Showing posts with label Najwa Latif. Show all posts
Showing posts with label Najwa Latif. Show all posts

Friday, June 21, 2013

Najwa Latif Terima Biasiswa Dilantik Duta UNITAR

Najwa Latif
PETALING JAYA: Penyanyi lagu Cinta Muka Buku iaitu Najwa Latif menafikan dia menerima sejumlah bayaran daripada Universiti Antarabangsa UNITAR ekoran pelantikannya sebagai duta universiti berkenaan.
Najwa, 18, sebaliknya berkata, pelantikan itu hanya membolehkan dia menerima tajaan biasiswa penuh daripada universiti berkenaan untuknya melanjutkan pengajian peringkat asasi dalam bidang Pengurusan selama setahun.
"Saya tidak menerima sebarang bayaran untuk pelantikan saya sebagai duta UNITAR sebaliknya hanya menerima tajaan biasiswa penuh daripada pihak universiti bagi melanjutkan pelajaran," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Najwa bakal memulakan pengajiannya di universiti berkenaan pada Isnin depan di Bandar Sunway di sini.
Dalam perkembangan sama, Najwa berkata, sebelum dipilih menjadi duta universiti tersebut dia memang ingin melanjutkan pelajaran di UNITAR dan menganggap pelantikannya itu sebagai satu rezeki.
Mengakui bakal menggalas tanggungjawab besar, Najwa bersedia untuk membantu pihak universiti mempromosikan jenama UNITAR di kalangan remaja sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran.
"Alhamdulillah ia adalah rezeki untuk saya dan tanggungjawab ini besar dan saya akan pastikan kepercayaan diberikan itu akan dilaksanakan dengan baik.
"Bagaimanapun buat masa ini masih belum ada apa-apa perancangan daripada pihak universiti dan mungkin ia akan bermula selepas pengajian bermula minggu hadapan," jelasnya.
Dalam pada itu, Najwa berkata, dia memilih bidang Pengurusan pada peringkat asasi kerana tertarik dengan beberapa subjek Bahasa Inggeris yang ditawarkan dalam kursus tersebut.
Jelas Najwa, selepas tamat kursus asasi, dia mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan subjek dalam kursus pengurusan memudahkan dia membuat permohonan itu nanti.
"Walaupun bidang asasi yang saya pilih tiada kena mengena dengan cita-cita asal tetapi tidak mengapa. Selain dapat meluaskan ilmu pengetahuan ia juga memudahkan saya untuk membuat permohonan kursus TESL selepas tamat kursus asasi ini nanti," katanya.
Sementara itu, Najwa berkata, dia teruja untuk memulakan sesi pembelajaran bermula Isnin ini dan berharap semuanya akan berjalan dengan lancar.
Dalam perkembangan lain, Najwa baru sahaja melancarkan single berjudul I Love Youdan sedang sibuk dengan aktiviti promosi lagu berkenaan.
"Alhamdulillah lagu itu telah mendapat tontonan sebanyak 200,000 di laman YouTube sejak dua minggu lalu dan Insya-Allah saya kini sibuk dengan pelbagai aktiviti promosi dan bertemu peminat,"jelasnya.
Tambah Najwa, dia tidak merancang untuk memperlahankan aktiviti seninya selepas memulakan pengajian sebaliknya yakin dapat membahagikan masa dengan baik di antara pelajaran dan nyanyian.
"Paling penting kena bijak menguruskan jadual supaya kerjaya dan pengajian tidak bercanggah dan saya yakin ia tidak akan menjadi masalah," ujarnya.

Tuesday, May 22, 2012

Najwa Latif Terkejut Dianggap Persenda Wartawan

PETALING JAYA: Penyanyi remaja, Najwa Latif, yang sebelum ini menjelaskan lagu “Kosong” nyanyiannya tidak menyindir sesiapa bertambah terkejut selepas membaca laporan terbaru kononnya karya itu ditujukan kepada wartawan.
Najwa, 17, berkata, dia tidak pernah berniat untuk menyindir wartawan tetapi ia dihasilkan sebagai pemangkin semangat kepada dirinya selain untuk dikongsi kepada orang lain jika menghadapi sebarang masalah.
"Tidak pernah terlintas pun dalam fikiran saya untuk menyakiti mana-mana pihak melalui lagu apatah lagi ia ditulis semata-mata untuk memberi inspirasi kepada diri sendiri dan orang lain," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Tambah Najwa, dia juga tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana wartawan sehingga ingin membalas dendam menerusi lagu dan menganggap mereka sering menyokong kerjaya seninya.
"Walaupun kadang-kadang saya kena kritik tetapi saya mengambil perkara itu sebagai positif dalam memperbaiki diri tetapi setakat ini tidak pula saya mempunyai masalah atau bermusuh dengan mana-mana pihak media," katanya.
Dalam pada itu, kakak kepada Najwa iaitu Syafikah Latif turut menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia tidak berasas sama sekali.
Syafiqah memberitahu, lirik lagu berkenaan yang dituliskan sejak lima bulan lalu itu tidak pernah bertujuan untuk 'menyerang' mana-mana pihak sebaliknya mahu memberi semangat kepada semua pendengar yang mungkin mempunyai masalah supaya tidak berputus asa.
"Sebelum tulis lirik lagu berkenaan saya terlebih dahulu berbincang dengan Najwa tentang tema, konsep lagu berkenaan dan sebagai remaja kami ingin menghasilkan sesuatu yang dapat memberi inspirasi kepada orang lain terutamanya di kalangan remaja.
"Bagaimanapun saya tidak boleh menghalang penilaian orang lain kerana ia pandangan individu," katanya.
Sementara itu, Syafiqah berkata, dia dan adiknya tidak perlu melenting terhadap cerita terbaru itu sebaliknya mengambil ia sebagai satu perkara positif dan menerimanya untuk memperbaiki kelemahan.
"Bila orang bercakap kita kena sentiasa lihat kembali kepada diri dan perbaiki kelemahan yang ada," katanya.
Ditanya mengenai penerimaan Najwa terhadap cerita negatif tentang dirinya, Syafiqah berkata dia sangat berbangga dengan adiknya itu kerana tidak cepat melatah apabila ada kontroversi yang dikaitkan dengannya.
Malah kata Syafiqah, tumpuan Najwa terhadap pelajaran juga tidak terganggu dan sentiasa fokus untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini.

Thursday, April 21, 2011

Najwa Latif Jadi Penyanyi Kerana 'YouTube'


PETALING JAYA: Penyanyi baru Najwa Latif atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 16, tidak menyangka keterujaan terhadap Internet telah menjadikan dirinya seorang penyanyi rakaman.

Kata Najwa yang ditemui pada sesi fotografi bersama mStar Online baru-baru ini, pada awalnya dia hanya menggunakan medium itu untuk berkomunikasi dengan bapanya yang tinggal berasingan daripada keluarga.

"Pada mulanya, saya menggunakan Internet untuk berkomunikasi dan melepaskan kerinduan kepada ayah yang tinggal berasingan dengan kami.

"Ayah mengajar di luar kawasan Batu Pahat, Johor dan hanya akan pulang pada hujung minggu. Jadi, setiap hari kami akan berkomunikasi menerusi Facebook dan Yahoo Messenger.

"Selain itu, saya juga memuatnaik video saya menyanyi untuk ayah di laman YouTube. Daripada situlah, video-video tersebut menjadi perhatian umum pula," katanya yang mengidolakan penyanyi Justin Bieber dan Taylor Swift.