Tuesday, May 31, 2011

Rossa Enggan Berlakon Filem


JAKARTA: Penyanyi Rossa tidak tertarik untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan biarpun mendapat beberapa tawaran menjadi bintang filem.

Kata Rossa, dia lebih meminati bidang nyanyian dan mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bidang tersebut.

"Banyak tawaran filem yang datang tapi terpaksa saya tolak kerana tidak sesuai dan yang paling utama saya tidak berminat untuk berlakon.

"Saya mahu bekerja dengan melakukan apa yang saya ingin lakukan dan ternyata saya terlalu cintakan bidang nyanyian.

"Bagi saya cukuplah berlakon pada klip video lagu saya sendiri sahaja," katanya seperti dipetik Kapanlagi.com.

Aaron Aziz Tekankan Agama Didik Anak


PETALING JAYA: Pelakon kacak Aaron Aziz mengakui masih menggunakan cara lama dan pendekatan agama dalam mendidik tiga anaknya.

Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu mengongkong dan mengatur cara hidup anaknya seperti yang biasa dilakukan ibu bapa masa kini.

"Saya mengaku terlalu konservatif dalam hal mendidik anak-anak terutamanya dalam soal agama. Kalau boleh saya nak bagi yang terbaik kepada mereka.

"Walaupun sesibuk mana bekerja saya tetap akan luangkan masa bersama anak-anak. Saya tidak mahu mereka rasa saya tiada di sisi mereka," katanya ketika ditemui di Majlis Hari Bapa Oreo Bersama Aaron Aziz di sini, Selasa.

Bapa kepada Danish Anaqi, 7, Dwi Arinna, 5, dan Dahlia Arissa, 1, ini juga mengaku sering mendedahkan anak-anaknya kepada bidang seni agar mereka lebih memahami dunia yang diceburinya itu.

"Jika ada iklan yang memerlukan saya dan anak-anak saya bawa mereka sekali. Saya rasa tidak salah untuk dedahkan mereka tentang kerjaya saya.

"Dengan cara itu, mereka lebih memahami dan senang untuk jelaskan bila mereka bertanya ke mana saya pergi," katanya.

Bercerita tentang bapanya, Aaron memberitahu dia sudah kehilangan ayah kandung sejak berumur dua tahun.

"Saya tidak banyak pengalaman semasa kecil bersama ayah kandung. Mungkin disebabkan itu saya mahu anak-anak saya rasa kasih sayang seorang bapa yang secukupnya.

"Bagaimanapun ketika berumur 13 tahun ibu saya berkahwin lagi dan bapa tiri saya banyak beri nasihat dan panduan untuk menjadi seorang ketua keluarga yang baik," katanya.

Sementara itu, dia mengakui beruntung kerana kerjaya lakonan diuruskan sendiri oleh isteri yang banyak memahami.

"Lakonan adalah satu bidang perniagaan. Saya bersyukur isteri yang menguruskan jadual kerja saya, jadi ia akan lebih mudah.

"Dia akan curi masa untuk waktu rehat dan habiskan masa bersama keluarga," katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Stanza Cinta untuk TV3.

Nora Danish Akui Berkawan Dengan Lelaki Muda


PETALING JAYA: Pelakon jelita Nora Mohd Danish Hanif, 29, (Nora Danish) mengakui sedang berkawan rapat dengan seorang ahli perniagaan yang berusia 27 tahun dan bukannya kerabat diraja dari Terengganu seperti yang didakwa sebelum ini.

Kata Nora, teman barunya itu hanyalah orang biasa dan tiada kena-mengena dengan golongan kerabat, VIP mahupun artis.

"Saya memang sedang berkawan dengan seseorang. Dia seorang ahli perniagaan dan berusia dua tahun lebih muda daripada saya.

"Namun, semuanya masih terlalu awal kerana kami baru saja berkawan. Tiada hubungan yang serius tetapi kami rapat," jelasnya yang ditemui pada sidang media drama Ana Lu’lu di Sri Pentas, di sini, Selasa.

Mengulas lanjut tentang teman barunya itu, pelakon sitkom Puteri ini berkata, walaupun wujud perasaan sayang di antara mereka, hubungan mereka bagaimanapun masih berada peringkat awal untuk merancang soal perkahwinan.

"Memang ada perasaan sayang tapi terus-terang saya katakan semuanya masih terlalu awal. Saya sendiri sedang melalui proses menilai dan mengenalinya lagi.

"Biarlah kami berkawan dulu kerana saya tidak terdesak untuk berkahwin semula dalam masa terdekat," katanya yang enggan bercerita lanjut tentang jejaka tersebut.

Menerusi perkahwinannya dengan Toh Muda Rizal Ashram (Jejai) dari Jun 2006 hingga Julai 2008, pasangan itu telah dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal Ramli yang kini berusia dua tahun setengah.

Pengeluar Minyak Wangi Iktiraf Rancangan 'Bella'


PETALING JAYA: Kehebatan rancangan Bella di ntv7 mendapat pengiktirafan pengeluar minyak wangi Bulgari Mon Jasmin apabila dipilih sebagai program bual bicara berbahasa Inggeris yang menyerlahkan bakat dan potensi wanita.

Program ini disiarkan selama setengah jam dari Isnin hingga Jumaat, pukul 11.30 pagi sejak awal tahun ini. Sementara ia turut disiarkan secara langsung pada setiap Ahad. Antara isu yang dikupas termasuklah fesyen, kesihatan, gajet dan kewangan.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul, pengiktirafan ini merupakan suatu testimoni yang amat bermakna dalam usaha ntv7 untuk menyajikan program berkualiti yang sentiasa meningkatkan pengetahuan penonton.

“Sudah tentu ntv7 rasa amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Kami menjadi lebih bersemangat untuk menghasilkan program yang berkualiti dan mendapat tempat di hati penonton.

“Setakat ini, kami telah berjaya mencapai sasaran penonton iaitu 100,000 orang. Walaupun program ini disasarkan kepada penonton di bandar, namun kami rasa menjadi suatu idea yang menarik untuk menjadikan program ini diminati oleh penonton di luar bandar,” ujar Airin.

Bella turut memperkenalkan hos terbaru iaitu Lisa Wong. Sebelum ini, ia dikendalikan oleh tiga wanita cantik iaitu Deborah Henry, Elaine Daly dan Daphne Iking.

Lisa, 34, telah menyertai Bella sejak April lalu. Sebelum itu, dia pernah mengendalikan beberapa program menerusi saluran ESPN dan RTM.

“Saya menggemari program bercorak kewanitaan dan kini telah dua bulan mengendalikan program Bella. Saya bertugas pada setiap Ahad dan diberikan slot tertentu,” kata Lisa yang turut fasih berbahasa Kantonis dan Mandarin.

Dia merupakan kacukan Ceylonese (Sri Langka-Cina) dan telah mendirikan rumah tangga enam tahun lalu. Namun belum dikurniakan cahaya mata.

Monday, May 30, 2011

Salma, Juara Mentor 5 Raih 3.25 juta Undian SMS Penonton



SHAH ALAM: Juara Mentor musim kelima, Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis, 21, berjaya meraih 3.25 juta undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton sebelum program itu melabuhkan tirainya di Stadium Malawati, di sini, Ahad.

Perkara tersebut disahkan oleh penerbit Mentor 5, Muhamad Suffian Isa di mana undian tersebut telah berjaya melonjak markah Salma iaitu 85 peratus jauh meninggalkan dua peserta lain yang turut bertanding iaitu Iqa dan Shiha.

Shiha mendapat tempat kedua dengan markah 63 peratus manakala Iqa menduduki tempat ketiga (56 peratus).

“Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada semua peminat yang mengundi saya.

“Apa yang membangkitkan semangat saya untuk berjaya adalah teguran daripada Kak Erra dengan melakukan latihan bersungguh-sungguh setelah melihat prestasi saya agak teruk pada peringkat separuh akhir,” kata Salma dalam satu sidang media.


Selepas memenangi program yang turut disiarkan secara langsung di TV3 itu, secara automatik Salma akan bergelar artis di bawah stesen televisyen itu sebelum bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.

“Saya akan meneruskan minat dalam bidang nyanyian dan teringin untuk memiliki album sendiri. Dengan wang tunai yang saya dapat ini, mungkin saya akan merealisasikan impian saya.

“Saya juga merancang untuk membawa keluarga makan angin,” ujarnya lagi yang turut mengaku statusnya sebagai janda beranak satu.

Salma pernah berkahwin pada usia 17 tahun dan bercerai setahun selepas itu. Hasil perkahwinannya, dia dikurniakan seorang anak perempuan bernama Puteri Nurul Huda berusia lebih tiga tahun.

Dengan kemenangan itu, Salma berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000, sebuah trofi dan sebuah kereta Chevrolet Cruze manakala mentornya, penyanyi dan pelakon Erra Fazira turut memenangi hadiah wang tunai RM100,000.

ementara Shiha membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan Vespa LX150 serta mentornya, penyanyi Datuk Sharifah Aini membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah yang sama.

Tempat ketiga, Iqa dan mentornya, komposer dan penyanyi Edry Abdul Halim juga membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang.

Format pemarkahan merangkumi 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus melalui juri awam.

Juri profesional merupakan pemuzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Ziana Zain.

Turut diumumkan adalah pemenang peserta ujibakat iaitu Nursyila Mohd Khir yang menyanyikan lagu Oh Dimana dan menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Fesyen Dan Kecantikan Dynas Mokhtar


BUKAN mudah untuk seseorang itu melaksanakan impian seperti yang diinginkan jika tiada usaha yang gigih.

Lain pula buat pelakon dan pengacara Wan Edrinas Wan Mokhtar, 28. Dalam kamus hidupnya belum pernah ada perkataan ‘tidak boleh’ atau ‘susah’ ketika berusaha mengejar cita-citanya itu.

Bak kata temannya, Daphne Iking, Dynas merupakan wanita yang paling matang dan berfikiran jauh mengenai perancangan masa depan walaupun dia rakan termuda di kalangan teman mereka yang lain seperti Yasmin Hani, Atilia, Sazzy Falak dan Aishah Sinclair.

Mengakui tentang hal tersebut, ibu beranak satu ini begitu teliti dengan setiap perancangan yang dilakukannya.

Kerana semangat dan kecekalannya juga, perancangan memiliki sebuah butik khas buat ibu-ibu moden terlaksana jua. Pada Rabu lalu, butik Dynas Nursing Attire atau DNA telah dilancarkan di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Selangor.

“Rasanya, ini adalah permulaan saya dalam menjalani perniagaan DNA dan bersyukur kerana gelaran selebriti yang dimiliki sedikit sebanyak membantu menaikkan nama butik ini.

