Saturday, April 16, 2011

Simpang siur jalan Yuna


PEMBULUH darah seorang wanita muda bernama Yunalis Zarai kini seperti ada suntikan cecair keberanian. Selama ini elemen itu sudah mengalir deras dalam dirinya yang membuak dengan perasaan ingin berkarya. Cuma kali ini elemen itu semakin mewarnai arteri kehidupannya. Ironi kepada lagu popularnya, Penakut.

Melangkah kaki ke New York, Amerika Syarikat (AS) sendirian, umum sudah tahu pancarobanya. Dia pergi kerana cintakan muzik dan mahu produk Malaysia diperdengarkan di sana. Kerja keras, dia tekun membikin album keduanya di perantauan. Khalayak melihat daripada mata kasar, seakan perjalanan itu bertunjangkan kata dasar ‘senang’ tapi hakikatnya ia bukan sebuah jalan pintas yang senang dilalui di jambatan tidak berliku.

Yuna bercerita rentas-rentas kompas jalanannya. Sepertinya mengutip setiap batu dan awan lalu, semuanya menjadi saksi perjalanannya berstatus anak seni, setakat ini. Namun memetik kata Rose F. Kennedy, hidup ini bukan hanya sekadar perjalanan tetapi momen. Dia berkongsi momen-momen itu.

Sukar puaskan hati

“Bersimpang siur,” ketawanya di hujung talian ketika diminta mendefinasikan jalan seninya. Jelas laluan yang sama itu membuat dia dinobat sebagai Penyanyi Wanita Paling Popular masa kini.

“Saya bersyukur dengan apa yang dilalui, kontroversi dan sebagainya. Di sebalik adanya peminat, masih juga ada yang tidak menyokong dan membenci saya. Pernah satu ketika membuatkan saya terfikir ‘Apa lagi yang tidak betul pada mata mereka’,” ujar Yuna terdiam.

“Kemudian saya tinggalkan soalan itu dan bersikap positif. Apa yang penting buat saya ialah membuat sesuatu dengan lebih baik. Buat kerja untuk memberikan semula kepada Malaysia,” dia berpatah kembali pada niat asal.

“Saya kerja keras sejak zaman universiti. Membahagikan masa antara tahun akhir dan persembahan. Dulu saya berimaginasi, alangkah bagusnya jika ada peluang ke negara orang, mungkin ke New York atau London dan memperkenalkan muzik kita di sana. Alhamdulillah kini jalan itu sudah menuju ke sana,” butiran ceritanya keluar satu persatu mengingatkan sebuah hobi kini bertukar menjadi karier serius.

“Pernah saya diketawakan oleh sebuah syarikat rakaman ketika menyatakan niat untuk mengketengahkan lagu Inggeris saya ke luar. Itu pengalaman,” ujar penyanyi lagu Dan Sebenarnya ini yang tidak terkesan dengan getaran ketawa itu dan membuktikan kedegilannya berbuah manis. Hasilnya EP berjudul Decorate edisi AS yang dilancarkan pada Mac lalu.

Seperti membalas tawa itu, Yuna kini membuktikan segalanya tidak mustahil dengan niat suci. Dia bergelar artis di bawah pengurusan Indie Pop. Sah juga menandatangani syarikat rakaman Fader Label. Pernah juga menyanyi di rumah Russel Simmons, seorang ahli perniagaan, pemilik syarikat label hip hop Def Jam, dan perintis jenama pakaian Phat Farm, Argyleculture, dan American Classics. Sudah menjejakkan kaki Mac lalu ke sana, dia bakal pulang lagi ke negara tersebut pada Mei ini untuk melanjutkan kerja-kerja rakaman album Inggeris miliknya.

“Takut juga awalnya. Saya hanya seorang gadis dari Malaysia, sendiri ke sana. Terdetik juga bolehkah saya bekerja dengan mereka? Tetapi semuanya berjalan lancar dalam aura keselesaan,” cerita Yuna yang kini sudah mempunyai kenalan di Los Angeles.

Penulis meminta dia bercerita tentang regim kerja di sana.

“Paling penting saya pelajari cara kerja. Itu ketara. Saya dapat rasa cara kerja yang berlainan. Mereka sangat serius bila masuk bab kerja. Seperti yang saya katakan, saya hanya budak dari Malaysia, berusia 25 tahun yang mahu bekerja dengan penulis lagu untuk Michael Jackson, James Scott dan ramai lagi artis besar. Tapi mereka melayan saya pada tingkat yang sama. Malah mengalu-alukan kedatangan saya. Disiplin sangat penting, sihat dan memberikan idea,” ujarnya yang dapat menyiapkan sebuah lagu dalam masa satu malam.

Yuna kebaratan

Seronok dia berbicara, pengalaman dan pengisian emas dalam dirinya. Ya, realitinya bukan mudah berada di tempatnya sekarang.

Tidak lupa dia berkongsi cerita berjalan di karpet merah sewaktu MTVU Woodie Award yang diadakan di Austin, Texas pada 16 Mac lalu. Menambah cemburu khalayak yang meminati Foo Fighters, Wiz Khalifa, Zoe Kravitz dan Erykah Badu.

