Friday, April 15, 2011

Fara Fauzana Dapat Banyak Tawaran Selepas Tinggalkan Melodi


PETALING JAYA: Selepas beberapa minggu meninggalkan program Melodi di TV3, pengacara popular Fara Fauzana bersyukur kerana masih mendapat banyak tawaran dalam bidang pengacaraan.

Ini menunjukkan momentum Fara dalam bidang tersebut masih ‘berbisa’.

Bukan itu sahaja, penyampai radio Hot FM ini menganggap rezekinya semakin bertambah selepas tidak mengacarakan Melodi sejak tahun 2004 itu.

Bermula Jun atau Julai depan, Fara dijangka akan mengacarakan program televisyen di TV3 selain mendapat tawaran daripada stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro.

“Alhamdulillah, saya tak sangka apabila meninggalkan Melodi, rezeki saya untuk mengacara semakin bertambah.

“Setakat ini saya telah bersetuju untuk terlibat dalam sebuah program Hari Raya untuk TV3. Untuk stesen televisyen lain, saya belum menerima apa-apa keputusan rasmi kerana mereka baru ‘merisik’ melalui telefon.

“Selain mendapat tawaran daripada beberapa stesen televisyen termasuk TV3, saya juga menerima tawaran untuk menjadi pengerusi majlis.

“Kalau dulu saya selalu mendapat banyak tawaran sebagai pengerusi majlis tetapi tidak berpeluang untuk menerimanya,” kata Fara kepada mStar Online.

Selepas Melodi digantikan dengan pengacara baru iaitu Zizan (Raja Lawak) dan Dira Abu Zahar beberapa minggu lalu, Fara sempat menontonnya ketika disiarkan secara langsung dari Genting Highlands pada 3 April.

Komen Fara, Dira dan Zizan mengacarakan program tersebut dengan cara tersendiri, jadi dia enggan melakukan perbandingan tentang corak pengacaraan mereka.

“Saya lihat mereka berdua melakukan tugas pengacaraan dengan baik dan mengikut cara masing-masing.

“Lagipun, sebelum ini saya sudah biasa menonton Zizan mengacara Raja Lawak manakala Dira mengacara Beat TV. Mungkin orang luar yang tidak biasa menonton mereka akan melakukan perbandingan.

“Pada saya, sekarang ini bukan masanya untuk melakukan perbandingan kerana semasa mula-mula saya mengacara Melodi dulu, orang lain tak pernah buat perbandingan,” ujarnya lagi.

Bercerita tentang aktivitinya pada setiap Ahad, Fara berkata masanya masih terisi dengan kerja lain termasuk acara dengan Hot FM.

“Masa saya sekarang sudah tidak sibuk dan ‘terkejar-kejar’ seperti dulu. Kiranya saya seperti sudah boleh ‘bernafas’ kerana dulu jika terlibat dengan majlis luar dari Kuala Lumpur pada malam Sabtu, saya terpaksa cepat-cepat pulang ke Kuala Lumpur untuk mengacara Melodi pada Ahad.

“Sepanjang Mei ini, saya akan ke Amerika Syarikat untuk melawat adik saya yang belajar di sana sekali gus menghadiri majlis konvokesyennya sambil menghabiskan masa untuk bercuti,” ceritanya lagi.

No comments:

Post a Comment