“Sebenarnya, jika kita lihat zaman sekarang, semakin kurang para ibu yang memberikan susu mereka kepada anak-anak dan salah satu faktornya adalah tiada pakaian yang sesuai buat mereka lebih-lebih lagi buat ibu yang berkerjaya.

“Dengan rekaan pakaian untuk ibu ini, saya berharap tiada lagi ibu-ibu mengandung mahupun yang menyusukan anak malu dengan gelaran ‘ibu’ kerana pemakaian yang kurang moden,” tuturnya sambil menunjukkan perincian pakaian DNA yang dikenakan.

Tambah ibu kepada Khyra Khalisa yang berusia satu tahun ini, walaupun bergelar ibu, tidak semestinya seseorang itu tidak boleh bergaya sebaliknya perlu bijak memilih fesyen yang sesuai.

Dalam pada itu, bekas pengacara Beat TV ini bersyukur, sehingga kini tawaran kerjaya seni untuknya masih lagi berjalan seperti biasa. Malah, Dynas juga mula menerima tawaran berlakon watak komedi.

“Mungkin ada yang menganggap janggal bila saya menyatakan tentang keselesaan saya menggalas watak-watak komedi.

“Bahkan sekarang ini saya sedang menjalani penggambaran You Saka pergi Jauh-Jauh untuk slot seram TV3. Ia sangat menyeronokkan,” selorohnya.

Sementara itu, Dynas agak kecewa kerana sehingga kini dia tidak pernah tahu siapakah peminat yang sentiasa menyokongnya dalam kerjaya seni.

“Sejak berkahwin dan menerima beberapa anugerah, saya tidak pernah terfikir dan tidak tahu pun siapa peminat-peminat saya. Bukan tak nak ambil tahu, cuma takut jika diri saya berubah menjadi riak sekiranya saya mendapati saya ni ramai peminat.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, saya gembira sangat kerana masih ada lagi yang ingin melihat saya berada dalam industri seni tempatan lagi,” tuturnya.

Memandangkan Dynas kini turut terlibat dengan aktiviti-aktiviti kebajikan, dia sedang merancang mengajak orang ramai menyertai aktiviti kebajikan bersama.

Kecantikan

Selain berfesyen, penjagaan kecantikan diri secara luaran dan dalaman juga amat penting buat pelakon ini.

Kata Dynas, bergelar ibu juga bukanlah satu alasan untuk dirinya semakin malas dengan penjagaan diri.

Walaupun bergaya moden, Dynas juga tetap menjaga kecantikannya dengan amalan tradisional Melayu.

“Sejak kelahiran Khyra, penjagaan diri perlu diutamakan lebih-lebih lagi bergelar seorang selebriti.

“Saya masih muda dan kalau boleh saya tak mahu menggalas watak-watak wanita berusia. Bagaimanapun kalau bukan seorang selebriti sekalipun, saya tetap akan menjaga kecantikan diri dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

“Lebih-lebih lagi selepas kelahiran anak, kita wajib berpantang dengan betul dan ia sangatlah mustahak kerana tanpa penjagaan rapi, kesan-kesan penuaan akan berlaku apabila lanjut usia,” tegasnya.

Ujar graduan Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, pada tahun lalu, dia turut mengamalkan berpantang cara Cina dan India.

Selain itu, Dynas juga tidak lokek mengeluarkan sejumlah wang untuk pergi ke pusat pelangsingan badan, Kunzense.

“Alhamdulillah, melalui Kunzense, berat badan saya telah turun dari 71 kilogram (kg) kepada 59kg. Dan kerana itu saya ditawarkan menjadi duta kepada pusat pelangsingan badan tersebut.

“Bagi saya, kita tidak boleh menyerah kalah jika ingin mendapatkan bentuk tubuh badan yang ideal dan pada masa yang sama kita perlu berfikiran positif. Saya percaya, semua wanita mahu kelihatan cantik,” tuturnya.

Dalam pada itu Dynas turut mempraktikkan cara pemakanan yang sihat agar penghasilan susu badan turut mempunyai zat yang secukupnya buat anaknya itu.

Sara Ali Laris Sebelum Popular


BELUM sampai pun setahun pelakon bernama Sara Ali ini bertapak di pentas lakonan tanah air.

Jika dicanangkan namanya, masih ramai lagi yang belum menyedari kehadiran gadis berusia 21 tahun ini.

Ironinya, tanpa nama yang kukuh atau limpahan publisiti yang meluas, peluang dan tawaran yang diperoleh sebagai muka baru sepertinya cukup mengagumkan.

Apa tidaknya, dalam diam-diam Sara ligat memenuhi pelbagai tawaran lakonan yang silih-berganti.

Mungkin sudah rezeki dan tuah aktres bertubuh kecil ini, bakat yang dipertaruhkannya bukannya calang-calang hebatnya.

Setakat hari ini, dia sudah berpeluang menggalas watak utama dan pembantu dalam enam buah filem.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti bagaimana para penerbit dan pengarah filem berani untuk mencuba kebolehan saya.

“Ia bermula apabila ada wakil daripada pihak produksi Primeworks menyunting saya menerusi laman Facebook untuk filem-filem terbaru mereka pada tahun lepas,” katanya.

erbaru, bagi yang sudah menonton filem Nur Kasih The Movie (NKTM), pasti dapat melihat kelibat Sara yang menggalas watak remaja bermasalah bernama Juriah.

“Walhal, semua tawaran filem tersebut saya peroleh sebelum dua filem lakonan saya iaitu Penunggu Istana (ditayangkan 21 April lalu) dan NKTM ditayangkan kepada umum,” kata gadis yang meminjam nama datuknya, Ali sebagai nama komersialnya. Nama sebenarnya ialah Sara Hairi.

Bercerita tentang pengalamannya dihujani pelbagai tawaran sebelum dikenali ramai, anak sulung daripada dua beradik ini menganggap ia satu peluang yang amat bermakna sebagai pelakon baru sepertinya.

“Mungkin berkat dedikasi, komitmen dan kebolehan serba sedikit itu meninggalkan buah mulut yang positif di kalangan penggiat dan krew filem.

“Daripada situlah, saya menerima satu persatu tawaran baru. Sebagai orang baru, segala peluang dan kepercayaan ini amat saya hargai,” terangnya.

Sara mengakui langkah pertamanya untuk terjun ke bidang ini tidak selancar jangkaan.

Pada awalnya, keputusan gadis berkelulusan ijazah jurusan seni bina ini untuk bergelar anak wayang diragui oleh keluarganya sendiri.

“Laluan saya untuk memulakan kerjaya ini tidak mendapat sokongan keluarga pada mulanya. Bukan mereka tidak merestui tetapi mereka bimbang saya berubah.

“Hari ini, keluarga semakin merestui dan terbuka dengan kesungguhan saya. Apa-apa pun, saya perlu bijak mengagihkan masa antara keluarga dan kerjaya,” tuturnya.

HIBURAN Isnin Mei 30, 2011 Miera Leyana Gemar Pergi Spa


NAMA Miera Leyana Kasmi (Miera),18, tiba-tiba sahaja meletup gara-gara kemunculannya berpakaian menjolok dalam satu acara hiburan baru-baru ini. Peristiwa itu menimbulkan persepsi yang kurang senang sesetengah pihak.

Walaupun begitu, Miera mengambil tindakan bijak dengan membuat permohonan maaf serta berharap peminat memberi peluang kepadanya supaya tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Miera yang berasal dari Johor Baharu berkata, niat dan tujuannya menceburi dunia lakonan bukan untuk mengejar populariti atau kontroversi seperti yang dilalui anak seni lain.

Sebaliknya, semangat dan minat terhadap bidang ini mendorong dia untuk terjun ke pentas lakonan.

Malah dia menganggap dunia seni tidak menjamin masa depan yang cerah. Justeru, dia bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang jika berpeluang.

Menyentuh tentang kariernya, dia telah berlakon dalam filem Apokalips, drama Luna Fantasiku, Kamelia Katrina dan terbaru, Jamilah, I Love You!.

Bercerita tentang penjagaan kecantikannya, Miera banyak berkongsi petua dengan ibunya. Misalnya, dia gemar makan buah-buahan sejak kecil untuk mengekalkan kulit yang cantik serta melakukan rawatan di pusat kecantikan bersama-sama ibunya.

“Saya dan mama selalu pergi spa dan membuat rawatan muka setiap dua kali sebulan. Kami pergi ke sana untuk menyegarkan badan supaya kembali tenang setelah sibuk dengan kerja di luar.

“Selepas melakukan rawatan, hati menjadi tenang sekali gus dapat mengelakkan daripada muka tumbuh jerawat akibat stres.

“Sejak kecil, mama mengajar saya makan banyak buah-buahan memandangkan saya tidak gemar makan sayur-sayuran dan tidak mengambil suplemen vitamin,” katanya kepada OopStarz!.

Miera mengamalkan makan buah-buahan seperti tembikai susu, oren dan epal. Pada waktu pagi, kebiasaannya dia tidak mengambil sarapan. Jadi, Miera akan menggantikan dengan menikmati buah-buahan dan meminum jus oren.

Selepas makan tengah hari, sekali lagi dia akan mengambil buah-buahan sebagai pencuci mulut dan begitu juga pada waktu petang.

Selain itu, Miera sering ke gimnasium untuk melakukan senaman dan menyihatkan badan.

Memandangkan Miera tidak mengalami masalah kulit sensitif, dia tidak perlu berbelanja besar untuk membeli kosmetik atau produk kecantikan lain.

Lebih-lebih lagi, dia bukanlah seorang yang terlalu obses dengan kecantikan. Namun, bukan bermakna dia tidak mementingkan kecantikan dan penampilan diri.

“Saya tidak mengamalkan petua tradisional seperti makan jamu. Tetapi saya gemar membeli produk kosmetik seperti Shu Uemura, MAC dan Christian Dior,” katanya.

Bagi Miera, kecantikan merangkumi luaran dan dalaman diri seseorang. Bagaimanapun, dia selesa keluar rumah dengan mengenakan mekap tipis dan kadang kala langsung bersih tanpa mekap.

“Saya mula bersolek sejak berusia 13 tahun kerana teringin mencuba mekap setelah melihat mama bersolek.

“Pada mulanya saya rimas mengenakan mekap tetapi lama-kelamaan saya rasa wanita perlukan mekap untuk nampak lebih cantik dan terurus.

“Apabila bersolek, saya suka fokuskan kepada bahagian mata dengan memakai maskara yang agak tebal,” ceritanya lagi.

Trauma lihat cermin

Berkongsi tentang kenangan yang tidak dilupakan apabila dia mengalami kemalangan jalan raya di hadapan rumahnya ketika menaiki motor berkuasa besar ketika berusia 13 tahun.

