Wednesday, April 6, 2011

Bandi Amuk Rasa Teraniaya Dengan Warner Music


KUALA LUMPUR: Penyanyi Bandi daripada kumpulan Amuk menyatakan rasa teraniaya terhadap syarikat rakamannya, Warner Music Sdn Bhd, kerana bersifat acuh tak acuh dengan kumpulan tersebut.

Menurut Bandi, dia juga agak terkilan apabila album terkini Amuk, Itu Janji, yang telah dihasilkan sejak dua tahun lalu tidak mempunyai sebarang promosi sehinggakan album itu terbiar begitu sahaja.

"Memang Amuk semakin disisihkan apabila dibuat tidak endah sahaja. Bayangkan, saya bersungguh-sungguh menghasilkan album Itu Janji untuk peminat dan mempunyai pelbagai genre di dalamnya dan ternyata ia sebuah album yang unik berbanding album-album Amuk sebelum ini. Tetapi semua sia-sia sahaja.

"Malas dah saya nak cerita panjang, cuma memang saya rasa teraniaya dengan Warner Music. Nak diikutkan, kontrak Amuk sudah pun tamat dua tahun yang lalu, tetapi oleh kerana saya menyatakan hasrat untuk keluar daripada syarikat itu, mereka meminta saya untuk menghasilkan sebuah lagi album.

"Mungkin saya akan keluar daripada Warner Music selepas menghasilkan album terakhir di bawah label mereka.

"Bagaimanapun, terdapat sedikit kekeliruan dalam kontrak dan saya akan merujuk semula dengan peguam sebelum membuat sebarang keputusan," katanya yang ditemui selepas sidang akhbar filem Karak di Hard Rock Cafe, di sini, Selasa.

Tambah Bandi lagi, kerana masalah itu, Bandi terpaksa menolak pelbagai tawaran kerana 'tersangkut' dengan kontrak dengan syarikat tersebut.

Sementara itu, Bandi kini muncul dengan single lagu terbaru berjudul Kerek, yang juga merupakan lagu tema bagi filem terbitan KRU Studios iaitu Karak.

Lagu yang bergenre heavy rock itu merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim dan klip video pula dihasilkan oleh Wa'an.

Kata Bandi, dia gembira kerana dapat menyanyikan sebuah lagu tema daripada hasil karya filem KRU kerana sudah lama dia ingin bekerjasama dengan adik beradik trio tersebut.

"Lagu ini menceritakan mengenai keegoan seseorang yang merasakan dirinya berkuasa dan memberi amaran dan peringatan kepada umum supaya tidak lupa diri dan 'besar kepala'.

"Bagi saya, ia sebuah lagu yang unik dan sesuai dengan filem seram. Saya harap, Kerek berjaya memikat hati semua," ujarnya.

No comments:

Post a Comment