Saturday, January 28, 2012

Kedai Emas Ditutup Untuk Taylor Swift


PENYANYI Taylor Swift yang berkunjung ke kota London baru-baru ini untuk menghadiri tayangan perdana filem Les Miserables sempat berkunjung ke kedai emas di sana.

Menariknya, kehadiran penyanyi yang popular menerusi lagu Love Story di kedai tersebut adalah eksklusif untuk dirinya dan pihak pengurusan tidak membenarkan pengunjung lain berada di dalam kedai.

Portal contactmusic.com melaporkan, Taylor bagaimanapun membenarkan tiga orang gadis untuk masuk ke dalam yang ingin bergambar dengannya selain membeli beberapa utas rantai jenama Alice di kedai tersebut.

Selain ke kedai barang kemas, Taylor selepas itu juga dilihat sempat bersiar-siar di Hyde Park, Prince of Wales Memorial Fountain dan sebagainya.

Tasha Shilla nafi mabuk, ghairah


DALAM hendak berseronok-seronok, melepaskan tekanan kerja dan meraikan hari ulang tahun kelahiran bersama kawan-kawan, pelakon Bunga April, Tasha Shilla tiba-tiba sahaja ditimpa bahana.

Rabu lalu, dia digembar-gemburkan beraksi liar, berparti serta menari ghairah ala-ala tarian tiang di sebuah kelab hiburan, Rootz Club di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Beberapa portal hiburan di internet mendakwa Tasha yang baru pulang dari Perth, Australia itu dilihat berseronok bersama kawan-kawannya, berparti serta asyik menari tanpa menghiraukan pengunjung lain di kelab berkenaan.

Mengiyakan dakwaan dia mengunjungi kelab hiburan untuk meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-25 tahun ini, Tasha yang dihubungi Sensasi Bintang bagaimanapun melahirkan rasa terkilan kerana cerita itu telah ditokok tambah seolah-olah dia sengaja menimbulkan kontroversi.

SENSASI BINTANG: Jadi benarlah kamu ke Rootz Club pada malam 25 Januari lalu?

TASHA SHILLA: Ya benar tapi cerita mengatakan saya menari ghairah ala-ala tarian tiang itu tidak benar. Saya masih sedar siapa diri saya. Rasanya penulis itu yang tidak sedar apa yang telah ditulisnya tentang saya.

Kelab itu hanya memainkan muzik berentak R&B, kenapa pula saya tiba-tiba hendak menari ghairah dan istilah pole dancing yang digunakan juga tidak tepat, kerana saya hanya menari di lantai tari bersama kawan-kawan sedangkan pole dancing pula adalah tarian tiang.

Kamu marah dan terkejut dengan isu berkenaan?

Tak marah dan tak terkejut pun, cuma pelik seolah-olah ia ditulis dengan niat yang tidak baik.

Sebenarnya sebelum ke kelab berkenaan, saya agak keberatan memandangkan kelab itu sedikit 'panas' dan pernah membabitkan perihal artis sebelum ini.

Tapi sebab tak sanggup menolak pelawaan kawan-kawan, saya tetap datang walaupun sudah agak lewat, kira-kira pukul 1 atau 2 pagi.

Ketika itu saya dari lokasi penggambaran, jadi ada beberapa kru penggambaran juga dalam parti berkenaan.

Jadi kamu akan mengelak dan jauhkan diri dari kelab hiburan selepas ini?

Tidak sebab saya tidak mahu jadi hipokrit. Saya tidak akan meninggalkan kawan-kawan saya. Tapi saya tahu jaga diri, tahu batasan saya dan tidak akan sia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa saya.

Adik-beradik dan keluarga saya kenal saya jenis yang bagaimana. Saya juga tak salahkan media dalam hal ini.

Adakah kamu memang seorang yang suka bersosial?

Dulu sewaktu kerja di lapangan lain memanglah saya keluar malam, ke kelab jumpa kawan-kawan tapi keluarga akan tahu ke mana langkah saya.

Sekarang, bila sudah jadi pelakon, saya mahu bina kerjaya dan ingin fokus tapi sekali-sekala bila terima ajakan kawan-kawan, rasanya tak salah. Lagipun bukannya saya buat benda tak senonoh, bukannya saya mabuk, ambil alkohol atau minum arak.

Saya cuma suka layan muzik dan jumpa kawan tapi komitmen kerja dan disiplin masih nombor satu.

Kamu mabuk ke pada malam berkenaan?

Tak, memang tak mabuk, tak ambil minuman beralkohol pun. Malam itu juga bukan saya seorang artis yang ada di kelab itu, ada beberapa artis lain bersama kumpulan yang berlainan.

Mungkin sebab saya pelakon baharu yang tengah naik, tercalon pula dalam kategori Top 5 Artis Baharu untuk Anugerah Bintang Popular, jadi orang fokus pada saya.

Sekarang bayaran menjadi popular itu sudah mula memberi impak, apa komen kamu?

Saya baru hendak popular tapi syukurlah rezeki pun tidak pernah putus. Ada tawaran filem tapi tak boleh diteruskan sebab terikat dengan drama.

Sekarang saya sedang habiskan penggambaran drama bersiri untuk slot Akasia TV3, Atas Nama Cinta serta telemovie Landasan Cinta bersama Zeel Production.