“Kemalangan itu meninggalkan kesan parut pada pipi kiri dan tengkuk saya. Bagaimanapun, nasib baik parut di muka saya hilang setelah menyapu krim yang disarankan oleh doktor.

“Parut itu juga menyebabkan saya trauma untuk melihat cermin kerana muka saya nampak teruk akibat kecederaan selepas kemalangan itu,” katanya yang turut aktif dalam bidang peragaan.

Sunday, May 29, 2011

Dewi sedang bangkit


SENYUMAN dan lirikan matanya kelihatan tulus, bersih dan bebas daripada banyak anasir atau virus yang boleh menenggelamkan semangatnya terhadap nyanyian.

Tanpa perlu diperkenalkan secara lengkap, gadis berusia 22 tahun ini pernah bersimbah publisiti ketika menyertai program realiti Mentor musim pertama di bawah didikan Liza Hanim.

Dewi Liana Seriestha begitu namanya diberi. Di kalangan penyanyi kelahiran program realiti, Dewi mungkin antara pemilik vokal yang mantap, namun nasib belum menyebelahinya. Dia seperti sedikit tersisih daripada publisiti.

“Saya selesa begini, saya tidak terikat dengan mana-mana pihak, bergerak sendiri sahaja. Lagipun saya tidak terburu-buru untuk meraih perhatian kerana masih belajar dalam jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Tak apa tidak glamor dan saya tidak kisah sedikit berada di belakang berbanding penyanyi lain. Saya mahukan kualiti dalam lagu bukannya sekadar lagu pop.

“Tapi sejak dua tahun kebelakangan ini, saya mula serius dengan pengumpulan material untuk album dan single terbaru saya,” katanya yang menggunakan khidmat Sharon Paul untuk buah tangan terbarunya.

Dewi sebenarnya pernah bekerjasama dengan Sharon Paul dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya menerusi lagu Senyuman Kemegahan. Lagu nyanyian Dewi itu berjaya mengungguli Pertandingan Akhir Cipta Lagu Patriotik yang berlangsung di Amfiteater Kompleks Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur, tahun lalu.

“Mungkin sebab itu juga saya terpaut dengan Sharon. Dia komposer pilihan pertama saya. Sekarang saya sedang merakamkan beberapa lagu, termasuklah Senyuman Kemegahan yang pernah dinyanyikan dulu.

“Saya juga sedang mencari melodi dan lirik untuk sebuah lagu berentak rancak, untuk dijadikan single. Begitu juga lagu balada. Itu taruhan saya untuk masuk semula ke industri,” ujar Dewi yang turut terlibat dengan Konsert Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya, semalam.

“Saya diberi kepercayaan sebagai artis pembuka tirai untuk konsert kumpulan terkenal dari Korea, Super Junior.

“Saya peminat mereka dan kepercayaan itu satu penghormatan buat saya,” katanya yang berterima kasih kepada penyanyi Hattan yang banyak mengundangnya sepanjang penganjuran konsert belia di Sarawak, baru-baru ini.

Berbalik kepada karier, Dewi menyimpan hasrat untuk melebarkan sayap ke bidang peragaan dan lakonan. Drama lakonannya termasuklah drama bersiri 13 episod berjudul Kembali, Nilai Cinta dan Diana (13 episod).

Impian tertunda Najwa


JIKA dihitung-hitung, jasad wanita muda ini baru mengharungi kehidupan untuk dua dekad. Baru sahaja menggali itu dan ini untuk kutipan pengalamannya. Namun apabila ditelek-telek, semangat dan kecintaannya sudah melangkaui angka tersebut. Dia yang berusia 25 tahun ini seperti hidup terkebelakang apabila melihat pengaruh dan rujukan muzik serta fesyennya.

Atas nama vintaj dan soul, Najwa atau nama sebenarnya Najwa Mahiaddin membawakan hembusan nafas itu dalam jiwa dan raganya.

Tidak berhenti di situ, dia melayangkan rasa itu buat marhaenis. Dengan genre yang kurang mesra di telinga khalayak Malaysia, dia memperkenalkan genre soul untuk menjadi santapan ramai.

Hasilnya album perdana atas tajuk Innocent Soul sudah masuk tiga kali cetakan untuk penjualan. Najwa tersenyum menerima fakta meriah ini. Di Studio Utusan pada Isnin lalu, dia yang baru pulang dari Amerika Syarikat (AS) berkongsi cerita suka dan duka.

Bercerita

“Sebetulnya saya memang tidak pernah terfikir sasaran penjualan. Sokongan ramai ini adalah luar jangkaan saya,” kata penyanyi ini.

Membelek-belek album perdana ini, lirik-liriknya senang dicerna. Najwa seakan-akan bercerita dan berkongsi tentang suasana.

“Sudah lama saya memikirkan untuk melahirkan album. Cuma masa yang belum sesuai. Saya fokus kepada pelajaran kerana takut tidak terkejar (akademik dan nyanyian).

“Tapi kemudian saya membuat perancangan. Awal Mac lalu saya ke Jakarta, Indonesia untuk proses rakaman dan akhirnya pada bulan Disember, album saya siap,” syukurnya setelah album Innocent Soul dilancarkan Mac lalu.

Menyentuh hal lirik dan pemprosesan kreatifnya, Najwa senang bercerita.

“Semuanya sudah saya tulis sejak usia 17 tahun dan saya simpan. Kebanyakannya adalah pengalaman kawan.

“Sewaktu saya di Melbourne, saya jatuh sakit kerana rindukan kampung halaman, itu juga sumber inspirasi,” ujarnya yang lebih lancar menulis sewaktu emosi sedang mendung berbanding waktu gembira.

Lalu penulis tanyakan emosinya tatkala melakarkan lirik demi lirik dalam album perdananya. Najwa tersenyum, mungkin menebak penulis masuk ke ‘dunia’ cintanya.

Ketawa dan menjawab bahawa dia meletakkan emosi yang dalam di dalam album ini.

Dalam ketawa lagi, dia mengaku bahawa dirinya seorang yang ‘hopelessly romantic’ lalu dia menukar cerita bahawa dia memang mahu bercerita melalui albumnya. Meletakkan relativiti dan sesuatu yang boleh dihubung kait sebagai inti pati album ini.

“Sentiasa ada lagu untuk satu-satu kejadian dan perkara. Membuatkan kehidupan dan pengalaman seseorang sempurna,” ujarnya yang muncul dengan single pertama berjudul Got To Go dan klipnya diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar.

Ujar Najwa, sejak kecil lagi dia sudah terdedah dengan perkara yang melibatkan seni. Melukis dan menolong ayahnya mengecat, itu antara pelajaran tidak formal awal yang dipelajarinya.

Bermula daripada itu, kehidupannya sering bergelumang dengan seni malah mengalir tanpa dipaksa-paksa.

Daripada hanya bergerak melalui naluri dan jiwa dia melanjutkan pelajaran ke Boston, AS, menjadi anak rantau dan pelajar di Kolej Berklee untuk sebuah pencarian. Kini dia mendalami ilmu yang berdasarkan cintanya.

Teknikal

Penulis tanyakan perbezaan antara dulu dan kini. Antara menyanyi dengan naluri dan kini mendasari teknikal demi teknikal.

“Sesetengah orang dilahirkan dengan bakat. Saya memasuki kolej untuk mendalami bakat saya. Kini setelah mempelajari banyak perkara, saya semakin tahu bagaimana mahu meletakkan suara dan nota.

“Juga menjadi semakin berjaga-jaga meletakkan suara saya dalam nyanyian.

“Saya mahu tahu dengan lebih mendalam. Malah, saya mengambil subjek elektif tentang penulisan skor dan penyusunan lagu. Mana tahu nanti saya boleh menyusun lagu saya sendiri,” ujarnya yang bercita-cita membuka sebuah rumah produksi apabila habis belajar kelak yang berbaki dua tahun lagi.

Menjadi anak rantau, Najwa akui pelbagai perkara yang berlaku di depan mata dan dipelajari sebagai makanan kehidupan. Bertemu dengan individu-individu berbakat besar di kolej yang sama, dia meletakkan motivasi atas semua yang diamatinya.

“Jarang saya temui orang yang merasakan dirinya bagus. Malah, mereka mahu belajar dan terus belajar.

“Kalau lihat mereka di luar pentas, diam sahaja tetapi bila naik ke pentas untuk membuat persembahan dalam kelas, mereka sangat bagus. Ini yang saya pelajari bahawa kita tidak perlu ada sikap negatif.

“Sebaliknya perlu menjaga budi bahasa sebagai manusia. Jangan sesekali berasa bagus,” ujarnya yang ralat kerana terlepas konsert penyanyi pujaannya, Adele, sewaktu di AS.

Satu hal yang masih tersimpan dan tersembunyi di celah balutan jiwa wanita yang gemarkan pakaian vintaj ini, dia mahu keluar dengan album Melayu satu hari nanti.

“Untuk menulis dalam bahasa Melayu agak sukar kerana suku katanya. Tapi saya mahu mencuba. Impian saya ialah untuk melagukan sebuah sajak popular.

“Mahu meletakkan melodi dan irama yang sesuai ke dalamnya seperti yang pernah dilakukan oleh Ella Fitzgerland. Itu impian saya,” senyumnya menyatakan sesuatu yang masih tertunda.

Anggun Tak Malu Pamer Indentiti Indonesia


PENYANYI Indonesia, Anggun C Sasmi memberitahu bahawa dia tinggal di London berikutan mengikut suaminya yang bekerja di sana.

"Saya tinggal di sana bersama suami dan anak saya, saya keluar dari Indonesia bukan beerti saya melupakan negara ini dan derhaka.

"Malah setiap konsert atau persembahan saya di sana saya tetap akan membawa identiti Indonesia dan alat muzik gesek khas dari indonesia," tuturnya kepada KapanLagi.com.

Tambah Anggun, dari segi penampilan yang ditonjolkan selama ini di negara luar adalah identiti Indonesia dan dia sangat berbangga dengan itu.

Justin Bieber - Selena Gomez Tak Henti Bercium


PENYANYI lagu Baby, Justin Bieber dan kekasihnya Selena Gomez yang sebelum ini menyembunyikan hubungan percintaan mereka akhirnya dihidu oleh media.

Malah hubungan tersebut dikatakan semakin mejadi-jadi ketika pasangan selebriti ini bercuti di Pantai Muai. Mereka dikhabarkan tidak boleh dipisahkan lagi dan sentiasa menunjukkan rasa cinta masing-masing.

Pasangan ini tinggal di sebuah suite mewah di Four Seasons Hotel yang mempunyai tiga bilik tidur dalam satu ruangan.

Dikhabarkan, ketika bermain di pesisiran pantai tersebut Justin dan Selena tidak henti-henti berciuman tanpa menghiraukan aksi tersebut diperhatikan pengunjung pantai.

