyak menghiasi kaca TV dan program pengacaraan.

Disebabkan itu ramai yang membuat andaian bahawa dirinya begitu eksklusif.

Ibu jelita kepada Engku Aleesya Engku Emran, 2, itu menjawab mengenai statusnya yang dikatakan begitu eksklusif.

"Saya tidak meletakkan diri eksklusif, cuma kini saya kena lebih selektif melihat tawaran yang datang. Kalau dulu semasa belum berumah tangga dan belum dikurniakan anak saya menerima sahaja apa jua tawaran tetapi kini saya kena bahagikan dua iaitu antara kerjaya dan juga keluarga," katanya ketika ditemui semasa sidang media memperkenalkan pelakon-pelakon teater Badai Semalam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) tahun 2001 dan 2005 itu juga menolak yang dirinya dikatakan sudah kurang menerima tawaran filem disebabkan bakat-bakat baru yang muncul seperti Lisa Surihani dan Fasha Sandha.

Menurutnya, banyak faktor kenapa dirinya sudah lama tidak menghiasi panggung. Kata heroin Sembilu itu, sekarang ini dia cuma memperkecilkan skop kerjayanya. Jika ada tawaran menarik untuk berlakon filem dan tidak bertindih dengan jadual lain baru dia akan menerimanya.

"Saya akan pastikan 50 peratus fokus saya terhadap kerjaya dan 50 peratus lagi terhadap keluarga," katanya yang bakal muncul dengan drama seram komedi terbaru terbitan Astro iaitu Hantu Susu.

Jadi guru

Sudah berada dalam industri hiburan hampir 20 tahun lamanya, Erra diajukan pula soalan tentang kemungkinan dia menjadi guru lakonan mahupun vokal.

"Erra belum terlintas lagi mahu jadi guru. Sekarang ini pun, jadual begitu padat. Tetapi, mungkin satu hari nanti bila sudah kurang berlakon dan merasa diri sudah tidak laku saya akan memikirkannya," katanya sambil melirikkan senyuman yang menawan.

Ulasnya, tanggungjawab untuk mengajar vokal, tarian mahupun lakonan bukan tugas yang mudah. Ia memerlukan komitmen yang tinggi untuk menggilap bakat baru bagi dijadikan bintang.

Beralih pula cerita mengenai si puteri jantung hatinya, Engku Aleesya, Erra memberitahu, genap 30 Mac lalu puterinya sudah berusia dua tahun.

Engku Aleesya yang kini sudah mencapai berat badan 15 kilogram sentiasa diberi perhatian biarpun dirinya sibuk.

"Saya akan pastikan jika ada masa terluang saya akan bawa Aleesya keluar dan peruntukkan masa sepenuhnya bersama dia," kata Erra.

Annahita Bikin Dokumentari 'Jejak Rasul In Rusia'


PETALING JAYA: Daripada seorang pengacara, Datin Annahita Bakavoli turut bergelar seorang penulis skrip. Terbaru, dia sedang terlibat dengan projek dokumentari travelog Jejak Rasul In Rusia edisi antarabangsa terbitan Primeworks Studios.

Jika sebelum ini, dia lebih terdedah kepada program genre jenayah tetapi kali ini Annahita mengubah haluan kepada program bercorak keagamaan, sejarah dan budaya.

Menurutnya, dokumentari dalam bahasa Inggeris tersebut bakal dipasarkan di luar negara dan turut disiarkan di stesen televisyen tempatan.

“Pihak produksi telah melakukan penggambaran untuk dokumentari ini dan sedang dalam proses penyuntingan. Selain menyediakan skrip, saya juga bertindak sebagai suara latar dan pencerita.

“Olahan skripnya agak berbeza sedikit berbanding program Jejak Rasul yang disiarkan sebelum ini di TV3. Tetapi kami masih lagi mengaitkan dokumentari itu dengan kisah rasul. Jadi, cabarannya saya perlu lebih mendalami tentang sejarah rasul,” katanya kepada mStar Online.

Tambahnya: “Kami juga memilih negara Rusia sebagai lokasi kerana Islam merupakan agama kedua terbesar di negara itu.

“Kami juga akan memaparkan tentang bagaimana orang Rusia tertarik dengan Islam dan bagaimana agama itu semakin berkembang di Rusia serta keunikan mereka mempraktikkan Islam.”

Selain itu, pelbagai kajian yang dilakukan oleh Annahita termasuklah mencari sumber tentang sejarah Rusia serta cara dakwah Islam disampaikan di negara tersebut.

“Saya perlu mendalami siapa tokoh terkenal yang mempropagandakan Islam di Rusia, sejauh mana Islam disampaikan di sana serta sejarah masjid-masjid yang indah.

