WALAUPUN tiada lagi hubungan dan ikatan mesra di antara mereka, namun bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF), Adam AF atau nama sebenarnya, Mohd. Aizam Mat Saman telah mengeluarkan kenyataan merestui Farah Diana Anuar atau Farah AF yang bakal bergelar isteri pada tahun ini,
Pelantun lagu Haruskah itu ditemui pada majlis pelancaran Media - KRU TV yang berlangsung di Laundry Bar eCurve, Mutiara Damansara kelmarin. Dalam nada tenang dia berkata: "Semoga jodoh Farah kekal hingga akhir hayat dan menjadi isteri yang mithali."
Menganggap hubungannya bersama Farah sebagai sudah menjadi tinggalan sejarah, Adam turut mendoakan Farah dan bakal suaminya dapat menjalani kehidupan sebagai suami isteri dengan aman dan sentosa.
Di pihak Farah pula, ternyata tiada selain satu perkataan boleh menggambarkan dirinya selain daripada kebahagiaan.
Mekarnya kuntuman senyuman di bibir Farah saat ditemui pada sidang akhbar program kelolaannya, Rasa Halal Vietnam di Damansara, Petaling Jaya, Selangor Khamis lalu telah memberi 1001 jawapan bahawa si gadis manis itu sedang diulit bahagia dengan cintanya terhadap jejaka yang berasal dari Pulau Pinang itu.
Gadis manis berusia 26 tahun itu sebenarnya sangat bijak menyembunyikan hubungan cintanya daripada pengetahuan umum.
Tidak pernah muncul gambar mesra Farah dan lelaki bertuah di hatinya itu untuk dikongsi bersama peminat.
Sehinggalah foto-foto majlis pertunangan Farah dengan jejaka yang dikatakan seorang ahli perniagaan itu berlangsung di rumah nenek Farah di Yan, Kedah pada 25 Disember tahun lalu selepas majlis merisik diadakan pada Hari Raya Ketiga tersebar di Internet.
Kini tidak lagi berselindung, Farah mengakui dirinya sangat teruja untuk melangkah ke alam perkahwinan.
Namun, masih ada sesuatu yang dirahsiakan Farah tentang perkahwinannya itu - nama bakal suaminya.
Farah buat masa ini lebih selesa sang arjuna di hatinya itu hanya dikenali sebagai Mr. J!
Mula menggenakan tudung sejak 11 Julai tahun lalu, Farah dalam pada itu menolak andai dikatakan punca dia bertudung sekarang ini adalah disebabkan tunangnya. Malah, gadis yang memiliki senyuman yang menawan itu memberitahu, dia bertudung atas dasar penginsafan diri.
"Saya bertudung ketika melakukan rakaman program Rasa Halal Orient di Kemboja. Selepas melihat dan menitip pengalaman di sana alhamdulillah saya terus menggenakan tudung," ungkapnya.
Selepas bertudung ia sama sekali tidak pernah mengubahkan diri gadis berbintang Aquarius itu. Menurut Farah, perubahan dalam dirinya sekadar memenuhi tuntutan agama apabila sering merasakan dirinya serba kekurangan selama ini.
Ulasnya, dia tidak mahu bercakap pasal hatinya telah dibuka atau mendapat hidayah, sebaliknya hanya melengkapkan apa yang kurang dalam dirinya sebagai wanita Muslim selama ini.
Kriteria Mr.J
Tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan yang gah, Farah cuma mengharapkan kehadiran orang ramai dan paling penting, ahli keluarganya.
"Farah orang yang simple. Perkahwinan Farah nanti tiada sebarang konsep cuma Farah harap semua ahli keluarga Farah dan dia dapat datang," katanya.
Bertanyakan pula mengenai kriteria Mr. J yang berjaya memikat hatinya, dengan nada ketawa Farah memberitahu, bakal suaminya seorang yang manis dan sentiasa memahami dirinya.
"Walaupun sudah bertunang kami tidak selalu berjumpa dan masing-masing sibuk dengan kerja. Lebih-lebih lagi karier seni Farah tertumpu di Kuala Lumpur manakala perniagaan dia pula tertumpu di Pulau Pinang.
"Alhamdulillah dia memahami karier Farah. Walaupun jarang bersua muka tetapi kami kerap bercakap melalui telefon," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran program Rasa Halal Vietnam yang diterbitkan olehb Erland Kok itu.
Selepas menjelajah ke negara China, Taiwan, Hong Kong dan Kemboja, kini program Rasa Halal terbitan Astro Oasis beralih pula ke negara Vietnam.
Rasa Halal Vietnam telah menemui penonton setianya bermula 13 April lalu menerusi saluran 106 Oasis pada setiap hari Rabu, pukul 7.30 malam.
Tidak hanya tertumpu kepada mencari makanan halal semata-mata, program itu juga memaparkan tempat-tempat menarik yang harus dikunjungi peminat serta peluang membeli-belah dengan tawaran harga yang rendah.
Pandai memasak
Rasa Halal Vietnam membawa pula penonton menjelajahi bumi Vietnam bermula dari kawasan Utara, sebelum bergerak ke Selatan, tengah dan Utara negara itu.
Antara kawasan yang disingahi program Rasa Halal Vietnam ialah Ho Chi Minh, Vraf Village, Danang dan Hanoi.
Penonton turut dapat merasai keunikan khazanah warisan seni dan budaya masyarakat tempatan dan budaya masyarakat Vietnam.
"Pemilihan Farah sekali lagi untuk musim kelima ini kerana personalitinya yang suka makan dan boleh menerima apa jua makanan serta memiliki sikap yang aktif dan peramah. Ia sekali gus dapat menarik perhatian penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.
"Kami juga amat tertarik dengan kematangan Farah mengacarakan pelbagai segmen mengikut usia program yang telah menjangkau selama lima musim itu," kata Pengurus Saluran Oasis, Izelan Basar.
Izelan turut mengakui tarikan utama program Rasa Halal disebabkan tempat yang ditawarkan menarik, selesa, murah dan paling penting senang untuk mendapatkan makanan halal.
Menurut Izelan, selepas ini program Rasa Halal akan menjelajah pula ke negara Laos, Korea Selatan dan Filipina.
Sementara itu, Farah menganggap pemilihannya sekali lagi mengacarakan Rasa Halal sebagai tuah.
"Mula-mula dulu Farah akui tidak begitu pandai memasak tetapi selepas terdedah dengan program makanan secara tidak langsung Farah mencuba resepi-resepi makanan daripada negara lain dan daripada situ Farah sudah mula pandai memasak," ujarnya jujur.
Farah turut melahirkan rasa kagum terhadap negara-negara yang dikunjunginya. Dalam pada itu, Rasa Halal Vietnam turut memaparkan aksi Farah melalui terowong sempit yang dibina para tentera Vietnam zaman dahulu sebagai persediaan mereka melarikan atau menyelamatkan diri daripada musuh.
No comments:
Post a Comment