Selain menghabiskan hari mereka di pantai, pasangan yang sedang mabuk cinta ini dilihat berjalan-jalan dan berpegangan tangan.

Sheila Majid Mahu Bawa Jerneh Ke Timur Tengah


SHAH ALAM: Ratu Jazz Negara Datuk Sheila Majid berhasrat membawa produk rangkaian penjagaan kulit berjenama Jerneh by Sheila Majid di pasaran luar negara.

Kata Sheila, itu merupakan salah satu impiannya selepas produk tersebut mendapat tempat kukuh di negara ini terlebih dahulu.

“Sambutan terhadap produk tersebut sejak mula dikeluarkan pada awal 2009 lalu semakin baik.

“Bagi saya biarlah perlahan tapi menunjukkan perningkatan kerana kita sangat mementingkan kualiti.

“Setakat ini sedah tiga negeri yang sudah ada pengedar tetap iaitu Kelantan, Terengganu dan Selangor dan saya memang berharap untuk menembusi pasaran luar negara seperti Timur Tengah,” katanya ketika ditemui di Majlis Memperkenalkan Produk Jerneh By Sheila Majid, di Shah Alam, Sabtu.

Tambah Sheila, tujuan utama produk tersebut dikeluarkan bukanlah mengejar keuntungan sebaliknya sebagai rasa tanggungjawab membantu pengguna Islam mendapatkan produk halal dan selamat.

“Jerneh halal dan selamat digunakan kerana mengunakan bahan-bahan yang kita yakin boleh digunakan untuk bersolat.

“Ramai pengguna yang beli sesuatu produk tanpa membaca bahan-bahan kandungan, kebiasaannya terdapat bahan yang digunakan tidak diyakini halal,” katanya.

Tambahnya, dia juga menolak penggunaan cara mudah untuk kelihatan cantik dengan mengunakan rawatan yang membahayakan untuk masa jangka panjang.

“Sebagai manusia kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang dianugerahkan tuhan kepada rupa paras.

“Kita perlu menjaganya dengan baik dan bukan dengan cara yang mudah untuk nampak cantik tetapi membahayakan diri sendiri,” katanya.

AF9: Fina Mara ke Final


BUKIT JALIL: Pelajar berasal dari Melaka, Nurshafinaz Jebat, 18, atau lebih dikenali sebagai Fina berjaya menempatkan diri ke final Akademi Fantasia 9 (AF9) setelah berjaya mendapat imuniti.

Fina layak menerima imuniti berdasarkan markah tertinggi hasil dari undian SMS dan markah fakulti.

Menurut pengetua, Amy Search, Fina sememangnya layak untuk mendapat imunti tersebut.

"Dia layak menerima imuniti tersebut berdasarkan persembahan dari minggu pertama dalam AF9 ini.

"Setiap minggu dia menunjukkan peningkatan dan persembahan yang tidak mengecewakan," ujarnya pada sidang media Akademi Fantasia 9, di sini, Sabtu.

Dalam pada itu, mengulas kepada persembahan pelajar pada malam itu, Amy menganggap kelima-lima pelajar tersebut telah melakukan yang terbaik.

"Pada saya mereka telah menunjukkan usaha untuk memberi kelainan pada muzik tersebut.

"Berkenaan kritikan yang diberikan itu ada subjektif, tapi bagi saya kesemua mereka telah melakukan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, tiada sebarang penyingkiran yang dibuat pada malam tersebut.

Empat peserta iaitu Hazama, Azri, Erul dan Lena akan meneruskan perjuangan mereka pada minggu kesembilan bagi menempatkan diri ke pusingan akhir.

Pertandingan peringkat akhir AF9 akan berlangsung pada Ahad, 12 Jun depan dan tempat akan diberitahu kemudian.

Selain itu, sebuah konsert kenangan Afnil turut diadakan pada 11 Jun depan bagi menyemarakkan konsert akhir dan penutup program realiti popular itu.

Elly Mazlein Naik Kereta Kuda Di Majlis Pertunangan


KUALA LUMPUR: Pelakon Elly Mazlein menaiki kereta kuda ke majlis pertunangannya di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, di sini, Ahad.

Elly yang ditemani ibunya dan pereka kostum pertunangan, Eilla Faizshah dari Busana Cinta dijangka akan bernikah dengan pengarah filem Duhai Si Pari Pari, Azmi Hata, 36, pada Februari tahun depan.

Pasangan itu telah berkenalan sejak 2009 dalam satu pertemuan yang tidak dirancang melalui rakan. Seterusnya selang lima bulan selepas itu, mereka mula serius bercinta sebelum Azmi melamar Elly pada Februari lalu.

Majlis yang berlangsung bermula pukul 11.30 pagi itu turut dihadiri oleh 100 jemputan yang terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

Sambil duduk di pelamin indah berkonsepkan ‘menyunting si dara di taman larangan’ rekaan Faiz Sabari dari Reka Teemor dengan warna pastel seperti merah jambu dan putih, ibu Azmi, Zaleha Ahmad menyarungkan cincin di jari manis Elly.

Kedua-duanya berbalas lima dulang hantaran daripada pihak lelaki manakala tujuh dulang daripada pihak perempuan seperti kek, manisan dan sirih junjung.

Elly memilih Azmi, duda beranak dua iaitu Azim, 10 dan Aqif, 9, yang bercerai beberapa tahun lalu.

Elly turut pernah berlakon di bawah beberapa drama arahan Azmi seperti Hantu Gigi, Relakan Cinta dan Kasih Berbunga Lalang.

Friday, May 20, 2011

Lady Gaga Berpendapatan RM13.5 Bilion


BUKAN calang-calang orang, penyanyi Lady Gaga merupakan selebriti paling berpengaruh dalam bidang hiburan di majalah Forbes.

Gaga yang tersenarai dalam 100 selebriti paling berpengaruh Forbes itu dilaporkan memperoleh pendapatan sebanyak RM13.5 bilion sepanjang setahun dia terbabit dalam industri seni baik dari segi persembahan nyanyian, pembabitan dalam filem mahupun di pentas peragaan.

Selain itu penyanyi yang popular dengan lagu Bad Romance itu turut memecahkan tradisi dengan penampilan video yang unik serta imej fesyen yang tersendiri dan pelik.

Dalam pada itu Gaga turut menerima penaja yang banyak yang antaranya seperti jenama Polaroid, Virgin Mobile, Monster Cable dan Viva Glam.

Kedudukan Gaga dalam carta Forbes tersebut bukan kerana berjaya memperoleh sebanyak RM270 juta menerusi konsert jelajahnya sahaja bahkan dia juga mempunyai seramai 32 juta peminat di akaun Facebook miliknya dan 9.5 juta peminat menjadi pengikut Twitter Gaga.

Lebih menarik tentang fenomena Gaga, lagu Born This Way berjaya dimuat turun sebanyak 1 juta kali dalam jangka masa lima hari sahaja.

Sementara itu, Oprah menduduki tempat kedua paling berpengaruh apabila memperoleh pendapatan sebanyak RM870 juta diikuti dengan Justin Bieber di tempat ketiga dengan pendapatan sebanyak 159 juta walaupun baru berusia 17 tahun.

'Duka Selepas Kematian Ibu' - Siti Elizad


KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Elizad Saifuddin, 27, berjaya mengembalikan keceriaan hidupnya selepas berduka akibat kematian ibu tersayang, Nazariah Mohd Salleh, 62, sebulan lalu.

Ibunya meninggal dunia pada 4 April lalu akibat mengidap Parkinson serta komplikasi darah tinggi dan kencing manis.

Pelakon filem Berlari Ke Langit dan Gangster ini mengakui sepanjang dua tahun lalu dia menyepi seketika dari industri seni kerana memberi fokus untuk menjaga ibunya yang sedang sakit.

Bagaimanapun pada awal tahun ini, dia mula terbuka hati untuk berlakon atas galakan arwah ibunya dan muncul dalam drama Cinta Antara Kita yang telah disiarkan di TV3.

"Selepas mama meninggal dunia, timbullah rasa terkilan kerana tidak menjaganya dengan baik disebabkan sibuk dengan penggambaran.

"Bagaimanapun, apabila difikirkan semula dan sokongan abang-abang saya, saya tak perlu terlalu mengikut perasaan dan reda dengan takdir," katanya.

Dengan semangat baru, Elizad kembali aktif dalam bidang lakonan dan memulakan penggambaran drama Siapa Jem? pada 12 Mei lalu.

"Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh bergaul dengan orang lain dan memikirkan tentang masa depan.

"Kalau dulu saya selalu nampak murung sebab memikirkan penyakit mama. Tetapi sekarang badan pun dah naik sebab sudah berselera untuk makan. Saya juga merasakan setiap perkara yang dilakukan sentiasa diiringi oleh doa arwah mama," ujarnya lagi.

Biarpun dia gagal menunaikan hajat arwah ibunya untuk melihat dia mendirikan rumah tangga, Elizad yakin masanya akan tiba suatu hari nanti.

Dia pernah bercinta selama 11 tahun dengan seorang jejaka namun hasrat untuk berkahwin tidak kesampaian setelah hubungan itu putus, setelah dia lebih menumpukan kepada kesihatan arwah ibunya.

Kini, Elizad kembali solo dan mahu menumpukan kariernya dan tidak mungkin bercinta semula dengan bekas kekasihnya sebaliknya selesa menjadi kawan sahaja.

Monday, May 16, 2011

Kaki Jasmin Hamid Melecur

PETALING JAYA: Kaki kanan dan kiri pelakon Jasmin Hamid melecur teruk gara-gara terkena air panas ketika berada di set penggambaran drama Buaian Kasih di Kuang, Sungai Buloh, Sabtu lalu.

Menurut Jasmin, kedua-dua kakinya itu melecur di bahagian peha (kanan) dan betis (kiri) dimana kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang duduk berehat di tepi meja yang mempunyai sebaldi air panas bersama beberapa pelakon lain.

"Sebenarnya kami memang duduk di situ untuk berehat dan makan. Tiba-tiba air panah tersebut diletakkan di atas meja yang berdekatan dengan kami.

"Sudahlah meja tak stabil, tiba-tiba tong air panas tersebut terjatuh lalu air panas terkena pada kami dan sayalah yang paling teruk sekali terkena.

Mujurlah budak kecil tiada ketika itu," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Tambah Jasmin, lecuran pada kedua-dua belah kakinya itu membuatkan dia terpaksa berulang alik ke klinik untuk membersihkan luka tersebut.

Malah katanya, dia turut mengalami kesukaran untuk tidur kerana rasa tidak selesa dan sakit pada paha dan betis yang melecur itu.

"Bayangkan, doktor terpaksa menyiat kulit di bahagian lecuran itu keran takut jika ia menggelembung.