“Untuk menjadikan program ini lebih menarik, kami akan turut memaparkan elemen budaya dan pengembaraan kerana kami mahu penonton terhibur dengan program ini selain sarat dengan maklumat dan nilai-nilai murni,” ujarnya yang pernah menghasilkan skrip untuk program Kronologi Eksklusif Siasatan (KES) di TV3.

Dalam perkembangan lain, Annahita baru selesai menjadi salah seorang hos program Agro-Xplorasi di TV3 dan bertugas sebagai wartawan penyiaran di bawah Media Prima Berhad sejak dua tahun lalu.

Menyentuh tentang peribadi, dia yang hampir setahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Saiful Bahar Datuk Mohd. Arshad sedang bahagia dengan keluarga dan kariernya.

“Saya sedang sibuk bekerja dan tidak merancang tentang anak. Semuanya bergantung kepada rezeki Allah,” katanya lagi.

Sunday, June 5, 2011

Taruhan komersial Saleha


WAJAH mulus ini sering muncul di kaca televisyen. Kalau bukan dalam drama, wajah Siti Saleha, 21, menjadi penghias iklan. Senyumannya dalam setiap iklan komersialnya ibarat magnet yang menarik orang ramai untuk membeli sesuatu produk.

Namun, wajah ceria itu mampu bertukar mengikut karakter dan permainan jiwa. Mimik muka sedih, marah dan gembira telah dipertontonkan sekali gus membuktikan kredibiliti Saleha sebagai pelakon.

Sebelum ini, pertukaran mimik dan perasaan itu sudah disaksikan dalam drama seperti Habil dan Qabil, Awan Dania, Ustaz Amirul, Sudu dan Garpu dan Di Bawah Ketiak Isteri. Kini, Saleha ada taruhan yang lebih besar iaitu drama Nora Elena.

Ia sebuah naskhah adaptasi novel Kasih Yang Suci nukilan Meen Zulaikha yang kini disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 malam dalam slot Akasia di TV3.

Produksi 24 episod atas genre cinta ini memberi tanggungjawab berat buat Saleha yang memegang watak Nora Elena.

“Nora Elena merupakan karakter yang penuh kejujuran dan kelembutan. Jiwa dan hatinya rapuh dek sejarah silam yang dialami,” kata Saleha tentang drama lakonannya yang masih mengekalkan 70 peratus persamaan seperti dalam novel itu.

“Saya teruja melakonkan watak besar tersebut memandangkan ini adalah pertama kali saya terlibat dengan drama yang diterjemahkan daripada novel,” jelas aktres yang juga adik kandung Sam Bunkface ini.

Untuk sebuah hubungan kimia yang cantik dan lancar, Saleha mengaku banyak dibimbing Aaron Aziz yang berpasangan dengannya untuk drama ini.

“Drama arahan Jet Li ini adalah drama kekeluargaan, ada konflik dan cinta yang harus saya tangani, ada juga babak yang menonjolkan kemesraan suami isteri.

“Hero saya, Aaron Aziz banyak membantu,” puji Saleha yang memanggil Aaron dengan nama ‘uncle’ di set penggambaran.

Usai penggambaran drama yang kini menjadi ‘ketagihan’ khalayak ini, Saleha mahu merebahkan dirinya untuk berehat. Katanya, dia masih perlu fokus terhadap pelajarannya yang berbaki tiga semester.

Impiannya sama seperti anak muda di luar sana – mahu menggenggam segulung ijazah. Saleha meletakkan Britain sebagai destinasi pembelajaran seterusnya.

Buat masa ini, nikmati dahulu Saleha dalam balutan Nora Elena.

Ketawa senjata Rossa


WANITA cantik ini suka ketawa. Bicaranya bersulam getar tawa dan membuatkan khalayak terasa dekat dengan dirinya. Kadangkala sebelum mula bicara, Rossa akan mendahuluinya dengan tawa.

Belum habis ayat percakapan, dia menutup mulut dengan jemarinya dan langsung tertawa. Dia selesa dalam bab itu.

“Kalau sedih biarlah saya seorang sahaja. Saya tidak suka mempamerkan kesedihan kepada umum.

“Saya lebih senang dilihat gembira,” jujurnya langsung ketawa. Rossa berkata, individu berhoroskop Libra sepertinya mungkin sentiasa riang.

Tawa Rossa itu bakal kembali lagi ke Malaysia, Jun ini. Malah, Malaysia bukan negara asing bagi penyanyi itu. Kerapkali Rossa menjadikan Malaysia tempat persinggahannya.