“Saya berdepan dengan Dave Grohl (Foo Fighters). Kaget dan kelu. Tetapi sempat bergambar bersama Erykah Badu dan Zoe Kravitz mendatangi dan berborak dengan saya, memuji serba sedikit,” kongsinya malu-malu namun menambah cemburu penulis.

Dia berdepan momen enak dalam hidupnya namun semua itu diletakkan atas kanvas pembelajaran. Menghadiri sebuah festival di luar negara, matanya tertumpu dan memerhati apa yang perlu ditokok tambah dalam pengalamannya.

Penulis meminta dia memberi sedikit kata-kata, hint untuk pemuzik lokal mengikut jejaknya. Bergerak dengan segala kemampuan yang ada.

“Saya pernah dicop kebaratan kononnya, terlalu American kerana menjejak Amerika untuk membuat album. Fikiran sebegini perlu dibuka. Saya bukan ke arah kebaratan, saya mempromosikan lagu-lagu kita di sana. Saya kekal dengan imej sendiri, cara bernyanyi, bunyi-bunyian serta muzik sendiri,” cerita si penggemar Velvet Underground, Iggy Pop, David Bowie dan Bob Dylan ini.

“Pemuzik kita sangat berbakat cuma mungkin tidak tahu kaedah dan perlu pemikiran yang terbuka. Penting juga untuk yakin. Jika ada bakat, cari petunjuk yang betul dan dengar kata orang berpengalaman,” tips Yuna yang berpendapat menjadi artis antarabangsa bukan bermaksud perlu berbunyi Amerika.

“Perlu ada nilai internasional untuk ke pasaran luar,” tambahnya.

“Ramai kawan saya yang boleh tulis lagu tapi tidak mahu membuatkan lagu mereka ‘marketable.’ Ada yang mahu terus bebas dan bila mahu dibawa ke arus perdana, mereka enggan. Kata mereka, tidak mahu tukar stail. Jangan keras kepala. Mentaliti perlu diubah,” nasihatnya jujur.

Wangian Yuna

Melihat stail yang dibawakan pemilik album Decorate ini, tidak dinafikan ramai sudah terjebak mengukti caranya. Masih dalam ritma berfesyen tetapi berkelubung dan menutup aurat. Pemilik butik IAMJETFUEL di Subang Jaya, Selangor ini mengulas.

“Itu satu cabaran sebenarnya. Faktanya saya gadis Muslim yang berhijab dan mahu bereksperimen gaya. Berdepan dengan kekangan tetapi sebenarnya teruja kerana itulah cabarannya terletak. Saya menutup aurat dan masa yang gaya mencari identiti. Masih mencari siapa diri saya sebenar. Sekarang masih dalam fasa mencuba dan terus mencuba sehingga berjumpa stail tersendiri,” ujarnya yang lahir pada 14 November 1985.

“Seperti jatuh cinta dengan muzik, saya juga sukakan fesyen. Mungkin kalau saya bukan seorang pemuzik, saya akan meneroka fesyen. Kata kuncinya adalah pakaian itu harus sopan dan selesa,” petahnya yang bakal muncul dengan dua jenis wangian pada bulan Jun nanti hasil kolaborasi dengan jenama Follow Me.

Berdepan soal citarasa, penulis kembangkan perbincangan agar sedikit berbunga wangi . Meletakkan esen cinta pada perbincangan melalui talian telefon tanpa melihat reaksi wajahnya. Tapi terdengarkan gelak tawa dan suaranya, seakan tahu dia memang di alam yang wangi, alam bunga-bunga.

“Saya dan Qi memang sedang dalam fasa dating. Bila kami tukar status di laman Facebook kepada ‘dalam perhubungan’, itu kerana kami mahu melihat aksi rakan-rakan dan peminat. Ternyata mereka memberi respons positif dan comel,” ketawanya yang memberitahu Qi kini di Argentina, sibuk mengendalikan rancangan US Field Trip.

Menyentuh tentang Qushairi Razali, jejaka yang merupakan bekas pemain dram grup OAG dan juga hos pengacara Destinasi Bajet, dia senang bercerita.

“Mungkin umum rasa muzik adalah topik utama kami bercerita tetapi sebenarnya bukan. Tetapi Qi memang akan setiap hari beri saya input lagu-lagu baru dan kami berhubung melalui Skype. Begitu juga saya, kalau jumpa lagu baru, saya akan berikan padanya.

“Selain itu kami juga berborak tentang penerbitan dan pembikinan filem. Borak tentang banyak perkara yang semuanya menghubungkan kami. Kami sama seperti pasangan di luar sana. Normal dan tidak mahu dilihat atau dilabel sebagai pasangan selebriti,” ujar Yuna yang beza sembilan tahun dengan Qi dan mengaku merupakan peminat OAG ketika berumur 10 tahun.

Mei nanti dia bakal kembali lagi ke AS membawa nama Malaysia dalam setiap hela nafasnya. Terhambat bersama rasa rindu buat Malaysia, juga buat seorang jejaka di Malaysia. Doa buat semua kesungguhan Yunalis Zarai.

No comments:

Post a Comment