PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Nor Azzarima Zawari atau 
Azza (Elite) menganggap bukan satu beban apabila terpaksa menghantar 
suaminya Azlan Zulaily,25, yang bekerja sebagai Pramugara AirAsia ke 
Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) setiap hari.
Azza berkata, dia tidak berasa susah walaupun perlu berada pada pukul
 4 pagi di LCTT kerana dia juga perlu keluar rumah awal untuk ke lokasi 
penggambaran.
"Bagus juga kena hantar di ke LCCT kerana selepas itu saya boleh 
terus ke  lokasi penggambaran sekiranya jadual memerlukan saya tiba awal
 di lokasi awal.
"Ia tidak menjadi masalah buat saya malah gembira dapat menghantar suami ke tempat kerja," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Azza berkata, walaupun dia sering ditinggalkan kerana
 bidang tugas suaminya menuntut pengorbanan itu, Azza berkata, Azlan 
akan tetap pulang ke rumah apabila habis waktu kerja walaupun kadangkala
 perlu bertugas untuk penerbangan luar negara.
"Alhamdulillahlah kebanyakan tugasan Azlan adalah untuk penerbangan 
domestik, jadi dia akan balik ke rumah walaupun sudah lewat,” ujarnya.
Tambah Azza, sebagai suami isteri mereka perlu mempunyai sikap tolak 
ansur untuk memastikan rumah tangga yang baru dibina itu bertahan 
sehingga ke akhir hayat.
Sementara itu, Azlan berkata, perkahwinan yang dilaluinya menjadikan 
dia lebih bertanggungjawab selain berasa bertuah kerana memiliki Azza 
yang sangat memahami dan banyak bertoleransi terutamanya dalam soal 
remeh temeh.
"Azza sebenarnya seorang yang kelakar dan suka berterus terang. Itu 
adalah antara sifatnya yang saya kagumi dan tertarik dengannya," kata 
Azlan.
Azza, 34 dan Azlan, 25 diijabkabulkan pada 1 April lalu di Bukit Antarabangsa dekat sini.
Dia sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi 
Adruce pada 14 Februari 2001 di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan 
berpisah pada tahun 2005.
Hasil perkahwinan pertama itu mereka tidak mendapat cahaya mata 
sebaliknya Azza memilih untuk memelihara seorang anak angkat iaitu 
Marissa Janna yang kini berusia tujuh tahun.

No comments:
Post a Comment