"Saya percaya kerana lecuran ini juga, ia akan meninggalkan kesan parut. Itu pun saya tak tahu bila kaki saya boleh pulih sepenuhnya.

"Saya risau, kerana masalah ini, penggambaran yang melibatkan babak saya itu

tertangguh dan pada masa yang sama tawaran-tawaran lakonan lain juga akan terganggu," ujarnya.

Dalam pada itu, Jasmin agak kecewa dengan kejadian tersebut kerana menganggap pihak produksi tersebut iaitu Summit Treasure Production leka dengan tugasan serta keselamatan ketika di set penggambaran.

"Mereka sepatutnya perlu berhati-hati. Sepanjang 20 tahun saya bekerja sebagai pelakon, inilah kali pertama insiden seperti ini berlaku terhadap saya dan harap kejadian ini menjadi pengajaran buat mereka serta produksi-produksi di luar sana," tegasnya.

Bagaimanapun, jasmin belum memikirkan untuk melakukan sebarang tindakan terhadap produksi tersebut.

Neelofa Takut Berlakon Filem Seram


PETALING JAYA: Pelakon Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa), 22, berasa berat hati dan ragu-ragu untuk menerima tawaran pengarah Kabir Bhatia untuk membintangi filem seram terbaru iaitu Azazil kerana mengakui dirinya seorang yang penakut.

Kata Neelofa, sejak kecil lagi dia memang tidak menonton filem seram kerana mudah teringatkan karakter dan rupa hantu dalam filem atau drama sedemikian.

"Bukan bermaksud untuk memilih atau mengada-ada tetapi terus-terang saya tidak boleh tengok filem atau drama seram.

"Sejak kecil lagi saya tidak suka menonton filem sebegitu sebab saya mudah teringatkan karakter tersebut.

"Kalau saya tidak menonton filem seram, bagaimana pula hendak menghayati watak dan cerita begitu?" katanya yang ditemui di Menara Star, baru-baru ini.

Tambah Neelofa, walaupun demikian, dia tidak keberatan untuk terlibat dalam filem atau drama komedi seram yang bersifat humor, santai dan melucukan.

"Lainlah kalau filem komedi seram seperti Hantu Kapcai yang saya terima daripada KRU Studios, di mana filem itu adalah filem hantu yang kelakar.

"Jadi, karakter hantu itu tidak menakutkan, lebih bersifat lucu," kata pengacara program KRU Paparazzi di saluran KRU TV ini.

Dalam pada itu, aktres muda yang didakwa menjadi punca keretakan hubungan aktres Maria Farida dan aktor Shahz Jaszle ini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri arahan Erma Fatima iaitu Kitab Cinta.

Selain itu, Neelofa yang mula mencipta nama selepas membintangi filem Azura 2011 arahan Aziz M. Osman ini dijangka terlibat dalam sebuah lagi tawaran filem terbitan Skop Productions pada Julai depan.

Sunday, May 15, 2011

Yeo Yann Yann Berlakon Bukan Terpaksa


MEMPUNYAI matlamat tersendiri apabila mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia, pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Golden Awards 2010, Yeo Yann Yann mengakui berada di landasan yang betul untuk bergelar seorang anak seni.

Dia yang sebelum ini terkenal di negara jiran, Singapura menganggap percaturannya untuk melebarkan sayap di negara sendiri adalah keputusan yang tepat.

Bagaimanapun, Yann Yann mengakui selepas memenangi anugerah tersebut melalui drama bersiri Iron Lady, perjalanan kariernya semakin rancak.

“Saya sedang menyesuaikan diri dengan banyak perkara, jika dulu saya akan mengambil tawaran berlakon teater atau filem dalam sesuatu tempoh masa dan kemudian akan berehat sementara menanti projek lain.

“Tapi tahun ini agak berbeza, saya tidak punya banyak masa antara satu projek dengan projek seterusnya. Namun begitu ia satu perkara yang baik dan cabaran baru dalam hidup saya.

“Saya tiada masa untuk berehat dan mengajar diri untuk bekerja lebih kuat bekerja,” katanya.

Wanita berusia 33 tahun ini menganggap usia bukan halangan baginya untuk berada dan bersaing dalam industri seni tempatan. Lebih 12 tahun bergelumang dengan industri seni hiburan Singapura dan berlakon dalam filem filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad iaitu filem Muallaf pada 2008, Yann Yann yakin dirinya belum terlewat untuk mengejar populariti.

Gila kerja

Anak kelahiran Johor Baru ini mengakui dirinya terlalu cintakan kerjaya lakonan. Apa juga yang dilakukan dalam bidang ini tidak pernah menganggap ia satu keterpaksaan atau pekerjaan.

“Hidup saya hanya pada kerjaya. Sejak memasuki usia 30 tahun, fokus hanya pada kerjaya kerana bagi saya kerja memberi satu kepuasan dalam hidup berbanding perkara lain,” katanya.

Bercerita tentang peribadi, Yann Yann mengakui dia sudah mempunyai seseorang teman istimewa dalam hidupnya yang telah dikenali sejak empat tahun lalu.

“Saya sedang berkawan dengan seseorang yang kini sudah empat tahun dengannya. Dia kini menetap di Johor Baru dan hubungan kami seperti hubungan jarak jauh.

“Dengan jadual kerja yang agak padat, saya memerlukan lelaki yang dapat memahami dan bertolak ansur dengan kerja saya. Saya bernasib baik kerana dia bukan dari industri ini,” katanya.

Belajar bahasa

Tidak mahu terus berada di takuk yang sama, Yann Yann sedang mempersiapkan diri untuk berada dalam pasaran drama dan filem Melayu. Sedar tahap penguasaan bahasa Malaysia masih lemah, dia tidak malu untuk mengambil kelas bahasa itu.

“Saya sedar tahap penguasaan bahasa ibunda ini masih lemah dan untuk berada dalam pasaran Melayu saya harus perbaiki lagi. Bukan saya tidak faham tapi cuma tidak boleh bertutur dengan baik sahaja.

“Bukan saya sengaja mengabaikan kepentingan berbahasa ini, tetapi ia banyak dipengaruhi dengan faktor sekeliling,” katanya.

Nur Kasih popularkan Mira


TANGGAL 19 Mei ini akan menemukan khalayak dengan jalan cerita yang dibikin indah oleh seorang penulis skrip dengan nama Mira Mustaffa. Bukan sehari dua dia menulis tetapi kata-kata tulisannya berjaya menambat hati ribuan peminat.

Tiada kejutan jika khalayak bakal berendam air mata dan memberontak jiwa dek kerana penangan air tangan Mira.

Mira memberikan tragedi demi tragedi untuk tatapan ramai sebagai bahan cerna dalam sebuah filem kesinambungan drama popular Nur Kasih yang mencapai bilangan penonton 19 juta di kaca televisyen.

"Tragedi demi tragedi ini penting dan menjadi kemestian untuk mempamerkan evolusi perjalanan dalam Nur Kasih. Contohnya, Adam yang dahulu, dia seorang pemberontak dan kali ini dia perlu berhadapan dengan dugaan yang lebih besar.

"Tragedi ini juga penting sebagai penggabungan kepada cerita-cerita yang pernah mereka lalui," terang Mira saat ditanya sebab pelbagai tragedi disuapkan ke dalam emosi penonton filem ini.

Mira tersenyum manis dalam persalinan kurung hitamnya ketika ditanya kemunculan item cinta baru zaman moden selepas dia mewujudkan Adam dan Nur Amina yang memberi nafas pasangan cinta buat khalayak.

"Saya tidak ada niat untuk mewujudkan satu item atau pasangan baru zaman moden ketika saya menulis kisah mereka.

"Bagi saya para pelakon menghidupkan watak mereka dengan berjaya.

"Watak ibu Adam iaitu Hajah Khatijah juga adalah tunjang kepada kisah Nur Kasih ini," tegas Mira yang mengaku sukar menulis pengakhiran kisah ini.

"Harus diingat bahawa kisah cinta dalam Nur Kasih baik drama ataupun filem ada tiga penjuru.

"Mereka tidak boleh berdiri tanpa Aidil yang melengkapkan persamaan hubungan mereka," senyum Mira mengakhiri cerita seraya meletakkan tugasan untuk menilai filem tersebut kepada penonton.

Emosi Remy, Tiz semakin bergelojak


MASIH ada kepanasan yang meruap-ruap terhadapnya. Kepada jiwa-jiwa yang terluka oleh sikapnya, menyebut namanya sahaja seperti menyimbah cuka ke hirisan luka.

Ya, virus kebencian itu bercambah dan bugarnya cepat menjalar. Dalam permintaan nakal dan kolot, barangkali sudah tiba masanya, pemain watak Adam dalam siri dan filem Nur Kasih itu bersiram mandian air bunga.

Biar bersih kelibatnya daripada bayangan hitam yang meruntuhkan pandangan. Itulah Remy Ishak, sang aktor yang baru-baru ini membikin panas pada pandangan segelintir teman media.

Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah dan kalau tiada sebab musababnya, masakan seseorang itu bertindak di luar kawalan.

Pegang pepatah itu, sebagai orang yang di luar situasi, tidak semua perkara mampu dijustifikasi. Jalan tengahnya, baiklah persengketaan itu ditolak ke tepi sebelum onar semakin bernanah.

Cuma, sayang sekali situasi tepat berselindung di balik 'cinta' karakter itu tidak dimanipulasikan oleh pemeran, baik Tiz mahupun Remy. Mungkin, mereka terasa canggung lantaran ada bunga-bunga hati yang mahu dibaja tanpa perlu ada limpahan angin luar yang boleh menebar cerita.

Bagaimanapun, elok dilupakan seketika 'tragedi' di luar kisah Nur Kasih itu, kerana kini nama mereka masih likat dalam ingatan peminat sebagai Adam dan Nur Amina yang membawa 'cinta paling suci' abad ini.

Kalaulah diberi pilihan, lelaki persis Adam dan wanita seperti Nur Amina juga menjadi keinginan Tiz dan Remy. Sebenarnya, sengaja persoalan itu diusik, sementelah aktor dan aktres ini dilihat sebagai merpati dua sejoli.

"Siapa yang tidak mahu, sudah tentu saya juga mahukan wanita seperti Nur Amina," ujar Remy bersambung ketawa.

Kata Tiz pula: "Wow! Kalaulah wujud 'Adam' seperti Adam dalam Nur Kasih itu kan? Pernah jugalah saya berharap sebegitu."

Kembali terheret emosi Adam dan Nur Amina yang bakal disaksikan di layar perak pada Khamis ini, Remy dan Tiz ditakluk debar dan rindu yang sama.

Jika sebelum ini mereka berharapkan siri menjadi filem namun selepas Nur Kasih the Movie (NKTM), tidak akan ada lagi Nur Kasih selepas ini.

"Filem NKTM adalah penamat kepada siri drama. Di hujung siri, Adam menjadi lelaki yang semakin matang dalam segala segi. Tapi pada masa yang sama, masih ada sikap memberontak dalam dirinya. Itulah Adam. Bagi saya, Mira (penulis skrip) mahu bercerita tentang karma dan membesarkan tentang ketentuan Ilahi.

"Secara peribadi, semasa kembali ke lokasi Nur Kasih dulu, kami semua sangat seronok sebab dapat kembali dalam sebuah keluarga yang sama," cerita Remy menyimpan debar terhadap respons khalayak.

Masih bersuamikan lelaki yang sama, berumah dan beribukan ibu mertua yang sama, begitu juga dengan prinsip yang sama, Nur Amina versi filem kembali menghidupkan impak yang dicipta Tiz pada awal kemunculannya.

"Saya anggap impak Nur Amina itu satu pencapaian. Cuma saya agak takut untuk membawa watak Nur Amina di layar lebar. Peminat mahukan kesinambungan, itu yang kami semua kena fokus. Saya takut dengan jangkaan penonton, takut impaknya tidak seperti versi drama," katanya berhati-hati.

Tidak terlebih dan tidak juga terkurang, Tiz mahu berkongsi perkembangan karakter Nur Amina dengan pembaca.

"Ombak hidup Nur Amina semakin besar. Dalam drama, dia seorang yang reda, tapi dalam filem, dia menjadi lebih tegas mempertahankan miliknya, keluarga dan suaminya," ujar Tiz, menyimpan memori lokasi NKTM sebagai kenangan terbaik yang pernah berlaku sepanjang bergelar pelakon.

Wednesday, May 11, 2011

Ibu tunggal anak satu


SALMA yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini memang masih ‘keras’ di hadapan kamera. Malah, tutur katanya juga masih tersekat-sekat menandakan yang dia masih tidak yakin untuk berhadapan dengan pihak media.

Masih banyak ilmu yang perlu dikutip daripada mentornya, aktres terbilang tanah air, Erra Fazira yang terlebih duhulu ‘makan garam’ dalam dunia seni.

Sungguhpun begitu, Salma seorang yang cepat ramah, memudahkan lagi perjalanan sesi fotografi yang berlangsung pada lewat petang itu.

Seakan-akan mengerti soalan utama yang ingin diajukan kepadanya, Salma hanya melempar senyuman. Ternyata, segala aktiviti seorang selebriti masih terlalu baharu buatnya.

Saat namanya sedang meniti di bibir peminat program Mentor musim kelima dan diangkat sebagai salah seorang protégé yang berbakat besar, tiba-tiba sahaja status dirinya menjadi hangat. Bergelar janda pada usia 21 tahun bukanlah impian Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis.

Bagaimanapun status diri tidak mahu dijadikan halangan untuknya mengejar impian bergelar seorang penyanyi sekali gus mengubah nasib keluarganya di Kampung Titingan, Tawau, Sabah. Salma tidak mengelak, sebaliknya dia lebih senang menceritakan semua hal sebenar yang selama ini disimpan rapi.

“Ya, saya pernah berkahwin selama setahun lebih dan bercerai pada tahun 2008. Itu sahaja yang saya mampu jawab buat masa ini,” jawabnya.

Tegasnya, dia tidak pernah berniat untuk menyembunyikan status diri daripada orang ramai kerana sedar lambat-laun orang akan tahu juga berita itu.

“Sejak awal lagi, saya mahu orang tahu tentang perkara ini tetapi biarlah secara perlahan-lahan, memang tiada niat nak sembunyikan status diri. Saya sedar lambat-laun orang akan tahu juga akhirnya, sebab itu saya rasa lega bila orang tahu mengenainya sekarang.

“Jika saya simpan lama-lama, nanti daripada orang menyokong saya dan meminati saya terus orang tidak suka kerana merasakan yang diri mereka tertipu. Jadi, lebih baik saya cakap yang benar sekarang ini,” tuturnya lagi.

Hasil daripada perkahwinan itu, Salma dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berada di dalam jagaan keluarganya di Tawau. Apabila disoal lebih lanjut mengenai anak dan kisah rumah tangganya, Salma enggan menjawabnya kerana baginya cerita peribadi tidak penting untuk kerjayanya.

“Saya sudah lama bercerai, jadi saya tidak mahu perbesarkan hal ini. Kini, fokus saya hanya pada Mentor, sebaik sahaja habis Mentor, saya berjanji akan menjawab semua soalan tetapi bukan sekarang,” ungkapnya.

Meskipun belum bergelar seorang penyanyi secara rasmi, Salma telah diuji terlebih dahulu dengan asam garam dunia hiburan. Katanya, dia menganggap segala yang terjadi sebagai cabaran buatnya untuk menuju kejayaan.

“Saya tidak kisah orang mahu cakap apa mengenai diri saya, memang benar saya pernah berkahwin, bercerai dan mempunyai anak dalam usia yang muda.

“Itu sudah sejarah diri saya, kenapa saya mahu lari? Saya harus kuatkan diri untuk anak dan keluarga saya di kampung,” ujar anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu lagi.

Sambung belajar

Impian Salma untuk menjadi penyanyi bukannya kerana dia mahukan glamor tetapi niatnya hanya satu iaitu untuk mengubah nasib dan tangga ekonomi keluarganya.

Disebabkan oleh desakan ekonomi keluarga, Salma hanya sempat bersekolah setakat tingkatan empat dan tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bukan tidak berminat untuk meneruskan pelajaran tetapi hatinya tidak sanggup melihat ibunya menangis saban hari kerana gagal menyediakan kelengkapan persekolahannya.

“Keluarga saya susah, saya pergi sekolah tanpa wang saku. Berlapar itu perkara biasa, tetapi bila lihat ibu menangis, saya bernekad untuk mencari kerja. Balik dari sekolah dengan pakaian seragam sekolah saya pergi cari kerja tetapi malangnya tidak dapat sebarang kerja kerana masih bersekolah..

“Esoknya, saya pergi cari kerja lagi dengan pakaian biasa dan saya dapat kerja kerana saya tipu yang saya sudah tidak bersekolah.

“Pulang ke rumah saya beritahu ibu, saya cakap buat apa saya sekolah kalau keluarga tidak cukup makan. Sejak itu bermacam-macam pekerjaan saya buat, kerja kilang, jurujual kedai dan terakhir menjadi kerani,” luahnya lagi.

Sungguhpun banyak pengalaman kerja, dirinya berasa kerdil apabila menjejakkan kaki di Kuala Lumpur.

Katanya, rata-rata orang di Kuala Lumpur boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik sedangkan dia masih sukar untuk memahami patah ayat jika ditutur dalam bahasa Inggeris.

“Saya jadi malu dan rasa diri ini kecil sangat sebab semua orang di sekeliling saya faham dan boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Sebab itu, habis sahaja Mentor, saya mahu masuk ke kelas bahasa Inggeris,” ujarnya yang berniat untuk menyambung pelajaran di mana-mana kolej swasta selepas program Mentor tamat.

Bercerita lanjut mengenai program Mentor, Salma memberitahu, dia menyertai Mentor secara kebetulan kerana pada hari yang sama dia sedang menjalani uji bakat untuk sebuah pertandingan nyanyian di Kota Kinabalu.

Lokasi uji bakat yang berlangsung dalam satu bangunan, menyebabkan Salma sekadar mencuba nasib.

“Saya tidak pernah sertai mana-mana program realiti, sebenarnya untuk ke Kota Kinabalu dari Tawau sangat jauh kerana mengambil masa selama 10 jam dengan menaiki bas.

Tujuan utama saya waktu itu untuk uji bakat pertandingan nyanyian di Kota Kinabalu, kebetulan pula mereka buat uji bakat Mentor pada hari yang sama, jadi saya cuba sahaja.

“Tidak sangka, dalam ramai-ramai, saya terpilih. Ketika mengisi borang memang saya pilih Erra Fazira untuk jadi mentor saya kerana saya minat sangat dengan dia.

“Sekarang, bila dapat bekerjasama dengan dia, saya rasa macam mimpi pula,” jawabnya sambil tersenyum.

Sebelum ini, isu Salma tidak yakin diri dengan kecantikan sendiri, diperdebatkan dalam Mentor.

Menurutnya lagi, tuan empunya diri, dia bukannya tidak bersyukur dengan apa yang dimiliki, tetapi isu itu timbul selepas (hos belakang tabir Mentor) Abang Nas Ahmad membangkitkannya.

“Saya tidak rasa kecewa tetapi rasa sedih sedikit. Saya terima dengan apa yang saya ada, jika dulu saya tidak pandai menggunakan alat solek, tetapi sejak masuk Mentor saya sudah boleh bersolek sendiri dan Kak Erra pun banyak mengajar saya tip-tip untuk mencantikkan diri,” ujarnya.

Ucapnya lagi, dia berharap Mentor menjadi medan untuknya merealisasikan impian bergelar seorang penyanyi. Tidak kiralah bergelar juara atau tidak, dia mahu hayatnya di dalam industri seni tidak mati sebaik sahaja program realiti itu tamat.

Ratnah nafi bikin skandal


TIRAI program realiti Mentor musim kelima belum pun melabuhkan tirai, namun telah timbul pelbagai warta kurang enak membabitkan salah seorang pesertanya.

Kisah mengenai umur sebenar protege kepada Afdlin Shauki, Ratnah Awal baharu sahaja reda tetapi kini Ratnah kembali dihujani kontroversi yang telah mencalarkan imejnya sebagai pendatang baharu.

Ratnah mungkin terselamat daripada Konsert Penyingkiran Kumpulan A minggu lalu, namun dia tidak dapat mengelak daripada terus diburu cerita-cerita negatif membabitkan dirinya yang boleh dikategorikan sebagai skandal.

Antaranya dia dikatakan menipu tentang fakta peribadinya termasuk tentang negeri asalnya, kontroversi membuat tatu di badannya dan yang paling ‘panas’, dia dikatakan rapat dengan mentornya, Afdlin Shauki dan aktor kacak, Hans Isaac selain dikatakan sedang bercinta dengan kekasih seorang penyanyi wanita terkenal.

Bagi menjernihkan keadaan, Ratnah menjelaskan segala kemusykilan yang timbul kepada Kosmo! ketika Konsert Penyingkiran Kumpulan B berlangsung baru-baru ini.

Benarkah Ratnah berasal dari Ampang, Selangor?

RATNAH: Sebenarnya saya berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. Mungkin berlaku salah faham kerana saya menyebut saya menetap di Ampang.

