PETALING JAYA: Penyanyi remaja, Najwa Latif, yang sebelum ini
menjelaskan lagu “Kosong” nyanyiannya tidak menyindir sesiapa bertambah
terkejut selepas membaca laporan terbaru kononnya karya itu ditujukan
kepada wartawan.
Najwa, 17, berkata, dia tidak pernah berniat untuk menyindir wartawan
tetapi ia dihasilkan sebagai pemangkin semangat kepada dirinya selain
untuk dikongsi kepada orang lain jika menghadapi sebarang masalah.
"Tidak pernah terlintas pun dalam fikiran saya untuk menyakiti
mana-mana pihak melalui lagu apatah lagi ia ditulis semata-mata untuk
memberi inspirasi kepada diri sendiri dan orang lain," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Tambah Najwa, dia juga tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan
mana-mana wartawan sehingga ingin membalas dendam menerusi lagu dan
menganggap mereka sering menyokong kerjaya seninya.
"Walaupun kadang-kadang saya kena kritik tetapi saya mengambil
perkara itu sebagai positif dalam memperbaiki diri tetapi setakat ini
tidak pula saya mempunyai masalah atau bermusuh dengan mana-mana pihak
media," katanya.
Dalam pada itu, kakak kepada Najwa iaitu Syafikah Latif turut
menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia tidak berasas sama sekali.
Syafiqah memberitahu, lirik lagu berkenaan yang dituliskan sejak lima
bulan lalu itu tidak pernah bertujuan untuk 'menyerang' mana-mana pihak
sebaliknya mahu memberi semangat kepada semua pendengar yang mungkin
mempunyai masalah supaya tidak berputus asa.
"Sebelum tulis lirik lagu berkenaan saya terlebih dahulu berbincang
dengan Najwa tentang tema, konsep lagu berkenaan dan sebagai remaja kami
ingin menghasilkan sesuatu yang dapat memberi inspirasi kepada orang
lain terutamanya di kalangan remaja.
"Bagaimanapun saya tidak boleh menghalang penilaian orang lain kerana ia pandangan individu," katanya.
Sementara itu, Syafiqah berkata, dia dan adiknya tidak perlu
melenting terhadap cerita terbaru itu sebaliknya mengambil ia sebagai
satu perkara positif dan menerimanya untuk memperbaiki kelemahan.
"Bila orang bercakap kita kena sentiasa lihat kembali kepada diri dan perbaiki kelemahan yang ada," katanya.
Ditanya mengenai penerimaan Najwa terhadap cerita negatif tentang
dirinya, Syafiqah berkata dia sangat berbangga dengan adiknya itu kerana
tidak cepat melatah apabila ada kontroversi yang dikaitkan dengannya.
Malah kata Syafiqah, tumpuan Najwa terhadap pelajaran juga tidak
terganggu dan sentiasa fokus untuk menghadapi peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment