Wednesday, April 6, 2011

Zed Zaidi Bidas Artis Persoal Tegurannya


PETALING JAYA: Pelakon Zed Zaidi membidas segelintir artis muda yang mempersoalkan tegurannya kerana tidak menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada 26 Mac lalu.

Zed yang juga pemangku Timbalan Presiden dan Ketua Biro Seniman Muda turut mencabar mana-mana artis muda yang ingin menduduki jawatan dalam Seniman agar dapat menyertai persatuan tersebut supaya boleh mengetahui bagaimana susahnya mereka menyelesaikan masalah artis dalam industri hiburan.

“Kalau mereka mempersoalkan teguran saya, sertailah Seniman barulah mereka tahu besar atau tidak tanggung jawab kami,” katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Zed diminta mengulas desas desus segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakannya menegur artis-artis muda kerana tidak menghadiri mesyuarat berkenaan.

Dalam mesyuarat itu hanya Zed dan Jehan Miskin sahaja artis muda yang hadir sementara yang lainnya ialah artis-artis veteran.

Tindakan Zed itu membuatkan segelintir pihak berpendapat dia bercakap sedemikian kerana mempunyai jawatan di dalam persatuan tetapi jika tidak mempunyai kepentingan, besar kemungkinan dia juga tidak menghadirkan diri.

Menurut Zed, sebelum ini, Seniman banyak membantu menyelesaikan beberapa masalah artis muda seperti Rafie Hussein yang melecur di badan, tangan dan hidung sewaktu menjalani penggambaran filem Bara Jiwa dan kes Johan Raja Lawak dibaling gelas sehingga cedera.

Isu lain termasuklah Ammar Alfian dikecam kerana keberaniannya melemparkan kata-kata kesat dan ugutan bunuh kepada wartawan hiburan Malaysia di Facebook, kes saman Fahrin Ahmad terhadap Linda Onn serta mengadakan kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia dalam menganjurkan pengajian luar kampus untuk artis dalam bidang komunikasi peringkat Ijazah.

“Saya tidak peduli jika ada artis muda yang kurang berpuas hati dengan kenyataan saya sebelum ini tetapi apa yang saya cakapkan itu adalah untuk kebaikan mereka.

“Saya ditugaskan untuk membela nasib mereka. Jangan nanti bila sudah susah dan tua baru nak merujuk kepada persatuan.

“Jadi, saya menasihatkan mereka supaya sentiasa peka dengan mesyuarat yang kami adakan kerana waktu itu mereka boleh meluahkan apa sahaja masalah yang berlaku berkaitan industri.

“Jika masalah rumah tangga dan melibatkan pihak berkuasa, memang ia di luar kuasa kami dan persatuan hanya mampu memberikan nasihat,” katanya.

Tambahnya yang telah dua tahun menggalas jawatan Ketua Biro Seniman Muda : “Dulu, saya akui tidak memahami apa-apa langsung tentang kebaikan persatuan, tetapi setelah mendapat jawatan ini, baru saya sedar betapa pentingnya persatuan ini kepada artis.

“Saya sedang cuba untuk menaikkan martabat artis baru dan muda supaya orang lain tidak memandang serong kepada kita.

“Ini kerana, jika berlaku sesuatu isu yang tidak baik dan dipaparkan di muka hadapan akhbar, pelbagai persepsi negatif akan timbul. Saya tidak mahu jadi seperti kata pepatah Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.”

Pelakon filem Cuti-Cuti Cinta dan drama Awan Dania musim ketiga ini juga menganggap artis yang mempersoalkan kenyataannya itu seolah-olah tidak matang.

“Saya anggap mereka tidak tahu tentang peraturan menjadi artis kerana apa pun yang berlaku, kita kena bersatu dahulu.

“Saya cuba membangunkan persatuan, bukan untuk menjatuhkan. Sekurang-kurangnya, persatuan boleh menjadi seperti ‘pusat hentian’ kepada mereka yang masih baru dalam industri,” ujarnya lagi yang lebih memfokuskan kepada artis muda berusia 40 tahun ke bawah.

Zed turut berharap artis muda yang berdaftar dengan Seniman agar sentiasa mengemas kini alamat dan nombor telefon mereka agar mudah untuk dihubungi.

Dalam perkembangan lain, Zed sedang dalam proses untuk membantu artis yang menjadi mangsa penyamaran akaun Facebook dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

No comments:

Post a Comment