Bulan Jun nanti ada satu lagi tawaran daripada Zeel. Saya akan menjalani penggambaran di India pula untuk drama Cinta Agra. Syukur sangat sebab lepas masuk bidang lakonan inilah baru saya dapat merasa untuk ke luar negara.

Yang buruknya pula?

Orang akan mula cari dan selongkar segala keburukan saya. Tapi tak apa, saya sudah bersedia dan tidak akan jadi manusia hipokrit.

Cepat naik cepat jatuh sifir Shima


GADIS setinggi 1.65 meter ini lebih banyak memerhati. Dalam diam, Shima Anuar menyaksi dan belajar setiap gerak-geri mereka yang lebih senior dalam dunia hiburan.

"Saya kagum dan hormat kepada mereka yang mengambil masa yang lama untuk mengukir nama dalam industri ini.

"Pastinya bukan mudah untuk memperkenalkan dan mengekalkan jenama sendiri," kata pelakon baharu itu kepada Sensasi Bintang.

Shima berpegang kepada sifir jika kita cepat naik, maka kita akan cepat jatuh. Jelasnya, tempoh yang lama untuk mengukir nama akan meninggalkan bekas yang dalam untuk orang lain sedar akan kehadiran seseorang pelakon.

Sebagai salah seorang daripada lebih 70 pelakon yang dikeluarkan oleh 'kilang' filem MIG Production, Shima akur bahawa dia perlu bersaing dengan bakat-bakat lain dalam merebut tempat di hati peminat.

"Biarlah saya lambat naik (popular) kerana tempoh itu memberi ruang untuk orang lain menyedari siapakah saya.

"Jika terlalu cepat dikenali memanglah satu bonus, tetapi tidak hairan jika nama kita akan mudah pula tenggelam selepas itu. Kerana itulah tidak salah jika saya lambat terkenal.

"Kalau boleh saya mahu menjadi seperti Yana Shamsuddin yang mengambil masa yang lama untuk menonjol. Dia kini semakin bersinar," kata gadis kelahiran Rawang, Selangor ini.

Ramai yang masih kabur dengan figura dengan nama penuhnya Noor Hashimah Anuar ini kerana dia pertama kali diberi peranan besar di layar lebar menerusi filem Sumpahan Kum Kum yang sedang ditayangkan di panggung.

Menerusi naskhah seram arahan Ismail 'Bob' Hasim itu, Shima memegang watak Mila iaitu seorang gadis berwajah hodoh yang mengamalkan susuk untuk kelihatan cantik.

"Filem ini agak berat untuk orang baharu seperti saya. Pastinya saya tidak berpuas hati dengan hasil lakonan, tetapi saya telah melakukan yang terbaik untuk menjayakannya," ujar Shima yang pernah tampil dalam filem Flat 3A dan Bini-Biniku Gengster.

Shima menolak tanggapan bahawa rencah rupa paras dan bakat harus tampil seiring untuk berjaya dalam dunia lakonan kerana dia lebih mempercayai bakat seseorang.

Baginya rupa paras cuma merupakan bonus untuk seseorang memperelokkan lagi lakonannya.

"Untuk menjadi pelakon tidak perlu cantik kerana apa yang lebih penting adalah bakat," ujar pemegang diploma dalam bidang seni lakon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Pengasuh saman Lindsay Lohan


GARA-GARA melanggar lampu merah di kawasan pejalan kaki dan hampir melanggar seorang pengasuh bersama bayinya, Lindsay Lohan disaman oleh wanita itu.

Nubia Del Carmen Plaza mengemukakan saman itu atas alasan Lohan tidak memberhentikan keretanya iaitu model Maserati Gran Turismo yang disewanya biarpun dia nampak Plaza sedang melintas jalan.

Jelas Plaza, Lohan secara melulu terus memandu dan itu membuatnya trauma ketika menolak sebuah kereta sorong bersama seorang bayi di satu persimpangan di West Hollywood, New York.

Dikhabarkan, Plaza menuntut ganti rugi daripada Lohan meliputi kecederaan serius, kesakitan, penderitaan dan kesedihan yang dialaminya walaupun dia dan bayi itu tidak mengalami kecederaan.

Kejadian tersebut berlaku pada September 2010.

Saturday, January 21, 2012

Nicki Minaj Langkah ke Dunia Fesyen


SEJAK kemunculan album pertama, Pink Friday pada tahun 2010, Nicki Minaj meraih perhatian umum bukan sahaja kerana muzik hip hop yang ditonjolkan, tetapi juga gaya fesyen warna-warninya turut diminati.

Tanpa membuang masa, anak kelahiran Trinidad itu terus melangkah dengan cuba menembusi dunia perniagaan fesyen pula.

Pengurus peribadi Nicki, Cortez Bryant berkata, sebenarnya ia bukanlah satu perkara yang baru buat pelantun lagu Super bass itu kerada dia sudah pun memiliki produk gincu dan pengilat kuku menerusi jenama M.A.C dan OPI.

"Rasanya, memulakan perniagaan fesyen amatlah wajar untuk Nicki dan kini dia merancang ke New York untuk melancarkan jenama pakaiannya sendiri," katanya kepada ContactMusic.com.

Dikhabarkan, Nicki kerap bertemu dengan pengarang majalah Vouge, Anna Wintor untuk mendapatkan pandangan mengenai perniagaan fesyen yang diusahakannya itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More