Wednesday, April 6, 2011

Siti Nurhaliza 'Tergeliat Lidah' Nyanyi Slanga


GENTING HIGHLANDS: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza akui tercabar apabila perlu menyanyi dalam slanga Bahasa Inggeris semasa merakam lagu dalam bahasa itu.

Menurut penyanyi yang mesra disapa Siti itu, sebanyak 10 buah lagu untuk album pertama dalam Bahasa Inggeris tersebut telah siap dirakam dan sedang menunggu masa untuk dilancarkan.

Ia dijadual pada pertengahan tahun ini.

“Semua rakaman lagu dilakukan di Malaysia walaupun saya menggunakan khidmat komposer dari Australia iaitu Brian Bruno dan Cristian Alexander.

“Semasa proses rakaman tidaklah terlalu rumit tetapi setiap nyanyian saya perlu ditambah dengan slanga sehingga kadangkala “tergeliat lidah” untuk menyebutnya.

“Tetapi nasib baik saya mempunyai komposer yang banyak membantu,” ujar Siti sewaktu majlis 5Stars Designers meraikan selebriti yang menggayakan pakaian mereka pada Anugerah Bintang Popular 2010, di sini, Ahad lalu.

Pada majlis itu Siti memperagakan pakaian berwarna gabungan hitam dan merah rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini.

Kata Siti dia memang menyasarkan album tersebut untuk dipasarkan ke luar negara.

Selain itu, Siti tidak menolak untuk merakamkan album Inggeris keduanya jika album tersebut mendapat sambutan yang baik daripada peminat.

“Saya sangat berpuas hati selepas berjaya merakamkan album ini, sangat teruja dan bersedia untuk menerima komen daripada pendengar,” katanya lagi.

Album itu bakal diterbitkan oleh syarikat produksi What's Up Entertainment, milik anak tirinya, Adib.

No comments:

Post a Comment