Berapa lama Ratnah mendirikan rumah tangga sebelum bercerai dan adakah Ratnah mempunyai anak dengan bekas suami?

Saya berkahwin pada tahun 2003 dan bercerai tahun lalu. Kami tidak dikurniakan anak.

Namun, ada khabar mengatakan Ratnah pernah mengandung sebelum ini?

Memang saya pernah mengandung tapi saya mengalami keguguran. Saya tidak pernah menceritakan hal tersebut kerana ia merupakan pengalaman pahit buat saya.

Benarkah Ratnah kini sedang menjalin hubungan dengan kekasih kepada seorang penyanyi wanita terkenal tanah air?

Saya baru sahaja dengar tentang perkara ini dan ingin saya jelaskan di sini saya tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan lelaki tersebut. Lelaki tersebut merupakan salah seorang tenaga produksi Mentor dan memang tanggungjawab dia menguruskan kesemua peserta Mentor.

Ada sumber memberitahu Ratnah dimasukkan ke hospital baru-baru ini bukan kerana penyakit bronkitis tetapi kesan akibat menjalani rawatan laser bagi membuang tatu di badan.

Saya memang dimasukkan ke hospital kerana bronkitis. Memang saya ada menjalani rawatan laser tapi bukan atas tujuan membuang tatu.

Jadi benarlah Ratnah tidak mempunyai sebarang tatu?

Tidak ada! Saya pun tak tahu macam mana cerita ini boleh timbul sedangkan saya memang tidak pernah membuat tatu di badan.

Memandangkan Ratnah telah mengenali Afdlin sebelum program Mentor lagi, adakah Ratnah telah dipilih sejak awal-awal lagi dan hanya datang ke uji bakat bagi memenuhi syarat?

Benar, saya kenal Afdlin sejak saya menyertai produksi teater Cuci The Musical lagi tetapi itu tidak bermakna saya mempunyai keistimewaan untuk dipilih sebagai protegenya secara automatik. Afdlin hanya menggalakkan saya untuk mencuba dan rezeki memihak kepada saya.

Bagaimana pula hubungan Ratnah dengan Hans Isaac? Khabarnya dahulu, Ratnah pernah rapat dengan Hans?

Memang saya rapat dengan Hans tapi bukan saya seorang sahaja. Semua yang terlibat dengan produksi Cuci The Musical seperti satu keluarga dan saya melihat Hans sebagai seorang abang sahaja.

Betul ke Ratnah berlagak Diva di belakang pentas sebelum konsert mingguan Mentor dimulakan dengan meminta air minuman Evian dan buah-buahan, sedangkan peserta lain tidak berbuat demikian?

Mana ada. Saya tidak pernah membuat permintaan sedemikian. Saya belum lagi menjadi artis, mana mungkin saya berani minta macam-macam.

Eira Syazira Tidak Hirau Digelar Ratu Air Mata


PETALING JAYA: Pelakon Eira Syazira,(gambar) 27, tidak pernah kisah gelaran ratu air mata yang sering diberikan kepadanya kerana mengakui watak tersebut begitu sebati dengan dirinya.

Jelas Eira, dia sendiri gemarkan watak-watak berat dan mencabar yang memerlukan dia bermain dengan emosi dan air mata.

“Saya sudah pernah mencuba banyak watak seperti antagonis dan komedi tetapi pada saya watak air mata paling mencabar dan sesuai dengan saya.

“Bagaimanapun, cabaran saya ialah untuk memberi kelainan antara satu drama dengan drama yang lain. Saya terpaksa baca keseluruhan skrip dan buat kajian terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Drama Bait Cinta, di sini, Selasa.

Tambahnya, dia tidak pernah menganggap watak air mata yang dimainkannya dalam beberapa buah drama adalah bersifat klise.

Jelas Eira, lakonan drama terbarunya Biat Cinta ini berbeza dengan drama Ustaz Amirul yang baru sahaja selesai ditayangkan di TV3.

“Walaupun kedua-dua watak tersebut seperti sama iaitu menjadi wanita baik yang memakai tudung tapi sebenarnya apa yang ingin ditonjolkan ialah konflik dalam drama itu.

“Bagi drama Bait Cinta ini saya menjadi isteri dalam dilema yang terpaksa berkongsi suami dengan dua wanita lain,” katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya, jika keadaan poligami tersebut terjadi ke atasnya, Eira memberitahu perkara tersebut sudah ditentukan oleh Allah.

“Semua wanita tidak ingin dimadukan tetapi itu semua adalah ketentuan Allah. Kita tidak tahu perjalanan hidup kita.

“Apa yang pasti segala yang berlaku mempunyai sebab tertentu,” katanya.

Drama Bait Cinta bakal ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam bermula 17 Mei ini di TV9.

Putri Mardiana Bertunang Hujung Tahun


PETALING JAYA: Pelakon Putri Mardiana Zainal Abidin, 29, atau Nina mengesahkan untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Mohd Hasnul Amril (Anol), 29, pada bulan Disember depan.

Kata Nina, perancangan untuk ke arah itu sudah lama dirancang namun perkara tersebut terpaksa ditangguhkan ekoran beberapa urusan peribadi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Sebenarnya, abang kandung saya pun sudah bertanya tentang hubungan kami. Alhamdulillah, hubungan ini mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

"Kalau diikutkan, pada bulan April lalu kami ingin bertunang tetapi terpaksa ditangguhkan dulu," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem Kongsi, di sini, malam Selasa.

Bercerita tentang perkembangan isu hak penjagaan anak-anaknya dengan bekas suaminya Shahnaz Norwawi, wanita itu berkata masalah itu masih lagi belum selesai sementara anak-anaknya tinggal di rumah bekas mertua dan bersekolah di Bentong, Pahang.

"Agak leceh untuk urusan pertukaran sekolah dan sebagainya. Tidak mengapalah, buat masa ini yang penting anak-anak selamat dan gembira.

"Sekali-sekala, saya akan berjumpa dan menghabiskan masa dengan mereka juga," kata ibu kepada Alia Wirdani, 7, Amir Firman, 5 dan Airell Zuhair, 4 ini.

Mengenai perkembangannya dalam dunia lakonan, Nina akan muncul dengan filem terbaru iaitu Kongsi sebagai Inspektor Yati.

Beritahu Nina, dia sangat teruja membintangi filem komedi aksi arahan Farid Kamil itu kerana berpeluang untuk melakukan babak-babak lasak dan pertarungan.

"Ini adalah kali pertama saya terlibat dalam filem aksi lasak. Ia satu pengalaman yang menyeronokkan kerana saya membawa dua watak iaitu pegawai polis yang menyamar sebagai pembantu rumah.

"Pihak produksi memilih saya kerana kesesuaian air muka saya yang serius selain saya dilihat agak tegas," jelas aktres yang kian sibuk dengan perniagaan pakaian “bundle” ini.

Filem Kongsi yang mula ditayangkan hari ini mencatatkan sejarah tersendiri dalam perfileman tanah air dengan pembukaan terbesar iaitu 100 salinan filem di seluruh pawagam di Malaysia.

Natasha Hudson Jelas Hubungan Dengan Zizan Raja Lawak


PETALING JAYA: Pelakon jelita, Natasha Hudson, 29, menjelaskan hubungannya dengan pelawak Zizan(Raja Lawak)sekadar kawan biasa, tidak lebih dari itu.

Kata Natasha, dia dan Zizan rapat berikutan menggunakan khidmat pengurus yang sama iaitu Marina Juki.

“Saya dan Zizan hanya kawan biasa sahaja, saya datang ke program Maharaja Lawak minggu lalu kerana ingin memberi sokongan kepada rakan artis.

“Saya juga dijemput oleh pihak Astro untuk datang ke program tersebut. Lagi pula kami mengunakan pengurus yang sama,” katanya ketika di temui di Majlis Pelancaran Drama Bait Cinta, di sini, Selasa.

Natasha diminta mengulas gosip mempunyai hubungan istimewa dengan pelawak tersebut apabila sering kelihatan di majlis yang sama.

Bagaimanapun, dia mengakui senang berkawan dengan jejaka tersebut kerana sering bertukar-tukar pendapat dan memberi nasihat kepadanya.

“Secara jujur Zizan seorang yang sangat berbakat dan sebagai kawan dia seorang yang sering memberi nasihat.

“Tapi untuk memulakan sebuah hubungan istimewa itu, saya belum bersedia kerana saya ingin fokus kepada kerjaya dan anak saya dahulu,” katanya yang kini mempunyai seorang cahaya mata, Nessa Helena, 3.

Ditanya tentang ciri-ciri lelaki yang menambat hati wanita ini, Natasha memberitahu, dia mencari seorang lelaki yang bertanggung jawab dan sayangkan keluarga.

“Seperti biasa kita mencari seorang lelaki yang bertanggungjawab dan beri perhatian kepada keluarga.

“Pada saya harta dan duit tidak menjanjikan kebahagian dalam sesebuah rumah tangga,” katanya.

Sementara itu, bercerita tentang drama Bait Cinta, Natasha yang memeggang watak Shahnaz mengakui agak berat memainkan karakter tersebut.

“Saya memegang watak isteri ketiga Hazri yang mana sanggup berkongsi suami dengan dua isteri lain.

“Watak ini memerlukan penghayatan yang sangat mendalam yang mana saya sebagai wanita yang mengidap penyakit kanser dan akhirnya meninggal dunia,” katanya.

Drama tersebut bakal ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam bermula 17 Mei ini di TV9.

Sunday, May 8, 2011

Gelaran 'Hot Mama' Untuk 10 Selebriti Dunia


TIDAK semua wanita yang berfikir dua kali untuk mempunyai anak kerana bimbang kehilangan bentuk badan yang seksi.

Mempunyai anak tak bererti seorang ibu mengenepikan penampilannya. Walaupun mereka seorang selebriti dunia, mereka juga harus mengurus anak-anaknya. Seperti yang dipetik dari Zimbio, Jumaat, gelaran 'hot mama' diberikan kepada 10 selebriti pilihan.

1. Heidi Klum

Setiap wanita yang menjadi model 'Victoria's Secret' tentunya tidak perlu ragukeseksiannya. Salah satunya Heidi Klum. Supermodel 36 tahun itu kini telah dikurniakan empat orang anak, namun tubuhnya masih cantik dan menarik.

2. Angelina Jolie

Aktres 34 tahun ini selalu kelihatan seksi walau mempunyai anak yang cukup ramai iaitu tiga orang anak angkay dan tiga lagi anak kandungnya hasil hubungan dengan pelakon Brad Pitt. Selain mengurus anak-anaknya, dia juga selalu tampil di aktiviti kebajikan.