PENGGEMAR MELLY DAN ANTO HOED

Apabila melihat perjalanan kerjaya seorang Rossa, jelas nama Melly Goeslow dan Anto Hoed tidak pernah lekang daripada penyanyi ini. Dalam setiap album dan lagu Rossa pasti ada sentuhan pasangan suami isteri tersebut.

“Saya membesar dengan nyanyian dan karya mereka. Terus mereka menjadi sahabat baik saya. Saya sangat menggemari lagu-lagu tulisan Melly.

“Anto Hoed pula adalah penyusun muzik pilihan saya,” ujar Rossa yang suka mevariasikan lagu-lagu dalam albumnya.

PUSAT KARAOKE

Selain sibuk merangka fesyen dengan jenamanya sendiri, Rossa terlebih dahulu muncul dengan pusat karaoke yang dikenali Diva Family Karaoke. Pusat karaoke itu dibuka di Jakarta Pusat, Indonesia.

“Itu merupakan cawangan pertama saya. Dalam beberapa bulan lagi, saya akan membukanya di tempat lain pula. Sasaran saya ialah untuk membuka 15 cawangan Diva termasuk di Bandung, Bogor, Palembang, Manado dan mungkin Papua,” jelasya.

Rossa memilih tema ungu untuk menghiasi pusat karaokenya atas dasar warna tersebut digemari kedua-dua jantina lelaki dan wanita.

“Ada 40 buah bilik di Diva Family Karaoke. Kualiti peralatannya juga bagus. Siapa yang menyanyi di sana, suara mereka akan lebih sedap didengar,” ujarnya mempromosikan bisnes barunya yang memiliki tagline, ‘Mahu merasa menjadi diva? Nyanyilah di Diva Karaoke’.

KONSEP FILEM

Ujar wanita anggun berusia 33 tahun ini, dia gemarkan filem Nottting Hill lakonan Julia Roberts dan Hugh Grant. Filem itu turut menjadi inspirasi buat dirinya.

“Lagu-lagu runut bunyi filem tersebut sangat bagus dan saya amat menyukainya. Ia juga menjadi rujukan saya semasa menghasilkan album hit saya,” terang Rossa.

Selepas menonton filem tersebut, Rossa terinspirasi untuk menghasilkan fesyen jenama miliknya yang diberi nama Just A Girl.

“Saya obses dengan baju dan kasut serta gemar bergaya. Saya mahu menghasilkan jenama pada harga yang sangat berpatutan.

“Saya beruntung kerana mempunyai seorang sahabat lulusan universiti di Indonesia, kami sama-sama memberi idea untuk jenama saya itu,” ujar Rossa yang belum menentukan tarikh yang sesuai untuk melancarkan jenama pakaiannya itu.

CEREWET BAB LIRIK

Ketika ditanya tentang kecerewetan dirinya, Rossa mengaku dia menjadi selektif apabila masuk hal lirik. Ternyata dia mahu memberikan mesej menerusi lagu-lagu yang dinyanyikannya.

“Kalau masuk hal lirik, saya tahu apa yang disukai oleh para peminat Rossa. Saya mahu menyampaikan sesuatu yang mudah dicerna dan diterima pendengar.

“Saya gemar menyanyikan lirik yang terjadi kepada masyarakat. Apabila mereka mendengar, seperti terkena dengan kehidupan mereka.

“Boleh dikatakan saya menebak cita rasa pendengar,” ujar Rossa.

ALBUM DAN MALAM ROSSA

Pada akhir Mac lalu, penyanyi ini berkunjung ke Kuala Lumpur. Dia mempersembahkan album baru dengan tajuk Jalinan Nada dan Ceria.

Album yang memuatkan 14 buah lagu itu merupakan kompilasi lagu-lagu popularnya dan ada yang dijadikan runut bunyi dalam filem dan drama.

Turut menampilkan tiga halwa telinga baharu iaitu Memeluk Bulan, Jagad Khayalku dan Ku Menunggu, ini merupakan hadiah buat para peminatnya.

Pada bulan ini, Rossa muncul lagi. Kali ini atas urusan amal, Rossa akan hadir pada acara gala makan malam An Evening with Rossa. Ia akan berlangsung pada 9 dan 10 Jun ini.

Malam 9 Jun terbuka buat khalayak manakala 10 Jun merupakan persembahan khusus untuk undangan istimewa daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).

Acara makan malam di Grand Ballroom, Tropicana Golf and Country Resort itu diciptakan dengan tema perpaduan, cinta dan keamanan melalui muzik.

Sudah tentu Rossa akan memperdengarkan lagu hit Ku Menunggu buat khalayak yang bakal dihidangkan dengan lapan jenis makanan istimewa. Buat pecinta Rossa, mereka boleh mengunjungi laman web www.splendid8.com untuk keterangan lanjut.