KUALA LUMPUR: Penerbit West End Stars in Concert, Datin Seri Tiara Jacquelina yakin kekuatan artis seperti Stephen Rahman-Hughes, Ramin Karimloo dan Simon Bailey di konsert tersebut bakal menarik 100,000 penonton.
West End Stars in Concert yang bakal dipentaskan pada 15 dan 16 April ini di Istana Budaya turut dijayakan oleh Jaclyn Victor sebagai penyanyi undangan.
Menurut Tiara, penonton pasti terbuai dengan 17 buah lagu yang dipersembahkan oleh penyanyi-penyanyi tersebut lebih-lebih lagi genrenya lebih ke arah muzikal.
“Mendengar nyanyian lagu pop dan muzikal adalah sangat berbeza dan setiap lagu tersebut memberikan perjalanan yang beremosi.
“Penonton akan terbuai dengan lagu tersebut dan setiap lagu itu mempunyai cerita tersendiri. Mereka hanya perlu membuat persembahan mengikut karakter dalam cerita itu.
“Saya cuba meletakkan mereka mampu membuat persembahan mengasyikkan lebih dari penyanyi biasa,” ujarnya dalam satu sidang media di Sky Lounge, The Ascott, Jalan Pinang, di sini, Selasa.
Sementara itu, penerbit eksekutif Enfiniti Vision Media Sdn Bhd ini turut berasa bertuah kerana peminat teater muzikal di negara ini adalah dari kalangan orang muda berbanding di luar negara.
"Setakat ini, lebih 50 peratus tiket yang telah terjual kepada individu dan pihak korporat.
"Saya mensasarkan konsert ini kepada sesiapa sahaja tidak mengira usia dan latar belakang.
"Namun, saya jangka lebih ramai pelajar dan mereka yang pernah menonton West End di London dan New York akan menghadiri konsert ini kerana mereka tahu bagaimana seronoknya persembahan tersebut.
“Walaupun pertama kali persembahan West End dipersembahkan di sini, tetapi kami berharap pihak media dapat memberikan publisiti yang bagus untuk mengajak penonton memenuhi Istana Budaya,” katanya lagi.
Jika konsert tersebut mendapat sambutan ramai, Tiara berhasrat untuk melakukan konsert berskala besar pada masa akan datang.
Konsert tersebut bakal dipimpin oleh koreografer dan pengarah Pat Ibrahim dengan iringan band muzik.
Semua lagu tersebut akan dinyanyikan dalam bahasa Inggeris diinspirasikan dari The Phantom of the Opera kecuali lagu duet melibatkan Stephen dan Jaclyn berjudul Puncak Tertinggi dalam bahasa Melayu.
Stephen pernah terlibat dalam persembahan muzikal seperti ini berjudul Bombay Dreams manakala Ramin dan Simon yang berasal dari London turut sama-sama menyertai Les Miserables dan The Phantom of the Opera.
Tiket dijual pada harga RM80, RM130, RM200, RM300, RM350, RM400 dan RM480 melalui www.airasiaredtix.com.
Untuk pakej korporat pula boleh menghubungi 03-61429877 atau e-mel ke production@enfiniti.com.my.
No comments:
Post a Comment