3. Gwen Stefani

Salah seorang ibu tercantik saat ini tentu sekali layak diberikan kepada Gwen Stefani. Dia kelihatan selalu berpenampilan cantik di setiap acara yang dihadirinya. Gwen mempunyai band rock, berkahwin dengan bintang rock dan melahirkan dua anak comel.

4. Halle Berry

Setelah ditempatkan ke dalam 50 Most Beautiful People, Halle pastinya secara automatik tersenarai sebagai hot mama. Pada usia yang sudah mencecah 40 tahun, dia tetap kelihatan sempurna. Tidak keterlaluan jika menganggap Halle sebagai ibu yang seksi. Pada 2003, dia juga menjadi wanita paling seksi menurut FHM.

5. Jessica Alba

Untuk pertama kalinya pada 2001 Jessica Alba tersenarai antara 100 wanita paling seksi di majalah Maxim. Pada 2006, wajahnya menjadi penghias kulit depan majalah Playboy, dan beberapa tahun kemudian dia mempunyai anak. Bagaimanapun, tiada sedikit pun perubahan pada diri wanita itu kerana dia kelihatan sama seperti pertama kali muncul sebagai wanita seksi.

6. Reese Witherspoon

Ibu kepada dua anak iaitu Ava dan Deacon, Reese Witherspoon ini telah empat kali tersenarai antara 100 orang paling cantik di majalah People. Tentu tidak ada yang meragui keseksiannya. Wajarlah dia menyandang gelaran Hot Mama. Selain sibuk dengan karier, dia tidak lupa mengurus kedua anaknya. Malah, Reese yang baru saja berkahwin dengan Jim Toth mengaku ingin menambah anak lagi.

7. Jennifer Lopez

Bertubuh cantik, itulah yang ada pada diri Jennifer Lopez. Walau sudah dikurniakan dua anak kembar, penyanyi lagu 'Jenny From The Bronx' itu masih kelihatan seksi. Selain sibuk, dia juga mengaku bayi-bayinya masih menjadi keutamaannya.

8. Kate Hudson

Kate Hudson dikurniakan seorang putera bernama Ryder dari perkahwinannya dengan Chris Robinson, pada tujuh tahun lalu. Kini, artis berumur 31 tahun itu sedang mengandung anak keduanya. Namun, anugerah sebagai wanitaseksi masih tidak hilang dari bintang Bride War itu.

9. Victoria Beckham

Walaupun telah dikurniakan tiga anak lelaki, ia tidak membuat aura seksi Victoria Beckham pudar. Setelah berkahwin dengan pemain bola sepak, David Beckham pada Julai 1999, dia masih seperti dulu. Tentunya tidak keterlaluan jika menggelarkan anggota Spice Girls itu sebagai hot mama. Kini, Victoria juga sedang hamil anak keempatnya. Dia dijangka akan bersalin pada hujung tahun ini.

10. Christina Aguilera

Tentunya gelaran hot mama tidak perlu diragukan lagi bagi penyanyi lagu Beautiful itu. Bahkan, dia pernah mengatakan bahawa penampilan adalah segalanya, walaupun sudah dikurniakan seorang anak.

Apa kes Ramona?


SIAPA Ramona Zamzam? Sebenarnya itu yang bermain di kepala orang veteran macam Diva apabila ada wartawan yang mengomel tentang si Ramona. Rupa-rupanya dia bintang baharu yang dicungkil oleh sebuah majalah tempatan.

Maka, Diva pun barulah jenguk-jenguk rupa paras Ramona yang dikatakan boleh jual itu. Elok budaknya, manis! Tapi yang tak manisnya bila banyak pula cerita sensasi. Diva fikir, bila cerita sensasi mengatasi bakat, itu perkara biasa dalam industri ini. Pucuk muda begitulah!

Tapi, selepas ada keluar artikel menyelar sikap Ramona yang dilabel sombong dalam satu ruangan pojok sebuah surat khabar mingguan, Ramona ada inisiatif nak betulkan keadaan. Sanggup dan rajin dia menghubungi wartawan berkenaan untuk buat kenyataan.

Diva fikir, apabila dia hubungi wartawan untuk beri kenyataan, maknanya dia bersungguh-sungguh mahu betulkan keadaan.

Kata Ramona, sebagai orang baharu dia tak perasan dan kurang pertimbangan barangkali bahawa tutur katanya menyinggung perasaan pihak lain. Dia juga tidak berniat nak menyombong diri, jauh sekali tunjuk lagak.

Diva fikir juga, kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang, tapi memandangkan Ramona minta diberikan peluang, apa kata, kita bagi. Lepas ni kalau dia buat perangai lagi, ‘kita bakor, kita bakor’.

Saturday, May 7, 2011

Desy Ratnasari Kembali Berlakon


JAKARTA: Selepas empat tahun berehat daripada dunia lakonan, aktres popular Desy Ratnasari memilih untuk kembali aktif semula.

Wanita kelahiran Singkawang, Kalimantan Barat, Indonesia itu mengakui tempoh empat tahun "berehat" membuatkan dia terlalu rindukan dunia lakonan.

“Saya sibuk dengan pelajaran saya tapi saya tidak pernah terputus hubungan dengan rakan-rakan dalam industri ini.

“Saya terima tawaran untuk berlakon semula kerana pujukan rakan-rakan daripada produksi tersebut dan tidak mahu menghampakan harapan mereka,” katanya yang bakal membintangi sinetron Cahaya Cinta.

Tambah Desy, dia kini perlu membahagikan masa sebaik mungkin antara lakonan, pelajaran dan keluarganya.

“Saya seorang yang agak menekankan tentang disiplin, jadi tiada masalah untuk membahagikan masa saya.

“Saya juga sudah berjanji dengan anak saya untuk tidak mengabaikannya selepas kembali berlakon ini,” kata pelajar Psikologi Bidang Sumber Daya Manusia di Universitas Indonesia ini.

Mulan Jameela Pura-Pura Hamil?


PENYANYI Mulan Jameela masih menafikan dirinya sudah melahirkan anak ketiga seperti yang digembar-gemburkan bulan lalu.

Malah ada yang memberitahu khabar angin bahawa penyanyi lagu Mahluk Tuhan Paling Seksi ini hanya sekadar membuat gimik untuk album terbarunya sahaja.

Ketika tampil dalam program DahSyat, Jumaat lalu, Mulan tidak kelihatan seperti wanita yang baru bersalin.

Mulan tidak pernah menjawab soalan tentang kehamilan dan bayi yang dilahirkannya.

Dia hanya mengakui apa yang berlaku beberapa bulan ini hanyalah strategi promosi album terbarunya.

“Saya memahami tugas media untuk menyebarkan berita dan mempunyai alasan untuk itu tetapi apa juga keputusannya adalah di tangan saya sama ada untuk mengakuinya atau tidak,” katanya.

Nana Menangis Selepas Berhenti XFM


PETALING JAYA: Penyampai radio XFM, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana, 28, membuat keputusan muktamad untuk bersara sebagai deejay stesen radio itu kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.

Nana yang telah menamatkan hari terakhirnya di stesen radio XFM, Jumaat memberitahu dia telah membuat keputusan tersebut sejak dua bulan lalu walaupun kontraknya dengan rangkaian radio Airtime Management & Programming (AMP) sepatutnya tamat pada hujung tahun ini.

"Memang ia satu keputusan yang amat berat dilakukan kerana sudah lapan tahun saya berkecimpung dalam dunia penyiaran radio. Bagaimanapun, saya juga perlu memikirkan tentang anak sulung saya, Althea Raqeem Brian yang baru berusia lima bulan kerana dia memerlukan perhatian yang rapi.

"Selepas mengendalikan slot pagi 6-10 pagi tadi (Jumaat) saya pulang dengan keadaan yang sangat sedih. Malah saya menangis sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Apa-apa pun semua ini demi masa depan Althea," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Tambah Nana, dia ingin peminat-peminatnya tahu bahawa dia bukannya berhenti terus daripada industri hiburan kerana bekas peserta Akademi Fantasia musim pertama itu masih lagi mengambil tawaran menjadi pengacara program-program televisyen sahaja.

Dalam pada itu, Nana turut bergiat aktif dalam perniagaan pakaian jenama FaraNana bersama rakan baiknya, Fara Fauzana.

Bagaimanapun ini tidak bermakna dia tidak akan menjadi seorang penyampai radio lagi di masa akan datang kerana tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada.

Sementara itu, memandangkan kini hanya suaminya, Mohamed Raqeem Brian Abdullah, 37, sahaja yang bekerja, Nana memberitahu dia perlu merancang perbelanjaannya dengan sebaik mungkin.

Nana mula dikenali sebagai penyampai radio Era FM sejak tahun 2000 dan pada hujung 2008, dia ditukarkan ke radio XFM pula.

Maharaja Lawak: Peserta Dikehendaki Undi Keluar Saingan Masing-Masing


KUALA LUMPUR: Peserta Maharaja Lawak yang bertanding malam tadi diberi mandat untuk mengundi keluar mana-mana peserta yang tidak disukai untuk disingkirkan pada minggu hadapan.

Bagaimanapun, sekiranya peserta yang diundi keluar itu mempunyai markah keseluruhan (markah juri dan SMS) tertinggi, mereka tidak akan disingkirkan, melainkan peserta tersebut mendapat kedudukan di tempat kedua dan ke bawah.

Menurut Pengurus Astro Prima, Nizam Sani, mandat tersebut merupakan sebahagian daripada format dan kejutan untuk peserta yang telah pun dirancang sebelum program tersebut dimulakan.

"Apabila peserta dikenakan tugas untuk mengundi keluar saingan masing-masing, saya akui, hal tersebut akan memiliki elemen-elemen drama.

"Bagaimanapun ini merupakan sebuah format yang dirancang kami untuk peserta lebih peka dalam pertandinga ini. Malah, pada minggu kesembilan, mereka juga mempunyai satu lagi kejutan pengumuman khas," katanya ketika ditemui selesai Maharaja Lawak minggu keenam ini.

Program Maharaja Lawak telah berlangsung di Studio Finas, Hulu Klang dan ia disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132).

Kesemua peserta terselamat daripada penyingkiran untuk minggu keenam selepas diumumkan tiada penyingkiran oleh juri tetap Ahmad Idham, Jumaat.

Setakat ini Amir mendapat markah terendah iaitu 31 peratus (%), diikuti pula dengan kumpulan Balas (43%) dan Man (51%).

Manakala, kumpulan Jambu mendapat markah tertinggi iaitu 59%, kumpulan Jozan (57%), Nabil (56%) dan kumpulan Sepah (55%).

Pada malam pertandingan tersebut, persembahan kesemua peserta kurang sengit berbanding minggu lepas. Bagaimanapun, kumpulan Jambu mendapat pujian daripada juri, Ahmad Idham dan Apek, yang menganggap mereka mampu menjuarai pertandingan tersebut.